mutu sukan
DESCRIPTION
LangkahTRANSCRIPT
Sukan banyak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara. Nyatakan usaha-usaha untuk
meningkatkan mutu sukan negara.
Sukan merupakan salah satu aktiviti yang menjadi tumpuan utama masyarakat, khususnya atlet-atlet dan
peminat sukan di Malaysia. Sebenarnya bidang sukan banyak memberikan manfaat kepada bangsa dan
negara. Sebenarnya, bidang sukan terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu sukan tempatan seperti
Sukan Malaysia (SUKMA) dan sukan di arena antarabangsa, yakni Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan
Komanwel dan Sukan Olimpik. Malangnya, mutu sukan tempatan masih belum boleh kita banggakan
malah saban hari kelihatan seolah-olah prestasi para atlet negara kian menurun.
Sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, kita haruslah berikhtiar untuk meningkatkan mutu
sukan tempatan. Pertama sekali, kita haruslah berfikiran positif dalam usaha mengimport jurulatih sukan
dari luar negara untuk melatih atlet-atlet negara kita. Sebenarnya, jurulatih dari luar negara mempunyai
kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang sukan, khususnya sukan di peringkat antarabangsa
dan dunia. Pengalaman dan ilmu kepakaran yang dimiliki oleh mereka dapat memberikan tunjuk ajar yang
bermanfaat kepada atlet kita.Selain menyusun program latihan yang sewajarnya untuk atlet-atlet kita,
khidmat bakti jurulatih luar negara seperti Li Mao (badminton), Sid Allen (boling), dan sebagainya amat
diperlukan untuk memberikan nafas baharu dan pengalaman yang berguna kepada barisan pemain
badminton, boling dan sukan-sukan yang lain untuk memperoleh kejayaan dan kecemerlangan di buana
sukan serantau dan antarabangsa.
Peranan ibu bapa dan institusi pendidikan, yakni sekolah amat diperlukan untuk mendedahkan anak-anak
kepada pelbagai jenis sukan dan permainan sejak di bangku sekolah rendah lagi bak kata peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya.Dalam hal ini, lebih banyak sekolah sukan seperti Sekolah Sukan
Bukit Jalil perlulah diwujudkan dan disebarluaskan ke seluruh pelosok tanah air dala usaha untuk
mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan dan permainan.
Biasanya, sekolah-sekolah sukan yang terkenal akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan
prasarana sukan. Murid-murid yang berbakat ini berpeluang untuk menggunakan pelbagai kemudahan
sukan ini untuk berlatih bersungguh-sungguh selain menelaah dan mendalami ilmu pengetahuan dalam
bidang kurikulum. Dengan usaha yang berterusan, latihan rapi yang sistematik di bawah bimbingan
jurulatih yang profesional maka tidak hairanlah pada suatu hari nanti akan lahirlah barisan atlet negara
yang berpotensi untuk mewakili negara dan memenangi beberapa banyak kejuaraan di peringkat serantau
dan antarabangsa.
Seterusnya, usaha-usaha yang berkesinambungan amatlah perlu untuk menghantar atlet-atlet negara
yang berpotensi ke luar negara untuk menjalani sesi latihan, sama ada sesi latihan jangka pendek atau
sesi latihan jangka panjang..Sesi latihan seumpama ini bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada
teknik latihan yang terkini di samping memberikan peluang kepada atlet negara berlatih bersama-sama
atlet-atlet handalan dari luar negara. Dengan cara ini, mereka dapat menimba ilmu dan kemahiran baharu
sekali gus membaiki setiap kelemahan dan kekurangan dalam diri mereka demi kecemerlangan diri dan
sukan tanah air. Misalnya, penghantaran ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah ke Australia untuk
menjalani sesi latihan dalam sukan renang telah menelurkan hasil akhirnya apabila beliau telah berjaya
memenangi beberapa butir pingat emas dalam temasya Sukan Asia Tenggara dan Sukan Asia.
Akhirulkalam, kerajaan dan pihak swasta haruslah senantiasa berganding bahu untuk membangunkan dan
memartabatkan mutu sukan negara di samping iltizam dan kesungguhan masyarakat majmuk Malaysia
dalam bidang sukan dan permainan tempatan. Sesungguhnya, para atlet tanah air mampu dan
berkeupayaan untuk maju dalam bidang sukan sehingga peringkat antarabangsa sekiranya mereka diberi
peluang dan galakan yang berterusan tanpa putus asa selain prasarana, jurulatih yang berketrampilan,
galakan dan pengiktirafan. Dengan cara itu, bakat-bakat atlet handalan dapat dicungkil dan diketengahkan
di persada sukan antarabangsa sejajar dengan slogan ”Majulah Sukan untuk Negara”.