esei kesantunan masyarakat malaysia (gsb1012)

17
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PULAU PINANG TUGASAN PROJEK : ESEI KESANTUNAN MASYARAKAT MALAYSIA (GSB1012) PROGRAM : PPISMP NAMA : AHMAD FAHMI BIN MOHD RAZALI KELAS : S1T1PSN

Upload: ahmad-fahmi

Post on 11-Jan-2017

455 views

Category:

Lifestyle


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PULAU PINANGTUGASAN PROJEK :

ESEI KESANTUNAN MASYARAKAT MALAYSIA (GSB1012)

PROGRAM : PPISMP

NAMA : AHMAD FAHMI BIN MOHD RAZALI

KELAS : S1T1PSN

AMBILAN : JUN 2015

NAMA PENSYARAH : PUAN NORMA BINTI ABD MAJID

TARIKH HANTAR : 4 SEPTEMBER 2015

Page 2: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

Gejala sosial mahupun isu-isu kemanusiaan yang berlaku di Malaysia pada zaman

ini kian berlarutan sejak sekian lama. Kita sering dikejutkan dengan berita-berita yang

menggemparkan terpampang di dada-dada akhbar mengenai gejala sosial yang berlaku

dalam kalangan remaja. Hal ini ditambah lagi dengan kemunculan media sosial yang

memudahkan lagi mereka untuk mengakses maklumat dan berkomunikasi antara satu sama

lain. Golongan remaja ini bersifat ingin tahu dan suka mencuba sesuatu benda yang baharu

tanpa memikirkan apakah kesan buruk yang akan mereka terima jika mereka melakukan

sesuatu perkara yang negatif mahupun salah di sisi undang-undang. Terdapat banyak faktor

yang menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja. Faktor-faktor

berlakunya gejala sosial dan isu-isu kemanusiaan dalam kalangan remaja ini berhubung kait

dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah,

pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan lain-lain. Terdapat banyak bentuk

gejala sosial yang wujud di dalam negara kita pada masa kini.

Menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, mendefinisikan pemerdagangan

manusia sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan atau

penerimaan seseorang bagi tujuan eksploitasi. Bagi pengertian eksploitasi pula, Seksyen 2

Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi

sama ada seks, buruh paksaan, pemindahan organ atau aktiviti yang menyalahi undang-

undang. Jenayah pemerdagangan manusia ini merupakan salah satu bentuk jenayah yang

tertua di dunia. Ia dianggap sebagai satu industri yang universal kerana tidak tertakluk

kepada satu-satu negara yang beroperasi. Aktiviti ini melanggar hak sesebuah negara.

Seramai 2.7 juta manusia diperdagangkan di seluruh dunia. 80% daripadanya adalah wanita

dan kanak-kanak. Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia telah menarik minat

ramai warga asing dari seluruh dunia. Hal ini telah membuka peluang kepada kerancakkan

aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia kerana di negara mereka keadaannya

adalah sangat bertentangan dengan negara kita. Negara mereka mempunya taraf ekonomi

yang jauh lebih rendah dan pergolakan sering berlaku di negara mereka saban hari. Selain

itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menjadi punca pemerdagangan

manusia ini berlaku. Malaysia yang berada di tengah-tengah negara ASEAN,

menjadikannya sebagai satu lokasi strategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit

bagi aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Menyedari akan masalah ini, Akta

Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan namun ia masih belum cukup kuat untuk

menghalang kemasukan sindiket yang membawa wanita dan gadis muda bagi tujuan

pelacuran dan buruh domestik. Tambahan pula, modus operandi sindiket membawa masuk

mangsa adalah sukar dikesan pihak berkuasa disebabkan mereka ini menggunakan pas

Page 3: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

lawatan sosial atau pas pelajar. Seterusnya, masyarakat Malaysia mempunyai kesedaran

yang masih kurang tentang isu pemerdagangan manusia malah masih ramai lagi yang tidak

memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang. Memetik

kata-kata bekas Pengerusi Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Datuk Seri

Mahmood Adam, selain skopnya yang luas, aktiviti pemerdagangan manusia adalah lanskap

jenayah yang masih dianggap baru yang menyebabkan pemahamannya masih kurang.

Mengikut Laporan Pemerdagangan Manusia 2014, keluaran Jabatan Negara Amerika

Syarikat, telah meletakkan Malaysia di negara yang mempunyai status Tahap 3 dalam

aktiviti pemerdagangan manusia bersama dengan beberapa negara lain antaranya ialah

Thailand dan Venezuela. Hal ini merupakan perkara yang agak memalukan kerana Malaysia

diletakkan setaraf dengan beberapa negara yang diklasifikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-

Bangsa Bersatu sebagai negara yang kurang membangun seperti Mauritania dan Yaman.

Antara kesan yang akan dialami akibat daripada aktiviti pemerdagangan manusia adalah

penularan penyakit berjangkit. Mangsa-mangsa pemerdagangan manusia kebiasaannya

datang dari negara yang mempunyai kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik yang

kurang ataupun tidak lengkap kerana pergolakan yang berlaku ataupun taraf ekonomi yang

rendah. Maka, mereka yang datang ke negara ini secara haram dikhuatiri membawa

penyakit-penyakit berbahaya seperti H1N1, HIV, AIDS dan tibi dan penyakit-penyakit ini

akan merebak secara mudah dan meluas sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak

dikawal oleh pihak yang bertanggungjawab. Pihak berkuasa perlulah membendung aktiviti

pemerdagangan manusia dengan kadar yang segera agar masyarakat tidak berasa

bimbang akan penyakit berbahaya di sekeliling mereka. Aktiviti pemerdagangan manusia ini

hanya dapat dibendung sekiranya kerajaan menjalankan usaha-usaha untuk

menghentikannya dengan lebih giat seperti menjalin hubungan antarabangsa dengan

negara-negara yang sering terlibat dan mempunyai kaitan dengan aktiviti pemerdagangan

manusia di negara kita. Pemimpin boleh menandatangi memorandum persefahaman

dengan pemimpin negara-negara lain untuk mewujudkan satu protokol atau prosedur untuk

membawa masuk buruh asing ke dalam negara kita. Hal ini secara tidak langsung

menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan amat serius dalam membendung aktiviti

pemerdagangan manusia. Masyarakat juga tidak terkecuali untuk memberikan kerjasama

kerana ia sangat diperlukan bagi membantu mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

Kanak-kanak merupakan satu rahmat daripada Tuhan kepada sesebuah keluarga

dan menjadi lambang kebahagiaan keluarga tersebut. Mereka dibesarkan dengan penuh

kasih sayang agar dapat hidup dalam keadaan sihat dari fizikal, mental, emosi, dan

sebagainya agar dapat menjadi insan yang berguna kelak. Namun begitu, terdapat kelahiran

yang tidak direstui oleh ibu bapa mereka. Kesannya, ada antara mereka yang dibuang

Page 4: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

selepas kelahiran ataupun ada juga kanak-kanak yang tidak mendapat penjagaan yang

sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Mereka dianiaya, dijadikan bahan dagangan dan

sebagainya oleh ibu bapa mereka. Fenomena ini dipanggil sebagai penganiayaan atau

penderaan kanak-kanak. Hal ini bukanlah sesuatu perkara yang baru malah ia telah berlaku

sejak zaman dahulu lagi iaitu sejak zaman jahiliah. Menurut Kamus Dewan, perkataan

mendera membawa maksud “seksaan sama ada hati atau fikiran atau denda dan hukuman”.

Secara umumnya, terdapat empat jenis salah laku ke atas kanak-kanak iaitu penderaan

fizikal, penderaan seksual, pengabaian dan salah laku psikologi. Penderaan kanak-kanak

sering disalah anggap hanya berlaku dalam kalangan keluarga yang miskin atau

berpendapatan rendah sahaja. Namun begitu, apabila dikaji dalam skop yang lebih luas

seperti pengabaian emosi dan menggunakan kuasa dalam membuat paksaan terhadap

kanak-kanak, didapati penderaan kanak-kanak tidak terbatas kepada keluarga miskin

sahaja. Kadangkala, keluarga yang berpelajaran juga mengabaikan anak mereka kerana

sibuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kerjaya dan lebih mementingkan

kebendaan berbanding kekeluargaan. Ibu bapa merupakan golongan terbesar yang menjadi

pendera kanak-kanak. Kes penderaan ini bukan hanya terjadi kepada anak kandung, tetapi

terdapat juga kes penderaan ke atas anak angkat. Terdapat juga pendera yang terdiri dalam

kalangan pengasuh yang dipertanggungjawabkan dan diberi kepercayaan menjaga kanak-

kanak. Ada beberapa perkara yang menjadi punca berlakunya kes penderaan kanak-kanak.

Antaranya ialah masalah tekanan ekonomi atau beban kerja yang dihadapi oleh ibu bapa.

Ramai ibu bapa yang bertindak di luar kawalan kerana tekanan tersebut. Akibat terlalu sibuk

dan penat menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kerjaya, tekanan yang dialami akan

dilepaskan kepada anak-anak. Anak-anak yang menanti kepulangan ibu bapa akan dimarahi

atau dipukul sehingga anak-anak menangis kesakitan dan terdapat kesan-kesan lebam

yang jelas pada anggota badan. Selain itu, punca paling utama berlakunya masalah

penderaan kanak-kanak ini ialah ibu bapa kurang mendapat pendidikan agama. Ilmu agama

adalah sangat penting dalam hidup setiap individu di dalam dunia ini. Agama merupakan

suatu cara hidup dan menjadi panduan kepada individu tentang baik buruk sesuatu perkara

itu. Mereka yang kurang mendapat didikan agama mudah hilang pertimbangan kerana tidak

memikirkan dosa dan pahala bahkan mereka tidak merasa bersalah melakukan penderaan

kepada darah daging mereka sendiri. Agama telah menyediakan satu panduan yang terbaik

dalam menguruskan rumah tangga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada

penyelesaiannya. Sebagai contoh, agama Islam telah menerapkan sikap yang baik yang

perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi dalam melayan

kerenah anak-anak. Seterusnya, krisis rumah tangga juga menjadi punca kes penderaan

kanak-kanak berlaku. Krisis rumah tangga kebiasaannya disebabkan gangguan pihak luar

yang menyumbang kepada peningkatan kes penderaan ini. Contohnya, suami akan menjadi

Page 5: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

lebih garang dan tanggungjawab terhadap keluarga mula terabai kerana mempunyai

kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pasti

akan menjadi mangsa dalam pergaduhan tersebut. Keadaan ini secara tak langsung

membuatkan mereka menjadi malas dan malu ke sekolah disebabkan kecederaan yang

mereka alami sama ada penderaan itu dilakukan oleh ibu bapa sendiri ataupun pihak lain.

Kanak-kanak yang didera ini akan mengalami gangguan mental dan emosi. Ia juga

membuatkan kanak-kanak tersebut menjadi trauma. Akibatnya, kanak-kanak tersebut akan

mengalami perubahan yang drastik daripada segi personaliti seperti murung, dan lebih suka

untuk melakukan aktiviti secara bersendirian. Sudah pasti prestasi pembelajaran mereka

akan mula merosot dan menduduki kedudukan terendah di dalam kelas. Kes penderaan

kanak-kanak di negara kita masih boleh dikawal jika kita menjalankan beberapa langkah

bagi membendung kes tersebut. Pihak berkuasa patut mengambil tindakan sewajarnya

kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang melakukan penderaan kanak-kanak.

Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menimbulkan rasa takut kepada

pendera-pendera akan hukuman yang bakal mereka hadapi sekiranya mereka berkeras

untuk terus melakukan penderaan kanak-kanak. Kerajaan juga perlu menjalankan satu

kempen yang bertemakan antipenderaan kanak-kanak untuk memberi pendedahan kepada

umum bagi membendung aktiviti yang tidak berperikemanusiaan ini. Namun, kebiasaannya

pelaksanaan kempen-kempen seperti ini masih kurang memberi kesan terhadap penurunan

kes penderaan kanak-kanak. Keadaan ini berlaku kerana tiada tindakan tegas yang

dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlu mengkaji semula

akta-akta yang diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak bagi memastikan akta-akta

tersebut rasional dan relevan untuk digunakan pada masa kini. Oleh itu, setiap ahli

masyarakat boleh memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa

sekiranya mendapat maklumat mengenai sebarang kes penderaan kanak-kanak yang

berlaku di sekitar mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana

perbuatan mendera kanak-kanak ini seolah-olah bertujuan untuk memusnahkan keturunan

kita sendiri yang sepatutnya menabur jasa kepada keluarga, bangsa, agama dan negara

kelak. Jika mereka sering diperlakukan dengan tindakan yang ganas sewaktu kecil, tidak

mustahil jika mereka akan bertindak lebih ganas apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Justeru, mereka perlu dibimbing dengan penuh perhatian dan kasih sayang agar dunia ini

dapat diwariskan kepada mereka dengan harapan mereka dapat menjaganya dengan baik.

Budaya lepak merupakan satu budaya yang telah menjadi kebiasaan dalam

masyarakat Malaysia. Ke mana-mana sahaja tempat yang kita pergi, pasti akan ada yang

melepak seperti di pusat membeli-belah, restoran mamak dan di taman perumahan. Kamus

Dewan telah mendefinisikan lepak sebagai “mereka yang menganggur, tidak mempunyai

Page 6: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

pekerjaan, tidak melakukan sebarang pekerjaan”. Berdasarkan pengertian tersebut, kita

boleh membuat kesimpulan bahawa orang yang melepak ialah orang yang membuang masa

tanpa melakukan perkara berfaedah. Oleh itu, perbuatan melepak ini bukanlah seperti

perbuatan bersiar-siar, bersantai atau berehat-rehat tetapi ia menjadi gejala yang negatif

apabila melibatkan kumpulan yang besar, secara berterusan dari hari ke hari tanpa mengira

hari yang khusus. Lepak juga boleh ditakrifkan sebagai tidak melakukan sebarang perkara

yang bermanfaat dan produktif untuk satu jangka masa yang lama di tempat-tempat awam.

Perbuatan merehatkan diri di tempat tertentu sama ada bersendirian atau berkumpulan juga

ditakrif sebagai lepak, Hal ini bermakna jika seseorang pergi ke pusat membeli-belah atau

tempat awam yang lain dan berlegar-legar atau berehat di sana tanpa melakukan apa-apa

perkara yang bermanfaat setiap hari dalam seminggu, maka ia boleh dikategorikan dalam

perbuatan lepak. Amalan lepak asalnya ialah suatu amalan yang tidak dianggap sebagai

amalan yang negatif. Manusia daripada pelbagai budaya dan umur, sememangnya

memerlukan masa untuk berehat bersendirian atau bersama keluarga dan rakan-rakan.

Golongan yang tidak bekemampuan mungkin memilih tempat-tempat yang murah dan

sesuai untuk berehat atau melepak iaitu di pusat membeli-belah atau di kedai-kedai kopi.

Golongan yang berada pula memilih tempat-tempat yang eksklusif seperti kelab rekreasi,

hotel terkemuka ataupun padang golf. Amalan lepak menjadi negatif apabila ia dianggap

sebagai keperluan, melampaui had dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup seseorang

dewasa atau remaja. Apabila seseorang memperuntukkan masa yang banyak untuk

melepak setiap hari atau setiap minggu di tempat-tempat awam, maka ia bukan lagi menjadi

aktiviti untuk berehat. Pada tahap ini, amalan lepak menjadi satu bentuk gejala sosial yang

kurang baik dan perlu diberi perhatian untuk diatasi. Isu kekeluargaan berkemungkinan

tinggi untuk menjadi pencetus kepada budaya melepak ini. Kepincangan dan keruntuhan

rumah tangga seperti berlakunya perceraian, perbalahan, ketidaksefahaman, kesibukan dan

sebagainya, telah memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan mental dan

fizikal remaja yang sedang membesar. Oleh itu, mereka melihat perbuatan melepak ini

sebagai cara bagi menenangkan kekusutan yang dihadapi. Akhirnya, mereka akan mula

terjebak dengan perlakuan jenayah sosial seperti menagih dadah, memeras ugut,

menganggotai kumpulan haram dan sebagainya. Selain itu, keluarga yang terlalu

mengabaikan kebajikan sosial remaja kerana amat mengagungkan kekayaan, pangkat dan

kuasa juga boleh mendorong para remaja melepak di sesuatu lokasi. Mereka merasakan

dengan melepak akan dapat melepaskan kesunyian mereka. Di sana mereka dapat berbual

dengan rakan-rakan sebaya. Antara kesan yang ketara berpunca daripada aktiviti melepak

ini ialah remaja tidak menghormati orang-orang tua kerana mereka terpengaruh dengan

budaya lepak. Mereka lebih selesa dan gemar menggunakan kata-kata yang kasar dan tidak

menghormati orang tua. Kata-kata kesat sering digunakan terhadap orang yang lebih tua

Page 7: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

daripada mereka. Akibatnya, banyak remaja kini sudah tidak mengenali nilai-nilai murni yang

terdapat dalam budaya masyarakat Malaysia. Perkara ini berlaku akibat pengaruh budaya

lepak yang bukan sahaja diamalkan dalam kehidupan seharian tetapi juga telah dijadikan

sebagai pegangan hidup. Selain itu, budaya lepak juga menimbulkan kes jenayah dan kes

maksiat. Kebanyakan remaja melepak tanpa arah dan tujuan. Sekiranya remaja ini

melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah, sudah tentulah mereka yang akan mendapat

manfaatnya. Akibat melepak tanpa arah dan tujuan, ramai remaja hari ini terlibat dalam

gejala-gejala negatif seperti menghisap dadah, bohsia dan memeras ugut. Rokok sudah

menjadi simbol kedewasaan golongan ini. Namun begitu, rokok juga membawa kepada

ketagihan dadah. Gadis remaja pula sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka begitu

mudah dibawa oleh kenalan baru sungguhpun tidak mengenali latar belakang teman baru

dengan mendalam. Oleh itu, terjadilah kes-kes hamil tanpa nikah, pembuangan bayi dan

sebagainya. Masyarakat hidup dalam keadaan tidak tenteram akibat daripada kes-kes ini.

Ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan mewujudkan suasana keluarga yang

bahagia. Ibu bapa boleh memberi panduan dan bimbingan kepada remaja tentang cara

untuk mengawal tekanan dan mengisi masa lapang secara bijaksana. Dalam sesebuah

keluarga itu juga perlu diwujudkan keharmonian, ketenangan, keamanan dan kesejahteraan.

Situasi sedemikian boleh mempengaruhi jiwa remaja untuk sentiasa bersama keluarga. Ibu

bapa sebagai ketua dan pembimbing dalam keluarga perlu memberi perhatian terhadap

anak-anak dan menanamkan sikap ingin ambil tahu setiap pergerakan dan dan kelakuan

anak ketika mereka berada di luar rumah. Ibu bapa mesti mendisiplinkan anak mereka dan

memupuk nilai-nilai agama kepada anak sejak kecil. Menjadi ibu bapa pada zaman serba

moden ini bukannya satu tugas yang mudah. Ibu bapa sekarang menghadapi banyak

cabaran dan dugaan dalam usaha untuk membesarkan dan mendidik anak-anak

mereka.Peringkat yang paling sukar sekali bagi ibu bapa ialah peringkat peralihan daripada

zaman kanak-kanak kepada remaja. Struktur rumah yang sempit perlu diubah bentuknya

supaya lebih selesa dan menarik sesuai dengan jiwa remaja yang inginkan keselesaan.

Tegasnya, jelaslah bahawa budaya lepak ini bersifat negatif, tidak menguntungkan serta

bertentangan dengan budaya tempatan. Oleh itu, ibu bapa perlu mula memantau setiap

pergerakan anak-anak mereka agar budaya negatif ini tidak menular dalam diri anak-anak

kita kerana gejala ini ibarat racun yang membunuh mangsanya tanpa disedari. Bagi para

remaja, budaya ini harus dikikis terus daripada kehidupan seharian mereka.

Pembuangan bayi atau lebih kejam lagi disebut sebagai pembunuhan bayi

merupakan satu perbuatan yang telah berlaku sejak zaman jahiliah lagi, di mana pada

zaman itu bayi lelaki telah dijadikan sasaran. Atas perintah Firaun iaitu raja yang

memerintah pada masa itu, setiap ibu yang melahirkan anak lelaki akan dibunuh. Hal ini

Page 8: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

disebabkan Firaun percaya dengan ramalan ahli nujum yang mengatakan akan lahir

seorang lelaki yang bakal mencabar kewibawaannnya, dan seterusnya merampas takhta

pemerintahannya. Perbuatan ini juga berlaku dalam masyarakat Greek dan Rom, di mana

anak-anak kecil dibunuh disebabkan kesempitan hidup. Pada zaman dahulu, pembunuhan

bayi hanya kerana jantinanya dan berlaku dalam masyarakat yang tidak berpelajaran,

terkenal dengan sikap ganas dan kejamnya, hidup berpuak-puak dan saling bermusuhan.

Tetapi pada hari ini ia berlaku dalam keadaan masyarakat yang mempunyai taraf pendidikan

yang tinggi, hidup dalam keadaan aman damai dan mempunyai sistem kehidupan yang

teratur dan mantap. Lebih menyedihkan, ia berlaku tanpa mengira jantina. Biarpun bayi

tersebut tidak ditanam hidup-hidup, tetapi dibuang ke longkang, diletak di tepi jalan, di dalam

semak, tong sampah dan yang paling kejam dimasukkan ke dalam lubang tandas.

Berdasarkan statistik kes buang bayi yang dikeuarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)

bagi dua tahun 2011–2012, seramai 187 orang bayi telah dibuang, iaitu 98 bagi tahun 2011

dan 89 orang bagi tahun 2012. Bagi negeri yang mancatatkan kes pembuangan bayi yang

teramai ialah Selangor dengan 46 kes, iaitu 25 orang bagi tahun 2011 dan 21 orang bagi

tahun 2012. Ini diikuti oleh Sabah yang melibatkan 29 kes, iaitu 15 orang bagi tahun 2011

dan 14 orang pada tahun 2012. Seterusnya, Johor mencatatkan kes pembuangan bayi

seramai 24 orang, iaitu 13 orang pada tahun 2011 dan 11 orang pada tahun 2012. Negeri-

negeri lain yang mencatatkan kadar pembuangan bayi yang tinggi melebihi sepuluh orang

bagi dua tahun ialah Kuala Lumpur (15 orang) dan Sarawak (13 orang). Perasaan malu

kepada orang ramai dan masyarakat yang dialami si ibu kerana mengandung anak luar

nikah mungkin menjadi salah satu punca pembuangan bayi. Malu juga mungkin disebabkan

oleh keadaan anak itu sendiri seperti kecacatan yang tidak dapat diterima oleh ibu bapa bayi

tersebut. Manusia yang bersikap begitu ialah mereka yang tidak menghargai anak yang

dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Selain itu, perasaan takut seorang perempuan terhadap

ibu bapa dan undang-undang menyebabkan dia akan cuba untuk melepaskan diri daripada

keadaan yang menimpanya, di mana dia telah melahirkan anak luar nikah. Untuk itu,

perempuan dan lelaki yang terlibat telah bertindak dengan cara yang tidak

berperikemanusiaan iaitu dengan cara membuang bayi tersebut. Seterusnya, perasaan

marah terhadap pasangan yang tidak bertanggungjawab mungkin timbul dalam jiwa

seseorang perempuan yang telah terlanjur melahirkan anak luar nikah. Keadaan marah ini

menyebabkan dia tidak boleh menerima bayi tersebut lalu membuangnya ke dalam tong

sampah atau sebagainya. Sewajarnya setiap pasangan perlu bertanggungjawab ke atas

hasil perbuatan mereka tanpa meninggalkan si ibu keseorangan yang boleh menyebabkan

berlakunya tekanan perasaan dan menimbulkan perasaan marah terhadap pasangannya.

Oleh sebab itulah betapa pentingnya pasangan tersebut bertanggungjawab ke atas perilaku

sumbang yang mereka lakukan. Kesan terhadap bayi yang dilahirkan adalah dia akan

Page 9: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

dipandang rendah dan dihina oleh masyarakat setempat. Bayi ini tidak akan dapat

mengetahui siapakah ibu bapa kandung dia apabila meningkat dewasa kelak. Kesan

terhadap masyarakat pula adalah kita akan digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan

tidak berperikemanusiaan serta masyarakat yang kejam. Selain itu, gejala ini juga dapat

menganggu sistem nilai dalam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat kita. Nilai-nilai

tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi telah luntur dalam

kalangan masyarakat kita kerana saling berselisih faham dan menyisihkan orang yang telah

membuang bayi. Peranan pihak berkuasa dan badan-badan NGO adalah mengatasi

kemelutan pembuangan bayi yang kian parah dari masa ke masa. Pihak berkuasa terutama

pihak polis haruslah membanteras pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan

anggota masyarakat terutama golongan remaja dengan melakukan pemantauan berkala

terhadap premis-premis perniagaan. Selain itu, pihak polis juga perlu tegas mengenakan

hukuman yang setimpal kepada mereka yang bersalah itu dikenakan hukuman penjara

seumur hidup.Oleh itu, mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan

hubungan yang melampaui batasan agama. Badan-badan NGO pula hendaklah

mengadakan program peringkat awal yang mendidik kanak-kanak daripada peringkat akar

umbi tentang pendidikan agama dan sosial dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Penekanan pendidikan amat penting bagi menyedarkan masyarakat terutama remaja

dengan maklumat yang tepat agar mereka tidak terjebak dalam masalah sosial yang

membabitkan jenayah pembuangan bayi ini. Kesimpulannya, aktiviti yang tidak

berperikemanusiaan ini perlulah dibendung dengan kadar segera kerana ia melibatkan

nyawa jutaan manusia yang tidak berdosa dan mereka merupakan generasi yang akan

menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Isu-isu yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah telah menjadi isu sosial yang

amat serius di negara kita dan tidak terkecuali beberapa negara luar. Ancaman

penyalahgunaan dadah masih kekal menjadi musuh nombor satu negara. Meskipun telah

banyak kempen dan penguatkuasaan undang-undang dijalankan, namun masih terdapat

manusia yang tegar untuk menyalahgunakan dadah. Penagihan terhadap dadah merupakan

penyakit kompleks yang merosakkan kehidupan seseorang penagih terutama daripada segi

fizikal, mental, sosial dan spiritual. Rawatan terhadap mereka yang terlibat dalam

penyalahgunaan dadah perlu merangkumi aspek fizikal, psikologi, mental dan spiritual untuk

membantu proses pemulihan tersebut. Semakin parah masalah dan kerosakan yang dialami

penagih pada setiap aspek tersebut, semakin tinggi kemungkinannya untuk menagih

semula. Tekanan hidup dikatakan menjadi salah satu punca penyalahgunaan dadah ini

berlaku. Tekanan yang berpunca daripada bebanan tempat kerja boleh menyumbang

kepada aktiviti penyalahgunaan dadah dek kerana tidak dapat membahagikan masa dengan

Page 10: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

sebaiknya antara urusan peribadi dan urusan kerja. Akibatnya, golongan ini akan mula

terjebak dengan najis dadah yang kononnya dianggap boleh menghilangkan tekanan.

Prestasi di tempat kerja akan merosot dan lambat laun mereka akan kehilangan kerja

sekiranya terus terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Kesan yang jelas ialah dari segi

tingkahlaku diri penagih itu sendiri. Si penagih akan mula menjauhkan diri daripada

masyarakat umum dan hanya bergaul dengan kumpulan penagih-penagih dadah. Maruah

dan nama baik keluarga penagih akan tercemar di kalangan masyarakat. Diri penagih boleh

menjadi beban kepada keluarga kerana terpaksa menghabiskan masa, tenaga, wang yang

banyak untuk merawatnya. Masyarakat pula kini tidak lagi dapat hidup dalam keadaan yang

tenteram kerana berlakunya kejadian mencuri, merompak dan lain-lain yang dilakukan oleh

penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah. Bagi mencegah penyalahgunaan

dadah ini, undang-undang dadah telah diwartakan di Malaysia dan ia merupakan undang-

undang paling keras di dunia. Sejak dari tahun 1920-an dan 1930-an lagi telah diwujudkan

enakmen dan pengisytiharan mengenai dadah dan candu yang berasingan. Dalam

pembentukan pendidikan rohani dan jasmani yang sihat untuk anak-anak, ibu bapalah yang

berperanan penting dalam meneruskan institusi kekeluargaan. Dalam konteks ini, ibu bapa

perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa tekanan perasaan dalam kehidupan seharian

dapat diatasi tanpa terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Ibu bapa sepatutnya memberi

sepenuh perhatian kepada anak-anak mereka, mengambil tahu apa yang mereka lakukan

dan dengan siapakah mereka berkawan. Memandangkan penyalahgunaan dadah ialah

masalah bersama masyarakat, maka setiap anggota masyarakat sepatutnya memainkan

peranan masing-masing untuk mencegahnya. Ia boleh dimulakan seawal daripada rumah

dan di sekolah dengan pemantauan ibu bapa dan pihak sekolah merangkumi penggunaan

masa, pergaulan dengan rakan dan sebagainya. Seterusnya, selain penguatkuasaan

undang-undang yang ketat oleh kerajaan, pemulihan juga merupakan salah satu langkah

untuk mengurangkan kadar penagihan dan pengambilan semula dadah. Akhir sekali,

anggota masyarakat perlu bersikap terbuka dengan menerima mereka yang sudah insaf

dengan kesalahan mereka.

Natijahnya, gejala-gejala sosial yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia begitu

membimbangkan dan boleh merencatkan kecemerlangan negara. Malahan jika ini tidak

ditangani dengan bijaksana serta perancangan yang teliti pastinya akan mengancam

keselamatan negara kerana gejala-gejala sosial ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke

arah kehancuran. Kecemerlangan yang dilaungkan ketika ini tidak memberi apa-apa makna

sekiranya akhlak rakyat tidak seiring dengan matlamat untuk mencemerlangkan negara dan

bangsa. Inilah antara perkara yang menjadi isu dan cabaran besar pemimpin dan semua

pihak.

Page 11: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)

RujukanAhmad Redzuwan Mohd Yunus. (2003). Gejala Sosial dalam Masyarakat Islam : Punca dan

Penyelesaiannya. Cheras, Selangor, Malaysia: Utusan Publications & Distributors

Sdn. Bhd.

Anu Ratha. (2014, Jun 28). Penderaan Kanak-Kanak. Diperolehi daripada Academia:

http://www.academia.edu/7466953/penderaan_kanak-kanak

Brunnstrom, D. (2014, Jun 21). U.S. says Thailand, Malaysia, Venezuela among worst

human trafficking centers. Diperolehi daripada Reuters:

http://www.reuters.com/article/2014/06/21/us-usa-trafficking-sanctions-

idUSKBN0EV19S20140621

Kurniawati Kamarudin. (2011, Mac 30). Malaysia Bertungkus Lumus Hapuskan

Pemerdagangan Manusia. Diperolehi daripada Majlis Antipemerdagangan Orang

dan Antipenyeludupan Migran: http://mapo.bernama.com/news.php?id=574797

Mohd Jamil Yaacob. (2005). Mental sihat: OK di rumah, OK di tempat kerja. Bentong,

Pahang, Malaysia: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Mohd. Sharani Ahmad. (2004). Psikologi Kanak-Kanak. Batu Caves, Selangor, Malaysia:

PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Mustafa 'Afifi Ab Halim, Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Rezki Perdani Sawai, Nurhafizah

Muhd Shukor, Dini Farhana Baharuddin, Joki Perdani Sawai, & Abd Halim Mohd

Hussin. (2013). Bayi Yang Dibuang : Hak dan Kedudukan Bayi di Sisi Undang-

Undang. The Malayan Law Journal, 4.

Nita. (2011, Julai 3). Penyalahgunaan Dadah. Diperolehi daripada Nita's Homepage:

http://members.tripod.com/nita_73/dadah.html

Shahera Diana, & Safri Shahril. (2015, Julai 18). Pemerdagangan Manusia. Diperolehi

daripada Docslide: http://documents.tips/documents/pemerdagangan-manusia-

55ab4f611f97c.html

Page 12: Esei Kesantunan Masyarakat Malaysia (GSB1012)