bab 1. pengenalan.moral

21
1 BAB 1: Konsep-Konsep Asas Moral Setelah selesai Bab ini, anda akan dapat: a) Menjelaskan maksud ‘moral’ b) Analisis dimensi model insan bermoral c) Membincangkan ciri-ciri nilai d) Menghuraikan konflik moral e) Memerihalkan tentang agen-agen sosialisasi moral 1.1 Mukadimah 1.2 Konsep moral 1.3 Nilai 1.4 Model insan bermoral 1.5 Aplikasi model insan bermoral 1.6 Konflik moral 1.7 Agen-agen sosialisasi moral Ringkasan Rujukan

Upload: nur-zieyma

Post on 28-Sep-2015

62 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

aeu

TRANSCRIPT

  • 1

    BAB 1: Konsep-Konsep Asas Moral

    Setelah selesai Bab ini, anda akan dapat:

    a) Menjelaskan maksud moral b) Analisis dimensi model insan bermoral c) Membincangkan ciri-ciri nilai d) Menghuraikan konflik moral e) Memerihalkan tentang agen-agen sosialisasi moral

    1.1 Mukadimah

    1.2 Konsep moral

    1.3 Nilai

    1.4 Model insan bermoral

    1.5 Aplikasi model insan bermoral

    1.6 Konflik moral

    1.7 Agen-agen sosialisasi moral

    Ringkasan

    Rujukan

  • 2

    Bab ini bertumpu kepada perbincangan tentang konsep moral dan nilai. Juga diberi perhatian

    ialah model insan bermoral, konflik moral, cara menyelesaikan konflik moral dan agen-agen

    sosialisasi moral.

    Kerap kita mendengar pernyataan-pernyataan berikut:

    Itu tingkah laku tidak bermoral.

    Kita menghadapi keruntuhan moral.

    Kelakuan tidak bermoral berleluasa dalam kalangan remaja.

    Apakah yang dimaksudkan dengan moral dan mengapakah sesuatu amalan atau tindakan

    dianggap sebagai moral atau tidak moral? Moral dipinjam daripada perkataan Bahasa

    Inggeris moral yang berasal daripada perkataan bahasa Latin mores yang bererti

    kesusilaan, adab, sopan santun dan tradisi.

    Moral ialah pegangan tentang baik-buruk sesuatu perbuatan, sikap atau perilaku yang

    sejajar dengan tatasusila dan peraturan yang dipersetujui dan diterima oleh majoriti

    masyarakat setempat. Contohnya, dalam kebanyakan masyarakat, mencuri adalah sesuatu

    perbuatan yang salah dan orang yang melakukannya disifatkan sebagai tidak bermoral.

    Kamus Oxford Advanced Learners, mentaksir moral sebagai kesedaran tingkah laku yang betul atau yang salah, apa yang perlu dipatuhi dan ditinggalkan.

    Kamus Dewan mentakrifkan moral sebagai pegangan atau ajaran berkenaan baik-buruknya sesuatu perbuatan, kelakuan dan sikap.

    Moral merujuk kepada pegangan yang dihayati oleh individu dan tingkah laku atau

    tindakan yang dipamerkan. Contohnya, seseorang yang tidak menerima atau memberi

    rasuah mempamerkan moral yang dihayatinya yang berdasarkan prinsip-prinsip atau

    peraturan-peraturan yang diterima umum. Dengan perkataan lain, sama ada tingkah laku

    bermoral dipamerkan ditentukan oleh individu itu sendiri. Bagi individu, kesedaran moral

    (moral awareness) berkait rapat dengan hati nurani atau suara hati (conscience dalam

    Bahasa Inggeris) seseorang. Suara hati saya mengatakan saya tidak boleh melakukannya.

    1.1 Mukadimah

    1.2 Konsep Moral

  • 3

    Thomas Hobbes, seorang ahli falsafah Inggeris mengatakan:

    Tanpa peraturan sosial (moral), akan wujud satu keadaan

    konflik yang tidak berkesudahan dan persengketaan yang

    mengakibatkan kehidupan manusia menjadi jahat, bersifat buas

    dan angkuh.

    Thomas Hobbes (1588 1679)

    Kesedaran moral asas kepada kehidupan bermasyarakat. Kesedaran moral dapat mewujudkan

    masyarakat yang harmoni dan progresif. Hal ini kerana, kesedaran moral yang wujud dalam

    setiap setiap individu dapat memupuk persefahaman, bertimbang rasa, tolong-menolong dan

    lain-lain nilai yang baik. Perkara ini seterusnya akan membantu dalam melahirkan sebuah

    negara yang aman dan tenang di mana setiap rakyat akan sentiasa berasa selamat dan

    sejahtera dengan adanya masyarakat yang mempunyai kesedaran moral yang tinggi.

    Apakah perbezaan antara peraturan moral dengan agama dan undang-undang?

    Peraturan Moral dan Peraturan Agama - Peraturan moral

    adalah rekaan manusia untuk diikuti demi menjaga kebaikan

    individu dan masyarakat sejagat. Ia bergantung pada kerelaan

    diri sendiri untuk mematuhi peraturan moral atau tidak. Juga

    tempat serta waktu untuk mengamal sesuatu nilai moral tidak

    ditentukan. Berbanding dengan agama, setiap agama

    mempunyai peraturan dan nilai murni yang tercatat dalam

    kitab-kitab suci agama masing-masing. Segala kebaikan yang

    dilakukan adalah atas diri sendiri dan tanggungjawabnya adalah

    antara individu dengan Tuhannya. Juga tempat dan waktu

    untuk menjalankan ibadah ditentukan oleh agama masing-

    masing.

    Peraturan Moral dan Peraturan Undang-Undang - Peraturan

    moral merupakan nilai manusia (human values) yang dipersetujui

    sekelompok manusia tertentu. Tingkah laku buruk hanya dibenci

    dan dipandang hina oleh kumpulan berkenaan. Sebaliknya,

    peraturan undang-undang ditulis, dibahas, dilulus dan

    dikuatkuasa oleh badan-badang kerajaan seperti parlimen.

    Tingkah laku yang dipamerkan oleh individu adalah lahir daripada

    kepatuhan individu berkenaan terhadap undang-undang yang

    sah. Kesalahan atau kejahatan tingkah laku dikenakan denda

    Kitab-Kita Suci Agama

  • 4

    dengan pembayaran wang atau penjara.

    Nilai adalah standard baik dan buruk yang menentukan tingkah laku dan pilihan kita.

    Nilai moral diperolehi daripada agama, masyarakat, kerajaan dan juga diri sendiri. (Kita

    akan membincang lebih lanjut dalam Bab 3 and 4 kelak). Nilai merupakan satu ukuran

    atau standard yang mempertimbangkan harga sesuatu. Nilai moral ialah kriteria yang kita

    gunakan untuk menimbangkan sesuatu tindakan, sikap atau tingkah laku sebagai baik,

    wajar, berfaedah atau tidak baik, tidak wajar atau tidak berfaedah.

    Nilai moral adalah standard baik-buruk yang menjadi garis panduan tingkah laku,

    tindakan, sikap dan pilihan individu. Nilai-nilai moral yang dipilih ini penting untuk

    mengekalkan harmoni dan perpaduan rakyat. Contohnya, nilai moral kejujuran

    mencadangkan bahawa manusia hendaklah sentiasa jujur dan mereka yang tidak jujur telah

    melanggar nilai moral kejujuran. Nilai moral mungkin berasal daripada persetujuan

    masyarakat, kerajaan, agama atau pun diri sendiri. Memang menjadi tujuan semua agama,

    untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.

    Sekiranya, ahli-ahli dalam sesuatu komuniti tidak mempunyai persetujuan maka nilai moral

    tidak akan wujud. Berikut ini ialah beberapa keterangan tentang nilai:

    Jules Henry (1975) mendefinisikan nilai sebagai sesuatu yang dikira baik seperti

    kasih sayang, baik hati, kepuasan hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan,

    ketenangan dan kesederhanaan.

    Raths, Harmin dan Simon (1980) merumuskan nilai sebagai garis panduan umum

    terhadap tingkah laku. Garis panduan ini memberikan satu arah kepada kehidupan

    seseorang atau anggota sesuatu masyarakat.

    Redfield (1953) mentakrif nilai sebagai suatu konsep tersurat atau tersirat bagi

    individu atau sifat-sifat bagi suatu kelompok yang mempengaruhi pemilihan ragam,

    maksud dan segala tindakan.

    Hutcheon (1972), seorang ahli antropologi mempunyai beberapa pengertian lain untuk mentakrifkan nilai. Menurut beliau, nilai merupakan norma, idealisme

    budaya, kepercayaan, orientasi nilai, tingkah laku dan sikap yang baik.

    Super (1957) menerangkan bahawa nilai menyerapi semua aspek kehidupan,

    semua matlamat yang telah ditetapkan oleh seseorang individu dan perkara-perkara

    dalam kehidupan yang sangat penting.

    1.3 Nilai

  • 5

    William A. Scott (1965) menyamakan nilai dengan moral yang unggul. Beliau

    mentakrifkan nilai sebagai suatu konsep individu tentang perhubungan yang

    unggul yang digunakan untuk menilai sesuatu keburukan atau kebaikan dan

    sesuatu kesalahan atau kebenaran tentang perhubungan yang sebenarnya dilihat atau

    dirasai.

    Menyedari akan kepentingan penerapan nilai-nilai moral di sekolah-sekolah melalui semua

    mata pelajaran di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyenaraikan sebanyak

    16 nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Negara. Kesemua nilai-nilai yang digariskan ini

    merupakan nilai-nilai asas peribadi yang ingin diterapkan dalam kalangan murid. Penerapan

    nilai sangat penting kerana nilai merupakan penentu dalam diri manusia seterusnya

    mempengaruhi pilihannya dalam kehidupan dan akan menentukan tingkah laku.

    Masyarakat sememangnya telah diterapkan dengan amalan nilai-nilai murni sejak kecil.

    Objektif penerapan nilai-nilai ini adalah bertujuan supaya nilai murni dan sikap positif

    tentang kehidupan dan pekerjaan yang dianjurkan dapat dipraktikkan dan diamalkan bagi

    membaiki taraf hidup manusia dan mencapai hasil yang maksimum berdasarkan sumber

    yang telah diberi.

    Kesimpulannya, nilai merupakan satu aspek yang penting dalam mencorakkan budaya hidup

    manusia. Nilai jugalah yang mencerminkan norma masyarakat. Norma ini amat penting

    bagi mengawal tingkah laku manusia atau kelompok masyarakat kerana jika setiap anggota

    kumpulan masyarakat dibiasakan membuat apa sahaja tanpa peraturan dan pantang larang,

    maka sesuatu perkara itu akan dilakukan mengikut sesuka hati sahaja tanpa memikirkan

    persepsi serta pandangan masyarakat atau orang yang berada di sekeliling.

    Namun ada juga nilai-nilai yang dipegang sudah berubah, sedang berubah dan akan

    berubah. Justeru penerapan nilai yang berasaskan kepada norma yang telah ditetapkan dari

    semasa ke semasa perlu berjalan seiring agar sebuah masyarakat yang harmonis dan bersatu

    padu dapat dibina. Contohnya, suatu ketika dahulu, pelajar yang melanggar peraturan sekolah

    dirotan dikhalayak ramai; tetapi amalan (atau nilai atau pegangan) ini tidak lagi diterima oleh

    masyarakat.

    Dengan merujuk kepada penerangan yang diberikan oleh pakar-pakar

    tentang nilai moral, cadangkan suatu definisi nilai moral yang

    lengkap dan menyeluruh.

  • 6

    JENIS-JENIS NILAI

    Sesuatu nilai boleh dianalisis daripada beberapa segi:

    a) Nilai Objektif dan Nilai Subjektif Nilai objektif sangat rigid dan bebas

    daripada pilihan peribadi. Contohnya, mereka yang melakukan jenayah membunuh

    harus dikenakan hukuman mahkamah. Situasi ini merupakan satu hala dan tidak

    kerana membunuh dianggap hina oleh seluruh masyarakat dunia. Sebaliknya, nilai

    subjektif mungkin diterima atau ditolak oleh seseorang berdasarkan citarasa

    peribadinya. Contohnya, tentang asuhan remaja, sesetengah ibu bapa memberi

    kebebasan kepada anak-anak mereka untuk balik lambat waktu malam, manakala ibu

    bapa lain tidak membenarkan anak-anak mereka keluar waktu malam.

    You help me, I

    help you..

    Bincangkan mesej yang disampaikan dalam kartun di atas.

  • 7

    b) Nilai Mutlak dan Nilai Relatif Nilai mutlak adalah nilai yang tidak boleh

    dipertikaikan dan telah diterima umum dan telah diuji oleh masa sebagai sesuatu yang

    baik, kekal sepanjang masa serta diterima oleh semua, tidak mengira masa atau

    tempat. Nilai daripada sumber agama adalah nilai mutlakx. Contohnya, menghormati

    ibu bapa adalah nilai mutlak yang diutarakan oleh semua agama dan diterima oleh

    hampir semua manusia. Sebaliknya, nilai relatif merbeza mengikut pandangan

    individu dan masyarakat. Sifat nilai berkenaan tidak menentu, tidak sempurna dan

    berbeza-beza antara masyarakat yang berlainan dan berubah mengikut zaman.

    Contohnya, pengguran bayi dianggap sebagai tidak bersalah oleh sesetengah orang

    and dianggap salah oleh orang lain.

    Insan yang bermoral mempamerkan tiga dimensi, iaitu pemikiran moral, perasaan moral dan

    tindakan moral (Lihat Rajah dibawah).

    Penakulan Moral (moral reasoning) merupakan keupayaan mental untuk menakul (atau

    berfikir secara kritis) dalam situasi yang kabur. Keupayaan mental ini membolehkan individu

    merungkai dan menyelesaikan dilema moral sebaik mungkin secara autonomi, rasional dan

    1.4 Model Insan Bermoral

    Penakulan moral

    Perasaan moral

    Perlakuan moral

    a) Apakah yang dimaksudkan dengan moral? b) Bagaimana peraturan moral berbeza dengan peraturan agama dan

    peraturan undang-undang? c) Apakah yang dimaksudkan dengan nilai? d) Jelaskan perbezaan nilai mutlak dan nilai relatif. e) Jelaskan perbezaan nilai objektif dan nilai subjektif.

  • 8

    objektif tanpa paksaan atau kepatuhan yang membuta tuli terhadap sesuatu autoriti.

    Contohnya, murid menghadapi dilema sama ada melaporkan kepada guru bahawa kawan

    baiknya merokok dalam tandas. Dengan perkataan lain, individu berkenaan perlu membuat

    pertimbangan rasional dan bebas apabila terdedah kepada situasi seperti ini. Dia perlu

    membuat pertimbangan berasaskan nilai-nilai moral yang diterima dan persetujui oleh

    masyarakat setempat; iaitu merokok adalah suatu perbuatan yang salah menurut peraturan

    sekolah. Pendek kata, penaakulan moral ialah proses seseorang mencapai keputusan tentang

    apa yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan (Rest, Thomas & Edwards, 1997).

    Perasaan Moral (moral feelings) merupakan kehalusan emosi individu yang mengandungi

    sentimen, empati, simpati, prihatin, belas kasihan, bermotivasi dan murah hati. Kesedaran

    hati nurani atau suara hati yang menyebabkan insan berasa gembira apabila membuat sesuatu

    yang betul dan rasa bersalah jika melakukan sesuatu yang tidak betul. Contohnya, kelemahan

    moral dalam kalangan pelajar yang buli pelajar lain bukan disebabkan mereka tidak

    mengetahui bahawa perkara itu adalah salah tetapi berpunca dari tiadanya perasaan terhadap

    perasaan orang lain. Individu yang mempunyai perasaan moral akan bersifat altruistik,

    bertimbang rasa, belas kasihan dan murah hati. Disamping itu dia juga harus mempunyai rasa

    malu atau bersalah bila melakukan sesuatu yang tidak wajar dari segi moral.

    Perlakuan Moral (moral behaviour) merupakan tingkah laku dan perlakuan individu

    terhadap semua keputusan yang ditunjukkan dengan penuh tanggungjawab tetapi mengikut

    kemampuan dirinya. Tindakan moral ini adalah hasil daripada penakulan moral dan perasaan

    moral yang mendorong seseorang bertindak secara bermoral.

    Kesimpulan

    Model insan bermoral menekankan perwatakan yang positif harus terdiri daripada tiga

    dimensi moral, iaitu pemikiran moral, perasaan moral dan tindakan moral. Ketiga-tiga

    dimensi ini adalah perlu untuk membolehkan seseorang individu mencapai tahap moraliti

    yang tinggi.

    BETUL

    SALAH SALAH

  • 9

    Contoh: Cakap Tak Serupa Bikin

    Seorang guru mengetahui tentang keburukan merokok dan

    mempertimbangkan kesan buruk tabiat berkenaan. Mungkin dalam

    kalangan murid-muridnya dia melaung-laungkan jijiknya tabiat

    merokok. Akan tetapi, apabila dijumpai di tengah-tengah bandar, dia

    merokok. Bukan itu sahaja, dia membuang puntung-puntung rokok

    dimerata tempat.

    Jika guru berkenaan, mempunyai perasaan moral, dia akan merasakan malu dan merasakan

    bersalah merokok, lebih-lebih lagi mengajar murid-muridnya berjalan lurus. Inilah

    menyebabkan perlakuan moral guru berkenaan lebih bertumpu kepada kehendak diri

    sendiri dan tidak berlandaskan penakulan moral. Sepatutnya, seseorang yang berupaya

    menaakul secara bermoral akan membuat pertimbangan dengan menggunapakaikan nilai-

    nilai moral dalam kehidupan sehariannya. Perlakuan moral akan menyubur dan merangsang

    lagi kesedaran hati nurani yang menyebabkan individu berkenaan berasa gembira membuat

    apa yang patut dan betul. Kesedaran hati nurani akan menyebabkan individu berasa bersalah

    jika melakukan sesuatu yang tidak betul atau tidak bermoral.

    Encik Kadir, seorang pegawai tinggi di sebuah syarikat terkenal

    memahami penderitaan mangsa musibah banjir di Kelantan kerana

    beliau pernah mengalami peristiwa yang sama. Beliau berempati dengan

    dengan bebanan yang ditanggung oleh mereka yang ditempatkan di

    pusat-pusat tertentu. Apabila syarikatnya mengadakan kempen mengutip

    derma untuk mangsa banjir, beliau enggan menyumbang apa-apa pun.

    Baca petikan di atas dan jelaskan tingkah laku Encik Kadir dengan

    berpandukan kepada Model Insan Bermoral.

  • 10

    Sifat-sifat moral seseorang oleh dilihat melalui perlakuan yang menggambarkan sifat

    pemikiran kejiwaannya. Terdapat berbagai pendapat dalam menentukan sifat-sifat insan

    bermoral kerana masing-masing mempunyai fahaman yang tersendiri. Berikut ini ialah

    beberapa situasi yang menunjukkan aplikasi Model Insan Bermoral dan Insan Tak Bermoral.

    Contoh 1:

    Kumar memilih tidak merokok kerana dia sedar bahawa merokok membahayakan

    kesihatan. Dia tidak merokok bukan kerana dia takut dimarahi ibu bapa atau guru tetapi

    kerana kesedaran dalaman yang tinggi dan tidak mudah dipengaruhi oleh sesiapapun.

    Contoh 2:

    Swee Leong memilih tidak membakar sampah-sarap atau membuang

    sampah-sarap dengan merata- rata dan sesuka hati. Hal ini kerana dia

    menyedari bahawa perbuatan ini akan menyebabkan bumi kita sakit.

    Dia mempunyai ilmu pengetahuan tentang melindungi alam sekeliling

    dengan sempurna tetapi bukan disebabkan takut akan dihukum atau

    diberi dendaan oleh pihak berkuasa.

    Kumar dan Swee Leong mempamerkan AUTONOMI dalam memilih

    untuk melakukan sesuatu perbuatan atau sebaliknya. Autonomi,

    bermaksud, melakukan sesuatu tanpa paksaan. Kumar dan Swee Leong

    bebas membuat apa yang diingini dan tidak dipaksa untuk tidak

    merokok atau membuang sampah-sarap di merata tempat.

    Contoh 3:

    Cik Rosila, adalah guru Bahasa Melayu. Beliau melayani anak muridnya dengan sama rata

    tanpa mengira kaum atau agama. Di samping itu, beliau juga tidak memilih kasih terhadap

    muridnya yang lebih pandai dan tidak memandang rendah terhadap anak muridnya yang

    kurang pandai. Dalam pengajaran dan pembelajaran, Cik Rosila akan memberi peluang

    kepada semua murid untuk mengeluarkan pendapat dan menjawab soalan.

    Cik Rosila mengamalkan prinsip KEADILAN; iaitu perbuatan dan kelakuan yang adil

    terhadap diri sendiri dan orang lain, serta melayan semua orang dengan cara yang saksama.

    Dalam erti kata Iain, perbuatan dan tindakan ketidakadilan tidak membawa apa-apa

    manfaat kepada sesetengah orang kerana dalam tindakan atau perbuatan ini, tetap ada

    sesetengah orang yang berasa tidak puas hati dan akan berasa kecewa terhadap orang yang

    1.5 Aplikasi Model Insan Bermoral

  • 11

    mempraktikkan ketidakadilan ini. Keadilan adalah prinsip moral yang paling asas dan

    dinyatakan sebagai ibu kepada nilai-nilai murni yang lain.

    Contoh 4

    Seorang gadis berusia 19 tahun telah menderma RM60,000.00 kepada Persatuan Perubatan

    Malaysia (Mercy) untuk membantu pelarian di Iraq. Wang tersebut diperolehi melalui

    kemenangannya dalam peraduan meneka lagu. Beliau ialah Khatijah Khalilul Rahman.

    Khatijah memang unik, seumur hidupnya belum tentu beliau akan menerima wang yang

    sebegitu banyak. Satu sen pun tidak diambilnya. Tanpa apa-apa tujuan mencari nama atau

    mempromosi syarikat atau pertubuhan, gadis remaja itu mengamalkan sikap alturisme yang

    begitu tinggi nilainya.

    Khatijah mempamerkan prinsip ALTRUISME. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh individu

    akan melibatkan orang lain terutamanya dalam membuat sesuatu pertimbangan.

    Pertimbangan tersebut akan lebih berperikemanusiaan dan bermoral jika perhubungan itu

    berdasarkan belas kasihan, simpati, memandang penting dan mengambil berat tentang

    kebajikan orang lain. Amalan prinsip altruisme juga bermaksud individu akan menjauhi

    daripada kejahatan dan mementingkan diri sendiri. Prinsip altruisme melibatkan perlakuan

    yang mempunyai ciri-ciri bertujuan untuk menjaga kebaikan orang lain lebih daripada

    kepentingan diri sendiri. Biasanya keputusan yang diambil atau perlakuan yang dijelmakan

    bersifat moral dan berkeperimanusiaan. Perasaan kasih sayang, simpati dan empati

    menghilangkan rasa kepentingan diri sendiri, kebencian dan tamak.

    Kesimpulan

    Individu atau Insan Bermoral mempunyai ciri-ciri berikut:

    Menghormati autoriti (ibu bapa, guru, pemimpin negara dan agama) yang

    menunjukkan contoh teladan serta amalan yang bermoral.

    Menghormati agama dan kepercayaan orang lain serta menghargai nyawa sendiri dan

    orang lain.

    Orang yang bermoral juga akan membuat keputusan moral secara autonomous setelah

    menimbangkan segala fakta, alternatif dan kesannya.

    Melakukan sesuatu secara bebas tanpa sebarang tekanan, tetapi mestilah berdasarkan

    sebab yang munasabah serta motif dan tujuan yang rasional. Segala fakta yang

    berkaitan dengan isu yang dipersoal akan dipertimbangkan secara objektif sebelum

    sesuatu keputusan dibuat.

    Mempunyai pengetahuan dan pemahaman tentang perasaan orang lain di dalam satu-

    satu situasi. Kesedaran tentang perasaan dan kepentingan orang lain haruslah

    dititikberatkan dalam sesuatu situasi dan keputusan moral.

    Mempunyai emosi atau motivasi moral untuk melakukan sesuatu yang benar selepas

    keputusan moral diambil. Seseorangakan sukar untuk bertindak sekiranya dia tidak

    bermotivasi untuk melakukannya.

  • 12

    Mempunyai iltizam untuk melakukan sesuatu yang patut dilakukan secara berterusan

    berdasarkan prinsip-prinsip dan peraturan yang asas.

    Apakah Konflik?

    Konflik ialah permasalahan yang timbul akibat daripada pertembungan dua atau lebih

    perkara. Penyelesaian yang harus dilakukan ialah memilih di antara satu yang terbaik.

    Konflik boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti konflik matlamat, konflik perasaan,

    konflik pendapat, konflik moral dan sebagainya. Konflik merupakan perkara biasa dalam

    kehidupan manusia. Adakah yang berpendapat konflik memperkukuhkan diri sendiri

    seseorang. Ada pula yang berpendapat konflik hanya membawa keburukan dan

    ketidakupayaan dalam menyelesaikan konflik boleh menyebabkan perkara yang buruk seperti

    membunuh diri, pembunuhan, pergaduhan, fitnah dan sebagainya

    Apakah Konflik Moral?

    Konflik moral merupakan pertembungan

    diantara dua nilai yang bertentangan dalam

    sesuatu keadaan. Konflik moral secara tidak

    langsung meletakkan seseorang itu dalam

    dilema untuk memilih jalan penyelesaian yang

    terbaik. Konflik moral boleh berlaku pada

    sesiapa sahaja dalam kehidupan seharian sama

    ada ditempat kerja, rumah dan sebagainya.

    Kebiasaannya, konflik ini memerlukan

    pemikiran yang mendalam dan terperinci dalam

    usaha menyelesaikannya.

    Sesetengah individu tidak mengambil perhatian terhadap konflik moral dan menganggapnya

    sebagai tidak penting. Ada yang terlalu beremos emosi, tidak rasional dan tenang dalam

    1.6 Konflik Moral

    a) Jelaskan tiga dimensi model insan bermoral b) Apakah terjadi sekiranya salah satu dimensi tidak dilaksanakan oleh

    seorang individu? c) Berikan contoh-contoh lain yang menunjukkan amalan tak

    bermoral seperti mana dijelaskan oleh model insan bermoral.

    Adakah ini konflik moral?

  • 13

    menghadapi konflik moral. Apabila berhadapan dengan konflik moral, seseorang itu harus

    melihatnya daripada semua sudut dan mengambil kira segala perkara sebelum membuat

    keputusan. Konflik moral yang kecil boleh menjadi besar jika tidak diselesaikan dengan

    bijaksana.

    Contoh Konflik Moral

    Memandu secara laju untuk menghantar seseorang ke hospital keranamemerlukan rawatan

    kecemasan

    Seseorang yang jujur dan setia tetapi ternampak rakan karib melakukan rasuah

    Kawan baik anda meniru dan membawa nota dalam dewan peperiksaan

    Ahmad dan Seng Huat adalah rakan kongsi perniagaan. Ahmad dapati Seng Huat telah

    melakukan penipuan dengan mencuri duit syarikat. Ahmad boleh meminta Seng Huat

    mengembalikan wang dicuri atau melaporkannya kepada pihak polis yang mungkin

    membawa publisiti buruk kepada syarikat mereka.

    Penyelesaian secara umum

    Dalam menyelesaikan konflik dan masalah, kita mempunyai pelbagai cara penyelesaian.

    Berikut adalah tips berfikir secara kreatif dan bijak yang dapat membantu mencari idea

    yang terbaik dan seterusnya dapat menyelesaikan segala masalah atau konflik.

    Mendapat dan mengumpulkan nasihat, pendapat atau pandangan daripada orang-

    orang yang berpengalaman mengenai masalah tersebut. Selepas itu, buat analisis mengenai

    semua data dan kesimpulan serta pilihan.

    Memecahkan paradigma lama dalam pemikiran yang menyebabkan kita gagal untuk berfikir lebih

    jauh.

  • 14

    Melihat dari persepsi baik atau buruk dengan menolak sebarang sentimen yang boleh menyebabkan

    berat sebelah atau prejudis dalam penilaian baik atau buruk.

    Mencari jawapan dan penyelesaian dengan menggunakan kaedah hukum adat, semula jadi atau

    kebiasaan dan fakta sejarah.

    Mencari punca sebenar permasalahan dan menyelesaikan terlebih dahulu punca permasalahan yang

    boleh menambahkan masalah lain.

    Berikut ialah beberapa cara penyelesaian konflik moral:

    1) Strategi Pembinaan Hirarki 2) Strategi Pencairan Masalah 3) Strategi Kompromi 4) Strategi Analisis Nila

    1) STRATEGI PEMBINAAN HIRARKI Mengutamakan nilai yang lebih berkepentingan. Memilih dan menyusun atur nilai yang

    wujud akibat konflik moral. Selepas mengenal pasti nilai-nilai yang terlibat, nilai-nilai ini

    akan disusun mengikut kepentingannya. Kebijaksanaan dalam menyusun kepentingan nilai

    membolehkan kita menyelesaikan konflik dengan baik. Penilaian terhadap nilai yang terbaik

    harus dibuat secara menyeluruh dan berhati.

    Contoh:

    Ternampak kawan baik terlibat dalam pengedaran ganja. Patutkah

    dilaporkan?

    Tindakan yang betul - patut bersikap jujur dan melaporkannya kepada polis walaupun

    dia kawan yang setia. Menjual maruah untuk membiayai pelajaran. Patutkah dilakukan?

    Langkah-langkah Strategi Pembinaan Hirarki:

    1) Kenal pasti nilai-nilai yang berkonflik

    2) Susun atur nilai-nilai yang berkonflik mengikut kepentingan iaitu daripada yang lebih

    penting sehingga yang kurang penting

    3) Berikan sebab kepada susunan kepentingan tersebut

    Kelemahan Strategi Pembinaan Hirarki

    Nilai-nilai yang berkonflik tidak selalunya dapat disusun mengikut hirarki. Kadang-kadang

    sukar hendak dinyatakan atau ditunjukkan bahawa sesuatu nilai itu lebih asas atau lebih

    menyeluruh berbanding dengan nilai lain

  • 15

    2) STRATEGI PENCAIRAN MASALAH Bersikap fleksibel terhadap masalah atau konflik dengan mencari alternatif yang

    lebih sesuai.

    Cuba menukarkan nilai yang bertembung dengan mewujudkan nilai alternatif.

    Jadi, nilai di dalam konflik ini bersifat boleh diubah dan tidak tetap

    Dalam menggunakan strategi ini, seseorang mestilah jelas dan sedar akan matlamat yang hendak

    dicapai

    Disebabkan mempunyai pelbagai matlamat atau alternatif, segala nilai konflik dapat diselesaikan

    bersesuaian dengan matlamat baru yang dibuat.

    Contoh :

    Chan berjanji untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan adiknya pada 31

    Ogos. Tiba-tiba anak Chan diculik dan dipaksa membayar wang tebusan pada 29

    Ogos. Chan tiada pilihan lain kecuali membayar wang tebusan tersebut. Jika dia

    membayar wang tersebut, dia tidak ada wang simpanan lagi untuk membiayai

    perkahwinan adiknya. Apakah keputusan Chan?

    Jamil dan isterinya dalam perjalanan ke KLIA kerana ditugaskan menyambut

    kedatangan seorang menteri dari luar negara. Ketika dalam perjalanan, Jamil

    menerima panggilan menyatakan ibunya sedang tenat di hospital dan perlu

    pulang dengan segera. Apa keputusan Jamil?

    Langkah-langkah Strategi Pencairan Masalah:

    1) Kenal pasti nilai-nilai yang berkonflik

    2) Berikan alternatif kepada nilai-nilai yang berkonflik

    3) Berikan sebab kenapa alternatif tersebut dibuat

    Kelemahan Strategi Pencairan Masalah

    Sesetengah konflik tidak dapat dihindar terutamanya jika berhadapan dengan keadaan yang

    tidak dikawal kerana di luar jangkaan. Strategi ini tidak membina perwatakan. Sebaliknya

    menggalakkan manusia untuk lari, mengelakkan diri atau menjauhkan diri daripada

    berhadapan dengan konflik secara langsung

  • 16

    3) STRATEGI KOMPROMI

    Berkompromi iaitu mengamalkan sikap give and take.

    Memperuntukkan sesuatu tetapi bukan segala-galanya kepada setiap orang atau

    memperuntukkan sedikit daripada setiap nilai.

    Bertolak-ansur atas konflik yang timbul dan keputusannya sudah tentu mempunyai

    kelebihan dan kekurangan tersendiri.

    Untuk menyelesaikan konflik moral ini, strategi kompromi hanya akan digunakan

    setelah strategi hirarki dan pencairan masalah tidak dapat digunakan.

    Contoh:

    Ketika Tahun Baru Cina, isteri anda mahu pulang ke kampungnya di Melaka dan

    anda mahu pulang ke kampung anda di Johor. Apa keputusan anda?

    Strategi kompromi digunakan kerana ada andaian menyatakan bahawa tidak

    dapat membina hirarki yang rasional tentang nilai mana yang lebih penting. Juga,

    konflik di antara nilai-nilai yang terbabit tidak dapat dicairkan.

    Jika pencairan masalah boleh digunakan, kita tidak memerlukan strategi

    kompromi kerana hasil atau keuntungan daripada kompromi adalah kurang atau

    lebih rendah.

    Langkah-langkah Strategi Kompromi:

    1) Kenal pasti nilai-nilai yang berkonflik 2) Nyatakan pihak yang akan berkompromi atau berkorban 3) Berikan sebab kenapa kompromi tersebut dibuat.

    d) Apakah konflik moral? e) Berikan contoh-contoh lain konflik moral yang dihadapi pelajar

    sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi. f) Jelaskan cara-cara yang boleh digunakan oleh seseorang dalam

    menyelesaikan konflik moral.

  • 17

    Sosialisasi (Socialisation) adalah proses bagaimana manusia mempelajari kemahiran dan

    sikap yang berkaitan dengan nilai, norma dan peranan sosial. Proses ini melibatkan

    pemindahan kebiasaan atau nilai dan aturan daripada satu generasi ke generasi lain

    masyarakat. Seseorang yang belum disosialisasi adalah sukar untuk berinteraksi dengan

    orang lain. Dalam proses sosialisasi individu diajar peranan-peranan yang harus dijalankan.

    Sosialisasi merupakan proses yang terus terjadi selama hidup kita.

    Mengapakah Manusia Perlu Disosialisasi?

    Tingkah laku manusia adalah berbeza-beza daripada tingkah laku makhluk lain. Makhluk lain

    lahir dengan naluri genetik (atau baka). Walau pun manusia lahir dengan naluri genetik (atau

    baka), ia tidak lengkap dan harus diserapkan dengan oleh kebudayaan masyarakat.

    Contohnya haiwan bila lapar akan memburu dan makan apa yang terdapat di persekitaran.

    Sebaliknya, manusia perlu mematuhi nilai dan norma masyarakat seperti membasuh tangan

    sebelum makan, duduk di tempat tertentu, makan dengan menggunakan tangan atau alat-

    alatan tertentu.

    a) Keluarga Sebagai Agen Sosialisasi Moral

    Keluarga memainkan peranan yang penting

    dalam memegang peranan sosial yang wajar

    dalam masyarakat. Contohnya dalam

    bekerjasama, persaingan, kasih sayang dan

    sebagainya.

    Keluarga merupakan agen sosialisasi yang

    banyak memberi kesan kepada perkembangan

    diri kanak-kanak. Jika dibandingkan dengan

    agen-agen sosialisasi yang lain, ibu bapa

    mempunyai peranan yang penting bagi

    mengajar anak-anak memegang peranan sosial

    yang wajar di dalam sesebuah masyarakat. Di

    antara perkara-perkara yang dipelajari daripada ibu bapa ialah mengenai kerjasama dan

    persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau bersenang hati dan ketegangan.

    Terdapat yang mengatakan bahawa kanak-kanak pada waktu mereka dilahirkan adalah seperti

    kain putih atau papan tulis bersih (tabula rasa). Ini bermakna, pada waktu dia dilahirkan,

    kanak-kanak tersebut tidak jahat dan juga tidak baik. Apa yang menentukan pembentukan

    personaliti bergantung kepada faktor persekitaran. Keluarga atau ibu bapa sebagai

    1.7 Agen-Agen Sosialisasi Moral

  • 18

    kelompok utama memainkan peranan yang penting dalam pembentukan personaliti

    tersebut.

    Dalam usia yang begitu muda di mana kebanyakan proses interaksi berlaku di rumah, ibu

    bapa dan dewasa lain menjadi model utama dan ulung yang boleh dicontohi oleh kanak-

    kanak. Ahli-ahli sosiologi dan psikologi semenjak beberapa dekad yang lampau telah

    mengkaji mengenai cara ibu bapa mengasuh-didik anak-anak mereka dan apakah kesannya

    terhadap pembentukan personaliti. Banyak tumpuan yang telah diberikan mengenai cara ibu

    bapa memberi makanan kepada anak-anak, amalan penyusuan ibu dibandingkan dengan

    penyusuan botol, pola tidur dan sebagainya. Segala amalan mengasuh-didik anak-anak

    membayangkan tentang sikap dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Terdapat tiga

    kaedah mengasuh-didik anak yang telah dikenal pasti:

    Kaedah pertama ialah di mana ibu bapa bersifat garang terhadap anak-anak. Mereka

    mengamalkan falsafah anak itu hanya boleh dilihat tetapi tidak boleh didengar.

    Hasil daripada kajian mengenai keluarga autoritarian ini menunjukkan anak menjadi

    pasif, tidak ada inisiatif, submisif, tidak mahu bekerjasama dan takut mengeluarkan

    pendapat.

    Kaedah laissez-faire adalah bertentangan dengan kaedah autoritarian. Dalam hal ini,

    ibu bapa terlalu berlembut dengan anak-anak, segala kemahuan anak dituruti dan

    disiplin terlalu longgar seperti memberikan kebebasan mutlak kepada anak-anak.

    Akibatnya, anak-anak tidak menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan

    tanggungjawab.

    Ibu bapa yang mengamalkan kaedah sederhana atau demokratik selalu melibatkan

    anak-anak mereka berbincang dalam masalah keluarga. Mereka bersikap lembut tetapi

    tegas dan banyak memberi bimbingan. Disiplin anak-anak tidaklah bergantung kepada

    kuasa fizikal tetapi lebih kepada penakulan. Sekiranya anak-anak membuat

    kesilapan, mereka akan diberitahu kenapa mereka didenda. Anak-anak daripada

    keluarga demokratik telah didapati menunjukkan ciri-ciri inisiatif, bersopan santun,

    yakin kepada kebolehan diri sendiri di samping menunjukkan sifat-sifat lain yang

    positif.

    b) Rakan Sebaya Sebagai Agen Sosialisasi Moral

    Rakan sebaya juga merupakan agen sosialisasi utama. Walaupun pengaruh keluarga sangat

    kuat dalam kehidupan kanak-kanak, lama-kelamaan pengaruh tersebut semakin berkurangan

    apabila kanak-kanak sudah cukup besar untuk mempunyai rakan-rakannya sendiri. Kumpulan

    rakan sebaya terdiri daripada mereka yang sebaya dengan kanak-kanak dan kebanyakannya

    daripada status sosial yang sama. Berlainan dengan keluarga, kumpulan rakan sebaya tidak

    berniat untuk mensosialisasikan kanak-kanak. Tujuan utamanya ialah rekreasi. Namun

    demikian, fungsi sosialisasi yang tersembunyi yang ada pada rakan sebaya adalah agak

    penting.

    Pengaruh rakan sebaya sangat ketara pada peringkat remaja. Kadangkala ahli-ahli dalam

    clique atau geng mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan

  • 19

    terhadap kehidupan. Akibatnya, remaja cuba menghayati norma, nilai, kod dan segala

    harapan rakan sebaya supaya dia disanjung oleh kumpulannya. Ramai ahli sosiologi

    mengatakan bahawa dalam masyarakat moden, kumpulan rakan sebaya telah menjadi agen

    sosial yang terpenting. Dalam masyarakat tradisional, pola kebudayaan yang stabil menjadi

    garis panduan kepada tingkah laku.

    Pembentukan personaliti banyak bergantung kepada tradisi masyarakat yang ada di sekeliling

    kanak-kanak. Gejala ini agak berlainan dalam masyarakat moden di mana pembentukan

    personaliti banyak bergantung kepada pengaruh rakan sebaya. Remaja merasakan dirinya

    perlu diterima oleh kumpulan rakan sebaya, remaja perlu akur atau patuh kepada nilai rakan

    sebaya. Kadangkala, norma dan nilai tersebut bertentangan dengan norma dan nilai keluarga

    atau tradisi dan ini akan merupakan bibit-bibit konflik antara golongan muda dan tua.

    c) Sekolah Sebagai Agen Sosialisasi Moral

    Sekolah merupakan lagi satu agen sosialisasi moral. Secara amnya, sekolah berfungsi untuk

    menyalurkan norma dan nilai masyarakat kepada anak-anak muda. Dalam proses

    persekolahan, anak-anak muda yang melalui sistem pendidikan dalam jangka masa tertentu

  • 20

    dijangka mempelajari beberapa ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai moral, sikap dan

    pandangan tertentu terhadap masyarakat.

    Seperti dengan ibu bapa, guru mempunyai autoriti terhadap kanak-kanak, mengajar sesuatu

    kepada kanak-kanak dan juga dijangka mengambil berat tentang perkembangan dan

    kemajuan murid. Oleh yang demikian, guru boleh menjadi model peranan yang sangat

    berpengaruh dalam perkembangan kanak-kanak. Contohnya, murid yang meminati sesuatu

    mata pelajaran atau membenci mata pelajaran lain banyak dipengaruhi oleh guru.

    Di sekolah murid mempelajari pelbagai nilai-nilai seperti beratur, ketepatan waktu, mematuhi

    peraturan, menghormati murid lain dan sebagainya. Segala yang dipelajari menyediakan

    murid untuk berfungsi dalam dunia dewasa. Sekolah dianggap sebagai sebuah institusi sosial

    yang cuba menyalurkan nilai-nilai moral.

    d) Media Massa Sebagai Sosialisasi Moral

    Media massa memberi kesan yang kuat dalam proses sosialisasi, di mana melaluinya kanak-

    kanak belajar melalui model-model peranan, mengajar tingkah laku dan sikap yang betul di

    samping meluaskan pandangan kanak-kanak. Sejak kebelakangan ini, media yang paling

    mempengaruhi proses ini ialah televisyen. Televisyen dan video game telah menjadi agen

    sosialisasi yang signifikan, tetapi kontroversial. Banyak pro dan kontranya mengenai kesan

    televisyen dan video game terhadap perkembangan kanak-kanak. Kajian menunjukkan

    kanak-kanak menghabiskan masa sebanyak tiga hingga ke empat jam sehari di hadapan kaca

    televisyen dan bermain video. Ini bermakna sebanyak satu perenam daripada waktu jaga

    mereka adalah di hadapan peti televisyen.

    Rancangan-rancangan yang memaparkan keganasan juga telah didapati memberi kesan

    kepada tingkah laku agresif di kalangan kanak-kanak. Pengkritik-pengkritik televisyen dan

    permainan video melontarkan pendapat mereka bahawa televisyen mengurangkan minat

    mereka terhadap bacaan, ia merupakan aktiviti yang membazir waktu dan memberikan

    model-model yang buruk untuk dicontohi. Oleh sebab itulah negara yang banyak mengimport

    rancangan televisyen dari Barat perlu berhati-hati memilih rancangan yang boleh membawa

    kepada pemikiran sihat dan positif.

    Terdapat pendapat yang lain, yang melihat pengaruh televisyen dan permainan video sebagai

    positif yang meluaskan pandangan kanak-kanak melalui peranan-peranan yang mungkin

    tidak wujud dalam persekitaran mereka. Televisyen dan permainan video juga memberi

    berbagai-bagai idea dan aktiviti kepada kanak-kanak. Rancangan kanak-kanak yang disusun

    baik dapat memperbaiki konsep kendiri dan kemahiran intelektual kanak-kanak.

    Terdapat dua pandangan mengenai sama ada televisyen menggalakkan tingkah laku agresif.

    Satu pendapat menyokong rancangan-rancangan yang bercorak ganas kerana ia

    dikatakan dapat melepaskan tindakan desakan agresif individu. Dengan kata lain,

    televisyen dapat mengurangkan tingkah laku agresif.

  • 21

    Pendapat yang kedua pula berpegang kepada hipotesis iaitu kanak-kanak akan cuba

    melakukan apa yang telah dilihat. Banyak eksperimen yang telah dijalankan terhadap

    kanak-kanak dan penemuan menyokong teori yang kedua tadi.

    Secara umum, ramai berpendapat ibu bapa perlu mengawal rancangan-rancangan yang

    ditonton oleh anak-anak mereka. Terdapat ibu bapa yang tidak dapat mengawal anak-anak

    mereka daripada menonton televisyen dan bermain video. Ibu bapa yang tidak mengambil

    berat tentang rancangan yang diminati oleh anak-anak kerana mereka sendiri gemar

    menonton rancangan yang bercorak ganas.

    e) Guru Pendidikan Moral

    Guru Pendidikan Moral harus sedar bahawa kanak-kanak yang datang ke sekolah telah

    mempelajari pendidikan moral di rumah daripada keluarga, rakan sebaya. media masa dan

    sebagainya. Kanak-kanak telah mempunyai sikap, kepercayaan dan tabiat tentang moral yang

    dipelajari mereka daripada pelbagai sumber sebelum mereka ke sekolah. Guru Pendidikan

    Moral juga harus sedar bahawa sekolah itu sendiri merupakan sumber pembelajaran moral

    secara tidak langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir dan bagaimana

    guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh secara tidak langsung kepada

    pembelajaran moral kanak-kanak di sekolah.

    Guru Pendidikan Moral mesti menerima hakikat bahawa nilai-nilai moral sudah tertanam

    dalam diri murid-murid. Guru haruslah bersedia untuk mengajar Pendidikan Moral dengan

    mengambil kira pengetahuan dan pembelajaran moral yang sedia ada. Guru dikehendaki

    memperkembangkan pengetahuan moral murid-murid ini dan membimbing mereka.

    Pendidikan Moral di sekolah digunakan untuk memperkembangkan pengetahuan moral

    kanak-kanak ke arah mencapai matlamat kurikulum untuk melahirkan individu yang

    bermoral tinggi.

    a) Apakah sosialisasi moral? b) Jelaskan peranan keluarga dalam sosialisasi moral kanak-kanak. c) Apakah peranan rakan sebaya dalam sosialisasi moral pelajar? d) Sejauh manakah media masa berperanan dalam sosialisasi moral

    pelajar sekolah rendah dan menengah?