tugasan jms416 gerakan protes

12
Pengenalan Protes merupakan satu manifestasi terhadap perasaan tidak berpuas hati atau rasa ti dengan sesuatu usul, dasar, undang-undang, peraturan atau orientasi yang telah dile 1 Protes dari segi tafsiran bahasa pula membawa maksud pernyataan tidak setuju dengan dasar (usul dll.), sanggahan atau tentangan. 2 Pada umumnya protes bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk bantahan yang dizahirkan daripada perasaan tidak setuju atau ti hati terhadap sesuatu peraturan atau ketetapan yang diadang mahupun yang telah dil biasanya oleh pihak yang mempunyai kuasa dalam sesebuah komuniti. !erakan adalah gerakan yang bertujuan mengubah atau menentang sejumlah kondisi sosial yang dalam sesebuah masyarakat. !erakan ini adalah jenis yang paling umum daripada antara gerakan- gerakan sosial yang pernah diwujudkan oleh indi"idu mahupun kumpu sesebuah masyarakat dengan berpaksikan kepada ita-ita untuk mengekalkan atau meng sesuatu perkara agar ianya selaras dengan kemahuan atau kehendak pihak yang menetu gerakan tersebut. Protes dizahirkan dengan berbagai-bagai ara dengan bentuk dan ragam yang ham serupa walaupun tanggapan dan tafsiran terhadapnya berbeza. #ntara kaedah yang amat dalam mempamerkan perasaan protes adalah dengan ara membuat aduan, tidak mengiktir menentang, memperlihatkan ketidaksediaan menerima dan mengambil tindakan balas. $ %alam keadaan yang lebih ekstrim, gerakan protes boleh menjadi lebih serius dan membawa k bantahan seara besar-besaran yang boleh mengakibatkanteretusnya rusuhan serta pemberontakan. 1 Mohd Isa Othman, Gerakan Protes Dalam Perspektif Sejarah Malaysia Pada Abad Ke-19 dan Awal Abad Ke-2! 2000, hlm. 1. 2 Kam"s Dewan #disi $ar",1989, hlm. 985 3 %p&'it . hlm.1 1

Upload: khairuljamilah

Post on 06-Oct-2015

244 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

protes

TRANSCRIPT

PengenalanProtes merupakan satu manifestasi terhadap perasaan tidak berpuas hati atau rasa tidak setuju dengan sesuatu usul, dasar, undang-undang, peraturan atau orientasi yang telah dilembagakan. Protes dari segi tafsiran bahasa pula membawa maksud pernyataan tidak setuju dengan satu-satu dasar (usul dll.), sanggahan atau tentangan. Pada umumnya protes bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk bantahan yang dizahirkan daripada perasaan tidak setuju atau tidak berpuas hati terhadap sesuatu peraturan atau ketetapan yang dicadang mahupun yang telah dilaksanakan biasanya oleh pihak yang mempunyai kuasa dalam sesebuah komuniti. Gerakan Protes pula adalah gerakan yang bertujuan mengubah atau menentang sejumlah kondisi sosial yang sedia ada dalam sesebuah masyarakat. Gerakan ini adalah jenis yang paling umum daripada antara gerakan- gerakan sosial yang pernah diwujudkan oleh individu mahupun kumpulan dalam sesebuah masyarakat dengan berpaksikan kepada cita-cita untuk mengekalkan atau mengubah sesuatu perkara agar ianya selaras dengan kemahuan atau kehendak pihak yang mencetuskan gerakan tersebut.

Protes dizahirkan dengan berbagai-bagai cara dengan bentuk dan ragam yang hampir serupa walaupun tanggapan dan tafsiran terhadapnya berbeza. Antara kaedah yang amat popular dalam mempamerkan perasaan protes adalah dengan cara membuat aduan, tidak mengiktiraf, menentang, memperlihatkan ketidaksediaan menerima dan mengambil tindakan balas. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, gerakan protes boleh menjadi lebih serius dan membawa kepada bantahan secara besar-besaran yang boleh mengakibatkan tercetusnya rusuhan serta pemberontakan.

Dalam sejarah sosial masyarakat Malaysia, gerakan protes dapat dikesan sejak zaman Kesultanan Melayu Lama lagi. Keadaan ini berlaku akibat daripada corak hidup yang diamalkan dalam struktur masyarakat Melayu tradisi pada ketika itu. Secara umumnya,struktur masyarakat Melayu hanya terdiri daripada dua golongan atau kelas. Golongan pertama ialah kelas pemerintah yang dikenali juga sebagai golongan aristokrat dan golongan yang kedua adalah golongan yang diperintah iaitu rakyat biasa. Jurang pemisah antara kedua-dua golongan ini amat jelas ketara, sehingga rakyat atau golongan yang diperintah dilihat hampir tiada hak mahupun keistimewaan dalam masyarakat. Mereka dituntut dan dikerah agar mentaati golongan pemerintah terutamanya kepada Sultan melalui konsep daulat dan derhaka yang begitu digeruni oleh rakyat pada ketika itu. Dalam keadaan ini, rakyat diperintahkan untuk mendahulukan khidmat terhadap golongan atasan berbanding dengan kepentingan peribadi. Kesan daripada keadaan ini, rakyat seringkali merasa tertindas apabila keadilan sosial tidak terlaksana. Suasana sekitar pada ketika itu memang tidak menggalakkan golongan bawahan mencari sumber pendapatan yang lebih, hanya sekadar cukup untuk menampung keperluan asas keluarga untuk hidup. Fenomena sebegini boleh digambarkan dengan pepatah lama Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek. Akibat daripada keadaan ini, perasaan protes mula berputik dan bercambah dalam hati golongan rakyat yang sudah mula merasa kurang senang dengan suasana yang berlaku. Tambahan lagi jika penindasan yang dilakukan oleh pihak atasan terkena terus terhadap individu atau keluarga mereka. Walaupun konsep mendaulatkan raja serta pantang menderhaka terhadap raja amat menebal di kalangan masyarakat Melayu tradisi, namun pada hakikatnya masih terdapat individu dari kalangan rakyat yang berani menunjukkan tentangan atau protes terhadap tindak-tanduk yang dilakukan oleh raja atau golongan pemerintah. Hal ini dapat kita kesan dalam hasil karya penulisan bercorak sastera sejarah yang lebih dikenali sebagai Hikayat-hikayat Melayu Lama. Hikayat Melayu lama biasanya bertemakan tentang kisah pembukaan sesebuah negeri, corak organisasi pentadbirannya serta diceritakan juga gambaran sosial budaya dan corak politiknya. Penulisan hikayat sebegini kebiasaannya adalah bermatlamat untuk memberikan sanjungan serta memperbesar-besarkan kemuliaan pemerintah dengan memasukkan unsur-unsur mitos dan lagenda. Jelasnya penulisan sebegini dilakukan adalah dengan menjunjung perintah Sultan bagi memartabatkan kedudukannya di mata rakyat jelata. Namun begitu karya penulisan hikayat juga tidak lari daripada kritikan sosial yang biasanya ditujukan kepada golongan pemerintah. Kritikan dilakukan oleh pengarang terhadap pemerintah dengan cara tidak langsung dengan menggunakan unsur simbolis, mitos dan lagenda. Hal ini selaras dengan pemikiran masyarakat feudal yang menyekat kritikan terbuka dan berterus-terang. Kritikan secara terbuka terhadap golongan pemerintah akan dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan. Mereka yang menderhaka akan menerima hukuman yang setimpal tanpa belas kasihan. Penderhakaan terhadap raja adalah kesalahan yang sangat berat dan biasanya hukuman bunuh adalah bentuk hukuman yang bakal diterima oleh mereka yang menderhaka. Namun begitu harus juga kita lihat akan sebab berlakunya penderhakaan tersebut. Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, tekanan-tekanan yang dirasai akibat daripada ketidakadilan serta kezaliman yang dilakukan oleh golongan pemerintah adalah faktor utama berlakunya gerakan protes dalam masyarakat feudal sebagaimana yang banyak dipaparkan dalam hikayat-hikayat lama.Isu Protes Dalam Hikayat-Hikayat Melayu LamaDalam Hikayat Merong Mahawangsa, telah diceritakan tentang kezaliman Raja Ong Maha Perita Deria terhadap rakyat jelata di bawah pemerintahannya. Kezaliman Raja Ong ini berpunca daripada tabiatnya yang terlalu gemar memakan darah manusia sehingga baginda digelar sebagai Raja Bersiung. Kekejaman Raja Bersiung pada mulanya tidak diketahui oleh para menteri dan rakyat jelata, namun begitu setelah terlalu banyak jiwa yang menjadi korban terhadap kekejaman Raja Bersiung, maka bermulalah episod penentangan atau gerakan protes terhadap baginda. Tindakan protes terhadap Raja Bersiung bermula apabila Kampar yang dianggap sebagai seorang yang jahat dan mempunyai ketinggian ilmu kebatinan telah datang untuk menguji Raja Bersiung. Kampar yang mengetahui kezaliman Raja Brsiung sengaja melakukan kesalahan agar ditangkap dan dibawa mengadap raja. Kebiadaban dan keceluparan mulut Kampar terhadap Raja Bersiung jelas menunjukkan sikap protesnya terhadap raja tersebut. Sebagaimana kata Kampar kepada Raja Bersiung; Hai Raja Bersiung, gilakah hendak membunuh orang tiada dengan periksa,

sungguhpun memakan hati darah orang, lepaskanlah ikatan aku ini, serta aku

tiada dengan senjata ini adakah boleh aku melawan. Bunuhlah sekarang, nescaya puaslah raja memakan hati darahku.

Dalam norma masyarakat feudal kebiadaban yang ditunjukkan oleh Kampar terhadap Raja Bersiong pasti sahaja dianggap sebagai satu penderhakaan yang tidak mungkin dapat dimaafkan. Mungkin juga kerana itu penulis sejak awal pengenalan telah melabelkan Kampar sebagai orang yang amat jahat, seperti yang diceritakan oleh penulis;

Bermula, adalah seorang orang Seri Gunung Ledang bernama Kampar yang amat jahatnya.

Tindakan Kampar yang cuba menunjukkan penentangan terhadap sikap serta kezaliman Raja Bersiung secara terbuka tidak dapat diterima masyarakat pada ketika itu. Biarpun jelas keburukan yang dilakukan raja, namun sebagai rakyat biasa tambahan lagi sebagai orang luar seperti Kampar, amatlah tidak layak untuk menentang atau menghalang segala tindak-tanduk serta tingkah laku raja. Namun begitu, walaupun tindakan yang dilakukan oleh Kampar menemui kegagalan, tetapi peristiwa penentangan Kampar terhadap Raja Bersiung ini telah membuka mata para menteri akan perangai buruk serta kekejaman Raja Bersiung terhadap rakyat jelata selama ini. Lanjutan daripada itu para menteri beserta permaisuri dean rakyat jelata mula bangun melakukan gerakan protes terhadap Raja Bersiung.Maka sembah menteri keempat, jika demikian juga hendak diperbuat

melainkan jadi lawanlah patik keempat ini kepada tuanku, kerana

daripada zaman datuk nenek moyang tuanku pun tiada pernah mem-

bunuh makan hati darah orang

Penentangan secara terbuka terhadap Raja Bersiung sebagaimana yang telah diceritakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa telah berlakunya protes lisan sebelum berlakunya gerakan protes yang lebih agresif terhadap seorang pemerintah yang dianggap zalim. Kegagalan para menteri memujuk Raja Bersiung untuk menghentikan tabiat buruknya telah membawa kepada penentangan yang lebih hebat apabila menteri keempat dengan sokongan padu rakyat jelata telah menyerang istana dan cuba untuk membunuh Raja Bersiung. Peristiwa ini juga menggambarkan bahawa rakyat sememangnya telah lama menderita dan bersedia pada bila-bila masa untuk bangun menentang. Bagi mereka (rakyat jelata), inilah masanya untuk menzahirkan rasa hati yang selama ini terpendam akibat dikongkong oleh norma serta budaya masyarakat feudal pada waktu itu. Hal ini juga menggambarkan bahawa rakyat tidak punya kuasa dan kerana tidak mahu dianggap derhaka, maka menyokong gerakan protes yang dilakukan oleh menteri keempat adalah jalan terbaik merealisasikan impian mereka yang mahu melihat kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah dihentikan dengan serta merta.Dalam Hikayat Hang Tuah pula, kezaliman dan ketidakadilan Sultan juga dapat kita lihat telah menjadi sebab kepada penentangan yang dilakukan oleh Hang Jebat. Penentangan Jebat di dalam Hikayat Hang Tuah adalah jelas menunjukkan perasaan protes beliau terhadap Sultan yang menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah tanpa usul periksa. Hang Jebat yang diangkat oleh Sultan sebagai pengganti Hang Tuah dan diberi gelaran sebagai Paduka Raja telah mengambil peluang untuk menentang Sultan dengan cara mengambilalih dan menguasi istana. Ia tidak membenarkan sesiapapun masuk ke dalam istana, terutama mereka yang telah disyaki memfitnah Hang Tuah. Dari sehari ke sehari Hang Jebat menunjukkan sikap memberontaknya, dia bermukah dengan gundik Sultan dan akhirnya ia tinggal di istana dan tidak pulang-pulang ke rumahnya. Melihatkan keadaan yang telah berubah itu Sultan menjadi takut lalu di atas nasihat Tun Teja, baginda terpaksa berpindah ke rumah Bendahara.Peristiwa penentangan Jebat terhadap Sultan ini adalah merupakan sebagai satu bentuk penderhakaan. Tindakan berani Hang Jebat yang memprotes dan cuba menentang Sultan secara bersendirian tidak disanjung oleh masyarakat pada ketika itu, sekalipun telah terbukti bahawa tindakan yang dilakukan oleh Sultan terhadap Hang Tuah adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh baginda sendiri. Malah Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan disebalik itu Hang Tuah yang dibebaskan kemudiannya diangkat dan disanjung tinggi oleh masyarakat kerana ketaatan dan kesetiaannya terhadap Sultan melebihi segala-galanya.Selain Hang Tuah, watak Tun Berahim Bapa dalam Hikayat Raja-Raja Pasai juga diangkat dan disanjung tinggi oleh masyarakat sebagai wira yang menumpahkan taat setia kepada raja. Namun begitu jika ditinjau secara terpeinci, tindakan dan perbuatan Tun Berahim Bapa terhadap ayahandanya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal dapat kita kesan akan tindakan protes yang dilakukannya. Tindakan protes Tun Berahim Bapa terhadap ayahandanya bermula apabila Sultan Ahmad Perumal Perumudal menaruh perasaan berahi terhadap anak daranya sendiri , Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara. Apabila diketahui oleh Tun Berahim Bapa akan perkara ini maka beliau telah membawa kedua-dua orang adiknya itu lari ke Tukas. Tindakannya ini jelas bertentangan dengan kehendak Sultan dan oleh kerana itu Sultan Ahmad Perumal Perumudal amat marah terhadap Tun Berahim Bapa. Jelas bahawa tindakan Tun Berahim Bapa ini adalah satu bentuk protes terhadap hasrat hati ayahandanya yang ingin memperisterikan anaknya sendiri. Berbeza dengan watak Kampar dan Hang Jebat, walaupun tindakan Tun Berahim Bapa dalam Hikayat Raja-Raja Pasai ini jelas telah membangkitkan kemurkaan Sultan, namun tidak pula ia dianggap sebagai penderhaka kepada Sultan. Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh kedudukan Tun Berahim Bapa itu sendiri sebagai putera raja dan juga pendekar yang amat gagah dan telah banyak menabur bakti dan jasa terhadap negeri. Faktor kedua mungkin juga kerana tindakan Tun Berahim Bapa itu sendiri yang cuba mencegah kemungkaran yang hendak dilakukan oleh ayahandanya sendiri. Maka dapat kita katakan bahawa pengaruh serta kedudukan dan juga bentuk tindakan seseorang watak itu akan menentukan sejauh mana penilaian dan tanggapan masyarakat terhadap mereka. Walaupun terdapat unsur protes dalam peristiwa ini namun unsur ini kurang menonjol berbanding ketaatan dan kesetiaan yang diberikan oleh Tun Berahim Bapa kepada ayahandanya, Sultan Ahmad Perumal Perumudal.Protes Dalam Bentuk Penulisan

Kisah Pelayaran Abdullah merupakan hasil pengembaraan Abdullah Munsyi ke negeri-negeri pantai timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan pada pertengahan abad ke-19. Dalam Kisah Pelayaran Abdullah ini terdapat banyak kritikan yang merupakan satu bentuk protes dalam penulisan. Abdullah dalam pengembaraan tersebut telah melihat dengan mata beliau sendiri corak hidup serta adat resam yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di negeri-negeri tersebut. Menurut pandangan beliau, terdapat banyak kelemahan serta kekurangan dalam sistem sosial masyarakat feudal Melayu pada ketika itu. Lantaran itu dalam tulisan-tulisannya, Abdullah banyak mengkritik terutama terhadap pemerintah yang terdiri daripada raja serta pembesar-pembesar daerah dan tidak terkecuali rakyat jelata sendiri yang pada pandangannya terlalu naf serta menurut sahaja setiap peraturan-peraturan yang kurang menguntungkan mereka. Sifat sebegini nyata telah menyebabkan berlakunya kemunduran dalam masyarakat. Bagi Abdullah akar kelemahan ini ialah masyarakat yang mundur dalam pendidikan, khususnya di kalangan anak raja. Sebagaimana yang ditulis oleh beliau;Syahdan, maka adalah dalam antara sekalian perkara itu hanya satu

perkara yang menyesakkan dalam fikiran sahaya, iaitu jalan yang teramat

jahat sebab kekurangan pelajaran anak raja-raja itu tatkala ia kecil lagi.

Bahawa inilah akar segala kelemahan Kerajaan Melayu dan sengsara atas

segala rakyatnya.

Abdullah juga berpendapat bahawa kemunduran masyarakat Melayu pada ketika itu adalah kerana tidak mahu melakukan perubahan serta tidak mahu mengambil contoh-contoh daripada kemajuan negara-negara luar terutama budaya yang datangnya dari barat. Beliau mengibaratkan masyarakat Melayu pada ketika itu seperti katak di bawah tempurung yang terkongkong dengan adat dan budaya sendiri tanpa membuat perbandingan dengan kemajuan yang dibawa oleh tamadun luar.

Maka dalam fikiran sahaya yang bodoh lagi yang tiada mempunyai ilmu ini,

jikalau kekal adat dan pekerjaan dan kelakuan yang telah tersebut itu, maka

dapat tiada lama-kelamaan kelak sunyi dan rosak juga negeri Pahang, sebab

mereka itu sekalian mengaku dirinya saja pandai. Adapun sebab fikiran itu

kerana tiada mereka itu mahu menurut adat orang,lagipun tiada ia mempunyai

ilmu, menjadi semakin hari makin bodohnya bertambah, seperti katak di bawah

tempurung, adanya; maka adalah sangka katak itu tempurung itulah langit.

Satu perkara lagi yang sering menjadi bahan kritikan Abdullah dalam tulisan beliau adalah sikap pemerintah yang sering dianggapnya menindas dan menzalimi rakyat dengan berbagai tindakan yang memperlihatkan ketidakadilan mereka terhadap rakyat. Rakyat dikongkong dengan pemikiran bahawa tiada guna berusaha berlebih-lebih kerana hasil usaha mereka hanya akan menjadi habuan para pemerintah. Rakyat biasa hanya perlu berpuas hati dengan apa yang ada, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan juga menjadi salah mereka berkeadaan dan mempunyai pemikiran sedemikian kerana sebagaimana yang ditulis Abdullah;

Syahdan, adalah sebab segala perkara ini jadi, sebab aniaya rajanya dan tiada betul perintahnya. Maka pecahlah hati segala rakyat. Maka adalah pada fikir mereka itu, baiklah aku miskin demikian, tiada susah; dapat pagi makan pagi; dapat petang makan petang. Dan kalau ada berharta atau berumah baik atau berladang dan kebun besar, nescaya dicari raja sesuatu jalan, diambilnya dan dipinjamnya

atau dipintanya. Maka jikalau tiada diberi, dirampasnya dan kalau dilawan habis sekalian anak buah dibunuhnya dan didendanya.

Jelaslah di sini bahawa corak pemikiran masyarakat pada ketika itu amat terkongkong dengan segala bentuk tindakan dan perlakuan para pemerintah. Tambahan pula dengan wujudnya segala bentuk peraturan dan adat yang tidak menyebelahi rakyat, maka bertambahlah lagi pemikiran yang naf dan kehidupan yang daif di kalangan rakyat biasa. Perkara-perkara sebeginilah menjadi isu bagi Abdulah sepanjang pemerhatian beliau dalam pengembaraan yang beliau lalui. Beliau dalam karyanya banyak mengungkapkan dan melemparkan kritik pedas terhadap pemerintah Melayu pada ketika itu. Kebebasan beliau dalam berkarya tanpa sebarang sekatan adalah kerana beliau tidak terikat sebagai pujangga istana serta bebas daripada menjadi alat feudalism Melayu. Ini ditambah pula dengan hubungan langsung beliau dengan pihak pemerintah Inggeris yang boleh dianggapnya sebagai pelindung yang membuatkannya kebal terhadap sebarang tindakan mahupun hukuman daripada para pemerintah Melayu pada ketika itu.KesimpulanPeristiwa-peristiwa yang terdapat dalam cerita-cerita Hikayat Melayu Lama yang berkaitan dengan isu protes ini, membuktikan bahawa dalam masyarakat yang menekankan soal taat setia dan menghalang segala bentuk penderhakaan pun tidak berupaya untuk menghalang munculnya penentangan. Melalui kisah yang dipapar dalam hikayat lama ini dapat kita katakan bahawa penentangan sering berlaku andainya pemerintah tidak berlaku adil serta menzalimi rakyat dalam tindakan serta tindak-tanduknya. individu dari kalangan rakyat pula seringkali mengambil jalan yang mudah dengan cara merusuh, memberontak lalu mengamuk. Banyak kisah dalam hikayat yang memaparkan peristiwa amuk, antara yang popular adalah amukan Hang Jebat dalam Hikayat Hang Tuah; peristiwa yang sama namun watak Hang kasturi yang disebut dalam Sejarah Melayu. Jelasnya di sini bahawa amuk adalah merupakan satu cara seseorang individu mengzahirkan perasaan protes mereka terhadap sesuatu perkara mahupun terhadap individu lain.Protes yang dipaparkan dalam Hikayat yang ditulis oleh pujangga ataupun penulis istana biasanya agak terikat dengan sekatan-sekatan yang telah menjadi nilai budaya dalam masyarakat feudal. Mereka tidak berupaya memecahkan tradisi untuk mengkritik secara terbuka terhadap golongan berkuasa yang ternyata gagal dalam melaksanakan keadilan terhadap rakyat. Kritikan hanya akan disampaikan secara simbolis yang penuh dengan kiasan dan perumpamaan. Kesalahan pula biasanya akan diletakkan di atas bahu individu yang menentang golongan yang berkuasa. Namun begitu dalam kes Raja Bersiung, baginda seolah telah dibalas dengan hukuman masyarakat yang langsung membuangnya akibat daripada kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat. Protes yang ditunjukkan oleh penulis bebas pula lebih keras dan pedas sebagaimana yang dilakukan oleh Munsyi Abdullah. Penulis seperti Abdullah tidak merasa terikat dan terkongkong dalam penulisan mereka kerana tidak bernaung di bawah kuasa istana. Tambahan pula hubungan dengan pemerintah Inggeris telah menjadikan Abdullah tidak gentar dan berasa gusar untuk menulis secara jujur menurut rasa hati serta penilaian beliau sendiri. Mohd Isa Othman, Gerakan Protes Dalam Perspektif Sejarah Malaysia Pada Abad Ke-19 dan Awal Abad Ke-20, 2000, hlm. 1.

Kamus Dewan Edisi Baru,1989, hlm. 985

Op.cit. hlm.1

Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, 2001, hlm. 55

Ibid. hlm. 57

Ibid. hlm. 58

Mustafa Mohd Isa, Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih, 1999, hlm. 1

Mohd Isa Othman, Op. cit. hlm. 9

Siti Hawa Haji Salleh, Hikayat Merong Mahawangsa, 1998, hlm. 53

Ibid. hlm. 53

Kampar bukanlah rakyat di bawah pemerintahan Raja Bersiung. Ia datang dari sebuah tempat bernama Seri Gunung Ledang.

Ibid. hlm. 56

Mohd Isa Othman, Op. cit. hlm. 11

Ibid. hlm. 11

Kassim Ahmad, Kisah Pelayaran Abdullah, 1981, hlm.31

Ibid. hlm. 15

Ibid. hlm. 28

Mohd Isa Othman, Op. cit. hlm. 11

Ibid. hlm. 18

1