analisis artikel isu keguruan

23
ANALISIS ARTIKEL ISU KEGURUAN : Sabar, Minat Pendinding Guru

Upload: poketcekgu

Post on 30-Jul-2015

216 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Analisis Artikel Isu Keguruan

ANALISIS ARTIKEL ISU KEGURUAN :

Sabar, Minat Pendinding Guru

JABATAN ILMU PENDIDIKAN IPG KAMPUS TUANKU BAINUN

Page 2: Analisis Artikel Isu Keguruan

Isu : Sabar, Minat Pendinding Guru

1.0 Pengenalan

Ramai berpendapat, secara umumnya kerjaya sebagai seorang guru

merupakan suatu pekerjaan yang murni. Tambahan pula dikatakan guru

mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang mengatakan menjadi seorang guru

senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan tetap. Tidak kurang juga yang

menyatakan menjadi seorang guru merupakan ‘jalan mati’ setelah profesion lain

tidak memberikan peluang yang baik. Pelbagai tanggapan yang boleh

disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum tentang profesion

seorang guru. Namun begitu, sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan

sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah seorang guru perlu

menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing

dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi

modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan tersebut khususnya di

negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran. Oleh itu, dalam

diri setiap guru perlu tersemat ciri-ciri yang boleh membantu mereka dalam

mengharungi cabaran dunia pendidikan masa kini. Salah satu ciri seorang guru

yang perlu ada adalah sabar. Perkataan sabar adalah sangat sinonim dengan

profesion peguruan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan sabar

didefinisikan dalam dua makna. Pertama, sabar ialah perihal seseorang yang

sanggup menahan penderitaan dan yang keduanya sabar bermaksud perihal

seseorang yang boleh menahan kesusahan.

Dalam dunia seorang guru, menghadapi sikap anak didik yang tidak

sesuai dengan apa yang diingini, seperti tidak mempedulikan pelajaran,

melanggar disiplin, tidak membuat tugasan yang diberikan, atau bahkan tidak

boleh memahami pelajaran yang telah disampaikan adalah satu senario biasa.

Seorang guru yang tidak sabar pasti akan merasa jengkel dengan keadaan ini

Page 3: Analisis Artikel Isu Keguruan

sekaligus perasaan marah akan timbul. Namun, bagi seorang guru yang boleh

bersabar, mereka tentu akan mendapatkan hasil yang menyenangkan. Hal ini

kerana, guru yang sabar mempunyai keyakinan bahawa hal yang tidak

diinginkan dan yang terjadi pada anak didiknya adalah sesuatu yang tidak kekal.

Cepat atau lambat perilaku anak didik yang tidak diinginkan tersebut pasti akan

berubah seiring dengan tempoh tumbesaran mereka.

Selain itu, aspek kedua yang perlu diambil kira untuk menceburkan diri

dalam profesion seorang guru ialah minat. Tanpa minat sukar untuk seseorang

berjaya dalam bidang yang diceburi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,

perkataan minat bermaksud keinginan, kegemaran, kesukaan dan

kecenderungan kepada sesuatu. Oleh itu, secara lateralnya minat membawa

maksud suatu perasaan suka melakukan sesuatu perkara yang boleh membawa

kejayaan kepada sesebuah organisasi. Dalam konteks perguruan, minat menjadi

seorang guru perlu dibuktikan berdasarkan keupayaan seorang guru dalam

melaksanakan tugasannya dengan cemerlang bukan sahaja dalam bilik darjah

namun di sekolah secara amnya.

Manakala, definisi perkataan pendinding pula membawa maksud penutup,

penyekat, penghalang, dan pelindung. Justeru, jelaslah di sini bahawa ciri sabar

dan minat menjadi seorang guru menjadi satu benteng yang utuh kepada

seorang guru untuk terus bertahan dalam menghadapi dunia pendidikan masa

kini yang semakin mencabar.

Page 4: Analisis Artikel Isu Keguruan

2.0 Perkembangan

Melalui artikel yang telah dipilih, isu yang diperkatakan ialah mengenai

perlunya sifat sabar dan minat terhadap profesion dalam diri seorang guru atau

pendidik. Kewujudan kedua-dua elemen ini akan menjadi pemangkin untuk

seseorang guru terus bertahan dalam dunia pendidikan. Dalam proses

membentuk elemen-elemen baik ini dalam diri seorang guru, antara cabaran

yang perlu dihadapi ialah, guru menghadapi cabaran dari segi mendisiplinkan

murid. Seringkali sifat sabar seorang guru teruji dengan tahap disiplin murid

masa kini. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hierarki

hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Hal ini kerana murid hari ini

dimewahkan oleh ibu bapa sendiri. Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah

para guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka

untuk pulang apabila selesai sesi persekolahan. Tidak kurang yang memandu

sendiri ke sekolah dan amat biasa murid memegang telefon bimbit. Kedudukan

ekonomi mereka yang lebih baik menyebabkan hormat mereka terhadap guru

berkurangan. Guru sering dipandang rendah dan akibatnya mereka tidak takut

untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga menjadi

punca murid melawan guru.

Cabaran guru sekarang adalah untuk membangunkan ‘rapport’ bersama

murid. Masalah ini akan lebih ketara bagi guru permulaan. Perhubungan antara

guru dengan murid di dalam bilik darjah perlu diwujudkan supaya pembelajaran

berkesan dapat dipraktikkan. Situasi ini akan mendorong seseorang guru

mengamalkan tingkah laku yang efektif dan berkualiti. Fenomena ini memerlukan

kemahiran, keupayaan dan komitmen yang tinggi. Selain dari itu, terdapat

percubaan guru untuk memasuki dunia murid dengan hasrat mempengaruhi dan

memimpin mereka. Kejayaan memasuki dunia murid dapat menghasilkan

persefahaman dengan murid khususnya pada taraf emosi yang mesra. Namun

begitu cabaran yang dihadapi oleh guru adalah untuk membina hubungan yang

dimaksudkan itu. Bukan semua guru dapat melaksanakannnya. Jika guru

Page 5: Analisis Artikel Isu Keguruan

berjaya mengatasi cabaran tersebut, akhirnya dua pihak yang terlibat akan saling

bersedia serta sanggup berkongsi pengalaman dan saling bekerjasama ( Syed

Ismail Bin Syed Mustapa, Ahmad Subki Bin Miskon 2010). Dalam hal ini, sekali

lagi sifat sabar seorang guru sangat diperlukan. Bukanlah sesuatu yang mudah

untuk menyelami karakter murid yang pelbagai.

Sebagai contoh, satu kes yang pernah dilaporkan oleh akhbar Harian

Metro berkaitan seorang murid darjah enam yang membelasah gurunya dengan

penyodok sampah pada 18 April 2006 kerana tidak puas hati dengan hukuman

guru terbabit terhadapnya berikutan tidak menyiapkan kerja sekolah. Dalam

kejadian tersebut, murid itu dimarahi oleh guru dan disuruh menyiapkan kerja

rumah sambil berdiri. Melalui kes-kes yang berlaku ini, jelas menunjukkan

kepada umum bahawa, kini guru tidak lagi mempunyai hak kuasa veto untuk

menghukum pelajar. Pelajar sekarang sangat agresif dalam tindak tanduk

mereka. Andai diteruskan bentuk hukuman yang sama seperti zaman dulu iaitu

dengan merotan, pasti akan membawa padah kepada guru.

Selain itu, apa yang menjadi kebimbangan kini bukan sahaja reaksi

negatif pelajar atas hukuman yang dikenakan ke atas mereka tetapi respon

daripada ibu bapa sering membatasi guru dalam menjatuhkan hukuman.

Terdapat ibu bapa yang lebih sedia menyalahkan guru daripada menerima

hakikat bahawa anak mereka bersalah melanggar disiplin sekolah. Mereka tidak

percaya anak mereka telah melakukan kesalahan serius di sekolah. Faktor

campur tangan ibu bapa turut mendorong guru mengambil sikap mendiamkan

diri terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin.

Kini dalam era serba moden dan canggih, kerjaya guru semakin

mencabar. Dilaporkan adanya segelintir kecil guru tidak dapat mengawal emosi

lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas hingga

masyarakat dikejutkan dengan berita kematian murid yang berpunca daripada

tindakan guru.

Page 6: Analisis Artikel Isu Keguruan

Justeru, guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan

kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu,

guru akan berhadapan masalah.

Panduan ditunjukkan Rasulullah perlu dijadikan amalan ketika memenuhi

tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa yang dilalui Rasulullah

mempamerkan perwatakan luhur pendidik unggul untuk dicontohi, yang tetap

relevan di sepanjang zaman.

Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan berpendapat punca

guru bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika

seorang murid yang nakal dapat dikawal tetapi kalau terlalu ramai boleh

menghilangkan kesabaran guru. Guru juga manusia biasa jika terlalu tertekan,

sesekali kesabaran tidak boleh dikawal.

Alangkah baiknya jika pihak ibu bapa faham tentang tekanan tugas guru

dengan cara mereka pula menghormati dan berterima kasih kepada para guru

dan pihak sekolah kerana secara tidak langsung mengambil alih tugas mereka

bagi mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka.

Semua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru untuk

mendisiplinkan murid-murid, adalah dengan niat untuk membentuk dan mendidik

mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna suatu hari nanti.

Selain itu, sikap tidak minat untuk menjadi guru juga menjadi faktor

berlakunya pelbagai isu negatif membabitkan guru. Kaunselor Universiti Islam

Antarabangsa, Asniza Mamat, menjelaskan salah satu andaian punca guru

bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada

profesion perguruan. Apabila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak

menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya

perasaan sabar dan mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa

yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa

bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang lain.

Page 7: Analisis Artikel Isu Keguruan

3.0 Implikasi

Antara kesan yang kita dapat lihat daripada tindakan individu yang tidak

berminat dengan profesion keguruan ialah kualiti kerjaya sebagai seorang guru

akan menurun. Seorang guru yang berkualiti mestilah mengutamakan

tanggungjawabnya terhadap ilmu, kebajikan dan keselamatan pelajarnya (Mok

Soon Sang 2002). Mereka yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru

disebabkan faktor terpaksa tidak akan bertanggungjawab terhadap ilmu yang

dimiliki, menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar yang berada di bawah

jagaannya. Keadaan ini akan menyebabkan kesan yang negatif yang akan dilihat

oleh masyarakat sekeliling kepada bidang pekerjaan sebagai seorang guru (Prof.

Dr. S. Nasution 1995). Kesan negatif ini akan menimbulkan prasangka yang

tidak baik oleh masyarakat terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Masyarakat

tidak akan mempercayai tugas seorang guru sebagai pendidik dan keadaan ini

akan mendatangkan masalah kepada proses pembelajaran yang dijalankan di

sekolah.

Selain itu, seorang guru yang tidak berminat dengan pekerjaannya tidak

akan mempunyai kualiti dalam pekerjaannya dan tidak akan mempunyai

kejujuran dalam melakukan pekerjaannya. Mereka akan melakukan penipuan

dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan tidak akan menjalankan tugasan

yang diamanahkan dengan penuh berdedikasi sama ada dalam kelas mahupun

diluar waktu persekolahan. Seorang guru yang tidak jujur dalam pekerjaannya

tidak akan berusaha bersungguh-sungguh supaya hasil pekerjaannya mencapai

ke tahap yang lebih cemerlang. Kejujuran dalam memberikan ilmu pengetahuan

yang dimiliki oleh seorang guru tidak akan dipenuhi kerana mereka tidak

sepenuhnya memberikan ilmu pengetahuan kepada para pelajarnya. Kejujuran

ini merupakan sifat yang perlu dimiliki oleh setiap guru sebagai orang tengah

yang memberikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

Page 8: Analisis Artikel Isu Keguruan

Guru yang tidak berminat dengan profesionnya juga akan tiada

kemampuan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik yang cekap

dalam menggunakan sumber-sumber yang ada sebaik mungkin. Mereka tidak

mampu memenuhi matlamat profesion pekerjaan ini yang telah digariskan oleh

kerajaan untuk memenuhi kehendak manusia dan rakyat di negara ini (Sufean

Hussin 1993). Mereka tidak menggunakan segala peluang yang ada untuk

mengolah sumber yang ada untuk diberikan kepada pelajarnya. Keadaan ini

menjadikan pelajar di bawah jagaannya agak ketinggalan dari segi ilmu

pengetahuan jika dibandingkan dengan pelajar di bawah jagaan seorang guru

yang berkualiti dan berketrampilan dalam kerjanya.

Selain itu juga, seorang guru yang tidak mempunyai minat dalam

profesionnya tidak akan menghasilkan pretasi kerja yang baik di samping

melakukan tugasan yang diberikan secara sambil lewa sahaja (Drs. Syaiful Bahri

Djamarah 2000). Golongan ini tidak melibatkan diri secara menyeluruh terhadap

perkembangan pembelajaran pelajar, sekolah dan masyarakat. Justeru itu,

mereka kurang berdedikasi terhadap kerjayanya memandangkan sebahagian

besar masa seorang guru dihabiskan untuk memikir, merancang dan aktiviti-

aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas

(Sufean Hussin 1993). Mereka hanya melakukan aktiviti yang ringkas dan mudah

tanpa memerlukan banyak tenaga. Akibatnya akan terhasil pelajar yang pasif

dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam

kelas.

Implikasi lain yang akan timbul ialah, bagi mereka yang menerima jawatan

sebagai seorang guru kerana terpaksa dan bukan bersandarkan kepada minat

tidak akan mementingkan imej dan personaliti sebagai seorang guru. Kita dapat

lihat melalui penampilan seharian seseorang guru ketika berada di kawasan

persekolahan. Mereka hanya memakai pakaian yang sepatutnya tanpa

memperbaiki penampilan yang harus ditampilkan dihadapan pelajar mereka.

Page 9: Analisis Artikel Isu Keguruan

Golongan ini hanya bersikap acuh tidak acuh terhadap imej yang harus

ditonjolkan dihadapan pelajar mereka sebagai seorang yang bekerjaya.

Selain itu, guru yang tidak mempunyai sifat sabar juga tidak mampu

menjadi seorang yang bertanggungjawab membentuk disiplin para pelajar serta

membantu dalam membentuk sahsiah dan kelakuan yang yang terpuji kerana

guru-guru itu sendiri tidak mempunyai disiplin terhadap personalitinya sebagai

seorang guru. Mereka tidak dapat menjadi contoh model hidup yang mana

tingkah laku yang ditunjukkan oleh seorang guru akan menjadi contoh dan ikutan

pelajarnya. Nilai-nilai murni yang ada pada personaliti sebagai seorang guru

tidak dapat ditonjolkan oleh seorang guru di sekolah dan secara tidak langsung

tidak dapat diterapkan di dalam diri seorang pelajar. Keadaan ini sekaligus akan

melahirkan sebilangan pelajar yang tidak mempunyai personaliti sebagai

seorang pelajar yang diharapkan oleh ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat dan

negara.

Page 10: Analisis Artikel Isu Keguruan

4.0 Rumusan / Cadangan

Sebagai konklusinya, jelaslah bahawa sabar dan minat adalah dua unsur

terpenting yang perlu disebatikan dalam diri setiap individu yang memilih

profesion keguruan ini. Oleh kerana pentingnya tugas guru dan besarnya

harapan masyarakat terhadap insan yang bernama guru, maka proses

penyediaan guru perlu yang dilakukan dengan teratur dan bersistematik.

Bagi mengatasi pelbagai masalah guru yang telah dikenalpasti di negara

kita, tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar

Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengenalpasti guru-guru yang menghadapi

masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan

supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan

kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin

rumit serta mengendalikan perasaan tertekan. Dr. Mohamed Awang turut

mencadangkan untuk mengatasi masalah guru yang bertindak ganas dengan

cara menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini

berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.

Guru perlu sedar bahawa murid adalah manusia biasa yang memerlukan

bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu, murid patutlah mendapat layanan yang

beradab. Melalui cara inilah dapat mendorong murid memberi penghormatan

yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap

guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah.

Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan

Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu

marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa

penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan

Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.

Page 11: Analisis Artikel Isu Keguruan

Kesimpulannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring

dengan perkembangan teknologi, seseorang guru tidak boleh lari daripada

cabaran yang semakin hebat sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah

secara amnya. Dalam masa itu, kesabaran yang sangat tinggi adalah sangat

diperlukan disamping minat yang mendalam terhadap tugas. Tugas mendidik

dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang

ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang

seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial

(JERIS) dapat dicapai.

Page 12: Analisis Artikel Isu Keguruan

REFLEKSI

Pada tanggal 1 Ogos 2012, saya telah diberi tugasan kerja kursus bagi

subjek Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Secara

ringkasnya, tugasan ini merupakan gabungan kepada tugasan berkumpulan dan

individu. Kami dikehendaki membuat ulasan dan analisis artikel berkaitan isu

keguruan yang telah dipilih dan dalam masa yang sama mewujudkan satu blog

laman ilmu secara berkumpulan yang memuatkan setiap tugasan individu kami.

Secara kasarnya, saya melihat tugasan yang diberikan begitu rumit dan

sukar untuk difahami. Walaupun kami diberi peluang untuk bebas memilih isu

keguruan masing-masing, namun kehendak tugasan masih sukar untuk

difahami. Selepas merujuk kepada pensyarah pembimbing, saya telah mendapat

gambaran awal mengenai tugasan ini. Bermula dari taklimat tugasan yang

diberikan oleh En. Azmi selaku pensyarah penyelaras kerja kursus, saya telah

mula memilih isu dan merangka jalan kerja yang ingin dilakukan. Saya bersama

rakan-rakan cuba mencari bahan-bahan rujukan untuk dijadikan panduan. Bagi

mendapatkan bahan rujukan tersebut, saya telah mengunjungi pusat sumber dan

dan saya juga berjaya mendapatkan beberapa buah buku daripada rakan-rakan

opsyen lain yang saya kira sangat membantu.

Namun begitu, setelah selesai membuat draf pertama, barulah saya sedar

bahawa kerja yang dilakukan hanya sia-sia sahaja kerana saya telah terkeluar

dari kehendak soalan. Namun saya tidak berputus asa, walaupun telah

bersengkang mata selama beberapa hari. Buat kali kedua, saya merujuk kepada

pensyarah pembimbing untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas

berkaitan tugasan. Kali ini, saya melakukan tugasan ini dengan lebih berhati-hati

dan terperinci supaya tidak lagi terkeluar daripada kehendak soalan.

Page 13: Analisis Artikel Isu Keguruan

Memang saya akui bahawa, bahagian pelajaran yang memerlukan

pemahaman dan pembacaan amat sukar bagi saya. Tugasan ini bukan hanya

sekadar mengarang semata-mata, tetapi saya telah diberitahu oleh pensyarah

pembimbing untuk mengeluarkan idea-idea baru dalam mengulas isu tugasan.

Kami perlu berfikir di luar kotak dalam memberi pendapat di samping mempunyai

hujah-hujah sokongan yang bersesuaian daripada pelbagai sumber. Selain itu,

saya dan rakan-rakan mengalami kesukaran kerana kami dikehendaki

menyiapkan esei sebanyak 2500-3000 perkataan dan jumlah ini saya kira adalah

sangat panjang. Saya mengambil langkah membaca lebih banyak bahan rujukan

dari pelbagai sumber buku untuk menambahkan lagi idea mengarang.

Setelah beberapa hari, akhirnya saya dapat menyiapkan juga tugasan ini

sebelum tarikh menghantar tugasan tamat. Walaupun berlaku sedikit salah

faham, saya dapat juga menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. Pengajaran

yang berguna sepanjang saya menyiapkan tugasan ini ialah, kita perlulah faham

dan tahu kehendak soalan dengan sejelas-jelasnya sebelum memulakan apa-

apa sahaja tugasan.

Antara kemahiran baru yang diperoleh sepanjang menyiapkan tugasan

ialah, saya mendapat pengalaman baru dalam membina laman blog. Saya yang

baru pertama kali menceburkan diri dalam membina laman blog ini,

sememangnya agak terkial-kial untuk membinanya. Namun tunjuk ajar yang

berguna dari rakan-rakan sekumpulan memang banyak membantu. Sepanjang

pengamatan saya, pembinaan laman blog ini merupakan satu ilmu yang perlu

dipelajari berbekalkan usaha, kesabaran serta kerajinan yang tinggi.

Seiring dengan arus perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi

(ICT), seorang guru yang berinovatif haruslah mempunyai kemahiran dalam ICT,

namun hal yang sebaliknya pula berlaku. Saya terbaca satu penyataan yang

mengatakan bahawa :

Page 14: Analisis Artikel Isu Keguruan

”Guru-guru pendidikan Islam masih berada pada tahap yang rendah dalam

menjadikan komputer sebagai budaya dalam proses pengajaran dan

pembelajaran, ini disebabkan oleh kurangnya, kemahiran, sarana, serta nilai

sikap dari guru tersebut.”

Berdasarkan kenyataan ini, perubahan perlu dilakukan. Kelak, saya

berhasrat untuk mempelbagaikan cara mengajar saya agar pembelajaran dapat

dijalankan dengan lebih berkesan serta menyeronokkan. Saya dapat

membayangkan bagaimana mungkin seorang guru Pendidikan Islam

menerangkan tajuk  solat, haji, sirah nabawiyah hanya dengan ‘chalk and talk’.

Oleh itu, penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi khasnya

penggunaan komputer dan laman blog dalam pengajaran dan pembelajaran

sememangnya menjadi salah satu jawapan untuk menjawab soalan tersebut.

Page 15: Analisis Artikel Isu Keguruan

BIBLIOGRAFI

Buku :

Abdullah Hassan, Ainon Mohd. (2006). Kemahiran Interpersonal Untuk Guru.

Kuala Lumpur.PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin (2011). Pengendalian Dispilin Remaja di

Sekolah Dan di Rumah. Selangor Darul Ehsan. Penerbitan Multimedia

Sdn. Bhd.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi (1995).Keindahan Sabar. Kuala Lumpur.Percetakan

Nasional Malaysia Berhad.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi (2000). Sabar Dalam Islam. Johor Darul Takzim.

Perniagaan Jahabersa.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan

Pustaka.

Kamus Za’ba Edisi Kedua (2004). Shah Alam Selangor.

Pustaka Antara Books Sdn. Bhd. Abd Rahim Abd Rashid (2001). Nilai-Nilai Murni

Dalam Pendidikan : Menghadapi Perubahan Dan Cabaran Alaf Baru.

Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2010). Kompetensi Kecerdasan Emosi. Penerbitan Multimedia

Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.

Salhah Abdullah, Ainon Mohd.( 2008). Guru Sebagai Mentor. Kuala Lumpur.

PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Page 16: Analisis Artikel Isu Keguruan

Internet :

http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2012/05/guru-ejen-transformasi.html.

Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2012/05/kesabaran-kunci-kejayaan-

tokoh-guru.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/2012/04/guru-penyayang-murid-

berkualiti.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://notapismp.blogspot.com/2010/05/implikasi-amalan-budaya-penyayang-

dalam.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1877-sabar-itu-perlu-setiap-

masa.html Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://khairolkhalid.wordpress.com/2010/02/19/guru-yang-mengajar-sifat-sabar/

Diakses pada 24 Ogos 2012.

http://www.bharian.com.my/articles/

Guruperluterapnilaisabar_penyayangterhadapanakdidik/Article/ Diakses pada 24

Ogos 2012.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/

Pendidikhebatmilikikesabarantinggi/Article/index_html Diakses pada 24 Ogos

2012.

http://www.sinarharian.com.my/rencana/sabar-minat-pendinding-guru-1.49720?

localLinksEnabled=false Diakses pada 24 Ogos 2012.

Page 17: Analisis Artikel Isu Keguruan