ulasan buku permata pengislahan...
TRANSCRIPT
1
ULASAN BUKU
PERMATA PENGISLAHAN PERUNDANGAN ISLAM
(Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim)
Siti Shamsiah Md Supi
Abstrak
Profesor Ahmad Ibrahim dirujuk sebagai "permata" dalam perundangan kerana beliau
merupakan tokoh perundangan tanah air yang banyak melakukan perubahan terhadap sistem
Undang-undang Islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Buku biografi Profesor Ahmad
yang ditulis oleh Abdul Monir Yaacob dan tiga orang penulis lain merupakan salah satu
usaha dalam menerangkan sumbangan beliau kepada khalayak pembaca dalam kalangan
masyarakat Islam di Malaysia, dan dari sisi yang lain turut ditujukan kepada generasi baharu.
Tidak keterlaluan juga untuk penulis nyatakan bahawa ulasan yang dibuat selepas sedekad
buku ini diterbitkan adalah bagi memperingati tokoh terkemuka yang pernah
menyumbangkan budi hingga akhir hayat beliau sehingga pembangunan perundangan Islam
di negara ini dari pelbagai aspek dapat dilihat dan dinikmati oleh masyarakat Islam di
Malaysia hingga ke hari ini. Buku ini diulas dan dipersembahkan kepada khalayak adalah
sebagai menjelaskan tentang isi kandungannya supaya pembaca dapat menjangkakan dan
membayangkan keseluruhan buku berkenaan. Buku yang mengandungi 12 tajuk ini
merangkumi tiga kategori perbincangan iaitu peribadi, kerjaya dan sumbangan beliau
terhadap Undang-undang Islam di Singapura dan Malaysia. Antara keistimewaan yang
biasanya terdapat dalam buku-buku biografi, adalah apabila ia berkongsi dengan pembaca
tentang keperibadian tokoh yang menjadi subjek buku tersebut. Begitu jugalah yang ada
pada buku ini, selain sumbangan beliau yang terlihat dari pelbagai lapisan bidang termasuk
dalam bidang guaman, akademik, keanggotaan dalam berbagai-bagai jawatankuasa dan
sebagai penasihat kepada institusi-institusi sama ada di Singapura mahupun Malaysia.
Usaha beliau yang paling signifikan dalam memartabatkan kedudukan agama Islam di
negara ini adalah apabila pindaan terhadap Perkara 121 1(A) Perlembagaan Persekutuan
yang menghasilkan kedudukan Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa yang
tersendiri, dan tidak boleh dicampuri oleh mahkamah sivil. Akhirnya, ulasan buku ini dapat
merumuskan bahawa keseluruhan hidup sepanjang hayat tokoh ini adalah untuk
memartabatkan Undang-undang Islam; in the service of Islam. Mudah-mudahan roh beliau
berada dalam kalangan anbiya' dan solihin. Al-Fatihah.
Pengenalan
Buku biografi yang merujuk Profesor Ahmad Ibrahim (selepas ini disebut Profesor Ahmad)
sebagai watak utama ini adalah usaha murni pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM) dalam memperkenalkan tokoh perundangan Islam ini kepada masyarakat umum,
terutamanya kepada generasi muda yang masih baru melibatkan diri dalam dunia
perundangan Islam di Malaysia.
2
IKIM mempunyai perkongsian sejarah dengan Profesor Ahmad terutama pada ketika
IKIM masih baru berperanan sebagai institusi yang memberi kefahaman Islam kepada
masyarakat awam di Malaysia. Profesor Ahmad mempunyai peranan yang besar dalam
memastikan IKIM dapat menjalankan fungsinya secara berkesan, dalam pelbagai bidang
terutamanya dalam bidang Undang-undang Islam. Oleh yang demikian, IKIM mengambil
inisiatif untuk melaksanakan satu projek kajian yang hasilnya dapat merakam bahagian-
bahagian penting menerus sejarah hidup beliau, iaitu dalam bentuk buku biografi.
Bab 1: Metodologi Penyelidikan
Menerusi Bab Pertama, Profesor Ahmad dirujuk sebagai "permata" dalam perundangan
kerana beliau merupakan tokoh perundangan tanah air yang banyak melakukan perubahan
terhadap sistem Undang-undang Islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Buku biografi
Profesor Ahmad yang ditulis oleh Abdul Monir Yaacob dan tiga orang penulis lain
merupakan salah satu usaha dalam menerangkan sumbangan beliau kepada khalayak
pembaca dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, dan dari sisi yang lain turut
ditujukan kepada generasi baru.
Tidak keterlaluan juga untuk penulis nyatakan bahawa ulasan yang dibuat selepas
sedekad Buku Permata Pengislahan Perundangan Islam ini diterbitkan adalah bagi
memperingati tokoh terkemuka yang pernah menyumbangkan budi hingga akhir hayat
beliau sehingga pembangunan perundangan Islam di negara ini dari pelbagai aspek dapat
dilihat dan dinikmati oleh masyarakat Islam di Malaysia hingga ke hari ini.
Ketokohan beliau dalam bidang perundangan Islam banyak dinukilkan dan ditulis
oleh cendekiawan tanah air. Ia dimulai dengan tulisan M.B Hooker yang bertajuk, Islamic
and Malaysian Law: The Contribution of Professor Ahmad Ibrahim yang terdapat dalam
buku The Malaysian Legal System, 1986. Hooker menceritakan secara terperinci mengenai
sumbangan Profesor Ahmad yang berkecimpung dalam perundangan selama 30 tahun.
Seterusnya penulisan terhadap beliau oleh Tan Sri Harun Hashim yang bertajuk Memorial
Notice: Professor Tan Sri Ahmad Ibrahim dalam Malayan Law Journal, 1999. Tan Sri
Harun Hashim telah menceritakan pengalaman beliau ketika bersama Profesor Ahmad
dengan menjelaskan tokoh ini sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dan beriltizam
untuk mengangkat taraf Mahkamah Syariah di Malaysia.
3
Selain itu, Aziz Bari juga menulis mengenai beliau yang bertajuk Ahmad Ibrahim
and The Islamisation of Law in Malaysia yang dimuatkan dalam Monograph on Selected
Malay Intellectuals, 2006. Aziz Bari telah membuat analisis secara terperinci terhadap
sumbangan beliau dalam perundangan sivil mahupun Syariah. Penulisan ini juga
menceritakan mengenai idea Profesor Ahmad dalam membawa idea common law Malaysia
walaupun idea tersebut tidak sampai ke peringkat pelaksanaannya. Aziz Bari turut bersetuju
bahawa Profesor Ahmad telah meletakkan Islam sebagai instrumen yang penting dalam
perundangan.
Sebelum buku biografi tersebut ditulis, masih belum ada penulisan dalam bahasa
Melayu yang menyentuh secara menyeluruh mengenai kehidupan beliau iaitu bermula dari
kecil sehingga nafas beliau berakhir. Terdapat ruang yang amat luas untuk diisi bagi
memenuhi keperluan masyarakat Islam di negara ini agar mereka dapat "mengikuti"
perjalanan hidup tokoh ini. Buku ini ditulis dalam bahasa Melayu kerana beliau adalah
sebahagian daripada kita dan maslahah umat Islam di Malaysia dari sudut perundangan
Islam adalah matlamat perjuangan beliau.
Pembikinan sesebuah buku biografi memerlukan pengumpulan data berkaitan
individu terbabit. Dalam buku ini penulis telah menjelaskan bagaimana pengumpulan data
dibuat. Penyelidikan dengan menggunakan metode temu bual dibuat bagi mendapatkan data
mengenai perihal Profesor Ahmad. Keluarga beliau adalah sumber primer bagi mendapatkan
data-data personal. Pertemuan bersama keluarga beliau menghasilkan dapatan tentang
sejarah dan kehidupan Profesor Ahmad secara peribadi.
Contohnya, melalui En. Ismail yang merupakan salah seorang daripada anak beliau,
menyatakan bahawa Profesor Ahmad merupakan seorang yang tidak banyak bercakap,
berperwatakan serius dan sikapnya hanya dapat difahami melalui jawapan, respons dan cara
beliau bertindak. Selain temu bual bersama keluarga terdekat, penulis juga menemui
saudara tiri, rakan setugas, rakan sebidang, rakan seperjuangan dan bekas pelajar.
Pengumpulan data bukan sahaja melalui metode temu bual bahkan penulis turut
mengumpul data dalam metode analisis dokumen. Dokumen-dokumen yang diperoleh
adalah terdiri daripada rekod-rekod beliau semasa menuntut di St. John College Universiti
Cambridge. Selain itu, bahan-bahan yang berkaitan juga turut ditemui di The National
Archive di Kew Garden, Richmond Surrey. Perkara ini dapat membantu penulis dalam
menghuraikan fakta terhadap sumbangan beliau.
4
Menerusi perbincangan mengenai metodologi penyelidikan dalam buku ini, jelas
bahawa buku ini amat mementingkan ketulenan fakta yang diperoleh. Usaha penulis untuk
mendapatkan fakta yang asli bertujuan untuk menjadikan buku ini sebagai sebuah buku
ilmiah di samping menjelaskan sesuatu berserta bukti.
Bab 2: Latar belakang Keluarga
Bab Dua dalam buku ini adalah permulaan penceritaan tentang kisah hidup Profesor Ahmad.
Beliau dilahirkan pada 15 Mei 1916. Sebenarnya ibu bapa beliau berasal dari utara India,
dan keluarga beliau datang dan menetap di Singapura selepas datuknya membuat keputusan
untuk berhijrah ke situ atas urusan perniagaan.
Bapa beliau merupakan seorang doktor perubatan yang mendapat ijazah perubatan
dari London dan Pulau Pinang. Selain memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dari
aspek kesihatan, bapa beliau mempunyai personaliti yang istimewa sehingga amat dikenali
oleh masyarakat pada ketika itu, iaitu sebagai seorang yang suka membantu golongan susah
dengan memberikan perkihidmatan rawatan secara percuma.
Sudut keakraban dengan kaum kerabat, keluarga Profesor Ahmad mempunyai
hubungan yang erat sesama mereka kerana tinggal berhampiran dengan nenek, bapa saudara
dan sepupu-sepupunya.
Beliau adalah seorang remaja yang aktif berpersatuan. Antaranya, melibatkan diri
dengan Kesatuan Fizikal dan Kesusasteraan Anak Muda. Di Raffles College, beliau terlibat
sebagai ahli Persatuan Islam. Dalam sebuah program yang dihadiri oleh Dr. Khalid
Sheldrake, beliau turut terlibat untuk menyambut Dr. Khalid. Persatuan Islam di Raffles
College telah menjadikan Profesor Ahmad sebagai seorang individu yang mempunyai
semangat untuk menyumbang sesuatu kepada agama. Buku ini telah telah menceritakan
bagaimana Profesor Ahmad ketika remajanya sudah mempunyai kecenderungan untuk
memberi sumbangan demi agama. Hal ini memberi gambaran terhadap pembaca bahawa
kejayaan seseorang itu pada masa hadapannya adalah bermula dengan lakaran yang
dilakukan pada zaman remajanya.
Profesor Ahmad mendirikan rumah tangga pada tahun 1942 dengan seorang gadis
yang merupakan sepupunya bernama Salma (Puan Sri) binti Mohamed Tahir. Perkahwinan
bahagia ini telah dikurniakan dengan 10 orang cahaya mata.
5
Telah dinyatakan pada awal tadi bahawa Profesor Ahmad merupakan seorang yang
tidak banyak bercakap. Walaupun demikian, menurut anak-anak beliau, mereka amat
memahami prinsip bapa mereka, dan setiap keputusan beliau tidak pernah dipertikai oleh
mereka.
Walaupun rutin harian Profesor Ahmad amat sibuk, tetapi masa untuk bersama-sama
keluarga tidak pernah diabaikan. Makan malam bersama keluarga adalah cara bagi beliau
untuk meluangkan masa bersama-sama. Pada ketika inilah beliau akan mendengar semua
perkara daripada anak-anaknya.
Satu perkara yang menarik pada Profesor Ahmad yang jarang-jarang berlaku pada
sesiapa. Seperti orang lain, beliau juga memiliki kenderaan sendiri tetapi yang
membezakannya beliau tidak pernah memandu. Perkara ini dinyatakan oleh sahabat beliau,
Nik Abdul Rashid, yang menyatakan bahawa Profesor Ahmad tidak pernah memandu dan
tidak memiliki lesen memandu walaupun memiliki kenderaan sendiri. Beliau menggunakan
khidmat pemandu bagi memenuhi keperluan beliau untuk ke mana-mana destinasi.
Profesor Ahmad merupakan seorang yang memiliki tubuh yang tegap dan tinggi
ketika muda dan sentiasa berpakaian kemas. Identitinya juga terletak pada songkok yang
sentiasa dipakainya. Personaliti sedemikian menimbulkan anggapan bahawa beliau seorang
yang sukar untuk didekati. Sedangkan hakikatnya, beliau akan menerima sesiapa sahaja
ingin berurusan dengan beliau.
Menepati masa juga adalah imej Profesor Ahmad. Sesiapa sahaja yang ingin bertemu
beliau untuk sebarang urusan sama ada rasmi mahupun peribadi, perlu patuh pada masa dan
temu janji yang telah dibuat. Sekiranya seseorang itu hadir lewat, maka beliau akan terus
melayani temu janji seterusnya. Perwatakannya yang pendiam membataskan tulisan
biografi tentang cerita-cerita peribadi di sepanjang kehidupan beliau kerana beliau tidak
pernah berkongsi dengan sesiapa.
Walaupun begitu, menurut Profesor L.C. Green, beliau adalah seorang pemain hoki,
pemain bola sepak dan juga pelari pecut 100 dan 400 ela. Selain itu, beliau turut aktif dalam
aktiviti-aktiviti kebajikan dan sosial terutama yang melibatkan masyarakat Islam di
Singapura. Melalui sahabat-sahabat akrab beliau, beliau didapati amat menggemari durian,
kerana tidak pernah menolak ketika dijamu durian.
6
Sebagai seorang cendikiawan yang berpengetahuan serta mempunyai pengalaman
luas dalam perundangan, beliau sering menjadi rujukan. Namun, itu tidaklah menghalang
beliau untuk mendapatkan pandangan daripada orang lain. Dalam hal ini, sekalipun terdapat
perbezaan pandangan, beliau tidak tergesa-gesa memberi reaksi malah menerimanya dengan
penuh beradab. Cara beliau memberi respons terhadap pandangan yang berbeza, menjadikan
semua pihak berpuas hati.
Penglibatan beliau sebagai seorang pensyarah telah memberi kesan yang mendalam
kepada pelajar-pelajarnya. Keikhlasan beliau ketika mendidik dan mengajar amat dirasai
dalam kalangan pelajar beliau. Hal ini dapat dirakam melalui penceritaan Profesor Lily
Rasjidi ketika beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana dan Profesor Ahmad
merupakan penyelia beliau pada ketika itu. Profesor Lily berasa amat terkesan kerana
Profesor Ahmad telah menganggapnya seperti anaknya sendiri.
Profesor Ahmad sememangnya insan yang amat ikhlas. Keikhlasan beliau amat
terserlah ketika penglibatan beliau dalam menterjemah draf undang-undang enakmen negeri
Kelantan dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sebelum ia diluluskan. Beliau sanggup
menerima tugasan tersebut kerana ingin membantu penasihat undang-undang pada ketika
itu, Dato’ Hamid Muhammad, yang tidak mempunyai waktu yang cukup untuk
menyelesaikannya.
Penjelasan yang mendalam mengenai latar belakang Profesor Ahmad, dari tarikh
kelahirannya sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada jam 2.15 pagi, 17 April 1999,
tentunya dapat membantu pembaca untuk mengenali dengan lebih rapat tentang tokoh ini.
Bab 3: Pendidikan Profesor Ahmad Ibrahim
Dalam Bab Tiga penulis menceritakan tentang perjalanan hidup Profesor Ahmad sebagai
penuntut ilmu bermula dengan pendidikan awal beliau di Singapura kemudian di Universiti
Cambridge seterusnya latihan guaman di Middle Temple.
Pendidikan awal beliau bermula di St Anthony Boy’s School, Singapura. Pencapaian
beliau sebagai seorang pelajar cemerlang telah menjadikan beliau selalu mendapat hadiah
bagi semua mata pelajaran yang diambil. Hal ini membuatkan pihak sekolah menghadkan
tiga hadiah sahaja bagi seorang pelajar. Setelah beliau menamatkan pembelajaran di St.
7
Anthony, beliau meneruskan pengajian di Sekolah Victoria Bridge dan seterusnya ke Raffles
Institution. Beliau diterima masuk ke Raffles College ketika berusia 16 tahun.
Kejayaan beliau mendapatkan Biasiswa Queen (Queen Scholarship) telah
melayakkan beliau menyambung pengajian di Universiti Cambridge semasa berumur 20
tahun. Beliau telah mengikuti kursus Ekonomi pada tahun pertama di Cambridge. Beliau
telah memperoleh Kelas Pertama (Economic Tripos 1) pada tahun 1937. Selepas itu, beliau
bertukar jurusan daripada ekonomi kepada undang-undang.
Dalam jurusan undang-undang, Profesor Ahmad telah menuntut daripada pensyarah-
pensyarah universiti yang terdiri daripada pakar undang-undang seperti S.J. Bailey, P.H.
Winfield dan Dr. Glanville Williams. Beliau juga memperoleh Kelas Pertama ketika
menduduki peperiksaan Law Qualifying Examination pada tahun 1938. Seterusnya pada
tahun 1940 beliau turut mengambil peperiksaan yang bertujuan bagi mendapatkan Ijazah
LLB. Beliau tidak mensia-siakan peluang di Cambridge sehingga beliau menjadi seorang
yang pakar dalam Undang-undang Inggeris.
Ketika di Cambridge juga, Profesor Ahmad telah mengikuti latihan guaman di
Middle Temple, London dengan melayakkannya menjadi peguam (call to the bar). Perkara
ini mendapat sokongan padu daripada Pengarah Pendidikan dan Penasihat Negeri-negeri
Melayu. Beliau telah pulang ke Singapura selepas mengikuti tempoh pupilage di Middle
Temple selama tiga tahun. Pada 16 September 1946, beliau telah diterima sebagai peguam
bela dan peguam cara Melayu yang pertama. Penerimaan beliau sebagai peguam telah
diadakan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Murray Aynsley. Penulis telah
membuat huraian secara terperinci mengenai pendidikan Profesor Ahmad bermula dari
beliau mula bersekolah di Singapura sehinggalah beliau menamatkan pengajian di
Universiti Cambridge.
Bab 4: Kerjaya di Singapura
Bab Empat dalam buku ini memfokuskan perjalanan kerjaya Profesor Ahmad di Singapura.
Selepas menamatkan pengajian di Cambridge, Profesor Ahmad memulakan perkhidmatan
sebagai editor Malayan Law Journal pada tahun 1940. Tugas beliau ketika itu adalah
membaca kes, membuat draf headnotes dan menulis nota pendek untuk Malayan Law
Journal. Pada masa yang sama beliau turut membuat persiapan untuk menduduki
8
peperiksaan akhir Bar. Menurut al-Mansour Adabi, majikan beliau En. Bashir telah
berkongsi minat dengan beliau dalam bidang perundangan, dan perkara tersebut
menyuburkan lagi minat beliau dalam bidang tersebut.
Seterusnya pada pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, Ketua Jabatan Undang-
undang Jepun di Singapura Mr. Justice Noji meminta Profesor Ahmad melakukan kerja-
kerja penyelidikan. Selepas itu beliau telah dilantik sebagai kerani kepada Hakim
Mahkamah Tinggi Mr. Justice Raja Musa pada ketika itu. Kerjaya beliau pada tahap awal
telah memberi pendedahan dan pengalaman yang amat baik mengenai selok-belok undang-
undang dan prosedurnya.
Pada tahun 1947, Profesor Ahmad telah bekerja sebagai pembantu undang-undang
di firma KOH & KOH yang terletak D’Almelda Street, Singapura. Selain itu, beliau turut
ditawarkan dengan beberapa jawatan seperti Straits Settlement Legal Service, Assistant to
the Attorney General Singapore dan Traffic District Judge Singapore.
Walaupun ditawarkan dengan beberapa jawatan, tetapi pada tahun 1948 Profesor
Ahmad telah memilih pendidikan sebagai kerjayanya dengan menjadi pensyarah di Raffles
College Singapura. DYMM Tuanku Jaafar (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan) dan
Tan Sri Raja Mohar (bekas penasihat ekonomi kerajaan Malaysia) adalah sebahagian pelajar
beliau ketika di Raffles College.
Pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1949, Profesor Ahmad beralih kerjaya dalam
bidang guaman sehingga 1955. Kes-kes kontroversi yang pernah beliau kendalikan ialah In
re Maria Hertogh, In re Hudjee Haroun decd., Re Mutchilim, In re Omar b. Sheikh Salleh,
L.S. Attias v. R.C. Non dan Re Appointmentof S.H.D Elias. Kes-kes ini melibatkan isu
berkaitan dengan Undang-undang Islam dan beliau amat komited terhadapnya. Pada tahun
1955, beliau kembali berkhidmat dengan kerajaan dan telah memegang jawatan sebagai
hakim daerah (judge district). Selepas itu, beliau telah dipindahkan ke pejabat Peguam
Negara.
Pada tahun 1957, Profesor Ahmad telah dilantik sebagai Senior Crown Counsel and
Deputy Public Prosecutor. Selepas itu, pada tahun 1959 ketika Singapura mendapat
autonomi, beliau telah dilantik sebagai State Advocate of Singapore yang pertama yang
merupakan jawatan tertinggi dalam bidang perundangan. Jawatan tersebut disandang oleh
beliau dari Jun 1959 sehingga Ogos 1965 dan bidang tugas beliau adalah memberi nasihat
undang-undang kepada kerajaan dan menggubal undang-undang.
9
Dalam tempoh 18 bulan selepas pelantikannya, pelbagai undang-undang baharu
telah digubal yang antaranya ialah The Criminal Procedure Code (Amendment) Ordinance,
The Prevention of Corruption Ordinance, The Moneylenders Ordinance, The Women’s
Charter, The Defamation Ordinance dan The Administration of Muslim Law Ordinance.
Undang-undang tersebut merupakan sebahagian daripada undang-undang yang telah
digubal dan beliau adalah individu penting dalam penggubalan tersebut. Selain daripada itu,
beliau turut menubuhkan dan mengemaskinikan struktur Mahkamah Syariah serta menjadi
ahli Jawatankuasa Rayuan di bawah Muslim Ordinance.
Selepas beliau menyandang jawatan sebagai penasihat undang-undang, beliau telah
dilantik sebagai Peguam Negara Singapura dari Ogos 1965 sehingga 1967. Beliau
merupakan anak Melayu pertama yang menyandang jawatan tersebut kerana sebelum ini
jawatan berkenaan hanya disandang oleh orang-orang British. Berdasarkan huraian penulis
terhadap kerjaya Profesor Ahmad di Singapura dapat dilihat perincian terhadap jawatan-
jawatan yang disandang beliau. Walaupun demikian disebabkan penemuan yang terhad
terhadap dokumen dan bukti-bukti yang diperlukan, buku ini tidak dapat menjelaskan
dengan tepat tentang tahun-tahun beliau menyandang sesuatu jawatan.
Bab 5: Kerjaya di Malaysia
Melalui Bab Lima ini penulis menceritakan mengenai kerjaya Profesor Ahmad di Malaysia.
Penulis telah membahagikan bab ini dengan dua subtopik iaitu kerjaya Profesor Ahmad di
Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Profesor Ahmad
memulakan kerjaya di Malaysia dengan menyandang jawatan sebagai Profesor Pengajian
Undang-undang di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.
Kehadiran beliau di Universiti Malaya pada tahun 1969 amat dialu-alukan oleh
Profesor Ungku Aziz kerana beliau seorang yang sangat dihormati dalam kalangan
pengamal undang-undang dan ahli akademik. Penghormatan tersebut diberi atas kepakaran
beliau yang mendalam terhadap bidang undang-undang sivil dan Syariah. Di sebalik
penghijrahan beliau ke Malaysia, terdapat tanggapan sesetengah pihak tentang penghijrahan
beliau ke Malaysia mempunyai kaitan dengan suasana politik di Singapura yang tidak
kondusif dan penempatan jawatan yang tidak sesuai terhadap beliau.
10
Di Universiti Malaya, Profesor Ahmad merupakan orang yang penting dalam
penubuhan Fakulti Undang-undang. Hal yang demikian adalah disebabkan pada ketika itu
Malaysia terpaksa bergantung pada universiti-universiti lain di England dan juga Universiti
Malaya di Singapura.
Pada 21 April 1971, Universiti Malaya telah menubuhkan Fakulti Undang-undang
yang pertama di Malaysia dan Profesor Ahmad telah dilantik sebagai dekan fakulti tersebut.
Walaupun beliau menjadi dekan fakulti, beliau masih lagi bertugas secara rasmi sebagai
kakitangan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran. Ketika itu hanya dua orang kakitangan sahaja
yang bertugas di Fakulti Undang-undang iaitu Visu Sinnudurai dan Nik Abdul Rashid yang
memegang jawatan sebagai timbalan dekan.
Fakulti Undang-undang Universiti Malaya berkembang dengan pesat di bawah
naungan Profesor Ahmad. Hal ini apabila tenaga pengajar telah bertambah daripada tiga
kepada lapan orang pada tahun 1974 dan ia bertambah lagi kepada 11 orang pada tahun
1974. Selain itu, pelajar fakulti tersebut turut bertambah daripada 51 orang semasa kumpulan
pertama kepada 54 orang bagi kumpulan kedua dan seterusnya 50 orang dalam kumpulan
ketigadan 50 orang dalam kumpulan keempat.
Profesor Ahmad juga pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal
Pelajar) di samping menjadi ahli Senat Universiti. Ketika Profesor Ungku Aziz bercuti,
beliau telah memangku jawatan sebagai Naib Canselor dan semasa beliau memangku
jawatan tersebut berlakunya satu demonstrasi oleh pelajar-pelajar universiti yang tidak
berpuas hati terhadap pentadbiran universiti. Perkara ini dimaklumkan oleh beliau kepada
Profesor Ungku Aziz supaya kembali bertugas. Apabila Profesor Ungku Aziz pulang ke
universiti, beliau terus menyerahkan tugas tersebut kepadanya.
Selepas berkhidmat di Universiti Malaya, Profesor Ahmad berkhidmat dengan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Semasa penubuhan UIAM, Profesor Ahmad
dikatakan amat bersungguh-sungguh memberi tumpuan dalam penubuhan Kulliyah
Undang-undang dengan memberi pendekatan baharu dalam pengajaran, kurikulum dan juga
suasana pembelajaran. Profesor Ahmad telah dilantik menjadi Shaykh al-Kulliyyah ketika
penubuhan fakulti tersebut serentak dengan penubuhan UIAM pada 1 Julai 1983. Amat
besar peranan yang dilakukan oleh Profesor Ahmad ketika meneraju fakulti ini apabila
beliau perlu memberi nasihat terhadap kursus yang ditawarkan, kurikulum dan juga segala
perancangan dan perkembangan kursus undang-undang yang seterusnya.
11
Profesor Ahmad telah dibantu oleh beberapa orang pensyarah dari fakulti tersebut
untuk mewujudkan satu program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang komprehensif
dan bersepadu. Program tersebut merangkumi pembelajaran undang-undang awam dan
Islam.
Sebenarnya perkara ini adalah sebahagian daripada cita-cita beliau yang mahu
supaya sivil dan Syariah dapat digabungkan. Program ini juga telah mendapat pengiktirafan
daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Lembaga Kelayakan Undang-undang.
Selain itu, pelajar yang menuntut di fakulti tersebut bermula dengan 40 orang sehinggalah
ia meningkat kepada 350 orang. Sudah pasti graduan-graduan lepasan program ini dapat
menyumbang kepada pertambahan pegawai undang-undang yang memahami Undang-
undang Islam serta awam.
Kulliyyah Undang-undang UIAM bukan sahaja menawarkan program Ijazah Sarjana
Muda Undang-undang sahaja tetapi telah mewujudkan Program Sarjana Muda Undang-
undang Syariah pada tahun 1987. Perkara ini bertujuan hendak melahirkan graduan yang
mahir dalam Undang-undang Islam di samping undang-undang awam. Ia ditawarkan kepada
graduan yang mengikuti mata pelajaran Syariah ketika mengikuti program Sarjana Muda
Undang-undang dalam bahasa Arab dengan program tersebut hanya berjalan selama satu
tahun. Seterusnya, Profesor Ahmad turut memperkenalkan diploma lanjutan iaitu Diploma
Undang-undang Syariah dan Amalan Guaman (Diploma of Syariah Law and Pratice).
Program ini dapat membantu peguam-peguam undang-undang awam yang beramal di
Mahkamah Syariah.
Profesor Ahmad juga memperkenalkan Program Diploma Pentadbiran Kehakiman
Syariah Islam (Diploma in the Administration of Islamic Judiciary). Ia bertujuan
memantapkan kefahaman seseorang mengenai undang-undang yang diaplikasikan di
Mahkamah-Mahkamah Syariah. Dengan adanya kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) dan Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Malaysia, melalui program
ini telah berjaya melatih hampir semua hakim di Mahkamah Syariah. Seterusnya Kulliyyah
Undang-undang yang diterajui Profesor Ahmad turut memperkenalkan Program Ijazah
Sarjana Undang-undang Perbandingan (Master in Comparative Law – MCL). Ia memberi
peluang kepada graduan yang hanya mempelajari Undang-undang Syariah untuk mendalami
undang-undang awam yang diamalkan di Malaysia.
12
Berdasarkan penceritaan yang diolah penulis terhadap bab ini, dapat dilihat penulis
lebih fokus kepada kerjaya Profesor Ahmad di Malaysia berbanding di Singapura. Tumpuan
secara khusus diberikan terhadap kerjaya beliau di Malaysia adalah disebabkan kekangan
maklumat yang ditemui dan diperoleh bagi kerjaya beliau di Singapura. Walaupun ketika
beliau berhijrah ke Malaysia sudah pun berusia 53 tahun, tetapi dapat dilihat beliau tidak
membuang masa dan memaksimumkan masa yang ada hingga akhir hayat beliau.
Bab 6: Penulisan Profesor Ahmad
Pada bab ini penulis menceritakan mengenai karya-karya penulisan Profesor Ahmad dalam
bidang perundangan dan juga bidang lain yang terdiri daripada artikel dan buku. Buku
pertama yang beliau tulis adalah pada November 1948 dengan tajuk, Melalui Dua Simpang
yang diterbitkan oleh K.B. Press, Singapura. Buku ini merupakan ulasan beliau mengenai
karangan Muhammad Asad yang bertajuk Islam at the Crossroad. Beliau memilih buku ini
kerana menceritakan tentang kedudukan Islam yang tinggi berbanding penulisan lain yang
hanya meletakkan Islam sama aras dengan tamadun barat. Kemunculan buku Melalui Dua
Simpang ini adalah satu perkara yang amat mengkagumkan kerana Profesor Ahmad adalah
seorang individu yang pernah menerima pendidikan di barat (England) tetapi tidak terikut-
ikut dengan cara barat.
Profesor Ahmad bersetuju dengan pandangan Muhammad Asad yang mengkritik
pengaruh barat yang dibawa masuk ke dalam masyarakat timur. Beliau tidak senang apabila
materialisme mula mempengaruhi cara hidup masyarakat Islam yang pada asalnya begitu
tenang dan murni. Menurut beliau, amat malang bagi anak-anak Melayu yang menerima
pendidikan barat berubah menjadi kalangan yang lupa diri dan asal usul. Selain itu, buku ini
sebenarnya suatu tamparan hebat kerana ditulis oleh seseorang yang meraih kejayaan amat
cemerlang dalam pendidikan (Inggeris) dan juga seorang pensyarah Raffles College.
Seterusnya Profesor Ahmad turut menulis artikel tentang Syariah yang diterbitkan
pada tahun 1937 bertajuk, “Islam and the Political World of Today” di dalam Majalah
Genuine Islam.
Selepas kelahiran buku sulung beliau, Profesor Ahmad telah berjaya menulis sebuah
buku yang bertajuk Universiti di Malaya. Buku ini ditulis atas dasar permintaan rakyat
Singapura yang ketika itu mengalami konflik kerana usul penubuhan sebuah universiti di
13
Malaya tidak diterima secara sebulat suara oleh masyarakat Melayu. Golongan yang
bersetuju dengan penubuhan universiti ini beranggapan ia amat penting terhadap kaum
Melayu. Golongan yang tidak bersetuju pula beranggapan ia akan merendahkan darjah
universiti tersebut dan kalangan yang masuk ke universiti tersebut adalah golongan bukan
Melayu. Ini kerana pada ketika itu kewangan dan kebolehan anak-anak Melayu amat rendah
berbanding bukan Melayu.
Dalam bab ini juga penulis turut merumuskan penglibatan Profesor Ahmad dalam
dunia penulisan di mana beliau telah mula menulis seawal tahun 40-an dan diterbitkan dalam
majalah Malayan Law Journal pada tahun 1941. Terdapat dua rencana yang ditulis beliau
iaitu Proof of Muslims Law in the F.M.S dan Kidnapping of Muslim Girls. Sekitar tahun 50-
an pula, Profesor Ahmad telah menulis artikel bertajuk Evidence of Similar Acts, The
Syariah Court dan Review of Muslim Law as Administered in India and Pakistan. Terdapat
banyak penghasilan penulisan beliau dalam jurnal iaitu pada tahun 70-an beliau telah
menghasilkan sebanyak 67 tajuk makalah. Manakala pada tahun 80-an pula, beliau dapat
menghasilkan sebanyak 57 makalah. Terdapat satu kajian yang mencatatkan bahawa
penerbitan makalah Profesor Ahmad berjumlah 229 buah.
Buku-buku yang dihasilkan oleh Profesor Ahmad juga tidak kurang banyaknya.
Beliau telah menghasilkan sebanyak 30 buah buku dalam pelbagai bidang tetapi lebih
tertumpu kepada bidang perundangan. Buku pertama beliau ialah Melalui Dua Simpang
seperti yang dijelaskan sebelum ini. Seterusnya buku-buku yang membincangkan mengenai
isu-isu perundangan antaranya ialah The Status of Muslims Women in Family Law in
Malaya, Singapore and Brunei, Islamic Law in Malaya and Singapore, Family Law in
Malaya and Singapore dan The Malaysian Legal System. Selain daripada buku dan artikel,
Profesor Ahmad turut menghasilkan tidak kurang daripada 95 buah kertas kerja dengan
pelbagai tajuk.
Bab 7: Sumbangan Dalam Bidang Akademik
Bab tujuh dalam buku ini penulis telah menceritakan mengenai sumbangan Profesor Ahmad
dalam bidang akademik. Hampir sebahagian besar dalam kehidupan Profesor Ahmad
berkhidmat sebagai seorang ahli akademik sama ada sebagai seorang pensyarah mahupun
pentadbir akademik. Ini kerana ketika beliau di Singapura lagi telah dilantik sebagai
pensyarah di Raffles College. Namun penulis tidak dapat menjelaskan mengenai kursus
14
yang diajar beliau di Raffles College kerana tidak memperoleh maklumat tersebut. Di
Malaysia beliau sebenarnya telah ditawarkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Perdana
Menteri ketika itu beberapa jawatan pentadbiran di kementerian.
Khidmat Profesor Ahmad sebagai pensyarah telah menjadikan beliau seorang yang
sangat dihormati oleh pelajar-pelajar mahupun rakan-rakan setugas. Boleh dikatakan rata-
rata pelajar jurusan undang-undang di UM mengenali beliau walaupun setelah beliau
berpindah ke UIAM. Selain itu, pelajar-pelajar UIAM juga turut mengenali beliau sehingga
beliau meninggal dunia pada tahun 1999. Pelajar-pelajar dari Jabatan Syariah UKM juga
turut mengenali beliau kerana kursus undang-undang yang diajar adalah dari kalangan
pensyarah UM secara sambilan.
Pengalaman beliau sebagai ahli akademik tidaklah hanya khusus kepada bidang-
bidang tertentu sahaja. Perkara ini merujuk kepada penulisan dan kursus yang diajar beliau
di universiti. Namun begitu, dapat dilihat pada keseluruhan penulisan, beliau memfokuskan
Undang-undang Islam khususnya undang-undang Keluarga dan juga undang-undang
perlembagaan. Keprihatinan dan kesungguhan beliau terhadap perkembangan Undang-
undang Islam telah memberi kesan positif terhadap Mahkamah-Mahkamah Syariah dari
pelbagai sudut.
Semasa beliau berkhidmat sebagai pensyarah di institusi-institusi sama ada di
Singapura atau Malaysia, beliau bukan sahaja mengajar tetapi turut merancang dan
mengembangkan kursus yang ditawarkan. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya beliau telah
dilantik sebagai Dekan, Shaykh al-Kulliyyah, Timbalan Naib Canselor dan Timbalan
Rektor.
Walaupun beliau menyandang jawatan yang memerlukan komitmen yang tinggi,
namun beliau tetap mengutamakan tugasnya untuk mengajar. Selain itu beliau tidak
keberatan untuk mengajar di mana-mana peringkat pengajian, sama ada tahun satu,
peringkat sarjana mahupun Ph.D. Beliau juga akan tetap mengambil satu atau dua kursus
pada setiap semester dan tidak pernah gagal untuk mengajar pada waktu yang ditetapkan,
kecuali masa-masa yang mendesak. Hal ini turut berlaku sehingga waktu-waktu akhir beliau
dengan beliau masih lagi mengajar subjek Undang-undang Keluarga Islam bagi program
Diploma Syariah dan Amalan Guaman.
Profesor Ahmad juga seorang yang bertanggungjawab dalam menggalas jawatan
sebagai seorang ahli akademik dan juga pentadbir akademik. Ketika beliau menjadi Dekan,
15
beliau akan mengetuk pintu pensyarah pada waktu pagi bagi memastikan mereka datang
bertugas pada waktu yang ditetapkan. Beliau tidak suka kepada pensyarah yang lewat dan
suka membuat kelas tambahan kerana boleh mengganggu waktu rehat pelajar. Oleh itu,
waktu syarahan yang diberikan hendaklah digunakan sepenuhnya oleh pensyarah.
Profesor Ahmad bukanlah seorang yang sombong dan bangga diri dalam bidang
akademik. Walaupun beliau seorang yang cemerlang dan berjaya, beliau tidak pernah
menghalang kakitangan akademik di bawah beliau untuk melanjutkan pengajian yang lebih
tinggi. Malah beliau sentiasa menggalakkan dan menyokong mereka untuk berbuat
demikian. Hal ini dibuktikan ketika beliau berada di UIAM apabila pensyarah-pensyarah
perlu menyambung pengajian yang lebih tinggi dan beliau akan menyokong usaha tersebut
walaupun Kulliyyah akan mengalami kekurangan tenaga pengajar. Perkara tersebut beliau
selesaikan dengan mengambil tenaga pengajar sambilan ataupun menambah masa mengajar
bagi kakitangan sedia ada. Usaha beliau memberi hasil yang amat membanggakan apabila
lebih daripada 70% kakitangan akademik UIAM memperolehi ijazah kedoktoran.
Bab 8: Penglibatan Dalam Pelbagai Jawatankuasa
Bab Lapan dalam buku ini menceritakan mengenai penglibatan Profesor Ahmad dalam
pelbagai jawatankuasa. Penulis telah membahagikan bab ini dengan membuat sub-subtopik
terhadap jawatankuasa yang beliau terlibat bagi memudahkan pembaca. Antara
jawatankuasa yang beliau terlibat ialah Jawatankuasa Kajian Undang-undang Mahkamah
Syariah Negeri Kelantan, Jawatankuasa Kajian Taraf Kadi-kadi Seluruh Malaysia, Panel
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syariah dan
Sivil, Jawatankuasa Penyelidikan Perundangan Islam IKIM, Jawatankuasa Penyelidikan
Undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka, Southeast Asia Shari’ah Law Association
(SEASA) dan Persatuan Syari’ah dan Undang-undang Malaysia (PERSUMA).
Bermulanya penglibatan Profesor Ahmad dalam Jawatankuasa Kajian Undang-
undang Mahkamah Syariah Negeri Kelantan apabila beliau telah dijemput oleh Kerajaan
Negeri untuk memberi buah fikiran dan juga nasihat mereka yang pakar dalam bidang
undang-undang.
Seterusnya Profesor Ahmad telah menyertai Jawatankuasa Kajian Taraf Kadi-kadi
Seluruh Malaysia. Kewujudan jawatankuasa tersebut adalah untuk menaik taraf Mahkamah
16
Syariah sama dengan mahkamah sivil. Profesor Ahmad telah memberi reaksi terhadap isu
perbezaan taraf hakim Mahkamah Syariah dengan sivil, beliau menyatakan bahawa
keputusan penghakiman dalam Mahkamah Syariah adalah sama taraf dengan mahkamah
sivil.
Profesor Ahmad turut terlibat sebagai panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah
apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi dan ahli panel bagi beberapa buah negeri termasuk
Kelantan dan Wilayah Persekutuan. Berdasarkan kepakaran dan keistimewaan yang terdapat
pada beliau, setiap alasan penghakiman dapat disiapkan dengan cepat oleh beliau dan
perkara tersebut jarang berlaku pada ahli panel yang lain.
Profesor Ahmad juga turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal
Undang-undang Syariah dan sivil yang ditubuhkan sekitar tahun 1990. Beliau
bertanggungjawab dalam memastikan peruntukan yang dikemukakan adalah bertepatan
dengan hukum Syarak. Selain itu, prosedur yang ada di Mahkamah Syariah mestilah lengkap
supaya perjalanan Mahkamah Syariah berjalan dengan lancar.
Profesor Ahmad merupakan individu penting dalam kewujudan Insititut Kefahaman
Islam Malaysia dengan beliau merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengarah institut
tersebut. Sepanjang tempoh keahlian beliau, satu jawatankuasa telah diwujudkan iaitu
Jawatankuasa Penyelidikan Perundangan IKIM. Dalam jawatankuasa tersebut beliau
dilantik sebagai pengerusi yang bertanggungjawab memberi panduan dan hala tuju
Penyelidikan Perundangan Islam.
Antara penyelidikan yang dihasilkan ialah Tinjauan Kepada Perundangan Islam,
1996 dan Pemerintahan dalam Masyarakat Majmuk, 1995. Seterusnya beliau juga terlibat
dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan beliau dilantik menjadi pengerusi
Jawatankuasa Penyelidikan Undang-undang DBP. Jawatankuasa tersebut diwujudkan atas
galakkan DBP untuk menerbitkan buku undang-undang dalam bahasa Melayu. Peranan
beliau dalam jawatankuasa tersebut adalah mencadangkan tajuk-tajuk dan menilai bahan-
bahan yang ditulis sebelum diterbitkan.
Selain daripada menjadi individu yang penting dalam jawatankuasa pentadbiran
Undang-undang Islam di Malaysia, Profesor Ahmad juga turut terlibat dengan jawatankuasa
di peringkat serantau. Perkara ini dilihat apabila beliau secara langsung terlibat dalam
gerakan menyeragamkan pentadbiran hukum Syarak. Beliau bersama beberapa tokoh
perundangan di Indonesia, Singapura, Filipina, Sri Lanka dan juga Thailand telah
17
menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Southeast Asia Shariah Law Association
(SEASA). Tujuan ia ditubuhkan untuk mewujudkan kodifikasi undang-undang yang
diasaskan kepada hukum Syarak di negara-negara tersebut dan menyegerakan penubuhan
Mahkamah Syariah bagi membantu pelaksanaan Undang-undang Islam dengan lebih
sempurna.
Berdasarkan kepada penulisan bab ini, penulis telah menjelaskan penglibatan
Profesor Ahmad dalam pelbagai jawatankuasa secara terperinci. Di sini penulis telah
menzahirkan kedudukan Profesor Ahmad dalam setiap jawatankuasa yang beliau terlibat.
Pembahagian subtopik setiap jawatankuasa memberikan pembaca mudah mengikuti
perjalanan Profesor Ahmad ketika terlibat dalam pelbagai jawatankuasa.
Bab 9: Sumbangan Profesor Ahmad Dari Aspek Kehakiman
Walaupun bab-bab sebelum ini telah menceritakan tentang penglibatan Profesor Ahmad
dalam bidang kehakiman, namun bab ini memberi lebih perincian berhubung sumbangan
beliau dari aspek kehakiman. Bab ini dibahagikan kepada dua subtopik iaitu bahagian
pertama membincangkan mengenai penglibatan Profesor Ahmad dalam kes-kes jenayah
Syariah, manakala yang kedua penglibatan dalam kes-kes mal.
Sumbangan Profesor Ahmad dari aspek kehakiman dapat dilihat apabila beliau
terlibat secara langsung dengan perbicaraan dalam kes-kes di Mahkamah Syariah. Hal ini
disebabkan beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Rayuan Syariah dan ahli
Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah. Sepanjang penglibatan beliau dalam
organisasi tersebut, tidak kurang dari 4 kes jenayah dan 18 kes mal yang sampai ke peringkat
rayuan. Isu-isu yang terdapat dalam kes-kes tersebut adalah mengenai undang-undang yang
tidak begitu jelas dari sudut aplikasinya dan pentafsiran yang tidak selaras dengan
kehendaknya.
Penghakiman yang diberi Profesor Ahmad dalam kes jenayah Syariah dilihat dapat
menyelesaikan peruntukan undang-undang yang tidak lengkap pada ketika itu. Perkara ini
dirujuk dalam kes Pendakwa Syarie lwn. Jaafar bin Sudin dan seorang lagi [1412] JH 253,
dengan yang dituduh telah dibebaskan walaupun didapati bersalah. Hal ini kerana
pengakuan tersebut dibuat dengan bersyarat. Pihak pendakwa telah merayu ke peringkat
18
rayuan dan Profesor Ahmad sebagai ahli Lembaga Rayuan telah memutuskan bahawa Yang
Arif Kadi tidak mempunyai kuasa membebaskan tanpa mendengar hujah-hujah daripada
pihak pendakwa. Profesor Ahmad turut merujuk kepada Hadis dengan melarang seseorang
hakim membuat keputusan sehingga mendengar hujah-hujah daripada kedua-dua pihak.
Selain daripada menyelesaikan isu-isu berkaitan undang-undang yang tidak jelas,
Profesor Ahmad turut menyelesaikan sistem Mahkamah Syariah. Perkara ini dirujuk dalam
kes rayuan Mokhtar b. Pangat lwn Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
[1412] JH 203 dengan tertuduh mengaku salah dan dikenakan hukuman denda sebanyak
RM500 dan penjara sebulan. Tertuduh telah merayu di Mahkamah Rayuan Syariah terhadap
hukuman yang dikenakan. Di peringkat rayuan, Profesor Ahmad telah menegur hakim yang
membuat keputusan tersebut supaya merekodkan fakta kes dan alasan penghakiman. Hal ini
amat diperlukan kerana sekiranya tiada ia akan menyukarkan Mahkamah Rayuan membuat
pertimbangan. Teguran ini menjadikan mahkamah perlu merekodkan setiap fakta dan alasan
penghakiman.
Penglibatan Profesor Ahmad bukan sahaja terhad kepada kes-kes jenayah sahaja,
malah beliau turut terlibat dalam kes-kes mal. Dalam kes mal, beliau mempunyai minat yang
mendalam terhadap isu-isu perundangan keluarga Islam dan kecenderungan tersebut seawal
kariernya dalam bidang perundangan. Hal ini dapat dilihat ketika beliau menjawat jawatan
Peguam Negara di Singapura dengan beliau telah mendengar kes rayuan di Mahkamah
Syariah Singapura seperti mana yang dilaporkan dalam kes Syed Abdullah al-Syatiri lwn
Shariffa Salmah [1959] MLJ 137. Kes ini merupakan kes yang berkaitan dengan kuasa wali
bagi anak perempuan yang belum berkahwin. Ia juga menjadi bahan rujukan utama kepada
pelajar undang-undang terutamanya yang mengambil perundangan keluarga Islam.
Seterusnya Profesor Ahmad juga turut menyelesaikan kelemahan dari sudut prosedur
dan pentafsiran undang-undang. Perkara ini dirujuk menerusi kes tuntutan fasakh Siti
Rohani bt. Mohd Yusof lwn Md. Sazali [1991] JH 230, apabila perayu tidak difasakhkan
oleh mahkamah walaupun beliau telah membuktikan bahawa suaminya mengabaikan
nafkah. Kekeliruan berlaku dalam kes ini apabila mahkamah membuat penangguhan kes
bagi memberi ruang suami membayar nafkah berdasarkan faktor papa. Oleh yang demikian
di peringkat rayuan Profesor Ahmad menjelaskan bahawa para hakim perlu membezakan
antara keadaan untuk menjelaskan nafkah dengan enggan memberi nafkah.
19
Seterusnya, melalui kepada bab ini juga, penulis menghuraikan dengan panjang lebar
mengenai sumbangan Profesor Ahmad dari aspek kehakiman. Hal ini dilihat menerusi kes-
kes yang dikemukakan oleh penulis dalam membincangkan sumbangan Profesor Ahmad.
Pembahagian subtopik juga turut membantu pembaca dalam mengenal pasti sumbangan
Profesor Ahmad terhadap bidang kehakiman.
Bab 10: Sumbangan Dalam Perundangan
Profesor Ahmad bukan sahaja menyumbang tenaga dan khidmatnya dalam bidang
kehakiman sahaja malah beliau turut menyumbang dalam bidang perundangan. Dalam Bab
Sepuluh ini, penulis menceritakan mengenai sumbangan Profesor Ahmad dalam bidang
perundangan. Penulis telah membahagikan dua subtopik besar iaitu pertama penulis
menceritakan mengenai sumbangan Profesor Ahmad di Singapura dan kedua di Malaysia.
Sumbangan yang diberikan oleh Profesor Ahmad dianggap luar biasa kerana perkara
tersebut tidak dapat dilakukan oleh kebanyakan orang. Perkara ini dapat dilihat semasa
beliau berkhidmat di Singapura mahupun selepas berhijrah ke Malaysia.
Di Singapura, Profesor Ahmad merupakan perintis dalam usaha mengemas kini
sistem pentadbiran Undang-undang Islam sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini.
Selain itu, beliau turut terlibat dengan penggubalan undang-undang Perlembagaan
Singapura, penyatuan dan pemisahan Singapura daripada Malaysia sekitar tahun 1960-an
dan banyak lagi. Pelantikan beliau sebagai Peguam Negara di Singapura telah memberi
tanggungjawab terhadap beliau dalam menggubal dan penyediaan perlembagaan Singapura.
Semasa penggubalan tersebut beliau telah melalui proses yang sukar kerana ketika itu
berlaku penggabungan antara Malaysia dengan Singapura dan terdapat konflik antara dua
negara.
Dari sudut Undang-undang Islam di Singapura pula, Profesor Ahmad adalah individu
penting dalam penubuhan Mahkamah Syariah. Beliau telah dilantik sebagai ahli
jawatankuasa penubuhan Mahkamah Syariah dan bertanggungjawab mengkaji langkah-
langkah yang perlu dalam membuat pindaan undang-undang. Namun cadangan-cadangan
beliau terhadap usaha penubuhan tersebut kurang mendapat sokongan daripada pihak
pemerintah. Walau bagaimanapun usaha beliau tidak terhenti begitu sahaja apabila
Mahkamah Syariah berjaya ditubuhkan atas kelulusan Muslim Ordinance 1957 oleh
20
pemerintah. Perkara ini merupakan sumbangan yang amat besar beliau terhadap masyarakat
Islam di Singapura.
Di Malaysia pula, Profesor Ahmad banyak memberi sumbangan terhadap proses
transformasi undang-undang. Perkara ini dilihat menerusi penulisan-penulisan beliau yang
berkaitan dengan undang-undang sivil dan Islam. Selain itu, beliau juga terlibat dengan
pelbagai jawatankuasa seperti mana yang diceritakan oleh penulis dalam Bab Lapan buku
ini. Beliau telah melakukan usaha mengemaskini Undang-undang Pentadbiran Islam dengan
pemerhatian beliau bahawa, Undang-undang Islam perlu diambil perhatian dan perlunya
perubahan terhadap pemakaian undang-undang yang tidak sesuai dan tidak melanggar
prinsip asas undang-undang tersebut. Bagi beliau, elemen undang-undang yang diasaskan
melalui ijtihad dari sudut prosedur perlu sentiasa disemak bagi memenuhi tuntutan masa,
tempat dan keadaan.
Dalam proses reformasi undang-undang, Profesor Ahmad mempunyai misi yang
jelas dalam pembaharuan yang perlu dilakukan dan mengembalikan keagungan Undang-
undang Islam. Beliau telah melakukan berbagai-bagai usaha untuk merealisasikan perkara
tersebut walaupun ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana perlu melakukan banyak
pindaan termasuklah meminda perlembagaan.
Beliau juga amat prihatin terhadap kedudukan Undang-undang Islam kerana
undang-undang tersebut pernah menjadi undang-undang utama di negeri-negeri Melayu.
Perkara tersebut menjadikan beliau seorang yang aktif dalam usaha meletakkan kembali
undang-undang tersebut ke tempat asalnya. Selain itu, beliau turut berusaha menjadikan
Common Law dirujuk berdasarkan kes-kes di Malaysia. Hal ini disebabkan Akta Undang-
undang Sivil 1956 menyatakan bahawa sekiranya terdapat lacuna (ketiadaan undang-
undang untuk dirujuk) perlu merujuk kepada kes-kes Inggeris. Profesor Ahmad berpendapat
perlunya penghapusan akta ini kerana undang-undang di Malaysia telah lengkap dan
terdapat banyak kes yang telah diputuskan oleh hakim-hakim di Malaysia.
Sumbangan yang terbesar Profesor Ahmad dalam perundangan di Malaysia apabila
beliau telah mencadangkan bahawa mahkamah sivil tidak boleh mencampuri urusan
Mahkamah Syariah. Berdasarkan cadangan ini, Perkara 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan telah dipinda. Perkara tersebut menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak boleh
mencampuri semua urusan dan keputusan yang dibuat di Mahkamah Syariah.
21
Berdasarkan kepada penceritaan penulis dalam bab ini, dapat dilihat bahawa penulis
memperincikan setiap sumbangan Profesor Ahmad dalam bidang perundangan.
Bab 11: Lawatan Ke Luar Negara
Bab ini mengisahkan tentang lawatan Profesor Ahmad ke luar negara. Profesor Ahmad
ketika menerajui Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, telah
mencadangkan supaya lawatan ke negara-negara Islam dibuat. Perkara tersebut bertujuan
untuk melihat bagaimana negara-negara tersebut melaksanakan Undang-undang Islam.
Antara negara-negara yang dilawati beliau ialah Pakistan, Arab Saudi, Iran, Kuwait, Turki,
Morocco, Indonesia, Filipina, Jordan dan England. Lawatan tersebut turut disertai oleh ahli-
ahli Jawatankuasa Teknikal, pegawai-pegawai Jakim dan juga sebahagian daripada hakim
Mahkamah Syariah.
Lawatan-lawatan ini amat membantu Profesor Ahmad dan rombongan dalam
melaksanakan pentadbiran Undang-undang Islam berdasarkan pengalaman-pengalaman
mereka melawati negara-negara berkenaan.
Bab 12: Ahmad Ibrahim: ‘In The Service of Islam’
Bab terakhir dalam buku ini menjelaskan mengenai keseluruhan sumbangan Profesor
Ahmad kepada masyarakat Islam dan juga negara Islam dengan menggelar beliau sebagai
In The Service of Islam. Dalam bab ini juga penulis menceritakan mengenai pengalaman
penulis betapa perjuangan yang dilakukan oleh Profesor Ahmad amat memberi kesan yang
mendalam kepada diri penulis dan juga sesiapa yang menghayati erti perjuangan.
Selain itu, penulis juga membuat rumusan terhadap keseluruhan buku ini dengan
menyatakan bahawa Profesor Ahmad seorang yang mempunyai wawasan hidup yang jelas
mengenai tanggungjawab sebagai seorang Islam. Perkara ini dimanfaatkan beliau dengan
sepenuhnya dalam melaksanakan misi tersebut.
Profesor Ahmad menggunakan pendekatan yang seimbang dalam membuat sesuatu
penilaian terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh mengenai pemakaian Duluan Mengikat
(binding precedent) dengan konsep ini tidak terpakai dalam Undang-undang Islam. Namun
begitu, beliau tidak menolak pemakaian konsep tersebut kerana bagi beliau ia dapat
22
membantu hakim-hakim membuat keputusan. Walau bagaimanapun beliau tidak melarang
perkara tersebut diubah suai agar ia selari dengan isu dan keadaan sesuatu kes.
Dalam misi mengembalikan kegemilangan Undang-undang Islam, Profesor Ahmad
berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengislamisasikan undang-undang. Beliau
amat yakin dengan kesempurnaan Undang-undang Islam walaupun ada orang yang
meraguinya. Banyak usaha beliau ditumpukan kepada mempertingkatkan kedudukan
Undang-undang Islam sama ada dari aspek undang-undang dan juga pentadbirannya. Selain
itu, beliau turut mencadangkan kewujudan Malaysian Common Law dengan hakim-hakim
tidak perlu lagi merujuk kepada kes-kes di Inggeris.
Berdasarkan usaha-usaha Profesor Ahmad, penulis merumuskan bahawa bukanlah
sesuatu yang luar biasa bagi Profesor Ahmad untuk digelar sebagai The Lord Denning of
Shariah tetapi ia lebih daripada itu kerana beliau mengusai semua bidang perundangan.
Kesimpulan
Profesor Ahmad merupakan insan yang amat berharga kepada orang-orang Islam di
Malaysia. Kelahiran beliau memberi sinar dalam transformasi Undang-undang Islam di
Malaysia. Berkat usaha beliau dalam merealisasikan Undang-undang Islam dapat dirasai
oleh seluruh umat Islam di Malaysia. Wujudnya penulisan buku biografi mengenai beliau
secara terperinci menjadikan jasa beliau sentiasa hidup kepada generasi baru.
Selain itu, ia juga dapat membakar semangat anak-anak muda yang mendalami ilmu
perundangan Islam. Kesimpulan yang dapat dibuat terhadap ulasan ini ialah, penulis telah
berjaya mengemukakan segala usaha Profesor Ahmad serta menceritakan perjalanan hidup
beliau sebagai Permata Pengislahan Perundangan Islam. Usaha ini amat dihargai kerana
tokoh ini memberi seribu makna dalam kehidupan orang Islam di Malaysia khususnya.