asas kepimpinan latest edit

Upload: putra-mustaffa

Post on 12-Oct-2015

135 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

1.0 PENGENALAN Profesion merujuk kepada satu pekerjaan yang melaksanakan fungsi sosial yang penting. Untuk mencapai fungsi tersebut, tahap kemahiran tertentu dan suatu pengetahuan sistematik berasaskan teori yang dipegang oleh seseorang individu diperlukan. Pendek kata, suatu profesion ialah suatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan oleh masyarakat, menikmati autonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan (Lieberman, 1956 ). Mengikut Kamus Dewan ( 2005 ), profesion ialah pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain.Cemerlang pula ialah bersinar (bercahaya) dengan terang, gilang-gemilang.Dari kedua-dua pengertian tersebut, ia memberi makna bahawa imej profesion perguruan sama ada tinggi atau rendah, jaya atau gagal dilihat dan dinilai oleh masyarakat dari sudut peribadi para guru dan hasilnya kepada generasi pelajar. Nilaitara-nilaitara suatu profesion merupakan peraturan yang ditetapkan oleh organisasi supaya setiap ahli profesional akan mematuhinya demi mengawal kualiti dan nilaitara perkhidmatan tersebut. Secara umumnya, kita boleh menganggap bidang keguruan sebagai suatu profesion manakala guru-guru merupakan ahli-ahli profesional dalam profesion tersebut.

Konsep profesional pula merujuk kepada ciri-ciri atau atribut yang terdapat dalam kalangan kalangan ahli dalam suatu profesion. Mengikut Ornstein dan Levine (1993), terdapat empat atribut dalam suatu profesion, iaitu ahli perlu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam, kecekapan dan kepakaran dalam bidang tertentu, adanya kod etika untuk mengawal tingkah laku ahli-ahlinya serta kebenaran/persetujuan diberi kepada suatu profesion oleh masyarakat untuk beroperasi.

Berdasarkan atribut di atas, seorang profesional perlu menguasai pengetahuan yang mendalam seperti mana guru melalui pendidikan formal hingga ke tahap sarjana muda, sarjana dan doktor fasafah. Satu standard yang ditetapkan untuk seseorang guru memperoleh latihan keguruan dalam subjek penkhususan sebelum diiktiraf sebagai profesional. Tambahan pula, profesion keguruan mempunyai kod etika untuk mengawal tingkah laku mereka dan kod etika ini merupakan pegangan dan panduan seorang guru semasa berkhidmat dalam profesion keguruan.

Dalam usaha mengejar dan mencapai kecemerlangan pendidikan , kepimpinan Guru Besar sering dilihat sebagai fokus utama. Dapatan-dapatan yang ditemui dalam penyelidikan tentang keberkesanan sekolah juga menunjukkan penentu utama bagi kejayaan sesebuah sekolah adalah kepimpinan yang ditunjukkan oleh Guru Besar. Ini bererti bahawa Guru Besar sering dilihat sebagai punca masalah atau sebagai penyelesai masalah atau pemangkin dalam pelaksanaan program pendidikan ke arah merealisasikan sekolah yang cemerlang

Dalam konteks pendidikan, Campbell (1983) menyatakan kepimpinan ialah satu proses bagi seorang Guru Besar mendapatkan kerjasama kakitangan ke arah penyempurnaan matlamat tertentu.

Kepimpinan merupakan suatu keperluan dalam membina kekuatan organisasi terutama dalam memimpin organisasi kearah menuju dan mencapai matlamat yang ingin dicapai bersama. Kepimpinan membawa banyak pengertian bergantung kepada kesesuaian dan keperluannya. Walaupun kepimpinan adalah sesuatu yang kompleks untuk ditakrifkan, namun ia membawa kepada suatu persamaaan dari segi konteksnya iaitu sebagai suatu proses, pengaruh,kerja sepasukan, serta penentu matlamat. Ini bermaksud bahawa kepimpinan itu adalah suatu proses dimana individu itu (pemimpin) mempengaruhi orang lain bagi mencapai matlamat bersama. Dalam konteks pengurusan sekolah atau pendidikan amnya, kepimpinan adalah berhubung rapat dengan keberkesanan sekolah. Sekolah yang berkesan adalah dihasilkan melalui kepimpinan yang cekap dan berkualiti (Alimuddin, 2006).

2.0 TEORI KEPIMPINAN

Rajah 1: Teori kepimpinan

2.1 Teori TraitManusia berbeza dalam pelbagai bidang seperti kebergantungan, kebimbangan, sikap agresif dan proses sosialisasi. Setiap individu memiliki trait masing-masing. Memang trait tidak dapat ditentukan pada diri seseorang tetapi dapat difahami daripada

tingkah laku seseorang. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu suka bersosial dan memiliki ramai kawan, kita simpulkan sebagai mempunyai trait sosial. Trait personaliti dianggap sebagai stabil dalam tempoh masa yang panjang, dianggap konsisiten dalam situasi tertentu dan perbezaan personaliti individu adalah hasil daripada kekuatan dan campuran trait (Guilford, 1959). Trait dapat dikategorikan kepada tiga iaitu trait kardinal, trait pusat dan trait secondary (Allport, 1961,1966). Trait kardinal mempengaruhi tingkah laku seseorang. Sebagai contoh orang yang bersikap keakuan memiliki tanda-tanda yang berkaitan dengan traitnya. Trait berpusat biasanya dapat dilihat pada tingkah laku seseorang. Seseorang individu yang bersifat agresif akan menunjukkan sikap agresifnya pada situasi yang provokatif sahaja.

Thomas Carlyle(1795-1881) mengemukakan the Great Man Theory yang menganggap pembangunan di dunia adalah hasil pencapaian orang-orang masyhur di dunia. Gordon Willard Allport (Nov.11,1897-Oct.9,1967) pula adalah antara pemikir terawal yang mengutarakan Teori Trait. Teori ini menyatakan bahawa seorang pemimpin itu memiliki peribadi dan karakter yang berbeza dengan kebanyakan orang.

Sebagai contohnya, seseorang pemimpin itu mempunyai kelebihan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling secepat mungkin,kepekaan sosial, seorang yang bercita-citatinggidanbesar ,berpandangan jauh,kreatif dan inovatif ,mempunyai keinginan mendominasi, energetik, yakin dengan dirinya sendiri,kalis daripada tekanan dan sedia memikul tanggungjawab.

2.2 Teori Tingkah lakuTiga kajian yang meneliti tingkah laku kepemimpinan:

a) Kajian University of Iowa

Dapatan kajian Universiti Iowa yang dikaji oleh Kurt Lewin, Ronald Lippitt dan Robert K.White. Terdapat tiga gaya kepimpinan iaitu:

Kepemimpinan AutoritarianPemimpin bersifat mengarah dan penglibatan surbodinat dalam membuat keputusan adalah minimum

Kepemimpinan demokratik

Pemimpin menggalakkan perbincangandan pembuatan keputusan bersama.

Kepemimpinan laissez-fairePemimpin memberikan kebebasan penuh kepada surbodinat untuk membuat keputusan secara bersendirian.

b) Kajian Ohio State University yang dikaji oleh Ralph M.Stogdill dan Alvin E.Coons, mereka menggunakan instrument soal selidik berjudul Leader Behavior Description Questionaire (LBDQ) untuk mengkaji tingkah laku kepemimpinan.Analisis dilakukan dan dua dimensi tingkah laku yang menonjol telah dikenalpasti:

a) Initaiting Struktur (Pengdayautamaan Struktur)

b) Consideration (Pertimbangan)

Pemimpin yang memperlihat pengutamaan struktur tinggi dan timbang rasa tinggi menghasilkan kepuasan dan prestasi tinggi.

c) Kajian yang diketuai oleh Rensis Likert di University of Michigan telah mengenalpasti dua gaya tingkah laku kepimpinan iaitu:

a) Production-centered leadership (Kepemimpinan berpusatkan hasil/output)

b) Employee-centered leadership (Kepemimpinan berpusatkan pekerja)

- Kepemimpinan Production centered hamper sama dengan pendayautamaan struktur.

Kepemimpinan Employee-centered pula sama dengan yang mengorientasikan timbang rasa.

Kajian awal menunjukkan pemimpin yang memperlihat gaya employee-centered

lebih berkesan.Namun kajian-kajian susulan menunjukkan bahawa pemimpin yang berkesan didapati memperlihatkan skor yang tinggi pada kedua-dua dimensi. Jika dibandingkan dengan dapatan kajian Ohio, Kajian Michigan didapati kurang konsisten. Oleh itu kajian Ohio lebih digemari oleh penyelidik selepas itu.

2.3 Teori X dan Teori Y Teori X danTeoriY ialah teori motivasi manusia yang dicipta dan dibangunkan oleh Douglas McGregor (1960)melalui bukunyaThe Human Side Enterprise. Teori ini mengemukakan strategi kepemimpinan efektif dengan menggunakan konsep pengurusan berpenyertaan. Konsep ini terkenal dengan menggunakan anggapan-anggapan sifat dasar manusia. Pemimpin yang menyukai teori X cenderung menyukai gaya kepemimpinan melalui kuasa dan sebaliknya, seorang pemimpin yang menyukai teori Y lebih menyukai gaya kepemimpinan demokratik.

Sebagai contoh, karyawan yang memiliki jenis teori X adalah karyawan dengan sifat yang tidak akan bekerja tanpa perintah,sebaliknya karyawanyang memiliki jenis teori Y akan bekerja dengan sendirinya tanpa perintah atau pengawasan dari atasannya. JenisY ini adalah jenis yang sudah menyedari tugas dan tanggungjawab pekerjaannya.

Rajah 2 : Teori X dan Teori Y

2.4 Teori SituasiPemimpin mempelbagaikan stail kepimpinan mengikut kemahiran atau kemampuan dan kesungguhan pengikut dalam organisasi. Ia juga mengambil kira kontingensi situasi seperti kematangan pengikut. Kematangan merujuk kepada tahap keupayaan dan persediaan seseorang pengikut menyempurnakan sesuatu tugas iaitu meliputipengetahuan, kemahiran dan kepakaran teknikal, keyakinan diri, komitmen, motivasidan harga diri berhubung dengan sesuatu tugas.Mengikut teori kepimpinan situasi semakin matang tahap perkembangan pengikut, semakin tingi tahap penguasaan kemahiran dan pengetahuan di dalamsesuatu tugasan, semakin tinggi tahap komitmen pengikutnya, pemimpin seharusnya mengurangkan stail kepimpinan yang berteraskan arahan tugasan dan penyeliaan yang ketat kepada stail yang berorientasikan hubungan dengan pengikut iaitu memberi sokongan (supporting) . Akhirnya apabila tahap perkembangan pengikutnyasangat tinggi dan matang bukan sahaja dalam disiplin tugasnya bahkan dalam aspek psikologi pemimpin haruslah mendelegasi. Kesimpulannya dapatlah ditegaskan bahawa kepimpinan situasi ialah suatu proses mempengaruhi aktiviti individu ataukumpulan supaya dapat mencapai matlamat dalam sesuatu situasi tertentu.

Seorang pemimpin situasi itu perlu meneliti keseluruhan orang bawahannya, mendekati pekerjanya dalam setiap tugasan yang diberi, memilih stail kepimpinan , berbincang dengan orang bawahannya dalam situasi yang berbeza dan kemudiannya melaksanakan perancangan secara bersama.Dalam tahun 1969 Paul Hersay dan Ken Blanchard, telah membangunkan model kepimpinan situasi berteraskan kepada dua konsep iaitu gaya atau stail kepimpinandan tahap perkembangan pengikut.

2.5 Teori KontinjensiTeori Kontinjensi berkait rapat dengan Teori Situasi. Joan Woodward (1958) melalui Contigency Theory mengatakan bahawa tahap efektif seseorang pemimpin itu berorientasikan tugasannya (taskoriented) dan mungkin juga berorientasikan hubungan dengan orang bawahan yang dipimpinnya (relation oriented). Ianya bergantung kepada tuntutan terhadap situasi, kehendak serta keperluan semasa.

Fiedler (1967) yang mengemukakan Teori Kontinjensi menyatakan bahawa sesuatu gaya kepemimpinan mungkin berkesan bergantung kepada situasi dan tertakluk kepada orientasi psikologi pemimpin dan tuntutan persekitaran iaitu:-

Rajah 3: Psikologi pemimpin dan tuntutan persekitaran

Keberkesanan kepemimpinan bergantung kepada kesepadanan dua pembolehubah iaitu gaya kepemimpinan dan tahap sokongan persekitaran.

2.6 Teori Kepimpinan MoralEmile Durkheim (1925) ,mengemukakan ,moral dilihat secara teori maupun praktik. Secara teorinya,moral merupakan sistem intrinsik ketahanan manusia dalam hubungan dengan orang lain. Ianya termasuk kemampuan memaksadiri untuk berperilaku dan berbuatbaik,sehingga pada akhirnya menciptakan situasiyang kondusif bagi terciptanya kesatuan masyarakat. Secara praktis pula, moral merupakan syarat mutlak terciptanya suatu bangsa yang sihat dan survive serta membangun.

Sergiovanni (1974,1992) mengutarakan bahawa Kepemimpinan Moral(MoralLeadership)adalah berasaskan nilai,prinsip dan etika. Sergiovanni (1992) mengemukakan,kepemimpinan moral jauh lebih efektif dan efisien dibandingkan dengan kepemimpinan tradisional. Jika moral telah menjadi keutamaan pemimpin dalam setiap tindakan individu,seseorangitu akan melakukan yang terbaik, sama ada terdapat orang lain yang mengawasinya atau tidak.

2.7 Teori TrasformasiTeori Transformasional (TransformationalTheory) yang diketengahkan oleh Burn,(1978) &Bass, (1985) menyatakan teori ini bertujuan memotivasikan orang bawahan bekerja demi mencapai sasaran organisasi dan memuaskan kehendak mereka pada tahap yang lebih tinggi. Antara lain ianya juga melibatkan:i) Meningkatkan dorongan dan kesedaran bagi mencapai sasaran/target.

ii) Mendahulukan kepentingan kelopok.

iii) Meningkatkan kehendak orang bawah disebabkan tekanan yang dicipta

2.8 Rumusan TeoriKepimpinan wujud dalam apa jua aktiviti yang disusun secara rapid dan sistematik. Kepimpinan juga berkait secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti dalam organisasi. Kepimpinan mempunyai perkaitan rapat dengan kuasa. Setiap ketua perlu memiliki perancangan sendiri yang mantap. Kepimpinan mengandungi tugas-tugas serta fungsi seperti menetapkan matlamat, menyusun, mengarah dan menyelaras, dan mengawal bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Kepimpinan yang berkesan dapat memberi kepuasan kepada pengikut dan keadaan ini akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh sehingga objektif organisasi tercapai.tekanan dan hukuman hanya dapat meningkatkan produktiviti dalam jangka masa pendek,tetapi dalam jangka masa panjang pekerja akan menimbulkan reaksi negatif dan melahirkan rasa tidak puas hati dan bersikap menentang. Perbincangan perlu dan membuka peluang kepada subordinate untuk mengemukakan idea-idea baru kepada sesuatu perancangan yang dibuat merupakan langkah yang baik bagi pemimpin untuk meningkatkan kepuasan bekerja. Pengikut atau orang bawahan akan lebih terdorong untuk bekerja kuat dan berdedikasi.

Teori-teori berkaitan kepimpinan corak dunia pendidikan banyak mengutarakan konsep-konsep baru. Majority konsep ini datangnya dari dunia barat dengan konteks dan budaya berbeza. Satu demi satu konsep ini mula ditinggalkan, dan akhirnya ramai menganggap kedatangan konsep baru hanyalah merupakan retorik pemimpin semasa. Kita perlulah berhati-hati dalam mengamalkannya.3.0 APLIKASI TEORI PENGURUSAN DI SEKOLAH

Secara amnya pemimpin lebih dikenali apabila mempunyai pengikut mahupun penyokong kepada usaha ataupun apa-apa sahaja rancangan dan gerakannya. Terdapat beberapa definisi kepimpinan menurut beberapa pakar yang mengkaji bidang ini. Abdul Halim Othman (1993) mengemukakan definisi kepimpinan sebagai suatu percubaan untuk pengaruh mempengaruhi antara peribadi, yang diarahkan melalui proses komunikasi, menuju pencapaian satu matlamat atau beberapa matlamat. Proses ini akan memperlihatkan adakah seseorang mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi orang lain yang disalurkan melalui perkataan (komunikasi) untuk mencapai matlamat sebenar yang ingin dicapai.

Melalui pengalaman saya berpraktikum selama tiga fasa di sekolah yang berbeza di daerah Besut, saya telah membuat satu analisis tentang gaya kepimpinan yang diamalkan oleh pihak pentadbiran sekolah.

Rajah 4: Aspek kepimpinan Guru BesarSaya amat tertarik dengan aspek kepimpinan yang ditunjukkan Guru Besar semasa menjalankan praktikum fasa ketiga dan internship . Aspek kepimpinan Guru Besar meliputi perancangan, pengelolaan, pengarahan dan juga pengawalan.

Melalui aspek perancangan, Guru Besar lazimnya akan menentukan matlamat jangka panjang dan matlamat jangka pendek dan kaedah-kaedah untuk mencapainya. Banyak perancangan yang telah dirancangkan oleh Guru Besar di sekolah saya itu. Guru Besar juga menentukan polisi-polisi mengenai ujian dan peperiksaan serta menggunakan data-data untuk perancangan dan tindakan susulan. Pengelolaan yang berkesan akan meningkatkan penyempurnaan perancangan dan membantu mencapai matlamat organisasi sekolah.Pengarahan bermaksud bagaimana seseorang pentadbiran dan pengurusan sekolah memberikan tugas dan mempengaruhi kakitangan bawahannya dan mendapatkan kerjasama mereka bagi menjalankan tugas mereka. Jika seorang pemimpin itu tidak tegas dalam pengarahan mereka, orang bawahan akan melakukan tugas mereka dengan sambil lewa.

Pengawalan ditakrifkan sebagai proses untuk menentu dan menjamin agar kegiatan pekerja terarah kepada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Guru Besar perlu mengawal supaya prestasi guru-guru dan kakitangannya tidak terkeluar daripada garis perancangan.

Pada pandangan saya Guru Besar lebih dominan menggunakan teori Transformasi. Kepimpinan adalah proses mempengaruhi pemimpin dan pengikut untuk mencapai objektif organisasi melalui perubahan yang dilakukan. Seorang pengurus sekolah yang profesional tahu cara untuk mempengaruhi pengikutnya agar supaya dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Kepimpinan amat perlu dalam membina dan membangunkan sesebuah organisasi.Keberkesanan sesebuah sekolah, komitmen dan produktiviti guru banyak bergantung kepada kemahiran kepemimpinan guru besar. Pemimpin yang berkesan dalam organisasi adalah pemimpin yang bersifat terbuka, menerima pandangan kakitangan bawahan, sentiasa mendapatkan maklumat yang benar dan tepat bagi melaksanakan sesuatu tindakan, berkemahiran, bertanggungjawab dan sering mewujudkan suasana yang selesa dalam organisasi.

Keberkesanan kepemimpinan kini diukur berdasarkan kemampuan pemimpin untuk mengubah tingkah laku kepemimpinan dan mengurus sekolah dalam pelbagai konteks dan situasi (Bolman & Granell, 1999). Menurut Yukl dan Lepsinger (2004), kepimpinan sumber manusia dapat melahirkan pekerja yang berinovasi dan bermotivasi, mempunyai kepuasan kerja dan tahap komitmen yang tinggi. Hal ini berlaku kerana keperluan yang diperlukan oleh pekerja telah dipenuhi oleh pemimpin. Jika keperluan asas guru seperti pujian dan galakan, penghargaan serta peluang meningkatkan kompetensi seperti Latihan dalam Perkhidmatan diadakan sudah pasti guru akan berada pada tahap motivasi yang tinggi.

Musa (2002) menyatakan kualiti kepimpinan yang tinggi sangat penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah dalam menghasilkan generasi yang berkualiti. Kemajuan sekolah lazimnya dikaitkan dengan guru besar yang baik serta pembelajaran pelajar bergantung kepada kepimpinan yang baik di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku (Shahril 2000; Peter Neil et al. 2001). Kajian-kajian yang telah dilakukan mendapati gaya kepimpinan yang diterapkan oleh pemimpin sekolah mempunyai impak yang besar terhadap kepuasan kerja seseorang guru (Sweeney, 1982; Patrick 1995;Hipp, 1966; Lunenberg & Ornstein, 2000)

Kejayaan sesebuah sekolah berkait rapat dengan faktor kepemimpinan pengetua. Guru besar memainkan peranan yang penting seperti melaksanakan penyeliaan, pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, penyeliaan ke atas kerja-kerja pelajar, program bacaan, program latihan dalam perkhidmatan kepada guru-guru, program penilaian berasaskan sekolah dan program kokurikulum. Semua program ini bermatlamat untuk melahirkan pelajar yang berkualiti, iaitu berilmu, bermoral, berkemahiran tinggi, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Untuk merealisasikan semua matlamat tersebut,Guru Besar disifatkan sebagai individu yang bertanggungjawab, merancang dan memimpin sekolah supaya berfungsi dengan lebih teratur dan berkesan. Walau bagaimanapun,Guru Besar di sekolah saya masih menghadapai pelbagai rintangan dalam usaha dalam memajukan sekolahnya. Beliau merupakan seorang Guru Besar yang baru disekolah itu. Di antara rintangan yang sering dihadapi oleh guru besar ialah terdapat guru-guru yang telah lama berkhidmat tidak mahu menerima perubahan, tidak boleh menerima nasihat dan kritikan, guru malas, tiada semangat kekeluargaan, tidak bertolak ansur, bersikap negatif dan sebagainya. Selain itu terdapat juga kerani yang tidak mahu mengikut arahan Guru Besar. Semua ini merupakan kelemahan kepemimpinan pengetua dalam memimpin sekolah.

Para sarjana pendidikan (Fullan 2001; Deal &Peterson 2000; Abdul Shukor 2004) mendedahkan terdapat beberapa kelemahan dalam kepemimpinan Guru Besar yang boleh mengendalikan pengurusan sekolah. Sebagai contoh, amalan kepemimpinan guru besar yang sentiasa merujuk kepada model birokratik menyebabkan mereka kabur tentang peranan mereka sebagai pemimpin yang perlu menjana komitmen guru di sekolah.Guru merupakan komponen teras dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar dan kejayaan sekolah. Oleh demikian guru berkualiti menjadi fokus utama dalam membangunkan profesion perguruan (Amin Senin 2005; Fullan 2007). Maka adalah menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah membangunkan staf mereka berasaskan sekolah.

Bass (1985) pula menyatakan bahawa seorang pemimpin transformasi boleh memainkan peranannya sebagai guru, mentor, jurulatih, pejuang perubahan dan pejuang revolusi. Beliau menegaskan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hadirnya Guru pemimpin transformasi di sekolah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Ciri kepemimpinan transformasi itu sendiri yang kondusif untuk diaplikasikan di sekolah dan faktor perubahan yang menuntut kepemimpinan sedemikian wujud di sekolah. Dalam bidang pendidikan kajian Leithwood (1992) mendapati bahawa pemimpin transformasi di sekolah memberikan penekanan untuk mencapai tiga matlamat utama iaitu membantu guru membentuk, memperkembang dan juga mengekalkan budaya kerja profesional dan semangat bekerjasama, memupuk perkembangan professional guru dan membantu guru menyelesaikan masalah secara efektif. Pengetua yang mengamalkan gaya kepemimpinan transformasi akan memberi peluang kepada guru untuk terlibat dalam membuat keputusan.

Wilson (1982) dalam kajiannya mendapati bahawa pengetua yang efektif mempunyai ciri-ciri pemimpin transformasi. Beliau mendapati bahawa pengetua efektif ialah pengetua yang memberi kebebasan kepada guru dari sudut untuk berkreativiti, menjadi pendengar yang baik, menetapkan matlamat yang mampu dicapai, bersifat terbuka, yakin dan percaya dengan keupayaan setiap guru dan juga menjadi role model yang baik dan berkesan.

Selain itu, Guru Besar saya juga mengambil berat berkaitan ciri-ciri kemanusiaan para guru yang berada di bawahnya dan menganggapnya sebagai individu yang perlu dijaga olehnya. Aspek kemanusiaan memerlukan seseorang pemimpin itu menghormati dan memahami sebarang perbezaan antara individu dan menghargai sumbangan guru-guru walaupun sekadar pujian di samping sentiasa memberi perhatian dan sokongan kepada mereka. Perubahan yang ingin dicapai dalam kepimpinan ini asasnya adalah perubahan dari dalam diri seseorang itu yang hanya dapat dicetuskan dengan ciri-ciri pemimpin dinamik transformasional.

Guru Besar sebagai pemimpin transformasi merupakan seorang guru yang dapat menggerakkan tahap motivasi, meningkatkan kesedaran diri serta mempengaruhi murid dan rakan setugas untuk melaksanakan tugasan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Perhubungan antara guru dengan murid serta dalam kalangan staf yang lain adalah pada tahap yang mesra, jitu dan akrab.

Kepimpinan transformasi guru memperlihatkan iltizam yang tinggi dalam usahanya supaya warga sekolah menerima tanggungjawab dan akauntabiliti yang dipersetujui bersama serta menjana tahap motivasi dan nilai moral yang terpuji.

4.0 KERELEVANAN TEORI DENGAN KEPERLUAN KEPIMPINAN MASA KINI

Menurut Ishak Shin (2002) Kepimpinan Transformasi merupakan gaya kepimpinan yang digemari oleh Guru Besar dan Pengetua serta pegawai-pegawai di jabatan-jabatan Pendidikan Daerah. Hal ini kerana pemimpin yang mengamalkan kepimpinan transformasi berjaya mengubah sikap orang yang dipimpin, iaitu dari sikap mementingkan diri sendiri kepada sikap kerjasama(J.M Burns 1978).

Selain itu, kepimpinan transformasi lebih bertepatan dengan peranan Guru Besar sebagai pemimpin, iaitu membuat perubahan kepada organisasi dan dalam masa yang sama mengubah sikap, cara berfikir dan tingkah laku guru-guru (Laithwood,1992).

Seseorang pemimpin yang prihatin mestilah mengambil berat tentang sesuatu perkara yang berlaku. Sebagai contoh sekiranya seseorang guru mengalami masalah dalam pengurusan kelas tercorot, Guru Besar boleh mencadangkan supaya guru tersebut menghadiri kursus atau seminar yang berkaitan. Banyak seminar dan kursus telah dijalankan bagi memastikan murid kelas tercorot mendapat bimbingan yang sewajarnya. Apabila seseorang pemimpin prihatin kepada perkara sekeliling dan tidak hanya goyang kaki di pejabat,

Seseorang pemimpin transformasi akan menggubal visi yang tepat dan jelas serta mudah difahami oleh semua warga sekolah. Contohnya beliau memberitahu untuk melaksanakan Program 3K di sekolah dan berhasrat untuk memenangi pertandingan tersebut di peringkat negeri pada tahun hadapan. Apabila faham, barulah guru-guru dapat memikirkan sendiri peranan yang dapat mereka mainkan bagi mencapai visi tersebut. Apabila visi itu berjaya nanti, mereka akan berasa puas hati terhadap sumbangan masing-masing.

Kepimpinan adalah pengisian ruang di antara keperluan dan kebolehan pihak-pihak di peringkat bawah (subordinates) serta matlamat dan kehendak organisasi (James G. Hunt and Richard N. Osborn, 1980). Cribbin (1981) pula menyatakan bahawa kepimpinan yang berjaya ialah kepimpinan yang boleh memobilisasikan atau menggerakkan tingkahlaku pihak lain seperti yang dikehendaki oleh pengurus. Kepimpinan yang berkesan ialah kepimpinan yang merealisasikan hasrat (intentions) pengurus dan memenuhi keperluan pekerja.Selain daripada visi, pemimpin transformasi juga perlu menggubal srategi bagi mencapai visi yang telah dimaklumkan kepada guru-guru. Beliau hanya perlu memberitahu guru-guru jalan utamanya sahaja dan merangsang intelektual guru-guru bagi mencadangkan srategi yang boleh dilaksanakan. Dengan cara ini guru-guru berpeluang menyumbang idea masing-masing bagi menceriakan kawasan sekolah seperti mengadakan sudut-sudut tertentu, mural, taman dan sebagainya serta cara perlaksanaannya. Hasilnya, mereka berasa mempunyai tempat dalam hal-hal yang penting dan dipercayai untuk membuat sesuatu keputusan.

Manusia adalah insan yang lemah dan selalu terlupa. Oleh itu mereka sentiasa perlu diingatkan tentang misi dan visi yang dikongsi dan hendak dicapai bersama-sama. Pemimpin tranformasi akan sentiasa memberi motivasi kepada guru-guru dengan meniup semangat juang bagi merealisasikan visi dan misi tersebut.

Selain itu, pemimpin transformasi adalah seorang yang bertimbang rasa secara individu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bukan semua guru di sesebuah sekolah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam sesuatu bidang. Oleh itu, Guru Besar sebagai seorang pemimpin akan membimbing guru-guru yang bersemangat untuk mengadakan sesuatu bagi mencapai visi tetapi kurang tahu caranya. Contohnya bagaimana untuk mencari penaja bagi menjayakan salah satu aktiviti program 3K tadi.Pemimpin transformasi juga adalah role model kepada semua guru. Untuk itu beliau tidak hanya bercakap sahaja tetapi perlu menjadi teladan kepada guru-guru lain. Contohnya apabila menjalankan sesuatu aktiviti yang telah dirancang seperti gotong royong membersihkan kawasan sekolah, beliau juga perlu turun padang bersama-sama guru-guru yang lain. Apabila kita inginkan orang bawahan sanggup berkorban, kita juga perlu memulakan pengorbanan itu.

Selain itu, setiap kejayaan yang mengarah kepada pencapaian visi mestilah diraikan sama ada secara formal atau tidak formal. Ganjaran adalah salah satu faktor yang dapat mencipta hubungan positif antara Guru Besar dan guru-guru. Menurut Abraham Maslow, pakar psikologi terkenal, manusia mempunyai harga diri dan maruah yang mesti dimuliakan. Perbuatan meraikan kejayaan sangat berguna bagi memperteguhkan lagi keyakinan diri, azam, tekad dan komitmen guru-guru untuk terus bekerja kuat mencapai visi yang ditetapkan.

Guru Besar berkepimpinan transformasi mampu merangsang guru-guru lain bersama-sama menghayati nilai ideologi dan visi kea rah menzahirkan wawasan sekolah. Disamping itu, Guru Besar menunjukkan dan menonjolkan imej pemimpin yang dapat menjadi sumber inspirasi kepada orang lain untuk dijadikan ikutan.

Pemimpin Transformasi masih lagi relevan dengan keperluan kepimpinan masa kini kerana pemimpin transformasi menetapkan harapan untuk mendapatkan pencapaian yang tinggi melalui motivasi, amalan hidup pemimpin itu sendiri dan bimbingan yang berterusan. Kepimpinan transformasi menjana permuafakatan, menggalakkan kerja kolaboratif, memperjelas kepentingan kerja berpasukan sehingga berjaya menghasilkan sesuatu yang menjangkaui kemmapuan diri.

Pemimpin Transformasi mempamerkan keprihatinan, menghormati keunikan, dan mempelbagai kebolehan individu untuk berkembang ke arah pencapaian potensi tinggi. Pemimpin Transformasi memberikan penekanan kepada prestasi cemerlang dan ganjaran kontinjensi diberikan atas usaha-usaha bemerlang yang ditunjukkan. Pemimpin transformasi tidak bertujuan mengekalkan status quo atau struktur yang sedia ada tetapi bertindak mengubah sikap, nilai dan pemikiran ahli ketahap yang lebih tinggi.

Kajian-kajian yang dilaksanakan mengenai gaya kepimpinan pengetua menunjukkan bahawa gaya kepimpinan transformasional (Chan, 2004), apabiladiaplikasikan oleh pengetua dapat meningkatkan amalan pengajaran dan pembelajaransecara berkesan di sekolah.

Chan (2004) mendapati bahawa gaya kepimpinan transformasional membantu para pentadbir ke arah menggalakkan perkembangan pembelajaran pelajar melalui program - program pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Kajian Mohd Nor (2004) pula jelas menunjukkan bahawa terdapat perubahan kepada pengajaran dan pembelajaran melalui gaya kepimpinan pengajaran. Cara Guru besar memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para murid yang berjaya dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum membuktikan bahawa sekolah yang berkesan dari sudut pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan.Seorang pengetua yang mempunyai kemahiran dalam pemimpin pengajaran boleh membawa perubahan dalam pengajaran guru dan pembelajaran para muridnya.

Chan (2004) mendapati bahawa gaya kepimpinan transformasional yang diamalkan oleh pengetua cuba memenuhi keperluan perkembangan potensi kakitangan apabila beliau dapat mengenal pasti keperluan pengikut dan sentiasa cuba meningkatkan keperluan pengikut ke peringkat motivasi dan kematangan yang lebih tinggi. Amalan pengetua ini juga berupaya membentuk keazaman diri dan kemampuan mendorong seluruh warga organisasinya melaksanakan inovasi dalam pendidikan dan mempunyai inisiatif untuk melakukan perubahan.

Mohd Anuar (2004), Mohd. Nor (2004), Maimunah (2004), Nordin (2004) dan Chan (2004) bersetuju bahawa gaya kepimpinan pengetua memberi kesan terhadap pemantapan pengurusan sekolah. Gaya kepimpinan transformasional adalah gaya yang dinyatakan memberi kesan positif terhadap pemantapan pengurusan sekolah.Kecemerlangan organisasi banyak di pengaruhi oleh elemen-elemen seperti guru dan murid, struktur pentadbiran sekolah, teknologi pendidikan dan persekitaran sekolahyang sihat. Pengetua yang mengamalkan gaya pemudah cara sentiasa mengemaskinielemen-elemen tersebut, menyediakan spesifikasi kerja yang baru, mengatasi apa jua konflik yang dihadapi dan mengadakan perancangan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran sekolah (Mohd Anuar, Azizi & Mohd Yusope, 2004).

Kajian terhadap amalan gaya kepimpinan transformasi dalam kalangan pengetua juga mendapati bahawa pengetua dapat mengenal pasti keperluan pengikut dansentiasa cuba meningkatkan keperluan pengikut ke peringkat motivasi dan kematanganyang lebih tinggi. Pada masa yang sama juga, pengetua cuba memenuhi keperluan perkembangan potensi kakitangan (Chan, 2004).

Seterusnya, dalam beberapa kajian lain mengenai kepimpinan Transformasi mendapati terdapat pengaruh ke atas usaha gigih dan kepuasan orang bawahan(Yammarino & Bass 1990), keberkesanan organisasi (Seltzer & Bass 1990), prestasi kerjaorang bawahan (Avolio et al.1988). Selain itu, hasil kajian Hoernemann (2000) danJackson (2000) dalam Ishak Din (2003), juga mendapati kepimpinan transformasi boleh mempertingkatkan kepuasan orang bawahan. Podsakoff et al. (1996 dalam Ishak Din,2003), melaporkan bahawa kepimpinan transformasi mempunyai pengaruh yang kuat keatas kepuasan kerja orang bawahan dan komitmen orang bawahan kepada organisasi.

5.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN TERHADAP TEORI YANG DIPILIH

Walau apa teori pun tidak semudah seperti yang diperkatakan oleh teori itu. Penentu kepada kejayaan bukan hanya satu sahaja, tetapi kesemuanya adalah berasaskan kepada kebijaksanaan Guru Besar dan peka dengan keadaan sekelilingnya. Mencari punca sesuatu masaalah dan menyelesaikan berasaskan kepada punca-punca itu adalah penting.

Pada pendapat saya, sekiranya Teori Transformasi akan menjadi lebih berkesan sekiranya ketua ataupun pemimpin dapat mengetaui keinginan orang bawahan. Hal ini akan memberikan kesan yang lebih baik terutamanya dalam mencapai sesuatu matlamat yang ditetapkan. Selain itu, imbuhan atau ganjaran perlu diberikan kerana hal ini akan memotivasikan pengikut supaya lebih menjadi produktif dan bersemangat untuk melakukan kerjanya.

Teori Transformasi juga akan menjadi lebih baik sekiranya pihak pemimpin dapat menjaga kepentingan orang bawahan. Sebagai contoh sekiranya seseorang pengikut dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan cemerlang, pemimpin perlu merancang sesuatu supaya dapat memberi penghargaan kepada yang telah bertungkus lumus menyiapkan dan melaksanakan tugasan tersebut. Tidak perlu berlebih-lebihan akan tetapi rasa penghargaan dan ganjaran setimpal dengan usaha yang telah mereka lakukan.

Bagi mengukuhkan lagi Teori Transformasi ini penggunaan Teori Transaksional juga perlu digunakan bersama dengan Teori Transformasi oleh seorang pemimpin. Teori Transaksional ialah teori yang berfokus kepada pengarahan atau hubungan komunikasi. Jika seorang pemimpin itu hanya merancang sesuatu yang baik tetapi tidak tegas dalam member arahan kepada orang bawahanya, ini menyebabkan orang bawahanya akan melakukan tugas mereka dengan sambil lewa. Ini menunjukkan bahawa Teori Transformasi dan Teori Tranksaksional perlu dijadikan panduan oleh seorang yang bergelar pemimpin agar perubahan yang hendak dilakukan akan tercapai.

6.0 RUMUSAN

Seseorang pemimpin yang berkesan dalam konteks sekolah adalah seorang yang dapat memperoleh dan mengekalkan pencapaian pelajar. Ini bermakna bahawa pencapaian sesebuah sekolah mestilah memenuhi objektif ataupun ekspektasi stakeholders. Peranan guru besar adalah menyediakan asas yang kukuh dan persekitaran yang kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu guru besar harus bijak memilih stail kepimpinan mereka bagi membuat perubahan.

Menurut kajian Ishak ( 2001 ), kepimpinan transformasi dikatakan salah satu kepimpinan yang baik dan boleh mempengaruhi subordinat. Kepimpinan ini berusaha menjajarkan nilai dan norma organisasi, dan apabila perlu, menyedia dan melakukan perubahan dalaman dan luaran.

Kepimpinan adalah proses di mana individu mempengaruhi ahli kumpulan lain bagi mencapai matlamat kumpulan atau matlamat organisasi. Pengurusan dan kepimpinan pendidikan yang berkualiti, berwibawa dan berkesan akan dapat menggerakkan anggota-anggota sekolah melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi ke arah mencapai aspirasi dan objektif-objektif yang telah ditentukan. Kajian ini menekankan bahawa kepimpinan sangat mustahak bagi menentukan kejayaan organisasi malah mungkin faktor terpenting yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan organisasi.

Secara umumnya, kepimpinan transformasi dianggap oleh subordinat sebagai pemimpin yang boleh memberi kepuasan kepada mereka. Ini menyebabkan organisasi atau sekolah menunjukkan prestasi yang tinggi. Selain itu, subordinat kepimpinan transformasi dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh kerana bangga terhadap pemimpin dan organisasi mereka.

Kepimpinan transformasi merupakan seorang pemimpin yang mempunyai sifat-sifat dan tingkah laku unggul, berupaya membangkitkan inspirasi orang bawahan, berkebolehan merangsang intelektual subordinat dan mempunyai sifat-sifat bertimbang rasa. Pemimpin ini berupaya membangkit dan mengekalkan komitmen dan kepuasan subordinat.

7.0 REFLEKSI

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya saya berjaya menyiapkan tugasan kerja kursus Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional (EDU 3108) dengan jayanya. Ketika pertama kali mendapat tugasan ini, saya kurang faham dengan kehendak soalan tetapi setelah beberapa kali berjumpa dengan pensyarah pembimbing iaitu Dr Mohd Sidek Bin Said , beliau telah banyak memberi panduan dan tunjuk ajar sehingga saya benar-benar faham apa yang dikehendaki soalan tugasan. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang pensyarah bimbingan yang sangat berdedikasi dan memahami .

Saya telah mempelajari bahawa keberkesanan sesebuah sekolah, komitmen dan produktiviti guru banyak bergantung kepada kemahiran kepemimpinan Guru Besar. Pemimpin yang berkesan dalam organisasi adalah pemimpin yang bersifat terbuka, menerima pandangan kakitangan bawahan, sentiasa mendapatkan maklumat yang benar dan tepat bagi melaksanakan sesuatu tindakan, berkemahiran, bertanggungjawab dan sering mewujudkan suasana yang selesa dalam organisasi.

Ketika memulakan tugasan ini, saya mengalami banyak masalah terutamanya dalam memahami Teori Kepimpinan. Terdapat banyak teori kepimpinan yang terdapat dalam kepimpinan. Antaranya ialah Teori Trait, Teori Tingkahlaku ,Teori Situasi ,Teori Kontinjensi, Teori Kepimpinan Moral, Teori Transformasi. Hal ini kerana saya belum lagi mempelajari tajuk ini menyebabkan saya keliru dengan beberapa teori seperti Teori Kontinjensi. Pada awalnya saya berpendapat bahawa Teori Kontinjensi adalah gabungan beberapa teori, akan tetapi fahaman saya adalah salah.

Setelah berbincang dengan kawan dan pensyarah, barulah saya paham bahawa Teori Kontinjensi adalah mengikut keperluan dan keadaan semasa. Teori Kontigensi mengandaikan bahawa keberkesanan kepimpinan adalah bergantung kepada kesesuaian atau keselarasan personaliti pekerja dantingkah laku pemimpin dengan faktor-faktor situasi seperti struktur tugas, kuasa,kedudukan atau jawatan, dan kemahiran serta sikap pekerja. Teori ini juga menganggap tiada satu pun gaya kepimpinan yang baik dan sesuai untuk semua situasi, semuanya bergantung kepada situasi semasa dan tahap keupayaan pekerja.

Saya juga mengalami masalah dalam membuat cadangan penambahbaikan terhadap teori yang dipilih. Saya telah memilih Teori Transformasi yang mana menekankan kepada perasaan sayang pengikutnya kepada ketuanya. Hasil daripada tingkah laku ketua menyebabkan pengikut percaya, sanjung, taat dan menghormatinya. Kepimpinan Transformasi dapat meningkatkan fahaman pengikut tentang cara bekerja dan hasil kerja mereka dengan menggalakkan pengikutnya melebihkan kepentingan pasukan daripada individu atau keperluan individu yang tamak. Saya merasakan Teori Transformasi merupakan teori yang cukup lengkap . Oleh sebab itulah saya mengalami masalah dalam membuat penambah baikan terhadap teori ini.

Saya banyak menggunakan bahan rujukan daripada internet dan juga bahan bacaan daripada perpustakaan. Saya menggunakan rujukan internet kerana hal ini memudahkan dan mempercepat saya untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan. Pelbagai bahan dan maklumat saya perolehi menyebabkan saya lebih mudah untuk memahami sesuatu teori yang dipilih. Saya juga mendapatkan maklumat daripada buku yang dipinjamkan oleh kawan-kawan.

Hasil daripada analisis saya, Guru Besar sekolah tersebut telah mengamalkan Teori Transformasi dalam menguruskan sekolah. Walaubagaimana pun, beliau juga menggunakan pelbagai Teori lain akan tetapi teori tersebut tidak terlalu dominan dalam pengurusannya. Saya juga ada berhubung dengan Guru Penolong Kanan sekolah, guru-guru dan juga staf pentadbiran mengenai kepimpinan Guru Besar di sekolah. Hal ini kerana mereka lebih mengenali Guru Besar tersebut berbanding saya yang hanya beberapa bulan berada di dalam kawasan persekitaran sekolah tersebut.

Bagi mengatasi masalah dalam membuat cadangan penambahbaikan terhadap teori yang di pilih, saya membuat refleksi kepada diri saya. Sekiranya saya diarah untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atau arahan, saya akan melakukan dengan yang terbaik. Walaubagaimana pun, sebagai seorang manusia biasa dan guru pelatih, Saya juga mengharapkan balasan atau ganjaran terhadap apa yang telah saya usahakan. Saya merasakan teori ini akan menjadi semakin lengkap sekiranya ada sistem ganjaran dan imbuhan kepada pengikut bawahannya. Saya turut mengkaji beberapa teori yang boleh berganding dengan teori transformasi supaya corak kepimpinan itu lebih berkesan, contohnya teori Transaksional.

Akhir sekali, saya amat berharap tugasan ini dapat memenuhi kriteria tugasan yang baik dan apa yang paling penting ialah semoga segala pengetahuan yang saya peroleh ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan sebagai bakal guru kelak.. Sekian, terima kasih.

(MUHAMMAD MUSTAFFA KAMAL BIN ABDULLAH ZAWAWI)

8.0 BIBLIOGRAFI

Buku:

Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin, Muhammad Kushairi Jusoh (2012) . Asas

Kepimpinan & Perkembangan Profesional. Freemind Horizons Sdn. Bhd. Kuala

Lumpur

Noriati A . Rashid, Boon Pong Ying. Wong Kiet Wah(2010). Asas Kepimpinan dan

Perkembangan Profesional Guru. Oxford Fajar Sdn. Bhd .Selangor Datul Ehsan

Syed Ismail bin Syed Mustapa.Ahmad Subki bin Miskon.(2010). Asas Kepimpinan &

Perkembangan Profesional. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd . Selangor Darul Ehsan.

Laman Sesawang:

Dilayari pada 15 September 2013.Hishamuddin Shah bin Mokri, Mohd Rizal bin Atan, &

Sipian bin Hashim (Universiti Teknologi Malaysia).Hubungan Antara Kepimpinan Transformasi Guru Besar Dengan Kepuasan Kerja Guru Di Sekolah Kebangsaan Kurang Murid Gemilang Tujuh Segamat, Johor. http://www.iab.edu.my/sn20_papers/KK_L415_Rizal.pdfDilayari pada 15 September 2013.Nordin Tahir.

http://www.amaljaya.com/guru/wp content/uploads/2011/09/tajuk-6_kepemimpinan-guru.pdfDilayari pada 16 September 2013. Husna Mulyati.http://husna-m--fpsi08.web.unair.ac.id/artikel_detail-48409 psikologi%20kepribadian-Teori%20Kepribadian%20Trait.htmlDilayari pada 16 September 2013.

http://www.slideshare.net/guestd95e21/kepimpinan-transformasi

Dilayari pada 17 September 2013. http://yik.itgo.com/text/pengetua.htmlINTERNET

BUKU

Aspek Kepimpinan Guru Besar

PERANCANGAN

PENGELOLAAN

PENGARAHAN

PENGAWALAN

PENGALAMAN

BUKU