seminar kebangsaan pd 2012

26
PEMBUGARAN PEDAGOGI: MEMPERKASA KREATIVITI DAN INOVASI GURU BAHASA MALAYSIA ALAF KE-21 Dr. Maridah binti Alias Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar Seremban Abstrak Kertas konsep ini membincangkan peranan profesionalisme pensyarah dan guru Bahasa Malaysia ke arah meningkatkan pengajaran dan pembelajaran berkualiti pada alaf ke-21 seterusnya melahirkan pelajar yang berupaya bersaing pada peringkat global. Pembugaran pedagogi Bahasa Malaysia akan melahirkan guru dan pelajar inovatif. Pemikiran inovatif di Institut Pendidikan Guru dan sekolah merupakan alternatif terbaik kerana bukan sahaja kepada peningkatan ilmu pengetahuan tetapi juga penekanan kepada perkembangan diri individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu. Fokus kecemerlangan guru Bahasa Malaysia lebih kepada penguasaan pedagogi kandungan yang sewajarnya sesuai dengan perkembangan teknologi terkini. Kertas konsep ini juga akan membincangkan amalan dan kaedah terbaik menggunakan Model Rakan Pemikir (Maridah:2011) sebagai bahan sokongan dalam mempercekap pelajar belajar bahasa Melayu dan menguasai kemahiran-kemahiran abad ke-21. Model ini menggunakan model terapan untuk menerapkan kemahiran generik melalui pengetahuan pedagogi

Post on 21-Dec-2015

231 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Seminar Kebangsaan PD 2012

TRANSCRIPT

Page 1: Seminar Kebangsaan PD 2012

PEMBUGARAN PEDAGOGI: MEMPERKASA KREATIVITI DAN INOVASI GURU BAHASA MALAYSIA

ALAF KE-21

Dr. Maridah binti Alias Jabatan Pengajian Melayu

Institut Pendidikan Guru Kampus Raja MelewarSeremban

Abstrak

Kertas konsep ini membincangkan peranan profesionalisme pensyarah dan guru Bahasa Malaysia ke arah meningkatkan pengajaran dan pembelajaran berkualiti pada alaf ke-21 seterusnya melahirkan pelajar yang berupaya bersaing pada peringkat global. Pembugaran pedagogi Bahasa Malaysia akan melahirkan guru dan pelajar inovatif. Pemikiran inovatif di Institut Pendidikan Guru dan sekolah merupakan alternatif terbaik kerana bukan sahaja kepada peningkatan ilmu pengetahuan tetapi juga penekanan kepada perkembangan diri individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu. Fokus kecemerlangan guru Bahasa Malaysia lebih kepada penguasaan pedagogi kandungan yang sewajarnya sesuai dengan perkembangan teknologi terkini. Kertas konsep ini juga akan membincangkan amalan dan kaedah terbaik menggunakan Model Rakan Pemikir (Maridah:2011) sebagai bahan sokongan dalam mempercekap pelajar belajar bahasa Melayu dan menguasai kemahiran-kemahiran abad ke-21. Model ini menggunakan model terapan untuk menerapkan kemahiran generik melalui pengetahuan pedagogi terkini, literasi digital, penguasaan isi kandungan, pembinaan bahan pembelajaran yang kreatif dan efektif serta penilaian rakan kumpulan. Model Rakan Pemikir adalah satu alternatif atau cara bagi memupuk dan memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk belajar sendiri tanpa bergantung kepada guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya untuk meningkatkan minat pelajar belajar bahasa Melayu. Turut dibincangkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu alaf ke-21.

Page 2: Seminar Kebangsaan PD 2012

Pengenalan

Asas kejayaan pelajar alaf ke-21 ialah pelajar perlu ada keupayaan penaakulan, membuat unjuran dan mengaplikasikan pengetahuan secara kreatif dalam suasana yang berlainan. Pelajar juga memerlukan ciri-ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Keupayaan kemahiran fizikal dan intelektual pelajar adalah elemen penting dalam Rancangan Malaysia ke-10. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dilancarkan pada tahun 2007 menekankan aspek kurikulum dan latihan perguruan supaya guru menjadi pengurus yang cekap serta membugarkan kemahiran pedagogi bagi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara meluas dan mencipta teknik pengajaran yang inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Gagasan pendidikan diteruskan lagi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memerlukan guru meningkatkan keupayaan bertaraf dunia bagi membantu mencapai keberhasilan murid yang dihasratkan.

Pendidikan berkualiti memerlukan guru yang berkualiti. (Mohamad Sani, 2008). Walaupun banyak sumber yang menyumbang kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan seperti keadaan infrastruktur sekolah dan kemudahan resos pengajaran dan pembelajaran; tetapi yang paling penting ialah kualiti interaksi yang wujud di antara guru dan pelajar. Guru-guru dalam alaf ke-21 perlu melengkapkan diri dari segala sudut, merangkumi ilmu pengetahuan yang berasaskan teknologi tinggi, menguasai kandungan kurikulum, mahir dalam pedagogi, memahami perkembangan pelajar dan menyayangi mereka, memahami psikologi pembelajaran, memiliki kemahiran kaunseling, pembangunan rohaniah, kekuatan minda, kemantapan idealisme dan kekuatan diri. Oleh itu, guru perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan sistem penyampaian menjadi lebih efektif, menarik, menyeronokkan dan dapat merangsang minat pelajar untuk belajar.

Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, sudah pasti guru harus dibekalkan dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran, nilai, motivasi, dan psikologi pendidikan. Kemahiran pendidikan guru perlu dimantapkan dari segi kurikulum yang dipelajari, kokurikulum, latihan mengajar dan pelbagai kemahiran generik dalam menghasilkan seorang guru yang lengkap dari segi ilmu pengetahuan bidang yang diajar dan kemahiran pedagogi. Hal ini amat penting dalam mendidik pelajar-pelajar dalam alaf ke-21 yang diketahui mempunyai banyak kemahiran yang dipelajari secara pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan pergaulan seharian.

Page 3: Seminar Kebangsaan PD 2012

Pembugaran Pedagogi Alaf ke-21

Pembugaran pedagogi pada alaf ke-21 perlu kerana pengajaran adalah satu proses yang kompleks. Bagi memahami bagaimana seseorang guru itu mengendalikan pengajarannya, maka perlu dilihat pemikiran guru itu yang dapat menentukan tindakannya di dalam bilik darjah. Menurut Shulman (1986), seseorang guru perlu mempunyai kebolehan asas pedagogi yang kukuh dan mempunyai kebolehan untuk mengubah pengetahuan isi kandungan pelajaran yang dimilikinya kepada suatu bentuk yang lebih sesuai untuk pengajaran, sesuai dengan latar belakang serta kebolehan pelajarnya.

Vallance (2000), mengemukakan empat ciri guru berkualiti, iaitu pengurusan bilik darjah yang baik, komitmen guru untuk terus memperbaiki diri mereka, guru yang menyayangi pelajar dan komitmen guru terhadap pelajar mereka. Durr (2008) pula melaporkan bahawa guru berkualiti merupakan guru yang komited terhadap pelajar dan pengajarannya, berpengetahuan dalam isi kandungan mata pelajaran dan tahu bagaimana untuk mengajarkannya kepada pelajar mereka, mengurus dan mengawasi pembelajaran pelajar dan sentiasa memberi fokus kepada aspek pedagogi terutamanya pedagogi terkini.

Dalam masa yang sama, seseorang guru perlu memberi penekanan kepada budaya yang sentiasa menimbulkan keinginan untuk terus belajar (learning), belajar semula (relearning), belajar perkara-perkara baharu (learning new things) dan kesediaan untuk belajar meninggalkan perkara-perkara yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman (unlearning). Pembugaran pedagogi juga memerlukan kepada budaya perkongsian ilmu pengetahuan yang akan membawa kepada satu kesepakatan bersama dalam melakukan yang terbaik.

Dalam alaf ke-21, banyak kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru dan pelajar. Menurut Zamri Mahamod (2011), seringkali terdapat kegagalan guru Bahasa Malaysia untuk menerapkan pelbagai kemahiran bahasa Melayu, terutamanya kemahiran-kemahiran alaf ke-21. Pelajar-pelajar bahasa Melayu sepatutnya sudah boleh menyatupadukan kemahiran-kemahiran alaf ke-21 ketika mempelajari Bahasa Malaysia, khususnya ketika belajar di dalam kelas dan di luar kelas.

Pandangan tentang kemahiran-kemahiran alaf ke-21 daripada perspektif enGauge Skill (NCREL & Metiri Group 2003) boleh dikongsi bersama di mana terdapat empat komponen kemahiran alaf ke-21 yang perlu dikuasai

Page 4: Seminar Kebangsaan PD 2012

oleh guru dan pelajar. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, guru-guru Bahasa Malaysia boleh memberi penekanan kepada kemahiran alaf ke-21 yang diketengahkan. Kemahiran alaf ke-21 enGauge Skill digambarkan seperti rajah berikut;

Rajah 1: Kemahiran Alaf Ke-21 enGauge Skill

Pembugaran pedagogi alaf ke-21 perlu juga mengambil kira kemahiran-kemahiran yang dicadangkan oleh The Partnerships 21st Century Skills (2008) bagi tujuan memupuk kemahiran generik dalam kalangan pelajar bahasa Melayu. Kepekaan guru-guru Bahasa Malaysia amat penting bagi memastikan semua kemahiran ini dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia. Kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai adalah seperti berikut;

a) Kemahiran mengubahsuai dan bertanggungjawab

Mengamalkan sifat bertanggungjawab, fleksibel dan toleransi dalam hubungan dengan masyarakat.

b) Kemahiran berkomunikasi

Page 5: Seminar Kebangsaan PD 2012

Dapat memahami, mengurus dan berkebolehan untuk berkomunikasi secara berkesan. Mahir menggunakan alat-alat telekomunikasi.

c) Kemahiran kreativiti dan sifat ingin tahu yang kuat

Dapat menjana, melaksanakan dan seterusnya menyampaikan idea baharu kepada orang lain serta bersifat terbuka. Sedia menerima kritikan dan pandangan orang lain.

d) Kemahiran berfikir secara sistematik dan kritikal

Berkebolehan menganalisis dan membuat hubung kait fakta-fakta yang diberikan.

e) Kemahiran literasi media dan informasi

Berkebolehan mengakses maklumat, menganalisis, mengurus, menilai dan mengintergrasikan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai media.

f) Kemahiran interpersonal dan kerjasama

Berkemahiran untuk bekerjasama, mempunyai sifat-sifat kepimpinan, dapat mengadaptasi dan bekerja dengan produktif di samping bersifat empati dan menghormati kelainan pendapat.

g) Kemahiran mengenalpasti masalah dan penyelesaiannya

Kebolehan untuk mengenal pasti masalah, menganalisis dan cuba menyelesaikan setiap masalah yang ditemui.

h) Kemahiran pengurusan kendiri

Mengawasi dan menilai keperluan kendiri serta mengenal pasti sumber-sumber yang diperlukan.

i) Kemahiran tanggungjawab sosial

Bertindak dengan mengambil kira kepentingan masyarakat, beretika di tempat kerja dan dalam masyarakat.

Kesimpulannya, dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, guru-guru mata pelajaran Bahasa Malaysia wajar menguasai kemahiran alaf ke-

Page 6: Seminar Kebangsaan PD 2012

21 untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Untuk itu, inovasi Model Rakan Pemikir diharap dapat membantu pelajar belajar secara menyeronokkan.

Memperkasa Kreativiti dan Inovasi Guru Bahasa Malaysia

Inovasi bermula daripada percikan idea kreatif. Inovatif dan kreatif tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Apakah yang dimaksudkan dengan inovasi? Menurut Rongger E. Miller (1971), inovasi merupakan idea, amalan atau objek yang dianggap baharu oleh seseorang. Sufean Hussin (2001) dalam kertas kerjanya pada Seminar Dasar dan Pengurusan Pendidikan menyatakan inovasi bermaksud pembaharuan, modifikasi atau membaiki idea, benda, ilmu dan ciptaan seni budaya tamadun dengan tujuan memenuhi fungsi-fungsi tertentu atau memenuhi cita rasa tertentu atau memenuhi pasaran tertentu. Kamus Dewan (2007) pula menyatakan inovasi sebagai sesuatu yang baharu diperkenalkan seperti kaedah, adat dan lain-lain yang baru atau perihal mengadakan, memulakan dan sebagainya sesuatu yang baharu.

Kreativiti pula adalah suatu konsep yang bersifat multi dimensi dan interdisiplin. Keadaan ini ialah di mana seseorang individu atau kelompok manusia atau sesebuah organisasi memahami, mengetahui dan mampu mengaplikasikan daya kreativiti dalam usahanya untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, menerbitkan idea dan menghasilkan sesuatu sistem. Menurut Majaro (1992), kreativiti ialah proses pemikiran yang mendorong seseorang individu dalam mengeneralisasikan idea baharu. Mumford dan Gustafson (1998) pula menyebut kreativiti sebagai penghasilan produk-produk baharu dan dihargai oleh masyarakat.

Dalam dunia pendidikan, terdapat beberapa jenis kreativiti dan inovasi yang mendasari perkembangan pendidikan, iaitu;

1. Kreativiti kurikulum – banyak berlaku dalam isi kandungan pelajaran, tema dan aspek-aspek pembelajaran, reka bentuk dan gubahan bahan pembelajaran, strategi dan pelaksanaan kurikulum;

2. Kreativiti pengajaran – menyentuh kaedah-kaedah, pendekatan, cara, pengurusan dan organisasi pembelajaran, perancangan dan pelaksanaan pengajaran di bilik darjah dan di sekolah;

3. Kreativiti professional – perkembangan guru dari segi personaliti, cara dan budaya professional yang dikembangkan, kecekapan dan kepakaran, amalan baharu, pemikiran baru, adaptasi terhadap inovasi

Page 7: Seminar Kebangsaan PD 2012

pendidikan yang berlaku dan dilaksanakan dalam profesion ini;

4. Kreativiti pemikiran – mencorakkan perkembangan minda, pandangan yang progresif, fikiran terbuka, pembacaan dan pengetahuan yang kreatif, pencetusan idea baharu yang mendorong kemajuan diri dan kemajuan pendidikan amnya;

5. Kreativiti persekitaran pembelajaran – iaitu kreativiti yang mencorakkan suasana dan keadaan tempat belajar seperti bilik darjah dan sekolah;

6. Kreativiti bahan sastera – bagaimana bahan sastera digunakan untuk pencetusan kreativiti dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Justeru, kreatif amat penting dalam dunia pendidikan kerana kreativiti mampu melahirkan sebuah citra masyarakat kreatif dan negara maju. Dalam rangka membina kreativiti, mata pelajaran Bahasa Melayu memainkan peranan penting untuk membina konsep diri dan untuk pengilmuan diri pelajar. Kurikulum Bahasa Melayu yang dibina dengan mengambil kira pelbagai perspektif menjadi salah satu unsur penting sebagai penayang pandangan sarwa masyarakat, sebagai pengungkap falsafah, ilmu dan pemikiran serta sebagai alat kreativiti pelajar.

Dalam memperkasakan guru kreatif dan inovatif yang akan mengajar Bahasa Malaysia seterusnya dapat menangani dan mendepani pendidikan bahasa dan kesusasteraan dalam abad ke-21, maka lima aspek berikut perlu dikuasai oleh guru berdasarkan pendapat Maridah (2010) yang memperkenalkan Model Rakan Pemikir. Jika mahu menghasilkan guru yang cemerlang, berkesan, inovatif dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran, lima aspek tersebut ialah;

1. Pedagogi Berkesan

2. Komunikasi Berkesan

3. Kemahiran Berfikir

4. Literasi Digital

5. Penilaian

Page 8: Seminar Kebangsaan PD 2012

Apakah yang dimaksudkan dengan Model Rakan Pemikir? Model ini memberi penekanan kepada pengetahuan guru menterjemahkan pengetahuan isi kandungan secara pedagogikal yang berkesan dengan memahami konteks dalam persekitaran pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru hendaklah mempunyai pengetahuan isi kandungan subjek, pengetahuan pedagogi subjek, pengetahuan ciri setiap pelajarnya, pengetahuan tentang kepercayaan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan serta penilaian rakan dalam kumpulan. Model ini banyak melibatkan cara penyampaian guru secara berkesan terhadap sesuatu idea, analogi kukuh, ilustrasi menarik, contoh-contoh tepat dan munasabah, penerangan jelas dan bermakna serta tunjuk cara berkesan agar sesuatu isi pelajaran dapat difahami pelajar secara mudah.

Di samping itu, Model Rakan Pemikir memberi fokus membantu pensyarah dan guru meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka. Model ini menggunakan model terapan untuk menerapkan kemahiran generik melalui pelbagai pendekatan, antaranya pembentangan hasil kerja perbincangan, kerja berpasukan, pencarian maklumat, pembelajaran aktif, pembelajaran koperatif, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan pembinaan bahan secara kreatif dan efektif. Model ini disediakan secara terancang dan tersusun bagi memantau dan menilai pelajar secara efektif. Penggunaan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Kegiatan pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar ini akan dapat membantu pelajar menghayati kandungan pelajaran dan meningkatkan daya afektif dan kreativiti mereka seterusnya meningkatkan minat dan memupuk bakat pelajar terhadap Bahasa Melayu.

Selanjutnya, satu sistem penilaian rakan dalam kumpulan diwujudkan bagi menilai komitmen pelajar sewaktu aktiviti berkumpulan dijalankan. Menurut Brown (1999), penilaian rakan dalam kumpulan sangat membantu dalam melengkapkan maklum balas formatif pelajar, terutamanya apabila mereka melaksanakan tugasan yang diberikan. Melalui kaedah penilaian ini, dapat mengukur interpeer dan intrapeer pelajar-pelajar. Ini penting untuk peningkatan kendiri pelajar dan khususnya membantu guru yang tidak dapat menilai beberapa aspek sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Guru pada masa kini mempunyai beban tugas yang sangat mencabar dalam proses pengajaran dan bentuk ilmu pengetahuan yang pelajar mereka terima. Guru yang baik akan menunjukkan rasa tanggungjawabnya terhadap apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajarnya.

Page 9: Seminar Kebangsaan PD 2012

Bagaimanakah penggunaan Model Rakan Pemikir dapat meningkatkan kualiti guru seterusnya berupaya menghasilkan pelajar yang cemerlang? Model ini dapat menyumbang kepada kaedah pengajaran guru yang menitikberatkan pembelajaran yang bermakna bertujuan untuk membantu pelajar;

i. Menggunakan strategi dan kemahiran belajar untuk mengakses dan memilih maklumat daripada pelbagai sumber yang relevan dengan tugasan yang diberikan;

ii. Melaksanakan kolaborasi dengan rakan-rakan dalam kumpulan dan pihak-pihak yang terlibat secara optimum bagi menghasilkan kerja dan persembahan yang berkualiti;

iii. Mengamalkan pemikiran reflektif dalam interaksi lisan semasa sesi kolaborasi dengan guru/pensyarah, rakan dalam kumpulan dan pihak-pihak tertentu serta dalam penulisan reflektif;

iv. Menilai rakan-rakan dalam kumpulan mereka dengan telus berasaskan borang penilaian yang disediakan.

Penilaian kendiri adalah penting. Justeru, guru menyediakan rubrik yang lengkap tentang aspek-aspek yang dinilai dalam mata pelajaran tersebut. Rubrik akan membantu pelajar-pelajar melakukan penilaian kendiri dan peer dari peringkat awal proses pembelajaran hingga menghasilkan satu produk akhir.

Komputer adalah alat kognitif yang penting dalam model ini. Literasi digital dapat mencabar pemikiran pelajar kerana apabila belajar dengan komputer, komputer menjadi rakan intelektual (Jonassen, 2005). Pelajar perlu mempunyai kemahiran belajar cara belajar.

Melalui Model Rakan Pemikir ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi setiap pelajar dalam kumpulan untuk berusaha memberi komitmen sepenuhnya dalam aktiviti berkumpulan dan seterusnya menghasilkan bahan pembelajaran yang bermutu.

Objektif Model Rakan Pemikir

i. Menyemaikan budaya membaca dalam kalangan pelajar;

Page 10: Seminar Kebangsaan PD 2012

ii. Membimbing pelajar dalam proses pemerolehan ilmu, penguasaan ilmu dan kemahiran serta pemindahan pembelajaran berdasarkan kehendak sukatan pelajaran;

iii. Pelajar dapat menggunakan bahan yang mencabar pengetahuan sedia ada dan pemahaman konsep baharu secara mendalam;

iv. Meningkatkan kemahiran pelajar membuat rujukan dan mengakses maklumat daripada pelbagai sumber, memilih maklumat yang relevan dan mengorganisasi maklumat secara sistematik dan bermakna;

v. Menggerakkan proses pembelajaran pelajar sejajar dengan perkembangan intelektual, menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi (High Order Thinking Skills) dan membina pemikiran sendiri (independent thought);

vi. Menggalakkan pelajar berinteraksi bersama rakan dalam kumpulan dan berkongsi ilmu pengetahuan untuk diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran;

vii. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesionalisme keguruan secara berterusan;

viii. Memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan pembelajaran berkesan;

ix. Memberi keyakinan kepada pelajar serta mewujudkan persekitaran yang memberi peluang kepada mereka untuk menguji kemampuan sendiri;

x. Menggalakkan suasana pembelajaran yang melibatkan interaksi sosial untuk meningkatkan mutu pembelajaran;

xi. Menggalakkan pelajar menilai secara telus pencapaian sendiri dan pencapaian rakan-rakan dalam kumpulan;

xii. Merancang penilaian berterusan secara kolaboratif.

Page 11: Seminar Kebangsaan PD 2012

Model Rakan Pemikir dapat digambarkan seperti Rajah 1 berikut,

Rajah 2 : Model Rakan Pemikir

Model Rakan Pemikir

a. Pedagogi Berkesan

Guru perlu mempunyai pengetahuan dan menguasai pelbagai kemahiran mengajar atau pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan strategi mengajar Bahasa Malaysia. Mereka perlu mahir menggunakan pelbagai kaedah pengajaran untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

• Pendekatan Pengajaran: Banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah. Guru hendaklah peka dengan pelbagai pendekatan terkini seperti pendekatan masteri, konstruktivisme, kontekstual, koperatif dan kolaboratif. Di samping itu, pendekatan konvensional dan tradisi masih boleh digunakan seperti induktif, deduktif, eklektif dan komunikatif.

• Kaedah pengajaran: Guru perlu tahu tentang pelbagai kaedah mengajar.

Page 12: Seminar Kebangsaan PD 2012

Pengajaran yang digabungkan dengan kepelbagaian kaedah pengajaran dapat meningkatkan potensi pelajar. Untuk melahirkan insan bestari, guru perlu mengambil kira kepelbagaian gaya pembelajaran pelajar yang visual, auditori, dan kinestatik dan digabungkan pula dengan pelbagai tahap kecerdasan pelajar seperti yang terkandung dalam Teori Pelbagai Kecerdasan Howard Gardner- logik, linguistik, muzik, kinestatik, interpersonal, intrapersonal, ruang dan naturalistik.

• Teknik pengajaran: Teknik pengajaran adalah perincian daripada penggunaan sesuatu kaedah. Teknik ialah bagaimana sesuatu kaedah itu dilaksanakan. Antara teknik mengajar yang biasa digunakan ialah teknik permainan, soal jawab, perbincangan, bercerita, bersyarah, latih tubi dan sumbang saran. Penggunaan teknik yang sesuai dan pelbagai akan mengekalkan tumpuan pelajar dan mendatangkan keseronokan untuk belajar.

• Strategi pengajaran: Guru perlu merancang strategi pengajaran yang sesuai untuk pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Guru bukan sahaja perlu menguasai pelbagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintergrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. (Zamri Mahamod, 2011)

Kesimpulannya, guru perlu memberi penekanan kepada 10 aspek seperti yang disarankan oleh Zamri Mahamod, 2011;

•Pembelajaran koperatif dan kolaboratif

•Kemahiran berfikir kritis dan kreatif

•Perkembangan kreativiti

•Kemahiran generik/insaniah

•Penerapan patriotisme dan ketatanegaraan

•Penghayatan nilai-nilai murni

•Kepelbagaian kecerdasan

•Strategi belajar cara belajar

•Kajian tindakan.

Page 13: Seminar Kebangsaan PD 2012

b. Komunikasi Berkesan

Kemahiran dalam berkomunikasi amat penting dimiliki oleh guru kerana guru berhadapan dengan pelajar-pelajarnya pada setiap hari. Komunikasi yang digunakan juga tidak terhad kepada komunikasi lisan sahaja tetapi mencakupi komunikasi bukan bahasa iaitu gerak badan. Walaupun guru menerima latihan yang secukupnya dalam teori dan amalan pedagogi termasuk isi kandungan pelajaran, sekiranya guru tidak dapat berkomunikasi sewaktu berada di dalam kelas, pelajar-pelajar tidak akan mudah faham apa yang cuba disampaikan oleh guru tersebut. (Shahabuddin Hashim, 2007)

Model Rakan Pemikir mementingkan komunikasi antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar. Sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran, komunikasi antara pelajar-pelajar sangat digalakkan. Antara aktiviti yang diamalkan ialah pelajar-pelajar melaksanakan tugasan yang diberikan secara koperatif dan kolaboratif. Aktiviti ini memerlukan komunikasi berkesan bagi menghasilkan kerja yang bermutu.

Dalam model, kaedah kumpulan melibatkan hanya lima orang pelajar untuk satu-satu kumpulan. Tidak ada suatu kumpulan pun yang dapat bergerak jika kumpulan itu tidak melantik pemimpin mereka. Dalam proses menyiapkan tugasan yang diberikan, setiap kumpulan dimestikan melantik ketua. Setiap ketua akan merancang dan memantau perkembangan kumpulannya. Mereka perlu bekerjasama mengumpul dan menyusun bahan pembelajaran untuk sesi pembentangan. Dalam hal ini, komunikasi berkesan amat penting kerana dapat memupuk nilai-nilai positif seperti bekerjasama, hormat menghormati iaitu mendengar pendapat rakan dan menimbang baik dan buruk pendapat yang disampaikan, toleransi iaitu boleh bertolak ansur dengan karenah rakan-rakan dalam kumpulan dan juga perpaduan antara kaum. Ketua yang baik akan dapat memandu ahli kumpulannya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sempurna.

Sewaktu perbincangan berlangsung, pelajar-pelajar dapat berinteraksi dengan aktif kerana terdapat sebilangan pelajar yang malu dan takut bersuara dengan kehadiran guru tetapi dengan pengawasan guru yang minimum, mereka dapat memberi sumbangan idea dan buah fikiran. Sesi perbincangan seperti ini dapat menjana idea-idea yang berkualiti daripada pelajar-pelajar.

Pada akhir sesi perbincangan, sesi pembentangan dilakukan oleh pelajar

Page 14: Seminar Kebangsaan PD 2012

yang berkenaan. Mengikut model ini, pembentangan akan dilakukan dalam kumpulan masing-masing dan dilaksanakan secara serentak dengan tajuk yang sama.

c. Kemahiran Berfikir

Kemahiran berfikir adalah kecekapan menggunakan akal dalam menjalankan proses pemikiran. Seseorang yang memperoleh kemahiran berfikir cekap dalam menyusun maklumat, konsep atau idea secara yang teratur dan membuat kesimpulan atau keputusan yang tepat untuk tindakan yang terarah dan sewajarnya. Dalam aktiviti kumpulan yang akan dilaksanakan nanti, banyak masalah yang harus ditempuhi oleh pelajar. Antaranya masalah masa, masalah rakan, masalah bahan rujukan, masalah komunikasi dan sebagainya. Dalam menyelesaikan masalah tersebut pelajar perlu berhemah dan mengatur strategi penyelesaian bersama-sama dengan rakan mereka.

Di sinilah pentingnya peranan kemahiran berfikir dalam menyelesaikan masalah tersebut. Kemahiran berfikir perlu dikuasai oleh semua pelajar. Pelajar-pelajar seharusnya boleh berfikir secara proaktif, konstruktif, sistematik, pragmatik dan berfikiran positif. Model Rakan Pemikir mementingkan proses berfikir untuk menyusun maklumat yang diperoleh. Maklumat-maklumat perlu disusun secara kreatif dan kritis.

d. Literasi Digital

Pendidikan kini menekankan pengintergrasian teknologi maklumat dan menggunakan pelbagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran supaya lebih berkesan, menarik dan mencabar. Pelajar tidak hanya belajar dalam konteks pembelajaran kelas. Mereka digalakkan mengakses internet, merujuk bahan di perpustakaan dan melakukan kajian lapangan seperti kajian persekitaran sekolah. Setelah semua maklumat dikumpul, mereka perlu merumus dan menyusun maklumat tersebut dalam bentuk digital bagi memudahkan sesi pembentangan. Literasi digital membantu pelajar untuk meneroka, mengakses dan mempersembahkan maklumat dalam bentuk dan bersifat dinamik seperti MS Word, Power Point, Publisher dan laman web atau internet. Literasi digital juga mewujudkan peluang kepada pelajar untuk mengakses, memperkembang, mengubah dan berkongsi maklumat serta idea-idea baharu mengikut kadar masa dan kadar kendiri. Bahan pembelajaran yang dihasilkan melatih pelajar untuk mengakses, memilih, menyisih dan menyusun maklumat supaya kemas dan mudah untuk diakses.

Page 15: Seminar Kebangsaan PD 2012

e. Penilaian

Penilaian merupakan produk terakhir yang dilakukan bagi membantu guru mendapat maklum balas tentang keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Aspek yang diperhatikan adalah menyeluruh meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor yang melibatkan juga faktor-faktor bahan dan persekitaran. Model Rakan Pemikir menekankan penilaian oleh rakan dalam kumpulan. Pelajar dalam kumpulan membuat penilaian rakan yang melakukan pembentangan berdasarkan rubrik yang disediakan oleh guru. Kriteria yang lazim digunakan ialah kemahiran generik, antaranya kebolehan berkomunikasi, kesediaan menerima tanggungjawab, kebolehan memimpin dan kesediaan mendengar pandangan ahli kumpulan.

Penilaian rakan dalam kumpulan berupaya menyerlahkan kekuatan dan kelemahan seseorang pelajar ketika bekerja dalam kumpulan berdasarkan tindak balas ahli yang terlibat. Hasil penilaian juga membantu membentuk konsep kendiri murid-murid. Murid yang dinilai seharusnya menerima pandangan dan cadangan serta kritikan dari rakannya bagi membina konsep kendiri positif.

Selain itu, semasa sesi ini pelajar dikehendaki jujur menilai tugasan mereka dan tugasan rakan mereka. Mereka dilatih memberi komen dan pandangan secara jujur dalam penilaian mereka demi memperbaiki mutu tugasan mereka dan rakan mereka berdasarkan borang atau rubrik yang dibina oleh guru supaya penilaian tersebut tidak bersifat berat sebelah dan tidak tepat.

Kesimpulannya, Model Rakan Pemikir tidak lagi berpusatkan guru tetapi memberikan penekanan kepada pendekatan berpusatkan pelajar sesuai dengan keperluan pendidikan alaf ke-21. Persekitaran pembelajaran pelajar sudah banyak berubah. Perubahan dalam pembelajaran pelajar ini perlu diketahui oleh guru Bahasa Malaysia supaya guru dapat merancang pengajarannya dengan berkesan. Selain itu, pembelajaran pelajar juga perlu berfokuskan kepada pembinaan minda pelajar kepada pemikiran aras tinggi berbantukan komputer dan sumber multimedia yang mengoptimumkan proses pembelajaran pelajar.

Page 16: Seminar Kebangsaan PD 2012

Daripada pengupasan hasil perbincangan dalam kertas kerja ini, ternyata pengajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia perlu dibuat transformasi dalam pelbagai perkara yang dibincangkan. Guru-guru hendaklah memainkan peranan penting terutama dalam memantapkan pengetahuan pedagogi. Guru perlu menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif. Guru perlu berfikiran reflektif, kreatif dan inovatif yang mampu mencetuskan pemikiran pelajar dan menimbulkan minat pelajar terhadap mata pelajaran Bahasa Malaysia. Guru juga seharusnya mempunyai kebolehan merangsang pembelajaran kreatif dan kritis serta membina kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar. Untuk ini mata pelajaran Bahasa Malaysia akan diminati dan dihayati oleh pelajar dan menjadikan mata pelajaran ini seronok untuk dipelajari.

Rujukan

A.Aziz Deraman, “Kesusasteraan Kebangsaan dalam Sistem Pendidikan: Membentuk Masyarakat Madani di Malaysia”, Dewan Sastera, Februari 2000, hlm. 13-17

Abdul Rahim Abdul Rashid. (2000). Pendidikan Nilai Merentasi Kurikulum KBSM, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

______________________.(2000), Wawasan Pembangunan, Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributor.

Abdullah Mohd Noor, Ahmad Jaffni Hassan. (2000) Cabaran Dalam Kepimpinan Kurikulum Pendidikan, dlm. Juriah Long, Halimah Badioze Zaman, Putih Mohamed, Zalizan Mohd Jelas(disunting), Aliran Dalam Amalan Pendidikan Menjelang Abad ke-21, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abu Bakar Nordin. (1991) Kurikulum: Perspektif dan Pelaksanaan, Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Azman Wan Chik. (1981). Prinsip dan Kaedah Mengajar Kesusasteraan Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Page 17: Seminar Kebangsaan PD 2012

Brumfit, Christopher,J. (1985). Language and Literature Teaching From Practice to Principle, Oxford: Pergamon Press Ltd.

Brumfit, Christopher,J, Carter, Ronald. (1987). Literature and Language Teaching, Hong Kong: Oxford University Press.

Grasha, A.F. (1996). Teaching with Styles: A Practical Guide to Enhance Learning by Understanding Learning and Teaching Styles. New York:Alliance Publisher

Mohd Azhar Abdul Hamid.2007. EQ: Panduan Meningkatkan Kecerdasan Emosi. Kuala Lumpur: PTS Profesional and Pub. Sdn. Bhd.

Shahabuddin Hashim, Rohizani yaakub, Mohd Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi: Strategi dan Teknik Mengajar Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Profesional an Pub. Sdn. Bhd.

Vallance, R. (2000). Excellent Teachers. Exploring Self Construct, Role and Personal Challenges. Paper presented at Australian Association for Research for Education (AARE) conference, Sydney. http://www.aare.edu.au. 17 January 2008

Zamri Mahamod, et. al. (2010). Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris Pelajar Cemerlang. Bangi: Penerbit Fakulti Pendidikan, UKM