manual permainan tradisional

Upload: ct

Post on 06-Jan-2016

221 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

Manual Permainan Tradisional

TRANSCRIPT

MANUAL PELAKSANAAN PERMAINAN TRADISIONAL

PENDAHULUAN

Permainan Tradisional merupakan satu makanisma yang dapat melatih kanak-kanak belajar dalam suasana yang bebas, menyeluruh dan seimbang melalui penerolaan alam sekitar sepenuhnya. Dari pengalaman, pemerhatian dan penglibatan penulis sebagai guru di bidang Pengajian Awal Kanak-Kanak selama 21 tahun, permainan tradisional mempunyai banyak kelebihan berbanding permainan yang berada di pasaran pada masa kini. Antaranya :

Merangsang dan meningkatkan perkembangan fizikal kanak-kanak kerana kanak-kanak berpeluang meneroka persekitaran dan menggunakan anggota badan secara optimum. Merangsang dan meningkatkan perkembangan kognitif dan kreativiti kanak-kanak kerana perlu menyelesaikan masalah semasa bermain, dari segi peralatan, bahan, cara bermain atau peraturannya.

Merangsang dan meningkatkan perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak semasa mereka berinteraksi dengan rakan sebaya, menyatakan pendapat dan menceritakan pengalaman mereka semula.

Merangsang dan meningkatkan perkembangan sosioemosi semasa bermain dan belajar untuk bekerjasama, tolong menolong, mematuhi peraturan dan sebagainya. Merangsang dan meningkatkan perkembangan estetika dan daya kreatif semasa meneroka persekitaran dan merekacipta bahan atau alat permainan baru.

Merangsang dan meningkatkan perkembangan rohani kanak-kanak semasa meneroka persekitaran dan melihat serta menilai ciptahan tuhan.

Memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap persekitaran dan sentiasa berusaha meneroka dsemasa bermain. 1. Layang-layang

Pengenalan

Layang-layang adalah permainan tradisional yang memerlukan kawasan lapang dan berangin untuk bermain. Biasanya ia memerlukan dua orang untuk bermain. Seorang akan memegang tali layang-layang dan seorang lagi akan memegang layang-layang.

Cara bermain1. Permainan ini memerlukan kesepakatan dan kerja sama yang kuat antara dua individu tersebut. 2. Apabila angin bertiup, si pemegang layang-layang akan melonjak melepaskan layang-layang dan si pemegang tali yang di panggil juru anjung akan berlari dan menarik tali layang-layang secara berlawanan dengan arah angin. 3. Perbuatan menghulur dan menarik tali layang-layang akan menyebabkan layang-layang tersebut terbang tinggi di udara.Objektif

Secara umumnya bermain layang-layang dapat meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Kanak-kanak akan menjadi lebih kreatif apabila mereka membina layang-layang sendiri. Mereka juga akan lebih peka pada keadaan persekitaran, contohnya mereka akan meneliti keadaan cuaca, pergerakan angin, memilih kawasan yang sesuai dan membentuk hubungan semasa mencari rakan untuk bermain. Secara tidak langsung kanak-kanak akan melatih diri untuk membuat keputusan. Hasil Pembelajaran

Perkembangan bahasaKanak-kanak dapat :

Berinteraksi bersama rakan sebaya dan pengasuh.

Berbual menggunakan ayat mudah dengan sebutan yang betul semasa bermain.

Mempelajari perbendaharaan kata baru.

Perkembangan Fizikal Kanak-kanak dapat :

Menzahirkan idea kreatif menggunakan pengalaman dan pengetahuan sedia ada tentang bahan dan teknik semasa menghasilkan layang-layang

Menguatkan otot-otot dan anggota badan ketika bermain dan meningkatkan kemahiran motor halus dan manipulatif semasa membina layang-layang.Perkembangan Estetika dan daya kreatif

Kanak-kanak dapat :

Menzahirkan idea kreatif menggunakan pengalaman dan pengetahuan sedia ada tentang bahan dan teknik semasa menghasilkan layang-layang

Mengenali sumber yang menyebabkan kemalangan dan bahaya.Perkembangan KognitifKanak-kanak dapat :

Membuat pemerhatian ke atas objek dan fenomena alam di persekitaran.

Belajar tentang konsep asas sains seperti fungsi angin, berat dan ringan, keseimbangan dan lain-lain.

Belajar tentang konsep asas matematik seperti bentuk, bilangan, nombor, ukuran, jarak dan ketinggian dan lain-lain.

Perkembangan sosioemosiKanak-kanak dapat :

Membezakan ciptaan tuhan dan rekaan manusia.

Menerapkan nilai-nilai murni dalam diri.

Menginterpretasi perasaan sendiri seperti suka, gembira, marah, sedih, benci dan lain-lain.

Mengetahui kebolehan diri.

Mengenali dan mengawal emosi diri.Panduan untuk Guru dan Pengasuh

1. Aktiviti ini boleh dilaksanakan terus dengan menggunakan layang-layang sedia ada di pasaran untuk slot aktiviti luar bangunan atau aktiviti semasa hari keluarga.

2. Boleh dijadikan sebagai projek kumpulan atau individu. Kanak-kanak membina layang-layang sendiri menggunakan bahan terbuang (plastik, kertas surat khabar atau kertas pembungkus burger/makanan).

3. Dijadikan sebagai bahan bantu mengajar apabila setiap layang-layang dihias dengan menuliskan nombor, huruf, objek atau mengikut tema minggu tersebut.

2. Congkak

Pengenalan

Congkak adalah permainan tradisional yang boleh dimainkan di dalam rumah atau di luar. Ia memerlukan dua orang untuk bermain. Setiap papan congkak mempunyai empat belas lubang yang disusun dalam dua baris yang dipanggil 'kampung', di hujung setiap kampung ada lubang besar yang di panggil 'rumah'. Setiap kampung akan dipenuhi dengan tujuh biji 'buah'. Pada masa kini guli biasanya dipilih untuk dijadikan buah. Berbanding pada masa dahulu, kanak-kanak akan menggali lubang di atas tanah untuk menggantikan papan congkak. Ada kalanya kanak-kanak akan menyusun tempurung untuk dijadikan kampung. Buah untuk congkak biasanya dipilih dari bahan yang mudah diperolehi diri persekitaran seperti biji getah, kulit kerang atau batu-batu kecil.

Cara bermain

1. Permainan congkak bermula apabila kedua-dua pemain serentak memasukkan buah ke dalam setiap 'kampung' dan seterusnya memasukkan ke 'rumah' dan seterusnya ke 'kampung' sebelah lawan. 2. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung yang mempunyai buah, maka permainan boleh diteruskan. Walau bagaimanapun, jika ia mati (apabila buah jatuh ke 'kampung' yang kosong) di kampung sendiri dan di sebelah lawan mempunyai buah maka ia boleh mengambil buah tersebut dan di masukkan ke dalam rumah. Situasi ini di panggil 'tikam'. 3. Sekiranya keadaan sebaliknya yang berlaku, iaitu tiada buah di sebelah lawan, maka ia mati dalam keadaan rugi. 4. Pemain dikira mati sekiranya buah terakhir jatuh di kampung sendiri atau di kampung lawan yang tidak mempunyai buah. 5. Permainan akan berakhir sekiranya salah seorang kehabisan buah dalam kampungnya dan pihak lawan masih mempunyai buah.6. Pemain terakhir yang bermain adalah pemenang, walaupun jumlah buah di dalam rumah sedikit.

Objektif

Permainan congkak boleh meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak secara tidak langsung. Kanak-kanak akan menjadi lebih peka dengan pergerakan lawan. Kanak-kanak belajar membuat jangkaan semasa memilih jumlah buah untuk memulakan permainan. Selain daripada itu, bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai papan congkak, mereka juga akan lebih peka keadaan persekitaran seperti mencari tempat membuat lubang atau memilih bekas yang sesuai untuk membuat lubang congkak. Mereka akan lebih kreatif memilih bahan di persekitaran untuk dijadikan buah. Secara tidak langsung kanak-kanak akan melatih diri untuk membuat keputusan.

Hasil Pembelajaran

Perkembangan bahasaKanak-kanak dapat :

Berinteraksi bersama rakan sebaya dan pengasuh.

Berbual menggunakan ayat mudah dengan sebutan yang betul semasa bermain.

Mempelajari perbendaharaan kata baru.

Belajar menggunakan bahasa matematik.

Perkembangan Fizikal Kanak-kanak dapat :

Menggunakan anggota badan untuk bergerak semasa meneroka persekitaran untuk mencari bahan yang sesuai untuk dijadikan buah congkak.

Meningkatkan kemahiran motor kasar, motor halus dan manipulatif semasa bermain congkak.

Mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit dan keselamatan diri.

Perkembangan Eetetika dan daya kreatif Kanak-kanak dapat :

Menggunakan pengalaman dan pengetahuan sedia ada untuk memilih bekas dan ruang untuk dijadikan lubang congkak serta memilih buah yang sesuai untuk bermain.

Meneroka persekitaran untuk mencari bahan yang sesuai untuk dijadikan buah congkak.

Meningkatkan kemahiran motor halus dan manipulatif semasa bermain congkak.

Perkembangan KognitifKanak-kanak dapat :

Membuat pemerhatian ke atas persekitaran dan membuat keputusan.

Belajar tentang konsep asas sains dan membuat perkaitan seperti fungsi bahan, tekstur bahan, konsep keras dan lembut dan lain-lain.

Belajar tentang konsep asas matematik seperti bentuk, bilangan, saiz, nombor, seriasi dan lain-lain.

Memahami operasi tambah dalam lingkungan tertentu.

Perkembangan SosioemosiKanak-kanak dapat :

Menerap nilai-nilai murni dalam diri seperti kesabaran dan lain-lain.

Menginterpretasi perasaan sendiri seperti gembira, sedih, geram dan lain-lain.

Mengetahui kebolehan diri dan mengawal emosi. Membina semangat dan keyakinan diri yang positif.

Panduan untuk Guru dan Pengasuh

1. Aktiviti ini boleh dilaksanakan terus dengan menggunakan papan congkak sedia ada di pasaran untuk slot aktiviti dalam dan luar bangunan.

2. Boleh dijadikan sebagai projek kumpulan di mana kanak-kanak membina papan congkak sendiri menggunakan bahan terbuang (bekas makanan, cawan kertas, origami kertas surat khabar, tempurung dan lain-lain).3. Boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar subjek matematik apabila mengajar topik operasi, seriasi dan bilangan. Bagi subjek sains apabila mengajar tentang fungsi dan tekstur.3. Galah Panjang

Pengenalan

Galah panjang merupakan permainan berpasukan dan memerlukan kawasan lapang untuk bermain. Gelanggang bermain biasanya ditandakan dengan petak mengikut jumlah dan ukuran yang dipersetujui oleh pemain. Bilangan garisan bergantung kepada jumlah ahli bagi setiap kumpulan. Terdapat dua kumpulan dalam permainan tersebut iaitu kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Ahli bagi setiap kumpulan biasanya antara empat ke sepuluh orang dan setiap kumpulan mempunyai seorang ketua. Ketua akan menjaga garisan permulaan dan tengah, manakala ahli lain akan menjaga garisan melintang setiap petak.

Cara bermain

1. Permainan bermula apabila ketua pasukan penyerang menepuk tangan ketua pasukan bertahan di kepala atau permulaan gelanggang. 2. Setiap pemain penyerang dikehendaki melepasi semua garisan sehingga ke garisan belakang dan perlu kembali semula ke garisan hadapan.

3. Pergerakan pemain penyerang akan diawasi dan dihalang oleh pemain bertahan dengan mencuit atau menyentuh permain tersebut. Pemain penyerang perlu mengelakkan diri dari dicuit atau disentuh oleh pemain bertahan.4. Sekiranya salah seorang pemain penyerang telah berjaya dicuit atau disentuh oleh pemain bertahan, maka pasukan penyerang dikira mati. Permainan akan diteruskan dengan pertukaran kedudukan di mana pasukan penyerang akan menjadi pasukan bertahan dan sebaliknya.

5. Pasukan penyerang akan dikira menang apabila salah seorang ahlinya melepasi semua garisan dan kembali ke garisan permulaan.

Objektif

Permainan galah panjang boleh meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak secara tidak langsung. Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal dan mental kanak-kanak. Ia juga dapat melatih kanak-kanak membuat koordinasi mata, tangan dan kaki kerana mereka perlu berlari dan mendepakan tangan untuk membuat halangan. Kanak-kanak di pasukan penyerang akan menjadi lebih peka dengan pergerakan bertahan. Kanak-kanak akan belajar berfikir dengan pantas dan fokus semasa bergerak supaya tidak dicuit oleh pihak lawan. Selain daripada itu, kanak-kanak akan belajar bermain berpasukan, bekerjasama dan berusaha untuk mempertahankan pasukan masing-masing.Hasil Pembelajaran

Perkembangan bahasaKanak-kanak dapat :

Memberi arahan yang jelas.

Mendengar dan menerima arahan dengan baik. Berinteraksi menggunakan ayat mudah yang ringkas dan difahami. Mempelajari perbendaharaan kata baru.

Perkembangan fizikal Kanak-kanak dapat :

Meningkatkan kemahiran motor kasar kanak-kanak, keseimbangan badan dan seterusnya melatih kanak-kanak supaya lebih tangkas, kuat dan cerdas. Melatih kanak-kanak membuat koordinasi mata, tangan dan kaki.Perkembangan estetika dan daya kreatif

Kanak-kanak dapat :

Menggunakan pengalaman dan pengetahuan sedia ada untuk memilih tempat untuk bermain.

Mencari idea atau akal untuk melepaskan diri.

Perkembangan KognitifKanak-kanak dapat :

Membuat pemerhatian ke atas persekitaran.

Belajar tentang konsep asas sains seperti fungsi bahan, tekstur bahan semasa membuat gelanggang. Belajar tentang konsep asas matematik seperti bentuk, bilangan dan saiz semasa menyediakan gelanggang bermain.Perkembangan SosioemosiKanak-kanak dapat :

Menginterpretasi perasaan sendiri seperti gembira, marah, sedih, risau dan lain-lain.

Menerapkan nilai-nilai murni dalam diri seperti kesabaran, bekerjasama dalam pasukan dan mematuhi arahan.

Mengetahui kebolehan diri.

Mengenali dan mengawal emosi diri.Panduan untuk Guru dan Pengasuh

1. Aktiviti ini boleh dilaksanakan sebagai aktiviti fizikal di luar bangunan bertujuan meningkatkan stamina kanak-kanak.2. Boleh merangsang kemahiran berfikir kanak-kanak apabila menyediakan gelanggang kerana mereka perlu membuat perkaitan antara bilangan setiap ahli kumpulan dengan bilangan barisan, dan saiz badan dengan keluasan petak.3. Boleh merangsang daya kreativiti dan estetika kanak-kanak semasa menyelesaikan masalah berkaitan permainan. 4. Aci sorokPengenalan

Permainan guli merupakan permainan yang memerlukan pemain bermain beramai-ramai. Ia boleh dimainkan di luar dan di dalam bangunan. Walau bagaimanapun kad kkawasan bermain perlu ditentukan supaya kanak-kanak mudah diawasi dan tidak menyorok di tempat merbahaya.

Cara bermain

1. Undian akan dijalankan dengan mencari pencari dan pemain. Cara undian akan ditentukan oleh pemain dan dipersetujui oleh semua ahli.2. Setelah pencari ditentukan, dia akan berdiri di tiang induk dan mula membuat kiraan. Jumlah kiraan bergantung kepada persetujuan yang dibuat di awal permainan.

3. Pemain lain akan menyorok di sekitar kawasan yang ditetapkan.

4. Setelah selesai kiraan, pencari akan mula mencari pemain lain. Sekiranya pemain pertama dijumpai, pencari perlu menyebut namanya dengan kuat dan diikuti mencuit tiang induk.

5. Pencarian akan diteruskan sehingga semua pemain dijumpai.

6. Permainan akan dimulakan semula dengan pemain pertama dijumpai, akan menjadi pencari. 7. Walau bagaimanapun, sekiranya pemain yang ditemui sempat mencuit pencari sebelum pencari menyebut namanya dan mencuit tiang induk, maka permainan akan bermula semula dan pencari akan menjadi pencari semula.

Objektif

Permainan ini boleh meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak secara tidak langsung. Permainan ini memerlukan ketangkasan kanak-kanak berlari. Ia juga dapat melatih kanak-kanak mengingat dan mengenali semua rakan-rakannya. Kanak-kanak akan belajar berhati-hati, berwaspada dan fokus semasa bermain supaya tidak dicuit oleh pihak lawan. Selain daripada itu, kanak-kanak akan belajar cara untuk menyelamatkan diri supaya tidak dijumpai oleh pencari.Hasil Pembelajaran

Perkembangan bahasaKanak-kanak dapat :

Menyebut angka dengan jelas dan betul.

Mendengar dengan baik.

Berinteraksi menggunakan ayat mudah yang ringkas dan difahami.

Mempelajari perbendaharaan kata baru.

Perkembangan Fizikal Kanak-kanak dapat :

Meningkatkan kemahiran motor kasar kanak-kanak apabila kanak-kanak berlari menyorok atau untuk mencuit tiang induk.Perkembangan Estetika dan daya kreatif

Kanak-kanak dapat :

Menggunakan pengalaman, pengetahuan sedia dan kreativiti untuk memilih tempat persembunyian.

Memilih tempat yang selamat untuk menyorok.

Mengelak dari dicuit atau dijumpai oleh pencari.

Perkembangan KognitifKanak-kanak dapat :

Membuat pemerhatian ke atas persekitaran.

Belajar tentang konsep asas sains seperti fungsi bahan dan sifat bahan seperti legap dan lut sinar.

Belajar tentang konsep asas matematik seperti nombor, konsep kiraan, bilangan, ruang, seriasi dan lain-lain.Perkembangan sosioemosiKanak-kanak dapat :

Menginterpretasi perasaan sendiri seperti seronok, gembira, takut, risau, berdebar, kesian dan lain-lain.

Menerapkan nilai-nilai murni dalam diri seperti kesabaran, bekerjasama dalam pasukan, rasa simpati dan mematuhi arahan.

Mengenali dan mengawal emosi diri.

Meningkatkan keyakinan diriPanduan untuk Guru dan Pengasuh

1. Aktiviti ini boleh dilaksanakan sebagai aktiviti fizikal di dalam dan luar bangunan bertujuan meningkatkan stamina dan fokus kanak-kanak. Ia juga dapat melatih kanak-kanak menyelamatkan diri.

2. Boleh merangsang kemahiran berfikir kanak-kanak apabila mencari tempat untuk bersembunyi.

3. Boleh merangsang daya kreativiti dan estetika kanak-kanak semasa menyelesaikan masalah mencari 'pencari'.

5. Konda Kondi

Pengenalan

Konda kondi merupakan permainan berpasukan dan memerlukan kawasan lapang untuk bermain. Permainan ini seakan-akan permainan solfball. Terdapat dua kumpulan dalam permainan ini. Permainan ini menggunakan dua batang kayu untuk bermain iaitu kayu pendek yang dipanggil kayu anak dan kayu panjang yang dipanggil kayu ibu. Pemain perlu menggali satu lubang kecil untuk meletakkan kayu anak sebelum disungkit oleh pemain.

Cara bermain

1. Undian akan dijalankan dengan mencari kumpulan mana yang akan memulakan permainan. Cara undian akan ditentukan oleh pemain dan dipersetujui oleh semua ahli.

2. Pemain pertama memulakan pemainan dengan meletakkan kayu anak melintang di atas lubang. Pemain akan menyungkit kayu anak menggunakan kayu ibu dan menghalakannya ke arah yang sukar ditangkap oleh pihak lawan.3. Sekiranya pasukan lawan berjaya menangkap kayu anak, semua pemain dalam kumpulan ini dikira mati, dan permainan akan diambil alih oleh pihak lawan.

4. Sekiranya pasukan lawan tidak berjaya menangkap kayu anak, mana-mana ahli kumpulan lawan boleh mengutip kayu anak dan membalingnya ke arah masuk ke dalam lubang atau mengenai kayu ibu. Jika kayu anak masuk ke dalam lubang atau mengenai kayu ibu pemain yang membuat sungkitan dikira mati, dan pemain lain akan mengambil alih giliran.5. Sekiranya balingan kayu anak tadi tidak mengenai kayu ibu, markah akan di diukur dengan mengira jarak kayu anak tersebut jatuh semasa membuat balingan tadi sehingga ke lubang.Objektif

Permainan ini boleh meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak secara tidak langsung. Permainan ini memerlukan ketangkasan kanak-kanak berlari dan menangkap kayu anak. Ia juga dapat melatih kanak-kanak membuat koordinasi antara mata dan tangan semasa menyungkit dan menyambut kayu anak. Permainan ini juga melatih kanak-kanak supaya fokus dan memberi tumpuan semasa pihak lawan sedang menyungkit kayu anak dan seterusnya membuat jangkaan tempat kayu anak akan jatuh. Mereka juga perlu fokus semasa membaling kayu anak supaya masuk ke dalam lubang atau mengenai kayu ibu. Selain daripada itu, permainan ini melatih kanak-kanak memahami dan bekerjasama sesama ahli dalam kumpulan.Hasil Pembelajaran

Perkembangan bahasaKanak-kanak dapat :

Memberi arahan dan mendengar arahan.

Berinteraksi menggunakan ayat mudah yang ringkas dan difahami.

Mempelajari perbendaharaan kata baru.

Menggunakan bahasa isyarat semasa berkomunikasi.

Perkembangan Fizikal Kanak-kanak dapat :

Menggunakan pengalaman, pengetahuan sedia dan kreativiti semasa bermain.

Meningkatkan kemahiran motor kasar kanak-kanak apabila kanak-kanak menyungkit dan berlari menyambut kayu anak. Meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak apabila kanak-kanak memegang kayu ibu dan menyambut kayu anak. Memilih tempat yang selamat untuk bermain.

Perkembangan Estetika dan daya kreatif

Kanak-kanak dapat :

Menggunakan pengalaman, pengetahuan sedia dan kreativiti semasa bermain.

Meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak apabila kanak-kanak memegang kayu ibu dan menyambut kayu anak. Memilih tempat yang selamat untuk bermain.

Perkembangan KognitifKanak-kanak dapat :

Membuat pemerhatian ke atas persekitaran.

Belajar tentang konsep asas sains seperti fungsi bahan, tekstur dan sifat bahan seperti berat dan ringan, pengaruh angin dan lain-lain. Belajar tentang konsep asas matematik seperti nombor, konsep kiraan, bilangan, ruang, seriasi dan lain-lain.

Perkembangan SosioemosiKanak-kanak dapat :

Menginterpretasi perasaan sendiri seperti seronok, gembira, takut, teruja, berdebar dan lain-lain.

Menerapkan nilai-nilai murni dalam diri seperti kesabaran, bekerjasama dalam pasukan, kepimpinan dan mematuhi arahan.

Mengenali dan mengawal emosi diri.

Meningkatkan keyakinan diri.Panduan untuk Guru dan Pengasuh

1. Aktiviti ini boleh dilaksanakan sebagai aktiviti fizikal di luar bangunan bertujuan meningkatkan stamina dan fokus kanak-kanak. Ia juga dapat melatih sepakat dan bersatu dalam kumpulan.2. Boleh memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka persekitaran semasa mencari kayu anak dan kayu ibu.

3. Boleh merangsang daya tumpuan kanak-kanak semasa membuat sungkitan dan menangkap kayu anak.Lain-lain permainan :1. Jan-jan jala

2. Tarik upih

3. Injit-injit semut

4. Mencari cucu

5. Pukul berapa datuk harimau

6. Teng-teng

7. Main guli

8. Tuju selipar

9. Main getah

10. Tuju tin

11. Lawan temucut

12. Batu seremban

13. Main lastik

14. Sorok sapu tangan

15. Kaki gajah

16. Main masak-masak

19