bab 1 pengenalan

14

Click here to load reader

Upload: nur-dasima

Post on 15-Jul-2015

627 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bab 1 pengenalan

BAB 1

PENGENALAN

1.0 Pendahuluan

Masyarakat dunia mempercayai bahawa pengetahuan dan kemahiran sangat

diperlukan oleh pelajar dalam menghadapi cabaran di abad ke-21. Walaupun terdapat

perbezaan dari segi maksud terminalogi kemahiran abad ke-21 (21st century skills) di antara

negara-negara di dunia, namun kesemuanya memberi penekanan terhadap pengetahuan,

kemahiran dan nilai (Saavedra & Opfer, 2012). Untuk menyediakan pelajar ke arah sektor

pekerjaan dan kehidupan di abad ke-21 adalah sangat mencabar. Globalisasi, teknologi,

migrasi, persaingan antarabangsa, perubahan pasaran ekonomi, persekitaran dan politik telah

menambah keperluan negara untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan pelajar

supaya dapat mengharungi cabaran dalam konteks abad ke-21. Antara cabaran abad ke-21

adalah melahirkan masyarakat yang mempunyai kemahiran tinggi iaitu pemikiran aras tinggi,

hasil pembelajaran yang bermakna dan kemahiran berfikir dan komunikasi secara kompleks

(Saavedra & Opfer, 2012).

Tuntutan kehidupan yang lebih kompleks dalam abad ke-21 memerlukan kita

mempunyai pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif kerana kebanyakkan keperluan harian

telah diautomasikan yang membuat kita kurang berfikir dan kreatif (Duhigg, 2012).

Tambahan lagi akses kepada internet telah membuat kita hidup dalam dunia tanpa sempadan

di mana maklumat dapat dicapai pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.

Kajian kemahiran kritikal yang dijalankan oleh American Management Association

(AMA) dan Partnership for 21st Century Skills, P21 (2010) mendapati majikan memerlukan

pekerja yang boleh memenuhi permintaan keperluan industri. 97% majikan meletakkan

kemahiran kritikal sebagai kemahiran yang terpenting dalam meningkatkan ekonomi dan

syarikat diikuti 95% kemahiran komunikasi, 92% kreativiti dan inovasi dan 92% kerjasama

dalam kumpulan. Kajian yang sama juga menunjukkan 76% majikan percaya dengan adanya

kemahiran kritikal dan penyelesaian masalah, komunikasi, bekerjasama dan kreatif serta

Page 2: Bab 1 pengenalan

inovatif akan menjadi semakin penting dan diberi tumpuan dalam tiga ke lima tahun akan

datang. Oleh itu, pelajar bukan sahaja perlu menguasai kemahiran asas seperti membaca,

menulis dan mengira malah mereka seharusnya memiliki kemahiran tinggi untuk

pembangunan ekonomi negara.

Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara amatlah bergantung kepada minda dan

potensi rakyatnya. Pendidikan memainkan peranan utama bagi perkembangan ekonomi dan

pembangunan sesebuah negara. Hasnah et al., (2009) menyatakan salah satu tonggak kepada

peningkatan daya saing negara ialah melalui sistem pendidikan. Dalam menuju sebuah negara

maju, rakyat perlu memiliki ilmu dan kemahiran untuk bersaing di peringkat global. Menurut

Rajendran (2001), kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tahap ilmu dan kemahiran

yang dikuasai oleh rakyat negara tersebut. Dalam menghadapi persaingan global dari sudut

pembangunan ekonomi, kejayaan sesebuah negara amat bergantung kepada ilmu

pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyat. Oleh itu, negara yang

mempunyai rakyat yang memiliki modal budaya yang tinggi akan menikmati kemajuan

ekonomi yang tinggi.

Untuk mencapai daya saing yang tinggi di peringkat global yang berasaskan inovasi,

pendekatan yang sistematik dan menyeluruh untuk membangunkan modal insan berkepakaran

tinggi amat diperlukan (Low & Lay, 2013). Satu dari teras utama misi nasional dalam RMK

ke-9 adalah untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi bagi memupuk

warganegara yang mempunyai minda kelas pertama (Jabatan Perdana Menteri, 2006). Perkara

ini hanya dapat dicapai melalui satu sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Dengan ini adalah menjadi hasrat utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya

pendidikan di negara ini adalah berkesan dan berkualiti serta mampu bersaing di peringkat

antarabangsa (Low & Lay, 2013).

Dewasa ini, sistem pendidikan negara telah mengalami transformasi bagi menyediakan

pelajar untuk menghadapi cabaran di abad ke-21. Salah satu strategi bagi menghasilkan

masyarakat yang mempunyai modal insan dan intelektual yang tinggi adalah dengan

menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di kalangan pelajar. KPM telah

mengambil langkah menggubal satu pelan pembangunan pendidikan untuk menyediakan

sistem pendidikan yang memenuhi keperluan negara pada masa hadapan serta menambah baik

sistem pendidikan secara berterusan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)

2013-2025. Pelan pembangunan ini berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan teras

Page 3: Bab 1 pengenalan

pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan Malaysia. Lima teras pendidikan itu

ialah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Laporan awal PPPM 2013-2025 menggariskan enam aspirasi yang diperlukan oleh

setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat dan semasa sejajar dengan Falsafah

Pendidikan Kebangsaan iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin,

kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.

Pentaksiran antarabangsa murid seperti Programme International Students Assesment

(PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) telah digunakan

sebagai satu kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan sistem pendidikan.

PISA dijalankan dengan tujuan untuk membanding dan memperbaiki kualiti pendidikan

nasional sebuah negara (Funke, 2013). Objektif PISA adalah untuk mengukur pencapaian

murid berumur 15 tahun dalam literasi Matematik, Sains dan Bacaan dan melihat sejauh mana

remaja telah memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi

masyarakat yang berjaya (KPM, 2012). Tumpuan pentaksiran bukan kepada kandungan

kurikulum tetapi keupayaan pelajar mengaplikasikan pengetahuan dalam kehidupan sebenar.

TIMSS pula merupakan pentaksiran yang dibuat berasaskan kurikulum sekolah bagi mata

pelajaran Sains dan Matematik. Ia digunakan untuk mengukur prestasi pelajar yang

merangkumi dua aspek iaitu pengetahuan dan kandungan seperti algebra dan kemahiran

kognitif seperti proses pemikiran, penguasaan pengetahuan, aplikasi dan penaakulan.

Untuk berada pada landasan yang betul dalam bidang pendidikan dan pekerjaan,

pelajar perlu menunjukkan mereka mempunyai kemahiran menganalisis dan menyelesaikan

masalah yang kompleks, berkomunikasi secara berkesan, mensintesis maklumat,

mengaplikasi pengetahuan dan membuat generalisasi pembelajaran (Duncan, 2010).

Perancangan sistem pendidikan kebangsaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan

Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah salah satu cara dan bukti kesungguhan Malaysia untuk

mencapai aspirasi khususnya dari aspek kualiti untuk berada dalam kalangan negara sepertiga

teratas berdasarkan penilaian antarabangsa dalam tempoh 15 tahun dan menjadi antara negara

yang mempunyai sistem pendidikan yang paling cepat berkembang di dunia (KPM, 2012).

Kesemua perbincangan yang telah diutarakan memerlukan kita mempunyai kemahiran

berfikir aras tinggi (KBAT). KBAT membawa maksud keupayaan yang mengaplikasi

pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi

menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu

Page 4: Bab 1 pengenalan

(Agensi Inovasi Malaysia (AIM), 2013). Penyelesaian masalah dan kreativiti juga adalah

sebahagian daripada elemen KBAT (Goodsom, Rohani & King, 1998). Justeru itu, satu usaha

perlu dilakukan bagi menggalakkan dan meningkatkan KBAT di kalangan pelajar agar

mereka dapat merealisasikan aspirasi negara.

1.2 Latar Belakang Kajian

Sistem pendidikan negara telah mengalami transformasi untuk menyediakan dan

menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabarab abad ke-

21 agar negara mampu bersaing di peringkat global. Strategi bagi menghasilkan masyarakat

yang mempunyai modal insan dan intelektual yang tinggi adalah dengan menerapkan

kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di kalangan pelajar. Menurut Stein dan Lane (1996),

jika hendak menghasilkan pelajar yang berkemampuan untuk berfikir, menaakul dan

menyelesaikan masalah, kita perlu bermula dengan tugasan kognitif aras tinggi (high-level

cognitively complex task). Penguasaan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis atau juga

dikenali sebagai KBAT di kalangan pelajar merupakan suatu perkara penting dalam sistem

pendidikan di seluruh dunia.

Kepentingan kemahiran berfikir dapat dilihat menerusi salah satu objektif sistem

pendidikan negara iaitu untuk mempertingkatkan daya fikir di kalangan pelajar. Ia turut

digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di mana

tumpuan bukan hanya diberikan kepada pemerolehan ilmu pengetahuan sahaja, tetapi juga

pembangunan KBATserta membangunkan pendidikan bertaraf dunia. Apakah itu KBAT?

Mengapa ia sangat diberi penekanan dan perhatian? Apakah kepentingan KBAT dalam sistem

pendidikan negara?

Page 5: Bab 1 pengenalan

1.2.1 Isu Kbat Dalam Pendidikan Negara

KBAT adalah kemampuan berfikir yang bukan hanya memerlukan kepada mengingat

fakta sahaja tetapi juka kemampuan berfikir kritis, analisis dan penilaian (Bakri & Firdaus,

2013). Menurut Thomson (2008), kemahiran berfikir dalam Taksonomi Bloom meliputi

kemahiran berfikir aras rendah (KBAR) iaitu pengetahuan dan pemahaman, sedangkan

kemahiran menganalisis, sintesis dan penilaian tergolong sebagai KBAT. Kementerian

Pendidikan Malaysia (KPM) mendefinisikan KBAT sebagai keupayaan untuk

mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi

bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu

(Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2013).

Dalam konteks Malaysia, kurikulum Sains sekolah Malaysia bertujuan untuk

memperkembangkan ilmu Sains dan kecekapan serta menyemai sikap positif terhadap Sains

dalam kalangan pelajar. Sains untuk sekolah menengah menyediakan peluang untuk pelajar

memperolehi ilmu dan kemahiran Sains dan memperkembangkan kemahiran menyelesaikan

masalah dan membuat keputusan untuk membolehkan murid menangani cabaran kehidupan

harian (KPM, 2013). Bagi melaksanakan KBAT di sekolah, KPM telah menggariskan tujuh

elemen iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran sumber, sokongan masyarakat, kokurikulum

dan bina upaya guru. Standard kandungan dan pembelajaran yang digariskan dalam dokumen

standard kurikulum memberi penekanan kepada keupayaan murid mengaplikasi,

menganalisis, menilai dan mencipta dalam aktiviti pembelajaran mereka (Agensi Inovasi

Malaysia, 2013). Pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) KBAT yang efektif perlu

menggunakan pelbagai instrumen berfikir dan teknik penyoalan aras tinggi. Sekolah

memainkan peranan untuk menjadi hab untuk melahirkan pelajar yang mempunyai KBAT

(Alfuhaigi, 2014; Zoller et al., 2007).

Umum mengetahui bahawa pencapaian Malaysia dalam ujian antarabangsa amat

mengecewakan. Kajian antarabangsa telah menunjukkan prestasi pelajar Malaysia merosot

berbanding dengan pelajar negara lain. Mengikut laporan TIMSS (2007), lebih kurang 20%

daripada pelajar Malaysia gagagl mencapai tanda aras minimum dalam Matematik dan Sains

berbanding hanya 5% dalam Sains dan 7% dalam Matematik pada tahun 2003 (KPM, 2012).

Keputusan PISA (2009) juga tidak memberansangkan kerana kedudukan Malaysia terletak

dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Perbezaan skor

Page 6: Bab 1 pengenalan

sebanyak 38 mata dalam PISA adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan. Secara

perbandingan, pencapaian murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong

dan China seolah-olah mempunyai 3 tahun atau lebih tahun persekolahan berbanding murid

berumur 15 tahun di Malaysia. Jika dilihat, item soalan TIMSS dan PISA lebih kepada

penyelesaian masalah yang memerlukan KBAT seperti menganalisis, menilai dan mensintesis

dan bukan sekadar aplikasi (Rosnani, 2012).

Kajian juga telah melaporkan 70% daripada graduan universiti awam, 20% daripada

Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan 34% graduan daripada universiti luar negara

masih tidak mendapat tempat dalam pekerjaan (Suresh, 2006). Antara faktor yang

menyebabkan kadar pengangguran tinggi di kalangan graduan tempatan adalah kerana mereka

kurang kemahiran berfikir kritikal dan komunikasi (Ambigapathy & Aniswel, 2005). KBAT

telah menjadi satu kemahiran penting di mana ia meningkatkan pemikiran dengan mencipta

tabiat membuat refleksi dan penyoalan dalam setiap aspek kehidupan (Scriven & Paul, 2005).

1.2.2 Kurang Penekanan Pengajaran Kbat Semasa Proses Pengajaran Dan

Pembelajaran (PdP)

Salah satu aspirasi murid dalam PPPM 2013-2025 ialah kemahiran berfikir. Setiap

pelajar belajar cara untuk memperolehi ilmu pengetahuan ilmu pengetahuan dengan

menerapkan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Ini

membolehkan pelajar menghubungkan pelbagai disiplin ilmu sepanjang kehidupan mereka.

Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, amatlah penting bagi pelajar mencipta ilmu yang

baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penyelesaian

masalah, penaakulan dan pemikiran kreatif dan inovatif. Dalam sistem pendidikan, bidang ini

kurang diberi perhatian menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu

pengetahuan dan berfikir secara kritis dan kreatif di luar konteks akademik (KPM, 2012).

Amalan pengajaran dalam bilik darjah kurang menekankan strategi kemahiran berfikir

seperti penyoalan, perbincangan dan inkuiri penemuan (Abd Rahim, 1999). Walaupun 90.0%

guru berpendapat bahawa kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) perlu diajar

kepada pelajar, hanya 36.4% guru yang merasa bersedia untuk menggunakan KBKK dalam

Page 7: Bab 1 pengenalan

proses pengajaran (Hayati, 2004). Oleh itu, kemahiran berfikir tidak begitu diberi penekanan

dalam PdP.

Masih ramai guru lebih selesa menggunakan pendekatan tradisional yang

memfokuskan kepada pemahaman isi kandungan semata-mata. Kajian yang dijalankan oleh

Ng (1999) mendapati masih ramai guru-guru mengamalkan strategi pengajaran yang

berpusatkan guru. Antara contoh strategi berpusatkan guru ialah strategi mengarh, laih tubi,

pemerhatian dan perbincangan. Bagi memastikan pengajaran konsep dan fakta diajar

sepenuhnya, guru lebih gemar mengutamakan pengajaran berbentuk hafalan dan kurang

penekanan kepada proses, teknik dan strategi berfikir yang berkesan. Dalam hal ini,

pembelajaran sains dianggap sebagai bertujuan untuk mengumpul semua maklumat tersebut

dengan menggunakan kaedah yang berkesan. Bentuk pengajaran sebegini menyebabkan

pelajar belajar dengan cara menghafal (Cavallo & Rozman, 2004; Tsai, 2004), bukan

menggunakan kemahiran berfikir mereka.

Rajendran (2001) dalam kajiannya mengenai pengajaran KBAT di Malaysia

mendapati 52.1% guru meluangkan 10% daripada masa PdP untuk mengajar kemahiran

berfikir. Beliau juga melaporkan hanya 19.3% guru sahaja yang meluangkan masa lebih

daripada 10% daripada masa instruksional mereka untuk mengajar kemahiran berfikir secara

penyebatian iaitu kemahiran berfikir diajar secara bersepadu dengan kandungan mata

pelajaran. Sebanyak 26% guru tidak memperuntukan masa PdP untuk mengajar KBAT.

Berdasarkan dapatan ini, ia menunjukkan situasi PdP lebih berbentuk penghafalan konsep dan

fakta Sains berbanding kemahiran berfikir. Jika proses pembelajaran ini berterusan,

implikasinya para pelajar tidak dapat berfikir secara kritikal, tidak kreatif serta inovatif dan

akhirnya hasrat negara untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan tidak akan dicapai (Low

& Lay, 2013).

Masih terdapat guru yang belum mendapat cara yang berkesan untuk mengajar teknik-

teknik berfikir kepada pelajar mereka. Kajian yang dilaksanakan oleh Hayati (2004)

mendapati walaupun semua guru (100%) bersetuju KBKK berfungsi mengembangkan daya

berfikir pelajar untuk melahirkan masyarakat berfikir, namun 63.6% guru masih ragu-ragu

untuk menggunakan KBKK dalam proses pengajaran. Guru sendiri mengakui bahawa mereka

sendiri tidak tahu cara untuk meningkatkan daya pemikiran pelajar (Howe, 2004; Hayati,

2004; Rajendran, 2001). Kementerian Pendidikan Malaysia bersama International Institute for

Education Planning (IIEP) telah menjalankan satu kajian komprehensif bagi mencari

Page 8: Bab 1 pengenalan

mekanisme baru dalam implimentasi pendidikan Sains peringkat menengah secara lebih

berkesan. Kajian tersebut melaporkan kegagalan guru membantu pelajar mencari hubung kait

antara sekolah dengan dunia luar dan pengetahuan baru dengan pengalaman sedia ada

menjadi punca utama yang menyumbang kepada kelemahan dan kekangan dalam dunia

pendidikan (Sharifah Maimunah & Lewin, 1993).

1.2.3 Kesukaran Pelajar Dalam Menyelesaikan Masalah Terbuka

Kajian oleh Mourtos (2010) bertajuk Challenges Students Face In Solving Open-

Ended Problem mendapati antara kesukaran pelajar dalam menyelesaikan masalah ialah

mereka gagal untuk menggunakan prinsip yang telah dipelajari untuk menjawab soalan.

Mereka tidak dapat mengaitkan maklumat yang telah dipelajari untuk mengaplikasikan

prinsip tersebut dalam konteks yang baru. Selain itu Mourtos juga mendapati pelajar tidak

mahu untuk memperuntukan masa yang cukup bagi satu-satu tugasan. Pelajar tidak mahu

menulis atau mencatat idea semasa proses penyelesaian masalah berlaku. Ini disokong oleh

Laporan Pencapaian Malaysia dalam TIMSS dan PISA (KPM, 2011) yang menunjukkan

banyak soalan dalam ujian PISA yang tidak cuba dijawab oleh pelajar. Ini kerana soalan PISA

adalah dalam bentuk teks yang panjang dan memerlukan pelajar membuat intepretasi, refleksi

dan penilaian berdasarkan kehidupan sebenar. Sebaliknya format peperiksaan awam di

Malaysia adalah ringkas dan lebih tertumpu kepada rajah dan jadual. Konsep item KBAT

merupakan item-item yang mentafsir kemahiran kognitif aplikasi dalam situasi baru untuk

menyelesaikan masalah kehidupan harian. Oleh itu, item-item KBAT menguji keupayaan

pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan

refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta

sesuatu (Agensi Inovasi Malaysia (AIM), 2013).

Douglas et al., (2012) pula mendapati kesukaran yang dihadapi adalah pelajar

gagal untuk melihat permasalahan secara menyeluruh. Mereka tidak dapat masuk ke ruang

masalah tersebut atau dengan kata lain mereka hanya melihat pada satu tugasan secara

ekstrem dan kurang fokus pada tugasan yang lain. Kurangnya keyakinan terhadap kebolehan

diri untuk menyelesaikan masalah terbuka juga menjadi kekangan. Apabila mereka gagal

dalam membuat pilihan bahan yang sesuai, maka terus berhenti di situ dan tidak melihat dari

Page 9: Bab 1 pengenalan

aspek yang lain. Terdapat juga pelajar yang menggunakan konsep yang tidak relevan dan

tidak menilai kesesuaian terhadap konsep yang dipilih dan ini disokong oleh Lembaga

Peperiksaan Malaysia (LPM) berdasarkan dapatan daripada Laporan Prestasi SPM 2010 di

mana pelajar menulis apa yang diketahui sahaja dan sebahagiannya adalah tidak berkaitan

dengan soalan.

Di Malaysia, pendedahan dan penerapan masalah terbuka dalam PdP masih lagi jarang

dan kuranf ditekankan (Johari et al.,2014). Hal ini bukanlah sesuatu yang baik kerana

penyoalan berbetuk aras rendah dan sederhana tidak membantu membangunkan KBAT

(Mourtos, 2010). Hakikatnya pelajar kini masih belum mampu menyelesaikan masalah yang

terbuka dan beraras tinggi (Mullis et al., 2004; Zohar & Dovi, 2003). Oleh yang demikian

adalah menjadi keutamaan untuk meningkatkan KBAT di kalangan pelajar.

Sehubungan dengan itu, KPM akan merombak peperiksaan dan pentaksiran

kebangsaan untuk meningkatkan tumpuan terhadap KBAT yang termaktub dalam anjakan

satu daripada kesebelasan anjakan yang digariskan dalam PPPM 2013-2015 iaitu untuk

menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa (KPM,

2012). Peperiksaan kebangsaan dan peperiksaan berasaskan sekolah akan diubahsuai untuk

menambah bilangan soalan yang menguji pemikiran tahap tinggi. Menjelang tahun 2016,

peratusan soalan berbentuk KBAT akan ditambah sehingga merangkumi 80% daripada

keseluruhan soalan UPSR, 80% dalam pentaksiran pusat untuk Tingkatan 3, 75% daripada

keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras SPM dan 50% bagi soalan mata pelajaran elektif

SPM. Dengan perubahan ini pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi

ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan. Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS)

juga memberi tumpuan untuk menguji KBAT. Oleh itu peranan guru dalam pendidikan

amatlah penting dalam melahirkan pelajar dan masyarakat yang mempunyai minda kelas

pertama. Menurut Jaafar et al., (2012) peranan guru adalah sebagai pemangkin dalam

transformasi sistem pendidikan sesebuah negara dalam melahirkan generasi yang berintelek

tinggi, berdaya saing dan kompeten dalam semua aspek.

Page 10: Bab 1 pengenalan

1.2.4 Strategi Meningkat KBAT Di Kalangan Pelajar

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti guru merupakan faktor berasaskan

sekolah yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid. Menurut Hopper

(2002), kualiti seorang guru merupakan sumbangan yang paling tinggi dalam menentukan

kejayaan seseorang pelajar. Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)

2013-2025 (KPM, 2012) menunjukkan bahawa hanya 50% pengajaran disampaikan dengan

berkesan. Hal ini membuktikan bahawa pengajaran mata pelajaran tidak melibatkan pelajar

secukupnya dan penyampaiannya lebih pasif. Mata pelajaran yang diajar lebih berfokus

kepada pemahaman yang tidak mendalam dan tidak memberi tumouan kepada KBAT.

Menurut Abdul Ghani (2009), kegagalan guru menyediakan teknik pengajaran yang berkesan

menjadikan pelajar tidak menunjukkan minar, tidak bertanya, ponteng kelas dan membuat

nakal di dalam bilik darjah. Laporan pencapaian Malaysia dalam TIMSS dan PISA (2011)

menunjukkan antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pelajar Malaysia

adalah disebabkan oleh guru. Guru memberi keutamaan untuk menghabiskan sukatan

pelajaran bagi menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan awam. Ini menyebabkan proses

PdP dibuat secara cepat dengan menggunakan jalan pintas tanpa perlu memahami konsep.

Selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan guru yang berkualiti seterusnya

menjana pembangunan ekonomi negara, PPPM 2013-2025 (KPM, 2012) menekankan

pembangunan profesional guru. Guru akan menerima sokongan yang lebih besar untuk

memberi mereka mencapai potensi penuh. Kerajaan telah merancang program latihan kepada

guru untuk meningkatkan profesional dan pembangunan diri masing-masing. Kebanyakkan

program ini akan dijalankan di peringkat sekolah kerana ianya terbukti berkesan. Latihan ini

membolehkan guru terus meningkatkan tahap kemahiran mereka selaras dengan tahap

kecekapan yang dijangkakan daripada seorang guru.

Pembangunan profesional guru yang sedia ada perlu dibuat penambahbaikan secara

komprehensif untuk menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan

berkualiti, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan keupayaan guru,

komitmen guru, mengubah sikap guru dan seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar

(Muzirah & Nurhana, 2013). Satu program pembangunan profesional berasaskan sekolah

yang telah terbukti sangat berjaya di Jepun dan semakin popular di kebanyakkan negara ialah

Page 11: Bab 1 pengenalan

Lesson Study. Menurut Ng, Robert Peter dan Toh (2009) salah satu pendekatan untk

Continuing Profesional Development (CPD) ialah Lesson Study.

Lesson study merupakan penelitian atau pengkajian terhadap pengajaran. Ia

merupakan satu program pembangunan guru yang membentuk sebuah komuniti belajar secara

konsisten dan sistematik dalam kalangan guru dalam usaha meningkatkan potensi diri

individu guru dan anggota kumpulan (Muzirah & Nurhana, 2013). Melalui lesson study, guru-

guru mengkaji pembelajaran melalui perancangan dan pemerhatian secara kolaboratif ke arah

memperkembangkan kualiti pengajaran mereka suoaya dapat memberi impak positif terhadap

aspek pembelajaran pelajar. Justeru penggunaan strategi PdP yang efektif mampu

meningkatkan minat, motivasi dan KBAT untuk mengekalkan kualiti pembelajaran pelajar.

Ini terbukti dengan kajian yang dijalankan oleh Muzirah dan Nurhana (2013) yang mendapati

terdapat hubungan yang signifikan antara amalan lesson study dengan keberkesanan

pembelajaran pelajar.

Lesson study adalah salah satu bentuk kajian tindakan (Action Research)

memandangkan ia melibatkan kitaran mengkaji, merancang, melaksanakan kajian pengajaran

dan refleksi (study, plan, do research and reflect cycle) analogi kepada kitaran rancang-

bertindak-pemerhatian-refleksi (plan-act-observe-reflect cycle) sebagaimana yang

dicadangkan oleh Kemmis dan McTaggart (1988). Ia digunakan secara meluas sebagai model

untuk pembangunan guru dalam pendidikan Matematik dan diamalkan oleh guru-guru Jepun

lebih daripada 40 tahun. Lesson study dianggap sebagai latihan berasaskan sekolah (School-

based in-service training) (Isoda, 2008; Lim, 2008). Kini ia digunakan sebagai satu alat untuk

membina komuniti profesional secara kolaboratif, meningkatkan pengajaran dan

meningkatkan pencapaian pelajar dalam pelbagai disiplin ilmu seperti Sains, Bahasa dan

Sejarah (Ng, Robert Peter & Toh, 2009).

Kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati keadah lesson study telah

meningkatkan kemahiran pengajaran dan memperkayakan perkembangan profesionalisme

guru Matematik. Guru-guru didapati lebih berkeyakinan dan reflektif. Selain itu mereka dapat

membina perhubungan kolaboratif diantara rakan sekerja (Ng, Robert Peter & Toh, 2009).

Keadah ini juga merupakan penyumbang utama pencapaian tinggi dalam Matematik di

kalangan pelajar Jepun dalam ujian TIMSS (Lim, 2008). Kajian yang dijalankan di kawasan

SEAMEO juga menunjukkan lesson study mampu untuk membantu para guru mengubah

Page 12: Bab 1 pengenalan

amalan pengajaran tradisional kepada kaedah yang menghubungkan pelajar secara aktif dalam

proses PdP (White, 2005).

Berdasarkan latar belakang kajian, jelaslah menunjukkan kepentingan KBAT dalam

memacu ekonomi negara seterusnya menghasilkan modal insan yang dapat bersaing di

peringkat global. Sehubungan dengan itu, penyelidik ingin mengkaji kesan amalan lesson

study di kalangan guru dalam membantu meningkatkan KBAT pelajar dalam mata pelajaran

sains.

1.3 Pernyataan Masalah

Matlamat pendidikan Sains di Malaysia menekankan ke arah melahirkan masyarakat

berliterasi serta membudayakan Sains dalam setiap dimensi kehidupan. Menurut Harlen

(1996), literasi Sains yang dimiliki oleh seseorang dimanifestasikan dengan kemampuan

melihat dan mengkaji sesuatu secara sainstifik dan melihat sama ada penerangan mengenai

sesuatu fenomena berasaskan bukti ataupun sebaliknya. Untuk mencapai tahap literasi Sains,

pelajar bukan sahaja perlu mempunyai sikap yang positif terhadap Sains agar dapat

menguasai pengetahuan Sains dengan baik, bahkan perlu memahirkan diri dengan kemahiran

saintifik dan membudayakan diri dengan nilai-nilai Sains dalam setiap dimensi kehidupan

(Harlen, 1996).

Isu kurangnya minat pelajar untuk mengikuti kursus-kursus berasaskan aliran Sains

telah lama menjadi perbualan dalam sistem pendidikan Sains negara kita. Menurut laporan

Kementerian Pendidikan Malaysia (1993), salah satu faktor yang menyebabkan kemerosotan

pencapaian Sains ialah Sains dianggap satu subjek yang sukar dipelajari dan membosankan

(Low & Lay, 2013). Pelajar bertanggapan bahawa Sains adalah satu mata pelajaran yang

susah dan abstrak (Subahan, 1997; Ruhizan, 1999). Menurut Zurida (2007), Sains adalah satu

bidang ilmu hasil usaha manusia mencari penerangan yang rasional berkaitan kejadian yang

berlaku dalam alam ini. Penerangan ini membentuk isi kandungan yang dikatakan

menyukarkan lagi pembelajaran Sains. Ini kerana penerangan Sains menjadi kompleks kerana

konsep Sains adalah abstrak.

Page 13: Bab 1 pengenalan

Salah satu topik Sains yang dianggap abstrak dan sukar difahami ialah konsep jirim.

Berdasarkan hasil kajian Abu Hassan (2003), pencapaian pelajar dalam topik jirim adalah

sangat lemah. Hasil kajian juga mendapati kurang daripada 3% item tentang konsep jirim

berjaya dijawab dengan betul. Kefahaman konsep pepejal, cecair dan gas adalah rendah

terutama bagi pelajar sekolah rendah. Tajuk jirim ini juga penting untuk kefahaman kepada

tajuk-tajuk lain dalam mata pelajaran Sains (Yusof & Teoh, 2010). Menurut Benzvi et al.,

(1987), kebanyakkan pelajar gagagl untuk menguasai sesuatu konsep jirim akibat kelemahan

mereka untuk memahami dunia zarah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan

memerlukan penaakulan yang tinggi untuk menggambarkannya di dalam struktur pemikiran.

Konsep jirim dikenalpasti sebagai konsep yang perlu dikuasai bagi membolehkan

pelajar memahami konsep-konsep Sains yang lain (Douglas, 1996). Ia berkait rapat dalam

kehidupan harian seperti memahami fenomena alam semulajadi (Halimaton et al., 2001).

Walau bagaimanapun konsep ini sering mengelirukan ramai pelajar dan menyebabkan pelajar

gagal untuk menguasai konsep Sains yang lebih kompleks dan abstrak (Johari, Nor Hasniza &

Yusof, 2007). Oleh yang demikian, kaedah PdP yang berkesan yang menerapkan KBAT

adalah perlu bagi meningkatkan pengetahuan dan penguasaan serta pemahaman mereka

terhadap konsep jrim dan seterusnya memupuk minat pelajar terhadap Sains.

Menurut Faizah, Norfizin dan Mohd Rodhi (2004), kebanyakkan guru di sekolah

menggunakan kaedah tradisional “chalk and talk” dan transparensi adalah amat sukar untuk

menerangkan konsep-konsep abstrak kepada pelajar. Kajian daripada Ng Kim Choy (1999)

juga mendapati bahawa masih ramai guru selesa mengamalkan pendekatan yang berpusatkan

guru seperti strategi mengarah, latih tubi, pemerhatian dan perbincangan. jika proses

pembelajaran ini berterusan, implikasinya pelajar-pelajar tidak dapat berfikir secara kritikal,

tidak kreatif mahupun inovatif dan akhirnya hasrat negara untuk melahirkan masyarakat

berpengetahuan tidak akan tercapai.

Dalam usaha menangani isu ini, penyelidik akan membangunkan aktiviti pembelajaran

melalui lesson study dalam usaha meningkatkan KBAT di kalangan pelajar. Dalam kajian ini,

penyelidik bersama-sama beberapa guru akan mengaplikasikan pendekatan lesson study di

sekolah bagi membantu meningkatkan kompetensi guru dalam PdP seterusnya meningkatkan

KBAT pelajar. Penyelidik juga akan melaksanakan penambahbaikan lesson study dalam

usaha mendapatkan rancangan pengajaran terbaik untuk mengajar konsep jirim. Kesan amalan

lesson study ini kemudiannya akan dinilai dari aspek pencapaian pelajar dalam ujian yang

Page 14: Bab 1 pengenalan

meliputi tahap penyelesaian masalah dan tahap kreativiti saintifik pelajar. Oleh itu, kajian ini

dilaksanakan bagi melihat dan mengkaji sejauh mana kesan amalan lesson study di kalangan

guru dapat membantu meningkatkan KBAT pelajar dalam mata pelajaran Sains dengan

memfokuskan kepada topik Konsep Jirim.