faedah wakaf

7
Faedah daripada aset wakaf adalah kekal SABDA Rasulullah saw bermaksud: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan kepada manusia dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ibu bapa mereka.” Amalan wakaf adalah satu bentuk mekanisme untuk menyokong amalan wajib seperti berzakat. Sedekah berterusan hanya akan berlaku melalui amalan wakaf. Apabila menyebut institusi wakaf, secara tidak langsung kita membicarakan satu institusi Islam yang sangat berfungsi dalam membangunkan kekuatan sosio ekonomi ummah. Institusi wakaf bertujuan menghampirkan diri seseorang kepada Allah. Kata lain wakaf bermaksud menyerahkan sesuatu benda yang paling berharga tanpa mengharapkan balasan kerana yang penting ialah keredaan Allah. Harta wakaf adalah khazanah yang tidak akan hilang hingga kiamat malah ia akan terus subur sekiranya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Bagi pengertian bahasa biasa, wakaf memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau bagi keperluan berkaitan dengan

Upload: fahmi2010

Post on 10-Nov-2015

12 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

faedah wakaf

TRANSCRIPT

Faedah daripada aset wakaf adalah kekal

SABDA Rasulullah saw bermaksud: Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan kepada manusia dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ibu bapa mereka.

Amalan wakaf adalah satu bentuk mekanisme untuk menyokong amalan wajib seperti berzakat. Sedekah berterusan hanya akan berlaku melalui amalan wakaf.

Apabila menyebut institusi wakaf, secara tidak langsung kita membicarakan satu institusi Islam yang sangat berfungsi dalam membangunkan kekuatan sosio ekonomi ummah.

Institusi wakaf bertujuan menghampirkan diri seseorang kepada Allah. Kata lain wakaf bermaksud menyerahkan sesuatu benda yang paling berharga tanpa mengharapkan balasan kerana yang penting ialah keredaan Allah.

Harta wakaf adalah khazanah yang tidak akan hilang hingga kiamat malah ia akan terus subur sekiranya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Bagi pengertian bahasa biasa, wakaf memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau bagi keperluan berkaitan dengan Islam, manakala pengertian Arab, ia bermaksud menahan atau membeku.

Dalam fahaman syariah, wakaf bermaksud menahan hak milik sesuatu benda bagi tujuan menyumbangkan manfaatnya di jalan Allah. Kata lain, harta wakaf dikembalikan semula kepada pemilik asalnya yang hakiki iaitu Allah.

Institusi atau amalan wakaf bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah tamadun manusia. Ia pernah diamalkan masyarakat Yunani

Malah masyarakat Arab pada zaman jahiliah turut mengamalkan wakaf sehingga kedatangan Islam yang ia disuburkan mengikut kaedah yang menepati syarak.

Masjid Quba dan Masjid Nabawi adalah antara institusi yang dibina melalui harta wakaf.

Sayidina Uthman diriwayatkan membeli sebuah telaga bernama rumah dan mewakafkannya untuk manfaat semua orang yang memerlukan air di Madinah.

Malah isteri kepada khalifah Harun al-Rasyid iaitu Permaisuri Zubaidah mewakafkan segala hartanya untuk menyediakan kemudahan jalan selamat dan selesa untuk perjalanan jemaah haji dari Baghdad ke Makkah.

Sumbangan wakaf dalam bidang penyelidikan ilmiah dan pendidikan adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi kerana institusi wakaf melahirkan ramai sarjana Islam berwibawa seperti al-Shirazi, al-Ghazali, al-Suyuti dan al-Balqini.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Daud Bakar melalui kertas kerjanya bertajuk Fungsi dan kejayaan Institusi Wakaf di beberapa negara Islam dalam menjana kegiatan penyelidikan dan pendidikan pada Seminar Wakaf Untuk Pendidikan di Kuala Terengganu, baru-baru ini, menyebut bahawa boleh dikatakan institusi wakaf untuk pendidikan adalah perkara menyeluruh pada masa ini.

Katanya, wakaf pendidikan berbeza dengan wakaf masjid dan perkuburan atau seumpamanya kerana memerlukan dana mencukupi dan berterusan untuk menyara dan menanggung segala perbelanjaan membabitkan pelajar, pengajaran dan peralatan mengajar.

Wakaf agama pertama dalam sejarah perundangan Islam ialah yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah saw iaitu berhubung dengan Masjid Quba yang dibina sendiri dalam hijrah Baginda ke Madinah. Ini diikuti oleh wakaf Masjid Nabawi di Madinah.

Wakaf am pertama yang dilakukan ialah wakaf tujuh kebun atau taman oleh seorang sahabat daripada bangsa Yahudi yang bernama Mukayriq yang terbunuh dalam Peperangan Uhud.

Asas amalan dan pensyariatan wakaf adalah daripada ayat al-Quran dan hadis umum dan khusus.

Antara ayat al-Quran berkaitan wakaf ialah firman Allah bermaksud, Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebaktian (yang sempurna) sehinggalah kamu membelanjakan sebahagian harta yang kamu sukai. (Surah Ali-Imran, ayat 92).

Ayat itu diturunkan dalam konteks seorang sahabat bernama Abu Talhah yang ingin mewakafkan harta atau kebun yang paling disukainya bernama Bayraha.

Keistimewaan dan keunikan wakaf terletak kepada konsep pemisahan di antara hak pemilikan dan hak atau faedah penggunaan. Atas dasar inilah faedah yang dinikmati daripada aset wakaf adalah berbentuk kekal selama-lamanya kerana ianya tidak bergantung kepada entiti pemilik yang sifatnya hanya sementara.

Seorang sarjana berkata, kekekalan wakaf adalah konsep yang pertama pernah disumbangkan perundangan Islam berbeza dengan konsep wakaf (endowment) yang wujud sebelum kedatangan Islam.

Konsep pemisahan di antara pemilik dengan hak penggunaan menjadikan institusi wakaf satu entiti baru yang dikenali sebagai satu entiti perundangan.

Mengikut konsep ini, wakaf sebagai satu entiti atau makhluk baru walaupun bukan seorang manusia tetapi tetap mempunyai hak dan tanggungan seperti manusia biasa.

Kertas kerja itu juga membincangkan wakaf sebagai instrumen ekonomi Islam iaitu Islam memberi penekanan yang lebih kepada amalan ini kerana ia boleh menyempurnakan pengagihan kekayaan dalam masyarakat Islam dalam bentuk berkesan.

Mohd Daud berkata, kedudukan wakaf sama seperti zakat yang memindahkan sebahagian daripada kekayaan masyarakat kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, perbezaannya ialah zakat adalah satu amalan diwajibkan dan apa yang disumbangkan itu tidak akan kekal di mana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus.

Pengecualian hanya berlaku dalam konteks sumbangan zakat yang dilaburkan untuk mendapat perkembangan harta.

Wakaf khususnya yang berbentuk produktif ialah menggabungkan unsur simpanan tetap dan pelaburan. Aset wakaf adalah berbentuk kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah pada masa akan datang.

Kertas kerja itu juga mengutarakan pengertian wakaf menurut perspektif sejarah iaitu beberapa sektor dalam masyarakat Islam seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat, penjagaan alam sekitar, sains, perubatan, ketenteraan dan pertahanan serta sektor lain yang dibiayai oleh hasil pendapatan daripada aset wakaf yang dilaburkan.

Mohd Daud berkata, hasil pendapatan wakaf juga digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembinaan dan pengurusan sekolah tinggi dan universiti di bandar besar seperti al-Aqsa, Damsyik, Baghdad, Kaherah dan Nisapur.

Antara universiti yang besar pernah dibiayai oleh hasil pendapatan wakaf ialah Universiti Al-Azhar di Kaherah, Universiti al-Qurawiyin di Kota Fez dan Universiti al-Nizamiyyah di Baghdad.

Dari aspek sosial, hasil pendapatan wakaf digunakan untuk membantu golongan miskin dan mereka yang mengembara.

Dari perspektif lain, institusi wakaf boleh membantu membasmi kemiskinan, menyediakan peluang pekerjaan dan membantu kerajaan dalam mengurangkan bebanan belanja pengurusan perkhidmatan awam.

Mohd Daud dalam ulasannya mengenai wakaf pendidikan berkata, sarjana dan penulis Islam menyebut bahawa wakaf pendidikan penting bukan saja untuk memajukan agenda pendidikan umat Islam melalui sektor ketiga dalam masyarakat, malah memastikan wujudnya kebebasan penyelidikan dan penyataan serta penemuan fakta ilmiah.

Ini kerana perbelanjaan pendidikan dan penyelidikan ditaja sepenuhnya oleh aset dan dana wakaf.

Sehubungan itu sarjana Islam tidak terikat dengan mana-mana pihak yang akan memberikan kebebasan dalam menghasilkan karya ilmiah yang mantap dalam pelbagai bidang ilmu.

Wakaf pendidikan juga menjadi nadi kepada ketamadunan Islam di mana apabila aktifnya wakaf pendidikan, maka semakin tinggi sesuatu tamadun itu.

Sebagai langkah mudah mendisiplinkan seseorang merancang dengan teratur amal jariah berterusan, Takaful Malaysia menyediakan produk takaful yang dikenali Pelan Takaful Wakaf yang boleh disertai oleh mana-mana individu.