siasah 1.docx
TRANSCRIPT
TANYALAH USTAZ - SIASAH ISLAM - NO: 1
Assalamualaikum Ustaz. Saya ada dua soalan untuk ditanyakan pada ustaz, mohon penjelasan;
1. Merujuk kepada kolum ustaz iaitu siasah Islam iaitu politik Islam, pada pengetahuan saya tidak
terdapat perkataan siasah di dalam al-Quran. Apakah ini menunjukkan bahawa al-Quran atau
Islam tiada kaitan dengan politik?
2. Apakah perkataan siasah pernah digunakan oleh Rasulullah SAW?
JAWAPAN
Terima kasih. Secara ringkasnya saya sebutkan.
1. Memang benar, al-Quran al-Karim tidak menyebut perkataan ‘siasah’ samada dalam ayat
Makkiyah atau pun Madaniyah. Bahkan tiada perkataan pecahan atau terbitan daripada perkataan
tersebut. Sehinggakan disebabkan isu ini terdapat segolongan yang mendakwa bahawa al-Quran atau
Islam itu tiada kaitan langsung dengan politik, bahkan politik adalah satu perkata yang kotor lagi jijik.
Tentu saja pandangan ini merupakan pandangan yang jauh tersasar daripada prinsip islam itu
sendiri. Sedangkan sekiranya kita meneliti al-Quran dengan lebih teliti, kita mendapati pelbagai
perkataan lain yang digunakan oleh al-Quran yang mengandungi makna yang senada dengan pengertian
siasah.
Kita juga harus sedar bahawa tidak semua istilah yang tidak digunakan dalam al-Quran
bermakna ia tiada hubung kait dengan islam, bahkan al-Quran menjelaskan prinsip-prinsipnya dengan
terang lagi nyata. Sebagai contohnya perkataan ‘al-aqidah’. Tidak terdapat satu pun dalam al-Quran
yang menyebutnya. Apakah kita tidak mempercayai akidah? Sedangkan banyak sekali ditemui
kandungan yang senada dengan perkataan iman seperti percaya kepada Allah SWT, para rasul, kitab dan
sebagainya. Bahkan al-Quran sangat menekankan aspek ini dan menjadikannya perbahasan utama.
Demikian juga dengan siasah. Walaupun al-Quran tidak menggunakan perkataan siasah, tetapi
banyak perkataan lain yang mengandungi erti senada, bahkan memiliki kandungan makna yang sama
dengan perkataan siasah. Al-Quran menggunakan pelbagai perkataan untuk mengungkapkan maksud
siasah sama ada dengan nada memuji atau mencela. Sebagai contoh:
i. Perihal kerajaan yang baik - Surah an-Nisa’ ayat 54.
ii. Penganugerahan kerajaan kepada Thalut - Surah al-Baqarah, ayat 247. Dan juga kepada
Dzul Qarnain - Surah al-Kahfi, ayat 84.
iii. Kerajaan Saba’ sebagai contoh kerajaan demokrasi - Surah al-Naml, ayat 32.
iv. Celaan terhadap kerajaan zalim, diktator dan menindas rakyat seperti Kerajaan Fir’aun -
Surah al-Qasas, ayat 4.
Semua ayat ini membincangkan tentang politik dan ahli-ahli politik, tetapi Allah SWT tidak
menggunakan dengan kata siasah.
Antara perkataan yang digunakan dalam al-Quran yang senada dengan siasah ialah;
Pertama: al-Tamkin iaitu keteguhan dan kekuasaan - Surah Al-Hajj ayat 41 dan Surah Yusuf ayat
56.
Kedua: al-Istikhlaf iaitu memegang kuasa pemerintahan - Surah al-Nur ayat 55 dan Surah al-A’raf
ayat 129.
Ketiga: al-Hukm iaitu persoalan undang-undang - Surah al-Nisa’ ayat 58 dan Surah al-Maidah
ayat 49 dan 50.
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam ‘al-Din wa al-Siyasah’, Ayat 58 dari Surah al-Nisa’
inilah yang digunakan oleh Imam Ibn al-Taimiyah dalam membahaskan persoalan politik dalam bukunya
yang berjodol ‘al-Siyasah al-Syar’iyyah’.
Berdasarkan fakta di atas, tertolaklah pendapat yang menyatakan politik tiada hubungkait
dengan Islam kerana perkataan tersebut tidak disebut dalam al-Quran. Akhirnya marilah kita hayati
pesanan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali; “Sedarlah bahawa syariat itu adalah dasar dan kuasa itu
penjaganya. Perkara yang tiada dasar akan roboh dan perkara yang tanpa penjaga akan lenyap”.
Wallahu a’lam.
2. Terdapat sebuah hadis yang saya temui dimana Rasulullah SAW menggunakan kata yang berasal
daripada akar kata ‘al-siasah’ iaitu ( ْم� ُه� وُس� .( َت�ُس�
Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dahulu Bani Israel dipimpin
oleh para Nabi, setiap kali ada nabi yang musnah (dibunuh), muncul Nabi lain yang menggantikannya.
Tetapi tiada Nabi lagi selepas aku, seterusnya kamu akan dipimpin oleh khalifah yang ramai bilangannya.
Sahabat bertanya; “Maka apakah perintah kamu kepada kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Lakukanlah
bai’ah kepada khalifah pertama, selepas itu bai’ah khalifah sesudahnya. Berikan kepada khalifah
tersebut hak mereka yang telah ditentukan Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT akan mempersoalkan
mereka tentang kepimpinan mereka”. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)
Imam al-Suyuti menyatakan maksud ‘tasusuhum’ ialah memimpin urusan mereka. (Syarh al-
Suyuti ‘ala Muslim, 4/455). Wallahu a’lam.