pendekatan dalcrose

29
UNIT 8 APLIKASI PENDEKATAN DALCROZE HASIL PEMBELAJARAN Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menerangkan mengenai tentang kaedah Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik; 2. Menyedari akan kepentingan Pendekatan Dalcroze sebagai satu pendekatan alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik; dan 3. Mengaplikasi Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik. GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK Topik ini adalah lanjutan dari komponen pendekatan pengajaran muzik Dalcroze yang telah diperkenalkan dalam kursus Kemahiran Asas Muzik yang lalu. Topik ini terbahagi kepada tiga sub topik iaitu: A. Kaedah Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran-pembelajaran pendidikan muzik B. Aplikasi Pendekatan Dalcroze dalam bilik darjah C. Contoh Pengajaran mikro. PENGENALAN

Upload: mathes77

Post on 04-Oct-2015

44 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

muzik

TRANSCRIPT

UNIT 8APLIKASI PENDEKATAN DALCROZE

HASIL PEMBELAJARANDi akhir topik ini, anda seharusnya dapat:1. Menerangkan mengenai tentang kaedah Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik; 2. Menyedari akan kepentingan Pendekatan Dalcroze sebagai satu pendekatan alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik; dan 3. Mengaplikasi Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik.GAMBARAN KESELURUHAN TOPIKTopik ini adalah lanjutan dari komponen pendekatan pengajaran muzik Dalcroze yang telah diperkenalkan dalam kursus Kemahiran Asas Muzik yang lalu. Topik ini terbahagi kepada tiga sub topik iaitu:A. Kaedah Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran-pembelajaran pendidikan muzik B. Aplikasi Pendekatan Dalcroze dalam bilik darjah C. Contoh Pengajaran mikro. PENGENALANPendekatan Dalcroze sangat menekankan tentang prinsip jika seorang guru itu berkebolehan melaksanakan tugas pengajaran dengan berkesan, maka beliau dianggap mampu menyampaikan pengajaran dengan berkesan serta dapat membantu murid- muridnya untuk berkembang. Oleh itu seorang guru haruslah mempunyai kepakaran, kemahiran, dan menggunakan beberapa teknik, kaedah dan pendekatan tertentu yang bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan muridnya dalam menyampaikan pengajaran dengan berkesan.Sebagai seorang pendidik muzik, beliau haruslah dapat menyuntik perasaan cintakan muzik dalam diri murid-muridnya dengan membina keupayaan dalaman mereka. Sikap dan pengetahuan pendidik haruslah seiring. Apakah yang harus murid pelajari dan bagaimanakah harus murid pelajari, adalah dua soalan yang sepatutnya sentiasa bermain di minda pendidik untuk berjaya dalam matlamatnya kerana kejayaan muridnya merupakan kejayaannya juga. Berminat, mencintai dan mahu berusaha ke arah kecemerlangan adalah satu bonus untuk menjadi pendidik yang serba boleh.A. KAEDAH PENDEKATAN DALCROZE DALAM PENGAJARAN- PEMBELAJARAN PENDIDIKAN MUZIKEmile Jaques-Dalcroze seorang pendidik muzik berbangsa Swiss adalah pengasas bagi pendekatan ini. Beliau memperkembangkan idea ini dengan mengambil kira bahawa muzik dan pergerakan adalah saling berkait rapat antara satu sama lain. Apabila beliau menyedari akan punca segala irama termasuk irama yang muzikal, boleh didapati dari tubuh badan, maka beliau berhasrat untuk mengkaji puncanya.Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang terperinci, beliau merumuskan bahawa tubuh badan adalah alat muzik semula jadi untuk memahami irama. Ini disebabkan irama itu telah tersedia ada dalam diri setiap manusia seperti denyutan jantung, pernafasan, berjalan, mengayun yang sememangnya berkaitan dengan irama dalam muzik.Irama dapat didefinisikan sebagai pergerakan atau pengaliran. Semua irama yang muzikal memerlukan dua elemen masa dan tenaga. Dalcroze menambah elemen yang ketiga iaitu ruang. Tubuh badan dilatih untuk menggunakan ruang agar murid menyedari akan hubungan antara ketiga-tiga elemen tersebut- masa, ruang dan tenaga. Atas dasar kesedaran inilah, maka Dalcroze menjadikannya sebagai asas pendekatan untuk penyelesaian semua masalah berkaitan irama. Kita berfikir tentang tubuh badan, ia berkaitan dengan ruang, sebagai alat muzik yang mampu beraksi dalam semua tahap kelajuan mengikut sesuatu kehendak secara intensif. Semua otot - kaki, tangan, kepala digerakkan untuk membangkitkan dan memperkembangkan kesedaran tentang irama. Dalam Pendekatan Dalcroze, seluruh anggota tubuh dilatih untuk respon secara fizikal dan mental dalam menyelesaikan masalah berkaitan irama.Pergerakan badan dengan muzik dapat meningkatkan sensibiliti atau perasaan halus, sensitiviti atau kepekaan dan kebolehan murid-murid menganalisis sesuatu bunyi khususnya muzik. Oleh yang demikian, sesuatu idea muzik boleh diinterpretasikan melalui pergerakan badan.Kita menggunakan pergerakan semula jadi iaitu berjalan dan hayun. Sedikit demi sedikit kita meneroka, menyedari atau peka akan keupayaan dan kebolehan tubuh badan untuk melakukan sesuatu pergerakan seterusnya kita menemui dan menggunakan banyak perbendaharaan kata untuk bergerak. Walaupun pergerakan adalah bersifat fizikal, namun otak pasti bekerjasama sepanjang masa.Dalcroze sangat mementingkan pendekatan secara amali dan bukan semata-mata teori dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik. Beliau berpendapat latih tubi adalah sangat penting. Dengan itu beliau menggunakan pergerakan sebagai wahana untuk memahami sesuatu pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik. Tubuh badan adalah alat muzik paling utama. Itulah prinsip yang dipegang oleh Dalcroze. Pergerakan yang spontan sebagai respon kepada muzik yang didengar, adalah sangat baik dan dapat membantu meningkatkan kefahaman murid-murid mengenai konsep muzik. Oleh itu murid-murid hendaklah diasuh dan dilatih untuk mengembangkan kepekaan mereka dengan melihat irama. mendengar irama, merasai irama dan berfikir mengenainya. Menurut Dalcroze teori muzik adalah berkenaan dengan simbol dalam muzik bukan pengalamian (experiencing) dan penganalisisan muzik itu sendiri.

1. Definisi Kaedah Pendekatan DalcrozePenggunaan Kaedah Pendekatan Dalcroze dalam pengajaran-pembelajaran Pendidikan Muzik dapat disimpulkan sebagai berikut: (a)Kaedah adalah suatu siri tindakan yang sistematik dan berurutan yang dilakukan oleh seorang guru/pendidik untuk mencapai objektif khusus sesuatu pengajaran. (b)Pendekatan adalah cara bagaimana suatu mata pelajaran boleh diajar berdasarkan objektif jangka panjangnya. (c)Strategi merupakan pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti yang digunakan secara terancang oleh guru/pendidik dalam pengajaran dan pembelajarannya bagi tujuan mencapai objektif pembelajaran yang optimum. (d) Eurhythmics berasal daripada perkataan Swiss bermaksud good rhythm. (e)Proses Eurhythmics adalah suatu proses pergerakan berirama berbentuk latihan untuk menangani kelemahan dalam ritma muzik dengan menggunakan pergerakan tubuh badan.

2. Proses EurhythmicsProses eurhythmics melibatkan diri individu secara menyeluruh. Ini termasuklah minda dan anggota badan untuk mendengar, merasai, berimaginasi dan menginterpretasi bunyi seterusnya memberi respon atau bertindak balas bagi membayangkan atau meluahkan maksud muzik secara luaran.Pergerakan individu yang dilakukan secara spontan atau terurus atau terancang melalui postur, gerak isyarat dan pergerakan badan; merupakan sesuatu rangsangan atau stimuli kepada muzik atau lirik konsep muzik atau bunyi yang didengar.3. Kegiatan-Kegiatan Dalam Pendekatan DalcrozeKegiatan-kegiatan dalam Pendekatan Dalcroze terdiri daripada tiga komponen:

4. EurhythmicsEurhythmics ialah pergerakan yang menyeluruh yang melibatkan seluruh anggota tubuh badan dengan iringan muzik atau tanpa muzik. Tubuh badan menjadi alat muzik utama. Punca atau perkara asas kepada seni muzik adalah emosi manusia. Tidak memadai untuk semata-mata melatih minda, telinga, atau suara; seluruh tubuh badan perlu dilatih sebab ia merupakan bahagian penting yang boleh meningkatkan perasaan halus (sensibility), kepekaan (sensitivity) serta kebolehan menganalisis bunyi, muzik dan perasaan. Sesuatu idea muzik boleh diinterpretasikan melalui pergerakan badan dan sesuatu pergerakan badan pula boleh ditukar kepada sumber muzik.Eurhythmics dapat menghidupkan serta mempertingkatkan penggunaan pancaindera dan sentuhan perasaan yang berirama badan manusia. ia dapat memantapkan pendengaran (aural) individu untuk diterjemahkan kepada pergerakan yang bersesuaian dan kreatif, seterusnya membawa kepada celik akal dan literasi muzik di kalangan pelajar muzik.Dalcroze berdasarkan kepada teori yang melibatkan pendengaran dan pergerakan seluruh anggota tubuh badan. Kemahiran mendengar adalah satu kemahiran yang terpenting. Pendengaran adalah satu aktiviti dalaman yang boleh membawa kepada aktiviti luaran melalui pergerakan fizikal dan pancaindera sentuhan (motor sensory). Perkaitan antara kesemua perkara ini dapat dilihat melalui rajah di bawah:

5. SolfegeTelinga dihubungkaitkan dengan bunyi, manakala keseluruhan saraf dikaitkan dengan irama. Solfege pula adalah pengetahuan tentang Melodi dan Harmoni. Seperti tubuh badan digunakan sebagai alat berirama semula jadi, suara pula adalah alat tonal yang natural. Justeru, suara bertindak sebagai bahan ekspresi dalam Latihan Solfege Dalcroze. Solfege bertindak sebagai ton, hubung kait antara ton dan ton kualiti (timbre).Solfege dalam pendekatan Dalcroze, adalah satu latihan pendengaran. Pendengaran boleh mempertingkatkan kesedaran tentang pic, perbezaan ton (pitch), dan perbezaan kualiti ton. Pendengaran Dalaman (inner hearing) juga dapat meningkatkan daya ingatan. Pendengaran Dalaman adalah sebutan atau sebahagian daripada lirik nyanyian yang dinyanyikan di dalam hati. Pendengaran Dalaman dapat ditingkatkan melalui nyanyian, melodi, harmoni, pic atau perbezaan kualiti ton atau timbre. Ia juga dapat mempertingkatkan kemahiran membaca skor serta improvisasi secara vokal yang boleh membawa kepada kemahiran muzik yang lebih tinggi seperti ciptaan dan gubahan.Pendengaran yang baik sangat diperlukan dalam musicianship yang baik. Ia melatih individu untuk pendengaran yang lebih tajam dan teliti. Penekanan juga diberi dalam nyanyian. Murid-murid mempelajari ton dengan suara sendiri. Ini merupakan bahagian yang paling rumit dalam proses Dalcroze kerana latihan-latihan yang terlibat, termasuklah pembinaan skel, kod, kaden, jeda, pembalikan, modulasi, nilai not dan lain-lain. Menulis dan membaca muzik adalah bahagian penting dalam solfege.Cantuman Eurhythmics atau pergerakan berirama dengan solfege menghasilkan Improvisasi. Improvisasi merupakan satu kreativiti dalam Pendekatan Dalcroze. Melalui improvisasi, kesedaran motor tactile atau sense of touch individu dihasilkan dalam ciptaan sendiri yang kreatif berdasarkan kepada kegiatan-kegiatan eurhythmics dan solfege.Pendekatan Dalcroze mengutamakan enam kemahiran yang sepatutnya ada pada setiap murid iaitu:

Kesemua kemahiran ini diajar melalui pergerakan fizikal yang melibatkan: aural (pendengaran)

tactile/ kinestetik (tangan/ suara)

visual (penglihatan)

Kreativiti.

Pendidik muzik yang mendapat latihan teknik Eurhythmics Dalcroze, berkeupayaan memerhati, memahami, memberi tindak balas yang berkesan terhadap masalah teknikal pergerakan badan dan penggunaan ruang, masa, tenaga dan keseimbangan yang sangat penting bagi menghasilkan pergerakan yang baik dan persembahan irama yang terbaik.Kebanyakan pendidik muzik menggunakan pergerakan tetapi tidak menggunakan cara Dalcroze dalam penyelesaian masalah yang mana tanpa disedari, murid menjadi bingung dan ini menjadikan aktiviti pergerakan tidak berjaya.Latihan berjalan dan bertepuk tangan yang dicipta oleh Dalcroze dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik tetapi tidak begitu efektif. Pendidik muzik tidak berjaya meluahkan deria sentuhan (sense of tactile) dalam pergerakan berirama.Dalam aktiviti berjalan misalnya, pergerakan tidak boleh diganti dengan deria sentuhan (sense of touch). Semasa berjalan, walaupun tapak kaki menyentuh lantai tetapi ia bukanlah sentuhan tactile. Pergerakan berjalan merupakan pemindahan berat badan sahaja. Pemindahan berat badan ini bergerak melalui proses pusingan pergerakan iaitu preparation, attack, prolongation dan kembali kepada preparation.Dalam teori Dalcroze, terdapat empat langkah pusingan pergerakan iaitu:

Berdasarkan keempat-empat langkah tersebut, pendidik yang terlatih boleh mencipta berbagai pergerakan fizikal dan permainan bagi persediaan kepada pengajran konsep- konsep muzik.Falsafah Dalcroze adalah sejajar dan selaras dengan falsafah dan teori pengajaran dan pembelajaran Jerome Bruner (1964) yang menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui tiga cara atau mod pembelajaran iaitu:mod enaktif melalui perlakuan dan pengalaman dari persekitaran.mod ikonik melalui penggunaan simbol grafik seperti lukisan atau gambarmod simbolik melalui penggunaan simbol (abjad, nombor) termasuk notasi muzik.Kaedah Eurhythmics Dalcroze adalah satu kaedah yang menggunakan pergerakan tubuh badan sebagai alat muzik. Alat pertama yang patut dilatih dalam muzik adalah tubuh badan manusia (Englewood Cliffs: U.S.A.1984).6. ImprovisasiImprovisasi merupakan cantuman atau tambahan kepada aktiviti Eurhythmics (pergerakan berirama). Dalam pendekatan Dalcroze, improvisasi merupakan satu kreativiti.Latar belakang murid diambil kira dan apa yang telah dipelajarinya menjadi fokus utama. Pelbagai pengalaman improvisasi untuk suara, tubuh badan dan perkusi diberi penekanan dalam bilik darjah tetapi improvisasi menggunakan piano menjadi bahan ekspresi yang paling utama.Improvisasi berbeza bentuknya dengan komposisi kerana ia terjadi secara spontan. Masa menjadi sangat penting kerana seseorang individu tidak boleh berhenti memainkan karya muziknya di pertengahan jalan untuk membuat sebarang perubahan. Ia perlu terus berkarya sehingga tamat persembahan.Dalcroze mengatakan bahawa semua orang tanpa mengira bakat boleh dilatih memainkan sesuatu karya muzik secara spontan. Setiap murid di dalam kelas beliau diajar mencipta muzik sendiri. Individu tersebut diberi kebebasan dan peluang untuk mengekspresi ciptaannya.Penekanan dalam improvisasi adalah berkenaan dengan latihan irama. Konsep masa dan tenaga yang diterokai dalam sesuatu ruang dalam kelas pergerakan berirama (Eurhythmics) dipraktikkan kepada bermain piano. Piano menjadi alat utama improvisasi kerana penggunaan anggota badan dan muzik seperti pergerakan jari dan tangan. Dari dua pic dapat dicipta melodi, irama dan harmoni.Murid belajar mencipta sesuatu karya dalam pelbagai tempo, register suara dan dinamik tetapi tetap memberi perhatian kepada melodi lagu. Mereka diberi bimbingan dan tunjuk ajar kerana mereka menjalankan eksperimen ke atas renj yang lebih luas pada mata piano. Penggunaan pelbagai skel, mod, gaya, raga Hindu, ton, bentuk muzik sama ada tradisional, moden; semuanya dibenarkan.Improvisasi adalah tabiat semula jadi ia seperti apa yang kita ingin cakap, apa yang kita hendak pakai dan apa yang kita hendak buat.

B. APLIKASI PENDEKATAN DALCROZE DALAM BILIK DARJAHEurhythmics memerlukan penglibatan diri individu secara total atau menyeluruh. Ia melibatkan penyatuan minda, anggota badan dan emosi diri secara total di mana individu atau murid itu perlu:

Tubuh badan dijadikan sebagai alat bunyian yang mampu mempamerkan interpretasi murid atau individu yang melibatkan imaginasi, emosi, serta pergerakan badan yang bertindak berpandukan bahan rangsangan atau stimuli dalam bentuk bunyi, gerak isyarat (signal), lisan seperti perkataan, ayat, puisi atau sajak, vokal seperti nyanyian dan juga muzik bunyi-bunyian.Antara perkara-perkara penting yang boleh diinterpretasikan ialah lagu yang berasaskan lirik dan unsur-unsur atau konsep muzik seperti irama, tekanan, detik, sinkopasi, perbezaan pic, kontur melodi, dinamik, tempo, bentuk dan lain-lain yang terkandung dalam muzik sedia ada. Dari bahan sumber inilah jika interpretasinya itu disusun secara terurus, ia boleh terhasil sebagai satu bentuk koreografi.Pergerakan badan adalah pengalamian yang dominan. Mendengar pula adalah kunci kepada pengalamian ini. Dengan mendengar, murid dapat memberi respon dan dengan penggunaan masa, ruang dan tenaga yang betul, pergerakan menjadi betul dan menarik. Sebagai kontra kepada tarian, apa yang ada pada perasaan seseorang itulah yang lebih penting daripada apa yang diucapkannya. Justeru sesuatu perasaan itu kadang kala tidak dapat diucapkan dengan kata-kata tapi dapat diucapkan dengan pergerakan badan (body gesture) atau pergerakan mata.Kanak-kanak secara semula jadi memang suka bergerak dan mereka seronok melakukan apa sahaja. Dengan demikian mereka meneroka banyak perkara menggunakan ruang, masa, tenaga dan tempo atau kelajuan yang pelbagai untuk bergerak contoh : bergerak dengan cepat (berlari), lambat (berjalan) atau berjalan secara berjingkit-jingkit dan sebagainya. kanak-kanak menggunakan semua aras ruang melompat, meniarap, berguling, mencangkung dan sebagainya untuk meneroka dan mencari pengalaman baharu menggunakan semua anggota tubuh badan untuk bergerak dan mencapai hasrat mereka. kanak-kanak belajar dengan cara berinteraksi dan bermain bersama-sama. Hal ini akan menghasilkan improvisasi dalam kumpulan seterusnya dalam bilik darjah.Kreativiti dalam bentuk yang pelbagai selalu diwar-warkan, digalakkan, dan sangat didambakan terutama dalam program Eurhythmics. Keupayaan dan kebolehan melakukan sesuatu adalah berbeza di kalangan murid-murid. Semua murid belajar untuk mengimprovisasi dalam pergerakan. Oleh yang demikian, ekspresi kreatif boleh disalurkan melalui media yang berbeza seperti penggunaan suara, alat perkusi, piano, alat tiup kayu, brass dan alat bertali.Seorang pendidik muzik seharusnya berpengetahuan dan berkemahiran tentang bidangnya. Ia juga harus bijak merancang dan menyampaikan isi pelajaran yang telah dirancang menggunakan pelbagai teknik dan pendekatan yang kreatif, dan segar bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pendidik muzik harus mempunyai sifat positif dalam segala hal. Mereka perlu mempunyai kemahiran dan kreativiti yang tinggi terutamanya dalam penciptaan alat dan bahan bantu mengajar serta cara penyampaian isi pelajaran menggunakan pendekatan dan kaedah mengajar yang pelbagai dengan mengambil kira gaya pembelajaran murid agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkesan dan menyeronokkan. Pendidik harus peka mengenai perubahan dan pembaharuan terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan.Sebagai seorang pendidik muzik, sebelum memulakan suatu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik; haruslah memikirkan langkah-langkah dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan peringkat kematangan murid, kesediaan murid dari segi fizikal dan mental, bilangan semua murid di dalam kelas, dan pengalaman sedia ada murid. Pemilihan bahan bantu mengajar yang akan digunakan dalam pergerakan haruslah berfungsi, menarik, mencukupi, berkesan, dan boleh juga menggunakan sesuatu yang telah diimprovisasikan.Murid-murid dalam segala peringkat usia digalakkan untuk meneroka, menguji, mencuba, dan mencari jalan baru dalam menggunakan tubuh badan mereka untuk belajar. Penggunaan bahan bantu belajar seperti bola, riben, keratan muzik yang pelbagai bentuk, genre, rentak, dan irama digalakkan jika ia menjadi satu rangsangan untuk melakukan pergerakan yang lebih dinamik.Pendidik muzik yang berkebolehan dalam melakukan pergerakan berirama sama ada dalam bentuk demonstrasi atau melakukan sesuatu pergerakan bersama-sama murid- muridnya adalah satu bonus. Tidak guna jika hanya mengharapkan murid-murid sahaja yang melakukan pergerakan jika pendidik muzik tidak turut serta kerana penyertaan pendidik akan menjadi satu motivasi dan rangsangan kepada murid. Terdapat perkara- perkara atau sesuatu pergerakan yang tidak dapat dinyatakan dengan perkataan oleh pendidik muzik, tetapi dapat diekspresikan melalui demonstrasi pergerakan sebagai contoh, bergelop untuk menunjukkan meter 6.Beberapa irama mempunyai kompleksiti tersendiri untuk dilakukan bergantung kepada usia dan tahap pengetahuan murid. Sebagai contoh, termasuklah tempo muzik, dinamik, nilai not, meter, frasa, dan poli-irama. Namun, semua ini direka bentuk sedemikian rupa bagi tujuan perkembangan kemahiran dan sensitiviti kepada irama.

It is not enough to train just the mind or ear or the voice; the entire human body must be trained since the body contains all the essentials for the development of performance. (Emile Jaques-Dalcroze)

Secara semula jadi kanak-nak suka bergerak. Mereka menggunakan kesemua anggota tubuh badan untuk meluahkan perasaan dan tanggapan idea dalam erti kata bermain. Sebagai seorang pendidik, gunakan habit semula jadi ini secara kreatif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan, seronok dan memberangsangkan melalui pergerakan.

C. PENGAJARAN MIKRO1. Perancangan KeseluruhanSecara umum, sebelum membuat Rancangan Pengajaran Pendidikan Muzik menggunakan Pendekatan Dalcroze, beberapa perkara haruslah diambil kira iaitu: (i) Konsep MuzikDengan merancang apa yang hendak diajar dan bagaimana pendidik akan mengaplikasikan konsep muzik dengan tugasan murid, kejayaan pasti diperolehi. (ii) Penyediaan ruangPastikan ruang yang akan digunakan adalah selamat untuk aktiviti yang dirancang. Pastikan juga ruang yang digunakan bersesuaian dengan aktiviti yang dirancang dan cukup untuk menampung bilangan murid. (iii) MuzikPilih dan sediakan muzik atau muzik rakaman, alat perakam (CD,audio, video, kaset) yang hendak digunakan. Pastikan ia berfungsi dengan baik. Jika alat improvisasi yang hendak digunakan, pastikan ia bersesuaian dengan kehendak kelas dan aktiviti. (iv) PeralatanPilih dan sediakan semua bahan bantu mengajar.

2. Empat Langkah Pembelajaran Pergerakan Menggunakan Pendekatan Dalcroze

(i) BincangCetuskan kesedaran di kalangan murid-murid mengenai sesuatu isu atau isi pelajaran yang hendak disampaikan. (ii) PenemuanCara belajar yang baik adalah dengan cara melakaukan (learning by doing). Murid mendapat lebih kefahaman apabila mendapati perkaitan sesuatu idea muzikal dengan pergerakan atau aksi fizikal yang dilakukan. (iii) KenalpastiKemahiran yang khusus akan terbina apabila pendidik mengaitkan bunyi dan deria dengan konsep dan notasi muzik. Semasa mebuat latihan murid dapat memerhatikan masa, ruang, tenaga. pemberatan dan keseimbangan. (iv) MengaplikasiBelajar untuk mendengar, adalah langkah pertama dalam mengaplikasikan setiap pengalaman diikuti dengan menganalisis, membaca dan menulis. Kesedaran sepenuhnya dapat dilihat apabila murid dapat mengimprovisasi atau mempersembahkan muzik berdasarkan kefahamannya mengenai isu yang diutarakan.

3. Program PergerakanProgram Pergerakan berkait rapat dengan:(i) Strategi pengajaran dan pembelajaran. (ii) Program pergerakan asas: body awareness (kesedaran tubuh badan) spartial awareness (kesedaran ruang) motion (lokomotor/bukan lokomotor) kualiti pergerakan kepelbagaian dalam tempo, dinamik, interpretasi (iii) Kaitkan aktiviti dengan: perkusi badan permainan berbentuk nyanyian (singing games) pergerakan kreatif / tarian / drama bentuk tarian tradisional atau moden (iv) Perkaitan muzik dengan pergerakan adalah dari segi: durasi pic ekspresi warna ton struktur

4. Contoh Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Muzik MenggunakanPendekatan Dalcroze

Mata Pelajaran : Pendidikan MuzikTahun : 3Masa : 60 minitAspek : Penghargaan EstetikItem : 4.1 Muzik InstrumentalHasil Pembelajaran : Mengetahui tempo lagu yang didengar. Objektif : Pada akhir pembelajaran murid dapat:1. Mengecam tempo cepat dan lambat.2. Membuat pergerakan menunjukkan tempo cepat dan lambat. Pengetahuan Sedia Ada : Murid boleh mengenal pasti detik lagu Murid telah belajar lagu Menampi Padi

OUM 86

Lembaran Kerja (Tahun 3) LATIHAN MENGECAM TEMPO LAGU YANG DIDENGARNAMA : TAHUN :

Tandakan pada tempo cepat atau lambat yang didengar.

BilLaguTempo

1Lagu 1Cepat ( ) / lambat ( )

2Lagu 2Cepat ( ) / lambat ( )

3Lagu 3Cepat ( ) / lambat ( )

4Lagu 4Cepat ( ) / lambat ( )

5Lagu 5Cepat ( ) / lambat ( )

RUMUSANMemang secara semula jadinya kanak-kanak suka bergerak dan bermain. Ini tidak bermakna mereka tidak mempelajari apa-apa pun ketika bermain itu. Sebenarnya banyak yang mereka pelajari - mereka meneroka, mengajuk atau meniru seterusnya mengimprovisasi sesuatu. Mereka melakukan banyak perkara dan menghasilkan sesuatu mengikut kreativiti mereka. Secara tidak langsung, mereka menggunakan semua deria. Gaya semula jadi kanak-kanak ini boleh dipindahkan ke dalam bilik darjah untuk pembelajaran yang lebih efektif.Strategi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan pelbagai kaedah, teknik, aktiviti dan pendekatan dapat memenuhi keperluan gaya belajar kanak-kanak. Di sini, guru haruslah bijak menggunakan pendekatan yang pelbagai untuk pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh yang demikian, maka Pendekatan Dalcroze merupakan satu alternatif untuk memenuhi gaya pembelajaran tersebut. Learning by doing atau lebih dikenali sebagai experiential learning sangat diwar- warkan dewasa ini. Dalam Pendekatan Dalcroze, gaya belajar sebeginilah yang diberi penekanan kerana ia memberi satu pengalaman belajar yang cukup berharga bagi kanak- kanak.

UJIAN 11.Nyatakan kepentingan pergerakan sebagai satu pendekatan alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik;2. Empat langkah pembelajaran pergerakan menggunakan pendekatan Dalcroze

UJIAN 21.Nyatakan perkara-perkara penting yang perlu diambil kira sebelum merancang sesuatu pengajaran dan pembelajaran pergerakan?2. Mengapakah improvisasi diberi penekanan dalam Pendekatan Dalcroze?3. Terangkan bagaimana pergerakan menarik minat kanak-kanak.

RUJUKANChoksy Lois, Teaching Music Effectively In the Elementary School. Prentice Hall Inc, New Jersey, 1991.L. Choksy, R.M. Abramson, A. E. Gillespie and D. Woods, Teaching Music In The 20thCentury. Englewood Cliffs, U.S.A, 1986.Edith E. Wax (1979). Dalcroze Dimension. Mostly Movement Ltd. Roslyn, N.YFindlay Elsa, Rhythm and Movement Applications of Dalcroze Eurhythmics. Summy- Birchard Music Princeton, New Jersey, 1971.Mary Gae George, Ewa Mekwinski, The Art of Movement Creative Activities for Teaching and Learning Music.Salmah Ayob (1996). Strategi, teknik dan pengajaran pendidikan pergerakan kreatif. P.J: Flo Enterprise Sdn. Bhd.