internet dan cabaran kepada perkhidmatan perpustakaan

16
INTERNET DAN CABARAN KEPADA PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN Oleh: Haji Mohammad Nazari Bin Haji Abdul Hamid, AALIA Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak 17, Jalan Raja DiHilir 30350 Ipoh. Abstrak Hari ini, peranan perpustakaan sebagai pusat maklumat dilihat semakin tercabar akibat aplikasi ICT dan Internet yang menjadikan ia sumber pilihan utama untuk mendapatkan maklumat. Bagi mengelakkan perpustakaan terus terpinggir, berbagai pendekatan telah dan perlu diambil agar ia terus dapat berfungsi dan menyumbang kepada kehidupan manusia sejagat. Perpustakaan dan semua pihak berkepentingan (stakeholders) perlu bertindak dengan menggunakan sepenuhnya teknologi berasaskan komputer dan Internet bagi memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada di samping memperkenalkan perkhidmatan baru. Selain itu, kemudahan infrastruktur dan prasarana, peruntukan kewangan, pembangunan modal insan dan pendidikan pengguna turut berperanan dalam memastikan perkhidmatan perpustakaan terus kekal relevan dalam kehidupan. Istilah- istilah baru dalam dunia perpustakaan seperti perpustakaan digital, perpustakaan elektronik dan perpustakaan maya Muka Surat 1

Upload: hj-mohammad-nazari-hj-abdul-hamid

Post on 14-Jun-2015

642 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

INTERNET DAN CABARAN KEPADA PERKHIDMATAN PERPUSTAKAANOleh:Haji Mohammad Nazari Bin Haji Abdul Hamid, AALIA Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak 17, Jalan Raja DiHilir 30350 Ipoh.Abstrak Hari ini, peranan perpustakaan sebagai pusat maklumat dilihat semakin tercabar akibat aplikasi ICT dan Internet yang menjadikan ia sumber pilihan utama untuk mendapatkan maklumat. berfungsi sejagat. Bagi mengelakkan perpustakaan terus terpinggir, dan menyumbang perlu kepada kehidupan manusia men

TRANSCRIPT

Page 1: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

INTERNET DAN CABARAN KEPADA

PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN

Oleh:

Haji Mohammad Nazari Bin Haji Abdul Hamid, AALIA

Pengarah

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak

17, Jalan Raja DiHilir

30350 Ipoh.

Abstrak

Hari ini, peranan perpustakaan sebagai pusat maklumat

dilihat semakin tercabar akibat aplikasi ICT dan Internet yang

menjadikan ia sumber pilihan utama untuk mendapatkan

maklumat. Bagi mengelakkan perpustakaan terus terpinggir,

berbagai pendekatan telah dan perlu diambil agar ia terus dapat

berfungsi dan menyumbang kepada kehidupan manusia

sejagat. Perpustakaan dan semua pihak berkepentingan

(stakeholders) perlu bertindak dengan menggunakan

sepenuhnya teknologi berasaskan komputer dan Internet bagi

memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada di

samping memperkenalkan perkhidmatan baru. Selain itu,

kemudahan infrastruktur dan prasarana, peruntukan kewangan,

pembangunan modal insan dan pendidikan pengguna turut

berperanan dalam memastikan perkhidmatan perpustakaan

terus kekal relevan dalam kehidupan. Istilah-istilah baru dalam

dunia perpustakaan seperti perpustakaan digital, perpustakaan

elektronik dan perpustakaan maya merupakan manifestasi

daripada pertambahan perkhidmatan berasaskan ICT dan

Internet.

Muka Surat 1

Page 2: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

PENGENALAN

Penggunaan Internet kini meliputi pelbagai bidang kehidupan manusia

termasuk perniagaan, penyediaan kandungan digital, perbankan elektronik,

kerajaan elektronik, kerajaan tanpa kertas, pejabat maya, aplikasi multimedia,

sekolah bestari, mel elektronik, tele perubatan, perkhidmatan perpustakaan dan

pelbagai lagi.

Sejarah Internet

Perkataan Internet ialah singkatan kepada dua perkataan dalam bahasa

Inggeris iaitu inter network. Pada asalnya ia dibangunkan oleh kerajaan Amerika

Syarikat pada penghujung tahun 1960an dalam usaha merangkaikan agensi

kerajaan dengan kolej dan universiti. (Schuman, 2001) Pada tahun 1969

diwujudkan pula satu rangkaian komputer berpusat yang dikenali sebagai

ARPANET. Rangkaian ini dibangunkan oleh ARPA(United States Department of

Defense Advanced Research Projects Agency) untuk sistem pertahanan Amerika

Syarikat. Setelah melalui beberapa perubahan penambahbaikan, ARPANET

kemudiannya telah menukar protokol rangkaian pusatnya daripada NCP kepada

TCP/IP pada tahun 1983 dan ini menandakan bermulanya revolusi Internet.

Seterusnya pada sekitar tahun 1990an, perkembangannya menjadi semakin

rancak dan ia telah berupaya merangkaikan kebanyakan daripada rangkaian-

rangkaian komputer sedia ada di seluruh dunia. Institusi/agensi dan individu mula

menggunakannya untuk pertukaran surat(mail) dan maklumat.

Internet Masa Kini dan Masa Hadapan

Data yang dikumpulkan menunjukkan kadar penembusan Internet di

seluruh dunia telah meningkat dengan begitu mendadak sekali dan Ini

menunjukkan bahawa Internet merupakan suatu fenomena yang akan terus kekal

dalam kehidupan manusia.

Di Malaysia sahaja, Telekom Malaysia(TM) meramalkan bahawa jumlah

pelanggan Internet akan mencecah 10 juta menjelang tahun 2011. Sehingga Jun

2009 jumlah pengguna Internet pula adalah seramai 16,902,600 orang dengan

kadar penembusan berada pada tahap 65.7 %.(Internet World Statistics, 2009)

Muka Surat 2

Page 3: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

Zon/Lokasi

Pengguna Internet Peratus Peningkatan Sejak 2000

Afrika 67,371,700 1,392.4

Asia 738,257,230 545.9

Eropah 418,029,796 297.8

Timur Tengah 57,425,046 1,648.2

Amerika Utara 252,908,000 134.0 %

Amerika Latin 179,031,479 890.8 %

Oceania/

Australia

20,970,490 175.2 %

Jumlah /Dunia 1,733,993,741 380.3 %

Rajah 1: Internet World StatisticsSumber: http://www.internetworldstats.com/stats.htm

Bagi menangani keperluan dan aplikasi yang sentiasa bertambah, pihak

kerajaan serta Internet Service Providers(ISP) kini sedang berusaha

menyediakan infrastruktur perkhidmatan tanpa wayar dan perkhidmatan jalur

lebar berkelajuan tinggi. Kemudahan ini akan memberi manfaat kepada negara,

kerajaan, industri dan masyarakat melalui perkhidmatan seperti e-Government, e-

Education, e-Commerce, e-Banking, e-Health, Internet Protocol TV (IPTV),

teleworking (bekerja dari rumah), e-Payment dan tidak ketinggalan electronic

library yang menawarkan perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna.

LATAR BELAKANG

Perubahan teknologi, maklumat dan komunikasi(ICT) serta Internet telah

membawa kepada perubahan gaya hidup manusia. Kemampuan mengakses

Internet kini merupakan sesuatu yang menjadi keutamaan kepada ramai orang.

Fenomena global village dan open skies telah menjadikan dunia semakin sempit.

Enjin gelintar(search engines) seperti Lycos, Alta Vista, Google, Yahoo, laman-

laman web dan pangkalan data atas talian telah menjadikan Internet sebagai

pengantara atau sumber utama untuk mendapatkan maklumat. Internet

menyediakan berbagai kemudahan yang antara lainnya termasuklah Telnet iaitu

keupayaan mengakses sesebuah komputer dari jarak jauh, Internet Relay

Chat(IRC) iaitu berbual dengan individu lain di alam maya/siber, menghantar dan

Muka Surat 3

Page 4: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

menerima mel, membina rangkaian atau kumpulan newsgroup, memindahkan fail

antara satu komputer dengan komputer yang lain (File Transfer Protocol - FTP)

dan akses ke WWW (World Wide Web).

Kini, hakikatnya berjuta-juta komputer di seluruh dunia secara sedar atau

tidak telah dirangkaikan melalui Internet yang mana jumlahnya semakin

bertambah dan tidak dapat dikawal oleh sesiapa termasuklah kuasa besar dunia

seperti Amerika Syarikat sendiri. Secara beransur-ansur Internet telah merubah

kehidupan manusia sejagat dan menjadi alat komunikasi paling penting serta

sumber mendapatkan maklumat paling utama.

INTERNET DAN PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN

Internet telah memberi peluang kepada kemunculan pendekatan baru

terhadap perkhidmatan perpustakaan yang melihat akses sama penting atau lebih

penting daripada pembangunan koleksi perpustakaan itu sendiri. Kini pengguna

boleh melayari Internet untuk mendapatkan maklumat tanpa perlu pergi ke

perpustakaan. Keupayaan mendapat apa yang dihajati melalui Internet telah

menimbulkan tanda tanya dari kalangan ramai orang bahawa adakah

perpustakaan bakal akan lenyap dari muka bumi ini? Jawapan kepada persoalan

ini ialah Internet tidak akan mampu melenyapkan peranan yang dimainkan oleh

perpustakaan selama ini. Hakikat sebenarnya ialah Internet berupaya membantu

menjadikan perpustakaan lebih mantap dan berkesan. Kedua-duanya saling

lengkap-melengkapi.(Herring, 2001)

Aplikasi Berasaskan Internet

Internet memberi ruang dan peluang kepada perpustakaan menawarkan

perkhidmatan yang selama ini tidak pernah terlintas di fikiran manusia. Jika

sebelumnya, pembinaan koleksi atau maklumat bercetak menjadi kayu ukuran

kekuatan sesebuah perpustakaan, maka Internet telah merubah segala-galanya.

Menyediakan aplikasi berasaskan web dan Internet merupakan antara kriteria

yang dapat membezakan kewibawaan sesebuah perpustakaan dalam

menyediakan serta memberikan perkhidmatan kepada penggunanya. Istilah-

istilah seperti perpustakaan digital(digital library), elektronik(electronic library) dan

perpustakaan tanpa dinding(library without walls) kini sering kedengaran

Muka Surat 4

Page 5: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

diucapkan di kalangan ramai orang namun secara realitinya masih banyak yang

perlu dilakukan untuk menjayakannya. Oleh itu, tiada pilihan bagi mana-mana

perpustakaan dalam aspek ini selain terpaksa bersama-sama berpindah daripada

perkhidmatan berbentuk tradisional kepada perkhidmatan perpustakaan

berasaskan aplikasi ICT dan Internet.

Waktu Perkhidmatan

Pelayaran Internet tanpa had masa dan batasan memberi peluang

perpustakaan mempelbagaikan perkhidmatannya agar dapat dinikmati 24 jam

sehari dan 7 hari seminggu. Laman web perpustakaan yang pada asasnya hanya

memaparkan maklumat umum mengenai perpustakaan dapat dirangkaikan

dengan pelbagai pangkalan data samada yang dibina sendiri oleh perpustakaan

seperti Online Public Access Catalog(OPAC) atau dilanggan daripada penyedia

isi kandungan (content provider) yang menyediakan pelbagai jenis bahan seperti

jurnal, laporan, penyelidikan, kertas seminar dan sebagainya.

Akses secara interaktif pula akan membolehkan pengguna melihat apakah

bahan yang ada di perpustakaan tetapi boleh membuat tempahan,

memperbaharui pinjaman, membayar denda serta mengemas kini maklumat

keahlian malah turut berpeluang mengakses, membaca secara atas talian,

mencetak dan memuat turun maklumat dalam berbagai format.

Laman Web Perpustakaan

Perpustakaan hendaklah merancang pembangunan laman web yang dapat

menarik perhatian ramai pengunjung Internet. Pengalaman dan pendekatan yang

digunakan oleh rangkaian sosial seperti Facebook dll. sedikit sebanyak akan

dapat membantu. Faktor-faktor yang perlu diberikan perhatian termasuklah

seperti reka bentuk yang tersusun, simple dan antara muka yang mudah

digunakan. Ia juga hendaklah bersifat umum iaitu tidak disasarkan kepada

golongan yang tertentu sahaja dan berfokuskan kepada aktiviti rangkaian atau

perhubungan dan bukan bercorak hiburan. Ciri-ciri reka bentuknya hendaklah

bersifat terbuka yang dapat memberikan kebebasan kepada pengguna mengawal

aktiviti masing-masing sewaktu melayari laman web berkenaan.

Muka Surat 5

Page 6: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

Infrastruktur Fizikal Perpustakaan

Perubahan yang berlaku di tempat kerja serta perpustakaan pastinya akan

mempengaruhi kaedah pencarian maklumat. Perpustakaan yang biasa kita lihat

yang terdiri dari bangunan yang menempatkan rak bahan cetak, koleksi

multimedia serta perabot bagi kegunaan pengguna akan beransur-ansur berubah

menjadi perpustakaan siber, digital, elektronik, multimedia atau perpustakaan

tanpa dinding. Maklumat dan pelbagai bahan multimedia kini disimpan secara

digital atau elektronik di pangkalan data yang kedudukannya berasingan dan

boleh diakses oleh pengguna tanpa mengunjungi perpustakaan. Aplikasi Internet

di perpustakaan berupaya menangani masalah penyediaan ruang koleksi serta

pembinaan saiz koleksi.

Penulisan dan Penerbitan

Kemajuan ICT telah memungkinkan sesiapa saja menjadi penulis dan

Internet telah memudahkan mereka menerbitkan hasil karya dengan kos yang

amat minimum hingga menyebabkan berlakunya limpahan maklumat di seluruh

dunia. Ini telah menjadikan laman web peribadi, blog, chat, discussion board,

electronic bulletin, dsb. boleh diakses melalui Internet oleh sesiapa saja.

Keupayaan muat naik dan muat turun apa saja data atau maklumat melalui

Internet telah memudahkan aktiviti perkongsian maklumat antara sesiapa saja

sama ada individu, kumpulan, institusi atau sebagainya. Seterusnya Creative

Common License telah diperkenalkan bagi memberi kebebasan kepada sesiapa

saja menggunakan data dan maklumat yang di akses melalui Internet asalkan

mematuhi syarat pilihan yang telah ditetapkan(Creative Common Licenses 2009)

Kemahiran Maklumat

Limpahan maklumat di Internet ini telah mengakibatkan perlunya kepada

penguasaan kemahiran maklumat di kalangan pengguna kerana Internet tidak

berupaya mengawal, memproses, mengkategorikan, menapis atau mengasingkan

mana-mana data atau maklumat di Internet. Pada hari ini adalah mustahil bagi

seseorang itu menterjemahkan semua maklumat mengenai sesuatu menjadi ilmu

pengetahuan(Muller, 2003). Oleh itu penguasaan kemahiran maklumat yang

melibatkan aktiviti mencari, mengakses, memuat turun, menilai dan

Muka Surat 6

Page 7: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

mempersembahkan semula maklumat adalah penting. Ia sebenarnya bukanlah

suatu yang mudah dan boleh dipelajari dalam masa yang singkat dan

perpustakaan masa hadapan boleh memainkan peranan sebagai pengumpul

kepada maklumat yang relevan dengan keperluan penggunanya. Sehubungan

itu, perpustakaan boleh meningkatkan program pendidikan pengguna yang

menitikberatkan aspek ICT, Internet dan kemahiran maklumat.

Perkongsian Sumber

Internet yang tidak pernah mengenal sempadan telah memberi peluang

besar kepada perpustakaan dalam perkongsian sumber. Kemampuannya untuk

berkembang dengan pantas kepada khalayak yang berbeza dan kepelbagaian

kegunaannya mampu mengambil alih media dan peralatan yang diguna sejak

zaman berzaman dalam menjalankan aktiviti pendidikan, hiburan,komersial atau

perdagangan. Ini ditambah pula dengan ciri-ciri Internet yang laju, interaktif, serta

memberikan akses percuma kepada maklumat yang banyak dan pelbagai. Ia

amat dihargai oleh individu khususnya kepada golongan profesional dan mereka

yang terlibat dalam penyelidikan.

Latihan Kemahiran ICT dan Internet

Walau pelbagai usaha telah dibuat dan masyarakat telah semakin sedar

akan peri pentingnya Internet, namun masih ada individu yang tidak dapat

menikmati kemudahan berkenaan. Selain faktor usia, kos dan infrastruktur

mereka mungkin sudah selesa dengan cara lama dan memilih tidak mahu

menggunakan Internet. Justeru, perpustakaan berperanan dalam menyediakan

latihan kemahiran menggunakan Internet kepada penggunanya. Ia seolah-olah

mengajar seseorang bagaimana memancing ikan agar dia terus dapat

menggunakan kemahiran tersebut untuk mendapatkan ikan di masa hadapan dan

bukannya memberikannya ikan untuk dimakan. Secara psikologinya juga kita

akan mendapati bahawa apabila seorang itu mula mahir dalam sesuatu perkara,

maka ia akan dengan sendirinya teruja untuk meneroka dan mempelajari perkara

berkenaan dengan usaha sendiri tanpa bantuan atau bimbingan lagi. Ini berlaku

dalam hampir semua situasi kehidupan seperti memandu kereta, memasak,

bersukan dan tidak ketinggalan melayari Internet. Proses pembelajaran dan

Muka Surat 7

Page 8: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

penerokaan sendiri ini amat penting kerana teknologi, khususnya yang berkaitan

dengan Internet berubah dan bertambah pada kadar yang amat pantas.

Kemajuan Bidang ICT dan Internet

Kemajuan yang dicapai dalam teknologi paparan skrin komputer dan

peranti elektronik lain juga telah menjadikan ia lebih menarik dan mesra

pengguna. Ini telah meningkatkan jumlah pengguna yang semakin selesa

membaca dari skrin komputer lantas menyebabkan maklumat berbentuk digital

semakin menjadi pilihan ramai. Di samping itu, kemajuan yang dicapai dalam

pembangunan infrastruktur prasarana rangkaian jalur lebar telah menambahkan

lagi kepuasan pengguna Internet dari aspek kepantasan dan keupayaan

menyalurkan data dan maklumat dalam kuantiti yang banyak. Ini ditambah pula

dengan harga perkakasan dan perisian komputer yang semakin kompetitif dan

telah meningkatkan kadar pemilikan komputer di kalangan orang ramai.

CABARAN MASA DEPAN PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN

Perpustakaan telah wujud sejak sekian lamanya manakala Internet

khususnya World Wide Web(WWW) mula mendapat tempat pada awal tahun

1990an bilamana beribu-ribu syarikat-syarikat dan berjuta-juta individu mendapati

mereka kini mampu memiliki peralatan teknologi komunikasi dan graphical

browsers yang diperlukan untuk mengakses maklumat dan pertukaran mel atau

mesej.(Schuman, 2001). Perpustakaan telah memainkan peranannya dalam

pembentukan tamadun dan kemajuan kemanusiaan sejagat. Telah terbukti

bahawa kemajuan sesuatu bangsa dan negara banyak bergantung kepada

keupayaannya mengurus maklumat dan ilmu yang kebanyakan peranannya

dilaksanakan oleh perpustakaan. Berdasarkan kepada keupayaan yang

dibuktikan oleh Internet maka ramai berpendapat bahawa ia akan memainkan

peranan yang besar dalam menentukan maju mundurnya suatu bangsa dan

negara. Menyedari akan hakikat ini maka semua pihak, sama ada kerajaan atau

agensi swasta serta individu termasuk perpustakaan kini berlumba-lumba

melengkapkan diri masing-masing dengan kemudahan ICT agar akses kepada

Internet menjadi mudah, cepat dan tidak bermasalah. Senario masa depan

perkhidmatan perpustakaan dalam era Internet nampaknya amat mencabar dan

memerlukan anjakan paradigma yang besar dalam dunia perpustakaan itu

sendiri. Pelbagai peluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya di samping

Muka Surat 8

Page 9: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

mengambil kira pelbagai isu berkaitan infrastruktur, hak kebebasan maklumat,

undang-undang, keselamatan, faktor keberkesanan kos dan sebagainya.

Penjenamaan semula perkhidmatan perpustakaan mungkin perlu dilakukan agar

masyarakat, khususnya pengguna tidak lagi melihat perpustakaan melalui

perspektif tradisional.

Faktor keseimbangan antara keupayaan perpustakaan dan keperluan

pengguna hendaklah diambil kira dalam merancang strategi perkhidmatan

perpustakaan masa hadapan. Pertimbangkan aspek mana yang perlu

didahulukan dan mana yang boleh ditangguhkan.

Jurang Digital Masyarakat

Ketidakseimbangan dalam aspek kemudahan prasarana serta akses

kepada Internet merupakan antara isu yang harus ditangani segera oleh semua

pihak yang ingin melihat perkhidmatan perpustakaan khususnya di Malaysia

berada di tahap paling tinggi. Projek merapatkan jurang digital antara masyarakat

bandar dan luar bandar seperti Pemberian Perkhidmatan Sejagat atau Universal

Service Provision(USP) perlu diteruskan, diperkukuhkan dan diperkayakan.

Projek-projek lain seperti Kedai dot Com, Medan Info Desa, Pusat Perkhidmatan

Ilmu Komunniti, Gerak IT, Laman Web Komuniti dan lain-lain yang seumpama

dengannya juga hendaklah dinilai semula dan dibuat penambahbaikan. Kajian

impak Pemberian Perkhidmatan Sejagat atau Universal Service Provision(USP) di

kalangan masyarakat luar bandar yang dilaksanakan oleh Kementerian

Teknologi, Air dan Komunikasi suatu masa dahulu menunjukkan bahawa ia suatu

projek yang berdaya maju dan telah berjaya memberikan kesannya sebagaimana

yang diharapkan.

Kompetensi Kakitangan

Dunia perpustakaan masa kini perlu menghadapi cabaran pelbagai

perubahan persekitaran termasuk pembaharuan yang dibawa oleh ICT dan

Internet. Ini ditambah pula dengan peningkatan keperluan pengguna terhadap

maklumat dan keperluan kepada kemahiran menggunakan teknologi serta alat-

alat untuk memperoleh, mengelola dan menyediakan maklumat. Bagi

memastikan perpustakaan dapat memenuhi keperluan yang dinyatakan di atas

Muka Surat 9

Page 10: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

maka adalah penting bagi perpustakaan melengkapkan kakitangannya dengan

kemahiran yang bersesuaian bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan

adalah sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat global.

Kakitangan perpustakaan di semua peringkat perlu memperlengkapkan diri

mereka dengan kompetensi yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan

sikap yang diperlukan untuk menangani perubahan struktur, teknologi, keperluan

pengguna serta tugas masa kini dan akan datang. Pihak pengurusan hendaklah

merancang kaedah sistem latihan yang sesuai kepada semua kakitangan sama

ada yang telah lama berkhidmat atau yang baru memulakan kerjaya di

perpustakaan. Pengambilan kakitangan baru pula hendaklah mengambil kira

aspek kemahiran dalam menggunakan teknologi khususnya Internet.

Penyusunan Semula Struktur Organisasi Perpustakaan

Sejajar dengan perubahan kepada bentuk perkhidmatan masa depan yang

menggunakan teknologi dan Internet perpustakaan hendaklah mengambil

tindakan sewajarnya menyemak semula struktur organisasi dan fungsi institusi

masing-masing. Ini perlu dilaksanakan bagi memastikan agar perpustakaan akan

terus relevan dengan kehendak pengguna masa kini dan masa hadapan. Dalam

memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan baru berasaskan Internet bahagian

atau unit baru hendaklah diwujudkan bagi mengurus dan mengawasi semua

keperluan yang berkaitan dengannya. Ia bukan sahaja melibatkan aspek

perkhidmatan semata-mata, malah turut merangkumi aspek penyelenggaraan

dalam jangka masa pendek dan panjang. Perancangan strategik perpustakaan

hendaklah mengambil kira semua aspek ini dan mungkin menyebabkan visi, misi

dan objektif perpustakaan turut berubah.

Prasarana dan Infrastruktur

Perancangan prasarana perpustakaan juga perlu turut mengambil kira

faktor ICT dan Internet. Kini bangunan perpustakaan perlu dilengkapkan dengan

ruang bagi menempatkan server atau pangkalan data, OPAC dan sebagainya.

Sistem rangkaian setempat dan luar(local and wide area network), sistem

pengurusan perpustakaan bersepadu(integrated library management system),

perkakasan seperti server, komputer peribadi, OPAC, perisian dan sebagainya

Muka Surat 10

Page 11: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

perlu diambil kira sewaktu pembangunan perpustakaan dirancang. Keserasian

aplikasi sistem dengan ICT dan Internet akan dapat memastikan perpustakaan

dapat dirangkaikan dengan lain-lain perpustakaan atau pangkalan data dan

memungkinkan perkhidmatan dapat diakses oleh pengguna 24 jam sehari 7 hari

seminggu.

Faktor ruang juga memainkan peranan dalam pembangunan perpustakaan

masa hadapan. Kos infrastruktur fizikal penyimpanan buku dan bahan cetak di

perpustakaan semakin meningkat berbanding dengan kos penyimpanan cakera

padat dan penyimpanan dalam komputer. Ini menjadikan lebih banyak

perpustakaan kini menumpukan usaha ke arah penyimpanan bahan dalam

bentuk digital berbanding dahulu. Apabila dihubungkan dengan Internet maka

akan terdedahlah semua sumber maklumat yang terkandung dalam buku,

monograf, tesis, disertasi, bahan teks, audio, video, imej, multimedia malah artifak

kepada sesiapa saja yang memerlukannya.

Kos

Perpustakaan juga perlu merancang keperluan peruntukan baru yang

melibatkan ICT dan Internet. Isu-isu seperti perolehan, penyelenggaraan dan

lesen perisian atau sistem memerlukan peruntukan kos yang tinggi dan justifikasi

yang kukuh akan berupaya meyakinkan pihak atasan bahawa ia satu pelaburan

yang berbaloi. Seiring dengan kos penerbitan, pemasaran dan promosi yang

semakin meningkat, maka Internet dilihat sebagai alternatif paling sesuai memikul

tanggungjawab berkenaan.

Pengurusan dan Pembangunan Koleksi

Internet akan turut mempengaruhi pengurusan dan pembangunan koleksi

perpustakaan masa hadapan. Ini kerana pertimbangan sewajarnya perlu dibuat

oleh perpustakaan sama ada mahu membeli bahan berkenaan atau cukup

dengan menyediakan akses kepada bahan berkenaan melalui Internet.

Keputusan yang dibuat akan memberikan kesan yang besar kepada

perpustakaan kerana kedua-dua aspek mempunyai kelebihan dan kekurangan

masing-masing. Namun begitu penekanan hendaklah diberikan kepada akses

Muka Surat 11

Page 12: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

melalui Internet kerana jumlah bahan yang diterbitkan secara hardcopy semakin

berkurangan.

Kemahiran Maklumat

Penguasaan kemahiran maklumat adalah penting bagi memastikan

seseorang mendapat sepenuhnya faedah dari Internet. Oleh itu, perpustakaan

perlu memainkan peranannya dalam melatih pengguna agar mereka tidak

membuang masa melayari Internet yang boleh mengakibatkan mereka sesat

dalam timbunan maklumat yang tidak terhitung banyaknya. Selain itu.

Masyarakat juga perlu berubah sikap dan kemahiran di kalangan pengguna yang

biasa dengan perkhidmatan perpustakaan tradisional tanpa Internet. Dari itu

akses kepada ICT dan Internet perlu disemai di peringkat awal. Walau

bagaimanapun perpustakaan terpaksa menghadapi cabaran dunia Internet

dengan keupayaan dan strategi masing-masing kerana bukan semua pihak

berkepentingan mampu memberikan perkhidmatan berasaskan ICT dan Internet

KESIMPULAN

Perkhidmatan perpustakaan masa hadapan hendaklah dihubungkan

dengan Internet dan WWW bagi membolehkan koleksi atau sumber maklumatnya

dilihat, dibaca, dihayati dan dikaji di hadapan skrin komputer di mana saja baik di

rumah, pejabat mahupun di kedai kopi mamak, kopitiam, Pizza Hut atau Starbuck

Cafe. Perubahan ke arah ini telah menjadi kenyataan di beberapa negara maju

seperti di Amerika, benua Eropah, Jepun dan Australia. Kini, jutaan naskhah

buku, monograf, tesis, disertasi, bahan teks, audio, video, imej, multimedia malah

artifak, dapat diakses dan digunakan oleh seseorang tanpa perlu hadir ke

perpustakaan. Penurunan kos penyimpanan dalam bentuk digital sebanyak kira-

kira 30 % setahun banyak membantu pembinaan koleksi yang dapat dimuat naik

ke dalam komputer dan diterbitkan semula seperti CD-ROM, VCD dan DVD.

PENUTUP

Ramai kini beranggapan fungsi perpustakaan dalam kehidupan manusia

semakin berkurangan lantaran kerancakan penyebaran maklumat dan ilmu

pengetahuan di Internet. Persoalan seperti mengapa perlu bersusah payah ke

perpustakaan, jika maklumat dapat diperoleh melalui Internet sering kedengaran.

Justeru, perpustakaan mesti berubah dengan mengambil kesempatan yang ada

Muka Surat 12

Page 13: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

pada ICT dan Internet agar perkhidmatan yang selama ini ditawarkan secara

tradisional dapat dinaik taraf agar terus relevan di masa hadapan. Peranan

sebagai pengumpul dan penyebar maklumat kini berubah kepada pemudah cara

bagi aktiviti pencarian dan dapatan semula maklumat dari pelbagai sumber dari

seluruh dunia. Reengineering, reinventing dan penjenamaan semula(rebranding)

perlu dilaksanakan dengan teliti agar segala tindakan dapat dikawal bagi

memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat. Internet dapat

digunakan bagi merapatkan hubungan antara perpustakaan dengan pengguna

dan meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan(service delivery). Di

samping itu, perkhidmatan perpustakaan sedia ada juga memerlukan nilai tambah

agar ia tidak terus dipinggirkan ataupun disamakan dengan perkhidmatan Internet

yang disediakan di Kafe Siber dan pusat-pusat Internet yang lain.

Dalam kehidupan masa kini dan akan datang manusia perlu berupaya

untuk learn, unlearn dan relearn. Ini bermakna di samping mempelajari sesuatu,

ada juga perkara yang kita tidak perlukan lagi dan ada juga yang perlu dipelajari

semula.

Pendekatan kepada perkhidmatan berasaskan Internet ini bukanlah suatu

pilihan yang perlu dipertimbangkan oleh perpustakaan, malah ia adalah seperti

isu hidup atau mati iaitu sama ada untuk terus kekal relevan dalam masyarakat

masa kini dan masa depan atau tidak. Mana-mana perpustakaan yang tidak

berpindah kepada aplikasi berasaskan ICT dan Internet akan ketinggalan dan

pastinya akan berkubur begitu saja.

RUJUKAN

1. Abdullah Kadir Bacha. (1996). INTERNET: Exploiting Worldwide Information

Resources. Tinta , 24-31.

2. Abdullah Yaacob, Raja, Prof. Dr., Dato' (1996). Enjoying the Benefits of

INTERNET: New Challenges. Tinta , 8-16.

3. Anderson, C., & Sprenkle, P. (2006). Reference Librarianship. Notes From the

Trenches. New York: Haworth Press.

Muka Surat 13

Page 14: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

4. Breeding, M. (2009, April). Maximizing the Impact of Digital Collections.

Computer in Libraries. The Systems Librarian , 32-34.

5. Chanson, H. (2007). Research Quality, Publications, and Impact in Civil

Engineering into the 21st. Century. Publish or Perish, Commercial Versus Open

Access, Internet Versus Libraries? Canadian Journal of Civil Engineering, 34,

946-951.

6. Cloonan, M. (2005). Ranganathan. Do Digital Libraries Violate the Third Law?

Library Journal , 58-60.

7. Creative Common Licenses. (2009, November 30). Retrieved December 1,

2009, from Wikipedia. The Free Encyclopedia: http://en.wikipedia.org/wiki/

Creative Commons Licenses.

8. Evans, G., Amodeo, A., & Carter, T. (1999). Introduction to Public Library

Services. Colorado: Libraries Unlimited.

9. Herring, M. Y. (2001). 10 Reasons Why the Internet is no Substitute for a

Library. American Libraries, 32(4) April: 76-78.

10. Internet World statistics. Asia. Usage and Population Statistics. (2009).

(Miniwatts Marketing Group) Retrieved November 25, 2009, from The Internet

Coaching Library: http://www.internetworldstats.com/asia.htm#my

11. Janes, J. (2004, December). Internet Librarian. What's Next? Search Me.

American Libraries , 62.

12. Janes, J. (2004, June/July). Internet Librarian. Privacy Ain't What It Used to Be.

American Libraries , 90.

13. Joint Information Systems Committee. (2009). From eLib to Libraries of the

Future. JISC. UK: Joint Information Systems Committee.

14. Kamus Dewan (4th ed.). (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

15. Kamus Inggeris-Melayu Dewan: An English Malay Dictionary. (2002). Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

16. Liu, L. (Ed.). (2001). The Role and Impact of the Internet on Library and

Information Services. Westport: Greenword Press.

17. Muller, J. (2003). A libarrian's Guide to the Internet. Oxford: Chandos

Publishing.

18. Owyang, J. (2009, March). Global Faces and Networked places. A Nielson

report on Social Networkings New Global Footprint 2009. (The Nielsen

Muka Surat 14

Page 15: Internet Dan Cabaran Kepada Perkhidmatan Perpustakaan

Company) Retrieved November 29, 2009, from Web Strategy: http://www.web-

strategist.com/blog/2009/01/11/a-collection-of-soical-network-stats-for-2009/

19. Poulter, A., Tseng, G., & Sargent, G. (1999). The Library and Information

Professional's Guide to the World Wide Web. London: Library Association

Publishing.

20. Russel, S., & Huang, J. (2009). Libraries' Role in Equalizing Access to

Information. Library Management , 30 (1/2), 69-76.

21. School Library 2.0. (2006, May). School Library Journal , 50-53.

22. Schuman, B. A. (2001). Issues for Libraries and Information Science in the

Internet Age. Englewood, Colorado: Libraries Unlimited.

23. Shahar Banun. (1996, Mei). Internet: Cabaran Kepada Pustakawan. (Kamal

Sujak, Interviewer) Tinta.

24. Wells, G. A. (2003, January). Libraries and the 21st. Century: What Forms of

Information Distibution Will Survive? Journal of Internet Law , 12-17.

25. Zukerberg, M. (2009, December 1). The Facebook Blog. Retrieved December

2, 2009, from An Open Letter from Facebook Founder Mark Zuckerberg:

http://blog.facebook.com/blog.php? post=190423927130

Muka Surat 15