usaha bagi mengekalkan permainan tradisional
DESCRIPTION
Kerja kursus Epic OUMTRANSCRIPT
Usaha bagi Mengekalkan Permainan Tradisional
Dalam era globalisasi ini, permainan tradisional mula dilupakan. Hal ini terjadi kerana
pengaruh permainan moden seperti permainan video, permainan komputer, dan sebagainya
berleluasa di pasaran. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa permainan tradisional membawa
banyak kebaikan jika permainan ini dipraktikkan oleh generasi muda hari ini. Permainan
tradisional bukan sahaja memberi hiburan, malah ia memberi manfaat terhadap kecerdasan
rohani dan jasmani sewaktu bermain, terutama di luar rumah. Oleh itu, usaha-usaha tertentu
perlu diambil untuk mempopularkan permainan ini, terutamanya kepada generasi muda.
Usaha bagi mengekalkan permainan tradisional adalah peranan sekolah agar mengadakan
kegiatan kokurikulum yang berkaitan permainan tradisional. Contoh permainan tradisional ialah
permainan congkak, mencipta wau sobek atau bermain sepak raga. Bukan sahaja mengadakan
pertandingan, tetapi langkah mewajibkan permainan ini di sekolah turut mampu memupuk minat
dalam jiwa remaja kita. Tindakan ini bertujuan memastikan semua pelajar di sekolah akan
menyertai satu permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum mereka. Hal ini demikian
kerana jiwa para pelajar yang ingin mencuba perkara baru akan tertarik perhatiannya untuk
menyertai kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan tradisional ini kerana mereka kurang
terdedah dengan permainan-permainan tersebut. Dengan ini, generasi muda terutamanya pelajar
sekolah dapat mengenal permainan tradisional dan boleh mengetahui cara-cara bermain
permainan ini. Oleh itu, tindakan mengadakan kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan
tradisional di sekolah berupaya mengekalkan kewujudan permainan ini pada saat masa yang
panjang.
Selain itu, usaha yang dapat dilakukan adalah peranan pihak Kementerian Kesenian,
Kebudayaan, dan Warisan agar mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri atau
kebangsaan serta memberi sijil penghargaan kepada sesiapa yang menyertainya. Hal ini dapat
menarik perhatian para pelajar sekolah untuk menyertai pesta tersebut dengan ganjaran sijil
penghargaan yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam melanjutkan pelajaran.
Langkah ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru yang pada masa yang sama
menggalakkan remaja meminati permainan ini. Dengan memperluas permainan tradisional
hingga ke peringkat angtarabangsa seperti permainan wau dan permainan sepak raga juga
membantu dalam mengekalkan kewujudan permainan tradisional. Usaha memperkenalkan
kepada para pelancong melalui program pelancongan “tak kenal maka tak cinta” dapat
menjadikan permainan tradisional berada dalam taraf angtarabangsa. Oleh itu, jelaslah bahawa
peranan pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan amat penting dalam
mengekalkan kewujudan permainan tradisional.
Di samping itu, kerajaan juga perlu membina lebih banyak kemudahan untuk permainan
tradisional. Pembinaan kawasan padang dan gelanggang khas membolehkan lebih banyak rakyat
negara ini turut melibatkan diri dalam permainan tradisional yang memberi banyak kesan positif
kepada rakyat Malaysia seperti manyatupadukan dan mengeratkan silaturahim sesama
masyarakat. Suasana yang meriah sebegini pasti memberikan impak positif kepada masyarakat.
Mereka melihat permainan ini sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan harian mereka..
Sesungguhnya, lebih banyak kawasan khas permainan ini disediakan semakin bertambahlah
minat masyarakat kita untuk bermain permainan tradisional. Malah, satu kempen yang terancang
tentang permainan ini perlu diadakan oleh pihak berkuasa. Dalam kempen itu dipamerkan
kepentingan permainan tradisional dibekalkan bersama-sama dengan sejarah permainan, tokoh
dan sebagainya. Semua informasi ini memberikan satu pengetahuan baru kepada masyarakat
yang mungkin boleh menimbulkan minat dan penghargaan mereka terhadap permainan
tradisional.
Akhir sekali, berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan
permainan tradisional dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih dan mahir di setiap
gelanggang yang telah disediakan itu. Dengan adanya jurulatih ini memastikan masyarakat
menerima latihan yang betul tentang sesuatu permainan tradisional itu dan berupaya
mengajarkan pengetahuan mereka itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan
berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan tradisional yang semakin dilupakan
kerana tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan tradisonal
ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.
Peranan media massa dalam menyiarkan program yang memaparkan permainan tradisional dan
sukaneka berteraskan permainan tradisional seperti program ‘telematch’ yang disiarkan oleh
media massa Eropah juga menjadi satu langkah efektif untuk menjadikan permainan tradisional
mendapat tempat di hati rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.
Kesimpulannya, dalam usaha untuk mengekalkan permainan tradisional, pihak yang
berkenaan haruslah mengambil langkah yang sesuai untuk memperkembangkan dan
memajukannya. Hal ini demikian kerana permainan tradisional membawa banyak kebaikan
kepada masyarakat dan negara. Dalam bidang pelancongan misalnya permainan tradisional dapat
dijadikan daya tarikan pelancong. Khazanah permainan tradisional, sekiranya tidak dikekalkan
akan melenyapkan identiti bangsa.
LANGKAH-LANGKAH MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL
Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada
pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana
hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran
resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan
tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek
moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa
lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka
bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri
dengan keadaan yang demikian. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung,
penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar
memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di
antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan
tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau,
selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam
pelbagai skop,permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita. Oleh
itu,pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan
tradisional pada hari ini.
Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan
permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan
set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah
ini,ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek
moyang kita .Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka
bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain
permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan,ibu bapa
juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan
menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah
mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat mencambahkan minat generasi muda untuk
terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi
baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu
yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu,setiap ahli keluarga terutamanya ibu
bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.
Selain itu,permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada
pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan
tradisionald dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini,pihak sekolah perlu memastikan kelab ini
bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi
galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan
tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan
congkak,permainan gasing dan permainan batu seremban.Bahkan, pelajar juga dapat
mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka
akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang
berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam. Pihak sekolah boleh
menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan
tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif
dengan pihak yang berkemahiran itu.Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat
mengetahui tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai
rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar
sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan
jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini,minat mereka mulai pudar dan
beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan
tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui
kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli
alatan permainan ini terus daripada kilang,kos untuk membelinya menjadi bertambah murah.
Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan
adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah,pelajar akan
berminat untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini,bahkan
semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti
kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi. Pihak sekolah juga boleh menjadi
pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah
dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk
bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain
gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk
menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan
pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan
dapat sagunya.
Dalam fasa itu,masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam
menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan
tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya
kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga,kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk
membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan
adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional
tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan
mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana
sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya,dengan
penglibatan bilangan komuniti yang ramai,usaha untuk mempopularkan permainan nenek
moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat
perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka.
Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini.
Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi
mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaj tanpa mendapat sebarang
pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam
mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus
perdana.
Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan
hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi yang progresif menerusi media
massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat tentang peri pentingnya kita menjaga
warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini.
Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan
ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil
langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main
Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang
merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli
masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun luar negara mendapat pendedahan dan
mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak
kenal, maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai
‘Bulan Permainan tradisional’.Oleh hal yang demikian,dengan adanya langkah proaktif tersebut,
kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi
yang akan datang.
Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau,layang-layang,sepak
raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk
memainkannya.Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau
gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat bermain permainan ini.
Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman
perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan
waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu,jurulatih yang terlatih
juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar
untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat
permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah
juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan
boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah.
Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan
permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum
ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini dapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan
hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya.
Dewasa ini, permainan tradisional tidak lagi digemari oleh generasi muda malah
kedapatan juga permainan yang telah pupus ditelan zaman. Terdapat banyak faktor yang telah
menyebabkan fenomena ini berlaku. Oleh sebab itu, pelbagai langkah drastik perlu dilakukan
untuk mempopularkan kembali permainana tradisional.
Pada umumnya, permainan tradisional merupakan permainan yang dicipta oleh
masyarakat tradisional pada zaman lampau. permainan tradisional ini menjadi kebanggaan
masyarakat dan seterusnya diwarisi dari satu generasi kepada generasi berikutnya. pada
kebiasaannya, permainan tradisional ini dimainkan pada masa lapang, pada perayaan-perayaan
tertentu atau selepas tamat sesuatu musim, misalnya musim menuai padi. Namun demikian, pada
hari ini permainan tradisional hanya dimainkan oleh segelintir masyarakat sahaja. Hal ini
sedemikian kerana permainan tradisional yang menjadi lambang kemegahan dan warisan tradisi
masyarakat terdahulu semakin dilupai oleh generasi muda.
Terdapat banyak faktor yang telah menyebabkan permainan tradisional semakin dilupai
oleh masyarakat kini. Faktor utama yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah remaja zaman
sekarang beranggapan bahawa permainan tradisional sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai
lagi dimainkan. Persaingan dengan permainan moden yang canggih seperti permainan komputer
juga merupakan ancaman kepada permainan tradisional. Remaja hari ini juga lebih cenderung
kepada sukan lasak yang dianggap lebih mencabar dan memerlukan daya saing serta daya tahan
yang tinggi. Hal ini menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat dan kian melupai cara
sesuatu permainan tradisional dimainkan.
Kita, sebagai rakyat Malaysia haruslah bersama-sama bertanggungjawab dan berganding
bahu untuk mempopularkan kembali permainan tradisional agar terus popular seperti kata
peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. terdapat beberapa langkah untuk
mempopularkan kembali permainan tradisional. langkah pertama yang perlu diambil oleh pihak
kerajaan ialah mewajibkan setiap sekolah di Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan
permainan tradisional sama ada di peringkat sekolah , daerah, negeri dan kebangsaan. Langkah
ini bagi memperkenalkan kembali sesuatu permainan tradisional dan cara-cara memainkannya
agar sentiasa segar dalam ingatan generasi muda. Dalam hal ini, kita amat berasa bangga dengan
usaha Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim yang menganjurkan Festival Layang-layang
Peringkat Antarabangsa yang bertempat di Pasir Gudang, Johor. Selain dapat memperkenalkan
warisan tradisi masyarakat Malaysia, usaha ini juga dapat menarik kedatangan pelancong asing
datang ke negera kita.
Pihak Kerajaan dengan kerjasama media massa dalam dan luar negera juga memainkan
peranan besar untuk mempopularkan kembali permainan tradisional. pihak kerajaan dan media
massa haruslah mengadakan pelbagai kempen mempromosikan permainan tersebut dengan
mengadakan pameran dan pertandingan berkaitan permainan tradisional. Kempen-kempen ini
perlulah diadakan secara berterusan terutama di tempat-tempat yang dikunjungi ramai
masyarakat tempatan dan para pelancong. Tegasnya apa yang akan dilakukan oleh semua pihak
perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi dan tidak bersifat bagai melepaskan batuk di
tangga sahaja.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan permainan tradisional
kepada anak-anak mereka. Mereka perlu mengajar cara-cara permainan tradisional sejak kecil
lagi. Situasi ini dapat dikaitkan dengan peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah daripada
rebungnya. ibu bapa boleh membelikan anak mereka permainan tradisional seperti gasing,
congkak, wau dan lain-lain lagi. Mereka juga boleh bermain bersama-sama anak mereka. Situasi
ini secara tidak langsung dapat mengeratkan pertalian antara keluarga dan menyelami hati dan
perasaan mereka, ibarat kata peribahasa sambil menyelam minum air.
Natijahnya semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk sama-sama
mempopularkan kembali permainan tradisional yang semakin pupus. Hal ini amat penting agar
permainan tradisional tetap popular dalam kalangan generasi muda