himpunan rasa ja’afar haji hamdan -...

28
Himpunan Rasa Ja’afar Haji Hamdan Pernah aku menduga diri untuk apa aku terus begini terbiar dalam renda hidup yang berpaut pada keliru melulu Pernah juga aku mencuba melewati kehendak norma melampaui batas susila hingga aku terlupa bahawa aku sebenarnya mengundang padah Adakah perasaan ini akan aku kesali lantaran gelora minda terbiar dalam sengketa waktu yang tersangkut pada jemu kelu Atau, perlukah aku meneka memaknakan kehendak hati bahawa aku memaksa diri pada mimpi yang sukar ditafsir dan sering mungkir Dan akhirnya aku kecapi sendiri dalam hati

Upload: dangthu

Post on 02-Mar-2019

231 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Himpunan Rasa

Ja’afar Haji Hamdan

Pernah aku menduga diri

untuk apa aku terus begini

terbiar dalam renda hidup

yang berpaut pada keliru

melulu

Pernah juga aku mencuba

melewati kehendak norma

melampaui batas susila

hingga aku terlupa

bahawa aku sebenarnya

mengundang padah

Adakah perasaan ini

akan aku kesali

lantaran gelora minda

terbiar dalam sengketa waktu

yang tersangkut pada jemu

kelu

Atau, perlukah aku meneka

memaknakan kehendak hati

bahawa aku memaksa diri

pada mimpi yang sukar

ditafsir dan sering mungkir

Dan akhirnya

aku kecapi sendiri dalam hati

Sumber: Kumpulan Puisi Bunga yang Menangis, DBP 2009

Ketika Senyummu Berperi

Ja’afar Haji Hamdan

Betapa indahnya

ketika kaulayangkan senyuman

sekalipun bukan untukku

tapi aku rindu

untuk berkali menghayatinya

Betapa manisnya

ketika kaulirikkan senyuman

sekalipun bukan bagiku

tapi aku mahu

untuk berkali menatapinya

Betapa ayunya

ketika kaulemparkan senyuman

sekalipun bukan padaku

tapi aku restu

untuk berkali menjiwainya

Oh senyum itu

jadilah lelagu di malam syahdu

oh senyum ti

jadilah saljuku di dingin rindu

oh senyum itu

jadilah nafasku...nafasku

Maafkan aku

senyum itu bukan milikku.

Sumber: Kumpulan Puisi Bunga yang Menangis, DBP 2009

Bahasa Sehelai Rumput

Ihsan Noorzali

Sewaktu bersimpuh di padang pandangan

menduga akal

sesekali tenggelam rasa kekerdilan

di dasar hati

dan puncak setinggi ini

selalu pula menguji

gelombang rasa dan riak jiwa.

Kutahu tentang darjah diriku

dengan bahasa sehelai rumput

langit pun tidak berpaling dan tunduk

merenung dan menatap

rumput kecil di dada bumi.

Kuingin menyerahkan suara nurani

dengan bahasa sehelai rumput

melamar pengertian

tetapi kudrat sejari rumput

hanyalah laluan melangkah pergi

tiada persinggahan bertanya lara

sewaktu menelan lelah dan gundah

aku pun makin kenal makna hidup

persis rumput.

Puncak Jerai, Kedah

Berita Minggu, 15 Ogos 2004

Sumber: Kumpulan Puisi Merindu Alam, DBP 2008

Gendang

Hilmu Rindu

Yang terpesona pada bunyi

terpesona pada nyanyi

terpesona pada tari

adalah terpesona

pada gema yang jauh

yang gugur pada musim semi

pada usia

yang masih sunyi.

Dan terpesona pada diri

yang melontarkan hasrat pada nyanyi

dan melontarkan hasrat pada tari

dan melontarkan hasrat

tanpa lagu dan dodoi

tanpa sendu dan hibur

tanpa restu

dan lebur.

Dewan Sastera, Disember 2004

Sumber: Kumpulan Puisi Bagai Ada Sesuatu, DBP 2010

Mencari Nur

Hilmu Rindu

Nur di malam sepi

Nur di wajah bulan

Ku mencari nur

Nur yang cemerlang

Nur yang gemilang

Nur yang menghiburkan

Pada deru gerimis

ku mencari nur

pada desis bayu

ku mencari nur

pada gugusan awan

ku mencari nur

Nur yang lembut

Nur yang menghiburkan

ku mencari nur

di gemersik daun-daun

ku mencari nur

di gementar pohon-pohon

yang sedang mencipta

pucuk-pucuk baharu.

Ku mencari nur

yang berkembang

dalam kalbu.

Kuala Terengganu, 6 Januari 2007

Sumber: Kumpulan Puisi Bagai Ada Sesuatu, DBP 2010

Hujan Senja

Hilmu Rindu

Kala itu kedengaran suaranya

yang turun mencurah-curah

kamar ini menjadi riuh

bagai memanggil sepi yang basah.

Aku pun membuka jendela

merenung taman resah berkecai

pohon mempelam bagai dirempuh

pelepah kelapa dikirai-kirai.

Kulihat air bersatu

dengan daun dan bunga-bunga

kulihat air mencumbu

waktu senja yang masih muda.

Kala itu kulihat rahmat-Mu

yang berhamburan tak pernah sudah

kala itu kulihat diriku

lenyap dalam nikmat melimpah.

Kuala Terengganu, Januari – Februari 2006

Dewan Siswa, Januari 2007

Sumber: Kumpulan Puisi Bagai Ada Sesuatu, DBP 2010

Bahasa Merdeka

Hilmu Rindu

Bahasa merdeka sentiasa mekar

di laman kasih setia nusa

bahasanya tuntas tegas dan segar

tak berselindung sekelumit hampa.

Bahasa merdeka sentiasa bergelora

di kibaran pertiwi tambatan bangsa

bergerak menyusun panji-panji harapan

bebas berhujah memimpin panggilan.

Bahasa merdeka bahasa yang berkembang

dari denai ke lurah tinggi

bahasa yang digubah seindah adat

bahasa yang ditinta selentik muafakat.

Bahasa merdeka bahasa yang dijulang

dari pinggir ke tengah arena

pertahankan adat pertahankan muafakat

pertahankan inti yang menjadi slogan.

Kuala Terengganu, 5 Jun 2007

Sumber: Kumpulan Puisi Bagai Ada Sesuatu, DBP 2010

Bertanya pada Bintang

Hilmu Rindu

Malam pun bertanya pada bintang

mengapa suram di balik awan

apakah yang kelam dan tampak berbayang

apakah yang luput di tanah seberang?

Ketika bintang berkelip sunyi

bayu berpuput

sekan dingin

terasa embun sedang menetas

terasa pohon akan bertunas.

Malam pun bertanya pada bintang

mengapa diam di balik senyuman

apakah yang berkaca dan nampak ria

apakah yang membara di dalam sukma?

Ketika rumpun di wajah bumi

berteka- teki menatang dini

terasa detik mencipta sejarah

terasa titik berkeluh-kesah.

Malam pun bertanya pada bintang

ketika jasmani mencari langkah

atau rohani kembali sudah.

Dewan Sastera, Jun 2007

Sumber: Kumpulan Puisi Bagai Ada Sesuatu, DBP 2010

Damai Itu Nyata Indah

Rosani Hiplee

Tak ingin kuberpaling ke wajah hipokrasi

segalanya nyata melukakan

nyerinya senyaring daif terkutuk.

Tatapnya berkerdip bening

senyumnya bergaris sinis

madahnya berhelah dursila

batinnya tidak dekat

manusianya sirna jati diri.

Lalu rumput tidak lagi nyaman dipijak

langit biru kelam bercahaya

angin rakus merusuh mandala

matahari bonda menyusup di horizon jingga.

Segalanya angkara sengketa kata

bisa tujahan kata iri

yang meruntuh indah kota diri

yang menghancur susila bangsa.

Percayalah wahai jagat

bahawa damai itu nyata indah.

Kalimantan Timur. Disember 2001

Sumber: Kumpulan Puisi Cinta Perempuan yang Cantik, DBP 2011

Tersenyumlah

Rosani Hiplee

Hidup adalah balapan perjuangan

berlarilah tanpa lelah

sampai yakin dan pasti

bahawa tujuh warna pelangi

yang dikejar dan diimpi

sebenarnya jaluran inspirasi yang pasti.

Terjatuh mengejar waktu

bukanlah detik yang terkalahkan,

bangkitlah, dan terus tersenyum

menikmati seriosa kehidupan sebenar

biarkanlah perit luka menggugah

kerana dunia tak seindah syurga.

Hidup bukannya untuk gagal

dan percayalah bahawa segala-galanya

tetap suatu yang sangat bermakna

untuk difahami sejujur hati

kerana ketika mencintai-Nya,

kita telah lengkapi segala rasa

yang terlalu rahsia.

Kuching. 9 Januari 2009

Dewan Sastera, Mac 2010

Sumber: Kumpulan Puisi Cinta Perempuan yang Cantik, DBP 2011

NYANYIAN HATI

Ja’afar Haji Hamdan

Laguku adalah nyanyian

dari angin menuju ke gunung

dengan daun nyiur bertanya

tentang desir bicara pepohon muda.

Iramaku adalah nyanyian

dari ombak menuju ke laut

dengan rentak pukulan mesra

sapa menyapa mengiring alun.

Pantunku adalah khazanah

dari keturunan fakta sejarah

dengan pedoman memberi arah

menjadi pegangan warisan jaya.

Nyanyian hati

adalah penyembuh gundah

terbit dari arah resah

lalu terbenam dalam lubuk rindu

seorang penyair.

Akulah itu, penyair muda

memasang impian ketika malam

menyimpan pandang dalam kala kesiangan.

Sumber: Kumpulan Puisi Bunga yang Menangis, DBP 2007

RAMBULAN TERSENYUM MANIS

Siti Zaleha M. Hashim

Rambulan tersenyum manis

seorang gadis tertunduk malu

sepasang mata

menghantar isyarat cinta

langit menjeling curiga

bimbang nanti hujan ingkar

kembang pasti layu

gugur bertabur

gadisku, apabila tiba waktumu

dan aku tidak ada di situ

ketika kau menangis, lihatlah

rambulan tersenyum manis

dunia remaja

resah yang bahagia

titis-titis air mata

menggamit alam dewasa.

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

ANUGERAH

Siti Zaleha M. Hashim

Kadang-kadang aku terbang

meninggalkan corak indah

yang dianugerah

menembusi dinding masa

ketika aku kembali

dan bandingkan diri

alangkah indah corak yang asli

aku saja yang tidak hargai

anugerah yang amat istimewa

diriku sendiri

sudilah terima aku yang pulang

dan segala yang kelabu

aku ingin dekat sekali

cahaya yang terang dan abadi.

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

CATATAN MALAM

Siti Zaleha M. Hashim

Pinjamlah catatan daripada malam

sebelum cahaya tua melelapkan matanya

kitab hari belum lagi tertutup

kita belajar daripada kesilapan

agar kesilapan yang serupa tidak berulang

kita belajar mengenal peluang

kerana peluang yang sama jarang datang

kita ikat kuat rasa kemanusiaan

kerana kebencian ada di mana-mana

pinjamlah catatan daripada malam

agar dapat kita ubati luka benua

sebelum melangkah lagi pada esok hari.

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

RUANG

Siti Zaleha M. Hashim

Aku terbang melintasi ruang

dengan masa yang dipinjamkan

sesekali mengintai jendela langit

yang separuh terbuka

dalam hati tertanya-tanya

apa lagi yang tersembunyi untukku

di sebalik Maha Tabir Rahsia-Mu

dalam perjalanan yang jauh

aku mula mengerti

yang kita sangka penghujung

ada waktunya permulaan lagi

menghantar kita menyeberang

gunung, laut, padang dan taman

sebelum masaku diambil semula

akan kutinggalkan sejalur biru

daripada jalinan warna rasa.

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

AKU INGIN MEMETIK KEMBALI

Hilmi Rindu

Ada waktu-waktunya

aku ingin memetik kembali

bunga jambu yang sedang merambu

di segenap ranting

kala pagi mulai terbuka

dan embun masih berkaca

dipantul matahari.

Aku ingin mengulang semula

tatapan yang amat mengasyikkan

pada sekumpulan rama-rama

yang berterbangan

dan hinggap

menjadikan halaman itu

ceria dan mesra.

Aku ingin memetik kembali

saat-saat keriangan itu

kala usiaku sedang mekar

kala citaku mulai membesar

kala cintaku mulai membakar.

Ada waktu-waktunya

aku ingin mengulang semula

sesuatu yang tertinggal

dalam padangan.

Sumber: Kumpulan Puisi Bagai Ada Sesuatu, DBP 2010

DI BAWAH PURNAMA KEMBALI KITA

Marzuki Ali

Di bawah purnama ceria

kita pun mendongeng lagi

cerita pelarian tak sudah.

Kau merpati jeli

aku serigala petaka

kau di awan meraja

di gunung aku setia.

Kauterbang hinggap

lalu bersarang

kerana apa pun alasan

setia pada kata.

Aku pun terus

memburu niat tersisa

meredah belukar seni

mendamba malam yang setia.

Kita kembali di batas lara

kau yang terpana oleh alpa

aku kembara yang sengsara

pun waktu mencatatnya.

Di bawah purnama

penuh jernih

kita pun kembali menyatu

bagai ikrar semula

memeterai cinta.

Sumber: Kumpulan Puisi Kasmaran Cinta dan Sepotong Roti Bakar, DBP 2011

DI PERBATASAN

Marzuki Ali

Kau masih setia menunggu di pelabuhan

daerah perbatasan yang menjanjikan

kita jadi senyum

sambil bertanyakan masa lalu

yang entah mungkin berulang kembali.

Kau atau aku

sudah ditinggalkan waktu remaja

kita jadi tambah mengerti

bahawa waktu bercinta

dan berkata sayang

tidak bisa berulang kembali

tapi manis itu di hati.

Di daerah perbatasan

kita bercerita tentang hidup

gerbang yang pernah dilalui

kau seperti tidak yakin

bahawa antara kita masih

belum mengenalnya

erti cinta.

Sumber: Kumpulan Puisi Kasmaran Cinta dan Sepotong Roti Bakar, DBP 2011

MATA NAN SAYU

Marzuki Ali

Di sudut mata sayunya

ada rindu

yang bermain di tirai hari

mengintai lalu

kecintaannya

yang lewat.

Mata itu adalah rahsia

yang terkunci

cerita duka

yang tersimpan

seorang perempuan.

Mata itu sekalian

merampas sebahagian hidup

bahagianya

yang lara.

Sumber: Kumpulan Puisi Kasmaran Cinta dan Sepotong Roti Bakar, DBP 2011

Pohon Cinta

Marzuki Ali

Pohon cinta kita

biarkan tumbuh dengan sempurna

di atas tanah pendirian

yang tak goyah

dengan pupuk jiwa ikhlas

dan disirami air

pengorbanan suci

yang tak berbagi lagi.

Biarkan dia tumbuh

pohon cinta kita

dan memberikan aroma setianya

selama abad.

Sumber: Kumpulan Puisi Kasmaran Cinta dan Sepotong Roti Bakar, DBP 2011

Sebuah Pelabuhan Sepi

Marzuki Ali

Bila akan berangkat kekasihku

lewat hari ini aku masih menunggu

angin penjuru pulau yang menyapa

rupanya sudah letih sendiri

dan senyumnya mati.

Kekasihku,

andaikan kau jadi berangkat juga

dan meninggalkan aku sendirian di pulau muda

usah sangsikan janji

kalau ianya sampai merubah

sebuah pelabuhan sepi.

Entah bila engkau meninggalkan aku,

kekasihku

sementara bulan bersalut kelambu ungu

meratapi langit biru

andainya perpisahan bakal jua tiba

adalah sebuah hari tua

tersidai di hujung benua.

Kekasihku,

salam setiaku mulai sudah

rapuh dan runtuh

satu-satu menimpa rumput

yang basah ditinggalkan hujan

bersama resah

bersama reput.

Sumber: Kumpulan Puisi Kasmaran Cinta dan Sepotong Roti Bakar, DBP 2011

Selamat Malam Malaysia

Marzuki Ali

Selamat malam Malaysia

aku tahu kau sudah mulai senang

dan mempersiapkan kamar kita

dengan niat mimpi

esok yang damai.

Selamat malam Malaysia

kala kau akan meletakkan kepala di bantal

dan melafazkan cinta

jangan lupa bisikan damai itu

hingga fajar

nanti dalam mimpi

ada kita yang bercanda.

Selamat malam Malaysia

bacakan bait-bait sajak kita

tentang rembulan yang lewat

dan kenangkan masa remaja kita

kala akan bermesra ombak

dan membiarkan camar

di pantai bercerita –

kenangkan itu

bagai cerita lena.

Selamat malam Malaysia

dan jangan lupa cuci kaki

serta biarkan kamar mandi istirahat,

bebaskan nyanyian sendu sendiri

dan ingatkan daku

dalam sanubari

dalam fana.

Selamat malam Malaysia

tidurlah dan ingatkan

nikmat alam

esok pasti ada khabar

dari benua

tentang cinta kita yang teruji.

Sumber: Kumpulan Puisi Kasmaran Cinta dan Sepotong Roti Bakar, DBP 2011

ANUGERAH

Siti Zaleha M. Hashim

Kadang-kadang aku terbang

meninggalkan corak indah

yang dianugerah

menembusi dinding masa

ketika aku kembali

dan bandingkan diri

alangkah indah corak yang asli

aku saja yang tidak hargai

anugerah yang amat istimewa

diriku sendiri

sudilah terima aku yang pulang

dan segala yang kelabu

aku ingin dekat sekali

cahaya yang terang dan abadi.

November 2001

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

CATATAN MALAM

Siti Zaleha M. Hashim

Pinjamlah catatan daripada malam

sebelum cahaya tua melelapkan matanya

kitab hari belum lagi tertutup

kita belajar daripada kesilapan

agar kesilapan yang serupa tidak berulang

kita belajar mengenal peluang

kerana peluang yang sama jarang datang

kita ikat kuat rasa kemanusiaan

kerana kebencian ada di mana-mana

pinjamlah catatan daripada malam

agar dapat kita ubati luka benua

sebelum melangkah lagi pada esok hari.

Kuala Lumpur 2000

Jurnal Perisa,10/2002

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

PERTAMA

Siti Zaleha M. Hashim

Diri membuka hati

bagai rumah pertama

membuka jendela pertama

mata memandang halaman

bagai pohon pertama

memandang halaman pertama

bibir melafaz kata

bagai ombak pertama

melafaz deru pertama

ingat yang pertama

agar tahu menerima

dan sudi memberi semula

30 Jun 1999

Jurnal Perisa, 9/2001

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

RAMBULAN TERSENYUM MANIS

Siti Zaleha M. Hashim

Rambulan tersenyum manis

seorang gadis tertunduk malu

sepasang mata

menghantar isyarat cinta

langit menjeling curiga

bimbang nanti hujan ingkar

kembang pasti layu

gugur bertabur

gadisku, apabila tiba waktumu

dan aku tidak ada di situ

ketika kau menangis, lihatlah

rambulan tersenyum manis

dunia remaja

resah yang bahagia

titis-titis air mata

menggamit alam dewasa.

19 Disember 2002

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

RUANG

Siti Zaleha M. Hashim

Aku terbang melintasi ruang

dengan masa yang dipinjamkan

sesekali mengintai jendela langit

yang separuh terbuka

dalam hati tertanya-tanya

apa lagi yang tersembunyi untukku

di sebalik Maha Tabir Rahsia-Mu

dalam perjalanan yang jauh

aku mula mengerti

yang kita sangka penghujung

ada waktunya permulaan lagi

menghantar kita menyeberang

gunung, laut, padang dan taman

sebelum masaku diambil semula

akan kutinggalkan sejalur biru

daripada jalinan warna rasa.

Kuala Lumpur

4 Jun 1998

Antologi Puisi Ratap Seribu Syair - GAPENA

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006

WARNA-WARNA GHAIB

Siti Zaleha M. Hashim

Remajamu tiba

bersama warna-warni ghaib

tiada terlihat mata

seawal dinihari

lewat senja ungu

dan bulan jingga

senyummu merah jambu

gadisku yang pemalu

kutitip pesan

suara pengalaman

sekali cinta sejati

datang mengetuk-ngetuk

pintu hidup

dan kau membukanya

mengizin masuk

akan kekal selamanya

dalam kamar hati

cinta itu cantik rasanya luar biasa

tiada terucap kata-kata

cinta itu sayat lukanya amat hebat

pedihnya sepanjang hayat

2003

Sumber: Kumpulan Puisi Kristal di Laut Bulan, DBP 2006