adat resam 09 1

Upload: sallezad-salleh

Post on 06-Jul-2015

329 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Pengenalan Umun Tentang Adat-adat Resam Masyarakat Melayu Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan sehari-hari sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya dan kebiasaan ini telah menjadi amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalanamalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita ini. Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, mana-mana amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah ditinggalkan serta tidak diamalkan lagi. Amalan ini juga dipanggil sebagai adat. Pepatah melayu "Biar mati anak, jangan mati adat", merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakkan adat adalah juga merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian, ia juga dipanggil ritual. Terdapat banyak adat yang dipercayai serta diamalkan oleh bangsa melayu. Adat-adat tersebut merangkumi pelbagai aspek dan diamalkan mengikut sesuatu upacara. Dalam perkahwinan misalnya, terdapat banyak adat yang dilakukan oleh masyarakat melayu sebelum dan selepas majlis. Pertama sekali adalah merisik. Adat ini sebenarnya adat yang memang baik dan berguna jika dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah masyarakat Melayu.

Adat berikutnya yang dijalankan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan adalah meminang dan bertunang. Setelah kata persetujuan dicapai oleh pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Kemudian, kebiasaannya tempoh dua hari diberikan kepada keluarga perempuan untuk memberikan jawapan sama ada setuju atau tidak untuk disatukan dengan si lelaki. Pihak perempuan kemudiannya akan menghantar rombongan yang diwakili oleh orang tua-tua yang mewakili mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Seterusnya, akad nikah yang merupakan acara paling penting dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. ini bukanlah suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Selepas itu, adat berinai pula akan diadakan. Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkatperingkat. Peringkat pertama adalah berinai curi yang diadakan tiga malam sebelum hari langsung perkahwinan untuk saudara mara terdekat sahaja. Peringkat kedua pula adalah berinai kecil yang diadakan dua malam sebelum hari langsung perkahwinan untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai dan peringkat ketiga pula adalah berinai besar yang diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Akhir sekali, majlis perkahwinan dilangsungkan. Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur. Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari. Setelah berlangsungnya majlis perkahwinan, terdapat juga beberapa lagi adat yang dijalankan. Contohnya adalah adat mandi-mandian atau juga dikenali sebagai berlimau. Pasangan suami isteri yang baru disatukan akan bermandi-mandian dan disintok limaukan sebagai menandakan persatuan diantara dua pengantin suami isteri itu telah sempurna dan selamat. Seterusnya adalah adat sambut-menyambut ataupun bertandang. Pada petang hari upacara mandi-mandian itu dijalankan, kedua-dua pengantin suami isteri akan disambut ke rumah pengantin lelaki, iaitu ke rumah suaminya. Di kalangan sesetengah orang berada pada masa dahulu, adat menyambut ini akan dilakukan dengan secara besar-besaran juga, iaitu dengan mengarak kedua-dua pengantin itu dan disandingkan sekali lagi sambil diadakan jamuan kenduri-kendara. Mereka akan tinggal di rumah pengantin lelaki selama beberapa hari sebelum pulang semula ke rumah pengantin perempuan. Inilah penamat upacara nikah kahwin dalam masyarakat Melayu. Selain itu, terdapat banyak juga adat yang dilakukan apabila kelahiran ataupun kematian berlaku. Sebelum kelahiran, adat melenggang perut dijalankan. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut.

Adat pertama yang dijalankan selepas kelahiran ialah tanggal pusat atau cuci lantai. Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis. Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Adat berikut yang dijalankan adalah memberi nama. Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih. Adat seterusnya yang akan dijalankan adalah cukur rambut atau potong jambul. Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut. Adat naik buai juga dijalankan selepas kelahiran bayi. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung. Bayi akan dihias dengan cantik dan ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya adat jejak tanah ataupun turun tanah diadakan. Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan. Adat terakhir yang dialankan masyarakat Melayu selepas menyambut kelahiran adalah bersunat atau berkhatan. Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin.

Seterusnya adalah adat kematian. Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah. Selepas jenazah dikapankan, jenazah seterusnya akan disembahyangkan samada di rumah atau di masjid. Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Selepas jenazah ditimbus, talkin dan doa akan dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur. Akhir sekali, kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Perkara ini diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia. Di samping itu, terdapat juga beberapa lagi adat masyarakat Melayu yang diamalkan tetapi tidak secara meluas dan kurang diketahui ramai. Antara contohnya adalah mandi selepas pantang. Selepas tamat tempoh berpantang, iaitu selepas empat puluh empat hari, maka pada hari yang keempat puluh lima akan diadakan kenduri kecil di antara ahli keluarga. Ibu tersebut akan dimandikan dengan air sintok limau serta dilangirkan sebagai syarat melepaskan pantang. Contoh lain adalah amalan bertindik. Bertindik pada masa kini dianggap sesuatu yang biasa dilakukan pada kanak-kanak perempuan tetapi pada hakikatnya perkara ini juga merupakan salah satu adat dalam masyarakat Melayu. Adat resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak.

Selain itu, terdapat juga adat untuk mengahwini wanita yang telah bergelar janda. Adat meminang janda adalah jauh lebih mudah dan ringkas berbanding meminang anak dara. Lelaki yang hendak meminang seseorang janda hanya perlu menjalankan risikan tentang diri janda tersebut dan apabila sudah dipersetujui oleh lelaki itu seorang perempuan tua akan dihantar untuk meminangnya. Janda itu akan memutuskan sendiri sama ada beliau bersetuju menerima pinangan tersebut atau tidak dan setelah dipersetujui, segala syarat dan mas kahwin akan ditetapkan. Bagi adat perkahwinan janda pula, kebanyakannya hanya menjalankan kerja yang wajib sahaja iaitu dengan mengadakan majlis akad dengan jamuan yang kecil dan setelah selesai kenduri kendara maka pada malam itu jugalah kedua suami isteri itu dipersatukan. Walau bagaimanapun, lain pula keadaannya bagi adat perkahwinan janda berhias. Cara perkahwinan janda berhias adalah serupa sebagaimana yang dijalankan kepada perkahwinan anak dara. Yang berubah hanyalah tentang kecil besarnya majlis yang dijalankan itu dan bagi perkahwinan janda, upacara mandi-mandian tidak dijalankan. Di samping, upacara pertabalan juga mempunyai adatnya yang tersendiri. Antara negeri yang masih mengamalkan adat pertabalan adalah Negeri Sembilan Darul Khusus. Upacara ini melibatkan pelbagai perkara seperti mengadap dan menjunjung duli, Istiadat Bersiram dan sebagainya. Upacara akan diakhiri dengan DYMM Yang diPertuan Besar menyampaikan titah dan disudahi dengan bacaan doa. Adat berikutnya adalah khatam Al-Quran. Dalam kenduri tersebut, seorang guru akan dipanggil untuk menyemak bacaan anak-anak yang bakal khatam Al-Quran. Ayatayat Al-Quran dari surah-surah yang terakhir dalam Al-Quran bermula dari surah AdDhuha sehingga surah An-Nas akan diperdengarkan kepada tetamu dan setelah tamat tuan guru tersebut akan membacakan doa khatam Al-Quran, menandakan kanak-kanak tersebut sudah diiktiraf tamat membaca Al-Quran.

Adat-adat yang telah dinyatakan di atas adalah antara adat-adat yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman ini. Ada sesetengah adat semakin dilupakan dan tidak dipraktikkan lagi. Namun begitu, masih ada juga pihak yang terus mengamalkan adat-adat hasil ilham nenek moyang ini demi memastikan ia tidak hilang begitu saja. Adat juga sangat penting bagi masyarakat Melayu sehingga terciptanya kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat.

Kebudayaan Melayu Berikut adalah empat pilihan adat-adat masyarakat Melayu Adat resam perkahwinan Adat resam kelahiran Adat resam kematian Adat resam bertindik

Adat Resam Perkahwinan Pengenalan Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting iaitu pra perkahwinan, semasa perkahwinan dan selepas perkahwinan.

Pra perkahwinan Merisik atau menilik Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.

Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara. Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai

dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak. Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit. Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di

tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka. Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan. Gambar disebelah adalah cincin belah rotan. Pada kebiasaannya wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan.

Meminang dan bertunang Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap

tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan. Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai putus cakap. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan

membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.

Contoh barang hantaran

Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya. Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu : Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga keduadua anak itu berkahwin. Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

Semasa perkahwinan Akad Nikah Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam. Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat

tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak .(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya.. (sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.

Akad nikah dijalankan

Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.

Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin.

Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil. Adat Berinai Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat Berinai curi - diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja. Berinai kecil - diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Berinai besar - diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan. Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

Majlis Perkahwinan Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur.Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai

hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari. Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh. Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.

Pengantin diarak dengan bunga manggar

Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.

Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.

Pelamin yang dijadikan tempat persandingan pengantin.

Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Selepas perkahwinan Adat menyambut menantu Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan. Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat berkenalkenalan dengan keluarga kedua belah pihak.

Adat Resam Kelahiran Pengenalan

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat pra kelahiran, semasa kelahiran dan selepas kelahiran.

Pra kelahiran Sewaktu Mengandung

Melenggang Perut Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

Peralatan untuk upacara ini termasuk :

Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan Segantang beras Sebiji kelapa Beberapa urat benang mentah Damar Minyak kelapa atau minyak urut Lilin Tepak sirih yang lengkap isinya Pengeras sebanyak RM1.25

Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur. Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin. Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi.

Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu. Semasa kelahiran Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

Potong Tali Pusat Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.

Azan/Qamat Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

Membelah Mulut Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

Selepas kelahiran Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.

Berpantang Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.

Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan diseluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.

Antara ramuan asli untuk wanita yang baru lepas bersalin Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang dilapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat. Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

Tanggal Pusat/Cuci Lantai Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

Nasi kunyit dan lauk-lauk Seekor ayam hidup Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang Hadiah untuk bidan sepersalinan pakaian

Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengaisngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.

Memberi Nama Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.

Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan. Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelokkelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya

kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya. Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Upacara potong jambul Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup.

Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain. Naik Buai

Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung. Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

Jejak Tanah/Turun Tanah Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.

Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis

barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Jumlah barangan yang diletakkan selalunya adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja. Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanakkanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanakkanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca. Bersunat / Berkhatan

Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

Kanak-kanak mandi beramai-ramai sebelum berkhatan

Adat Resam Kematian Pengenalan Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati daripada jasad yang hidup. Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah. Semasa Kematian Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. Di kampung-kampung misalnya, pengumuman akan dibuat di masjid oleh tok imam. Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada. Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan dibakar. Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum dikebumikan, mayat dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan cermat. Mayat perempuan akan dimandikan oleh tukang mandi mayat perempuan dan begitulah sebaliknya. Namun begitu mereka yang paling baik memandikan mayat ialah di kalangan ahli keluarga si mati sendiri. Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan kain putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala jenazah wanita pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan dipakaikan celak dan dibubuh kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli

keluarga terdekat dan muhrim dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah. Mayat seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid. Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini. Semasa Pengebumian Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut. Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak digalakkan dalam Islam.

Jenazah diusung ke tanah perkuburan

Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan turun ke dalam kubur dan membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat serta membukakan ikatan di kepala.

Batu nisan

Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus. Dua batang batu nisan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai tanda. Seterusnya upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam. Selepas talkin dan doa selesai dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur . Selepas Kematian Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.

Adat Resam Bertindik Adat resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak. Bagi keluarga Melayu zaman kini, ia merupakan suatu simbolik titik permulaan pemberian sesuatu yang berharga daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka yang berupa barang kemas. Selain itu, adat bertindik juga dilakukan sempena mengingati peristiwa di zaman Rasulullah di mana seorang wanita telah cedera di telinganya semasa terlibat dalam peperangan. Untuk menutup kecederaan di telinganya, beliau telah meletakkan sesuatu di lubang tersebut sebagai perhiasan. Inilah yang dikatakan asal-usul adat bertindik di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi, pada zaman sekarang ini, kerja tersebut tidak banyak lagi dilakukan walaupun oleh orang-orang melayu kampung. Pada masa sekarang, bertindik ini dilakukan sendiri dengan apa sahaja cara yang mudah, asalkan cuping telinga anak masing-masing dapat ditebuk dengan selamat. Tambahan pula di bandar-bandar dan pekan-pekan besar sekarang, pelbagai jenis subang dan anting-anting moden yang cantik-cantik boleh dibeli dengan murah. Malah ada juga anting-anting yang boleh dibeli dan dipakai di cuping telinga dengan hanya pakai ketap sahaja. Walaubagaimanapun, dalam zaman moden kini, perkara bertindik telinga tidak lagi menjadi suatu perkara yang perlu bagi setiap kanakkanak perempuan.

Kajian Pantun Adat yang dipilih adalah adat resam merisik. Adat ini merupakan salah satu adat resam masyarakat Melayu yang dilakukan sebelum berlangsungnya perkahwinan. Pantun merisik boleh dilakukan secara berbalas-balas antara pihak lelaki dan pihak perempuan. Pantun ini selalu disampaikan oleh wakil kedua-dua pihak yang pada kebiasaannya dari kalangan orang-orang tua. Berikut adalah empat rangkap pantun empat kerat yang dicipta berdasarkan adat resam merisik :

Pihak perempuan: Tidak pernah rotan merentang, Kayu cendana dijilat api. Tidak pernah tuan bertandang, Tentu ada maksud di hati.

Pihak lelaki: Sudah lama langsatnya condong, Barulah kini batangnya rebah. Sudah lama niat dikandung, baru sekarang diizinkan Allah.

Pihak perempuan: Perahu kolek ke hilir tanjung, Sarat bermuat tali temali. Salam tersusun sirih junjung, Apa hajat sampai kemari?

Pihak lelaki: Bukan tekat sebarang tekat, Tekat menjadi hiasan kain. Bukan hajat sebarang hajat, Hajat merasmikan nikah kahwin.

Pihak perempuan: Tumbuk lada di atas para, Ada kasut simpan dalam peti. Tepuk dada tanya selera, Apa maksud di dalam hati.

Pihak lelaki: Tinggi-tinggi si matahari, Anak kerbau mati tertambat. Sekian lama kami mencari, Baru sekarang kami mendapat.

Analisis Pantun Tema Pantun ini bertemakan adat merisik yang dilakukan sebelum berlangsungnya perkahwinan bertujuan memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan. Persoalan Persoalan pantun ini adalah risikan keluarga kaum lelaki untuk memilih menantu perempuan yang baik dan bersesuaian. Bentuk Pantun ini terdiri daripada pantun empat kerat. Bilangan baris bagi setiap rangkap ialah sama iaitu empat baris serangkap. Jumlah perkataan adalah diantara tiga hingga lima patah perkataan. Jumlah suku kata ialah diantara sembilan hingga sebelas suku kata setiap baris. Rima akhir pada setiap rangkap ialah abab. Gaya bahasa Asonansi (pengulangan vokal). Contoh: Bukan hajat sebarang hajat. Aliterasi (pengulangan konsonan) Contoh: Sarat bermuat tali temali Personafikasi (menggunakan sifat manusia pada benda bukan hidup) Contoh: Kayu cendana dijilat api.

Pengulangan kata dalam baris rangkap pantun Contoh: Bukan hajat sebarang hajat, Hajat merasmikan nikah kahwin. Kata ganda Contoh: Tinggi-tinggi si matahari.

Pengajaran I. II. III. IV. Kita mestilah berbincang sebelum membuat apa-apa keputusan. Kita mestilah berbudi bahasa ketika berkunjung ke rumah orang lain Kita hendaklah menghormati dan menyambut tetamu dengan baik. Kita hendaklah saling berkompromi dan bertimbang rasa.

Borang Kolaborasi

NAMA UNIT MATA PELAJARAN PENSYARAH PEMBIMBING

: MOHD SALEHIN BIN MD FADIR : PPISMP PSV / BI / BM AMBILAN JULAI 2008 : BAHASA MELAYU AKADEMIK : PN.NORHANA BT BAKHARY

BIL.

PERKARA MENDAPAT TUGASAN PADA 12.3.2009

TANDATANGAN PENSYARAH

1.

2.

BERBINCANG DENGAN PENSYARAH PEMBIMBING MENGENAI TUGASAN YANG DIBERIKAN PADA 23.3.2009 MENCARI MAKLUMAT YANG BERKAIT RAPAT DENGAN TUGASAN YANG DIBERIKAN MELALUI INTERNET SERTA BUKU DI PUSAT SUMBER PADA 24.3.2009

3. 4.

MULA MENGOLAH MAKLUMAT YANG DAPAT DARIPADA INTERNET SERTA BUKU-BUKU TERPILIH DARI 25.3.2009 HINGGA 1.4.2009 MULA MENAIP KERJA KURSUS DARI 2.4.2009 HINGGA 11.4.2009. MEMBUKUKAN KERJA KURSUS YANG TELAH SIAP UNTUK DIHANTAR PADA 12.4.2009.

5. 6.

Refleksi Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syukur Alhamdulillah saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapatlah saya menyempurnakan kerja khusus penghasilan penulisan kreatif dalam adat resam kebudayaan Melayu dengan jayanya. Ketika mula-mula menerima tugasan ini, secara jujurnya saya merasakan bahawa tugasan ini agak sukar untuk disempurnakan. Sememangnya pada awalnya sukar untuk saya menyiapkan tugasan ini kerana kurang faham tentang kehendak soalan. Pensyarah kami, Puan Norhana terpaksa menjelaskan apa yang perlu dilakukan beberapa kali. Hasilnya, saya dan rakan sekelas yang lain akhirnya memahami tugasan ini dengan jelas. Saya memulakan tugasan ini dengan agak lancar kerana maklumat mudah diperoleh. Sumber internet banyak membantu kerana maklumat tentang kebudayaan Melaya banyak terkandung di dalamnya. Selain itu, tugasan ini juga mengkhusus kepada adat Melayu, iaitu bangsa saya sendiri. Jadi, secara tidak langsung, dengan pengetahuan am saya tentang adat-adat resam Melayu membolehkan saya menambah sedikit sebanyak maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber. Selain itu, saya dan rakan-rakan turut sama berkongsi maklumat. Kerja khusus ini sememangnya hasil kerja individu tetapi saya turut bekerjasama dengan beberapa rakan lain bagi menyusun atur maklumat dengan tepat. Ada kalanya kami akan membantu rakan lain jika sebarang tambahan maklumat diperlukan. Namun begitu, secara keseluruhannya hasil kerja kami semua adalah hasil kerja individu. Tiada sebarang peniruan secara bulat-bulat dilakukan.

Setelah menghasilkan tugasan ini, saya dapat rasakan bahawa banyak manfaat yang saya terima. Pertama sekali, saya dapat memahami dengan lebih mendalam lagi tentang adat resam masyarakat Melayu. Ada beberapa adat yang tidak pernah saya dengar dan ketahui sebelum ini. Selain itu, tugasan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara saya dan rakan-rakan serta pensyarah juga. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Norhana yang terlalu banyak membantu saya dan rakan-rakan lain bagi tugasan ini dan juga pembelajaran dalam kelas untuk sepanjang semester ini. Di samping itu, terima kasih juga kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya. Ada juga yang memberi kritikan tetapi saya memerimanya dengan baik dan cuba membaiki hasil kerja saya. Alhamdulillah, selepas siap, saya sangat berpuas hati dengan hasilnya. Harapan saya agar hasil kerja ini diterima dengan baik dan memuaskan hati pemeriksa. Sekian, terima kasih.

Mohd Salehin bin Md Fadir. PPISMP Pendidikan Seni Visual/Bahasa Inggeris/Bahasa Melayu IPGM Kampus Raja Melewar

Isi Kandungan Tajuk Pengenalan Umum Tentang Adat-adat Resam Masyarakat Melayu Kebudayaan Melayu Adat Resam Perkahwinan Pra perkahwinan Semasa perkahwinan Selepas perkahwinan Adat Resam Kelahiran Pra kelahiran Semasa kelahiran Selepas kelahiran Adat Resam Kematian Semasa kematian Selepas kematian Adat Resam Bertindik Penulisan Kreatif serta Kajiannya Kajian pantun dan analisis kajian adat resam merisik Refleksi Rujukan Lampiran Muka surat

Rujukan

Mokhtar Haji Mohd. Tohar dan Ahmad Fawzi M.Basri . (2005). Protokol di Malaysia Tradisi dan Amalan . Dewan Bahasa dan Pustaka . Kuala Lumpur .

www.Pantun untuk Merisik _ Melayu Online.htm

www.01010101mel_mengandung.htm

www.01010201mel_merisik.htm

www.01010301mel_kematian.htm