laporan bina insan guru lawatan penanda aras interaksi profesional dengan guru cemerlang
DESCRIPTION
kPTRANSCRIPT
LAPORAN BINA INSAN GURU LAWATAN PENANDA ARAS INTERAKSI PROFESIONAL DENGAN GURU CEMERLANG
Pada 15 Julai hingga 20 September 2013 iaitu sepanjang tempoh praktikum 2,
kami telah diminta untuk menjalankan lawatan penanda aras yang berfokuskan kepada
interaksi profesional bersama Guru Cemerlang. Matlamat program ini adalah untuk
menjalankan satu bentuk interaksi profesional antara guru pelatih dan Guru Cemerlang
di sekolah. Manakala objektif bagi program ini antaranya adalah untuk
mengembangkan kemahiran komunikasi secara profesional guru pelatih apabila
membuat temubual bersama individu yang memiliki kredibiliti profesional dalam
profesion perguruan bagi mendapatkan maklumat daripada beliau. Selain itu, program
ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan amalan pedagogi,
inovasi sumber pdp, nilai-nilai yang diamalkan serta ciri-ciri profesionalisme dan
komitmen sebagai Guru Cemerlang.
Berdasarkan kepada matlamat dan objektif yang digariskan, kami telah
mendapatkan seorang Guru Cemerlang untuk ditemubual iaitu Encik Amiludin bin
Sahmin yang berusia 47 tahun. Beliau merupakan seorang guru Bahasa Melayu dan
pada masa yang sama juga turut mengajar mata pelajaran Muzik dan Pendidikan
Jasmani. Kerjaya beliau sebagai seorang guru bermula pada 1989 sehinggalah ke hari
ini. Antara tahap pendidikan yang dilaluinya adalah beliau telah mengambil SPM
sebanyak dua dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Insitut Teknologi Mara(ITM)
atau kini dikenali dengan panggilan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan
mengambil jurusan pengurusan perhotelan. Pada awalnya beliau bercita untuk menjadi
seorang chef sebelum berminat menceburi bidang perguruan.
Masalah krisis ekonomi yang berlaku pada ketika itu menyebabkan beliau tidak
dapat mencari pekerjaan dan hal ini menyebabkan beliau terpaksa menganggur selama
setahun lamanya. Akhirnya beliau telah membuat permohonan untuk memasuki maktab
perguruan dan setelah menjalani sesi temuduga akhirnya beliau diterima. Minat beliau
dalam profesion perguruan sememangnya telah ada kerana dipengaruhi dengan latar
belakang keluarga yang juga seorang guru. Sekolah pertama tempat beliau berkhidmat
adalah di Sekolah Bandar Ester. Beliau telah mendapat ijazah dalam jurusan Bahasa
Melayu dan Kesenian pada usia 40-an. Hal ini menunjukkan betapa tingginya semangat
beliau untuk menambah ilmu dalam subjek utama yang beliau minati.
. Sepanjang menjadi guru, beliau pernah memegang beberapa jawatan sama
ada di peringkat sekolah dan daerah. Kini beliau memegang jawatan sebagai Ketua
Bilik Guru di Sekolah Kebangsaan Temenggong Ibrahim Penggaram. Sebelum ini,
beliau pernah dilantik sebagai jurulatih utama untuk mata pelajaran Bahasa Melayu
bagi membimbing guru-guru cemerlang diperingkat daerah. Beliau juga merupakan
salah seorang penanda kertas soalan UPSR bagi subjek Bahasa Melayu dan
merupakan penyelaras kecemerlangangan UPSR. Oleh itu, beliau sangat mahir dalam
mengenalpasti permasalahan murid dalam membuat karangan atau menjawab soalan
pemahaman. Tidak hairanlah sekiranya beliau menjadi pembimbing kepada guru-guru
cemerlang untuk subjek ini.
Pada suatu ketika dulu, beliau juga pernah menjadi penulis untuk sebuah buku
untuk menulis buku rujukan penulisan bagi tahun 4, 5 dan 6. Namun disebabkan
masalah dari segi penerbitan, buku tersebut tidak dapat dipasarkan. Semua karangan
yang dimuatkan di dalam buku tersebut merupakan idea daripada beliau sendiri. Bukan
sahaja berminat dalam bidang keguruan tetapi dalam masa yang sama beliau amat
meminati bidang penulisan. Beliau berharap pada suatu masa nanti beliau dapat
menulis buku lagi untuk dipasarkan. Beliau juga berhajat untuk menghasilkan novel
yang boleh memenuhi cita rasa kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Misalnya
untuk novel remaja, beliau ingin mengetengahkan tema cinta yang lebih bersifat
ketuhanan dan tidak melalaikan.
Dari segi amalan pedagogi, beliau gemar menggunakan gaya pembelajaran
secara peniruan atau dari istilah pendidikannya digelar teori pembelajaran sosial Albert
Bandura. Walaupun ada sesetangah pendidik merasakan bahawa teknik ini akan
menyebabkan murid kurang kreatif dan sebagainya namun beliau tidak berfikir
demikian. Beliau merasakan bahawa cara ini merupakan salah cara untuk memberikan
keyakinan kepada murid untuk membuat karangan dalam subjek yang diajarnya.
Berdasarkan kepada keyakinan ini, beliau mewajibkan murid untuk menyalin lima
karangan lengkap setiap minggu. Beliau berpendapat, murid haruslah memiliki satu
contoh atau model karangan yang baik untuk dijadikan contoh kepada murid supaya
mereka berasa tidak teragak-agak untuk membuat sesuatu karangan.
Beliau telah berkongsi satu ungkapan daripada Tun Dr. Mahathir Muhammad
yang berkata, “ guru ke kelas bukan hanya untuk mengajar sahaja, namun bagilah
sesuatu yang bermakna”. Jadi pada awal sesi pengajaran dan pembelajaran(pdp),
beliau tidak akan terus masuk ke dalam isi pdp pada hari tersebut. Beliau akan
memastikan murid akan berada di dalam keadaan bersedia terlebih dahulu. Apa yang
beliau lakukan semasa melangkah sahaja ke dalam kelas adalah dengan berdiri tegak
di hadapan dengan perwatakan yang agak tegas. Apabila murid melihat keadaan guru
tersebut, pada mulanya mungkin mereka tidak akan sedar namun lama-kelamaan
mereka sedar akan kehadiran guru dan mula untuk mengambil tempat masing-masing
dan bersedia untuk mendengar arahan seterusnya daripada guru. Setelah keadaan
terkawal barulah beliau akan meminta murid untuk membaca doa dan meneruskan pdp
yang telah dirancang.
Selain itu, antara pendekatan yang diambil sebelum kelas bermula adalah beliau
akan mengambil sedikit masa untuk berbual-bual dengan murid tentang pelbagai
perkara yang mampu menarik perhatian murid untuk memberikan tumpuan kepadanya.
Setelah murid mula fokus kepadanya, beliau akan terus masuk kepada topik
pengajarannya. Beliau juga turut menegaskan akan kepentingan intonasi suara guru.
Intonasi ini akan menentukan pandangan murid terhadap guru pada ketika itu, sama
ada guru sedang berjenaka, marah, tegas dan sebagainya.
Beliau bukanlah seorang guru yang suka memarahi muridnya sebaliknya beliau
lebih suka dengan pendekatan yang berbeza dengan menunjukkan keprihatinan,
simpati dan menghargai murid-muridnya. Beliau lebih gemar menggunakan pendekatan
psikologi untuk mengubah rentak murid beliau. Misalnya sekiranya terdapat murid yang
membuat bising atau sukar dikawal, beliau akan mendakap murid lelaki manakala
pelajar perempuan beliau akan memegang kepala mereka. Kemudian, beliau akan
bertanya kepada murid tersebut sebab mereka melakukan perbuatan itu dan tidak
mendengar arahan. Berdasarkan kepada pengalaman yang beliau ceritakan kepada
kami, pada kebiasaannya murid tersebut akan menangis dan rasa bersalah. Perkara ini
menunjukkan cara ini berkesan untuk membolehkan murid menyedari kesilapan
mereka.
Selain itu, beliau juga menceritakan pengalamannya untuk menangani masalah
murid yang sukar mendengar arahan dan nasihat. Beliau memiliki seorang murid
bernama Luqman yang agak sukar dikawal. Murid ini memiliki latar belakang keluarga
yang bermasalah. Apabila dia tidak mendengar arahan dan sebagainya, beliau akan
menyebut nama Luqman dan murid-murid lain akan mula mengejeknya. Dalam situasi
tersebut guru akan menyatakan kepada murid-murid yang lain bahawa sebenarnya
Luqman ini adalah murid yang baik. Maka pada awalnya murid akan mengejek dan
tidak kurang juga yang menyatakan cikgu pilih kasih dan sebagainya. Namun lama
kelamaan mereka sendiri sudah boleh memeluk Luqman dan memohon maaf
kepadanya. Beliau menjelaskan apa yang dilakukannya adalah menukarkan yang
negatif kepada yang positif.
Bagi menangani masalah murid yang malas membuat kerja rumah pula, beliau
sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan memarahi muridnya. Pada awalnya
beliau akan bertanya bilangan murid yang tidak menyiapkan kerja rumah. Sekiranya
bilangan mereka lebih daripada separuh maka beliau akan meminta murid
menyiapkannya ketika itu juga. Namun jika tidak, beliau akan membimbing murid
tersebut untuk menyiapkannya pada masa yang lain. Berbeza dengan sikap kebiasaan
guru, beliau juga tidak akan mendenda muridnya. Tetapi beliau menggunakan kaedah
ugutan yang sekadar untuk menakut-nakutkan mereka sahaja. Contohnya dengan
mengugut dengan UPSR yang akan diambil pada tahun hadapan dan sebagainya.
Namun, beliau juga menyedari bahawa kadangkala guru perlu memarahi murid
untuk memastikan murid sedar akan perasaan guru sekiranya mereka melakukan
kesalahan. Selepas marah tersebut, guru perlulah memujuk mereka kembali untuk
menarik kembali minat mereka. Bagi beliau kaedah ini ibarat kita “menarik rambut di
dalam tepung” kerana ia memerlukan ketelitian dalam menarik minat murid untuk
serius dalam belajar. . Di dalam pdp, beliau juga suka mengamalkan unsur-unsur
kecindan bagi memastikan murid-murid sentiasa ceria untuk mengikuti pembelajaran
pada hari tersbut..
Bagi meningkatkan pencapaian muridnya, beliau juga menggalakkan muridnya
untuk membawa buku karangan penulisan setiap kali keluar berehat. Walaupun mereka
mungkin hanya sempat membaca lebih kurang tiga atau empat potong ayat sahaja,
namun bagi beliau itu sudah memadai untuk menunjukkan kesungguhan mereka untuk
memperbaiki prestasi mereka dalam subjek tersebut. Selain itu, beliau juga
menggalakkan murid tahun 5 untuk membeli beberapa buku rujukan untuk subjek
penulisan sebagai persediaan bagi keperluan pembelajaran tahun 6 mereka . Beliau
ingin mereka menjadikan buku tersebut sebagai kamus rujukan dan model karangan
mereka.
Sekolah ini juga tidak ketinggalan dalam menggunakan bahan-bahan tambahan
lain seperti Akhbar Didik untuk mendapatkan soalan-soalan berbentuk UPSR yang baik
yang wajib dibeli oleh murid-muird tahun 6. Antara kebaikkan yang terdapat dalam
akhbar ini adalah dari segi soalan yang baru dibina berdasarkan analisis soalan dari
peperiksaan UPSR yang lepas. Oleh itu, murid akan dibiasakan dengan pelbagai
bentuk soalan yang berformat UPSR. Di samping itu, beliau juga menjalankan kaedah
pengajaran secara berkumpulan. Misalnya dalam saubjek penulisan bahasa
Melayunya, beliau akan membahagikan murid kepada kumpulan A , kumpulan B dan
seterusnya. Setiap kumpulan pula akan diminta untuk menghasilkan sebuah karangan
dengan format yang berbeza-beza seperti format cerita, berita dan sebagainya. Hasil
kerja akan dikongsikan bersama-sama murid-murid yang lain.
Beliau juga sangat mementingkan nilai keguruan yang perlu diamalkan oleh guru
pelatih, antaranya adalah tentang keikhlasan dalam menjalankan tugas sebagai
seorang guru. Bagi beliau, guru yang ikhlas adalah guru yang sentiasa bersedia untuk
berkorban masa, tenaga dan juga wang ringgit demi menyediakan perkhidmatan yang
terbaik untuk murid-murid mereka. Sebagai guru Bahasa Melayu beliau berasa sangat
perlu untuk beliau benar-benar memiliki ilmu yang cukup berkaitan subjek ini. Beliau
juga sentiasa membawa kamus bahasa Melayu setiap kali beliau mengajar subjek itu
bagi memudahkannya merujuk kepada perkataan yang sukar difahami. Bagi beliau
Bahasa Melayu bukanlah satu subjek yang mudah kerana ia memerlukan banyak
perbendaharaan kata yang sesuai.
Beliau juga menyentuh aspek fizikal yang perlu seseorang guru miliki iaitu aspek
suara yang ‘bulat’. Suara yang bulat bermaksud suara yang jelas dan mudah difahami
oleh murid dan agar murid mudah untuk dikawal. Perkara yang sangat penting semasa
pdp bagi beliau adalah faktor kawalan kelas, beliau tidak akan terus mengajar sekiranya
murid dalam keadaan yang tidak bersedia. Dan doa sebelum memulakan pembelajaran
juga tidak perlu dipandang remeh kerana disitulah bermulanya keberkatan dalam
pengajaran yang perlu diambil kira.
Sebelum mengakhiri sesi temubual pada hari tersebut beliau telah menyatakan
harapan beliau yang antaranya adalah agar semua murid yang telah belajar di tahun 6
sudah mahir untuk membuat ayat yang gramatis iaitu ayat lengkap yang betul di
sekolah ini. Kemudian beliau juga berharap bahasa Melayu menjadi bahasa yang
mudah untuk dipelajari dan tiada unsur biokrasi iaitu tidak hanya mengikut acuan yang
telah ditetapkan oleh mereka yang lebih berkuasa bagi memenuhi perkara tententu.
Selain itu, beliau juga menasihati pada guru supaya memiliki buku seperti murid sama
ada buku rujukan atau buku latihan. Hal ini untuk memudahkan guru bersedia untuk
memberikan apa-apa tugasan kepada murid dengan buku yang sama.
Disediakan Oleh, 23 September 2013
………………………………….
(NORHIDAYAH BINTI MOHMAD)
Setiausaha,
Program Bina Insan Guru,
IPTHO.