bincangkan gerakan gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

31
Bincangkan gerakan- gerakan politik di Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua. PENDAHULUAN Tugasan mengkaji gerakan-gerakan politik di Malaysia sebelum perang dunia kedua merupakan suatu yang menarik berbanding dengan Negara-negara jiran yang lain. Sebagaimana yang kita ketahui gerakan ini adalah begitu lambat sekali berbanding dengan Negara-negara jiran kita. Gerakan ini bermula agak lambat iaitu tahun 1906. Sedangkan Negara-negara jiran seperti Filipina telah bermula pada tahun 1872. 1 Sebagai mana yang kita ketahui,Perang Dunia Kedua bermula pada tahun 1939 apabila Jerman menceroboh Poland dan berakhir pada tahun 1945 di mana Jerman dan Jepun menyerah kalah. Dalam peperangan ini, gabungan paksi yang terdiri daripada Australia, Kanada, Britain, Perancis, Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan New Zealand telah mengalahkan gabungan tiga buah negara iaitu Jerman, Italy dan Jepun. Perang Dunia Kedua ini merupakan perang yang paling banyak mengorbankan nyawa. Jumlah 1 Yusoff Iskandar, Diskusi Sejarah. Pulau Pinang, Teks Publishing Sdn Bhd, 1979 Hlm-8 1

Upload: norazman-mohd-nor

Post on 24-May-2015

742 views

Category:

Documents


7 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Bincangkan gerakan- gerakan politik di Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua.

PENDAHULUAN

Tugasan mengkaji gerakan-gerakan politik di Malaysia sebelum perang dunia kedua

merupakan suatu yang menarik berbanding dengan Negara-negara jiran yang lain.

Sebagaimana yang kita ketahui gerakan ini adalah begitu lambat sekali berbanding dengan

Negara-negara jiran kita. Gerakan ini bermula agak lambat iaitu tahun 1906. Sedangkan

Negara-negara jiran seperti Filipina telah bermula pada tahun 1872.1

Sebagai mana yang kita ketahui,Perang Dunia Kedua bermula pada tahun 1939

apabila Jerman menceroboh Poland dan berakhir pada tahun 1945 di mana Jerman dan Jepun

menyerah kalah. Dalam peperangan ini, gabungan paksi yang terdiri daripada Australia,

Kanada, Britain, Perancis, Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan New Zealand telah

mengalahkan gabungan tiga buah negara iaitu Jerman, Italy dan Jepun. Perang Dunia Kedua

ini merupakan perang yang paling banyak mengorbankan nyawa. Jumlah tentera dan orang

awam yang mati dalam perang ini mencapai sehingga 56.4 juta orang. Poland sahaja

kehilangan kira-kira 6,028,000 orang atau 17.2% daripada jumlah keseluruhan penduduk

yang berjumlah 35,100,000 orang itu.2

Di Tanah Melayu pula, Jepun mula mendarat di Kota Bharu, Kelantan pada 8

Disember 1941.Mengapa Jepun menyerang Tanah Melayu? Jawapannya mudah, iaitu kerana

pada masa itu Britain musuhnya,menjajah Tanah Melayu. Ini bermakna gerakan-gerakan

1 Yusoff Iskandar, Diskusi Sejarah. Pulau Pinang, Teks Publishing Sdn Bhd, 1979 Hlm-8 2 http://www.42explore2.com/worldwar2.htm

1

Page 2: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

politik yang dimaksudkan di sini ialah gerakan politik sebelum tahun 1939, tahun di mana

Perang Dunia Kedua bermula di Barat dan tahun 1941 di Asia Tenggara.

Kesedaran politik bermula sejak manusia mengenal tamadun dan pengasasan institusi

berhubung dengannya. Berasaskan identiti politik sesuatu bangsa akan memperjuangkan

haknya. Dalam konteks Tanah Melayu (1900-1942) kesedaran politiknya mengikut pola

perkauman3.

KEGIATAN POLITIK MELAYU

Sejak awal lagi Inggeris mengambil sikap tegas menindas kebangkitan politik orang-

orang melayu. Inggeris juga dalam masa yang sama menjaga institiusi kesultanan yang

merupakan institusi politik terakhir yang dipelihara. Penghapusan kepada institusi pembesar

juga dibuat sekiranya ia dianggap mengancam dan diberi tekanan dihapuskan atau lembaga

tinggal pada nama sahaja. Sultan-sultan dijaga dengan baik walaupun kuasa politik dikuasai

sepenuhnya oleh British. Golongan bangsawan diberi jawatan dalam pentadbiran British.

Bagi golongan elit Melayu ini ianya sangat berkesan dan berjaya mengekang kesedaran

politik.

Orang Melayu dikekalkan dengan statusnya sebagai masyarakat kampung yang

menjalankan aktiviti kampung. Dasar pendidikan yang ada hanyalah untuk menjadikan orang

Melayu pandai sedikit dari bapanya,mungkin setakat boleh membaca ayat-ayat yang mudah.

Penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1922 adalah untuk melatih guru-guru

Melayu, tetapi dalam pada itu ianya menjadi landasan bagi intelek-intelek Melayu untuk

bersatu dan menjadi pejuang-pejuang kebangsaan

3 Mohd Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963),Selangor, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 2002 Hal-228

2

Page 3: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Para sejarawan biasanya membahagikan gerakan ini kepada 3 tahap iaitu : Tahap

Pertama …. 1906-1926,

Tahap Kedua ……..1926-1937

Tahap Ketiga……....1937-1940

Dalam membincangkan gerakan politik Melayu sebelum Perang Dunia Kedua

didapati tiga golongan pemimpin yang memainkan peranan penting.4

a) Kumpulan berpendidikan agama yang terpengaruh dengan gerakan islah.

b) Inteligensia berpendidikan Melayu.

c) Kumpulan Birokrat berpendidikan Inggeris terutama daripada golongan elit

Tradisional.

Ini juga bermaksud perbincangan harus dimulakan dengan gerakan politik yang

paling awal di Malaysia. Gerakan politik ini pula ada kaitannya dengan semangat

nasionalisme iaitu penentangan orang-orang tempatan terhadap kuasa penjajah dan gerakan

politik mengikut kaum di Tanah Melayu. Sebelum kita pergi jauh kepada kesedaran

berasaskan keagamaan, kita lihat dulu sejarah awal kuasa Barat di Malaysia.

SEJARAH AWAL KUASA BARAT

Sebelum pendudukan kuasa asing di Malaysia, gerakan-gerakan politik di Tanah

Melayu tidak begitu menonjol atau tidak dicatat dengan jelas. Asas gerakan politik ini boleh

dikatakan bermula semasa Portugis mula menguasai Melaka pada tahun 1511. Kemerosotan

dan kejatuhan empayar Melaka telah membangkitkan semangat perjuangan orang-orang

4 W.R Roff, The Origin of Malay Nationalism,1980, hal.254

3

Page 4: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Melayu untuk mendapatkan kembali hak mereka dari tangan bangsa asing tersebut.

Perjuangan ini telah mengakibatkan pertumpahan darah dan telah mengorbankan banyak

nyawa. Matlamat utama perjuangan ini pula adalah untuk mendapatkan semula wilayah atau

tanah yang dijajah. Pada ketika itu, disebabkan kepentingan peribadi, tidak semua

masyarakat yang mendiami Melaka mempunyai semangat nasionalisme yang sama misalnya

golongan Tamil dan Keling. Malahan ada yang membelot dengan memberi bantuan kepada

Portugis terutamanya dari golongan saudagar.5

Memang benar menurut catatan sejarah bahawa pemerintah terakhir Melaka

mendapat bantuan daripada askar upahan Gujerat dan Jawa tetapi askar-askar ini juga tidak

mempunyai semangat nasionalisme. Maknanya di sini, perjuangan tetap berlaku walaupun

hanya satu daripada banyak bangsa yang ada di Melaka pada ketika itu. Ibrahim Mahmood

(1981: 1-2) menjelaskan “ Bangsa Melayu adalah bangsa yang berbaka pahlawan. Bangsa

Melayu juga adalah bangsa yang taat setia, pantang derhaka, kepada raja. Begitu juga

bangsa Melayu adalah satu bangsa yang cinta keamanan dan perdamaian tetapi jika

diserang, pantang undur “. Sejak Melaka ditawan oleh Portugis, orang-orang Melayu yang

berundur ke Johor tidak putus-putus mengganggu kapal-kapal perdagangan Portugis di

perairan Selat Melaka. Dalam ‘ Sejarah Melayu ‘ ada menyatakan peranan Laksamanan

Hang Nadim sebagai wira yang banyak mengetuai serangan ke atas tentera Portugis. Pada

tahun 1641, Melaka bertukar milik kepada Belanda. Belanda kemudiannya menyerahkan

Melaka kepada Britain setelah Napoleon dari Perancis menguasai Holand. Britain dengan

perlahan-lahan meluaskan pengaruhnya ke negeri-negeri Melayu lain bermula dari Pulau

Pinang pada tahun 1786. British yang bertapak di Negeri-Negeri Selat, mula melaksanakan

dasar perluasan kuasanya ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

5 Abdul Rahman Abdullah, Sejarah dan Temadun Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors, 2003. hlm 356

4

Page 5: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

GERAKAN ANTI PENJAJAH OLEH ORANG MELAYU

Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua boleh dikatakan sebagai negeri yang

tidak ada politik iaitu tidak ada parti politik dan pilihanraya. Sungguhpun tidak ada gerakan

politik di Tanah Melayu kerana politik memang tidak diberi tempat di Tanah Melayu,6

namun, sejarah menunjukkan yang rakyat negara ini sanggup untuk berjuang dan berkorban

nyawa dalam usaha menghalau penjajah dari tanah air. Gerakan-gerakan ini telah bermula

sejak dari penguasaan Portugis ke atas Melaka. Di sinilah titik tolak mulanya penjajahan

kuasa barat dan timur di Malaysia. Di sini, perbincangan akan menyentuh tentang gerakan-

gerakan anti penjajah atau gerakan anti Kolonialisme.

Gerakan ini berjalan di seluruh negeri di Tanah Melayu antaranya ialah perjuangan

menentang Inggeris di Negeri Sembilan.Inggeris mula campur tangan di Negeri Sembilan

sekitar tahun 1875-1876, Perebutan kuasa dikalangan pemerintah dan para pembesar telah

memberi ruang kepada Inggeris untuk menawarkan bantuan. Melalui perjanjian yang

dimeteraikan pada tahun 1876 dengan Tengku Antah sebagai Yam Tuan Besar Seri Menanti

telah membolehkan Inggeris meluaskan jajahannya di Negeri Sembilan.

Tindakan British masuk campur dalam hal ehwal orang Melayu, dan keinginan untuk

merampas Naning di samping mengenakan cukai yang tinggi pada tahun 1831 telah

membangkitkan semangat anti penjajah dalam kalangan penduduk tempatan. Dol Said

sebagai Penghulu Naning pada ketika itu telah diisytiharkan sebagai penderhaka. Seramai

150 orang askar dihantar untuk menangkap Dol Said tetapi gagal kerana angkatan ini berjaya

ditewaskannya dengan menggunakan taktik yang baik. Akibat dari kekalahan itu British

berpakat dengan Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau dan hasilnya British berjaya

6 Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1981. hlm 17

5

Page 6: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

menawan Naning. Walaupun menang dalam peperangan itu tetapi British rugi sebanyak 100

000 Paun Sterling. Walaupun penduduk Naning gagal dalam mempertahankan wilayah

mereka namun mereka berjaya membakar semangat juang yang berterusan dalam kalangan

bangsa Melayu.

Di Selangor pula gerakan ini diketuai Raja Mahadi dan Pembesar-pembesar

tempatan. Penentangan ini disebabkan perlantikan Tengku Kudin sebagai Wizurai Selangor

oleh Residen Inggeris di Selangr iaitu J.G Davidson. Walaupun peperangan tersebut berlaku

di antara orang-orang Melayu namun disebabkan Inggeris memberi sokongan kepada

Tengku Kudin maka peperangan itu bolehlah dianggap sebagai usaha dan langkah pihak

Inggeris untuk cuba memperkukuhkan jajahannya di Selangor

Perjanjian Pangkor 1874 telah membolehkan Inggeris menguasai Perak apabila

J.W.W Birch dilantik sebagai Residen pertama dan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak

yang sah. Walau bagaimanapun, akibat daripada campur tangan Birch dalam hal ehwal dan

adat istiadat orang-orang Melayu serta banyak lagi faktor lain, telah menyebabkan

kebangkitan orang-orang Melayu untuk menentang Inggeris. Di bawah pimpinan Datuk

Maharaja Lela, penyokong-penyokongnya telah membunuh Birch di Pasir Salak. Siri

peperangan terus berlaku dan akhirnya Maharaja Lela dan Tok Sagor ditewaskan, ditangkap

dan dihukum gantung.

Penentangan Inggeris di Kelantan sering dikaitkan dengan peristiwa pemberontakan

Tok Janggut pada tahun 1915. Manakala penentangan Inggeris di Terengganu pula dikenali

sebagai Pemberontakan Tani dalam tahun 1928 yang diketuai oleh seorang ulama bernama

Haji Abdul Rahman Limbong. Punca kemarahan penduduk kedua-dua pemberontakan

tersebut adalah sama iaitu faktor cukai yang dikenakan kepada penduduk.

6

Page 7: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Di Kedah pula gerakan anti kolonialisme ini kebanyakannya diperjuangkan oleh

penduduk-penduduk tempatan. Misalnya, Pendudukan Siam di Kedah pada tahun 1820an

telah mendapat tentangan yang sangat hebat dari penduduk Kedah di bawah pimpinan Sultan

Ahmad Tajuddin. Selain itu, pejuang-pejuang lain seperti Tunku Abdullah, Tunku Syed

Zainal Abidin, Tunku Long, Tunku Muhammad Saad, To Mo Ris, dan pemimpin agama

seperti Syeikh Abdul Kadir turut membantu pemimpin-pemimpin lain untuk membebaskan

kedah daripada jajahan Siam. Siam yang mendapat bantuan daripada British akhirnya berjaya

menawan Kedah selanjutnya memerintah Kedah selama lebih kurang 20 tahun.7

Di Sabah dan Sarawak berlaku juga penentangan terhadap Brooke, Rentap menentang

pemerintahan keluarga Brooke kerana Brooke menganggap orang Iban sebagai lanun.

Tindakan James Brooke yang menghapuskan penempatan orang Iban di Sungai Skang telah

mencetuskan kebangkitan Rentap. Peperangan terus berlaku pada tahun 1853, 1854, 1857,

1858 dan akhirnya pada tahun 1862 yang menyebabkan Rentap berundur dari Bukit Sadok.

Untuk kepentingan dan mengelakkan penderitaan pengikut-pengikutnya, Panglima Rentap

telah menyerah diri secara aman pada tahun 1862. Kebangkitan Rentap dan pengikutnya

menentang pemerintahan Brooke membuktikan mereka bukannya lanun tetapi pejuang

bangsa.

Pemerintahan dan dasar pentadbiran Brooke di Sarawak menimbulkan kemarahan

pembesar Sarekei di kawasan Sungai Rejang. Pada tahun 1855, Sharif Masahor telah

mengetuai 150 buah perahu menyerang Mukah dan mengusir Pangeran Matusin yang

menyokong dasar perluasan kuasa James Brooke. Selepas itu pada tahun 1860, Sharif

Masahor, Temenggung Hashim dan Dato Patinggi Abdul Ghafur dari Sadong membuat

7 Zainal Abidin Abdul Wahid et al, Malaysia: Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996. hlm115

7

Page 8: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

pakatan sesama mereka untuk menyerang Kuching di mana pusat pentadbiran Brooke

beroperasi .

Walaupun perjuangan Sharif Masahor berjaya dipatahkan namun gerakan-gerakan

menentang kerajaan Brooke tidak pernah berakhir. Dalam tahun-tahun 1930an, sebuah

akhbar bertajuk “Fajar Sarawak” telah diterbitkan. Pada tahun 1939, Rakawi Bin Yusuf

telah menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak agar golongan kebangsaan dapat

menyumbangkan idea dan pemikiran. Pada tahun berikutnya, Abang Haji Zaini, Edham Bin

Bojeng, dan Mohd Maamar Bin Nor telah menghadiri Kongres Kedua Persatuan Melayu di

Singapura untuk mewujudkan satu persatuan politik yang meliputi negeri-negeri Melayu,

Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah.8 Gerakan-gerakan ini timbul atas kesedaran golongan

kebangsaan bahawa perlu adanya satu gagasan untuk menyatukan semua negeri-negeri

tersebut.

. Di Pahang pula penentangan terhadap penjajah berlaku sekitar 1891 hingga 1895. J.P

Rodger yang dilantik sebagai Residen Pahang pada tahun 1888 telah memperkenalkan

jawatan “Pemungut dan Majistret”.Para pembesar telah kehilangan mata pencarian daripada

cukai. Antara pembesar-pembesar yang bangun menentang pentadbiran baru ialah Tok

Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Perjuangan mereka ini telah melahirkan semangat

menentang Inggeris yang berkobar-kobar dalam kalangan penduduk tempatan. Antara

tindakan mereka ialah menyerang balai polis di Kuala Tembeling dan menawan kubu

Inggeris di Jeram Ampai.

Di Sabah Inggeris memperkenalkan cukai yang terlalu tinggi untuk tujuan

pembanguan tetapi ini semua mendatangkan kesusahan kepada penduduk tempatan, dan

8 _____________, Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia, 1991. hlm 360-361

8

Page 9: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

menghalang kebebasan para pembesar tempatan. Mat Salleh adalah pahlawan Sabah dan

pembesar hulu Sungai Sugut yang melancarkan serangan besar-besaran terhadap Kompeni

Berpiagam Inggeris. Beliau sukar ditewaskan kerana pengaruhnya besar ketika itu. Pada

tahun 1897, Pelabuhan Kompeni di Pulau Gaya telah dimusnahkan oleh Mat Salleh. Gerakan

menentang Inggeris di Sabah berlarutan di pedalaman Sabah. Misalnya pada tahun 1915,

orang-orang Murut telah menyerang dan membakar kubu Inggeris di Rundum dan

Pensiangan. Pada ketika itu, orang-orang Murut diketuai oleh Antanum.

GERAKAN TAHAP PERTAMA 1906-1926

Dalam tahap pertama, gerakan sosio politik orang melayu di pelopori oleh bekas-

bekas penuntut yang pernah menuntut di Asia Barat. Ramai sejarawan mengakui bahawa

gerakan kesedaran daripada golongan agama ini dicatat sebagai gerakan yang terawal muncul

dalam sejarah perkembangan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Gerakan ini muncul

dalam awal abad ke 20. Antara tokoh-tokoh yang mempelopori gerakan ini ialah Syed Sheikh

Al-Hadi, Sh. Mohd Salim Al-Khalili dan Syed Sh. Tahir Jalaluddin.

Terdapat dua kaedah penting gerakan islam menyebarkan ide dan fahaman mereka

kepada penduduk Tanah Melayu. Kaedah tersebut melalui pendidikan dan kedua menerusi

media cetak.Ada juga usaha dibuat untuk mempengaruhi kerajaan dengan bekerja sebgai

pegawai agama tetapi kaedah ini kurang berkesan bahkan diragui oleh majikan mereka.

Golongan para ulama Islah ini bukan sahaja mengajar di rumah,masjid, surau tetapi turut

membuka sekolah agama mengikut system formal. Syed Sheikh Al-Hadi membuka

madrasah yang pertama di Singapura pada tahun 1908 dan dikenali sebagai Madrasah al-

Iqbal al-islamiyah dan banyak lagi dibuka di negeri lain tetapi tidak semuanya mencapai

9

Page 10: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

kejayaan dan mendapat sambutan rakyat. Di Melaka misalnya, fahaman Kaum Muda

tidaklah begitu popular terutamanya selepas kematian Haji Bacik (1936) 9

Walaupun dikatakan golongan ini menyentuh banyak soal-soal agama dalam

perjuangan mereka namun ia juga sebenarnya telah banyak membangkitkan semangat

perjuangan politik orang-orang Melayu. Kesedaran mereka telah mula tumbuh sejak mereka

menuntut di Asia Barat lagi dan dua perkara yang menyebabkan timbulnya kesedaran keatas

mereka. Pertama ialah pengaruh pendidikan islam dengan pendekatan baru yang di terima

oleh mereka dibawah asuhan reformis islam yang terkenal, Muhd Abduh, yang mana beliau

menekankan perlunya orang-orang islam yang dijajah bangun membebaskan negara mereka.

Kedua, kedudukan rantau Asia Barat di mana mereka menuntut itu sangat terdedah

kepada berita-berita kegiatan Negara seluruh dunia akibat pembukaan Terusan Suez.

Lantaran itu segala perjuangan nasionalisme di merata Negara mudah diikuti oleh mereka

dan seterusnya mempengaruhi cara bertindak mereka.

British tidak mencampuri hal-ehwal agama islam dan adat istiadat Melayu secara

langsung. Kebanyakan buah fikiran dan idea-idea reformasi diiterbitkan melalui akhbar-

akhbar dan majalah seperti Al Imam yang diterbitkan pada tahun 1906. Pengalaman yang

mereka dapat telah digunakan dan kita dapat melihat perjuangan mereka telah dimulai

dengan mengeluarkan akhbar sebagai medan perjuangan dan ini merupakan langkah yang

bijak kerana ianya boleh diikuti oleh sesiapa saja, dimiliki dengan harga yang murah dan

tersebar dengan mudah ke mana saja.

Pengisian berbentuk agama Kaum muda ini yang terdapat dalam akhbar mereka

dengan saranan pembaharuan sikap terhadap cara hidup, ekonomi dan politik serta diselitkan

9 Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963),2002,hlm 233,hlm 232.

10

Page 11: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

dengan kritikan terhadap golongan feudal Melayu yang pada pendapat mereka adalah punca

segala kemunduran Bangsa Melayu, ”Janganlah tertipu kamu dengan angkatan dan pangkat

gelaran pembesar-pembesar kamu kerana itulah asal segala bala yang telah menimpa ke atas

kamu….. dan mereka itulah sebesar-besar penolong segala bangsa yang telah menindih

kamu…..” (al-Iman). Golongan ini juga mengkritik para pemimpin negeri yang disifatkan

sebagai golongan yang mementingkan diri dan tidak prihatin kepada keadaan rakyat

bawahan.

Walau bagaimanapun, W. R Roff berpendapat bahawa al-Imam lebih banyak

memberi perhatian utamanya kepada aspek-aspek agama berbanding dengan sosial dan jauh

sekali daripada perubahan politik. Terdapat dua golongan yang tidak sealiran pendapat dalam

gerakan ini iaitu Kaum Muda (tokoh-tokoh Islah Islam) dan Kaum Tua (para ulama dan elit

tradisional Melayu). Bagi kaum Muda, mereka mahu orang-orang Islam bangkit dari

kelalaian dan kelekaan mereka seterusnya berusaha memajukan diri dan masyarakat dengan

bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal. Namun begitu perjuangan mereka

agak mengecewakan, hakikat sesuatu yang baru itu susah untuk menembusi benteng tradisi

tetapi ianya berjaya membuka mata orang-orang Melayu.

Terdapat empat faktor yang membatasi gerakan – gerakan Kaum Muda ini.10 Faktor

pertama ialah tingkat pemikiran orang Melayu pada masa itu masih rendah dan belum

mampu membuat tinjauan yang mendalam terhadap apa yang disarankan oleh Kaum Muda

ini. Faktor kedua pula ialah pandangan Kaum Muda ini bertentangan dengan Kaum Tua, oleh

itu pendapat pendapat Kaum Kuda sentiasa disangkal dan sudah tentu masyarakat Melayu

yang sudah lama bergantung pada ulama-ulama dari kaum tua akan menyokong Kaum Tua

dan segala idea Kaum Muda tidak mendapat perhatian.

10 Yusoff Iskandar, Diskusi Sejarah. Pulau Pinang, Teks Publishing Sdn Bhd, 1979 Hlm 10

11

Page 12: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Ketiga, sikap kritis para pejuang dari Kaum Muda yang menyelar aristokrat Melayu

yang suka membiarkan nasib Melayu ditentukan oleh kaum mendatang telah menyebabkan

orang Melayu yang amat menghormati dan memandang tinggi golongan bangsawan tidak

memberi perhatian kepada perjuangan mereka. Mereka dipandang serong oleh orang Melayu

ini.

Keempat, strategi mereka tidak berubah, perjuangan yang hanya menyeru dari jauh

yang meminta rakyat merubah nasib mereka tanpa mengubah dari dalam dengan berbincang

bersama pihak berwajib tentang rancangan pembaharuan mereka atau sekurang-kurangnya

menghantar memorandum kepada pihak-pihak berkenaan bagi menuntut agar diperbaiki

nasib bangsa Melayu.

GERAKAN TAHAP KEDUA 1926-1937

Jika pada tahap pertama perjuangan orang Melayu dengan pelbagai ragam

oleh sekumpulan orang-orang perseorangan dengan menggunakan media cetak iaitu majalah

dan akhbar sebagai media. Buat pertama kalinya terbentuk satu organisasi walaupun pada

awalnya berbentuk kenegerian dan ada juga yang berbentuk nasional. Rata-rata mereka ini

adalah berpendidikan Inggeris dan Melayu.

Semangat kebangsaan terus ditiupkan kepada penduduk tempatan melalui persatuan-

pesatuan dan kelab-kelab. Antara persatuan dan kelab tersebut termasuklah Kesatuan

Melayu Singapura yang ditubuhkan oleh Eunos Bin Abdullah pada tahun 1926. Matlamat

utama kesatuan ini ialah menggalakkan orang-orang melayu melibatkan diri dalam

pemerintahan. Persatuan Melayu Semenanjung yang ditubuhkan pada tahun 1930 tidak

mendapat sambutan kerana semangat kenegerian dalam kalangan penduduk tempatan amat

12

Page 13: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

kuat. PMP atau Persatuan Melayu Perak yang ditubuhkan pada 1937 oleh Wan Mohd Nor

Bin Wan Nasir bertujuan untuk meninggikan taraf ekonomi pendidikan orang-orang

Melayu.

Pada tahun 1938 pula, Kesatuan Melayu Selangor ditubuhkan oleh Tengku Ismail

Tengku Mohd Yassin dengan matlamatnya iaitu mendesak orang Inggeris menambah

bilangan orang Melayu dalam pentadbiran dan memperbaiki taraf pendidikan , sosial, dan

ekonomi orang-orang Melayu. Pada tahun 1938, Ibrahim Yaacob telah menubuhkan

Kesatuan Melayu Muda di Kuala Lumpur. Kebanyakan ahlinya terdiri daripada golongan

terpelajar.

Seorang lagi tokoh pejuang Melayu dalam tahap kedua ini ialah Datuk Onn Ja’afar.

Beliau dianggap tokoh paling radikal di zamannya. Beliau pernah menyelar British dan dasar

yang dijalankan oleh mereka. Medan perjuangannya ialah akhbar terbitannya sendiri bersama

Muhd Hashim Yunus-WARTA MALAYA. Kemudian beliau menerbitkan pula LEMBAGA

MALAYA. Melalui akhbar-akhbar ini beliau membuat selaran dan bidasan teradap dasar

yang dijalankan oleh Inggeris dan menuntut perubahan terhadap taraf sosio-politik dan

ekonomi bangsa Melayu. Matlamatnya ialah untuk menggabungkan semua negeri Melayu,

memperjuangkan hak kepentingan orang-orang Melayu, mengguling Inggeris,

memperjuangkan kemerdekaan tanah Melayu dan memperjuangkan penyatuan Tanah

Melayu dengan Indonesia. Sifat kesatuan yang agak radikal ini telah membimbangkan

Inggeris lalu menangkap pemimpin-pemimpinnya.

Pada tahun 1926 lahir satu gerakan sosio-politik Melayu yang agak berbeza dari yang

lepas-lepas. Kali ini aktiviti perjuangan disalurkan melalui bentuk oranisasi. En. Yunus

Abdullah telah memimpin sebuah Kesatuan yang bernama Kesatuan Melayu Singapura.

13

Page 14: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Ditubuhkan atas dasar kesedaran dalam memperjuangkan nasib orang-orang Melayu jati di

Singapura. Selepas itu tertubuhlah banyak kesatuan di negeri –negeri di Semenanjung Tanah

Melayu, antaranya Kesatuan Melayu Selangor, Kesatuan Melayu Pahang dan Kesatuan

Melayu Melaka. Semuanya ini ditubuhkan untuk membela nasib Melayu. Perjuangan politik

untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya pada masa itu masih asing lagi bagi mereka.

GERAKAN TAHAP KETIGA 1937-1940

Gerakan Nasionalis di Indonesia juga menjadi sumber ilham bagi golongan ini. Malah

terdapat gerakan secara langsung pejuang-pejuang kebangsaan Indonesia dengan gerakan kiri

Melayu. Dari masa kesemasa tokoh-tokoh ini termasuklah Tan Melaka, Alimin Musso,

Jamaluddin Tamin dan Subakat ddatang ke Tanah Melayu. Terdapat juga agen-agen Jepun

menyebarkan “Pan-Asianisme”. Dakyah ini penting dalam menaikkaan semangat anti-

Barat.11

Penubuhan Maktab Sultan Idris Tanjung Malim bukan saja melahirkan tenaga

pengajar tetapi disitulah tempat bercambahnya gerakan nasionalis. Tan Melaka pernah

membuat hubungan dengan 35 orang penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris yang dipimpin

oleh Ibrahim Yaakop pada awal tahun 1930. Hasilnya tertubuhlah Persatuan Belia Malaya

yang dicontohi dari badan-badan belia di Jawa dan Sumatera. O.T Dussek yang menjadi

pengetua maktab pernah menyebut pada tahun 1939, MPSI sebagai “Benih universiti

vernacular”.

11 Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963),2002,hlm 233.

14

Page 15: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Berbeza dari kegiatan-kegiatan yang ditubuhkan oleh nasionalis sebelumnya, di SITC

organisasi yang ditubuhkan mempunyai motif yang jelas dari segi politik kerana motif

penubuhannya adalah untuk menyedarkan rakyat Malaya dan Borneo betapa mustahaknya

mencapai kemerdekaan dalam satu lingkungan Negara besar seperti Indonesia Raya atau

Malaysia Raya. Ringkasnya Ikatan Pemuda Pelajar yang ditubuhkan pada tahun 1929 dan

Ikatan Semenanjung-Borneo yang ditubuhkan pada tahun 1930 mempunyai cita-cita

perjuangan kearah mencapai kemerdekaan.

Perjuangan Ibrahim bersama-sama rakannya tidak mendatangkan natijah dalam masa

yang pendek atau segera. Rancangan semasa menuntut direalisasikan pada tahun 1937

apabila Ibrahim dan beberapa rakan sekolejnya telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda.

Satu turning-point telah berlaku dalam corak perjuangan orang Melayu melalui kesatuan ini

dan inilah tahap yang ketiga dalam perjuangan mereka.

Sebelum pendudukan Jepun beberapa pemimpin Kesatuan Melayu Muda telah

ditangkap oleh British tetapi telah dibebaskan oleh pentadbiran tentera Jepun. Slogan Asia

Raya dan Daerah Kemakmuran Asia Raya yang dilaung-laungkan oleh Jepun menjadi tarikan

Golongan nasionalis Radikal ini. Janji Jepun untuk membebaskan Asia daripada belenggu

penjajah Barat juga telah merapatkan hubungan Ibrahim dengan pihak Jepun.

KEGIATAN POLITIK KAUM CINA DAN INDIA

Gerakan politik orang Cina di Malaysia bolehlah dianggap palig awal berbanding

dengan gerakan bangsa-bangsa lain. Perkara ini berlaku sejak tahun 1895 lagi. Tetapi

gerakan ini berkiblatkan ke China atau tegasnya kegiatan politik dikalangan orang-orang

15

Page 16: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Cina mencerminkan perkembangan politik di negeri China.Semangat kebangsaan orang-

orang Cina berlandaskan kepada pergolakan yang berlaku di negeri China. Sementara orang-

orang India meletakkan semangat kebangsaan mereka kepada perkembangan politik di India.

Gerakan politik orang-orang Cina di Tanah Melayu dipengaruhi oleh perjuangan

Kuomintang di China. Gerakan politik dalam kalangan orang-orang Cina hanya ketara

selepas Perang Dunia Kedua. Oleh itu, tidak banyak maklumat berkaitan dengan

perkembangan mereka. Namun apa yang jelas jika dibandingkan dengan bangsa Melayu,

orang-orang Cina begitu aktif dalam kegiatan politik di tahun-tahun akhir 1920an.

Sebilangan kecil orang-orang Cina sudah mula memikirkan tentang masa depan politik

mereka di Tanah Melayu. Menurut Profesor Khoo Kay Kim, “ Kebanyakan mereka lahir di

sini dan terperangkap dalam peperangan. Mereka tidak dapat menolak begitu sahaja seruan

pejuang kebangsaan Cina, sedangkan mereka telah begitu terpengaruh dengan keadaan

sekeliling yang baru, sehinggakan mereka tidak dapat memastikan dimanakah letaknya

kesetiaan mereka ”. Maksudnya cukup jelas iaitu setelah lama mendiami negeri ini dengan

memperolehi kemajuan ekonomi, sudah pasti negeri ini memerlukan perlindungan politik.

Oleh sebab inilah beberapa orang daripada mereka melaungkan suatu dasar yang dapat

memberikan mereka kedudukan politik yang setaraf dengan orang Melayu dan berganding

bahu untuk melindungi Tanah Melayu.

Bagi orang-orang India pula, Persidangan pertama kaum India di seluruh Tanah

Melayu pertama kali diadakan pada tahun 1928. Namun persidangan ini hanya menyentuh

tentang masalah kaum buruh sahaja. Apa yang jelas di sini orang-orang India amat membenci

Inggeris kerana mereka terpaksa menjadi buruh ladang kepada orang-orang Inggeris di

samping menjadi buruh pembinaan. Apabila Nehru buat pertama kalinya mengunjungi negeri

16

Page 17: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

ini, sentimen anti British semakin menebal dalam kalangan masyarakat India.12 Persatuan

Belia India adalah persatuan pertama kaum ini.

Diikuti pada tahun 1937, Dr. A.W Soosay telah mengasaskan The Central Indian

Association of Malaya atau Persatuan India Pusat Tanah Melayu (CIAM) dengan matlamat

untuk menjaga kepentingan masyarakat India dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Penubuhan ini adalah ekoran dari lawatan Nehru ke Malaya pada tahun itu. Tetapi pada masa

itu, orang-orang India tidak menjadi pejuang sayap kiri Cina dan Melayu dalam usaha

menentang pihak Inggeris di Tanah Melayu.

Dengan tertubuhnya CIAM maka babak perkembangan politik Tanah Melayu

menambah satu lagi adegannya khususnya kepada perkembangan kegiatan politik orang-

orang India di Malaysia. CIAM adalah satu-satunya parti politik orang India di Tanah

Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Inilah titik tolak dimana pengaruh gerakan

kebangsaan di India pada masa itu telah menular ke masyarakat India Tanah Melayu dan

dengan itu meninggalkan kesan yang nyata dalam gerakan sosio-politik dikalangan orang-

orang India di Malaysia.

GERAKAN POLITIK MELALUI MEDIA

Laungan kata-kata semangat, ceramah-ceramah berita dari mulut kemulut dan khabar

angin kadang-kadang tidak tepat dan tidak sampai terus kepada rakayat dan orang ramai.

Walaupun hanya sepotong ayat di atas secebis kertas kadang-kadang boleh membangkitkan

12 Profesor Datuk Zainal Abidin Wahid, Sejarah Malaysia Sepintas Lalu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983. hlm 107

17

Page 18: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

semangat rakyat dan mengerakkan mereka kearah kebangkitan menentang penjajah. Dalam

hala ini perjuangan melalui karya tidak kurang hebatnya.

Media telah menjadi alat penyalur atau penyebar berita daripada tokoh-tokoh

pemimpin dan rakyat. Akbar berperanan melaporkan kegiatan persatuan dan ini mengiatkan

lagi persatuan dan ini memberi semangat kepada para nasionalis untuk membuat laporan

persatuan. Malah ada persatuan yang mengeluarkan majalah sendiri.

Majalah guru yang telah diterbitkan oleh Gabungan Kesatuan Guru-guru Negeri

Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada tahun 1924 secara jelas memperkatakan soal

politik dan menekankan kepentingan Melayu bersatu untuk kepentingan ekonomi dan

social.13

Antara akhbar-akhbar tempatan yang terawal termasuklah Al-Imam (1906) bertujuan

digunakan oleh Kaum Muda untuk menyuarakan idea mengenai pembaharuan. Saudara

(1928), kandungannya adalah tertumpu kepada seruan menggalakkan rakyat supaya

memajukan diri. Majlis (1935) merupakan akhbar tempatan pertama di Malaysia mendesak

agar Inggeris melindungi hak-hak orang Melayu. Akhbar-akhbar lain yang wujud sebelum

Perang Dunia Kedua termasuklah Warta Malaya, Utusan Melayu dan Warta Sarawak.

KESIMPULAN

Jelaslah pada kita sekarang bahawa telah wujud gerakan-gerakan politik di Malaysia

dari awal lagi iaitu sebelum perang dunia kedua. Kebangkitan semangat kebangsaan di

kalangan penduduk tempatan banyak dipengaruhi oleh pihak luar. Gerakan kebangsaan

13 Abd . Latif Abu Bakar , Akhbar, Desentralisasi dan Persatuan Negeri Melayu, dalam Khoo Kay Kim (Penyelenggaraan) Sejarah Masyarakat Melayu Moden, 1984,hlm 130, dalam Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963),2002,hlm 235.

18

Page 19: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

sebelum Perang Dunia Kedua banyak menerima pengaruh daripada kejayaan Jepun

mengalahkan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun, perjuangan Indonesia menentang Belanda,

Gerakan Turki Muda dan Gerakan Pemulihan Islam di Mesir.

Gerakan-gerakan politik yang dijalankan oleh kaum-kaum yang ada di Malaysia pada

masa itu bukannya untuk kemerdekaan tetapi untuk menyedarkan rakyat dan menyelar

pemerintahan penjajah. Setiap kaum yang ada, juga bergerak untuk kepentingan kaum-kaum

itu sendiri dan aliran pemikiran masing-masing yang masih berkiblatkan negara asal dan

tempat ilmu mereka diambil. Pada masa itu belum ada bibit-bibit perpaduan kearah

kemerdekaan.

BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Abdullah, 2000, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Andaya B.W & Andaya L.Y ,1983. Sejarah Malaysia, Petaling Jaya: Macmillan.

Asnarulkhadi Abu Samah / Jayum A. Jawan, 1997. Kenegaraan Malaysia, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia .

Azmah Abdul Manaf, 2003, Kemunculan Malaysia Moden, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors / USM.

19

Page 20: Bincangkan gerakan  gerakan politik di malaysia sebelum perang dunia kedua

Azmah Abdul Manaf, 2004, Sejarah Politik Malaysia Moden: Modul 2 & 3, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia.

Cheah Boon Kheng, 2004, Malaysia Tradisional, Pulau Pinang: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia.

Ibrahim Mahmood, 1981, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Mohd Isa Othman, 2002, Sejarah Malaysia (1800-1963),Selangor, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Profesor Datuk Zainal Abidin Wahid, 1983, Sejarah Malaysia Sepintas Lalu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

Sheela Abraham, 1993, Sejarah Perkembangan Negara, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Yusoff Iskandar, 1979, Diskusi Sejarah. Pulau Pinang, Teks Publishing Sdn Bhd,

Zainal Abidin Abdul Wahid et al, 1996, Malaysia Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

___________, 1991, Malaysia Kita, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia.

20