pembinaan sekolah wawasan amat penting kepada masa depan pembangunan negara

Upload: fong-kai-hung

Post on 08-Jul-2015

922 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

Pembinaan Sekolah Wawasan amat penting kepada masa depan pembangunan negara. Namun begitu, usaha kerajaan untuk merealisasikan penubuhan Sekolah Wawasan mendapat tentangan daripada segelintir masyarakat yang mempertikaikan tujuan murni penubuhannya. Bincangkan kebaikan penubuhan Sekolah Wawasan dan masalah yang dihadapinya. Yang dimaksudkan dengan Sekolah Wawasan dalam sistem pendidikan di negara ini ialah ketiga-tiga aliran sekolah sedia ada, iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil digabungkan dalam satu kawasan tetapi ditadbir secara berasingan. Hanya aktiviti kokurikulum seperti sukan, persatuan dan pasukan beruniform dijalankan bersama. Walaupun Sekolah Wawasan ini penting untuk masa depan Malaysia, namun ada segelintir masyarakat yang mempertikaikan tujuan murni penubuhannya. Matlamat untuk menyatupadukan rakyat majmuk dapat direalisasikan melalui penubuhan Sekolah Wawasan. Sebagaimana yang diketahui, masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa. Setiap bangsa mengaamalkan budaya, bahasa, dan agama yang berbeza. Walaupun perbezaan tersebut tidak menimbulkan perpecahan dan permusuhan. Kita tidak dapat mendabik dada dengan mengatakan bahawa perpaduan kaum akan terus utuh dan menatap pada masa hadapan. Oleh itu, usaha untuk memupuk perpaduan kaum perlu digiatkan dan salah satu caranya adalah melalui penubuhan Sekolah Wawasan. Di sekolah ini, generasi muda dapat bergaul, sama ada melalui aktiviti kurikulum ataupun aktiviti kokurikulum. Pergaulan tersebut dapat membantu mereka memahami dan menghayati budaya masingmasing dan dengan itu dapat menghindarkan sikap berprasangka antara kaum. Maka, hasrat untuk merealisasikan intergrasi nasional dapat dilakukan sejak kanak-kanak lagi. Di samping itu, Sekolah Wawasan dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak mereka kanak-kanak lagi. Semangat ini muncul melalui pengalaman yang ditempuh oleh para pelajar. Dalma hal ini, para pelajar akan membesar bersama-sama selama enam tahun. Selama tempoh itu, peluang untuk mereka bergaul, bekerjasama, dan sebagainya terbuka luas. Begitu juga, mereka berkesempatan untuk mendepani segala permsalahan dan kekecewaan bersama-sama dan seterusnya mengenal hati budi masing-masing. Melalui pengalama unik tersebut, akan wujudlah semangat kekitaan dalam kalangan mereka dan seterusnya menyedarkan mereka bahawa negara ini adalah milik mereka bersama. Kesedaran itulah yang akan melahirkan semangat patriotik dalam kalangan mereka.

Selain itu, Sekolah Wawasan membantu para pelajar menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan lebih baik dan berkesan. Hal ini berbeza dengan sekolah vernakular yang mengutamakan bahasa ibunda masing-masing, sama ada bahasa Cina ataupun bahasa Tamil. Hampir semua pelajar di sekolah vernakular itu berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka. Keadaan itu mengehadkan peluang dan masa mereka untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sebagai akibatnya, tahap penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pelajar sekolah vernakular amat mengecewakan. Sebaliknya, di Sekolah Wawasan, pelajarnya terdiri daripada pelbagai keturunan. Mereka digalakkan menggunakan bahasa Inggeris dasn bahasa Melayu untuk berkomunikasi. Keadaan ini akan membolehkan mereka berkomunikasi dengan lebih lancar dalam bahasa-bahasa itu. Satu lagi hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kemudahan yang disediakan di Sekolah Wawasan jauh lebih baik daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Hal ini demikian kerana tanah di kedua-dua buah sekolah jenis kebangsaan itu bukan milik kerajaan. Oleh itu, banyak kemudahan seperti dewan, padang bola dan sebagainya tidak dapat disediakan. Malah, kebanyakan bangunan kedua-dua buah sekolah jenis kebangsaan itu sudah usang dan hampir runtuh. Sebaliknya di Sekolah Wawasan, pelbagai kemudahan seperti dewan, kantin, dan padang dapat dikongsi bersama. Selain itu, kerajaan juga merancang dengan baik dan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk menyediakan kemudahankemudahan lain. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir anggota masyarakat membantah usaha ini. Masyarakat Cina membantah penubuhan Sekolah Wawasan kerana mereka menganggap penubuhan sekolah ini akan menghapuskan identiti dan bahasa ibunda mereka. Penentangan oleh masyarakat Melayu pula adalah kerana mereka mendakwa sekolah ini akan menjejaskan identiti Sekolah Agama Rakyat. Menurut mereka, ciri-ciri dan identiti Melayu akan terhakis oleh sebab agama Islam tidak diajarkan dengan sepenuhnya di Sekolah Wawasan. Sikap cauvinis inilah yang menghalang usaha kerajaan untuk menubuhkan Sekolah Wawasan. Selain halangan tersebut, pembinaan Sekolah Wawasan juga membebankan kerajaan daripada segi kewangan. Hal ini demikian kerana pembinaan Sekolah Wawasan memerlukan suatu kawasan yang luas sedangkan harga tanah semakin tinggi. Pada masa yang sama, kita sedang bergelut untuk memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, pembinaan sekolah ini menjadi tidak praktikal pada masa ini.

Konsep Sekolah Wawasan memang baik dalam usaha hendak mewujudkan integrasi nasional serta untuk membolehkan setiap pelajar belajar dalam persekitaran yang selesa. Hal ini menjadikan pembinaan Sekolah Wawasan merupakan sesuatu yang wajar dilaksanakan. Namun begitu, kerajaan tidak wajar mengesampingkan pandangan umum serta tahap kemampuan untuk melaksanakan sekolah itu. Oleh itu, semua pihak perlu rasional untuk merealisasikan pelaksanaannya.