kps 6014 tugasan 2

15
KPS 6014 : TEORI SOSIOLOGI DAN AMALAN PENDIDIKAN TUGASAN 2 SOSIOLOGI DAN POLISI PENDIDIKAN NAMA :- NOOR SUZIANA BINTI ISMAIL NO.MATRIK :- M20122001290

Upload: ety-sue

Post on 18-Dec-2014

118 views

Category:

Education


6 download

DESCRIPTION

 

TRANSCRIPT

Page 1: Kps 6014 tugasan  2

KPS 6014 : TEORI SOSIOLOGI DAN AMALAN

PENDIDIKAN

TUGASAN 2

SOSIOLOGI DAN POLISI PENDIDIKAN

NAMA :- NOOR SUZIANA BINTI ISMAIL

NO.MATRIK :- M20122001290

N.PENSYARAH :- PROF.MADYA DR.AMIR HASAN DAWI

Page 2: Kps 6014 tugasan  2

PERSPEKTIF SOSIOLOGI MERANGKUMI TEORI DAN KONSEP SOSIOLOGI

ANALISIS ISU PENDIDIKAN BERDASARKAN PERSPEKTIF TEORI STRUKTURAL

FUNGSIONAL

Teori Struktural Fungsional ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam

kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Masyarakat selalu dianggap

seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian-bahagian dengan fungsi-fungsi yang

tersendiri.

Teori fungsionalisme memberi huraian mengenai organisasi sosial dan menerangkan

bagaimana sesuatu organisasi dikekalkan. Masyarakat telah diibaratkan sama seperti organisma

yang mempunyai bahagian-bahagian dan setiap bahagian masyarakat dikenali sebagai struktur.

Seterusnya kajian dilakukan untuk melihat bagaimana struktur masyarakat berfungsi. Menurut

teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan kelancaran perjalanan atau keharmonian

masyarakat.

Menurut Brinkerhoff dan White (1989 : 9), terdapat tiga andaian utama ahli-ahli

fungsionalisme iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama

untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan. Harmoni menunjukkan

bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat bekerjasama untuk

mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada

masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial kepada pembaruan. Tidak dapat dinafikan

bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa saling berhubung kait dalam

mengatasi masalah jenayah yang wujud di kalangan remaja.

Page 3: Kps 6014 tugasan  2

ANALISIS ISU : FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI BERLAKUNYA

JENAYAH DI KALANGAN REMAJA

1. Institusi Keluarga

Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock menakrifkan bahawa keluarga

adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai kerjasama

dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat (Goode, hal. 326). Faktor kepincangan

keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga akan mencorak kehidupan seorang

kanak-kanak. Kegagalan ibu bapa sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak

mereka akan menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka. James Becker

mengatakan ketidak seimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-

anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna. Ini akan menjejaskan

ketahanan diri pelajar. Maka jelaslah bahawa Institusi keluarga memainkan peranan yang

penting sebagai pembentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa haruslah membimbing,

memahami dan menyelami kehendak jiwa remaja serta berfikiran terbuka. Ini akan

mendorong kepada kewujudan suasana harmonis.

2. Pihak Sekolah

Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada

masyarakat yang lebih luas. Sebagai sebuah institusi sosial, sekolah mempunyai ciri-ciri

tersendiri yang sesuai dengan ciri-ciri organisasi moden seperti yang dinyatakan oleh

Weber. Sebagai organisasi formal sekolah mempunyai struktur kepimpinannya sendiri.

Pengetua / Guru Besar bertanggungjawab memimpin guru-guru, kakitangan am dan para

Page 4: Kps 6014 tugasan  2

pelajar. Guru-guru juga berperanan sebagai pemimpin dalam konteks masing-masing.

Peringkat paling asas ialah kepimpinan guru dalam bilik darjah. Selain itu guru juga

berperanan sebagai pemimpin aktiviti-aktiviti akademik serta kokurikulum seperti

persatuan, sukan, kelab dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan guru

semakin hari semakin mencabar. Kini, guru tersepit dalam menghadapi kerenah pelajar

bermasalah yang datang daripada pelbagai latar belakang dan corak pendidikan ibu bapa.

Sering kedengaran rintihan ibu bapa yang tidak boleh lagi membentuk dan mendidik

anak-anak mereka, lalu merayu dan meminta guru untuk membetulkannya. Pelajar inilah

yang sukar untuk ditangani kerana mereka juga turut tidak menghiraukan nasihat dan

teguran guru. Dalam pada itu, kes-kes guru diserang oleh ibu bapa atau ahli keluarga

pelajar sudah cukup mengajar guru untuk tidak bertindak menyelesaikan kes pelajar

bermasalah. Namun kemuliaan jiwa guru jelas terbayang apabila mereka tetap

meneruskan usaha melalui pelbagai cara dan pendekatan berdasarkan pengalaman dan

pengetahuan mereka untuk membentuk sahsiah pelajar supaya menjadi insan yang

bermoral tinggi walaupun menyedari kesan negatif yang mungkin menimpa diri.

3. Media Massa / Internet

Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam

mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui teknologi yang semakin

canggih ini, golongan remaja mudah terdedah kepada banyak maklumat termasuk bahan

yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan

daripada golongan dewasa. Golongan pelajar lazimnya mudah meniru dan mengikut hal

yang dilihat di sekeliling mereka. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat yang

Page 5: Kps 6014 tugasan  2

banyak memaparkan adegan ganas menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba

sendiri mengikut apa yang mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah

program televisyen. Selain daripada video cakera padat, bahan-bahan pornografi juga

mudah didapati melalui internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak yang berwajib.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya remaja ini

mendapat panduan yang betul.

4. Rakan Sebaya

Dalam kawasan sekolah, murid-murid juga dipengaruhi oleh rakan sebaya

mereka. Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kajian, pengaruh rakan sebaya

merupakan sumber yang paling kuat dalam mengubah nilai dan sikap seseorang apabila

pengaruh keluarga berkurangan pada peringkat lewat kanak-kanak. Kanak-kanak atau

remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya

yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini

mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Mereka akan membuat sesuatu yang di

luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain. Kemunculan golongan rendah moral

dan tidak bertanggungjawab yang menaja budaya hedonisme di kalangan remaja seperti

Kumpulan Black Metal dan Trash Metal sudah cukup memberi cabaran serta saingan

kepada usaha dan tugas guru untuk membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah

pengalaman budaya sihat. Akhir kata, pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap dan

nilai tingkah laku pelajar terutamanya pelajar yang berasal daripada keluarga yang

bermasalah dan keciciran dalam pelajaran.

Page 6: Kps 6014 tugasan  2

MENGANALISIS ISU BERDASARKAN TIGA KONSEP SOSIOLOGI

Terdapat tiga konsep sosiologi dianalisis berdasarkan isu yang dipilih, antara konsep sosiologi

adalah seperti berikut:

A. Modenisasi

Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat

sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi boleh juga diterima sebagai

keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti,

hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru. Gaya hidup tradisi telah berubah

sebagai gaya hidup moden. Modenisasi adalah salah satu alasan utama yang menjurus kepada

masalah jenayah di kalangan remaja adalah disebabkan oleh proses modenisasi. Dalam dunia

yang serba moden ini, masyarakat yang inginkan kemewahan menjadi semakin individualistik

dan materialistik. Masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir. Mereka mempercayai

bahawa usaha mereka boleh membawa kebaikan. Jika dibanding dengan masyarakat tradisional,

masyarakat industri moden mempunyai cita-cita tinggi. Mereka mahukan prestij, gaji tinggi dan

barang-barang materialistik. Masyarakat moden tidak lagi menganggap saudara-mara mereka,

jiran atau orang sekampung sebagai kelompok rujukan. Mereka mempunyai hubungan yang luas

– diluar batasan sosial dan fizikal. Terdapat beberapa adat resam tradisional yang sudah tidak

diamalkan lagi dalam masyarakat moden. Masyarakat moden lebih senang menerima

pembaharuan dan memandang kepada masa depan. Keadaan ini telah menyebabkan remaja kini

terbiar dan tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk dengan kerja masing-masing.

Dengan ini, remaja akan membantah dengan cara tersendiri untuk mendapatkan perhatian. Ini

akan menjadi satu penggalak kepada masalah jenayah.

Page 7: Kps 6014 tugasan  2

B. Kelas Sosial

Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak

stabil dengan kerosakan akhlak di kalangan anak-anak muda. Pelajar-pelajar yang datang dari

keluarga bermasalah dengan taraf sosio ekonomi yang rendah adalah antara faktor utama pelajar

terjebak dalam kancah masalah disiplin atau lebih teruk lagi iaitu jenayah. Di rumah,

kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud bagi sebilangan pelajar. Selain itu,

bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah, semakin meningkat menyebabkan

pelajar berasa terbiar dan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Dapatan yang dinyatakan

ini bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur & Ericson (1992); Kosterman

(1996) ; yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama menyebabkan masalah

disiplin. Keadaan ini akan menjadi semakin teruk jika masalah ini tidak ditangani.

C. Budaya Sekolah

Budaya sekolah merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat. Sekolah itu sendiri

lahir daripada keperluan masyarakat. Pendidikan nilai amat diutamakan. Seorang murid

warganegara Malaysia adalah dikehendaki menerapkan nilai-nilai material dan bukan material

ala Malaysia. Sekiranya beliau mengengkari nialai-nilai berkenaan, maka berlakulah

penyelewengan budaya. Sekarang kurikulum pendidikan Malaysia mengutamakan penerapan

nilai-nilai murni dalam mata pelajaran yang tentunya bertujuan membina budaya masyarakat.

Walau bagaimana pun, terdapat juga amalan-amalan budaya yang berbeza di kalangan

kumpulan-kumpulan di sekolah yang biasanya berlaku secara tidak formal. Ini disebut

subbudaya. Subbudaya yang biasa menonjol merupakan penyelewengan-penyelewengan

kumpulan yang terkeluar daripada budaya komuniti sekolah dan masyarakat. Kumpulan-

Page 8: Kps 6014 tugasan  2

kumpulan ini mungkin tidak melihat sekolah sebagai sesuatu yang penting ataupun mereka bosan

bersekolah. Antara contoh-contoh subbudaya di kalangan kumpulan-kumpulan murid adalah

seperti subbudaya ponteng, subbudaya lepak, subbudaya botak dan subbudaya black metal.

Kelahiran subbudaya ada kaitan dengan faktor hubungan murid dengan rakan-rakan dan

komuniti di luar sekolah seperti kehidupan kampung atau rumah pangsa. Masalah-masalah ini

perlu ditangani sebelum remaja-remaja ini melakukan sesuatu yang tidak diingini iaitu jenayah.

Page 9: Kps 6014 tugasan  2

CADANGAN DAN KESIMPULAN

Sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah

disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam persekitaran. Terdapat banyak

faktor yang perlu ditimbang sebelum kita boleh menuding jari siapa penyumbang utama isu ini.

Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”. Maka, adalah wajar bagi

masyarakat dan pihak berkuasa untuk mencari punca bagi masalah jenayah ini. Sebagai penjaga

kepada anak-anak, ibu bapa perlu lebih peka dan sentiasa mengambil berat tentang masalah yang

dihadapi oleh anaknya. Masyarakat pula patut mengambil langkah untuk mengubah budaya yang

menganggap seks sebagai suatu topik larangan. Ibu bapa patut bersikap terbuka dan

membincangkan isu ini dengan anak-anak mereka. Mata pelajaran seks juga perlu dimasukkan

dalam sistem pendidikan kita dan guru perlu diajar bagaimana untuk mengajar tajuk ini daripada

membiarkan mereka mengajar tanpa latihan sebenar. Akhir sekali, marilah kita dengan penuh

sedar dan keinsafan bergabung fikiran, tenaga, kepakaran dan pengalaman, bertindak mencari

jalan penyelesaian walaupun usaha yang dilaksanakan nanti belum pasti dapat menghapuskan

permasalahan ini tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung daripada terus

merebak memusnahkan anak bangsa, rakyat dan negara yang tercinta.

Page 10: Kps 6014 tugasan  2

RUJUKAN

Amir Hassan, 2001. (Penteorian Sosiologi dan Pendidikan), Tanjong Malim: Quantum Books.

Inkeles, Alex, 1982. (Apa Itu Sosiologi), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kamus penguin sosiologi. Oleh : Abercrombie, N. , Hill , S., & Turner, BS (2006). Harmondsworth , UK: Penguin.

Noran Fauziah Yaakub, 1987. (Pengantar Sosiologi), Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya.

Sharifah Alwiah Alsagoff, 1985. (Sosiologi Pendidikan), Kuala Lumpur: Heinemann.

Ting Chew Peh, 1979. (Konsep Asas Sosiologi), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.