isu keguruan
DESCRIPTION
TERBARUTRANSCRIPT
Isu Keguruan: Penyelewengan Wang Di Sekolah
1.0 PENGENALAN
Menyedari masih ramai masyarakat di negara kita yang masih tercicir dan tidak
berkemampuan untuk mendapat peluang pendidikan, pihak KPM telah
menunjukkan keprihatinannya dengan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah
Pelajar Miskin kepada murid yang berkelayakan. Objektif penubuhan tabung
KWAPM ini adalah untuk membantu golongan ibu bapa dan murid yang
berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak
mereka ke sekolah. Tujuan pihak KPM menubuhkan tabung KWAPM ini juga
adalah untuk mengurangkan jurang peluang pendidikan di anatara bandar dan
luar bandar.
Walaubagaimanapun, setelah pihak KPM melaksanakan tabung ini, timbul pula
isu yang semakin hangat diperkatakan dari hari ke hari iatu guru KWAPM
menyeleweng duit yang sepatutmya diberikan kepada murid. Malah ada pula
isu yang menjadi bertambah rumit apabila wang yang sepatutnya menjadi
kegunaan untuk murid membeli barang peralatan di sekolah telah
disalahgunakan oleh ibu bapa. Kenapakah isu ini masih boleh timbul
sedangkan setiap guru KWAPM telah dipertanggungjawabkan tugasnya dan
senarai nama murid yang layak telah disenaraikan?
Pengurusan kewangan merupakan satu aspek yang penting di sekolah. Aspek
pengurusan kewangan merupakan satu tugas penting yang perlu dikendalikan
dengan sistematik dan berkesan. Di sekolah, Guru Besar bertanggungjawab
sepenuhnya untuk menentukan aspek kewangan dijalankan mengikut
peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Guru Besar juga untuk
memastikan bahawa tidak ada sebarang penyelewengan berlaku di dalam
pentadbiran kewangan sesebuah sekolah. Pengurusan kewangan dapat
dilaksanakan dengan sistematik adalah bergantung kepada kemahiran,
kepimpinan dan sikap Guru Besar sesebuah sekolah itu sendiri. Namun, tugas
dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Guru Besar pula telah
menjadi satu masalah besar kepada pengurusan kewangan sekolah apabila
telah dilaporkan bahawa terdapat kes penyelewengan dan penyalahgunaan
wang yang berlaku berpunca daripada Guru Besar itu sendiri. Hal ini umpama
‘harapkan pagar, pagar makan padi’.
Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, terdapat penyelewengan dalam
mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Saham Pelajar Miskin
(KWAPM) di mana dilaporkan lapan kes kehilangan dan penyelewengan wang
berjumlah RM 196,550 telah dilaporkan dari tahun 2004 hingga 2008. Dua kes
melibatkan penyalahgunaan wang oleh guru besar, tiga kes kehilangan wang
oleh guru besar, dua kes kegagalan guru besar menyerahkan wang dan satu
kes aduan penyelewengan kewangan oleh guru besar.
2.0 PUNCA PENYELEWENGAN WANG DI SEKOLAH
Isu penyelenggaraan dokumen dan rekod serta penyediaan penyata kewangan
yang lemah merupakan salah satu punca berlakunya penyelewengan dan
penyalahgunaan wang di sekolah. Hal ini mudah berlaku kerana apabila
penyata kewangan tidak tetap dan sentiasa mempunyai kesilapn dalam
penyata akan memudahkan pihak bertanggungjawab untuk membuat
penyelewengan wang sekolah. Penyalahgunaan wang mudah berlaku
sekiranya Buku Tunai tidak dikemaskini setiap masa. Namun, kita sedia maklum
tentang laporan Ketua Audit Negara, 2009 telah melaporkan penyelewengan
ini berlaku disebabkan oleh Guru Besar sendiri, maka seharusnya pihak atasan
seperti pihak Pejabat Pelajaran Daerah ataupun Jabatan Pelajaran Negeri itu
sendiri turun padang untuk memantau dan membuat semakan bersama-sama
pihak pentadbir untuk memastikan segala pengurusan kewangan di setiap
sekolah berjalan dengan lancar.
Tahap kesedaran etika yang rendah tentang tanggungjawab yang diberikan
oleh pihak atasan kepada pihak yang bertanggungjawab merupakan faktor
utama berlakunya masalah kehilangan dan penyelewengan mengagihkan
bantuan KWAPM. Hal ini berlaku kerana kebanyakan pihak pengurusan tidak
mengetahui ilmu menguruskan kewangan dengan betul (Syed Ismail & Ahmad
Subki, 2010). Guru seharusnya berpengetahuan tentang cara mengurus wang
sekolah dengan sebaik mungkin. Segala dokumen yang berkaitan dengan
pengurusan kewangan tersebut mesti disediakan dalam bentuk ‘hitam putih’
supaya menjadi bahan bukti terhadap segala perkara yang dibuat supaya tidak
berlakunya kehilangan wang. Dengan adanya dokumen ‘hitam putih’ ini,
sesiapa sahaja tidak boleh mempertikai sekiranya berlaku sebarang masalah
kewangan dan kehilangan barang. Walaupun perkara ini dianggap seperti
perkara biasa, namun sekiranya tidak diurus dengan betul ianya akan
mendatangkan satu masalah yang besar pada masa akan datang.
Selain itu juga, kes ini berlaku kerana sikap tidak patuh pihak pengurusan
sekolah berkaitan arahan Perbendaharaan 60 yang menyatakan dengan jelas
bahawa semua terimaan hendaklah dikeluarkan resit rasmi bagi mengaku
terima wang yang dibayar kepada pihak sekolah (Syed Ismail & Ahmad Subki,
2010). Walaubagaimanapun, peraturan ini tidak dipatuhi sepenuhnya
terutama sekolah tidak mengeluarkan resit semasa pungutan dibuat. Perkara
ini berulang setiap tahun dan pegawai yang bertanggungjawab hendaklah
memastikan peraturan kewangan dipatuhi setiap masa. Antara kes-kes yang
dimaksudkan adalah bantuan murid per kapita dan wang kedai buku. Seorang
penjawat harus sedar tentang pemberian bantuan pelajaran yang diberikan
dan pungutan yang dibuat oleh sekolah adalah tujuan tertentu bagi
kepentingan murid sahaja. Pihak yang dipertanggungjawabkan haruslah
amanah dan memikul tugas yang diberikan dengan cekap dan berhemah.
Sekiranya mereka sedar akan tujuan sebenar yang ingin dicapai maka tidak
akan berlaku kes kehilangan dan penyelewengan wang bantuan kepada murid.
Konsep pengurusan kewangan yang betul adalah dengan merancang
perbelanjaan iaitu merancang masa depan dan dalam masa yang sama
menyelesaikan masalah kewangan anda. Salah satu faktor berlakunya
penyalahgunaan wang di sekolah adalah disebabkan guru tidak dapat
menghayati kod etika profesionnya yang menggariskan batas-batas tatacara
pengurusan kerjayanya. Berdasarkan piagam pelanggan, guru tidak seharusnya
bertingkah laku yang boleh menjatuhkan maruah diri dan dan kehilangan
amanah berhubung dengan kewangan. Merujuk artikel yang dikaji, ‘lapan kes
kehilangan dan penyelewengan berjumlah RM 196,550’ menunjukkan sikap
guru yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas dalam profesion
perguruan ini. Walaupun guru-guru didedahkan dengan kod etika yang harus
dipatuhi oleh setiap penjawat awam ini, namun tahap kesedaran dan sikap
‘tidak mengapa’ ini menjadi satu rutin biasa bagi guru yang tidak
bertanggungjawab.
Di samping itu juga, masalah penyalahgunaan wang ini juga berlaku
disebabkan lemah dan kurangnya kefahaman dalam prosedur menguruskan
kewangan sekolah. Hal ini dapat dilihat apabila di dalam artikel tersebut di
mana Ketua Audit Negara telah menyatakan bahawa semasa membuat
semakan ke atas borang permohonan KWAPM, terdapat murid yang tidak
memenuhi kriteria telah diluluskan bantuannya. Walaupun pendapatan
penjaga murid tidak melayakkan murid tersebut menerima bantuan, namun
atas sikap tidak jujur dan amanah guru ini menyebabkan ramai murid yang
tidak layak turut menerima bantuan kewangan ini.
Etika dalam profesion yang lemah juga telah menyebabkan berlakunya
masalah pengagihan wang yang tidak adil kepada murid yang tidak layak.
Sebagai contoh, terdapat sekolah yang mengisi Borang Rumusan terlebih
dahulu untuk dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), seterusnya
meminta murid melengkapkan borang permohonan. Tindakan ini tidak
mengikut prosedur yang betul dan sangat jelas kelihatan sikap dan tindakan
guru ini adalah membuat kerja mudah dalam melaksanakan tugas yang
diamanahkan.
Selain itu juga, masalah penyalahgunaan dan penyelewengan wang ini berlaku
kerana sikap pihak pentadbir yang yang tidak menguatkuasakan pemantauan
terhadap pengurusan wang di sekolah. Pihak pentadbir ini adalah seperti Guru
Besar, pihak PPD, JPN dan sebagainya yang terbabit dengan pengurusan wang
di sekolah. Jika dilihat berdasarkan laporan yang dibuat, Guru Besar sendiri
telah melakukan penyelewengan terhadap bantuan wang KWAPM. Oleh yang
demikian, pihak atasan seperti PPD haruslah sentiasa membuat pemantauan
terhadap pengurusan kewangan di sekolah. Apabila kurangnya pemantauan
daripada pihak atasan maka pihak yang bertanggungjawab ini akan berani
untuk menggelapkan wang sekolah kerana mereka tidak perlu risau kerana
pihak atasan tidak akan datang memantau. Namun, individu yang tidak
bertanggungjawab ini tetap melakukan kesalan etika seorang penjawat awam
dan pengurus kewangan di sekolah.
Selain itu juga, terdapat sesetengah pihak pentadbir yang tidak memahami dan
masih kurang jelas tentang prosedur pengurusan perbelanjaan di sekolah yang
menyebabkan guru-guru mengambil kesempatan menipu atau memalsukan
butir-butir perbelanjaan untuk kepentingan sendiri. Sebagai contoh,
berdasarkan artikel Berita Harian (2008), seorang guru telah ditahan kerana
memalsukan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butir palsu. Di
samping itu, terdapat juga pihak pentadbir yang menipu dalam menulis
maklumat murid supaya murid mendapat bantuan KWAPM. Berdasarkan
artikel Berita Harian (2012), terdapat pihak sekolah yang mencatat angka
pendapatan lebih rendah dan menambah bilangan tanggungan daripada yang
ditunjukkan dalam borang permohonan murid bagi melayakkan mereka
menerima bantuan.
3.0 KESAN NEGATIF ISU PENYELEWENGAN WANG DI SEKOLAH TERHADAP
GURU DAN PROFESION KEGURUAN
Isu penyelewengan dan penyalahgunaan wang di sekolah telah memberi kesan
negatif kepada profesion perguruan. Tugas sebagai seorang guru dianggap
mulia. Guru menjadi ‘role model’ kepada murid dan masyarakat. Sekiranya
guru sendiri mencemarkan profesion perguruan sudah tentu profesion ini akan
dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat akan mempertikai kredibiliti
dan akauntabiliti seorang guru. Menurut Mahathir (1999), guru-guru dituntut
supaya mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh dicontohi oleh pelajar dan
masyarakat disamping menguasai pelbagai ilmu, antara lain ilmu berkaitan
teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran komunikasi.
Selain itu juga, kesan penyelewengan ini juga telah mewujudkan rasa tidak
hormat, tidak percaya dan tidak yakin dengan kepimpinan di dalam sesebuah
organisasi sekolah. Sebagai contoh, pihak sekolah di Dengkil telah mengambil
tindakan menukar guru yang menguruskan bantuan KWAMP ke sekolah lain
setelah berlakunya penyelewengan dalam pengagihan bantuan KWAMP
kepada murid yang tidak layak (Berita Harian, 2012). Guru memainkan juga
peranan penting dalam pembentukan sahsiah murid, watak dan moral pelajar.
Oleh itu pihak sekolah yang harus mewujudkan watak yang dapat dibanggakan
oleh ibu bapa, pelajar serta masyarakat setempat.
Kesan penyelewengan dan penyalahgunaan kewangan juga menyebabkan
berlakunya pertelingkahan antara pihak atasan dan dengan pihak bawahan.
Hal ini berlaku kerana wujudnya sikap tidak puas hati dengan pengurusan yang
dilaksanakan oleh pentadbir kewangan. Sebagai contoh, guru yang pernah
melakukan kesalahan menggelapkan wang sekolah akan menerima hukuman.
Kemudian, selepas itu guru tersebut akan sentiasa dipandang negatif dan akan
wujud rasa tidak puas hati dan menyalahkan guru tersebut di atas kesalahan
yang pernah dilakukan. Begitu juga sekiranya pihak Guru Besar yang sentiasa
gagal menyerahkan wang untuk tujuan pendidikan akan mewujudkan rasa
tidak puas hati dan akan menyebabkan pertelingkahan antara Guru Besar dan
kakitangan sekolah yang lain. Guru Besar selalunya beranggapan bahawa
mereka mempunyai kuasa pentadbiran yang kuat di dalam sesebuah organisasi
sekolah. Jika menurut gaya kepimpinan Islamik, seseorang pengurus
seharusnya mengekalkan amanah yang diterima perlulah ditadbir, diputuskan
atau dibincangkan menerusi konsep ‘syura’ iaitu musyawarah dan berbincang
antara ketua (amir) dengan pekerja bawahannya serta pengurus-pengurus
yang lain.
Penyelewengan wang di sekolah juga menyukarkan program-program sekolah
yang hendak dilaksanakan berjalan dengan lancar. Kelancaran sesuatu
program yang memerlukan peruntukan kewangan adalah sangat bergantung
kepada pengurusan dan perancangan belanjawan yang cekap. Sesebuah
program tidak dapat dilaksanakan disebabkan masalah kewangan yang serius.
Sebagai contoh, buku nota tambahan tidak dapat dibeli dengan kadar masa
segera sekiranya guru menyalahgunakan wang tersebut untuk kepentingan
yang tidak sepatutnya. Sesebuah program lawatan tidak dapat berjalan dengan
lancar sekiranya berlaku penyelewengan wang murid atau wang peruntukan
untuk sesebuah aktiviti.
Di samping itu juga, kesan penyelewengan juga menyebabkan kebajikan
murid-murid secara langsungnya terabai. Wang bantuan yang seharusnya
diperuntukkan kepada murid yang kurang berkemampuan untuk membeli
keperluan persekolahan namun disalahgunakan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Pihak Kementerian telah menyerahkan amanah dengan
mengkreditkan sejumlah wang untuk kebajikan murid-murid yang
berkelayakan kepada pihak sekolah untuk mengagihkan bantuan kewangan
tersebut. Namun sikap tidak amanah dan tidak jujur telah menjadi amalan
biasa bagi pihak ini menyebabkan murid-murid terabai sama sekali.
Selain itu juga, kesan penyelewengan dan penyalahgunaan wang ini juga akan
menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah lain. Sebagai contoh, jenayah
rasuah antara pihak pentadbir dengan pihak pembekal, jenayah
penyalahgunaan kuasa, jenayah vandalisme dan sebagainya. Penyelewengan
wang juga menyebabkan kepincangan dalam sistem pengurusan kewangan di
sekolah. Pihak yang membuat penyalahgunaan kuasa akan membuat prosedur
pengurusan kewangan yang palsu untuk menutup kesalahan yang dilakukan.
Walaubagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah
juga. Hal ini lama-kelamaan akan dapat dikesan oleh pihak berkuasa sekiranya
ianya terus berterusan dan melibatkan masalah kewangan yang serius kerana
ianya sudah jelas menunjukkan kesalahan etika dalam profesion keguruan.
Oleh itu, sudah semestinya kesalahan ini akan dikenakan hukuman. Antara
hukuman yang akan dikenakan di atas kesalahan yang dilakukan adalah
hukuman tatatertib berupa amaran dan turun pangkat serta dikenakan
tindakan surcaj.
Walaubagaimanapun, kita jarang mendengar isu masalah kewangan ini
dilaporkan di media massa ataupun media cetak kerana bimbang akan
menjatuhkan profesion keguruan. Walaubagaimanapun, seeloknya kes ini
harus diambil serius kerana sekiranya hukuman yang setimpal tidak dikenakan
kepada pesalah yang menyalahgunakan wang ini, maka kes ini akan semakin
bertambah dari tahun ke tahun kerana pihak yang tidak beretika ini akan
merasakan mereka berada di zon yang selesa. Sebenarnya penyiaran berita
penyelewengan wang juga mempunyai kebaikannya. Sekiranya hal ini
dihebahkan, kemungkinan pihak yang bersalah akan berasa takut untuk
mengulangi kesalahan yang sama kerana semestinya mereka akan dikenakan
tindakan.
4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI ISU PENYELEWENGAN WANG DI
SEKOLAH
Jika dilihat kepada jumlah angka yang mencapai ratusan ribu berkaitan kes
penyelewengan ini selama tempoh empat tahun ianya merupakan kes yang
serius dan perlu diatasi dengan segera. Kesedaran pihak kementerian tentang
masalah yang semakin berleluasa ini untuk mengatasi masalah ini adalah pihak
berkenaan telah memperkenalkan bantuan KWAPM akan diberikan kepada
murid yang berdaftar melalui sistem eKASIH. Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) telah mensasarkan penyaluran bantuan KWAPM adalah dilaksanakan
berdasarkan senarai nama yang diperolehi daripada Data Kemiskinan Nasional
yang dikenali sebagai eKASIH. Berdasarkan mesyuarat bersama Jemaah
Menteri, semua bantuan persekolahan akan diuruskan oleh KPM sahaja
dengan menggunakan Sistem eKASIH ini. Dengan cara ini, masalah
penyalahgunaan kuasa oleh guru-guru yang tidak bertanggungjawab dapat
diatasi. Sistem eKASIH merupakan Sistem Data Kemiskinan Nasional yang
dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana
Menteri (JPM) dengan tujuan memusatkan data golongan miskin dan miskin
tegar. Tujuan penggunaan sistem ini supaya tidak berlakunya pemberian
bantuan secara bertindih dengan kementerian-kementerian lain kepada orang
yang sama. Dengan wujudnya sistem eKASIH ini, ianya memudahkan dan dapat
mengelakkan masalah murid yang tidak layak tetapi menerima bantuan
KWAMP. Di samping itu juga, ianya memudahkan kerja pihak pentadbir dan
guru untuk membuat urusan permohonan mendapatkan bantuan kewangan
ini.
Sekiranya isu penyalahgunaan wang di sekolah ini terus menerus menjadi
fenomena biasa bagi warga pendidik dan pihak pentadbir, semestinya institusi
pendidikan akan terus dicemari dengan unsur-unsur yang negatif. Jadi,
sewajarnya perkara ini haruslah dibendung dan ditangani dengan segera.
Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani isu penyalahgunaan wang
ini, pihak pentadbir haruslah sentiasa membuat pemantauan (monitoring) dan
susulan yang sedia ada supaya lebih berkesan dan cekap. Pihak pentadbir
boleh memeriksa Buku Tunai dan Buku Resit bagi mengelakkan daripada
berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan wang di sekolah.
Jika kita merujuk kepada kes penyelewengan wang yang dilaporkan dari tahun
2004 hingga 2008, kesemua kes penyelewengan disebabkan kesalahan etika
yang dilakukan oleh Guru Besar. Guru Besar merupakan pemimpin sekolah
yang perlu memainkan peranan penting untuk mencapai kecemerlangan dan
kelestarian untuk sesebuah organisasi. Guru Besar mesti memiliki kredibiliti
dan kompeten dengan kemahiran pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan.
Jadi, Guru Besar akan mendapat kepercayaan, kebergantungan, keyakinan,
sokongan, kesepakatan bekerja dan dapat meningkatkan kesetiaan serta
komitmen daripada anggota organisasi, pelanggan dan stakeholders ( Syed
Ismail & Ahmad Subki, 2010). Hal ini berlaku disebabkan sikap Guru Besar yang
merasakan dirinya ketua organisasi sesebuah sekolah dan beranggapan tidak
akan ada individu lain yang akan memantaunya di samping sahsiah diri yang
rendah. Seorang Guru Besar yang baik seharusnya sentiasa mengambil
tindakan segera sekiranya wujud masalah dalam pengurusan kewangan
organisasi sekolah.
Selain itu juga, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan wang di sekolah.
Pihak KPM boleh melaksanakan satu sistem iaitu satu murid satu akaun bank.
Sistem bayaran itu pula terus disalurkan ke dalam akaun murid. Jika sebelum
ini, wang pengagihan KWAMP akan dikreditkan ke dalam akaun sekolah.
(Sumber: http://Sekolah Kebangsaan Tuarid Taud, Keningau, Lobi Forum SK
Tuarid/ Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Selepas itu pihak pengurusan
sekolah yang akan mengagihkan wang bantuan tersebut, tidak semestinya
wang tersebut akan terus diedarkan kepada murid. Bagi pihak pengurusan
yang bertanggungjawab, kemungkinan wang tersebut akan digunakan dahulu
untuk kegunaan atau kepentingan lain. Hal ini akan menyebabkan
penyelewengan dalam pihak pentadbir.
Di samping itu juga, pihak pengurusan haruslah bijak membuat pengurusan
belanjawan. Mereka harus menyedari akan kesalahan dalam menggunakan
wang bantuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Pemberian bantuan yang
disediakan oleh kerajaan tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Oleh itu, pihak pentadbir harus bijak mengurus belanjawan sekolah.
Kebiasaannya, pihak pentadbir gagal membuat perbelanjaan mengikut
peruntukan yang ditetapkan. Oleh sebab itiu, pihak tersebut terpaksa
menyalahgunakan wang yang sepatutnya diberikan kepada murid yang
memerlukan bantuan untuk menampung perbelanjaan yang tidak mencukupi
tersebut. Sekiranya pihak pentadbir tidak mempunyai perbelanjaan yang
mencukupi, mereka boleh membuat permohonan pindah peruntukan kepada
pihak atasan.
Di samping itu ibu bapa harus memainkan peranan yang serius dalam
melibatkan diri dengan PIBG di sekolah. Sekiranya PIBG aktif di sekolah,
masalah penyelewengan wang di sekolah ini dapat dibendung. Sekiranya
berlaku penyelewengan, ibu bapa harus bersuara dan bukan hanya menjadi
datang ke sekolah mendengar perbincangan tetapi memahami isi mensyuarat
yang dibincangkan. Penglibatan ibu bapa dalam mesyuarat untuk pemilihan
murid yang layak menerima bantuan KWAPM juga dapat memberikan kesan
positif untuk mengelakkan masalah penyalahgunaan wang KWAPM ini.
Walaubagaimanapun, guru dan ibu bapa haruslah sentiasa aktif dan peka
dengan proses penyaluran bantuan ini kepada murid iaitu bukan hanya pada
awal mesyuarat sahaja menjadi jawatankuasa pemilihan tetapi sehingga
bantuan tersebut diserahkan kepada setiap penerima.
Akhir sekali, penyelewengan wang di sekolah ini boleh di atasi sekiranya setiap
pihak mempunyai tahap kesedaran individu itu sendiri untuk berubah
sekiranya telah melakukan kesalahan. Guru haruslah sentiasa membuat
muhasabah diri dan sedar hidup mengikut tahap kemampuan. Di samping itu,
guru haruslah sentiasa mengikhlas diri untuk bekerja sebagai guru dengan
amanah, jujur dan tekad untuk menolak rasuah dengan tegas. Selain itu juga,
guru sebagai penjawat awam harus berpegang teguh kepada kod etika yang
telah digariskan. Isu-isu penyalahgunaan masa, wang dan kuasa haruslah
dihapuskan dari terus menular dari hari ke hari kerana ianya memberikan
kesan yang negatif kepada profesion keguruan, pembangunan modal insan
serta masa depan generasi pada masa akan datang. Moto ‘Guru Pembina
Negara Bangsa’ haruslah disemat dalam jiwa setiap insan bergelar guru.
5.0 RUMUSAN
Setelah membincangkan isu penyelewengan ini, saya sangat bersetuju
sekiranya isu ini terus dibincangkan dengan lebih terperinci. Selain itu juga,
pengurusan kewangan di sekolah haruslah diperkemaskan supaya tidak akan
berlakunya isu penyelewengan ini. Di samping itu juga, pihak kementerian,
pihak JPN dan PPD juga haruslah sentiasa membuat pemantauan ke setiap
sekolah. Pemantauan haruslah dibuat dengan mengikut prosedur yang betul.
Sesetengah pihak mengambil mudah tugas yang diamanahkan. Sebagai
contoh, juruaudit yang ditugaskan untuk mengaudit kewangan di sebuah
sekolah tidak melaksanakan prosedur mengadit dengan baik. Isu
penyelewengan ini juga sebenarnya adalah kita haruslah sentiasa membuat
refleksi ke atas diri sendiri di samping terdapat sokongan dan kesedaran dari
pihak luar untuk memastikan individu yang menyeleweng ini tidak terus hanyut
dengan dunia khayalan yang ternyata alpa dan melemahkan sesebuah institusi
pendidikan. Guru harus sedar tanggungjawab dan peranan sebenar seorang
guru dan amanah yang dipertanggungjawabkan keatas dirinya. Selain
membangunkan etika profesion keguruan dalam diri, guru seharusnya sentiasa
mempelajari ilmu-ilmu baru berkaitan mengurus dan mentadbir kerana guru
semestinya bukan hanya mengajar murid di dalam kelas tetapi juga merupakan
seorang pengurus dan pentadbir sekolah. Sekiranya ramai guru mempunyai
kesedaran yang tinggi dalam diri mengenai tanggungjawab dan amanah
sebenar yang dipikul maka isu penyelewengan wang di sekolah ini dapatlah di
atasi dengan jayanya.