sistem pendidikan

25
1.0 Pendahuluan Malaysia amat mementingkan sistem pendidikan bagi mencorak masyarakat dan melahirkan para pemimpin masa hadapan yang gemilang. Hal ini dapat dilihat sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Buktinya, lihat sajalah sejarah pendidikan di negara ini yang mempunyai kronologi yang panjang dan sentiasa berubah mengikut arus kemajuan dunia. Jika dilihat dengan teliti, sistem pendidikan di Malaysia adalah terdiri daripada lima bahagaian utama iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan lepas menengah dan pendidikan tinggi. Melalui sistem pendidikan ini juga, lahirnya pelbagai jenis sekolah yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memantapkan institusi pendidikan. Antaranya ialah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah wawasan, sekolah bestari, sekolah agama islam, dan juga sekolah berasrama penuh. Tidak ketinggalan juga sekolah antarabangsa atau juga dikenali sebagai sekolah ekspatriat. Walaupun terdapat begitu banyak jenis sekolah yang diperkenalkan, setiap sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan wajib menggunakan satu kurikulum yang piawai atau standard yang telah telah diperuntukkan dalam seksyen 18 dan Akta Pendidikan 1996 dalam proses pembelajaran dan pengajaran kepada murid-murid di sekolah. Kurikulum ini dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan ini telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kurikulum Kebangsaan ini juga dikenali sebagai Peraturan- Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997. Akta Pendidikan 1996 menyebut Kurikulum Kebangsaan sebagai ; 1

Upload: nooraluitm

Post on 06-Nov-2015

33 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

sistem pendidikan

TRANSCRIPT

1.0PendahuluanMalaysia amat mementingkan sistem pendidikan bagi mencorak masyarakat dan melahirkan para pemimpin masa hadapan yang gemilang. Hal ini dapat dilihat sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Buktinya, lihat sajalah sejarah pendidikan di negara ini yang mempunyai kronologi yang panjang dan sentiasa berubah mengikut arus kemajuan dunia. Jika dilihat dengan teliti, sistem pendidikan di Malaysia adalah terdiri daripada lima bahagaian utama iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan lepas menengah dan pendidikan tinggi. Melalui sistem pendidikan ini juga, lahirnya pelbagai jenis sekolah yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memantapkan institusi pendidikan. Antaranya ialah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah wawasan, sekolah bestari, sekolah agama islam, dan juga sekolah berasrama penuh. Tidak ketinggalan juga sekolah antarabangsa atau juga dikenali sebagai sekolah ekspatriat.Walaupun terdapat begitu banyak jenis sekolah yang diperkenalkan, setiap sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan wajib menggunakan satu kurikulum yang piawai atau standard yang telah telah diperuntukkan dalam seksyen 18 dan Akta Pendidikan 1996 dalam proses pembelajaran dan pengajaran kepada murid-murid di sekolah. Kurikulum ini dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan ini telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kurikulum Kebangsaan ini juga dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997. Akta Pendidikan 1996 menyebut Kurikulum Kebangsaan sebagai ;

... suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan

Akta Pendidikan 1996[Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997]Namun begitu, tidak semua murid mampu mengikuti kehendak Kurikulum Kebangsaan ini akibat kekangan yang dihadapi oleh mereka sejak lahir lagi terutamanya bagi mereka yang tergolong dalam golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Di Malaysia, murid yang tergolong di dalam kategori OKU atau mereka yang dikatakan sebagai murid bekerpulan khas ini mempunyai satu sistem pendidikan yang dirumus khas bagi mereka agar mereka mampu menikmati pendidikan setara dengan murid-murid normal yang lain. Dengan kelainan dan kehendak yang berbeza dengan murid normal yang lain, kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Akta Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) Seksyen 41 yang menerangkan bahawa:

semua pelajar bekeperluan khas yang boleh dididik dan mampu mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain, boleh diterima bersekolah

Akta Pendidikan Khas 1997

[Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997]Melalui Akta ini, Unit Pendidikan Khas bagi setiap negeri telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran unit pendidikan khas yang ada bagi setiap negeri. Unit Pendidikan Khas ini juga bertindak dalam merancang serta menyelaras penempatan guru, penempatan murid mengikut Akta Pendidikan Khas 1997 yang telah dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Berbeza pula bagi golongan OKU yang tidak mampu mengurus diri mereka sendiri dan tidak mampu dididik di alam persekolahan, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bertindak sebagai instrument bagi golongan ini untuk belajar berfungsi seperti individu normal. Oleh kerana kehendak dan juga keperluan mereka yang istimewa dan berbeza berbanding golongan OKU yang mampu mengurus diri mereka sendiri, golongan ini biasanya akan dihantar untuk mendapatkan pendidikan yang berteraskan untuk mendidik golongan ini untuk berfungsi serta berkelakuan seperti insan normal yang lain. Keadaan ini akan memampukan mereka untuk terus menjalankan proses kelangsungan hidup serta membantu mereka untuk hidup tanpa kebergantungan penuh terhadap individu di sekeliling mereka.

Dengan ini, kita dapat lihat bahawa golongan OKU ini secara amnya mempunyai dua sistem pendidikan yang berfungsi untuk memenuhi keperluan khas mereka. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa terdapatnya perbezaan yang ketara dalam pendekatan pendidikan di alam persekolahan dan juga di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di mana kedua-dua institusi ini mengggunakan kurikulum yang berbeza dalam mendidik pelajar OKU mereka. Penulisan dibawah akan menghuraikan perbezaan yang terdapat dalam penggunaan kurikulum di sekolah dan di PDK secara terperinci.

2.0Perbezaan Penggunaan Kurikulum Murid Bekeperluan Khas di Sekolahdan di PDK

2.0.1Matlamat Kurikulum Murid Bekeperluan Khas di Sekolah

Secara amnya sukatan pelajaran pendidikan khas bagi murid bermasalah pembelajaran adalah berlainan dengan sukatan kanak-kanak normal di aliran perdana. Menurut Mohd Mokhtar Tahar (2007), murid bekeperluan khas ini perlu mengikuti sukatan pelajaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia dan konsep sukatan pelajaran tersebut adalah seperti berikut:

Dalam melaksanakan Kurikulum Pendidikan Khas, guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997) dalam Mohd Mokhtar Tahar (2007).

Hal ini menunjukkan bahawa pendidikan untuk semua menegaskan tentang hak semua kanak-kanak untuk diberi pendidikan tanpa mengira latar belakang sosial dan juga kemampuan intelek pelajar tersebut. Keperluan untuk memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak adalah menjadi satu tanggungjawab sosial yang penting dalam masyarakat. Individu bekeperluan khas yang berada dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) di Malaysia merupakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti Sindrom Down, Perkembangan Lewat, Autisme, dan Hiperaktif (Mohd Mokhtar Tahar, 2007).

Oleh kerana murid-murid ini memerlukan perhatian serta pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang berbeza berbanding pelajar normal yang lain, Kurikulum Kebangsaan tidak dapat memnuhi keperluan murid-murid PKBP. Hal ini adalah kerana tahap pencapaian pendidikan PKBP secara amnya adalah amat rendah dan peningkatan pencapaian adalah perlahan dan juga minimum berbanding murid-murid normal di aliran perdana. Mohd Mokhtar Tahar(2007), turut menyatakan bahawa objektif yang terkandung dalam kurikulum sedia ada pula adalah terlalu tinggi bagi murid PKBP, khususnya kebolehan mereka untuk mengusai kemahiran sesuai dengan tahap keupayaan masing-masing.

Dengan keadaan ini, terdapat keperluan untuk membina kurikulum yang dapat menyediakan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan juga bersesuaian dengan keupayaan serta kebolehan murid PKBP. Perancangan dan penggubalan kurikulum PKBP telah mengambil kira kepelbagaian keupayaan individu yang selaras dengan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 bahagian II 3(2) yang menyatakan :

Seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa kebergantungan kepada orang lain dan disahkan oleh panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai Kementerian Pendidikan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai berupaya mengikuti program Pendidikan Kebangsaan layak untuk menghadiri program pendidikan khas kecuali murid-murid yang berikut:

a) murid yang cacat anggota tetapi mempunyai kebolehan mental untuk belajar seperti murid biasa; dan

b) murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang berat.

Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (Pendidikan Khas) 1997 bahagian II 3 (2) dalam Mohd Mokhtar Tahar (2007).

Oleh itu, kurikulum di PKBP yang dibina khusus bagi pembelajaran dan pengajaran murid bekeperluan khas adalah penting untuk memastikan pelajar-pelajar ini mampu menikmati suasana pendidikan dalam situasi bilik darjah yang sebenar. Selain itu, kurikulum PKBP juga akan menyediakan pendidikan yang berkualiti secara optimum kepada murid-murid PKBP agar mereka dapat berfungsi sebagai individu yang berdikari serta berjaya dalam hidup serta dapat member sumbangan bakti kepada masyarakat (Mohd Mokhtar Tahar, 2007).

Berdasarkan kurikulum PKBP yang direka khas bagi murid bekeperluan khas, terdapat beberapa matlamat atau pun objektif yang ketara dalam membantu murid-murid ini dalam mendapatkan pendidikan di alam persekolahan. Antara objektif kurikulum pendidikan khas bermasalah pembelajaran adalah bagi mendidik murid bagi mengamalkan tingkah laku positif dan juga sikap positif dalam menguruskan kehidupan seharian yang lebih bermakna serta menjadikan murid-murid tersebut sebagai warganegara yang berguna (Mohd Mokhtar Tahar, 2007). Selain itu, kurikulum PKBP ini juga akan membenarkan murid untuk mengaplikasikan pengetahuan dan juga kemahiran bagi membolehkan mereka untuk hidup berdikari dalam kehidupan seharian mereka tanpa memerlukan pertolongan dari orang lain (Mohd Mokhtar Tahar, 2007).

Murid juga akan mampu untuk menjaga kesihatan dan keselamatan diri mereka dengan sempurna dan seterusnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Kurikulum ini juga bermatlamat untuk memperkembangkan kemahiran murid untuk berbahasa bagi tujuan komunikasi, berinteraksi, dan juga bersosialisasi dengan menepati tatasusila masyarakat majmuk (Mohd Mokhtar Tahar, 2007). Melalui pendekatan kurikulum ini juga, murid akan mampu memahami perkembangan jasmani dan juga mengusai kemahiran motor bagi membolehkan mereka melibatkan diri mereka dalam aktiviti riadah. Murid akan turut diharap untuk mempunyai daya kreatif dan juga nilai estetika untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya (Mohd Mokhtar Tahar, 2007). Mohd Mokhtar Tahar (2007) turut menyenaraikan kebolehan murid untuk mengembangkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi seiring dengan perkembangan semasa.

Melalui matlamat dan juga objektif yang disenaraikan, kita dapat lihat dengan jelas bahawa dengan penggunaan kurikulum khas bagi murid bekeperluan khas di sekolah ini adalah untuk memastikan mereka mampu mendapatkan pendidikan yang setara dengan murid normal dan juga membantu mereka untuk membesar serta berkembang dengan baik agar mereka mampu hidup dalam masyarakat dan seterusnya mengelakkan pengasingan keterlaluan oleh masyarakat terhadap diri mereka. Perkara ini amat penting bagi mereka agar mereka mampu diterima denga baik oleh masyarakat disamping menjadi insan yang berguna bagi diri mereka dan juga negara.

2.0.2Matlamat Kurikulum di PDK

Secara amnya Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bermaksud sebagai satu pendekatan baru yang menekankan penglibatan lebih aktif bagi ibubapa, keluarga dan komuniti tempatan terhadap usaha mencegah dan juga memulihkan Kanak-kanak Kurang Upaya, khususnya di peringkat tempatan dalam konteks struktur perkhidmatan dan rancangan pembangunan sedia ada (Ahmad Ruzaini Roslan, n.d.). Manakala menurut Nor Mazwina Mazlan (n.d.), PDK boleh didefinisikan sebagai institusi yang bertujuan untuk memulihkan Kanak-kanak Kurang Upaya supaya mereka dapat berfungsi seperti orang biasa selain daripada member kesedaran kepada komuniti mahupun masyarakat setempat bahawa golongan kurang upaya ini memerlukan bantuan daripada ahli keluarga dan juga saudara mara terdekat.

Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ini telah lama berkembang di Malaysia iaitu sejak pada tahun 1984 dan program ini telah dipelopori oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia di mana Projek Perintis bagi PDK ini telah diadakan di PDK Mukim Batu rakit, Terengganu dengan melibatkan 55 orang kurang upaya (OKU). Dengan projek rintis ini, lebih banyak pusat PDK telah ditubuhkan di seluruh negara dan sambutan yang menggalakkan dari masyarakat telah membolehkan pusat PDK berkembang dari semasa ke semasa (Nor Mazwina Mazlan, n.d.).

Melalui perkembangan PDK yang pesat di Malaysia dalam membantu program pemulihan bagi golongan OKU terutamanya murid yang tidak berupaya mengikuti kurikulum pendidikan khas di sekolah, program PDK ini telah menjadi satu wadah Focal Point atau pun One Stop Centre bagi mendekatkan integrasi komuniti di setiap daerah dan negeri serta Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam member komitmen dalam pembangunan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang setara dengan tindakan yang terkandung dalam Konvokesyen mengenai Hak Kanak-kanak, Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan Peluang di Rantau Asia dan Paisfik, Biwako Melennium Framework For Action. Menurut Rashidi Azizan (1996), dengan adanya PDK One Stop Centre, perkhidmatan kepada OKU akan disediakan di satu tempat bagi memudahkan golongan ini dan juga masyarakat setempat bagi mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan juga keperluan semasa serta latihan yang bersesuaian dengan golongan OKU ini terutamanya para pelajar pendidikan khas. Peranan PDK juga meliputi sebagai Pusat Interversi Awal OKU, Pusat Sumber Maklumat OKU, Pusat Rujukan OKU, Pusat Pendaftaran OKU dan juga sebagai Pusat Advokasi bagi golongan kurang upaya ini (Nor Mazwina Mazlan, n.d.).

Berlainan dengan murid bekeperluan khas di sekolah yang mengikuti Kurikulum PKBP dalam situasi bilik darjah, murid di PDK ditempatkan di Pusat-pusat Pemulihan yang terdapat di sesuatu kawasan. Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ini atau dikenali juga sebagai Community Based Rehabilitation (CBR) diurus oleh Jawatankuasa PDK yang dilantik melalui persetujuan bersama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dalam komuniti setempat. Kebiasaannya jawatankuasa ini dianggotai oleh ibubapa atau penjaga atau ahli keluarga golongan kurang upaya, pemimpin setempat, komuniti yang berminat. Manakala penasihat bagi Jawatankuasa PDK ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah dengan dibantu oleh Pegawai dan juga Kementerian Kesihatan dan juga Kemeterian Pendidikan (Pendidikan Khas) (Nor Mazwina Mazlan, n.d.).

Murid bekeperluan khas di sekolah adalah tergolong dalam golongan OKU yang mampu dididik dan juga mampu untuk mengurus diri mereka sendiri namun keadaan ini adalah berbeza dengan murid atau pun pelatih yang terdapat di PDK. Murid bekeperluan khas di PDK secara amnya adalah golongan OKU yang tidak mampu untuk mengurus diri mereka sendiri dan tidak berkebolehan untuk mengikuti kurikulum khas yang terdapat di sekolah. Oleh yang demikian, bagi membolehkan mereka untuk membangunkan kebolehan dan kemahiran serta potensi dalam diri mereka, murid ini dihantar untuk mengikuti kurikulum khas yang terdapat di PDK (Pengenalan kepada PDK,n.d.).

Selain itu, kurikulum di PDK juga bertujuan untuk membantu ibubapa murid bekeperluan khas ini untuk mendapatkan pengetahuan secara lebih mendalam tentang cara yang lebih berkesan untuk mendidik anak-anak istimewa mereka (Nor Mazwina Mazlan, n.d.). Dengan pendekatan ini, ibubapa akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk berkongsi masalah yang dihadapi oleh anak mereka dan seterusnya membantu anak mereka untuk mendapatkan tahap pendidikan yang bersesuaian dengan keupayaan mereka sendiri. Keadaan ini juga akan membantu para murid untuk meminimumkan kecacatan yang di alami oleh kanak-kanak ini melalui latihan anggota badan kanak-kanak secara berterusan serta sistematik bagi membolehkan mereka untuk berfungsi seperti kanak-kanak normal lain.

Murid bekeperluan khas di PDK juga akan diajar untuk bergaul secara positif apabila mereka melakukan interaksi bersama rakan mereka dan keadaan ini akan memampukan mereka untuk memupuk sikap berdikari dalam diri mereka. Selain daripada membantu murid bekeperluan khas yang tidak mampu mengikuti pendidikan di alam sekolah, PDK turut memainkan peranan sebagai satu wadah untuk mendekatkan perkhidmatan pemulihan dan untervensi awal untuk OKU di peringkat komuniti tempatan (Pengenalan kepada PDK,n.d.). Penubuhan PDK juga bermatlamat untuk mengurangkan penempatan jangka panjang golongan OKU di Institusi Pemulihan yang seterusnya akan menyebabkan golongan ini disisih oleh kaum keluarga mereka sendiri akibat kekurangan yang dialami oleh mereka. Perkara ini akan membantu negara untuk mewujudkan masyarakat yang penyayang serta peka terhadap keperluan golongan OKU ini.

Objektif kurikulum di PDK juga lebih banyak melibatkan penglibatan masyarakat khususnya kaum keluarga murid bekeperluan khas dalam pendidikan mereka agar sikap prihatin dan juga sikap bertanggungjawab tempatan dalam program pemulihan OKU (Pengenalan kepada PDK,n.d.). Menurut Pengenalan kepada PDK (n.d.), berbeza dengan matlamat murid bekeperluan khas di sekolah, falsafah pendidikan di PDK adalah lebih mementingkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh iaitu melalui penglibatan yang aktif golongan ibubapa, adik beradik, sanak saudara, komuniti tempatan dan juga tenaga kerja tempatan secara optimum dalam proses pemulihan dan pendidikan bagi golongan OKU. Dengan ini, kesedaran kepada ibubapa khususnya mengenai keadaan anak mereka akan lebih terjamin dengan memastikan ibubapa mampu memahami bahawa anak mereka mempunyai kebolehan untuk hidup berdikari sekiranya diberi bimbingan.

Hal ini menunjukkan denga jelas bahawa kurikulum di PDK adalah lebih bersifat mesra dengan golongan ibubapa serta masyarakat setempat agar peningkatan kesedaran ibubapa khususnya kepada anak-anak istimewa mereka akan lebih terjamin dan seterusnya membentuk masyarakat penyayang serta peka terhadap keperluan golongan OKU ini. Berbeza dengan kurikulum pendidikan khas yang diguna pakai di persekolahan yang lebih menitikberatkan pendidikan melalui guru, proses pembelajaran dan pengajaran di PDK akan membentuk golongan OKU yang boleh berfungsi seperti insan biasa dan juga mendidik masyarakat setempat bahawa golongan masyarakat kurang upaya ini sebenarnya memerlukan bantuan dan juga sokongan luar dari insane di sekeliling mereka agar mereka mampu meningkatkan kualiti hidup mereka ke tahap maksimum (Ahmad Ruzainy Roslan, n.d.).

2.0.3Penggunaan Model Kurikulum bagi Murid Bekeperluan Khas di Sekolah

Secara amnya, model kurikulum khas di sekolah adalah berbeza dengan model kurikulum bagi murid yang berada di aliran perdana. Model Konseptual Kurikulum telah digunakan bagi murid bekeperluan khas bagi memastikan kurikulum yang dirangka sesuai dengan tahap keupayaan dan kebolehan murid bekeperluan khas tersebut (Mohd Mokhtar Tahar, 2007). Rajah di bawah menunjukkan Model Konseptual Kurikulum bagi murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran (Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan):Rajah 1: Model Konseptual Kurikulum

Berdasarkan Model Konseptual Kurikulum di atas, ,murid bekeperluan khas di sekolah diberi pendidikan mengikut keupayaan dan kebolehan diri mereka sendiri. Oleh kerana mereka tidak dapat mengikuti kurikulum di arus perdana Kurikulum PKBP telah digubl mengikut keupayaan individu murid bekeperluan khas tersebut. Kurikulum PKBP yang digubal mengikut model diatas lebih menitik beratkan pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu bagi memenuhi tahap murid bekeperluan khas. Pendidikan menyeluruh dan bersepadu ini bertujuan member fokus kepada potensi individu yang meliputi aspek jasmani, rohani, emosi, intelk dan juga sosial (Mohd Mokhtar Tahar, 2007). Menurut Mohd Mokhtar Tahar (2007), kesemua potensi individu ini boleh dipertingkatkan melalui penglibatan murid dalam aktiviti berkumpulan secara berdisplin, kolaboratif dan juga bersepadu.Selain itu, proses pendidikan bagi golongan ini juga lebih mementingkan proses pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna di mana elemen permainan yang bercirikan pendidikan diterapkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam darjah. Penerapan elemen ini adalah penting kerana melalui proses ini murid bekeperluan khas akan lebih tertarik untuk menikmati pendidikan dan seterusnya memperolehi pengajaran yang bermakna bagi mereka. Proses pembelajaran yang menggembirakan ini juga penting dalam mengekalkan minat murid bekeperluan khas dalam proses P&P. Oleh itu,suasana P&P yang kondusif yang meransang murid perlu diwujudkan oleh guru pada setiap kali proses P&P dijalankan. Menurut Mohd Mokhtar Tahar (2007), suasana kondusif ini perlu ditekankan agar murid mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran yang boleh mereka gunakan bagi tujuan keperluan dir dan juga dalam kehidupan bermasyarakat. Keadaan ini akan membolehkan murid untuk mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan juga berfikiran terbuka.

Manakala pendidikan sepanjang hayat yang terkandung dalam model ini pula berfungsi sebagai salah satu bukti pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi murid bekeperluan khas di alam persekolahan yang dapat menjana murid tersebut untuk meluaskan lagi ilmu pengetahuan mereka secara berterusan untuk mereka gunakan dalam kehidupan seharian mereka (Mohd Mokhtar Tahar, 2007).

Oleh yang demikian, kesemua prinsip diatas perlu dilaksanakan melalui satu proses yang melibatkan tiga aspek utama iaitu; bidang pembelajaran, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, dan juga peniliaian yang berteraskan konsep keperluan individu. Bagi menentukan keperluan setiap individu dalam golongan murid bekeperluan khas, penilaian awl perlu dijalankan oleh guru berdasarkan laporan pakar. Guru perlu menjalankan ujian pengesanan untuk menentukan murid yang layak untuk berada salam program pendidikan khas. Setelah murid yang layak dikenal pasti dan ditempatkan dalam program pendidikan khas, ujian diagnostik seperti temubual, senarai semak, dan juga pemerhatian perlu dijalankan bagi menentukan tahap kefungsian murid dan seterusnya membantu guru untuk merancang program pendidikan berdasarkan keperluan individu (Mohd Mokhtar Tahar, 2007).

Mohd Mokhtar Tahar (2007), menyatakan bahawa perhubungan antara bidang pembelajaran, pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan juga penilaian adalah bersifat interaktif. Oleh itu, bagi memenuhi keperluan individu, interaksi antara ketiga-tiga aspek boleh berlaku dalam keadaan yang fleksibel dengan berpaksikan kepada keperluan murid tersebut. Kurikulum pendidikan khas ini adalah satu bentuk kurikulum pengajaran yang tidak terikat bentuknya. Hal ini bermakna, aktiviti pengajaran boleh dibentuk mengikut keperluan murid yang berbeza berdasarkan pemilihan pengalaman pembelajaran yang digariskan oleh Model Kurikulum Konseptual ini. Menurut Mohd Mokhtar Tahar (2007), bidang yang terkandung dalam kurikulum pendidikan khas adalah seperti berikut:

(i)Bidang Pengurusan Kehidupan

(a)Komponen Pengurusan Diri

(b)Komponen Kemahiran Manipulatif

(c)Komponen Pengurusan Tingkah Laku

(d)Komponen Kemahiran Hidup

(ii)Bidang Akademik Berfungsi

(a)Komponen Bahasa Melayu

(b)Komponen Matematik

(c)Komponen Bahasa Inggeris

(d)Komponen Multimedia

(iii)Bidang Kerohanian dan Nilai-nilai Murni

(a)Komponen Pendidikan Agama Islam

(b)Komponen Pendidikan Moral

(iv)Bidang Sosial, Riadah dan Kreativiti

(a)Komponen Pendidikan Jasmani

(b) Komponen Pendidikan Seni

(c)Komponen Muzik, Gerakan dan Drama

(d)Komponen Sains, Sosial dan Alam Sekitar

(Mohd Mokhtar Tahar, 2007)

Kesemua bidang pembelajaran diatas telah digubal mengikut keperluan dan keupayaan murid bekerperluas khas dan dalam melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah, teori pembelajaran boleh digabungkan dengan kerja-kerja praktikal dalam situasi kehidupan sebenar agar murid bekeperluan khas dapat memperolehi input sepenuhnya. Secara amnya keupayaan dan kebolehan individu murid bekeperluan khas akan menentukan pemilihan pendekatan pengajaran dan juga pembelajaran oleh guru dalam menjalankan proses P&P.

Dengan pendekatan proses pembelajaran dan pengajaran yang fleksibel dan tidak terikat serta bersepadu akan mampu melahirkan individu yang mempunyai ciri positif seperti mampu berdikari, berdisiplin, dan beretika, berkemahiran dan juga berketrampilan serta tidak ketinggalan keupayaan produktif untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan juga negara walaupun mereka mempunyai kekurangan berbanding kanak-kanak normal yang lain (Rashidi Azizan, 1996). Menurut beliau lagi, dengan keberkesanan keseluruhan proses pembelajaran dan pengajaran di mana akan membolehkan murid bekeperluan khas untuk memiliki ciri-ciri positif akan membantu murid untuk menjalani satu kehidupan yang bermakna kepada diri mereka sendiri, keluarga dan juga bertepatan dengan nilai-nilai yang diterima oleh masyarakat.

2.0.4Penggunaan Kurikulum di PDK

Kurikulum di PDK dirangka oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan bertumpu ke arah program pemulihan dalam komuniti untuk orang kurang upaya di mana program pemulihan, pencegahan, dan pembangunan bagi golongan OKU ini dilaksanakan dengan penglibatan aktif daripada ibubapa atau kaum keluarga dan juga masyarakat setempat. Pelaksanaan program PDK ini adalah bertujuan untuk mengecapi peluang sama rata antara golongan OKU dengan masyarakat normal yang lain disamping mencapai integrasi antara masyarakat. Program PDK ini juga boleh ambil kira sebagai salah satu khidmat komuniti yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat selain daripada perkhidmatan untuk kanak-kanak, warga tua dan juga sebagainya. Penggunaan kurikulum di PDK adalah lebih bersifat untuk membantu murid yang tidak berupaya untuk dididik seperti murid normal lain untuk berfungsi secara maksimum sebagai kanak-kanak normal yang lain. Menurut Ahmad Rozainy Roslan (n.d.), terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan di PDK bagi membantu murid untuk meminimumkan kecacatan yang dihadapi oleh mereka dan seterusnya mengurangkan kebergantungan mereka terhadap orang lain dalam menjalani kehidupan seharian. Antara aktiviti pendidikan yang dijalankan di PDK ialah: Kemahiran motor kasar

Kemahiran motor halus

Perkembangan sosial

Perkembangan bahasa

Pengurusan diri sendiri

Pra-menulis, membaca, mengira dan melukis (Pra-3M) Kreativiti permainan, rekreasi dan lain-lain

Terapi muzik

Bersukan

(Ahmad Ruzainy Roslan, n.d.)

Berbeza dengan proses P&P di sekolah, proses pembelajaran dan pengajaran di PDK adalah berteraskan kepada Sembilan aktiviti diatas yang lebih mementingkan teknik pemulihan yang berkesan kepada murid bekeperluan khas dalam membantu mereka untuk menjalani kehidupan seharian mereka. PDK juga menjalankan lima program asas dalam proses pengajaran dan pengajaran mereka dalam usaha mereka untuk mendidik murid bekeperluan khas di pusat mereka. Menurut Pengenalan kepada PDK (n.d.), lima program asas yang perlu dijalankan di pusat PDK ialah:

(a)Pentaksiran dan Penilaian

(b)Interversi Awal

(c)Latihan Urus Diri

(d)Latihan Vokasional

(e)Bengkel Terlindung

(Pengenalan kepada PDK, n.d.)

Di dalam program pentaksiran dan penilaian, terdapat beberapa elemen yang digunakan oleh para petugas di PDK untuk menguji kemahiran dan keupayaan murid setelah proses pembelajaran dan pengajaran dilakukan. Berbeza dengan penilaian dan pentaksiran yang dijalankan di sekolah, program pentaksiran di PDK merangkumi:

Rekod dan laporan

Sampel Kerja

Ujian

Ujian Rujukan Kriteria

Ujian Rujukan Norma

Kuiz

Probe

Pemerhatian

Temubual

Analisis Tugasan

Analisis Ralat

Penggunaan rekod dan laporan di PDK adalah untuk merekod segala pencapaian murid setelah mereka menjalani proses pembelajaran dan juga pemulihan di PDK. Dengan rekod dan laporan yang disediakan oleh petugas, satu gambaran menyeluruh tentang pencapaian murid dapat dilihat dan dianalisis bagi kegunaan pada masa hadapan. Manakala bagi sampel kerja murid merupakan salah satu sumber maklumat sedia ada yang berkaitan dengan sampel-sampel kerja yang dihasilkan oleh murid sewaktu proses P&P dijalankan. Dengan sampel kerja ini, petugas dapat membuat analisis kerja untuk mengetahui kelebihan dan juga kekurangan murid dalam aktiviti yang dijalankan di PDK.Selain itu, pendidikan di PDK juga menggunakan tiga model asas dalam member pendidikan dan pengajaran kepada murid mereka. Menurut Nor Mazwina Mazlan (n.d.), terdapat tiga model utama yang digunakan oleh PDK dalam melaksanakan program pendidikan mereka. Model tersebut ialah:(i)Home Based Model(ii)Centre Based Model

(iii)Centre Home Based Model

Dengan merujuk ketiga-tiga model diatas, sistem pendidikan di PDK bertumpu kepada setiap model dimana setiap model memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran bagi murid bekeperluan khas di PDK.

Pelaksanaan ketiga-tiga model di PDK berjalan mengikut keadaan dan juga situasi yang dialami oleh murid bekeperluan khas tersebut. Home Based Model atau juga dikenali sebagai PDK di Rumah dilaksanakan apabila program pemulihan dijalankan di rumah murid OKU disebabkan murid tersebut tidak dapat hadir ke pusat PDK kerana kecacatan yang dialaminya ataupun akibat masalah pengangkutan yang menyebabkan murid tersebut tidak berupaya ke PDK. Kebiasaannya pekerja PDK akan ke rumah murid OKU tersebut untuk menjalankan latihan pemulihan. Pekerja PDK ini akan bertugas selama empat jam di rumah OKU tersubt bagi melaksanakan program pemulihan yang bersesuaian dengan keadaan dan juga keperluan murid tersebut (Nor Mazwina Mazlan, n.d.). Walaubagaimanapun, pelaksanaan Home Based Model ini hanya akan dilaksanakan sekiranya lebih daripada 15 orang OKU tidak dapat hadir ke PDK kerana masalah kecacatan dan juga masalah pengangkutan.

Manakala Centre Based Model atau latihan pemulihan di PDK lebih bersifat program pemulihan OKU yang dijalankan di pusat PDK selama empat jam sehari. Bagi model ini, golongan OKU ini akan datang atau hadir ke PDK untuk menjalani program pemulihan. Bagi model Home-Centre Based Model atau lebih dikenali sebagai kombinasi pemulihan PDK di Pusat dan di Rumah, latihan pemulihan bagi golongan ini dijalankan selama empat hari bagi empat hari dalam seminggu. Oleh itu, dalam jangka waktu seminggu, empat jam akan diperuntukkan bagi sehari untuk program pemulihan yang dikhaskan untuk sesi ke rumah OKU bagi melihat perkembangan OKU setelah mereka menjalani program pemulihan (Nor Mazwina Mazlan, n.d.).

Penggunan ketiga-tiga model dalam program pemulihan golongan OKU di PDK adalah penting bagi menjamin setiap murid yang mendapat pendidikan di PDK mampu untuk mendapatkan pengajaran dan pemulihan yang berkesan dalam mendidik mereka untuk menjadi lebih normal berbanding keadaan mereka yang sebelumnya. Ketiga-tiga model berupaya untuk menambah baik kekangan dan juga halangan yang ada dalam mendidik murid OKU sama ada mereka berada di PDK mahupun di rumah mereka sendiri terumanya murid bekeperluan khas yang tidak mampu ke sekolah. Dengan Home Based Model, mereka akan mampu untuk menjalani program pemulihan tanpa sebarang masalah kerana wujudnya usaha oleh para pekerja PDK untuk datang ke rumah murid OKU bagi menjalankan program pemulihan yang bersesuaian dengan keadaan dan juga kemampuan murid OKU tersebut.

Penggunaan ketiga-tiga jenis model adalah bersesuaian dengan keadaan dan keupayaan murid di PDK kerana kebanyakan anak-anak kurang upaya yang didaftarkan di PDK adalah selalunya mereka yang bersikap kebudak-budakan walaupun mereka mungkin telah melebihi umur 18 tahun. Umum mengetahui bahawa kemasukan murid ke pusat PDK tidak mempunyai sebarang had umur dan biasanya murid tinggal berhampiran dengan pusat PDK untuk memudahkan mereka mendapatkan program pemulihan yang bersesuaian dengan keupayaan dan juga kebolehan mereka. Gabungan antara aktiviti pendidikan yang melibatkan pelbagai kemahiran dan juga pelaksanaan tiga jenis model bagi murid di PDK adalah dilaksanakan oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada para sukarelawan dan juga para petugas di pusat PDK. Oleh itu, pelaksanaan kurikulum di PDK tidaklah terlalu tertumpu kepada proses pendidikan yang terdapat bagi murid bekeperluan khas di sekolah, sebaliknya proses pendidikan di PDK lebih menjurus ke arah mendidik dan juga membantu murid untuk menjalani kehidupan harian tanpa banyak bergantung kepada orang lain terutamanya kaum keluarga mereka sendiri.

3.0Kesimpulan

Program pendidikan di sekolah mahupun di PDK adalah bertumpu kepada murid bekeperluan khas dalam mendapatkan pendidikan yang setara dengan murid yang berada dalam aliran perdana. Walaupun mereka dilahirkan dengan serba kekurangan dan juga tidak berupaya untuk mengikuti kurikulum pendidikan bagi murid normal, murid bekeperluan khas ini tetap menikmati peluang untuk mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak lain. Dengan adanya Kurikulum Pendidikan Khas bagi murid bekeperluan khas di sekolah dan juga pusat PDK bagi membantu murid ini untuk menjalani dan juga menikmati kehidupan seperti insan normal yang lain.

Walaupun penggunaan kurikulum di sekolah dan juga di PDK adalah berlainan namun kegunaan kedua-dua kurikulum adalah bertujuan bagi membantu murid golongan OKU untuk meminimumkan kecacatan yang dialami oleh murid agar mereka mampu berfungsi seperti orang lain. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa isu pendidikan bagi murid OKU terjamin walaupun mereka dilahirkan dengan keupayaan dan juga kemampuan yang berbeza dengan insan yang lain. Selain itu, dengan adanya PDK yang turut berfungsi sebagai wadah untuk mendidik murid golongan kurang upaya yang tidak mampu menghadiri proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, murid di PDK juga mampu untuk berkembang menjadi insan berguna dalam masyarakat dan juga negara.KEPELBAGAIAN KEUPAYAAN INDIDVIDU

~ MENYELURUH DAN BERSEPADU

~ PEMBELAJARAN YANG MENGGEMBIRAKAN DAN BERMAKNA

~ PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

KEPERLUAN

INDIVIDU

PENILAIAN

~ BERDIKARI

~ BERDISPLIN

~ BERMORAL DAN BERETIKA

~ BERKEMAHIRAN DAN BERKETRAMPILAN

~ PRODUKTIF DAN BOLEH MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

KEHIDUPAN BERMAKNA

1