adat resam perkahwinan masyarakat melayu

18
ISI KANDUNGAN Tajuk Halaman 1.0 Pengenalan 2 2.0 Adat Merisik 3 3.0 Adat Meminang 4 4.0 Bertunang 4 - 6 4.1 Barang hantaran 4.2 Sirih Junjung 5.0 Akad Nikah 7 - 8 6.0 Adat Berinai 9 - 10 6.1 Berinai Curi 6.2 Berinai Kecil 6.3 Berinai Besar 7.0 Majlis Perkahwinan 10 - 13 7.1 Upacara Mandi Sampat 7.2 Adat Menyambut Menantu 8.0 Pantang Larang Perkahwinan 13 - 14 9.0 Juadah Majlis Perkahwinan Melayu 14 10.0 Pakaian Pengantin Melayu 15 11.0 Penutup 16 12.0 Rujukan 17 - 18 1.0 Pengenalan

Upload: alexz-eb

Post on 24-Nov-2015

299 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Adat Resam dalam Malaysia

TRANSCRIPT

ADAT RESAM PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYUISI KANDUNGANTajukHalaman

1.0Pengenalan2

2.0Adat Merisik3

3.0Adat Meminang4

4.0Bertunang4 - 6

4.1 Barang hantaran

4.2 Sirih Junjung

5.0 Akad Nikah7 - 8

6.0 Adat Berinai9 - 10

6.1 Berinai Curi

6.2 Berinai Kecil

6.3 Berinai Besar

7.0Majlis Perkahwinan10 - 13

7.1 Upacara Mandi Sampat

7.2 Adat Menyambut Menantu

8.0 Pantang Larang Perkahwinan13 - 14

9.0Juadah Majlis Perkahwinan Melayu14

10.0 Pakaian Pengantin Melayu15

11.0Penutup16

12.0Rujukan17 - 18

1.0 PengenalanMasyarakat Melayu merupakan salah satu masyarakat majoriti yang terdapat di negara Malaysia. Masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu sebelum kedatangan Barat mengamalkan pelbagai bentuk agama dan kepercayaan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Amalan agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu membuktikan bahawa masyarakat Melayu ketika itu sudah memiliki tamadun yang tinggi. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat awalnya adalah berbentuk animisme. Ia kemudiannya berkembang dengan meluas kepada kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Bagaimanapun kepercayaan ini mula merosot apabila Islam tersebar meluas di kalangan masyarakat Melayu.Kedatangan agama Islam pada abad ke-7 telah menghakis sebahagian amalan kepercayaan Hindu-Buddha yang telah lama bertapak di Tanah Melayu. Namun demikian dari segi adat pula, didapati terdapat pengubahsuaian daripada unsur Hindu-Buddha kepada unsur keislaman seperti perkahwinan, adat turun tanah, melenggang perut, berkhatan dan sebagainya. Adat bercukur dimulakan dengan berzanji dan marhaban iaitu bacaan mengenai kisah kelahiran dan kebesaran nabi Muhammad. Upacara ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai mengucap syukur kepada Allah.Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Hal ini kerana perkahwinan melambangkan kesucian dan akan berkekalan sehingga hujung kehidupan. Oleh hal demikian, upacara dalam perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting dan perlu dilalui oleh setiap uda dan dara berbangsa Melayu. Adat resam perkahwinan Melayu bermula dari adat merisik, meminang, bertunang, akad nikah, adat berinai dan seterusnya ke majlis perkahwinan atau majlis persandingan. Berikutnya akan membincangkan peringkat-peringkat perkahwinan Melayu.

2.0 Adat MerisikAdat merisik merupakan proses yang paling utama dalam masyarakat Melayu yang ingin menentukan pasangan hidup. Dalam budaya Melayu, adat ini merupakan proses pertama untuk menjodohkan teruna dan dara serta melibatkan pertemuan antara wakil lelaki dan ibu bapa perempuan. Adat ini juga dipanggil sebagai meninjau atau menengok oleh masyarakat Melayu. Adat ini amat penting dilakukan untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Hal ini bagi tujuan mengelak daripada seseorang lelaki untuk meminang tunangan orang. Sehubungan dengan itu, adat merisik perlu dilalui terlebih dahulu untuk mengetahui status seseorang gadis.Proses merisik juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Apabila pihak lelaki sampai di rumah perempuan yang ingin dirisik, mereka akan berbual tentang perihal kedua-dua lelaki dan perempuan yang ingin disatukan sambil menikmati jamuan yang dibuat serta dihidangkan oleh si dara tersebut.Pada ketika si dara menghidangkan makanan, pihak lelaki akan mengambil kesempatan untuk melihat wajah si dara.Setelah itu, topik perbincangan akan berfokus kepada tujuan kedatangan sebenar pihak lelaki melalui pantun. Pantun merisik ini akan dimulakan oleh pihak lelaki dan seterusnya akan dibalas oleh pihak perempuan. Secara lazimnya, adat ini akan dipikul dan dilaksanakan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Setelah selesai berpantun, pihak lelaki akan akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan sekiranya pihak gadis bersetuju untuk menjadi pasangan lelaki tersebut. Tarikh peminangan juga akan ditetapkan pada masa tersebut.

Rajah 1.0. Cincin belah rotan.3.0 Adat MeminangAdat meminang akan dilaksanakan setelah pihak lelaki mengetahui bahawa gadis yang dirisik belum berpunya dan setuju untuk menerima lelaki tersebut. Biasanya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Biasanya, ibu bapa pihak perempuan tidak akan memberikan kata putus kepada pihak yang datang kerana mengikut adat, pihak perempuan diberikan masa 2 hari atau lebih untuk memberikan jawapan. Adat ini dikenali sebagai adat bertangguh yakni adat ini amat mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah dalam menentukan jodoh. Sekiranya pinangan diterima, berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk majlis perkahwinan. Pada masa yang sama juga, kedua-dua pihak akan menentukan syarat perkahwinan seperti mas kahwin dan hantaran majlis perkahwinan. Jika majlis perkahwinan agak lambat dilaksanakan, maka upacara menghantar tanda akan dilakukan. Upacara menghantar tanda ini juga bermaksud upacara pertunangan. Melalui upacara ini, membawa maksud bahawa si gadis sudah dimiliki dan digelar tunangan orang.

4.0 BertunangMajlis pertunangan biasanya akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan sewaktu peminangan dilakukan. Sewaktu adat bertunang berlangsung, pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Sewaktu pertunangan, hantaran akan diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan dan sebagai tanda setuju, pihak perempuan juga akan membalas hantaran dengan bilangan 2 lebih banyak.

4.1 Barang HantaranBagi hantaran, tepak sirih atau sirih junjung merupakan pemberian utama pihak lelaki kepada perempuan sewaktu pertunangan dilaksanakan. Selain itu, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti pakaian, buah-buahan dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan. Mengikut adat Melayu juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran kepada kakak pihak perempuan juga akan turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Hantaran yang biasa diberikan dalam adat langkah bendul ini adalah sebentuk cincin emas. Bagi masyarakat Melayu, bilangan hantaran yang diberikan perlulah bernombor ganjil iaitu sama ada memilih untuk menyediakan lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas hantaran kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Sekiranya pihak lelaki menyediakan 5 hantaran, maka pihak perempuan akan membalas dengan 7 hantaran.Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Adat ini biasanya dilaksanakan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Belanja yang diberikan adalah untuk pihak perempuan membuat persediaan untuk majlis pertunangan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan. Bagi mas kahwim pula adalah berbeza mengikut negeri. Bagi negeri Sarawak, mas kahwin bagi adalah RM120 bagi anak dara dan juga janda.4.2 Sirih JunjungSewaktu majlis pertunangan berlangsung, adat sirih junjung pula akan dilaksanakan. Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda.

Rajah 2.0. Sirih JunjungSelain daripada pertunangan di atas, terdapat juga dua jenis pertunangan yang biasa berlaku dalam masyarakat Melayu. Pertama iaitu pertunangan sewaktu kecil dan pertunangan secara wasiat. Pertunangan sewaktu kecil biasanya dilakukan apabila kedua-dua ibu bapa mempunyai persahabatan yang erat antara satu sama lain. Melalui ikatan tersebut, hubungan silaturahim yang wujud akan menjadi lebih erat. Selain itu, pertunangan secara wasiat pula dilakukan mengikut hajat saah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia yakni inginkan anak mereka disatukan dengan pilihannya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.5.0 Akad NikahAkad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yan g rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain seperti mana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.

Rajah 3.0. Akad nikah sedang dijalankan.Pada kebiasaannya, majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggungjawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah tersebut adalah seperti berikut: "Aku nikahkan dikau.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak .(mengikut negeri) tunai" Lafaz tersebut akan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz yang sama mengikut apa yang telah disebut ileh imam tersebut. Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak. Sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul. Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan yakni kedua mempelai akan ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

6.0 Adat BerinaiMajlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat. Bermula dengan dihadiri oleh keluarga terdekat sehingga dihadiri oleh saudara mara yang jauh serta rakan-rakan. Pengantin perempuan akan memakai inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah pada tapak tangan. Sebaliknya, pengantin lelaki hanya memakai inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja. Rajah 4.0. Inai di tangan pengantin perempuan dan lelaki6.1 Berinai CuriBerinai curi biasanya diadakan tiga malam sebelum hari berlangsungnya perkahwinan. Adat ini diadakan pada waktu petang selepas hari tangan dan kaki bakal pengantin perempuan diinai. Pada upacara ini, bakal pengantin perempuan dihias dan didudukkan di atas pelamin. Upacara berinai curi ini hanya dihadiri oleh saudara mara terdekat sahaja.6.2 Berinai KecilMajlis berinai kecil pula diadakan dua malam sebelum hari langsung perkahwinan. Ia juga diadakan pada waktu petang dan hanya akan dihadiri oleh saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

6.3 Berinai BesarBagi majlis berinai besar pula diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan. Pada majlis ini, pengantin lelaki akan dinaikkan terlebih dahulu di pelamin dan diinaikan. Adat berinai besar ini akan bermula dengan para tetamu pengantin lelaki untuk naik ke pelamin dan membuang sedikit nasi kunyit dan bertih ke sebelah kiri dan kanan pengantin. Selepas itu, ai daun setawar akan direnjiskan pada belakang tangan pengantin lelaki menggunakan tangkai daun wangi. Upacara ini juga akan dilaksanakan oleh pengantin perempuan.

Rajah 5.0. Bahan upacara berinai besar.

7.0 Majlis PerkahwinanMajlis perkahwinan merupakan kemuncak adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari. Sewaktu majlis diadakan, kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin yang lazimnya merupakan baju songket dihiasi dengan perhiasannya yang lengkap. Pengantin perempuan pula akan diandam dengan cantik sebelum majlis persandingan bermula. Solekan pengantin biasanya akan dilaksanakan oleh jurusolek nyang dikenali sebagai Mak Andam pada masyarakat Melayu tradisional. Mak Andam biasanya akan mendahului solekannya kepada pengantin dengan dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin. Pada masa yang sama, pengantin perempuan akan diberikan sireh untuk dimakan bagi membuang perasaan gemuruh. Sewaktu majlis perkahwinan berlangsung, pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bungamanggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembahpengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula.Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebuspintu atau tebuspelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa persandingan diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bungatelur pada hari tersebut. Seterusnya, majlismakan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Rajah 6.0. Upacara Tepung Tawar.7.1 Upacara Mandi Sampat Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Rajah 7.0. Upacara Mandi Sampat7.2 Adat Menyambut MenantuSeminggu selepas upacara mandi sampat, adat menyambut menantu atau upacara mengundang menantu pula akan diadakan. Di sesetengah tempat, majlis ini dipanggil majlis bertandang. Sewaktu adat ini dilakukan, majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan yang terdahulunya. Terdapat juga sesetengah pasangan yang akan menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung.Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami dan isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan kekeluargaan di samping berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak. 8.0 Amalan dan Pantang Larang PerkahwinanSetelah tarikh perkahwinan ditetapkan, bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Setiap pantang dan larangan yang ditetapkan harus dipatuhi untuk kebaikan diri mereka. Bagi masyarakat Melayu, pantang larang bukan lagi sebuah kewajiban malah merupakan satu budaya dalam diri mereka. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini, jika masih diamalkan, tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian kepada mereka. Antara pantang larang perkahwinan masyarakat Melayu adalah bakal pengantin dilarang keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijab kabul. Hal ini kerana untuk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan untuk mengawal nafsu. Pantang larang ini akan menimbulkan perasaan rindu dendam yakni perasaan yang timbul ini akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.Selain itu, bakal pengantin juga dilarang tidur di rumah orang kerana dikhuatiri akan terkena ilmu. Ia juga untuk menjaga nama baik keluarga. Bakal pengantin juga dilarang keluar kemana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik. Pengantin juga dilarang makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit. Bakal pengantin juga dilarang bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelak diri daripada perkara sihir. Bagi tujuan kesihatan, bakal pengantin dilarang membuang air kecil dan air besar serentak ke dalam air kerana dikhuatiri akan melemahkan orangan seks. Pengantin juga perlu mengelak daripada mandi malam kerana tidak elok untuk sendi-sendi. Pengantin lelaki juga perlu mengelak daripada memakai seluar dalam yang ketat pada waktu malam dan dilarang tidur meniarap kerana tidak bagus untuk orangan seks kerana darah tidak mengalir. Tiga bulan sebelum berkahwin, bakal pengantin perlu mula membuat urutan supaya pengantin mempunyai tenaga. Selain itu, bakal pengantin perlu mengamalkan makan telur ayam kampung seminggu 2 kali yang dicampur madu dan lada hitam yang ditumbuk untuk menambah tenaga. Pengantin perempuan juga dilarang terlalu terdedah kepada keluarga lelaki. Bakal pengantin juga dilarang berembun atau keluar malam bagi mengelakkan unsur jahat. Bilik lelaki atau wanita juga tidak boleh dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalam bagi bilik tersebut bagi mengelak diri daripada dikhianati oleh orang lain. Bakal pengantin perempuan dilarang mencukur kening kerana ditakuti akan menghilangkan seri muka. Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin juga tidak boleh ditiduri oleh bakal pengantin kerana tidak manis. Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, lempar baju di atas bumbung rumah tanpa diketahui oleh orang lain bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung. Bakal pengantin perempuan dilarang memandang cermin ketika disolek oleh juruandam kerana dikhuatiri hilang seri. Sewaktu bersanding juga, kedua pengantin dilarang bercakap kerana kurang manis dipandang tetamu. Orang-orang tua Melayu dahulu selalu mengingatkan anak cucunya supaya tidak melanggar pantang larang. Melanggar pantang larang samalah dengan tidak mendengar nasihat.9.0 Juadah Majlis Perkahwinan MelayuJuadah tradisi Melayu sewaktu perkahwinan tidak begitu terhad menunya. Hal ini kerana menu yang disediakan bergantung dengan persediaan pihak pengantin itu sendiri. Ada kalanya, juadah sewaktu majlis juga bergantung kepada makanan tradisi negeri masing-masing. Kebiasaannya, majlis perkahwinan Melayu akan menyediakan nasi putih dan lauk kari ayam sebagai juadah utama kepada para jemputan.Rajah 8.0. Nasi dan Kari Ayam.

10.0 Pakaian Pengantin MelayuPakaian pengantin Melayu biasanya adalah baju melayu dan baju kurung. Pakaian penganti lelaki biasanya berbaju melayu dan lengkap bersampin serta bersongkok. Begitu juga dengan pakaian pengantin perempuan. Mereka akan mengenakan pakaian Melayu yang cantik serta sedondon. Pengantin perempuan juga akan mengenakan banyak perhiasan. Biasanya juga, pakaian pengantin Melayu adalah bergantung dengan negeri masing-masing. Walau demikian, peradaran zaman pada masa kini mengubah pakaian pengantin Melayu tradisional kepada pakaian pengantin Melayu kontemporari.

Rajah 5.0. Pakaian Pengantin Tradisional dan Kontemporari.

11.0 PenutupPentingnya adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi Biar mati anak, jangan mati adat. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu bergitu berpegang pada nilai, adab dan adat yang sehingga kini masih diamalkan. Adat dan istiadat perkahwinan Melayu banyak persamaannya dengan budaya Hindu. Hal ini berhubung dengan kepercayaan orang Melayu dulu terhadap agama Hindu sebelum kedatangan Islam. Kesimpulannya, tata perlakuan dalam adat resam masyarakat Melayu banyak dipengaruhi oleh adat yang diwarisi dari budaya Hindu yang disesuaikan mengikut unsur-unsur Islam. Adat ini dapat dilihat pada tiga aspek kehidupan iaitu adat resam kelahiran, adat resam perkahwinan dan adat resam kematian. Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan.

RUJUKAN BUKUA.Aziz Deraman. (2003). Edisi Baharu Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur : Percetakan Watan Sdn. Bhd.Abdul Rahman Haji Abdullah. (2006). Sejarah dan Kebudayaan Asia Tenggara Tradisional. Shah Alam : Karisma Publications.Noriati A,Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid. (2011) Siri Pendidikan Guru Budaya dan Pembelajaran. Selangor Oxford Fajar Sdn. Bhd.

RUJUKAN INTERNET1 Klik Jabatan Penerangan (Tiada Tarikh), Masyarakat Melayu di Malaysia. Dimuat turun pada 12 Jun 2013, dari http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/185-masyarakat-majmuk/3240-masyarakat-melayu-di-malaysia.htmlZanas Wordpress (Tiada tarikh) Konsep Budaya dan Masyarakat Melayu. Dimuat turun pada 12 Jun 2013, dari http://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-yang-berdaulat/konsep-budaya-dan-masyarakat-melayu-2/Tiada Pengarang. (Tiada Tarikh) Kepercayaan dan Agama masyarakat Melayu Tradisional di Tanah Melayu, Sejarah Malaysia STPM. Dimuat turun pada 24 Jun 2013 darihttp://sejarahmalaysiastpm.blogspot.com/2009/05/kepercayaan-dan-agama-masyarakat-melayu.htmlTiada Pengarang. (Tiada Tarikh) Ensiklopedia Petua Melayu. Dimuat turun pada 14 Jun 2013 dari http://www.epetua.com/adat-dan-tatatertib/Tiada Pengarang. (Tiada Tarikh) Adat Resam Melayu. Dimuat turun pada 14 Jun 2013 dari http://resam-melayu.com/2009/12/adat-resam-melayu.htmlTiada Pengarang. (Tiada Tarikh). Perkembangan Sejarah Sesebuah Masyarakat. Dimuat turun pada 17 Jun 2013 dari http://pbmum.tripod.com/sejarah/8.htmNur Azaria bt. Ghazali, Siti Zubaidah bt Mohd Noor, Nur Nabilla bt.Hamzah, Nazurah Nasuha binti Nijar, Sharizan binti Zainal Abidin & Nurul Wahida binti Omar. (2009). Adat Resam Perkahwinan Melayu, Dimuat turun pada 1 Julai 2013 dari http://titassemtwo.blogspot.com/ Aimi Shahirah. (2013). Nilai Mas Kahwin di Malaysia mengikut Negeri. Dimuat turun pada 1 Julai 2013 dari http://www.aimisyahirah.com/2013/01/nilai-mas-kahwin-di-malaysia-mengikut.html

15