nurwahida janudin komunikasi

17
1 KOMUNIKASI BERKESAN OLEH : NUR WAHIDA BINTI JANUDIN

Upload: nyana

Post on 15-Jan-2016

307 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

**

TRANSCRIPT

Page 1: Nurwahida Janudin komunikasi

1

KOMUNIKASI BERKESAN

OLEH :

NUR WAHIDA BINTI JANUDIN

Page 2: Nurwahida Janudin komunikasi

2

PENDAHULUAN

Komunikasi ialah terjemahan daripada perkataan Inggeris communication.

Perkataan ini berasal daripada perkataan Latin communicare yang bermaksud to make

common atau mewujudkan persamaan (Shamsudin, 1993). Terdapat pelbagai takrifan

mengenai komunikasi. Menurut Sillars komunikasi adalah penghantaran, penerimaan atau

pertukaran maklumat atau pendapat atau idea dengan tulisan, percakapan atau imej

visual atau mana-mana kombinasi difahami dengan jelas oleh sesiapa yang terlibat.

Mengikut Robins dan De Cenzo (1998) pula, komunikasi melibatkan transmisi maksud dan

maklumat kepada audiens. Apabila maksud ataupun maklumat tidak diterima oleh audiens

maka proses komunikasi tidak berlaku.

De Vito (1978) menyatakan komunikasi ialah proses menghantar dan menerima

mesej antara dua peribadi dengan beberapa kesan dan maklum balas yang serta merta.

Berdasarkan definisi ini, beliau cuba menerangkan bahawa komunikasi melibatkan

sekurang-kurangnya dua orang yang menghantar dan menerima mesej sama ada dalam

bentuk perkataan atau isyarat. Mesej yang dihantar kadangkala mengalami gangguan,

iaitu kebisingan yang boleh mengurangkan kesan komunikasi. Mesej yang telah

dikirimkankan itu akan memberi impak kepada penerima dan penerima bertindak balas

menghantar mesej dalam bentuk maklum balas. Dengan ini timbul perasaan hampa

kepada penghantar dan boleh bertukar kepada perselisihan faham antara si penghantar

dengan si penerima.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, komunikasi berkesan akan

menimbulkan suasana yang lebih efektif untuk pelajar-pelajar memahami dan melibatkan

diri dalam aktiviti yang dijalankan dalam kelas. Sebelum sebarang proses komunikasi

wujud, idea, perasan, harapan, cita-cita, arahan mahupun maklumat dan lain-lain lagi

Page 3: Nurwahida Janudin komunikasi

3

perlu ditukar kepada bentuk yang difahami oleh si penerima. Bentuk ini dipanggil simbol-

simbol. Simbol ini wujud dalam bentuk tulisan, bahasa yang diucapkan, bahasa isyarat,

gambar bunyi, bahasa badan dan sebagainya.

Komunikasi berkesan tidak boleh tidak melibatkan penggunaan deria manusia dan

antara yang penting ialah mata, telinga, mulut, hati dan sentuhan. Ini kerana ia melibatkan

manusia yang mempunyai akal dan juga perasaan. Interaksi dan komunikasi yang hanya

menggunakan akal atau hanya menggunakan perasaan akan menjadi tidak berkesan

kerana ianya tidak menyeluruh. Seseorang yang mempunyai tahap kemahiran

perhubungan interpersonal yang tinggi dan komunikasi dengan berkesan menggunakan

deria manusia dengan bijaksana. Apabila kesemua deria tidak digunakan dengan

sebaiknya, keadaan komunikasi berikut mungkin boleh berlaku:-

Menerima mesej seadanya, mendengar tetapi tidak menangkap mesej

dengan jelas.

Melihat seadanya, tanpa peka kepada mesej tambahan yang dilahirkan

melalui mimik muka, pergerakan badan, tangan dan sebagainya

Tidak cuba memahami perasaan tersebut.

Komunikasi berkesan berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:-

Mesej yang disampaikan difahami dengan tepat dah jelas oleh penerima

Makna mesej difahami dan dikongsi bersama oleh pengantar dan penerima

Perubahan yang berlaku (sekiranya dikehendaki) akibat dari mesej adalah seperti

perubahan yang dikehendaki oleh penghantar

Mesej yang dihantar mempunyai unsur kos-efektif

Page 4: Nurwahida Janudin komunikasi

4

KOMUNIKASI BERKESAN

Komunikasi merujuk kepada proses dimana manusia menyebarkan informasi, idea,

sikap dan keadaan mental seseorang terhadap orang lain. Ianya melibatkan proses verbal

dan non-verbal dalam menghantar dan menerima maklumat. Komunikasi verbal adalah

komunikasi menggunakan bahasa yang membolehkan manusia mengeluarkan idea dan

perlakuan. Manakala komunikasi non-verbal adalah komunikasi menggunakan bahasa

badan seperti gestur, nada suara, jarak ungkapan, hentian dan diam, keluhan dan

sebagainya.

Terdapat banyak kajian yang telah dikenalpasti bagaimana ia mewujudkan

komunikasi berkesan di dalam menguruskan proses pengajaran dan pembelajaran di

dalam kelas. Komunikasi yang berkesan amat diperlukan untuk mencapai objektif yang

hendak dicapai oleh pensyarah. Objektif pengajaran dan pembelajaran termasuklah

pelajar boleh mengetahui, memahami dan mengamalkan sesuatu yang telah dipelajari

dengan sebaiknya di akhir pembelajaran dan untuk masa hadapan. Di antara contoh-

contoh amalan komunikasi yang boleh membantu pensyarah-pensyarah di politeknik bagi

mengurus kelas dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti yang

dibincangkan di bawah:

1. Mengenali dan Memahami Pelajar

Apabila kita memahami pelajar dari segi luaran dan dalamnya, maka mudahlah kita

berkomunikasi dan berinteraksi dengan lebih baik dan berkesan. Dalam konteks ini, kita

hendaklah belajar dan boleh mengetahui tabiat pelajar secara umum, apa yang mereka

suka dan apa yang mereka tidak suka. Hal ini akan menjadikan mereka menyenangi

kita. Mereka akan cuba mengenali dengan lebih dekat, berkawan serta ingin bercakap

Page 5: Nurwahida Janudin komunikasi

5

dengan kita. Dengan itu timbullah kemesraan dan terjalinnya persahabatan secara

umumnya. Untuk mengenali dan memahami mereka, pensyarah memerlukan ilmu serta

pengalaman. Ilmu boleh diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya ialah dengan

membaca, memerhati serta ilham. Sementara pengalaman pula diperolehi secara

mengalami dan mengaplikasi sendiri sesuatu perkara atau keadaan.

2. Praktikkan gaya kepimpinan demokratik.

Pensyarah mesti mempunyai gaya kepimpinan yang baik, tutur kata yang tegas dan

jelas atau penggunaan nada yang betul yang perlu digunakan pada situasi yang betul

bertujuan untuk menarik minat dan perhatian pelajar dalam menerima maklumat yang

hendak disampaikan. Pakaian dan cara komunikasi gerak badan atau mimik muka

pensyarah memainkan peranan penting dalam menunjukkan penegasan yang

menjelaskan data yang ingin disampaikan kepada pelajar supaya mudah difahami dan

jelas. Selain itu ia dapat melahirkan suasana gaya yang betul dalam proses pengajaran

dan pembelajaran agar pelajar seronok dan terus berminat dalam menerima

pengajaran yang disampaikan oleh pensyarah di politeknik.

Gambarajah 1

3. Jangan Menyinggung Perasaan

Apabila berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar, jangan sesekali

menyinggung perasaan mereka, apatah lagi dengan sengaja. Sekiranya kita menyedari

yang kita menyinggung perasaan mereka secara tidak sengaja, maka cepat-cepatlah

Page 6: Nurwahida Janudin komunikasi

6

meminta maaf tanda keikhlasan. Perasaan atau emeosi pelajar-pelajar boleh

tersinggung disebabkan mereka berasa terhina, diperli, diperbodohkan, dicela dengan

sesuatu kekurangan, keluarga, corak kehidupan dan lain-lain. Apabila perasaan mereka

tersinggung agak sukar untuk dipulihkan atau dikembalikan kepada keadaan biasa,

terutama sekali perasaan itu besifat sensitif atau mudah memendam rasa. Sebagai

contoh, pensyarah tidak harus sama sekali berkata kepada pelajar yang mengulang

kursus: ”Awak semua ni bodoh. Patutla awak berada di dalam kelas mengulang”.

Adalah lebih baik pensyarah tidak memberi sebarang komen atau pun memberi komen

yang membina.

4. Menghormati Budaya dan Adat Resam Pelajar

Pensyarah seharusnya sedar dan faham bahawa setiap pelajar yang berada di

dalam kelas sebenarnya mempunyai budaya atau adat resam tersendiri. Pelajar Melayu

mempunyai adat resam dan budanya tersendiri begitu juga dengan kaum-kaum lain

yang berada di dalam kelas. Mungkin ada yang beranggapan bahawa hanya budaya

merekalah yang lebih baik daripada budaya yang lain dan harus dihormati. Ini

merupakan anggapan yang tidak sihat, kerana pelajar lain juga beranggapan

sedemikian. Sebagai contoh, sekiranya kita berinteraksi dengan dengan pelajar dari

kaum Cina, kita hendaklah menghormati budaya atau adat resam orang Cina

berkenaan, barulah tidak akan timbul perkauman di dalam kelas.

5. Galakkan penglibatan pelajar dengan mengelolakan aktiviti

Aktiviti-aktiviti di dalam kelas akan mewujudkan interaksi pelajar dengan pelajar dan

pensyarah dengan pelajar secara dua hala. Ini akan menjadikan penglibatan pelajar

dalam sesi pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dan ianya juga dapat

meningkatkan keyakinan pelajar.

Page 7: Nurwahida Janudin komunikasi

7

6. Gunakan kaedah berkumpulan sekiranya boleh dilakukan.

Kaedah berkumpulan adalah ditekankan dalam suasana realiti kerana interaksi

pelajar dengan pelajar serta pensyarah dapat diperkembangkan. Ia boleh melahirkan

pelajar yang mempunyai nilai kerjasama dalam kumpulan, menghormati pandangan

kawan-kawan, mempunyai kemahiran berfikir sendiri dan boleh menyelesaikan

masalah. Sebagai contoh, pensyarah boleh mengadakan pertandingan antara

kumpulan sebagai salah satu kaedah.

7. Adakan sesi soal jawab dalam pengajaran.

Sesi soal jawab membantu pelajar mengingati kembali apa yang telah dipelajarinya,

malah juga meletakkan pelajar sentiasa bersedia serta memberi komitmen yang tinggi

kepada pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan oleh pensyarah.

Gambarajah 2

8. Menggunakan alat bantu mengajar yang berteknologi.

Mengunakan komputer berteknologi tinggi, persembahan pengajaran dan

pembelajaran menggunakan Microsoft Powerpoint dan sebagainya akan memudahkan

proses pengajaran dan pembelajaran serta ianya lebih diminati oleh pelajar berbanding

Page 8: Nurwahida Janudin komunikasi

8

menulis di papan putih. Ini disebabkan oleh penggunaan video serta audio dapat

menunjukkan maklumat sebenar dengan lebih jelas.

9. Ikhtiarkan penyertaan pelajar-pelajar.

Interaksi pelajar adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran yang

dilakukan oleh pensyarah. Oleh itu pensyarah mestilah berusaha mengikhtiarkan

penyertaan semua pelajarnya supaya aktif di dalam kelas kerana usaha menggalakkan

pelajar-pelajar aktif akan menanamkan minat mereka dan pemerhatian yang lebih

terhadap pelajarannya.

Gambarajah 3

10. Cara memberi nasihat.

Apabila pensyarah hendak memberi nasihat kepada pelajar-pelajar, gaya

pensyarah, nada suara pensyarah dan perkataan yang digunakan hendaklah menarik

minat pelajar yang mendengarnya. Justeru itu, bercakaplah dengan suara dan nada

yang lemah lembut. Percakapan seumpama ini pada hakikatnya akan melembutkan

hati yang keras serta degil. Pensyarah hendaklah ingat walaupun nasihat yang

diberikan adalah baik, tetapi kalau tidak kena dengan cara, pelajar yang dinasihati tidak

akan mendengar nasihat malah mungkin akan bermasam muka dengan pensyarah

pula. Justeru itu semasa memberi nasihat elaklah daripada bersikap sombong,

berkelakuan kasar dan biadab, mencerca memaki hamun dan sebagainya. Gaya

pensyarah juga memainkan peranan penting dalam memberi nasihat. Ketika memberi

Page 9: Nurwahida Janudin komunikasi

9

nasihat, hendaklah ditunjukkan sikap pensyarah yang jujur, ikhlas, lemah lembut,

pengasih, merendah hati dan bersopan-santun. Gaya penyarah hendaklah bersungguh-

sungguh dan bukannya dilihat sebagai sambil lewa sahaja.

11. Adakan sesi kaunseling dengan pelajar bermasalah

Pelajar yang bersikap pendiam dan pemalu, yang tersingkir dan terasing akan

menjejaskan interaksi di dalam kelas. Pensyarah seharusnya berikhtiar membantu

pelajar seperti ini dan merujuk kepada kaunselor di politeknik untuk diatasi

permasalahan pelajar tersebut. Diharapkan pelajar tersebut mengubah tingkahlaku dan

boleh melibatkan diri secara aktif di dalam kelas. Dengan ini interaksi pelajar

bermasalah dengan pensyarah dan pelajar lain akan bertambah.

12. Tidak pilih kasih.

Sikap pilih kasih adalah merupakan sikap yang bercirikan ketidakadilan, tidak jujur,

cemburu dan tidak ikhlas. Untuk mewujudkan komunikasi berkesan dalam pengajaran

dan pembelajaran, pensyarah sama sekali tidak boleh bersikap pilih kasih. Sikap pilih

kasih akan membuatkan lunturnya ketidakpercayaan pelajar terhadap pensyarah dan ia

akan menimbulkan perasaan benci, marah, tidak peduli atau perasaan dendam.

Sebagai contoh, sekiranya kita bersikap pilih kasih di dalam kelas, tentu terdapat

segelintir pelajar tidak menyayangi atau tidak menghormati kita sebagai pensyarah.

Pensyarah perlu memberikan perhatian yang sama rata dan bersikap adil terhadap

pelajarnya.

Page 10: Nurwahida Janudin komunikasi

10

Gambarajah 4

13. Memberi sokongan kepada pelajar yang memberi pendapat.

Sekiranya pelajar mengeluarkan pendapat yang kurang tepat seperti yang

dikehendaki oleh pensyarah, adalah tidak seharusnya pensyarah terus menyalahkan

pelajar. Seharusnya pensyarah hendaklah memperbetulkan pendapat tersebut atau

menyokong pendapat tersebut supaya ianya menjadi lebih jelas untuk diterima pakai

oleh pelajar yang lain.

14. Memberi pujian

Kita biasa mendengar orang berkata; ”Saya tak suka dipuji-puji, ”Saya tak makan

puji” dan kata-kata lain yang seumpama dengannya. Pada realitinya (dari aspek

psikologi), setiap orang mahukan dirinya dipuji begitu juga seseorang yang bergelar

pelajar. Di sini dapat kita katakan bahawa hati kecil manusia mahukan dirinya dipuja

dan dipuji. Apabila kita mengetahui naluri seumpama itu, maka usahlah kita kedekut

dengan pujian. Pujilah pelajar secara berpadanan dengan apa yang dia buat atau apa

yang dia ada. Pujilah secara ikhlas dan sederhana. Kalau kita memuji pelajar secara

berlebih-lebihan atau melampau, ia akan melahirkan dua implikasi iaitu:

Page 11: Nurwahida Janudin komunikasi

11

a. Pelajar yang dipuji akan berperangai mengada-ngada, riak dan bongkak kerana

termakan pujian. Sikap dan tingkah lakunya berubah. Sikap ini akan

menimbulkan rasa kebencian pula dikalangan pelajar yang lain.

b. Pelajar yang dipuji merasakan pujian kita dibuat-buat yang boleh ditafsirkan pula

sebagai perli, sindiran mengejek atau dusta pula. Pujian yang diberikan

hendaklah kena ada masa dan tempat. Pujian yang tidak kena pada masa dan

tempat akan menimbulkan pelbagai implikasi yang tidak diingini. Dalam hal ini

Imam Ghazali menegaskan, ”Memuji orang adakalanya dilarang pasa

sesetangah tempat.”

Justeru itu, pensyarah mestilah berwaspada dengan setiap pujian yang diberikan

kepada pelajar-pelajar supaya tidak merosakkan suasana pengajaran dan

pembelajaran.

15. Cara memarahi pelajar

Ketika berkomunikasi dengan pelajar, kadangkala timbul perasaan marah. Secara

logik apabila timbul kemarahan dan perasaan ingin memarahi pelajar, pensyarah boleh

terus memarahinya. Walaubagaimanapun, pensyarah yang mempunyai teknik

komunikasi yang baik sedar bahawa cara memarahi pelajar hendaklah dititkberatkan,

supaya tidak timbul implikasi yang tidak baik semasa sesi pengajaran dan

pembelajaran berlaku. Pensyarah boleh memarahi pelajar tetapi mestilah

menggunakan cara yang tertentu iaitu jangan sesekali memarahi pelajar di khalayak

ramai. Memarahi pelajar di khalayak ramai akan menjatuhkan maruahnya. Dan, ia akan

menimbulkan rasa malu dan hilang harga diri. Akhirnya pelajar yang dimarahi akan

bersikap agresif dan melawan kita balik. Ini disebabkan egonya tercabar. Jika ini

berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran, objektif yang hendak disampaikan

kepada pelajar lain tidak akan tercapai. Jadi, salah satu cara yang paling baik ialah

dengan memarahinya di tempat yang tiada orang atau di tempat yang tidak dapat

Page 12: Nurwahida Janudin komunikasi

12

didengari isi percakapan atau kemarahan. Ajak atau bawaklah pelajar yang kita hendak

marahi itu ke sudut atau tempat yang sesuai dan jauh daripada orang ramai. Di situ

bolehlah kita memarahinya dengan cara yang sebaik mungkin. Dengan cara ini, besar

kemungkinan pelajar yang dimarahi boleh menerima kemarahan kita, lebih-lebih lagi

sekiranya dia menyedari kesalahanya dan patut dimarahi. Dengan ini, pelajar yang

dimarahi mungkin menerima apa-apa sahaja kemarahan kita dengan penuh rasa sedar

dan akur kepada kemarahan kita sekiranya dia benar-benar bersalah. Justeru itu akan

timbul rasa hormat di hatinya kepada kita kerana kita pandai memilih cara terbaik

memarahinya. Ketika hendak memarahi pelajar, cubalah memujuk diri kita supaya

bertenang dan bersabar. Inilah sikap yang paling baik, terpuji dan mulia.

Gambarajah 5

16. Jangan menghina

Timbulnya sikap menghina disebabkan oleh perasaan riak yang sentiasa ditiupkan

oleh iblis dan syaitan ke dalam hati nurani, tetapi kita tidak langsung menyedarinya.

Perbuatan menghina pelajar, merupakan satu perbuatan yang dibenci oleh sesiapa

sahaja. Kita sebagai insan yang dijadikan oleh Allah (s.w.t) sepatutnya atau seharusnya

tidak boleh menghina atau memandang rendah kepada sesiapa pun termasuklah

pelajar, meskipun mereka hidup dalam kemiskinan, cacat anggota, kurang pandai dan

sebagainya. Sebagai pensyarah, kita hendaklah sedar bahawa mungkin pelajar yang

Page 13: Nurwahida Janudin komunikasi

13

dihina itu lebih bertakwa kepada Allah daripada kita. Perbuatan menghina pelajar

adalah haram di sisi syarak dan berdosa. Apabila kita menghina seorang pelajar,

secara automatik pelajar lain akan memandang serong terhadap kita. Oleh sebab itu,

pelajar tidak akan memberi maklum balas yang dikehendaki semasa proses pengajaran

dan pembelajaran sedang berlangsung.

17. Gurau Senda dan Kecindan

Satu perkara yang tidak kurang pentingnya dalam komunikasi berkesan dan

interaksi ialah unsur-unsur kecindan atau gurau senda. Unsur ini memainkan peranan

penting kerana ia boleh menimbulkan suasa mesra, riang dan boleh mengurangkan

ketegangan di dalam kelas. Perhubungan komunikasi yang berlaku secara serius akan

menimbulkan rasa tertekan, tidak seronok dan mahu cepat-cepat ditamatkan proses

pengajaran dan pembelajaran. Pelajar memerlukan unsur-unsur gurau senda, seronok,

mencuit hati dan melepaskan emosi daripada tekanan pelbagai keadaan dalaman dan

luaran hati seseorang, lebih-lebih lagi pelajar yang mempunyai banyak tugasan yang

hendak disiapkan ataupun sukar untuk memahami pelajaran yang lain. Justeru itu

apabila pensyarah yang pandai berlawak atau boleh menimbulkan unsur humor dan

gurau senda ketika berkomunikasi, ia akan diminati dan disukai pelajar. Walau

bagaimanapun kita sebagai pensyarah hendaklah ingat yang gurau senda itu tidak

melampaui batas dan tidak menyakitkan hati pelajar.

18. Gunakan perkataan yang positif

Sebagai insan biasa kita lebih suka mendengar perkataan positif dan

memberansangkan. Begitu juga halnya terhadap pelajar. Arahan-arahan yang

menggunakan perkataan yang positif mendapat kerjasama yang lebih baik daripada

pelajar. Contoh-contoh perbualan yang sepatutnya diucapkan (perbualan positif) dan

yang tidak sepatutnya dituturkan (perbualan negatif) adalah seperti Jadual 1 dibawah.

Page 14: Nurwahida Janudin komunikasi

14

Perbualan Positif Perbualan Negatif

” Saya tidak dapat bercakap dengan

anda melalui telefon.”

”Saya dapati susah hendak

menghubungi anda menggunakan

telefon.”

”Saya dapat memberi markah ujian anda

pada hari Isnin.”

”Saya tidak dapat memberi markah ujian

anda sehingga hari Isnin.”

”Anda boleh mendapat markah yang

lebih baik jika anda memperbaiki

beberapa kesilapan dalam tugasan ini

seperti...”

”Anda mendapat markah yang rendah

kerana anda melakukan beberapa

kesilapan dalam tugasan ini seperti...”

19. Jadilah pendengar yang baik

Mendengar dengan baik adalah salah satu komponen utama dalam meningkatkan

keberkesanan dalam komunikasi pensyarah dengan pelajar. Menjadi pendengar yang

baik dapat membantu pensyarah menapis maklumat yang benar dan maklumat yang

tidak benar. Dengan menjadi pendengar yang baik, ia dapat membentuk hubungan

yang baik dengan sesiapa sahaja. Apabila kita mendengar dengan baik dan

bersungguh-sungguh, kita sebenarnya memberi penghormatan kepada penyampai

maklumat. Dalam konteks ini, pelajar adalah penyampai maklumat kepada pensyarah.

Gambarajah 6

Page 15: Nurwahida Janudin komunikasi

15

RUMUSAN

Komunikasi berkesan sememangnya menjadi sasaran kepada pensyarah, baik

dalam kehidupan seharian, dalam pengajaran dan pembelajaran mahupun ketika bekerja.

Perbezaan budaya yang wujud di kalangan pelajar boleh menjadi faktor penghalang untuk

pensyarah berkomunikasi secara berkesan. Halangan tersebut boleh berupa halangan

bahasa atau mesej lisan, mesej bukan lisan, prasangka, nilai, kepercayaan dan

sebagainya. Bagi mengatasi halangan ketika berkomunikasi, pensyarah harus menjadi

komunikator yang kompeten ketika berkomunikasi dengan pelajar. Amalan-amalan

komunikasi berkesan merupakan satu kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai sebaik

mungkin terutamanya pensyarah untuk memudahkan penyampaian pengajaran dan

pembelajaran di dalam kelas. Peranan komunikasi dalam konteks pengajaran dan

pembelajaran adalah untuk memotivasikan pelajar, menyampaikan maklumat dengan

betul dan tepat serta sebagai pembangunan sahsiah peribadi pelajar sebagai generasi

yang akan datang yang akan mentadbir kerajaan.

Maka jelaslah di sini bahawa interaksi antara pelajar dan pensyarah memainkan

peranan yang sangat penting di dalam mewujudkan suasana pengajaran dan

pembelajaran yang menarik. Untuk mewujudkan suasana interaksi sosial yang baik,

pensyarah dan pelajar perlu mengetahui peranan yang sebenarnya yang perlu dimainkan

oleh setiap individu. Ini kerana dalam usaha menyesuaikan diri dalam masyarakat, pelajar

dipengaruhi oleh berbagai-bagai egen sosialisasi termasuk keluarga, institusi pengajian,

rakan sebaya dan media massa. Politeknik sebagai institusi sosial bertanggungjawab

mewujudkan interaksi sosial dan pembentukan sikap kepimpinan di kalangan pelajar

dengan menekankan keberkesanan interaksi di dalam bilik kuliah.

Page 16: Nurwahida Janudin komunikasi

16

RUJUKAN

Aziz Salleh (2005). Teknik Berkomunikasi dan Berinteraksi yang Efektif. Selangor, Shah

Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Hashim Fauzy Yaacob (2001). Komunikasi Antara Manusia. Johor, Skudai: Universiti

Teknologi Malaysia.

Robiah K. Hamzah, Phd. (2001). Teknik dan Strategi Membimbing Remaja Kaedah

Berkomunikasi Berkesan. Pahang, Bentong: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Zainuddin Zakaria, Ziadatul Hidayah Zakaria (2006). Komunikasi Efektif. Selangor, Batu

Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Maimunah Osman (2000). Komunikasi Berkesan – Hubungan Interpersonal. Institut

Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur

http://www.scribd.com/doc/6513938/Komunikasi-Berkesan

http://info.mohr.gov.my/PTK/notaPTKbaru/komunikasi/KOMUNIKASI%20BERKESAN%20

1.pdf

http://www.scribd.com/doc/47269263/Komunikasi-Berkesan-Dalam-Bilik-Darjah

http://www.ehow.com/way_5171235_effective-communication-tips-classroom.html

http://www.scribd.com/doc/11631219/8-Effective-Classroom-Communication-Management

Page 17: Nurwahida Janudin komunikasi

17

LAMPIRAN