bab 1 misa melayu

Upload: lavarn-pillai

Post on 07-Jan-2016

516 views

Category:

Documents


7 download

DESCRIPTION

Malay literature

TRANSCRIPT

Bab 1 : Pengenalan Saya akan membincangkan sejauhmanakah Misa Melayu dapat dianggap sebagai sumber pensejarahan politik, sosial, ekonomi dan kebudayaan masyarakat Melayu Perak pada abad ke-18. Teks Misa Melayu (Lampiran 1) kurang diberi perhatian oleh penulis sejarah berbanding dengan Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang dan Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji walaupun Raja Chulan telah menggunakan sumber lisan dan pengamatan beliau sendiri menulis sejarah diraja Perak dengan tumpuan khas diberikan kepada peristiwa sezaman dengannya semasa pemerintah Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Iskandar Syah.1.1 Pengarang Misa Melayu Pengarang asal Misa Melayu ialah Raja Chulan ibni Raja Hamid ibni Dipertuan Muda Sultan Mansur Yang Mangkat Di Pulau Tiga. Raja Chulan ialah seorang kerabat diraja Perak. Beliau merupakan anak saudara Sultan Muzaffar Shah III dan saudara sepupu kepada Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Mahmud Shah dan Sultan Alauddin Mansur Shah (Jadual 1) yang diriwayatkan dalam Misa Melayu. Seorang saudara perempuannya telah berkahwin dengan Raja Alauddin yang kemudiannya menjadi Sultan Alauddin Mansur Shah 1 dan seorang lagi menjadi isteri Raja Inu yang kemudiannya menjadi Raja Bendahara. 2 Ternyata Raja Chulan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan raja-raja Perak. Raja Chulan telah mendapat gelaran Raja Kecil Besar pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah. 3 Mengikut Misa Melayu, Raja Chulan menjadi Raja Bendahara pada zaman pemeritahan Sultan Mahmud Shah 4 dan seterusnya menjadi Raja Muda semasa Sultan Alauddin Mansur Shah. 5 Pada masa pemerintahan Sultan Iskandar, Raja Chulan kekal sebagai Raja Kecil Besar. 6 Mengikut Andaya, Raja Chulan menjadi Raja Bendahara pada tahun 1766 dan Raja Muda pada tahun 1773, Jika beliau tidak mangkat pada tahun 1787, ada kemungkinan Raja Chulan menjadi Sultan . 7 Menurut R.O. Winstedt, Raja Chulan telah mangkat ditikam oleh seorang suami yang sakit hati terhadapnya dengan menggunakan keris tiga lok yang kemudiannya dilarang digunakan di Perak. Setelah Raja Chulan mangkat beliau bergelar Marhum Pulau Juar. R.O. Winstedt kemudian membetulkan keterangannya dengan merujuk kepada keterangan Sir Raja Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah (Marhum Habibullah), Sultan Perak yang dibuang negeri oleh Inggeris ke Pulau Seychelles pada tahun 1876. Menurut Sir Raja Chulan, pengarang Misa Melayu tidak dibunuh tetapi telah mangkat secara beliau menjawat jawatan Raja Muda .8 Buyong Adil telah mengatakan bahawa Raja Chulan tidak pernah menjadi Raja Muda seperti yang dikatakan oleh Sir Raja Chulan kepada R.O. Winstedt. Menurut Buyong Adil, pada masa Sultan Muzaffar Shah III menjadi sultan, Raja Iskandar menjadi Raja Muda, Apabila Raja Iskandar menjadi sultan, adinda baginda Raja Kimas pula menjadi Raja Muda . Pada Zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah, adinda baginda Raja Alauddin menjadi Raja Muda, Apabila Raja Alauddin menjadi sultan bergelar Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda, Raja Chulan sangat tua, Apabila Sultan Alauddin mangkat, baginda diganti oleh adinda baginda Sultan Ahmaddin Shah yang tidak tersebut di dalam Misa Melayu. 9 Dengan itu, Buyong Adil berpendapat bahawa tidak mungkin Raja Chulan menjadi Raja Muda Perak kerana jawatan Raja Muda adalah bagi bakal Sultan.10 Nampaknya Buyong Adil telah membuat kesilapan apabila beliau mengatakan bahawa Raja Chulan tidak pernah menjadi Raja Muda kerana mengikut pandangan Andaya yang telah merujuk kepada rekod Belanda, Raja Chulan pernah menjadi Raja Muda.11 Sejarawan tempatan Fawzi Basri juga sependapat dengan Andaya.12 Nama Raja Chulan terdapat dalam senarai Rasmi Raja Muda (Lampiran 2) dan senarai Raja Bendahara (Lampiran 3) yang disiarkan dalam Riwayat Negeri Perak dan Raja-Raja Serta Orang Besar-Besar. 13 Ini mengesahkan perlantikan Raja Chulan dalam jawatan-jawatan tersebut. Dengan itu, keterangan Sir Raja Chulan bahawa pengarang Misa Melayu telah mangkat secara biasa semasa beliau memegang jawatan Raja Muda adalah benar. Ramai sarjana berpendapat bahawa Misa Melayu yang ditulis oleh Raja Chulan telah diperbaharui dan disalin semula oleh penyalin-penyalin lain dengan tokoh tambah. Mengikut T. Iskandar, Misa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian yang ditulis pada masa yang berlainan. Bahagian pertama yang merangkumi peristiwa-peristiwa yang berlaku di Perak dari awal abad ke-18 hingga 1758 ditulis oleh Raja Chulan. Raja Chulan juga telah mengarang satu syair yang bertajuk Sultan Iskandar Bermain-Main ke Laut yang menggambarkan perjalanan Sultan Iskandar ke daerah-daerah jajahnnya melalui jalan laut pada tahun 1761. Bahagian ketiga yang menceritakan secara ringkas tentang kemangkatan Sultan Iskandar dan zaman pemerintahan Sultan Mahmud serta Sultan Alauddin besar kemungkinan ditambah oleh penulis lain, Seorang penyalin telah mencantumkan ketiga-tiga bahagian ini yang kemudiannya dirumikan oleh Winstedt . 14 Mengikut Andaya, Raja Chulan mangkat pada tahun 1787.15 Buyong Adil telah bandingkan umur Raja Chulan dengan tarikh Misa Melayu ditamatkan (1836) dan berpendapat bahawa Misa Melayu telah disambung hingga tamat oleh orang lain dan bukan Raja Chulan. Buyong Adil berpendapat, jika Raja Chulan berumur 20 tahun semasa menerima gelaran Raja Kecil Besar maka beliau mesti berumur lebih kurang 100 tahun semasa Misa Melayu ditamatkan (1836). Sudah tentu orang yang setua itu tidak berupaya mengarang. 16 Oleh itu, pandangan T. Iskandar tentang pengarang Misa Melayu adalah benar . Tambahan pula, lagu-lagu nobat yang terdapat dalam Misa Melayu sah ditambah oleh orang lain kerana di bawah senarai lagu tersebut ditulis :- Termaktub ini hikayat Misa Melayu pada 25 Jumadil-awal tahun 1826 di dalam Mukim Bandar, Haji Othman 17Mengikut Buyong Adil, Haji Othman adalah orang Mukim Bandar yang menyalin karangan asal Raja Chulan. Naskah yang berasal daripada salinan Haji Othman telah dicampurkan dengan naskah lain sehingga dikumpulkan dan disunting oleh R.O. Windedt dan dicetak menjadi teks Misa Melayu seperti yang ada sekarang. 18 1.2 Misa Melayu sebagai Hasil Sejarah Misa Melayu tergolong dalam penulisan yang bercorak sastera sejarah atau historiografi tradisional Melayu. Para sarjana berpendapat bahawa karya-karya sastera sejarah mempunyai isi yang mengandungi unsur sejarah tetapi ditulis dalam bentuk sastera. 19 Teks Misa Melayu mengandungi perbualan atau dialog di antara watak-watak. Seperti juga lain-lain teks sastera sejarah, perbualan merupakan olahan atau kreativiti pengarang sendiri bagi mengukuhkan sesuatu hujah, menujukkan ketokohan seseorang atau menjelaskan sesuatu perkara. Selain daripada perbualan, Misa Melayu juga mengandungi 5 rangkap pantun mengenai kelebihan Pulau Cempaka Sari yang dijadikan ibukota yang baru oleh Sultan Iskandar 20 dan 2 rangkap pantun mengenai pemindahan Sultan Iskandar dari Berahman Indera .21 Misa Melayu juga memuatkan syair Sultan Iskandar Bermain-Main ke Laut yang sepanjang 481 rangkap. Penggunaan dialog, pantun dan syair membuktikan bahawa Misa Melayu memang ditulis dalam bentuk sastera, Namun demikian, unsur-unsur sastera tersebut merupakan sebahagian daripada ciri-ciri pensejarahan tradisi yang bukan sesuatu yang khusus bagi pensejarahan tradisi Melayu sahaja tetapi merupakan satu bentuk yang lazim dalam pensejarahan Yunani dan penulisan Ssu-Ma Chien. 22 Malah, unsur-unsur kesusasteraan dapat dilihat apabila teks Misa Melayu bermula dengan asul-asul raja-raja. Setelah membuka dengan Bismillah Raja Chulan terus mengemukakan asul-asul Raja-Raja Melayu seperti berikut :-Maka inilah hikayat yang kemudian daripada zaman as-sultan Iskandar Shah Khalifatu r-Rahman Johan berdaulat dzillu Illahi fi l-alami. Adapunasal-nya Raja itu diceritakan oleh orang yang empunya cerita dahulukala daripada hijrah Raja Iskandar Dzul karnain yang menjalani daripada matahari masuk ke matahari naik dan nazabnya daripada Raja NushirwanAdil, cucu-cicit daripada Raja Suran yang turun ke dalam laut jatuh ke negeri Raja Fatihul-ardzi. Maka anak puteranya tajalli di Bukit Si Guntang Mahabiru. Malah, lalu turun-termurunlah ganti-berganti Khalifatullah dengan beberapa julat sudah dahulu daripada zaman ini, maka sampailah sekarang. 23 Nampaknya, Misa Melayu juga mengambil nisab daripada keturunan raja-raja Melaka seperti juga dalam Sejarah Melayu tetapi berbeza dengan Sejarah Melayu asul-asul raja-raja Perak tidak dikaitkan dengan benda-benda unik seperti muntah lembu, buih, mayang dan sebagainya . Oleh kerana Misa Melayu mengandungi unsur-unsur kesusasteraan, ia tidak dapat diterima sebagai hasil penulisan sejarah mengikut pengertian moden seperti yang dianjurkan oleh R.O. Collingwood iaitu penulisan sejarah harus bersifat objektif, humanistik, rasional dan self revealatory. 24 Jika kita menilai Misa Melayu sebagai hasil sejarah mengikut pandangan Collingwood sudah tentu Misa Melayu tidak dapat menepati kesemua ciri tersebut . Misa Melayu ditulis atas arahan Sultan Iskandar dan bukan atas keinginan penulis sendiri untuk menghasilkan suatu karya sejarah, Raja Chulan mengatakan; Tuanku titihkan patik mengarang , Diperbuat juga sebarang-barang ,Sajaknya janggal manis kurang , Haram ta sedap didengar orang. 25

Dengan itu, tujuan penulisan Misa Melayu menepati ciri-ciri penulisan sastera sejarah. 26 Misa Melayu tidak mengandungi unsur mitos dan legenda seperti dalam sastera sejarah yang lain. Contohnya Sejarah Melayu mengandungi cerita Badang.27 Puteri Gunung Ledang, 28 Singapura dilanggar todak 29 dan sebagainya. Sebenarnya, Misa Melayu bersifat humanistik dan rasional kerana ia menceritakan tentang tokoh-tokoh sebenar yang pernah hidup dalam sejarah. Peristiwa-peristiwa yang diriwayatkan dalam teks Misa Melayu juga dapat diterima akal. Misa Melayu menggambarkan zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, Sultan Iskandar Zulkarnian, Sultan Mahmud Shah dan Sultan Alauddin Mansur Shah. Misa Melayu membayangkan keadaan politik, sosial, ekonomi dan kebudayaan di Perak pada abad ke-18. Dari segi objektiviti, Raja Chulan telah memberi pujian dan sanjungan kepada raja terutamanya Sultan Iskandar sejak dari masa baginda memegang jawatan Raja Muda lagi sehingga mewujudkan satu gambaran yang berat sebelah. Raja Chulan telah mengagungkan dan menyanjung keberanian dan kepahlawanan Sultan Iskandar yang dikatakan tidak ada tolak bandingnya, Raja Chulan melaporkan:-Tiada siapa menyamai Raja Muda itu pada zaman itu , melainkan di bawah takhta kerajaan Sultan Muzaffar Shah itu , Raja Muda lah ikutan segala orang besar-besar dan segala adinda baginda dan anak-anak raja yang di dalam negeri Perak. 30

Orang Belanda juga dilaporkan gementar melihat kebesaran Sultan Iskandar.Melihat kebesaran baginda itu dan memandang laku dan sikap segala hulubalang pegawai dan juak-juak baginda itu terlalu hebatnya, maka dasyat hati segala orang Holand itu serta dengan ngerinya dan gentar ia akan baginda 31 Pada masa yang sama, persengketaan di antara Sultan Muzaffar Shah dan Raja Iskandar tidak dibicarakan dengan panjang lebar. Misa Melayu menonjol peranan Raja Iskandar dalam menghadapi serangan Sultan Berkabat tetapi mengikut Andaya yang telah merujuk kepada rekod Belanda, Raja Iskandar terpaksa berundur dan hanya dengan pertolongan V.O.C dapat mengalahkan Sultan Berkabat . 32 Sungguhpun demikian, Raja Chulan tidak mencampur aduk fakta dengan khayalan, Kebanyakan fakta yang tercatat dalam Misa Melayu dapat disahkan dengan menggunakan sumber Belanda dan Inggeris. Di samping itu , nama tempat dan makam sultan yang diperkatakan dalam Misa Melayu masih ada hingga kini. Oleh itu, Misa Melayu merupakan satu sumber sejarah yang tidak boleh diabaikan. Justeru itu, Misa Melayu dapat membuktikan bahawa penilaian J.C Bottoms mengenai karya sejarah orang Melayu adalah kurang tepat. Menurut J.C. Bottoms :-Sastera sejarah Melayu tidak lebih daripada hiburan bagi orang Melayu. Ketepatan, kesempurnaan dan penyusunan yang teratur bukanlah prinsip yang penting, apa yang disenangi ialah dongeng fantasi dan campuran daripada leteran di istana dan pelabuhan33Memang tidak dapat dinafikan bahawa Misa Melayu seperti juga sastera sejarah yang lain berkisar darihal istana tetapi pemilihan tema tertertu dalam penulisan sejarah bukanlah sesuatu yang baru. Sejarawan Rom dan Yunani telah memuatkan cerita peperangan, kepahlawanan dan asmara manakala sejarawan Kristian menulis tentang paderi, gereja dan agama Kristian. 34 Oleh itu, bukanlah suatu kelemahan jika Misa Melayu yang mewakili pensejarahan Melayu menggambarkan pandangan masyarakat Melayu abad ke-18. Raja Chulan tidak menggunakan sumber bacaan lain semasa menulis Misa Melayu. Namun demikian, ini tidak bererti kita tidak dapat mengakui kegunaan Misa Melayu sebagai sumber sejarah. Pengarang adalah sezaman dengan peristiwa-peristiwa yang diceritakan. Sebagai seorang kerabat diraja, Raja Chulan arif tentang kehidupan istana malahan beliau sendiri terlibat dalam peristiwa-peristiwa tertentu seperti peminangan puteri Sultan Muzaffar Shah. 35 Beliau turut mengiringi Sultan Iskandar semasa baginda berpindah ke Pulau Cempaka Sari serta menyertai rombongan baginda bermain-main ke laut. Dengan itu, kita mendapati bahawa Misa Melayu ditulis dari sudut pandangan orang tempatan berdasarkan pengalaman dan pengamatan . Raja Chulan juga telah memperlihatkan kesedarannya tentang penggunaan urutan kronologi yang munsabah dari awal hingga tamat . Beliau memulakan penceritaannya dengan perebutan kuasa yang berlaku pada zaman Sultan Muzaffar Shah. Misa Melayu ditamatkan dalam zaman pemerintahan Sultan Alauddin. Tarikh hanya digunakan sekali sahaja iaitu tarikh mangkatnya Sultan Muzaffar Shah pada 7 Dzulhijjah 1167 bersama 1756 Masihi. Ternyatalah Misa Melayu adalah sejarah naratif mengenai Negeri Perak abad ke-18.

BAB 2 : PENSEJARAHAN POLITIK Misa Melayu adalah satu pensejarahan politik Perak pada abad ke-18. Dari Misa Melayu kita dapat mengetahui salasilah Raja-Raja Perak, sistem warisan takhta, perebutan kuasa dan dasar perhubungan diplomatik yang diamalkan di Perak pada masa itu. Tumpuan diberikan kepada era Sultan Muzaffar Shah III dan Sultan Iskandar Zulkarnain.2.1 SALASILAH SULTAN PERAK Pengarang Misa Melayu telah meletakkan Al-Marhum Jalilullah sebagai Sultan Perak yang pertama1 tetapi mengikut senarai sultan (Lampiran 4) Sultan Perak yang pertama ialah Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang ) iaitu putera sulong Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir. Al Marhum Jalilullah yang tersebut di dalam Misa Melayu sebenarnya merupakan Sultan Perak ke-10. (Lampiran 4) Namun demikian, dari satu segi Raja Chulan adalah betul kerana warisan keturunan Melaka telah pupus dengan kemangkatan Sultan Salehuddin (Sultan Perak ke-9). Sultan Muzaffar Shah II (Raja Sulong) bukanlah saudara rapat Sultan Perak sebelumnya. Sebaliknya, pertalian kekerabatannya ialah hasil perkahwinan baginda dengan cucu Sultan Mansur Shah I. (Sultan Perak ke-2) (Jadual 1) Dengan itu, mengikut pihak isterinya barulah ada perhubungan di antara Sultan Muzaffar Shah II dan Sultan Muzaffar Shah III. Sultan Muzaffar Shah II adalah anak Tuan Kecil (puteri Tun Isap Misai Bendahara Seri Maharaja Johor) dengan Raja Mahmud ibni Raja Kasab (cucu Sultan Mansor Shah II, Sultan Pahang ke-8 ). Sultan Muzaffar Shah II juga merupakan saudara sepupu Sultan Aceh iaitu Sultan Thani. 2 Misa Melayu adalah sumber sejarah yang bernilai kerana salasilah Raja yang terdapat di dalamnya tersusun dengan lengkap dan teratur. Dari Misa Melayu dapat diketahui dengan jelas nama-nama sultan Perak dari sultan ke-10 sampai sultan Perak ke-17, iaitu seramai 8 orang, Nama sultan yang pernah memerintah Perak yang tercatat dalam Misa Melayu ialah Sultan Muzaffar Shah II, Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Muzaffar Shah III, Sultan Muhammad Shah, Sultan Iskandar Zulkarnain, Sultan Mahmud Shah dan Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda. Semua sultan yang tersebut di dalam Misa Melayu adalah manusia sebenar yang pernah memerintah Perak pada abad ke-17 dan ke-18. Mereka bukan fantasi pengarang. Nama mereka tercatat dalam senarai Sultan Perak (Lampiran 4) dan makam mereka masih ada hingga kini serta telah dibaiki oleh pihak muzium. (Jadual 3, Lampiran 5 dan Peta 1)2.2 SISTEM WARISAN TAKHTA PERAK Perak mempunyai sistem penggantian takhta yang berbeza dari kesultanan Melayu Melaka. Perak tidak mengikut sistem warisan dari ayah ke anak tetapi mempraktikan sistem warisan yang berdasarkan kepada pertalian persaudaraan dari abang ke adik atau ayah saudara kepada anak saudara . Hal ini dapat dilihat dalam Misa Melayu. Apabila Al-Mahrum Jalilullah mangkat, putera baginda menjadi sultan bergelar Sultan Mahmud Iskandar Shah. Sultan Mahmud Iskandar Shah tidak berputera . Tempat baginda diganti oleh anak saudaranya, Raja Radin (Sultan Alauddin Riayat Shah). Setelah Sultan Alauddin Riayat Shah mangkat, adinda Raja yang bernama Raja Inu (Sultan Muzaffar Shah III) dilantik sebagai Sultan Perak. Tempat baginda diganti oleh anak saudaranya Raja Iskandar . Apabila Sultan Iskandar Zulkarnian mangkat, adinda baginda Raja Kimas (Sultan Mahmud Shah) dilantik menjadi Sultan Perak. Seterusnya, apabila Sultan Mahmud Shah mangkat, adinda baginda Raja Alauddin (Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ) diangkat menjadi sultan Perak . Misa Melayu ditamatkan pada zaman Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda. (Jadual 4) Misa Melayu turut memperlihatkan giliran menjadi sultan yang diamalkan dalam sistem waris negeri Perak. Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, Raja Iskandar dilantik menjadi Raja Muda. 3 Penyandang gelaran-gelaran lain yang penting ialah :-i, Raja Kecil Muda - Raja Kimas ibni Sultan Alauddin Riayat Shah ii. Raja Kecil Besar - Raja Chulan ibni Raja Abdul Hamid 4iii. Raja Kecil Tengah - Raja Alauddin ibni Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah iv. Raja Di Hilir - Raja Inu ibni Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah 5 Apabila Sultan Muzaffar Shah III mangkat, Raja Muda Iskandar menjadi sultan bergelar Sultan Iskandar Zulkarnain. Sultan Iskandar memperkemaskan lagi pemerintahan negeri dengan membuat perlantikan baru dan mengatur semula sistem waris negeri. Sultan Iskandar lantik adindanya Raja Kecil Muda, Raja Kimas menjadi Raja Muda Perak 6 manakala Raja Kecil Tengah, Raja Alauddin dilantik menjadi Bendahara. 7 Bermula dari masa inilah, kerabat diraja menyandang pangkat Bendahara. Jawatan Bendahara hanya dikembali kepada orang kebanyakan pada zaman Sultan Yusuf Izzuddin Shah. 8 Sultan Iskandar juga melantik seorang lagi adinda baginda Raja Ahmadin menjadi Raja Kecil Bongsu. 9 Raja Inu kekal sebagai Raja Di Hilir dan Raja Chulan pula kekal sebagai Raja Kecil Besar . Pangkat baru juga telah diwujudkan oleh Sultan Iskandar demi mengukuhkan kedudukan baginda dengan melantik saudara-maranya yang rapat menjadi waris negeri. Raja Muhammad (anak Raja Kedah ) telah dilantik jadi Raja di Baroh manakala Raja Ibrahim putera Raja Muda digelar Raja Kecil Bongsu Muda . 10 Apabila Sultan Iskandar mangkat , Raja Muda Kimas diangkat jadi Sultan Perak ke-16 . Berikutan dari kekosongan jawatan Raja muda , adinda baginda Raja Bendahara Raja Alauddin dilantik menjadi Raja Muda dan Raja Chulan yang menjadi Raja Kecil Besar ketika itu dilantik menjadi Raja Bendahara . 11 Berdasarkan Misa Melayu kita mendapati bahawa Raja Kecil Bongsu (Raja Ahmadin ) telah dilantik menjadi Raja Muda apabila Sultan Alauddin menaiki takhta . 12. Sebenarnya , mengikut Andaya dan Riwayat Negeri Perak,13 Raja Chulan pernah jadi Raja Bendahara yang ke-12 ( Lampiran 3) dan Raja Muda yang ke 4 ( Lampiran 2). Raja Chulan mangkat semasa memegang jawatan Raja Muda dan digelar Marhum Mangkat di Pulau Juar pada tahun 1787. Raja Ahmadin pula dilantik menjadi Raja Muda pada tahun 1789 sahaja . 14. Dengan itu , kita mendapati bahawa Misa Melayu tidak menerangkan tentang kedudukan Raja Chulan yang sebenar. 2.3 PERHUBUNGAN DIPLOMATIK Mengikut Misa Melayu, Sultan Mahmud telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Selangor . Raja Selangor yang melawat Perak dinobatkan dan diberi gelaran Sultan Salehuddin serta dikurniakan cap mohor. Raja Selangor juga berkahwin dengan sepupu Sultan Mahmud. Apabila Raja Selangor hendak pulang, Sultan Mahmud telah menitahkan Raja Alang dan seorang menteri mengiringi baginda pulang ke Selangor . 15 Menurut Salasilah Raja -Raja Selangor , Sultan Salehuddin (Raja Lumu ) adalah Sultan Selangor yang pertama . Ada perbezaan fakta di antara Misa Melayu dan Tuhfat al-Nafis . Menurut Tuhfat al-Nafis , Sultan Peraklah yang telah menjemput Tengku Raja Selangor yang sedang melawat Pulau Pangkor masuk ke Perak dan tabal baginda serta mengiringnya ke Selangor. 16 Nampaknya , Raja Ali Haji bersikap Bugis-sentri dan ingin menonjolkan kebesaran keturunan beliau. 17 Sebenarnya adalah kurang logik sekiranya Perak yang selama ini bermusuhan dengan Selangor tiba-tiba menjemput Raja Selangor untuk dianugerahkan nobat . Sebaliknya laporan Raja Chulan bahawa rombongan diraja Perak yang menghadiri majlisperkahwinan putera Raja Selangor telah diiringi oleh Raja Selangor sendiri hingga ke Kulau Bernam 18 dapat disahkan oleh surat de Wind ke Schippers .19 Menurut Misa Melayu, Raja Haji dan Raja Selangor telah singgah di Perak dalam perjalanan mereka untuk menyerang Kedah. Misa Melayu ada menyebut tentang kemurkaan Sultan Mahmud apabila Raja Haji ingin berkahwin dengan puteri kerabat diraja Perak . Jika tiada keluar segala perahu pengeran itu dalam negeri Perak ini tiadalah kita nikahkan anak kita dengan Raja Selangor ini 20 Kemurkaan Sultan Mahmud tidak dinyatakan dalam Tuhfat al-Nafis. Mengikut Tuhfat al-Nafis , Raja Haji Engku Kelana Pangeran Suta Wijaya telah melanggar dan menggalahkan Kedah sebelum Raja Selangor sampai sedangkan Misa Melayu melaporkan bahawa Raja Selangor telah menyertai rombongan Raja Haji sebelum mereka menyerang Kedah . 21 Selain dari Selangor, Perak ada hubungan diplomatik dengan Kedah. Rombongan menora dari Kedah telah dijemput semasa upacara melenggang perut Raja Budak Rasul. Di samping itu , Raja Puteh iaitu anak Marhum Mangkat di Pulau Tiga telah berkhawin dengan anak Raja Kedah. Penyertaan Raja Kecil Bongsu dalam angkatan perang yang dipimpin oleh Raja Haji dan Raja Selangor 22 menunjukkan perubahan dasar kerajaan Perak terhadap Kedah pada zaman Sultan Mahmud . Mengikut Misa Melayu, Raja Iskandar ingin mengadakan perhubungan diplomatilk dengan Inggeris lalu mengutus Panglima Maharaja Indera Muda Seri Lela, Daing Tumanin dan Megat Indera Bongsu serta Encik Tadang, jurubahasanya untuk menjual timah baginda kepada Inggeris bagi membeli 2 pucuk meriam. 232.4 PEREBUTAN KUASA Menurut Misa Melayu, tidak lama selepas Sultan Muzaffar Shah III menaiki takhta telah berlaku perselisihan dan perebutan kuasa di antara baginda dan adinda baginda Yang Dipertuan Muhammad Shah (Raja Bisnu). Sultan Muzaffar telah mengundur diri dan membuat ibu kota yang baru di Kuala Kangsar. 24 Ahli sejarah percaya bahawa pusat pemerintahan baginda yang baru terletak di Sayong, Kuala Kangsar. 25 Di Kuala Kangsar, Sultan Muzaffar telah melantik pembesar negeri yang baru iaitu Raja Alang dilantik menjadi bendahara, Megat Pintal menjadi Orang Kaya Besar, Megat Mutabar menjadi Temenggong manakala Pakir Yusof menjadi Menteri. 26 Di Pulau Tiga, Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah pula menjadi sultan bergelar Sultan Muhammad Shah. Putera sulongnya, Raja Iskandar pula dilantik menjadi Raja Muda. Pemerintahan negeri Perak terbahagi dua dan Pachat dijadikan sempadan pemerintahan masing-masing .maka segala rakyat yang sekerat rantau hulu , sehingga Pachat ke hulu, kepada sultan Muzaffar Shah kerajaan sekalinya, maka sehingga Pachat ke hilir kepada Sultan Muhammad Shah kerajaan sekaliannya itu 27Bagaimanapun konflik dua beradik itu reda apabila Sultan Muhammad Shah berangkat ke Kuala Kangsar dan mempersilakan kembali Sultan Muzaffar Shah III bersemayam di Berahman Indera. Pada masa yang sama, Sultan Muhammad mengambil semula gelaran Yang Dipertuan Muda dan Raja Iskandar pula dilantik menjadi Raja Muda Perak dan urusan pentadbiran negeri diserahkan kepada Raja Muda. 28 Persahabatan di antara Sultan Muzaffar dan Raja Iskandar diperkuatkan lagi melalui perkahwinan Raja Iskandar dengan Puteri Raja Budak Rasul 29 Sultan Muzaffar juga berkenan menyusun semula kedudukan pembesar negeri. Semua pembesar yang dilantik semasa di Kuala Kangsar diberhentikan kerana ia tidak mengikut 30 Sebenarnya pembesar yang tidak mahu tunduk kepada Raja Muda telah disingkirkan. 31 Sungguhpun fakta yang disampaikan dalam Misa Melayu mengenai konflik politik yang berlaku di Perak adalah benar tetapi tidak lengkap. Misa Melayu tidak menceritakan tentang peranan orang Bugis dalam mencorakkan politik Perak. Mengikut Tuhfat al-Nafis , pada tahun 1742, Daeng Chelak dan orang Bugis telah berpakat dengan pembesar-pembesar yang merajakan Sultan Muhammad. Sultan Muzaffar telah berundur dari Berahman Indera kerana takut diserang. 32. Andaya turut menyokong pandangan Raja Ali Haji. Kedudukan Raja Iskandar dan Sultan Muhammad menjadi lemah kerana Sultan Muzaffar sekat ekspot bijih melalui jalan hilir. Hal ini memaksa Raja Iskandar dan Sultan Muhammad berdamai dengan Sultan Muzaffar Shah dan pihak Bugis berundur dari Perak sementara perhubungan dengan Belanda diteruskan. 33 Misa Melayu juga melaporkan tentang perebutan kuasa di antara Raja Iskandar denagn Sultan Berkabat ibni Raja Kecil (anak Raja Minangkabau ) dan pahlawan Bugis yang diketuai oleh Daing Mattekoh dan Daing Mencelak. Mereka melanggar daerah Bukit Gantang tetapi dapat dikalahkan oleh orang Perak di bawah pimpinan Raja Muda Iskandar dan Sultan Berkabat terpaksa berundur ke Kuala Pengkalan, Larut.34 Nampaknya, Misa Melayu sebagai sebuah karya yang ditulis atas arahan Sultan Iskandar tidak mahu mendedahkan bahawa baginda telah menghadapi ancaman dari Sultan Berkabat sehingga 1750 . Misa Melayu juga tidak ada cacatan tentang pertunangan Raja Budak Rasul dengan Sultan Berkabat yang telah diputuskan ekoran daripada tindakan Sultan Berkabat membunuh seorang pedagang India di Larut sedangkan Sultan Muzaffar sedang berusaha sedaya supaya menggalakan orang India datang ke Perak bagi membeli gajah.35 Selain dari Sultan Berkabat, Raja Alam iaitu saudara sepupu Raja Iskandar sendiri turut memberi persaingan kepada kekuasaan Raja Iskandar . Semasa di Kuala Kangsar , Sultan Muzaffar Shah telah melantik Raja Alam (Jadual 1) menjadi Raja Kecil Besar tetapi apabila baginda kembali ke Berahman Indera, Raja Muda Iskandar tidak membenarkan Raja Alam ikut serta. Sultan murka ekoran dari dasar tidak campur tangan Raja Alam semasa serangan Sultan Berkabat lalu menitahkan Raja Alam dibawa ke Pulau Tiga, Akan tetapi , Raja Alam masih tidak mahu tunduk pada Raja Muda seperti anak raja yang lain malahan telah berpindah ke Tanjung lalu berkawan dengan seorang Haru iaitu Encik Hasil dan mempunyai ramai penjahat sebagai pengikut . Satu pergaduhan yang berlangsung selama 7 hari telah berlangsung apabila Raja Alam hendak mengambil isterinya (anak Raja Daha) ke Tanjung Putus Raja Alam kemudian berundur ke Tanjung Putus lalu berkahwin dengan anak Encik Hasil serta menghasut penduduk Tanjung Putus supaya menentang Raja Muda di Pulau Tiga . 36 Misa Melayu menunjukkan seolah-olah orang Halu dan Bugis sahaja yang terlibat dalam penderhakaan terhadap sultan sedangkan Andaya mendedahkan peranan Laksamana dan Shahbandar dalam komplot Raja Alam. 37 Selaras dengan konsep daulat dan derhaka 38 yang dianuti oleh masyarakat tradisional, percubaan Raja Alam tidak berjaya kerana hanya sebahagian penduduk Tanjung Putus sahaja yang mahu menyokong Raja Alam. Orang yang derhaka menerima nasib yang buruk , Raja Alam dan Encik Hasil telah ditangkap dan dibuang negeri ke Melaka . 39

BAB 3 : PERSEJARAHAN SOSIAL Sebagai sumber sejarah Misa Melayu turut membayangkan stratifikasi sosial masyarakat Melayu tradisional Perak yang boleh dibahagikan kepada 2 kelas yang utama iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Dari Misa Melayu, boleh ditafsirkan bahawa masyarakat Perak mempunyai kesedaran kelas yang tinggi. Ini dapat dilihat melalui giliran membawa persembahan kepada sultan yang dimulai oleh raja kecil tengah dan diikuti oleh raja kecil besar, para pembesar dan imam. 1 Malahan jenis sauk yang digunakan semasa menuba ikan di Sungai Budiman turut melambangkan status sosial. 2 Dalam susun lapis masyarakat yang berbentuk piramid ( Jadual 5) lapisan yang paling atas ialah sultan dan kerabat diraja. Pembesar menduduki tangga kedua manakala lapisan yang ketiga merupakan rakyat biasa. Hamba pula menduduki lapisan yang paling rendah. 3.1 SULTAN Sultan merupakan lambang perpaduan negeri tetapi tidak mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas semua jajahan takluknya. Para pembesar mempunyai autonomi kawasan dan sultan hanya berkuasa di daerah sendiri sahaja. Misa Melayu memggambarkan bahawa Sultan Iskandar telah memindahkan ibukotanya ke Pulau Chempaka Sari yang kemudiannya ditukar nama menjadi Pulau Indera Sakti dan bandarnya dinamakan Bandar Makmur. Raja Chulan melaporkan ; baiklah kita membuat tempat asing agar zaman kita dapat oleh anak cucu kita kemudian hari kelak . 3Sultan Mahmud pula berpindah ke Pasir Pulai 4 manakala Sultan Alauddin membuat ibukotanya di Rantau Panjang Indera Mulia. 5 Sultan berhak mengerah rakyat dan menerima persembahan dari rakyat. Pelbagai persembahan dibawa oleh para pembesar, rakyat dan pedagang asing mengikut kemampuan masing-masing apabila sultan melawat sesuatu kawasan. Contohnya Sultan Muzaffar menerima pelbagai jenis persembahan apabila baginda melawat Kuala Kangsar dan Tanjung Putus. 6 Di samping itu, sultan menerima persembahan apabila suatu keramaian diraja diadakan. Misalnya semasa perkahwinan puteri Sultan Muzaffar Shah, ada yang persembahan kerbau dan kambing dan ayam itik dan yang setengah persembahan timah dan rial tunai ; kerana baginda hendak mengahwinkan anakanda baginda . 7 Hanya sultan berkuasa untuk melantik pembesar, memberi gelaran dan memecat orang yang telah diberi gelaran. Misalnya Sultan Iskandar telah pecat jawatan beberapa orang pembesar dan hulubalang yang tidak menghadiri upacara pemakaman Sultan Muzaffar. 8 Sultan Iskandar telah beri gelaran Yang Dipertuan Tua kepada janda Sultan Muzaffar 9 dan lantik Tan Hamat menjadi kepada bentara. 10 Pada zaman Sultan Iskandar, orang asing turut diberi gelaran. Contohnya Tan Abdul Kahar seorang Minangkabau digelar Fakeh Raja Indera Pahlawan, Nakhoda Tan Pusmah seorang Haru digelar Laksamana Orang Kaya-Kaya manakala Tambi Kecil dari India digelar Raja Nutabar Khan. 11 sultan memberi gelaran pada seorang dengan tujuan memuliakan, membalas jasa atau mendapatkan kesetiaan pembesar. Kemuliaan dan kebesaran sultan terutamanya Sultan Iskandar disanjung tinggi dalam Misa Melayu hinggakan orang Belanda dan Inggeris dikatakan gentar dan kagum menghadap baginda .12 Sultan biasanya berunding dengan para pembesar sebelum membuat keputusan . Sekiranya Raja Muda adalah seorang yang berpengaruh maka segala urusan pemerintahan akan diambil alih olehnya. Misalnya pada zaman Muzaffar Shah, Raja Muda Iskandar yang memerintah. 13 3.2 PEMBESAR Perak mempunyai ramai pembesar. Misa Melayu memperlihatkan keseragaman kedudukan pembesar Perak pada tahun 1874 yang dikemukan oleh Gullick. 14 Perak mengamalkan sistem pembesar 4,8,16 dan 32 . Pembesar 4 terdiri daripada bendahara, temenggung, orang kaya besar dan menteri. Mengikut Misa Melayu, apabila sultan Muzaffar kembali ke Berahman Indera baginda telah melantik Megat Pandia menjadi bendahara , Tan Marasin sebagai orang kaya besar , Tan Bantan sebagai Temenggung dan Sharif Hussein sebagai menteri . 15 Ini menujukkan bahawa jawatan pembesar 4 Zaman Kesultanan Melayu Melaka diteruskan di Perak tetapi kuasa mereka telah kurang kerana adanya pembesar daerah . 16 Malahan, kekuasaan mereka adalah berhubung rapat dengan penguasaan mereka ke atas daerah-daerah yang strategik . Contohnya , laksamana menguasai Kuala Perak dan rantau Tanjung Putus yang merupakan jalan air untuk berhubung dengan dunia luar . Fungsi sosiopolitik pembesar 4 di perak tidaklah begitu menyeluruh berbanding dengan zaman kesultanan Melayu Melaka . 17 Mengikut Misa Melayu , Bendahara merupakan wazir atau Menteri dalam Negeri. Semasa Sultan iskadar melawat jajahan takluknya, bendahara dilantik jadi Panglima besar. 18 Shahbandar dan laksamana dianggap sebagai anak kunci negeri dan mereka mengendalikan urusan penjualan gajah dan timah . 19 Pembesar 4 turut terlibat dalam soal adat istiadat diraja . Contohnya , orang kaya besar terpaksa mengarak inai semasa upacara tindik telinga Raja Budak Rasul dan bendahara ditugaskan mengarak air mandinya . 20 Pembesar 8,16 dan 32 ada tersebut di dalam Misa Melayu dalam konteks lawatan sultan ke daerah mereka . Pembesar 8 yang tersebut di dalam Misa Melayu ialah Seri Adika Raja dan Seri Agar diraja . 21 Seri Maharaja Lela pula merupakan ketua orang besar 16 yang ditugaskan menjaga daerah Tanjung Putus dan diberi kepercayaan menjaga istana semasa ketiadaan sultan . 22 Para pembesar lain yang dinyatakan dalam Misa Melayu seperti Maharaja Indera . Maharaja Derma Wangsa , Orang Kaya Bongsu dan sebagainya tidak ada dalam senarai pembesar negeri . 23 Oleh itu, kedudukan mereka tidak dapat dipastikan .

3.3 RAKYAT Rakyat Perak terdiri daripada orang tempatan dan orang asing terutamanya pedagang . Misa Melayu menggambarkan masyarakat berbilang kaum yang hidup aman damai. Ada orang Bugis, Minangkabau , Arab , India dan Cina yang tinggal bersama-sama dengan orang Melayu di sepangjang Sungai Perak terutamanya di Bandar Chempaka Sari . Orang Bugis dan Haru pula tinggal di Tanjung Putus . 24 Aceh, India dan Cina turut mempersembahkan pelbagai jenis persembahan tradisional mereka pada hari keramaian diraja . 25 Bila ada keramaian , rakyat di seluruh rantau jajahan dikerah datang ibukota . Rakyat dikerah menyumbangkan tenaga di samping membawa persembahan. Contohnya, rakyat terpaksa mencari bahan binaan bagi istana Sultan Iskandar dan tukang-tukang mahir pula dikerah membinanya. 26 Nampaknya , Raja Chulan tidak berani kritik adat kerah seperti yang dilakukan oleh Abdullah Munshi. 27. 3.3 HAMBA Misa Melayu turut mendedahkan sistem perhambaan yang diamalkan di Perak . 28 Hamba dianggap sebagai barang yang boleh dipindah milik . Mengikut Misa Melayu, Raja Iskandar telah disembahkan 10 kelamin hamba sebagai mas kahwin . 29 Bilangan hamba yang dimiliki adalah lambang status dan kekayaan . Di samping itu , Misa Melayu dapat mengesahkan pandangan Qullick bahawa Sultan dan pembesar daerah mempunyai kuasa mengawal perkahwinan semua wanita yang menetap dalam kawasan kekuasaan mereka. 30 Misa Melayu melaporkan bahawa seorang janda cantik bernama Siti Sara telah diserahkan kepada Sultan Iskandar menjadi hamba kerana Seri Maharaja Lela dan Abdullah b. Iman Panjang berebut hendakkannya . 313.5 MOBILITI SOSIAL Mewujudkan kelas dalam masyarakat tidak bereti bahawa mobilitI sosial tidak berlaku. Seringkali berlaku mobiliti mendatar . Meskipun , Che Ali dilantik menjadi panglima bergelar Maharaja Dewa , Encik Suran diberi gelaran Raja Dewa Bongsu dan Encik Mai menjadi panglima bergelar Seri Rakna , mereka masih menduduki lapisan sosial yang ketiga . 32 Begitu juga dengan Amar Di Wangsa yang tetap menduduki lapisan kedua walaupun digelar Maharaja Tentu Wangsa . Mobiliti menegak juga berlaku dalam masyarakat tradisional Perak . Misalnya , Sharif Abu Bakar seorang rakyat keturunan Arab telah dilantik menjadiBendahara Perak . 33 Dengan itu, berlakulah mobility menegak dari lapisan rakyat ke lapisan pembesar.

BAB 4 : PENSEJARAHAN EKONOMI Misa Melayu ada menggambarkan tentang aktiviti perdagangan dan kegiatan ekonomi yang dijalankan di negeri Perak. Misa Melayu ada memuatkan catatan mengenai perdagangan eksport bijih timah dan gajah serta dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul mengenai perjanjian perdagangan yang telah di tandatangani oleh Sultan Iskandar. Namun demikian, Misa Melayu tidak mengandungi maklumat tentang kegiatan ekonomi sara diri yang diamalkan oleh masyarakat Perak. 4.1 PERDAGANGAN EKSPORT BIJIH TIMAH DAN GAJAH Perak merupakan pengeluar bijih timah yang penting dan mulai pertengahan 1640-an hingga 1795, hubungan di antara Perak dan Belanda berkisar di sekitar perdagangan bijih timah. Pada dasarnya, Belanda ingin membolot bijih timah yang dihasilkan oleh Perak tetapi tidak mahu membayar harga yang tinggi. Malahan, penglibatan Belanda telah menjejaskan kedudukan saudagar-saudagar India yang telah lama memainkan peranan yang penting dalam perdagangan Perak . Mengikut Misa Melayu, Sultan Muzaffar Shah telah setuju untuk menjual semua timah yang dikeluarkan di Perak kepada orang Belanda dengan harga 30 rial bagi sebahara yang seberat 375 paun. Cukai sebanyak 2 rial sebahara pula akan diserahkan kepada sultan. Belanda dibenarkan mendirikan sebuah gedung atau loji perniagaan di Pangkalan Halban dekat Tanjung Putus (kira-kira 6 batu ke hilir Bandar Teluk Intan). Mengikut perjanjian, orang Perak tidak dibenarkan menjual timah pada orang lain. Seorang kapitan Belanda yang ditukarkan 3 tahun sekali di tempatkan di Kota Pangkalan Halban. Pada masa itu, Sultan Muzaffar memperolehi banyak wang cukai daripada jualan timah dan orang Perak pun kaya .1 Fakta-fakta yang disampaikan dalam Misa Melayu mengenai perjanjian perdagangan di antara Sultan Muzaffar Shah dan Belanda adalah selaras dengan rekod Belanda di Melaka yang menyebut bahawa pada 22 Oktober 1946, seorang pesuruhjaya Belanda yang bernama Ary Verbrugge telah dihantar ke Perak oleh V.O.C (Syarikat Hindi Timur Belanda) bagi mendapatkan kebenaran dari sultan untuk mendirikan sebuah gudang dan mendapatkan monopoli perdagangan bijih timah. 2 Pada Julai 1746, Sultan Muzaffar Shah III dan Gabenor Belanda di Melaka, Heer Wilhelm Bernard Albius telah menandatangani surat perjanjian (Lampiran 6) yang mengandungi syarat-syarat perdagangan yang sama dengan apa yang tersebut dalam Misa Melayu. Namun demikian, Misa Melayu tidak memuatkan syarat yang mengatakan bahawa jika seseorang didapati menyeludup bijih timah, stoknya akan dirampas dan sebahagian akan diambil V.O.C manakala sebahagian lagi akan diberikan kepada sultan (Fasal 3, Perjanjian yang bertarikh 25 Julai 1746). Mengikut Misa Melayu, oleh sultan Muzaffar Shah segala kehendak Holand itu semuanya diperkenalkan baginda . 3 Raja Chulan tidak memberi keterangan yang lebih lanjut mengenai sebab-sebab sultan bertindak demikian. Mungkin sebagai seorang penulis istana yang mahu menggambarkan kebesaran sultan dan negeri, Raja Chulan tidak mahu mendedahkan kepentingan persahabatan Belanda bagi Perak yang lemah dan kurang keupayaan untuk menghadapi ancaman dari luar dan dalam. Perak sejak diasaskan tidak pernah muncul sebagai kuasa penakluk tetapi ditakluki oleh Aceh pada abad ke-17. Pada zaman Sultan Muzaffar Shah III, Perak menghadapi ancaman dari orang Bugis dari Selangor. 4 Tambahan pula, sultan telah menghadapi krisis perebutan kuasa oleh adinda baginda, Sultan Muhammad Shah dan Raja Iskandar. Walaupun, mereka telah berbaik semula, sultan masih was-was terhadap Raja Iskandar. Di samping itu, jika sultan menolak syarat-syarat yang dikenakan oleh Belanda ada kemungkinan Belanda akan menyerang Perak . 5 Mengikut Misa Melayu, Sultan Iskandar telah menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan pihak Belanda semasa baginda sedang membina kota di Pulau Chempaka Sari. Dari Misa Melayu, kita dapat mengetahui peristiwa yang membawa kepada termaktubnya perjanjian tersebut . Pada zaman Sultan Iskandar, Pir Muhammad seorang jurubahasa di gedung Belanda di Tanjung Putus berasa kecil hati kerana tidak dapat bertindak sesuka hati. Pir Muhammad tidak dibenarkan menghadapi sultan bagi menyampaikan surat dari V.O.C kerana tidak mengikut adat istiadat diraja Melayu. Pir tidak memberitahu laksamana dan syahbandar terlebih dahulu sebelum menghadap sultan dan suratnya pula tidak berbingkis. Pir membuat fitnah dengan memberitahu Kapitan Belanda bahawa Sultan Iskandar tidak mahu bersahabat dengan orang Belanda dan baginda sedang mengumpul orang untuk berperang dengan orang Belanda. V.O. C menghantar satu angkatan yang terdiri daripada 7 buah kapal yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke bagi meninjau keadaan. Orang Belanda terpaksa menanti 3 hari di Pangkalan Halban sebelum dibenarkan menghadap sultan. Sultan juga telah bersiap sedia dengan senjata tetapi tidak ada apa-apa pergaduhan yang tercetus. Belanda ingin membeli 300 bahara bijih timah tetapi sultan telah menjual 500 bahara. Suatu perjanjian perdagangan bijih timah juga telah ditandatangani . 6 Mengikut Andaya, perbuatan Pir Muhammad tercatat dalam surat Gabenor Albinus ke Batavia pada 15 Mac 1753. 7 Perjanjian di antara Sultan Iskandar dengan Thomas Schippers yang mewakili V.O.C ditandatangani pada 13 Mac 1753 8 (Lampiran 6 ) dan bukan pada tahun 1765 seperti yang dikatakan oleh Buyong Adil. 9 Kekeliruan mengenai tarikh perjanjian perdagangan ditandatangani oleh Sultan Iskandar dan V.O.C dapat diselesaikan dengan merujuk kepada Misa Melayu. Mengikut Misa Melayu, niat untuk berpindah dari Berahman Indera timbul selepas Sultan Iskandar menambak dan mendirikan batu nisan di makam Sultan Muzaffar Shah selepas hari yang ke-100 kemangkatan baginda. Rombongan Belanda tiba semasa Sultan Iskandar sedang membina kota di Pulau Cempaka Sari.10 Ini bermakna rombongan Belanda tiba tidak lama selepas Sultan Iskandar menaiki takhta. Mengikut Khoo Kay Kim, 11 M.A. Fawzi 12 dan Andaya 13 Sultan Iskandar memerintah dari tahun 1752-1765 dan bukan dari tahun 1756-1770 seperti yang dikatakan oleh Buyong Adil. 14 Dengan itu, Misa Melayu dapat digunakan bersama-sama dengan rekod Belanda bagi membuktikan bahawa perjanjian perdagangan antara Sultan Iskandar dan V.O.C. ditandatangani pada 13 Mac 1756 manakala perjanjian pada tahun 1765 adalah di antara Sultan Mahmud dan V.O.C (Lampiran 6) . 15 Misa Melayu juga menceritakan tentang perselisihan faham yang timbul di antara Sultan Iskandar dan pihak Belanda. Angkatan Belanda yang diketuai oleh R.E.F. Lybroke menghadap Sultan Iskandar di Kota Lumut untuk membeli timah tetapi sedikit perbalahan timbul apabila pihak Belanda mahu menimbang semua timah yang dibeli oleh mereka di gudang mereka di Tanjung Putus. Sultan mahu bijih timah ditimbang di balai timbang di Tanjung Bidor. Akhirnya orang Belanda terpaksa mengikut kehendak sultan. 16 Mengikut Misa Melayu, perselisihan juga telah timbul kerana pihak Belanda telah membedil Syahbandar dan Menteri yang enggan singgah di kapal mereka. Sultan Iskandar murka tetapi akhirnya setuju menjual 300 bahara timah apabila diberitahu bahawa orang Belanda sebenarnya hendak menembak monyet yang ada di tepi sungai. 17 Mengikut Andaya, perselisihan di antara Sultan dan pihak Belanda berlaku kerana interpretasi yang berlainan terhadap Fasal 4, Perjanjian 13 Mac 1753 yang berbunyi :- Semua pembekal bijih timah hendaklah membawa sendiri bijih timah mereka ke gudang kompeni dan akan ditimbang dengan menggunakan ukuran piawai kompeni . 18 Sultan Iskandar berpendapat bahawa Fasal tersebut tidak membabitkan baginda. Mengikut Andaya, pada Oktober 1756 Ary Verbrugge telah dihantar ke Perak bagi mencari jalan kompromi.19 Dengan itu, adalah jelas bahawa Misa Melayu adalah catatan sejarah yang benar-benar berlaku. Selain daripada perdagangan bijih, Perak juga terlibat dalam pengeksportan gajah. Sultan Iskandar mengutus Tambi Kecil ke India untuk mencari saudagar yang ingin membeli gajah. Tambi Kecil berjaya mencari seorang saudagar yang bernama Nakhoda Pakir Saib Maba untuk membeli gajah baginda. Sultan mengurniakan Tambi Kecil gelaran Raja Mutabar Khan. 20 Mengikut Andaya, perdagangan gajah merosot kerana pihak Belanda telah memonopoli perdagangan bijih, malah pedagang India juga dihalang masuk ke Perak oleh pedagang Inggeris yang turut bersaling untuk mendapatkan bijih. 21 Namun begitu, mengikut Andaya pada Februari 1751 Batavia telah mengarah pejabatnya di Nagapatam untuk menggalakkan pedagang India pergi ke Perak untuk membeli gajah tanpa cukai. Dengan itu, perdagangan gajah dapat diteruskan oleh Perak. 4.2 KAWASAN PERNIAGAAN Misa Melayu menceritakan tentang satu kawasan perniagaan yang dinamakan sebagai Bandar Makmur dekat Pulau Indera Sakti yang menjadi tumpuan golongan peniaga kerana ada banyak gerai-gerai. Zaman Sultan Raja Iskandar,Membuat negeri di Pulau Cempaka,Eloknya pekan dengan bandar,Tempat dagang datang berniaga22Golongan rakyat turut berniaga di samping pedagang asing seperti saudagar Cina, Sumatera dan India. Golongan saudagar dan peniaga tinggal di sepanjang Sungai Perak. Saudagar Belanda pula membina gedung-gedung perniagaan mereka di Pangkalan Halban.Misa Melayu ada mencatatkan tentang-tempat yang penting di Perak yang menjadi tumpuan laluan peniaga seperti Pulau Tiga, Sungai Kinta, Sayong, Kuala Kangsar, Kuala Bidor, Bukit Gantang dan Pulau Pangkor. Berahman Indera ialah Bota Kanan sekarang manakala Tanjung Putus terletak berhampiran dengan bandar Teluk Intan (Teluk Anson). Nama-nama tempat itu masih kekal sehinggga hari ini.

BAB 5 : PENSEJARAHAN BUDAYA Di dalam bab ini, saya akan menbincangkan sejauhmanakah Misa Melayu dapat dianggap sebagai sumber pensejarahan budaya Melayu dari segi adat istiadat, alat-alat kebesaran negeri , permainan dan hiburan serta seni bina tradisional, Teks Misa Melayu juga menceritakan kepercayaan dan agama masyarakat . 5.1 ADAT ISTIADAT Misa Melayu sebagai karya historiografi Melayu telah memberi gambaran yang jelas lagi terperinci mengenai adat perkahwinan, adat bertindik telinga, adat melenggang perut serta adat pertabalan dan permakaman diraja Perak, Seterusnya, saya akan membincangkan satu persatu adat istiadat diraja Perak seperti yang tercatat dalam Misa Melayu . 5.1.1 ADAT PERKHAWINAN Mengikut Misa Melayu adat perkahwinan diraja Melayu terbahagi kepada dua tahap yang penting iaitu adat peminangan dan adat perkhawinan. Raja Chulan menceritakan perkahwinan Raja Muda Iskandar dengan Raja Budak Rasul, puteri Sultan Muzaffar Shah dengan begtiu terperinci.1 Raja Chulan dan Raja Alauddin menjadi orang tengah dalam hal peminangan itu . Raja Chulan menceritakan tentang rombongan peminangan yang membawa tanda emas dua kati dan upacara menyambut rombongan tersebut. Penggunaan gajah khas bagi mengarak tanda peminangan dengan iringan muzik serta panji-panji membayangkan betapa meriahnya upacara tersebut . Setelah bertunang selama 3 tahun, persiapan perkahwinan Raja Iskandar dengan Raja Budak Rasul diatur oleh kedua pihak; pembesar dan rakyat dikerah menjalankan kerja persiapan. Misa Melayu melaporkan bahwa semua pembesar, rakyat dan pedagang asing dari merata tempat di negeri Perak telah berhimpun di Pulau Tiga dan Berahman Indera untuk turut serta dan menyaksikan adat perkahwinan yang amat menarik itu. Mereka membawa pelbagai jenis persembahan mengikut kemampuan masing-masing; ada yang mempersembahan kerbau, kambing, ayam atau itik manakala yang lain mempersembahan timah atau rial tunai.. 2 Apabila rombongan pengantin sampai di Berahman Indera mereka disambut oleh para pembesar dan Sultan mengurniakan Raja Muda dengan sebuah istana. Kerja berjaga-jaga selama 40 hari, 40 malam pun dimulakan dengan tiupan semboyan iaitu alamat raja memulakan pekerjaan. Pelbagai permainan dan jamuan makan diadakan untuk bersuka ria. Kerja berjaga-jaga diakhiri dengan malam berinai, Sebelum upacara berinai diadakan, Raja Budak Rasul diarak 7 kali keliling kota lalu dibawa ke dalam istana dengan iringan muzik tradisional dan tembakan meriam . Pada keesokan hari, kedua pengantin yang lengkap berpakaian alat kebesaran negeri Perak diarak keliling kota 7 kali sebelum dinikahkan oleh Menteri Seri Paduka Tuan dengan mas kahwin 100 tahil wmas, 10 kelamin hamba dan timah 1000 keping. Selepas itu, Raja Muda Iskandar didudukkan di atas peterana dan nasi santapan pun dihidangkan . Adat mandi sampat diadakan pada keesokan hari. Kedua pengantin dimandikan oleh ayahanda bonda mereka. Mengikut R.O. Winstedt, adat mandi sampat merupakan satu upacara kebudayaan Hindu. Ini menunjukkan bahawa pengaruh kebudayaan agama Islam telah berkembang luas. 3 Ternyata keturunan Sultan Muhmad Shah Melaka yang menjadi raja Perak masih mengekalkan adat perkahwinan diraja seperti yang tersebut dalam Sejarah Melayu 4 dan Adat Raja-Raja Melayu . 5 Dari Misa Melayu juga kita dapat ketahui bahawa adat anak Raja yang memerintah berkahwin adalah lebih meriah daripada perkahwinan kerabat diraja. Ini terbukti melalut adat berjaga-jaga yang hanya diadakan selama 7 hari bagi perkahwinan Raja Ibrahim iaitu cucu sepupu kepada Sultan Muzaffar Shah 6 berbanding dengan 40 hari bagi perkahwinan Raja Budak Rasul. 5.1.2 ADAT BERTINDIK TELINGA

Kebesaran raja-raja Perak digambarkan melalui upacara bertindik telinga Raja Budak Rasul yang berlangsung selama 17 hari 7 padahal bagi rakyat biasa hanya memerlukan masa yang amat singkat sahaja. Para Pembesar diberi jawatan tertentu. Semua rakyat termasuk pedagang asing berhimpun di Berahman Indera dan membawa persembahan untuk Sultan. Kerja berjaga-jaga selama 17 malam dimulakan dengan meniup semboyan 9 kali diikuti paluan alat muzik tradisional . Pelbagai jenis permainan dan tarian turut diadakan. Kerja berjaga-jaga diakhiri dengan upacara berinai selama 2 malam .Selepas itu, Raja Budak Rasul diarak 7 kali keliling kota lengkap dengan alat-alat kebesarannya sebelum diarak masuk dan dimandikan oleh ayahanda bondanya dengan air yang terlebih dahulu diarak masuk oleh Bendahara. Seterusnya upacara santapan nasi adap-adapan diadakan sebelum telinga tuan puteri ditindik . Kebenaran fakta-fakta yang diberikan berkenaan upacara bertindik telinga dapat dipertahankan kerana istiadat yang sedemikian pernah diadakan oleh Bendahara Sida Raja ketika bertindik telinga puteri baginda bernama Tun Long. 8 .

5.1.3 Mandi Adat Apabila Raja Budak Rasul hamil 7 bulan, upcara mandi adat diadakan. Sultan Iskandar mengerah semua rakyat dan pedagang asing berhimpun di Pulau Indera Sakti. Rakyat membawa pelbagai jenis persembahan bagi sultan. Kerja berjaga-jaga diadakan selama 40 hari dan sebuah pancapersada 7 tingkat dibina sebagai tempat permandian baginda berdua. Pelbagai jenis permainan dan jamuan makanan diadakan sepanjang masa berjaga-jaga. Upacara berinai diadakan selama 3 malam sebelum baginda berdua dihias oleh Yang Dipertuan Tua dan diarak ke balai pancapersada dengan paluan muzik tradidional dan iringan alat kebesaran negeri . 9 Menurut Adat Raja-Raja Melayu, 10 upacara mandi adat adalah sebahagian daripada istiadat melenggang perut. Nampaknya, Misa Melayu hanya menceritakan tentang sebahagian daripada adat melenggang perut malahan lebih menumpukan perhatian terhadap pesta yang diadakan dan seni bina balai pancapersada . Upacara mandi adat juga merupakan warisan kebudayaan Hindu.11 5.1.4 Istiadat Pemakaman dan Penabalan Sultan Gambaran yang diperolehi dari Misa Melayu tentang penabalan Raja Muda menjadi sultan yang baru sebelum jenazah sultan yang mangkat dikebumikan adalah selaras dengan fakta yang diberikan dalam Cempaka Sari . 12 Upacara-upacara penting berkenaan dengan pemakaman dan penabalan sultan telah digambarkan dalam Misa Melayu sewaktu kemangkatan Sultan Muzaffar Shah, 13 Sultan Iskandar 14 dan Sultan Mahmud Shah . 15 Menurut Misa Melayu, apabila sultan mangkat semua pembesar, anak-anak raja dan rakyat akan berkumpul di istana. Jenazah al-marhum akan dikafankan dan dimasukkan ke dalam keranda . Para Pembesar akan berunding dan melantik sultan yang baru. Malahan, semasa Sultan hampir mangkat , baginda akan menamakan penggantinya serta berpesan kepada penggantinya supaya berbicara dengan para pembesar semasa menjalankan pemerintahan. Contohnya dapat dilihat semasa Sultan Muzaffar hampir mangkat. 16 Sesungguhnya, wasiat adalah sifat historiografi Melayu yang menunjukkan bahawa Raja Melayu tidak lalai dalam tugas-tugas mereka dan tidak hanya bersuka ria dengan wanita dan candu sahaja . 17 Sultan yang baru akan dikenakan alat kebesaran negeri dan gendang nafiri akan dipalu 7 kali tanda 7 kali tabal. Semua pembesar, anak raja dan rakyat akan menjunjung duli mengakui daulat . Sultan yang mangkat akan diberi gelaran Marhum diikuti kata penerangan biasanya yang merujuk pada tempat ia dimakamkan . 18 Comtohnya Sultan Muzaffar Shah digelar Marhum Haji Allah dan Sultan Iskandar digelar Marhum Kaharullah . Seterusnya jenazah diarak ke tanah perkuburan dan di sepanjang jalan kepingan emas dan perak ditaburkan . Kini amalan ini tidak lagi dilakukan. Jenazah disembayangkan lalu dimakamkan dan dibaca talkin dan doa selamat . Orang yang sembayangkan jenazah al-marhum disedekahkan rial dan kain. Istiadat berakhir dengan membina batu nisan dan menambak kubur pada hari ke-100. Adat berkabong telah dijelaskan dalam Misa Melayu. Sultan yang baru tidak akan bernobat selama 7 hari tanda berkabong. Semasa Sultan Mahmud Shah mangkat Yang laki-laki berkabong lagi bercukur dan segala perempuan bertokong rambut dikerat . 19 Kini adat berkabong seperti yang diamalkan semasa Sultan Mahmud Shah mangkat tidak dipraktikkan lagi . Rakyat hanya melilit kain putih pada songkok atau lengan baju. Sekarang marilah kita melihat sejauhmanakan Misa Melayu merupakan sumber maklumat tentang alat-alat kebesaran negeri Perak. 5.2 Alat Kebesaran Kerajaan Perak Salah satu alat kebesaran negeri Perak yang tercatat dalam Misa Melayu ialah alat muzik diraja yang dipanggil nobat yang terdiri daripada sebuah gendang nobat, dua buah gendang peningkah, sebuah nafir , dua buah serunai dan dua buah nekara. Di akhir Misa Melayu disenaraikan 8 buah lagu nobat asal yang kemudiannya ditambah 8 lagi oleh kerajaan Perak. 20 Misa Melayu tidak memberi maklumat tentang orang kalau yang menjadi pemuzik nobat secara turun-temurun 21 atau bila lagu-lagu nobat tertentu dimainkan. Misa Melayu hanya mencatat bahawa nobat tidak dimainkan selama 7 hari atau 20 hari apabila sultan atau Raja Perempuan mangkat 22 sebagai tanda berkabong. Nobat dimainkan semasa upacara perkahwinan, 23 upacara perkahwinan dan penabalan sultan.24 Betapa pentingnya peranan nobat sebagai alat budaya untuk menguatkan dan mengesahkan hak dan kedudukan golongan pemerintahan dapat digambarkan melalui pengurniaan nobat kepada Raja Selangor bagi mengesahkan kedudukan baginda sebagai Sultan Selangor. 25 Alat-alat kebesaran negeri Perak yang dibawa oleh Sultan Muzaffar Shah I dari Melaka seperti Padang Cura Si Manja Kini, Keris Seri Gading , Keris Taming Sari, Pontoh Ular Lidi , cap Halilintar dan Pontoh Bernaga 26 tidak disebut dalam Misa Melayu. Misa Melayu hanya menyebut bahawa alat-alat kebesaran negeri telah dipakai oleh Raja Muda Iskandar semasa perkahwinan dan pentabalan baginda tanpa menamakan alat-alat tersebut. Penggunaan panji-panji dan payung keemasan semasa lawatan sultan ke daerah jajahan baginda, menerima perwakilan Belanda, semasa upacara mandi adat 27 dan sebagainya tercatat dalam Misa Melayu. Sekarang kita akan melihat apakah jenis permainan dan hiburan yang terdapat dalam abad ke-18. 5.3 PERMAINAN DAN HIBURAN Menurut Misa Melayu, permainan yang paling digemari di Perak pada abad ke-18 adalah menora. Raja Ibrahim telah diarah menulis surat ke Kedah meminta supaya sepasukan penari menora dihantar ke Perak . 28 Misa Melayu juga menamakan permainan tradisional lain seperti bermain lembing, tombak, sepak raga, catur , jogar serta bermain gajah dan kuda yang digemari oleh orang lelaki . Di samping itu, mereka juga belajar seni mempertahankan diri, menyanyi, menari dan membaca Hikayat Jawa. Kaum wanita pula gemar bermain jogar, cuki, kebak, pajas, sekupang dan congkak. 29 Menyabung ayam juga merupakan permainan yang digemari oleh anak raja dan rakyat . Gelanggang menyabung ayam diadakan setiap kali ada keramaian. Raja Chulan telah mengkritik tabiat menyabung ayam yang merupakan satu perbuatan yang menyalahi syariat Islam. 30 Satu lagi permainan yang digemari oleh orang Perak ialah menuba ikan. Mengikut McNair, tuba digunakan bagi menangkap ikan sungai. 31 Misa Melayu memuatkan kisah Sultan Iskandar menuba ikan di Sungai Budiman dan Sungai Timah 32 dengan menggunakan perkhidmatan pawang. Sungai dibelat oleh pawang dan pada keesokkan harinya tuba dituang ke dalam sungai. Gendang perang dipukul dan semboyan ditiup 3 kali. Bila ikan timbul, ia ditikam atau disauk. Pelbagai jenis sauk yang digunakan semasa menuba ikan membayangkan stratifikasi sosial yang wujud dalam masyarakat tradisional. Sauk emas digunakan oleh anak raja, sauk suasa bagi anak pembesar, sauk perak bagi kerabat diraja dan dayang-dayang istana manakala sauk tembaga, besi dan kayu bagi hamba dan rakyat. 33 Seterusnya kita akan meneliti unsur-unsur seni tradisional yang dikemukakan oleh Misa Melayu . 5.4 SENI BINA TRADISIONAL Misa Melayu menggambarkan dengan terperinci keindahan seni bina tradisi Melayu. Raja Chulan telah mencatatkan dengan teliti bentuk ukiran dan reka bentuk balai gambang di atas perahu kenaikan Sultan Iskandar, 34 balai pancapersada 35 dan istana Sultan Iskandar di Pulau Indera Sakti. 36 Misa Melayu memuatkan kisah Sultan Iskandar mendirikan sebuah mahligai tujuh tingkat yang dikatakan tidak pernah lagi di bina oleh sultan-sultan sebelumnya. Mahligai tersebut digambarkan sebagai sebuah mahligai yang terlalu istimewa seni binanya dan dianggap akan jadi ingatan zuriat baginda pada masa akan datang.5.5 KEPERCAYAAN DAN AGAMA Selain daripada adat istiadat, bentuk permainan dan hiburan, seni bina tradisional dan alat kebesaran negeri, Misa Melayu juga menggambarkan kepercayaan animisme dan Hindu yang masih diteruskan walaupun masyarakat Melayu Perak beragama Islam. Pengaruh animisme dan kepercayaan agama Hindu bukan sahaja dapat dilihat dalam upacara adat istiadat diraja yang telah dibincangkan pada awal bab ini tetapi juga dalam amalan-amalan lain. Misa Melayu ada menyebut tentang penggunaan pawang belat semasa temasnya menumba ikan di Sungai Budiman. Raja Chulan melaporkan bahawa terdapat 2 pawang besar ; seorang bergelar Sang Paya Indera dan seorang lagi bergelar Sang Paya Diraja. 37 Penggunaan pawang merupakan warisan peradapan animisme yang masih diteruskan hingga kini. Pawang diraja terlibat semasa istiadat pertabalan Sultan Perak. Yang Mulia Raja Chik merupakan pawang diraja Perak masa kini. 38 Pengaruh agama Islam ke atas masyarakat Perak pada abad ke-18 dapat dilihat melalui pembinaan masjid di Pulau Indera Sakti sebelum perayaan Hari Raya Haji dan majlis tahlil yang diadakan pada hari tersebut . Sultan Iskandar juga dikhabarkan bersemayan di balai penghadapan selepas sembayang zohor dan di balai lepu selepas sembayang subuh. Maklumat ini menggambarkan bahawa sultan taat mengerjakan ibadat sembayang.39

BAB 6 : KESIMPULAN Sebagai kesimpulan saya ingin menegaskan bahawa Misa Melayu adalah sumber sejarah yang penting mengenai pensejarahan negeri Perak abad ke-18. Dari segi bentuk penulisan, memang tidak dapat dinafikan bahawa Misa Melayu mengandungi kelemahan kerana terdapat perbualan atau dialog dalam keseluruhan teks yang merupakan olahan pengarang sendiri. Terdapat juga unsur kesusasteraan yang lain seperti pantun dan syair. Namun demikian, syair Sultan Iskandar Bermain-Main ke Laut sebenarnya mengandungi banyak maklumat mengenai para pembesar Perak dan lawatan sultan ke jajahan takluknya . Di dalam syair tersebut jugalah episod pertemuan Sultan Iskandar Zulkarnain dengan orang Inggeris disampaikan. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa Misa Melayu adalah sumber sejarah yang amat bernilai walaupun ada kelemahan dalam bentuk penulisan. Dari segi objektiviti, walaupun Misa Melayu memuji kebesaran dan kedaulatan Sultan Iskandar sebagai seorang pemerintah yang berkelibar dan menjadi ikutan semua anak raja sejak baginda menjadi Raja Muda lagi, Raja Chulan juga tidak memperkecilkan kebesaran sultan-sultan lain. Raja Chulan juga tidak mendedahkan pakatan Raja Iskandar dengan Bugis dan persengketaan baginda dengan Sultan Muzaffar Shah dengan terperinci kerana konsep derhaka yang dianuti oleh masyarakat tradisional. Pada masa yang sama, pengarang Misa Melayu tidak menyelewengkan fakta seperti yang dilakukan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nadis. Catatan sejarah yang dikemukakan dalam Misa Melayu boleh dibuktikan dengan merujuk kepada sumber Belanda dan Inggeris. Di samping itu, Misa Melayu mengandungi ciri-ciri humanistik dan rasional. Semua peristiwa dan tokoh yang diriwayatkan dalam teks pernah wujud dalam sejarah. Teks tidak mengandungi unsur metos dan lagenda serta tidak mencampur adukan fakta dengan fantasi atau khayalan penulis. Catatan peristiwa disampaikan mengikut urutan kronologi . Dengan itu, Misa Melayu adalah sebuah hasil sejarah yang merupakan sumber pensejarahan politik, sosial, ekonomi dan adat istiadat masyarakat Melayu tradisional di Perak pada abad ke-18. Dari segi politik, Misa Melayu telah memberi gambaran tentang salasilah Sultan Perak, sistem warisan takhta, perhubungan diplomatik dan perebutan kuasa yang berlaku di Perak pada abad ke-18. Teks juga membayangkan tentang stratifikasi sosial dan adat istiadat diraja Melayu pada zaman itu. Maklumat dari Misa Melayu mengenai penjualan bijih dapat membuktikan bahawa perjanjian perdagangan antara Sultan Iskandar dan V.O.C. telah ditandatangani pada tahun 1753 manakala perjanjian pada tahun 1765 adalah di antara Sultan Mahmud dengan pihak V.O.C . Berdasarkan Misa Melayu dan rekod Belanda, kita boleh buktikan bahawa penulisan Buyong Adil mengenai perjanjian perdagangan antara Sultan Iskandar dan pihak dan pihak V.O.C. adalah salah. Dengan itu , adalah jelas bahawa Misa Melayu adalah sumber sejarah Perak pada abad ke-18. Oleh sebab itulah , Misa Melayu telah digunakan sepenuhnya bersama-sama dengan rekod Belanda oleh Barbara Watson Andaya dalam bukunya Perak, the Abode of Grace . Sejarawan tempatan Fawzi Basri juga telah menggunakan Misa Melayu sebagai sumber sejarah dalam menulis Cempaka Sari. Buyong Adil dan Halim Nasir juga telah menggunakan petikan-petikan dari Misa Melayu dalam penulisan mereka. Ini mengguatkan lagi pandangan saya bahwa Misa Melayu adalah sumber sejarah yang amat bernilai darihal negeri Perak pada abad ke-18 .

1