tarekat-tasauf

Upload: zizothehiro

Post on 23-Feb-2018

229 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    1/10

    Tarekat Tasauf

    22. Tarekat Tasauf

    Motif tarekat tasauf adalah: " Ilahi! Engkau jualah tujuanku. Keredaan Engkau jua yang

    daku cari " . Tarekat tasauf menjurus sepenuhnya kepada usaha

    mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengabdikan diri kepada-Nya sebaik mungkin dan

    mengenali-Nya sebagaimana layaknya. Pokok dari ajaran tarekat tasauf adalah penyucian hati.

    Syarat penyucian hati yang pertama adalah taubat secara zahir dan batin. Taubat zahir

    berkaitan dengan perkataan, perbuatan, perasaan, menghindarkan diri daripada melakukan

    dosa dan memperbanyakkan kebaikan. Taubat batin berkaitan dengan rohani, mengembalikan

    rohani kepada tahap kesuciannya yang asli.

    Perkaitan rohani dengan jasad dan dunia melahirkan tenaga yang mengheret rohani lari

    daripada kedudukannya yang asli. Tenaga negatif itu muncul daripada nafsu. Nafsu yang

    asalnya bersifat baik sudah dikuasai oleh sifat-sifat buruk. Nafsu yang pada asalnya

    menghadap Tuhan telah berpaling menghadap kepada yang selain Tuhan. Penumpuan taubat

    batin adalah membawa nafsu kepada haluannya yang asal, yang menghala kepada Tuhan.

    Rantai yang mengheret nafsu ke arah yang salah mesti diputuskan.

    Daerah-daerah nafsu perlu difahami bagi memudahkan tugas membawanya kepada arah dan

    matlamat yang benar. Sebelum nafsu sampai kepada arah yang benar ada tiga daerah nafsu

    perlu ditempuhi. Tiga daerah tersebut adalah ammarah, lawwamah dan mulhamah.

    Rantai yang mengikat nafsu dalam daerah nafsu ammarah adalah yang paling kasar dan

    paling kuat. Pengikat nafsu dalam daerah ini adalah sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak

    dan sama'ah. Sifat-sifat tersebut membuat manusia merasakan dirinya lebih baik, lebih mulia

    dan lebih cerdik daripada orang lain. Dia suka menunjuk-nunjuk, suka dipuji dan suka namanya

    menjadi terkenal. Dalam daerah ini tidak ada nilai-nilai murni kemanusiaan dan tidak ada

    peraturan. Orang yang berada dalam daerah ini sangat tamakkan harta dan tidak peduli dari

    sumber mana harta itu diperolehinya. Apabila memperolehi harta dia menjadi bakhil. Nafsu

    yang berada dalam daerah ammarah ini juga kuat berdengki, berdendam dan sanggup berbuat

    khianat. Selain itu nafsu ammarah bertabiat suka berangan-angan. Dia merasakan apa yangdia angankan akan diperolehinya walaupun dia tidak ada kemampuan untuk berbuat demikian.

    Orang yang dibungkus oleh nafsu ammarah suka menggunakan dua cara penilaian. Bagi

    dirinya digunakan cara positif dan untuk orang lain digunakan cara negatif. Dia mengatakan

    orang lain mengumpat tetapi bagi dirinya, berbuat perkara yang serupa dikatakan mengatakan

    yang benar. Orang lain dikatakan berdengki tetapi buat dirinya dikatakan mempertahankan

    yang hak. Orang lain dikatakan bakhil tetapi buat dirinya dikatakan berjimat cermat. Sikap yang

    demikianlah membuatkan tertutup pandangannya daripada melihat kepada keburukan,

    kejahatan dan kecacatan yang ada dengan dirinya. Dia dikuasai oleh perasaan bahawa dialah

    manusia yang paling tahu dan paling sempurna. Dia merasakan syurga adalah haknya sekali

    pun dia tidak melakukan kebaikan. Perasaan yang demikian muncul kerana sifat ammarah tidakmenghalang seseorang menggunakan ilmu yang bersangkutan dengan kehidupan dunia. Ia

    1 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    2/10

    Tarekat Tasauf

    hanya menutup ilmu tentang Tuhan dan akhirat. Kemampuan menggunakan ilmu dunia

    membuatkan ahli nafsu ammarah boleh berjaya dalam kehidupan, boleh menjadi cendikiawan

    dan pemimpin masyarakat. Dia juga boleh mempelajari ilmu agama dan menjadi alim dalam

    bidang tersebut. Tetapi ilmu tidak berdaya menyelamatkannya kerana dia taksub dengan

    ilmunya. Dia menjadi marah jika mengetahui orang ramai berguru dengan orang alim yang lain.Dia suka mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan ilmu orang lain. Dia merasakan

    dirinya adalah ahli agama yang sempurna, ahli syurga yang tidak akan dihisab, sudah

    mencapai makam makrifat sementara orang lain tidak sempurna, ahli neraka dan tidak

    bermakrifat.

    Tarekat tasauf mengajarkan manusia supaya membina kekuatan dalam berjihad menentang

    sifat nafsu ammarah dan membebaskan diri daripada ikatan rantainya. Kekuatan dalaman

    diperolehi dengan cara mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin. Pada peringkat permulaan

    ingatan kepada Allah s.w.t dilakukan dengan paksaan dan hanya berlaku secara luar sahaja

    tetapi dengan mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutkannya kuat-kuat akan menambahkankesedaran terhadap-Nya. Ingatan kepada Tuhan yang dilakukan secara berterusan akhirnya

    akan masuk ke dalam hati. Ketika itu ingatan kepada Tuhan dilakukan dalam hati, tidak perlu

    lagi menyebutnya kuat-kuat.

    Ucapan dan ingatan kepada nama-nama Tuhan membuat hati menjadi jaga dari tidur dan

    sedar dari kelalaian. Hati mendapat kekuatan untuk berperang dengan tentera ammarah.

    Berlakulah peperangan di antara yang baik dengan yang jahat. Perjuangan ini berlaku di dalam

    daerah nafsu lawwamah. Senjata tentera lawwamah adalah taat kepada peraturan syariat, rajin

    beribadat dan menyibukkan lidah dan hati berzikir kepada Allah s.w.t. Hati yang sudah jaga

    daripada tidur mampu berfungsi sebagai juru nasihat kepada diri sendiri. Bila terjadi kesalahandosa akan berdetiklah peringatan di dalam hati dan orang yang berkenaan menjadi menyesal

    dan bertaubat. Bila hati bertambah kuat juru nasihat dalam diri juga menjadi kuat. Ia akan

    menarik dirinya lari daripada dosa sebelum dosa dilakukan. Walaupun begitu, ketika berada

    dalam daerah lawwamah, seseorang itu masih lagi terlanjur melakukan dosa sekalipun dia

    berusaha mencegahnya. Ini kerana sebahagian daripada rantai-rantai ammarah belum lagi

    putus daripada daerah lawwamah. Rantai tersebut adalah ujub, riak dan samaah. Sifat

    kebaikan yang muncul dalam daerah lawwamah adalah mengakui kesalahan diri sendiri,

    menyesal dan bertaubat. Orang yang berada dalam daerah lawwamah gemar bertafakur,

    merenung sesuatu dan mengaitkannya dengan Kudrat dan Iradat Tuhan. Ingatannya kepada

    Allah s.w.t sekali sekala masuk ke dalam hati dan menerbitkan rasa kemanisan berzikir. Zikiryang telah masuk ke dalam hati menguatkan dan melembutkan hati itu. Kuat dalam melawan

    yang salah dan lembut dalam penyesalan terhadap kesalahan diri. Ahli nafsu lawwamah

    banyak menangis apabila teringatkan dosa-dosanya yang lalu. Dia juga mudah menangis ketika

    beribadat. Suasana hati yang menguasai ahli lawwamah ini adalah takutkan Allah.'

    Perhatiannya lebih tertuju kepada akhirat dan syurga daripada nikmat keduniaan. Satu sikap

    yang agak ketara muncul pada ahli lawwamah adalah dia bukan sahaja mengkeritik kesalahan

    dirinya malah dia juga mengkeritik kesalahan orang lain. Ini berlaku kerana dia selalu

    memerhatikan kesalahan dirinya dan kesalahan orang lain. Dalam memerhatikan kesalahan diri

    dia melihat kesungguhannya bekerja menghapuskan kesalahan. Dia melihat dirinya yang

    bertaubat dan memohon keampunan dari Allah s.w.t. Dalam memerhatikan kesalahan oranglain dia tidak melihat mereka berbuat demikian. Perhatian yang demikian membuatnya

    2 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    3/10

    Tarekat Tasauf

    merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

    Semakin jauh seseorang itu memasuki daerah lawwamah semakin kurang pengaruh ammarah

    pada dirinya. Apabila sampai kepada satu peringkat rantai ammarah putus daripadanya dan dia

    masuk ke dalam daerah nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah adalah nafsu yang sudah bersihdaripada kekotoran. Bila kekotoran tidak ada pada hati, fikiran kotor tidak datang lagi dan

    mengambil alih tempatnya adalah ilham bersih yang datang dari alam tinggi. Cermin hatinya

    yang kerap menghadap kepada alam tinggi membuatnya sering lupa kepada alam rendah. Dia

    menjadi tidak berminat dengan harta, berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak berasa

    sayang untuk menolong orang lain dengan harta yang ada padanya. Dia juga melakukan taubat

    yang sungguh-sungguh dan tidak kembali lagi kepada kejahatan yang pernah dilakukannya.

    Dia memiliki kesabaran yang kuat dalam menghadapi bala bencana. Dia kuat berserah diri

    kepada Tuhan. Dia menghadap kepada Tuhan dengan rasa merendah diri dan berhajat

    kepada-Nya. Sifat merendah diri yang sudah lahir dalam hatinya membuatnya tidak lagi

    mengkeritik orang ramai sembarangan, seperti yang dilakukannya ketika dalam daerahlawwamah dahulu. Dia lebih memandang orang ramai dengan pandangan simpati, bukan

    mengutuk. Zikirnya sudah boleh masuk ke dalam hati yang lebih dalam dan lebih seni,

    menguatkan rasa pergantungan kepada Allah s.w.t. Keikhlasan ahli mulhamah ini sudah

    bertambah kuat. Dia melakukan kebaikan bukan lagi kerana takutkan Allah' tetapi semata-mata

    kerana Allah' atau kerana mahu mendapatkan keredaan-Nya. Orang yang sudah berada pada

    tahap ini akan terus mentaati Allah s.w.t sekali pun Tuhan tidak menjadikan syurga dan neraka.

    Matlamatnya adalah Allah s.w.t semata-mata. Keyakinannya kepada Allah s.w.t sangat

    mendalam, sebab itu dia kuat melakukan tajrid, iaitu menyerahkan urusannya kepada Allah

    s.w.t sahaja, tidak kepada makhluk. Daerah mulhamah merupakan peringkat terakhir pekerjaan

    membawa haluan nafsu ke arah yang betul. Ia adalah sempadan terakhir bagi nafsu yangmendatang, yang menumpang nafsu asli yang suci. Oleh kerana dia masih berada dalam

    daerah nafsu yang mendatang dia masih berkemungkinan diheret semula kepada daerah nafsu

    yang lebih rendah. Oleh itu kesungguhan beribadat dan kekuatan iman diperlukan agar rantai

    dari daerah nafsu yang lebih rendah tidak kembali menyambar dan mengikatnya.

    Apabila seseorang itu keluar sepenuhnya daripada daerah nafsu yang mendatang dan masuk

    sepenuhnya ke dalam daerah nafsu yang asli dan haluan nafsunya sudah berada pada arah

    yang benar, dia masuk ke dalam daerah nafsu muthmainnah. Dia telah kembali kepada tahap

    yang diredai Allah s.w.t.

    Wahai nafsu muthmainnah. Kembalilah kepada Tuhan engkau dalam keadaan reda meredai

    oleh-Nya dan masuklah engkau ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah engkau ke

    dalam syurgaKu. ( Ayat 27 - 30 : Surah al-Fajr )

    Jiwa muthmainnah hanya tenang dan tenteram di dalam melakukan ketaatan kepada Allah

    s.w.t. Perbuatan zahirnya dan kelakuan hatinya semata-mata dalam melakukan ketaatan

    kepada Allah s.w.t. Dia menyayangi makhluk Tuhan, suka bersedekah, tidak menyimpan harta,

    reda dengan ketentuan Allah s.w.t dan bertawakal kepada-Nya dalam segala perkara. Dia

    hidup di atas landasan takwa, kuat beribadat dan mensyukuri segala pemberian Tuhan. Dia

    sudah melepasi makam sabar dan masuk kepada makam reda, maka tidak ada apa lagi yangmenekan jiwanya. Cahaya ketenangan muncul pada wajahnya. Dia sudah dapat mengalami

    3 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    4/10

    Tarekat Tasauf

    Hadrat nama-nama Tuhan. Kesedaran dan ingatan terhadap nama-nama Tuhan mendatangkan

    kenikmatan dan kelazatan pada hatinya. Kehampirannya dengan Tuhan membuatnya

    merasakan dirinya sentiasa bersama-sama-Nya, maka tidak ada apa lagi yang menakutkan dan

    mendukacitakannya. Daerah muthmainnah ini dinamakan daerah kewalian peringkat permulaan

    atau wali kecil.

    Manusia rohani memiliki sifat-sifat yang asli. Manusia zahir memperolehi sifat melalui

    percantuman dengan manusia rohani. Sifat yang muncul pada manusia zahir dinamakan sifat

    kemanusiaan. Apabila seseorang meninggalkan daerah-daerah ammarah, lawwamah dan

    mulhamah masuk ke dalam daerah muthmainnah, bermakna dia meninggalkan daerah sifat

    kemanusiaan dan masuk kepada sifat rohani. Kelenyapan sifat kemanusiaan dinamakan

    kefanaan. Bertambah kuat sifat rohani menguasainya bertambah kuat kefanaan yang

    dialaminya. Tertanggalnya sifat kemanusiaan dan pada masa yang sama mengalami suasana

    Hadrat Ilahi menyebabkan orang yang berkenaan menafikan perbuatan manusia dan

    menyandarkannya kepada perbuatan Tuhan. Orang yang dalam keadaan demikianmenyaksikan Hadrat Tuhan menerajui sekalian alam maya ini. Oleh sebab itu dia menyerah

    bulat-bulat kepada pentadbiran Tuhan. Dalam daerah muthmainnah Hadrat Tuhan yang dialami

    oleh hati menyata sebagai Nama-nama-Nya yang banyak. Setelah dia masuk kepada daerah

    yang lebih mendalam hatinya mengalami keadaan di mana Hadrat nama-nama yang kelihatan

    banyak itu sebenarnya adalah Hadrat yang satu, yang berkuasa menentukan segala perkara,

    tidak ada yang lain memiliki kuasa. Daerah ini dinamakan nafsu radhiah. Suasana hati ahli

    nafsu radhiah adalah sangat teguh meredai apa sahaja takdir Tuhan. Baginya bala dan nikmat

    adalah sama sahaja, sama-sama takdir Tuhan. Orang radhiah sangat kuat merasai kehadiran

    kuasa ghaib mengawal segala kelakuan dan tindak-tanduknya. Perbuatan yang keluar dari

    dirinya berlaku secara spontan tanpa dia campurtangan sedikit pun. Keadaannya samalahseperti keadaan orang yang melihat dirinya di dalam mimpi. Dia tidak ikut campurtangan dalam

    kelakuan dirinya yang di dalam mimpi itu. Dirinya yang di dalam mimpi melakukan sesuatu

    tanpa berfikir dan merancang, tidak terikat dengan dirinya yang diluar mimpi. Apabila diri yang

    di dalam mimpi itu menjadi sangat kuat diri yang di luar merasakan dialah yang khayalan dan

    diri yang di dalam mimpi itulah diri yang sebenar. Pengalaman seperti inilah menyebabkan

    orang radhiah menafikan kewujudan dirinya dan diisbatkan kepada kewujudan Allah s.w.t.

    Kelakuan orang radhiah tidak lagi terpengaruh kepada fikiran, perasaan dan hukum logik.

    Tuturkatanya berbunga-bunga, sukar dimengerti oleh orang lain. Dia kadang-kadang

    mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan orang lain. Biasa juga terjadi dia

    mengeluarkan ucapan yang pada zahirnya menyalahi syariat. Dia tidak lagi mengendahkanperaturan masyarakat. Tingkah lakunya boleh menyebabkan orang ramai menyangkakannya

    sudah gila. Apa yang nyata pada hatinya adalah segala perkara datangnya dari Tuhan. Dia

    mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Apa juga kebolehan dan kekeramatan yang

    diperolehinya disandarkan kepada Tuhan. Orang radhiah mengalami rasa kegilaan kepada

    Allah' pada tahap paling tinggi. Suasana hatinya diistilahkan sebagai dalam Allah.' Dia fana

    dalam lautan takdir.

    Setelah sampai pada kemuncak, darjah kefanaan mula menurun. Peringkat kefanaan menurun

    ini dinamakan nafsu mardhiah. Dalam proses menaik sehingga ke radhiah seseorang itu

    terpisah daripada sifat kemanusiaan dan kewujudan alam maya. Apabila sampai kepadadaerah mardhiah dia kembali melihat kepada apa yang terpisah daripadanya sewaktu menaik

    4 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    5/10

    Tarekat Tasauf

    dahulu. Dia sudah boleh melihat sifat kemanusiaan yang menumpang wujud rohani dan sudah

    merasakan memiliki keupayaan untuk menggunakan sifat dan bakat tersebut. Bila sifat

    kemanusiaan sudah kembali dia kembali menyaksikan kewujudan alam maya dan makhluk di

    sekelilingnya. Ketika masih hampir dengan daerah radhiah, walaupun dia sudah berada dalam

    daerah mardhiah, kesan kefanaan belum terhapus sepenuhnya dari hatinya. Penyaksiannyaterhadap makhluk tidak menetap. Kadang-kadang penyaksiannya melampaui makhluk.

    Kemudian makhluk datang kembali kepada pandangannya. Begitulah keadaannya sehingga dia

    sampai kepada penetapan nafsu mardhiah, di mana pandangannya tidak terbalik lagi. Dirinya,

    sifat dan bakatnya dan makhluk sekaliannya menjadi tetap dalam kesedarannya. Dia masuk ke

    dalam suasana yang diistilahkan sebagai baqa atau kekal dengan Allah s.w.t. Dalam suasana

    tersebut hatinya kekal dengan Allah s.w.t walaupun zahirnya bercampur dengan orang ramai.

    Walaupun dia sudah boleh bergaul dengan orang ramai tetapi dia lebih suka bersendirian dan

    tidak mahu bercakap atau melakukan sesuatu yang sia-sia. Dia sudah boleh mengatur

    kehidupan hariannya. Ucapan yang menyalahi syariat tidak keluar lagi dari mulutnya.

    Dalam daerah mardhiah seseorang itu mendapat kesedaran sepenuhnya tentang keaslian

    rohaninya. Perjalanan kerohanian bukanlah perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia

    merupakan perubahan kesedaran mengenai hakikat dirinya sehinggalah dia memperolehi

    kesedaran sepenuhnya tentang keaslian dirinya. Dalam melalui proses perubahan kesedaran

    itu dia mendapat pengetahuan tentang Tuhan. Dia juga memperolehi kesedaran mengenai roh

    yang paling latif yang dipakaikan dengan tubuh badan yang nyata. Orang mardhiah yakin

    bahawa dia diciptakan untuk sesuatu tujuan yang khusus tetapi dia belum menerima amanah

    untuk memikul tugas berkenaan. Oleh itu keadaannya adalah umpama orang yang sedang

    menunggu kenderaan di stesen. Sementara kenderaan yang akan membawanya pergi ke

    tempat yang khusus sampai dia melakukan sesuatu pekerjaan secara ala kadar sahaja. Diamelakukan sesuatu dengan persediaan untuk meninggalkannya apabila datang perintah' untuk

    pergi ke satu tempat yang muktamad kelak. Suasana hati yang beginilah membuatkan orang

    mardhiah kembali kepada kehidupan dunianya tanpa sesuatu matlamat yang jelas. Sebenarnya

    kesan kefanaan yang sangat kuat pada peringkat radhiah masih menguasai hatinya. Kesan

    tersebut membuatnya masih menanti-nantikan' sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. Masih ada

    tarik menarik di dalam hatinya di antara kesedaran kerohanian yang diperolehinya dengan

    kesedaran kemanusiaan yang dikembalikan kepadanya. Dia adalah umpama seorang yang

    keberatan untuk memasuki rumahnya yang telah lama ditinggalkannya dan rumah itu gelap

    gelita. Dia akan terus berkeadaan demikian sehinggalah dia menyedari bahawa dirinya sudah

    ada cahaya yang mampu menerangi rumah gelap tersebut. Apabila dia telah menerimarumahnya dengan sepenuh jiwa raga dan dia memasuki rumah itu, akan memancarlah di

    dalamnya cahaya yang terang benderang. Dia mula bekerja di dalam rumah tersebut.

    Keadaannya seumpama Adam a.s yang reda dengan bumi ini menjadi tempat kediamannya,

    tempat kematiannya dan tempat dibangkitkan.

    Rohani yang terang benderang telah menerima jasad yang gelap gelita, maka sempurnalah

    kejadian insan. Adam a.s telah menerima bumi sebagai tempat kediamannya, maka

    sempurnalah tujuan penciptaan Adam a.s. Orang kerohanian melalui berbagai-bagai peringkat

    kerohanian. Apabila rohaninya menerima jasadnya sempurnalah kejadiannya. Apabila dirinya

    iaitu rohani yang berkamil dengan jasad, menerima penghidupan di dalam dunia sempurnalahperjalanannya. Tidak ada lagi yang dinanti-nantikannya dan tidak ada perintah lagi yang

    5 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    6/10

    Tarekat Tasauf

    ditunggunya. Dunia inilah daerah kekhalifahannya dan al-Quran itulah perintah yang sudah siap

    termetri. Orang kerohanian masuk ke dalam daerah nafsu kamaliah atau kesempurnaan nafsu

    dengan doa:

    Dan katakanlah: "Wahai Tuhanku! Masukkan daku dengan kemasukan yang baik dankeluarkan daku dengan keluaran yang baik dan jadikanlah untukku langsung dari Engkau satu

    kekuasaan yang menolong". Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran dan telah lenyap

    kebatalan; sesungguhnya yang batal itu pastilah dilenyapkan". ( Ayat 80 & 81 : Surah al-Israa'

    @ Bani Israil )

    Orang kerohanian yang telah kembali kepada keaslian rohaninya, kemudian dihantar semula

    ke tempat dia bermula, iaitu kehidupan dunia, dipelihara oleh Allah s.w.t daripada dirosakkan

    oleh kehidupan dunia. Dia kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan kehidupan dunia

    sebagai nafsu muthmainnah, nafsu yang paling sempurna dan sesuai untuk kehidupan di bumi.

    Bumi yang menjadi tempat kembalinya itu adalah seumpama bumi yang diciptakan semula olehTuhan setelah berlaku kiamat.

    Pada hari yang akan diganti bumi ini dengan bumi lain dan semua langit juga, dan akan tampil

    mereka ke hadapan Tuhan, Allah, Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dan akan engkau lihat

    orang-orang yang berdosa itu terikat dengan belenggu-belenggu. ( Ayat 48 & 49 : Surah

    Ibrahim )

    Manusia pilihan yang diturunkan kepada penghidupan dunia setelah dinaikkan kepada tempat

    asalnya, merupakan khalifah Tuhan yang bertugas memakmurkan bumi dan melaksanakan

    perintah Allah s.w.t. Puak yang tidak mengerti akan mencuba untuk mengganggu pekerjaanmereka tetapi pertolongan dari Tuhan membelenggu musuh mereka hinggakan dunia ini tidak

    lagi berupaya mencederakan mereka. Setelah tugas mereka di bumi sempurna mereka akan

    kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda meredai.

    Para khalifah Tuhan diperkuatkan dengan pertolongan yang langsung daripada-Nya.

    Dia campakkan Roh dari urusan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari kalangan

    hamba-hamba-Nya. ( Ayat 15 : Surah Mu'min )

    Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan Roh Kudus. ( Ayat 87 : Surah al-Baqarah )

    Khalifah Tuhan berkecimpung dalam kehidupan masyarakat sebagaimana anggota

    masyarakat yang lain. Kerja utama mereka adalah membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t. Di

    damping itu mereka menjalankan kewajipan terhadap diri dan keluarga.. Mereka melakukan

    pekerjaan kerana mentaati Allah s.w.t. Khidmat mereka kepada masyarakat adalah khidmat

    mereka kepada Tuhan. Kasih mereka kepada Tuhan disebarkan kepada makhluk Tuhan.

    Ketaatan mereka kepada Tuhan ditunjukkan dengan memberi bantuan kepada makhluk Tuhan.Mereka adalah wakil Tuhan yang bertugas hal ehwal makhluk Tuhan. Itulah pekerjaan Adam

    6 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    7/10

    Tarekat Tasauf

    a.s dan keturunannya yang dipilih dari masa ke masa untuk meneruskan pekerjaan tersebut.

    Daerah-daerah nafsu merupakan stesen kerohanian di sepanjang perjalanan. Stesen

    kerohanian tidak seharusnya dipandang sebagai makam ketinggian dan kemuliaan. Tuhan tidak

    melihat kepada stesen kerohanian tetapi Dia melihat kepada takwa. Takwa yang sebenarhanya boleh disempurnakan dalam kehidupan dunia, di tengah-tengah masyarakat, bukan

    dalam kerohanian yang memisahkan seseorang dengan orang ramai. Manusia yang paling

    mulia, iaitu Nabi Muhammad s.a.w sangat aktif dalam kegiatan masyarakat dan kehidupan

    harian.

    Selain daripada mengajarkan perjalanan kerohanian melalui daerah-daerah nafsu, tarekat

    tasauf juga mengajarkan perkembangan kesedaran kerohanian melalui berbagai-bagai

    peringkat kebatinan. Suasana kebatinan itu dinamakan Latifah Rabbaniah, iaitu unsur seni yang

    ghaib yang termasuk dalam urusan Tuhan yang tidak mampu difikirkan. Latifah Rabbaniah

    yang tergolong sebagai Diri Batin adalah Latifah -latifah Kalbu, Roh, Sir, Khafi, Akhfa, NafsuNatiqah dan Kullu Jasad.

    Latifah Kalbu adalah hati nurani. Ia menjadi raja yang memerintah sekalian anggota dan tubuh

    manusia. Ia menjadi induk bagi semua latifah yang lain. Kalbu atau hati itulah yang menjadi

    tilikan Allah s.w.t. Jika baik hati akan baiklah sekalian anggota. Hati yang seni dan ghaib

    dikaitkan dengan hati sanubari, iaitu jantung yang terletak dalam dada sebelah kiri, kira-kira dua

    jari di bawah tetek. Jika diletakkan jari pada tempat tersebut boleh dirasakan denyutannya.

    Denyutan jantung memberi peringatan kepada manusia bahawa dia masih hidup kerana

    sokongan daripada Latifah Kalbu yang menjadi bekas menerima kurniaan Allah s.w.t. Kalbu

    atau hati seni dibungkus oleh alam perasaan yang berbolak-balik, tidak menetap. Kesungguhanberibadat dan berzikir membebaskan Latifah Kalbu daripada hijab alam perasaan yang

    menutupinya. Bila Latifah Kalbu telah bebas daripada tutupan alam perasaan ia akan

    menghadap kepada alam ghaib dan menerima ilham yang bebas daripada bisikan syaitan.

    Kesedaran kebatinan pada tahap Latifah Kalbu membuat hati merasakan jalinan yang erat dan

    unik dengan Kenabian Adam a.s atau dikatakan hati mengalami suasana Hakikat Adamiyah.

    Perjalanan Adam a.s menjadi iktibar untuk hati bertaubat dan membersihkannya daripada

    segala kekotoran. Kesedaran kerohanian yang berhubung erat dengan kenabian Adam a.s itu

    juga membuka kefahaman tentang perjalanan hukum sebab dan akibat. Kefahaman

    mengenainya membuat seseorang mengkagumi perjalanan kehidupan yang sangat rapi telah

    diaturkan untuknya oleh Tuhan Yang Maha Mentadbir. Kesedaran tersebut menambahkankeyakinannya kepada bimbingan yang datang dari Tuhan. Hatinya menjadi bertambah kuat

    untuk kembali kepada Tuhan dan dia bermujahadah untuk mendapatkan keredaan-Nya.

    Keasyikan dalam suasana latifah sering membuat mata hati menyaksikan cahaya dan warna

    dalam alam ghaib. Keasyikan dalam Latifah Kalbu membawa seseorang menyaksikan cahaya

    berwarna kuning yang bergemerlapan. Cahaya latifah yang disaksikan bukanlah cahaya Tuhan

    dan sekali-kali bukanlah Tuhan. Ia mesti dinafikan dengan membanyakkan ucapan: "La ilaha

    illa Llah ".

    Latifah Kalbu adalah umpama ruang yang besar, terdapat dalamnya berbagai-bagai latifah lagi.

    Tahap kesedaran latifah yang lebih mendalam dinamakan Latifah Roh, dikenali sebagai RohHaiwani. Latifah Roh atau Roh Haiwani itu dihijabkan oleh sifat-sifat keji yang dipanggil sifat

    7 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    8/10

    Tarekat Tasauf

    binatang jinak. Sifat ini mengheret manusia kepada jalan memuaskan nafsu syahwat seperti

    haiwan, tanpa menghiraukan akibat dan dosa. Sifat binatang jinak inilah yang membuat

    manusia berani melakukan kesalahan walaupun orang lain yang telah membuat kesalahan

    yang sama telah pun menerima padahnya. Orang lain yang telah mati kerana penyakit aids

    tidak menakutkan binatang jinak untuk terus berbuat maksiat. Orang lain yang sudah kenagantung kerana menjual dadah tidak menakutkan binatang jinak untuk terus menjual dadah.

    Memang sifat binatang tidak mengenal dosa dan tidak takut kepada penyakit. Tenaga ibadat

    dan zikir yang masuk ke dalam daerah Latifah Roh akan menghancurkan sifat binatang jinak

    itu. Bila sifat tersebut telah hancur akan muncullah sifat Latifah Roh yang asli, iaitu gemar

    beribadat, kuat bertawakal dan reda dengan takdir Tuhan. Kesedaran pada tahap Latifah Roh

    ini membuatkan seseorang melakukan ibadat dan berzikir dengan banyaknya tanpa berasa

    penat dan jemu. Dalam daerah ini juga muncul hubungan kerohanian dengan Kenabian Ibrahim

    a.s dan Nuh a.s. Pertemuan' dengan Hakikat Ibrahimiyah dan Nuhiyah menguatkan

    kesanggupan seseorang untuk berjuang dan berkorban demi mendapatkan keredaan Allah

    s.w.t. Keasyikan dalam daerah Latifah Roh ini membawa mata hati menyaksikan cahaya yangberwarna merah yang gilang gemilang. Cahaya latifah ini juga bukanlah cahaya Tuhan dan

    sekali-kali bukan Tuhan, perlu dinafikan dengan memperbanyakkan ucapan : "La ilaha illa Llah

    ".

    Setelah melepasi daerah Latifah Roh seseorang mengalami pula suasana kerohanian dalam

    daerah Latifah Sir atau dinamakan Roh Insani. Latifah Sir atau Roh Insani ini dihijab oleh sifat

    buruk yang dinamakan sifat binatang buas. Sifat tersebut mendorong manusia bermusuhan

    sesama sendiri, melakukan kezaliman, berdendam dan saling membenci. Apabila sifat binatang

    buas ini berkuasa akan berlakukah penganiayaan, penindasan dan kezaliman yang tidak

    berperi kemanusiaan terhadap sesama manusia. Sifat binatang buas ini mesti dihancurkandengan tenaga ibadat dan zikir. Bila sifat binatang buas telah hancur akan muncullah sifat

    Latifah Sir yang asli iaitu mencintai Allah s.w.t dengan teramat sangat. Kesedaran kebatinan

    pada tahap Latifah Sir inilah yang sering membuat hati gilakan Allah s.w.t hingga ke tahap tidak

    rasional. Dalam daerah ini juga terjalin hubungan kerohanian dengan Kenabian Musa a.s.

    Hakikat Musawiyah membawanya merasai kehampiran dengan Allah s.w.t dan merasai nikmat

    Cinta Ilahi. Keasyikan dalam daerah ini membawa mata hati menyaksikan cahaya berwarna

    putih yang bergemerlapan. Cahaya latifah ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan

    Tuhan, mesti dinafikan dengan ucapan: "La ilaha illa Llah " sebanyak mungkin.

    Seterusnya hati mengalami suasana Latifah Khafi. Latifah ini dihijabkan oleh sifat syaitaniahyang menerbitkan perasaan dengki, khianat dan busuk hati. Apabila tenaga ibadat dan zikir

    yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh berjaya menghancurkan sifat syaitaniah, akan

    muncullah sifat latifah yang asli iaitu sabar, syukur, reda dan tawakal yang sebenarnya.

    Kesedaran pada tahap Latifah Khafi membuat seseorang mengalami hubungan kerohanian

    dengan Kenabian Isa a s atau Hakikat Isaiyah. Kesedaran dalam daerah ini menambahkan

    kekuatan rohani untuk menghampiri Allah s.w.t dan pada tahap latifah ini juga selalu muncul

    perkara yang luar biasa seperti kebolehan mengubati penyakit dan mempunyai firasat yang

    tajam, walaupun bidang tersebut tidak pernah dipelajarinya. Keasyikan dalam Latifah Khafi

    membawa seseorang menyaksikan cahaya hitam yang tidak terhingga. Cahaya ini juga bukan

    cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan. Ia mesti dinafikan dengan memperbanyakkanucapan: "La ilaha illa Llah ".

    8 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    9/10

    Tarekat Tasauf

    Kesedaran kebatinan seterusnya dinamakan Latifah Akhfa yang dihijab oleh sifat Rabbaniah

    (ketuhanan) yang tidak layak dipakai oleh makhluk. Sifat tersebut melahirkan rasa sombong,

    ujub dan riak. Apabila tenaga ibadat dan zikir berjaya membebaskan Latifah Akhfa daripada

    sifat Rabbaniah akan muncullah sifat kebaikan seperti ikhlas dan tawaduk yang sebenarnya.

    Kesedaran dalam daerah ini membuat seseorang gemar bertafakur. Dalam kesedaran latifah inijuga lahir hubungan kerohanian yang erat dengan Kenabian Muhammad s.a.w atau Hakikat

    Muhammadiah. Orang berkenaan akan mengalami rasa kasih, keasyikan dan kerinduan yang

    bersangatan terhadap Rasulullah s.a.w. Ucapan selawat merupakan ucapan yang sangat

    merdu dan mengasyikkan. Keasyikan terhadap Rasulullah s.a.w dalam daerah Latifah Akhfa ini

    juga membuat seseorang mengalami suasana pertemuan' dengan rohani Rasulullah s.a.w

    sama ada dalam mimpi atau pun dalam jaga. Hakikat Muhammadiah membawa seseorang

    memasuki suasana Cinta Allah s.w.t yang lebih halus dan lebih seni serta memperolehi

    muraqabah atau berhadap kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak kepada selain-Nya.

    Keasyikan pada latifah ini juga membawa seseorang menyaksikan cahaya berwarna hijau yang

    gilang gemilang. Cahaya ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan, perludinafikan dengan ucapan : "La ilaha illa Llah ".

    Latifah seterusnya dinamakan Latifah Nafsu Natiqah. Latifah ini juga dikenali sebagai diri yang

    boleh berfikir. Nafsu Natiqah dihijab oleh sifat ammarah yang banyak membentuk khayalan dan

    melahirkan penyakit panjang angan-angan. Dalam daerah inilah gambar-gambar yang disukai

    oleh nafsu syahwat ditayangkan. Keinginan kepada kesenangan dan keseronokan dunia

    berpunca daripada daerah ini. Apabila tenaga ibadat dan zikir berjaya menghapuskan sifat

    ammarah, akan muncullah suasana hati yang tenteram dan fikiran yang tenang. Gambaran,

    khayalan dan fikiran jahat yang selalu mengganggu orang yang sedang bersembahyang tidak

    ada lagi apabila sifat ammarah pada Nafsu Natiqah sudah terhapus. Keasyikan dalamkesedaran Nafsu Natiqah membawa seseorang menyaksikan cahaya yang berwarna ungu

    yang gilang gemilang. Cahaya ini juga bukan cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan, perlu

    dinafikan sebanyak mungkin dengan ucapan: "La ilaha illa Llah ".

    Latifah yang terakhir dikenali sebagai Latifah Kullu Jasad yang meliputi seluruh tubuh. Latifah

    ini dihijab oleh sifat jahil dan lalai. Apabila hijab tersebut berjaya dihapuskan oleh tenaga ibadat

    dan zikir akan muncullah sifat berilmu dan beramal. Tenaga zikir yang berjalan lancar dalam

    daerah ini dapat dirasakan mengalir ke seluruh tubuh, dari hujung rambut sampai ke hujung

    kaki, menyerap ke segenap rongga dalam tubuh badan, bercampur dengan darah, daging,

    tulang, sumsum dan seluruh maujud. Suasana yang demikianlah dikatakan seluruh tubuhberzikir. Keasyikan dalam latifah ini membawa seseorang menyaksikan cahaya yang gilang

    gemilang tidak dapat dihinggakan dan ditentukan warnanya. Cahaya ini, seperti juga

    cahaya-cahaya yang lain, bukanlah cahaya Tuhan dan sekali-kali bukan Tuhan dan perlu

    dinafikan dengan ucapan: "La ilaha illa Llah ".

    Tujuan tarekat tasauf adalah membawa hati keluar daripada hijab kegelapan dan masuk ke

    dalam cahaya yang terang benderang. Dalam dunia ini benda-benda nyata boleh disaksikan

    kerana ada cahaya nyata seperti matahari, bulan dan lampu. Perkara dunia yang abstrak dapat

    disaksikan melalui cahaya akal. Alam ghaib pula disaksikan melalui cahaya latifah. Walaupun

    cahaya latifah muncul sebentar sahaja dalam pandangan mata hati namun ia memadai untukmenerangi perjalanan menuju stesen kerohanian yang berikutnya. Apabila seseorang mencapai

    9 / 10

  • 7/24/2019 tarekat-tasauf

    10/10

    Tarekat Tasauf

    baqa semua cahaya tidak mempunyai warna, maka tidak ada penyaksian terhadap cahaya,

    tetapi hati masih dapat merasakan suasana yang terang benderang menerangi perjalanannya

    sehingga dia tidak berasa keliru atau ragu-ragu. Cahaya-cahaya alam kerohanian memandu

    seseorang untuk sampai ke Hadrat Ilahi. Suasana Hadrat Ilahi adalah makam ihsan, iaitu

    merasai kehadiran Tuhan dalam segala keadaan dan pada setiap ketika. Orang yang sampaikepada pengalaman yang demikian mengerti maksud firman Allah s.w.t:

    Allah jualah Cahaya bagi langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )Nur Allah s.w.t adalah

    Hadrat-Nya atau kehadiran-Nya yang dapat dirasakan oleh hati yang berkait rapat dengan

    rohnya yang asli. Nur Allah s.w.t bukanlah cahaya yang boleh difikirkan, digambarkan atau

    dikhayalkan. Maksud melihat Nur Allah s.w.t adalah merasakan kehadiran-Nya. Apa juga

    cahaya yang disaksikan dalam alam ghaib adalah cahaya yang Dia gubah sebagai menarik

    hamba-hamba-Nya agar terus berjalan sehingga sampai kepada matlamat yang dituju.

    Matlamat yang terakhir hanya boleh ditemui dan dicapai melalui suluhan cahaya kebenaran

    yang sejati.

    Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah

    engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk

    dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya

    engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa

    yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai

    segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )

    Wahyu adalah cahaya kebenaran yang sejati, dijadikan nur yang memberi petunjuk yang

    dengannya segala urusan sampai kepada Allah s.w.t.

    10 / 10