guru inovasi

18
ISU 3 : GURU INOVATIF MELONJAKKAN PRESTASI NEGARA oleh SHAHIRA BT RAMLI 1. 1.1 PENGENALAN Setiap tahun, sambutan hari guru disambut dengan tema tertentu yang mengandungi makna tersendiri. “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai tema Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 bagi tahun 2012. Pemilihan tema ini bersesuaian dengan era kini yang bukan sahaja memerlukan guru berpengetahuan bahkan juga memiliki ciri kreatif dan inovatif untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk yang berkualiti. Transformasi Pendidikan Negara yang berlaku memerlukan perubahan dari aspek peningkatan profesionalisme guru. Bidang pendidikan mesti melalui pembaharuan agar bidang ini tidak ketinggalan jauh oleh bidang-bidang lain seperti bidang ekonomi, reka bentuk, teknologi, kejuruteraan dan lain-lain. Tambahan pula bidang ini merupakan satu sistem dinamik yang memerlukan perubahan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan aspirasi sesebuah negara. Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan “inovasi” sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Inovasi juga merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan dan sebagainya sesuatu yang baru. Istilah yang berkait rapat dengan “inovasi” ialah “inovatif” yang bererti bersifat inovasi. Inovatif bermaksud suatu tindakan bagi mengada atau memulakan sesuatu yang baru. (Zainal bin Haji Bujang, 2008) Perkataan “kualiti” pula ditakrifkan sebagai darjah kecemerlangan biasanya yang tinggi dan mutu manakala berkualiti adalah

Upload: roszita-tamyiz

Post on 17-Jan-2016

29 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

pra

TRANSCRIPT

Page 1: Guru Inovasi

ISU 3 : GURU INOVATIF MELONJAKKAN PRESTASI NEGARA

oleh SHAHIRA BT RAMLI

1.       1.1       PENGENALAN

Setiap tahun, sambutan hari guru disambut dengan tema tertentu yang mengandungi

makna tersendiri.  “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah

dipilih sebagai tema Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 bagi tahun

2012.  Pemilihan tema ini bersesuaian dengan era kini yang bukan sahaja memerlukan

guru berpengetahuan bahkan juga memiliki ciri kreatif dan inovatif untuk menghasilkan 

proses pengajaran dan pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk yang

berkualiti.

Transformasi Pendidikan Negara yang berlaku memerlukan perubahan dari aspek

peningkatan profesionalisme guru.  Bidang pendidikan mesti melalui pembaharuan agar

bidang ini tidak ketinggalan jauh oleh bidang-bidang lain seperti bidang ekonomi, reka

bentuk, teknologi, kejuruteraan dan lain-lain.  Tambahan pula bidang ini merupakan

satu sistem dinamik yang memerlukan perubahan dari semasa ke semasa bagi

memenuhi keperluan dan aspirasi sesebuah negara.

Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan “inovasi” sebagai sesuatu yang

baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru. Inovasi juga

merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan, memulakan dan

sebagainya sesuatu yang baru.    Istilah yang berkait rapat dengan “inovasi” ialah

“inovatif” yang bererti bersifat inovasi.  Inovatif bermaksud suatu tindakan bagi

mengada atau memulakan sesuatu yang baru.  (Zainal bin Haji Bujang, 2008)

Perkataan “kualiti” pula ditakrifkan sebagai darjah kecemerlangan biasanya yang tinggi

dan mutu manakala berkualiti adalah mempunyai kualiti atau bermutu.  Toh, 2005

(dalam Noraini Idris, Shuki Osman, 2009), menyatakan bahawa kualiti guru merujuk

kepada pengethaun, kemahiran dan sikap.

1.2 PERKEMBANGAN HUJAH

Page 2: Guru Inovasi

Dalam teks ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri

Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan

Inovasi Zon Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan, dinyatakan :

“Daya kreativiti dan inovasi terletak kepada faktor sumber manusia negara iaitu rakyat

Malaysia.  Setiap rakyat Malaysia seharusnya menerima inovasi sebagai sebahagian

daripada cara hidup.  Inovasi bukan hak milik para saintis, penyelidik, teknologis dan

akademia semata-mata.  Sebaliknya, melibatkan kelompok masyarakat Malaysia.” 

Dalam ucapan perasmian tersebut turut dinyatakan bahawa inovasi telah dijadikan

sebagai mauduk utama dalam usaha kerajaan mentransformasikan negara dari tahap

ekonomi sederhana kepada yang berpendapatan tinggi.  Yang Amat Berhormat

Perdana Menteri pernah berkata : “Menjadikan inovasi supaya diterima oleh

masyarakat dahulu adalah penting sebelum setiap ahli masyarakat menerimanya

sebagai sebahagian daripada kehidupan sehariannya.  Menjadikan inovasi sebagai

budaya kita akan membolehkan Malaysia mencapai tahap transformasi serta

pembangunan yang lebih tinggi dan maju di masa hadapan.”

           

Yusniza Mohd Yusof, dalam artikel “Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir”

memberi definisi inovasi sebagai perubahan cara berfikir bagi mendapatkan hasil atau

produktiviti lebih baik dari semasa ke semasa. Ia bukan hanya berkaitan sains dan

teknologi semata-mata.   Menurut beliau, inovasi juga bukan hanya untuk golongan

profesional tetapi termasuk masyarakat pelbagai taraf sosial tidak kira di bandar atau

pedalaman. Kesedaran mengenai kepentingan inovasi perlu ditingkatkan dalam

kalangan masyarakat, seiring kemajuan negara dan perubahan global. 

Berdasarkan artikel ini terdapat beberapa ciri guru berinovasi yang dinyatakan oleh Tan

Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.  Antara ciri guru berinovasi

adalah mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru

seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti

yang tinggi.  Hal ini sejajar dengan pandangan Noriati A. Rashid dalam Guru dan

Cabaran Semasa iaitu guru-guru perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan

pengajaran dan pembelajaran yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan

inovatif.

Page 3: Guru Inovasi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam teks khutbah jumaat 11 Mei 2012,

menyatakan bahawa guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi

atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang

sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda

yang lebih dinamik.

Di samping itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam

melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa

berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang

lebih berkesan.  Menurut Esah Sulaiman, 2003, guru perlu cekap mengubahsuai

pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan jangan terlalu terikat dengan

sesuatu keadaan atau bahan tertentu.

Noriati A. Rashid, 2009 menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya meneruskan

pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang didapati sudah hilang

tumpuan.  Halizah Hamzah, 2009, pula berpadangan bahawa guru seharusnya

melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif dan yang dapat merangsang

minat murid.  Kepelbagaian aktivti bukan sekadar berupaya menarik minat murid

bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di mana murid tertunggu-tunggu untuk

melihat aktiviti berikutnya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan oleh guru bagi

meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran Antara

kepelbagaian aktiviti yang dicadangkan oleh Noriati A. Rashid dalam Murid dan Alam

Belajar adalah melalui pelbagai bermain sebagai usaha menarik minat murid

menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid bahawa mereka sedang

belajar.  Bagi murid-murid yang mempunyai gaya berfikir yang tinggi, guru boleh

menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah dengan menggunakan borang

grafik manakala bagi murid yang kurang berminat untuk belajar.  Guru turut boleh

mendorong pembelajaran pembelajaran aktif dengan menggunakan audio visual yang

menarik selain daripada menggunakan banyak peralatan Teknologi Maklumat dan

Komunikasi (TMK) atau menggalakkan murid menghasilkan sendiri bahan

pembelajaran mereka.

Page 4: Guru Inovasi

Satu daripada tanggungjawab guru kepada murid adalah menjadi kreatif dan inovatif.

Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2010, mengemukakan

bahawa :

“Guru yang kreatif dan inovatif dapat mencetuskan idea baharu dan dapat menterjemahkan kehendak dan matlamat kurikulum dengan menggunakan kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran serta pembelajaran yang kreatif dan inovatif.”

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia, 1994, memberi takrifan bahawa

inovasi merupakan sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimaklumkan (seperti

kaedah, sistem, adat dan lain-lain).  Inovasi atau pengenalam idea-idea baru dalam

pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru, perubahan-perubahan  prosedur

yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, dan perubahan ini meningkatkan

penghasilan kerja.

Menurut INTAN, antara ciri-ciri orang yang mempunyai sifat kreativiti dan inovasi adalah

sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.  Orang yang

kreatif dan inovatif juga berani untuk untuk mencuba teknik dan kaedah baru bertujuan

memudahkan sesuatu kerja selain suka bermain dengan idea dan berani mencuba. 

Sebaliknya, sifat orang yang tidak mempunyai kreativiti dan inovasi antaranya adalah

tidak gemar kepada perubahan dan pembaharuan.  Golongan ini juga tidak berminat

untuk mencuba dan takut kepada kegagalan di samping bersikap mudah putus asa. 

Ciri negatif lain yang dimiliki oleh mereka adalah memandang remeh usaha-usaha

pembaharuan orang lain serta berperasaan hasad dan dengki.

Tan Sri Muhyiddin juga menyebutkan bahawa, "Keutamaan guru berinovasi adalah

memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah

bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka

menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.”  Guru berinovasi mementingkan

aplikasi ilmu oleh para murid sebagaimana yang dikemukakan oleh Haliya Hamzah dan

Joy Nesamalar Samuel dalam Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku bahawa mutu

pendidikan dapat dibuktikan melalui kefahaman murid yang mendalam terhadap topik

yang dikaji serta dapat menggunakan pilihan tersebut dalam situasi-situasi yang

memerlukan.

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengutarakan bahawa guru berinovasi antara

Page 5: Guru Inovasi

lainnya mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi

ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. 

Penyediaan persekitaran pembelajaran yang positif sememangnya merupakan suatu

aspek yang amat penting.  Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009, menyatakan bahawa

guru perlu menyediakan suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap

pembelajaran semasa mengajar.  Persekitaran pembelajaran dalam konteks pendidikan

merujuk kepada iklim dan budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi

beberapa aspek tertentu iaitu pola komunikasi, reka bentuk, pelan lantai dan susun atur

ruang fizikal, dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah.  (Choong

Lean Keow, 2009). 

Mook Soon Sang, 2011, pula mengemukakan ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif

yang merangkumi hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan

pelajar-pelajarnya serta kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan

bilik darjah yang diaturkan.  Menurut beliau perasaan kekitaan antara pelajar-pelajar

dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan kewujudan satu keadaan

yang setiap murid melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan

juga antara ciri bilik darjah yang baik.

Dari aspek iklim persekolahan yang kondusif, Mook Soon Sang, 2009 menyebutkan

iklim persekolahan yang kondusif adalah iklim persekolahan yang terbuka dan

menggalakkan murid bebas berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan

guru, serta bebas melibatkan diri dalam aktiviti sekolah.  Seorang guru yang baik

berupaya untuk mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar proses

pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar.

Dalam artikel berkenaan, Timabalan Perdana Menteri  juga berpandangan bahawa guru

berinovasi juga termasuklah guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid

secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan

kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin

mencabar.  Mahmud Khalifah dan Usamah Khutub mentafsirkan penilaian sebagai

proses metodologi yang tersusun rapi untuk mengumpulkan beberapa keterangan dan

mentafsirkan bukti-bukti guna melahirkan keputusan yang berhubungan dengan para

murid atau program pendidikan.  Proses ini juga adalah sandaran informasi yang

digunakan pakai bagi tujuan mengetahui keberhasilan dan kekurangan dalam meraih

tujuan-tujuan umum yang terkandung oleh sistem pendidikan.

Page 6: Guru Inovasi

Menurut kamus dewan edisi keempat holistik membawa makna bersifat saling berkait

antara satu sama lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar

menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja.  Berikutan pembaharuan dari segi pentaksiran

Azmi Mohamed, berpandangan pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)

yang bermula bagi murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang

holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang

diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru berinovasi ialah guru yang sentiasa

memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah

keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu

memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata, selari dengan tujuan

pendidikan seperti yang terdapat dalam Undang-Undang Malaysia iaitu Pendidikan

1995 iaitu untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran, dan

nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saning tinggi serta bersifat

global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.

Satu alternatif telah dijalankan menerusi kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan

Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovatif di

peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu program i-Think.  Ia juga untuk

mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke

arah menghasilkan murid yang berinovatif.  i-Think adalah pendekatan yang realistik

dan praktikal untuk memupuk proses pemikiran dalam kaedah pengajaran dan

pembelajaran di sekolah di kalangan guru dan pelajar sama-sama melalui penggunaan

peta pemikiran yang dibangunkan oleh Dr David Hyerle.

1.3 IMPLIKASI HUJAH

Hujah-hujah yang diutarakan menunjukkan guru berinovasi sangat diperlukan selari

dengan kemajuan dan perkembangan semasa.  Kriteria guru berinovasi sebagai satu

daripada ciri guru berkualiti berupaya meningkatkan kemahiran seseorang guru.  Hal ini

selari dengan pandangan Mok Soon Sang, 2011, yang menyebut tentang satu daripada

peranan guru iaitu sebagai inovator.  Menurut beliau, sebagai inovator guru seharusnya

Page 7: Guru Inovasi

memperkenalkan idea, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar yang baru

daam bilik darjah.  Peranan ini penting bagi guru untuk meningkatkan keberkesanan

proses pengajaran dan pembelajaran.

Inovasi dari aspek pengurusan bilik darjah yang kondusif menurut Noriati A. Rashid,

2010, membawa kepada perubahan dari aspek pendekatan berpusatkan murid,

kemudahan pengajaran dan pembelajaran dan landskap maklumat.  Perubahan

daripada pengajaran tradisional yang lebih berpusatkan guru perlu diubah agar

bersesuaian dengan kehendak semasa.  Pengajaran yang berpusatkan murid

merupakan suatu pendekatan terkini yang dapat menggalakkan murid untuk berfikir

pada aras tinggi.  Antara kaedah pembelajaran yang boleh digunakan ialah inkuiri

penemuan, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan

pembelajaran berasaskan main.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, kemudahan harus dipelbagaikan dan

ditambah  bagi memenuhi kepelbagaian bakat dan kecerdasan murid di samping

meningkatkan kebolehan murid untuk merancang, mengenal pasti kekuatan dan

kelemahan diri, mencipta dan berkarya.  Kemudahan pengajaran dan pembelajaran

yang menitikberatkan kepelbagaian latar belakang dan sosiobudaya murid

membolehkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid dikaitkan dengan

pengalaman baharu yang hendak dibina.

Perubahan landskap maklumat sudah tentu mengalami perubahan dengan

perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).  Hal ini

meliputi kualiti pusat sumber yang menjadi pusat Literasi Maklumat di sekolah.  Guru

perlu bertindak untuk memainkan peranan dalam mengurus pusat sumber dengan

sehabis baik bagi membolehkan murid belajar untuk memperoleh kemahiran

mengakses maklumat, membuat penelitian bahan, memahami bahan serta proses

pemilihan dan memproses bahan.

Inovasi guru seterusnya membolehkan penilaian secara holistik dan menyeluruh ke

atas murid.  Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu

mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam

kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.

(Azmi Mohamed, Utusan Malaysia – 5/11/2012).  Hal ini seterusnya mendorong kepada

Page 8: Guru Inovasi

pembinaan modal insan yang bukan hanya mementing aspek intelek atau akademik

semata-mata tetapi menyeluruh dalam segenap aspek.

Glenn (2001) menyatakan bahawa kualiti guru merupakan faktor penting dalam

menentukan kualiti sekolah.  Guru yang bersifat inovatif sekali gus dapat membawa

peningkatan kepada kualiti sesebuah sekolah.  Dr. Baharom Mohamad dalam

Prosiding “Seminar Pembangunan Modal Insan 2009” menyatakan bahawa sistem

persekolahan yang sentiasa menghadapi pelbagai perubahan dan

pembaharuan,memerlukan peningkatan inovasi dan kreativiti dalam sistem

persekolahan. Ini kerana ia merupakan institusi yang berkesan bagi merangsang dan

mengembangkan potensi pelajar.  Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa guru

berinovasi mampu meningkatkan sistem persekolahan dan kualiti sesebuah sekolah.

Suatu yang tidak dapat dinafikan bahawa kesediaan para guru meningkatkan sifat

inovatif dalam diri berupaya membantu sistem pendidikan negara mencapai tahap

sistem pendidikan bertaraf dunia.  Walau bagaimanapun, pelaksanaan proses integrasi

teknologi dan pendidikan dalam kalangan guru bukanlah suatu  perkara yang mudah. 

Perubahan dalam aplikasi TMK yang meluas untuk meningkatkan tahap pembelajaran

murid merupakan cabaran buat guru kerana fungsi teknologi hanyalah sebagai alat. 

(Noraini Idris, 2009). Wujudnya faktor-faktor tertentu  yang menjadi halangan kepada

pengintegrasian teknologi di sekolah seperti para guru yang menolak perubahan,

masalah kewangan, masa yang terhad, kekurangan kemahiran serta kekurangan

pekakasan dan perisian. 

Pembaharuan yang berlaku juga menjadikan peranan guru semakin mencabar.  Guru

mesti mempunyai kesedaran tentang keperluan untuk berinteraksi dengan teknologi

terkini supaya dapat membiasakan generasi kini dengan cara hidup canggih pada abad

ke-21.  Antara kemahiran yang harus dimiliki oleh guru adalah dari segi penggunaan

multimedia dalam pendidikan dan pemilihan maklumat mengikut kesesuaian tujuan

pengajaran dan pembelajaran.  Penguasaan kemahiran selari dengan perkembangan

semasa adalah sesuatu yang amat penting bagi peningkatan profesionalisme keguruan

dan kualiti keguruan seseorang guru.

Mahmud Khalifah dan Usamah Qhutub dalam “Menjadi Guru Yang Dirindu”, satu

daripada sebab tekanan jiwa yang berhubungan dengan peribadi guru adalah hanya

menggunakan satu kaedah dalam pengajaran; tidak adanya pembaharuan mahupun

Page 9: Guru Inovasi

inovasi sehingga menjadikan proses belajar dan mengajar hanya rutin harian belaka. 

Hal ini boleh menyebabkan guru berpandangan bahawa proses pendidikan merupakan

sesuatu yang tidak berkembang, bahkan mati.  Pandangan sebegini menjadikan guru

gagal dalam meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru.  Tekanan yang dihadapi

secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap kepada murid, sekolah

dan masa depan pendidikan.

1.4 CADANGAN DAN RUMUSAN

Berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh, saya berpandangan bahawa seseorang

guru berkualiti masa kini mesti mengikuti perubahan yang berlaku dalam masyarakat

dan perkembangan antarabangsa.  Maka, guru inovasi masa kini perlu berkemahiran

tinggi dari aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) memandangkan pada

abad ini, negara berdepan dengan cabaran globalisasi, liberalisasi,

pengantarabangsaan dan pengembangan TMK. 

Bagi melahirkan guru yang berinovasi, perkara paling utama yang mesti diutamakan

adalah latihan kemahiran kepada bakal guru dan para guru dalam perkhidmatan. 

Latihan kepada para guru praperkhidmatan bermula daripada latihan guru sama ada di

Institut Pengajian Tinggi (IPTA) atau Institut Pendidikan Guru (IPG).  Pembentukan

modal insan guru harus diberi keutamaan bagi untuk membolehkan pembentukan

modal insan yang cemerlang.  Bertitik tolak daripada ini, maka perubahan dalam latihan

perguruan yang selari dengan tuntutan perkembangan semasa merupakan suatu

keperluan.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan pendidikan, Mok Soon Sang, 2011,

mencadangkan agar guru harus sentiasa membaca buku ilmu pendidikan, mengikuti

kursus peningkatan ilmu profesionalisme keguruan serta menghadiri seminar atau

konvensyen pendidikan di dalam atau luar negeri.  Guru akan keluar daripada amalan

pengajaran dan pembelajaran yang lapuk hanya apabila mereka didedahkan dengan

pengetahuan dan kemahiran pedagogi terkini.  (Syed Ismail bin Syed Mustapa dan

Ahmad Subki bin Miskon, 2012).  Maka dalam hal ini, pelaksanaan program Latihan

dalam Perkhidmatan (LDP) yang dijalankan secara berkesan akan menyumbang ke

Page 10: Guru Inovasi

arah pembentukan guru yang inovatif seperti yang diharapkan oleh sistem pendidikan

kini.

Selaras dengan transformasi pendidikan yang mementingkan TMK, menurut Zahri

Ramlan dalam Pendidik bil. 58, Mac 2009, para guru di Malaysia diberi pendedahan

dengan kepelbagaian kursus pengkayaan dalam kemahiran dan kompentensi

menggunakan peralatan TMK seperti kemahiran perkakasan dan perisian aplikasi. 

Kursus-kursus kemahiran TMK yang dilaksanakan dapat meningkatkan keberkesanan

pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah sekiranya guru yang menerima kursus

ini berjaya mengintegrasikan kursus yang diterima.

Di samping itu, amalan reflektif dan penyelidikan tindakan wajar menjadi amalan para

guru dalam menyuburkan nilai-nilai inovasi dalam profesionalisme

keguruan. Pendekatan guru sebagai penyelidik akan memberi ruang kepada guru untuk

merancang sendiri inovasi seterusnya memerhati dan menilai sendiri tindakan yang

dilaksanakan. (Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009).  Hal ini akan lebih mendatangkan

keberhasilan terhadap perubahan sebarang bentuk amalan dalam bilik darjah kerana

individu guru sendiri melalui pengalaman dalam melaksanakan perubahan tertentu.

Galakan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada para guru

untuk melaksanakan inovasi merupakan sesuatu usaha dan sangat baik dan wajar

diteruskan.  KPM telah memperkenalkan Pertandingan Inovasi pada peringkat

bahagian dan institusi bertujuan memupuk dan mencungkil kehebatan inovasi dalam

kalangan warga kementerian.  Selain itu, KPM telah menjadikan elemen kreativiti dan

inovasi sebagai satu daripada elemen yang terdapat dalam Pelan Strategik Interim

Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2020.

Perkongsian pintar antara pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pihak swasta

yang bermula apabila sistem pendidikan negara terlibat secara langsung dalam usaha

melahirkan dan membekal tenaga manusia yang mempunyai kemahiran dalam bidang

TMK merupakan sesuatu yang sangat bermanfaat kepada bidang pendidikan.  Antara

projek perkongsian pintar termasuklah program i-Think seperti yang telah dinyatakan

sebelum ini, Schoolnet , GSB Technology Learning in School, Program Sekolah Angkat

bersama Samsung Digital Classroom, K-Perak E-Learning Cluster No.1

(KPEC) dan Cyberkids Camp.

Page 11: Guru Inovasi

Selain itu, budaya kolaborasi dalam pendidikan juga adalah suatu usaha yang baik

dalam mempertingkatkan amalan inovasi dalam kalangan guru.  Budaya ini boleh

dijadikan amalan sama ada sesama guru dalam sekolah yang sama atau dalam

program-program tertentu merangkumi peringkat daerah, kebangsaan bahkan

antarabangsa.  Penyelidkan tindakan juga boleh dijalankan secara kolaborasi.  Pada

era ini, terdapat juga kolaborasi guru dalam bentuk atas talian melalui pembinaan

laman web tertentu seperti laman portal cikguNet dan portal pendidikan utusan.  Hal ini

membolehkan para guru dan pelajar berbincang serta berkongsi ilmu dan kemahiran

tanpa sempadan. 

Secara keseluruhannya, era globalisasi dunia dan transformasi pendidikan dalam

negara memerlukan para guru sebagai agen penggerak untuk melaksanakan

perubahan dalam kepelbagaian aspek pendidikan.  Peranan guru sebagai inovator

penting dalam usaha melahirkan generasi memenuhi ciri-ciri modal insan holistik iaitu

modal insan yang sejajar dengan perkembangan peringkat global dan memiliki peribadi

unggul, menjunjung budaya bangsa dan negara.  Guru perlu sedar bahawa bidang

pendidikan akan ketinggalan sekiranya tidak mengikut perkembangan arus perdana.

REFLEKSI

Sepanjang melalui proses menyelesaikan tugasan EDU 3108, saya telah memperoleh

banyak pengalaman dan mendapat input-input baru berkaitan pendidikan serta isu

keguruan.  Tugasan bagi subjek ini bukanlah sesuatu yang mudah dan agak mencabar

buat saya.  Tambahan pula ini merupakan pengalaman pertama saya dalam mengulas

artikel dan membina blog berunsurkan pendidikan secara kolaboratif bersama rakan-

rakan lain.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang usaha saya menyelesaikan kerja

kursus ini, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan kerja kursus ini dalam tempoh

yang ditetapkan.  Langkah pertama bagi pelaksanaan tugasan ini adalah pencarían isu

yang bertepatan dengan guru dan keguruan.  Saya telah melayari laman-laman web

tertentu, mencari, memahami dan memilih isu yang  tertentu.  Seterusnya saya telah

berbincang dengan rakan-rakan dan merujuk kepada Puan Salina binti Mokhtar,

Page 12: Guru Inovasi

pensyarah subjek ini bagi membincangkan kesesuaian isu yang dipilih dengan

kehendak tugasan subjek.

Dari aspek pemerolehan maklumat, saya telah membuat rujukan bahan-bahan ilmiah

seperti buku-buku yang berkaitan dan artikel daripada majalah serta akhbar atas talian. 

Di samping itu saya melayari laman-laman web tertentu berkaitan pendidikan bagi

meningkatkan pemahaman saya berkaitan guru berinovasi dan inovasi pendidikan yang

berlaku pada hari ini. Saya turut membuat pembacaan berkaitan program-program dan

pelan-pelan yang direncanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Melalui kerja kursus ini, saya dapat memperoleh pengalaman dan kemahiran untuk

membaca secara dan berfikir secara kritikal.  Aspek ini saya peroleh melalui proses

menganalisis bahan bacaan yakni artikel yang telah saya pilih dan kemudiaannya

mencari bahan rujukan bagi proses mengulas perkara-perkara tertentu yang terdapat

dalam artikel berkenaan.  Pembacaan secara kritikal memerlukan saya memahami

konsep, istilah, logik dan sebagainya.  Manakala pemikiran kritis menuntut saya

membuat banyak rujukan untuk penjanaan idea.

Bagi pembinaan blog laman ilmu, kerjasama sesama ahli kumpulan merupakan sesuatu

yang sangat penting.  Pembinaan blog membolehkan saya da rakan-rakan

mengaplikasikan kemahiran dari aspek TMK.  Selain itu, ianya secara tidak langsung

dapat meningkatkan amalan kolaboratif sesama kami dalam membangunkan blog

laman ilmu bagi memenuhi tugasan bagi subjek ini.  Hal ini menyedarkan saya bahawa

perkongsian kemahiran melalui amalan kolaboratif sememangnya memberi manfaat

dan meningkatkan kemahiran guru sekali gus memberi impak positif kepada

profesionalisme keguruan.

Tugasan bagi subjek ini telah membuka hati saya untuk menjadi seorang yang lebih

sensitif tentang profesión yang telah saya pilih iaitu profesión keguruan.  Isu-isu

berkaitan pendidikan dan keguruan merupakan antara isu yang kerap diperkatakan. 

Dalam hal ini, sebagai seorang bakal guru, saya tidak sepatutnya mengambil remeh

tentang isu-isu ini memandangkan saya sendiri berada dalam bidang ini.

Pembinaan blog laman ilmu sewajarnya saya teruskan dan pengetahuan berkaitan

kemahiran dalam bidang integrasi maklumat dan komunikasi perlu saya tingkatkan

pada masa hadapan sebagai satu usaha meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru

Page 13: Guru Inovasi

yang inovatif.  Análisis daripada artikel yang saya pilih mendorong saya supaya

sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dari semasa ke semasa kerana setiap

saat dunia ini mengalamai perubahan.

Harapan saya agar segala ilmu dan kemahiran yang saya peroleh sepanjang proses

yang saya lalu bagi menyelesaikan tugasan ini tidak saya persia-siakan.  Ilmu hanya

benar-benar bermanfaat sekiranya dijadikan amalan.

BIBLIOGRAFI

BUKUAhmad Sarji Abdul Hamid.  (1993).  Penerapan Nilai dan Budaya Kerja Cemerlang

dalam Pentadbiran Awam Malaysia.  Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam

Negara (INTAN).

Choong Lean Keow.  (2009).  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Kuala

Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel.  (2009).  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah

Laku.  Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.  Selangor : Oxford Fajar Sdn.

Bhd.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). (1994).  Citra Karya Falsafah, Nilai dan Etika

dalam Perkhidmatan Awam.  Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara

(INTAN).

Kamus Dewan.  (edisi keempat).  (2005).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Mok Soon Sang.  (Jun 2009).  Pedagogi Untuk Pengajaran & Pembelajaran.  Selangor :

Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang.  ( 2011).  Pengurusan Bilik Darjah & Tingkah Laku.  Selangor :

Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mahmud Khalifah, Usamah Khutub.  Menjadi Guru Yang Dirindu.  Bagaimana Menjadi

Guru Yang Memikat dan Profesional.  Kuala Lumpur : SynergyMedia,

S.A.Majeed & Co. Sdn. Bhd.

Noraini Idris, Shuki Osman.  (2009).  Pengajaran dan Pembelajaran Teori dan

Praktis.  Kuala Lumpur : Mc Graw Hill

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad.  (2009).  Murid dan

Alam Belajar.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Page 14: Guru Inovasi

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A.

Rashid.  (2010).  Guru dan Cabaran Semasa.  Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon.  (2010).  Asas Kepimpinan  &

Perkembangan Profesional.  Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Zainal bin Haji Bujang.  (2008).  Guru Bestari Pelajar Jauhari.  Kuala Lumpur : Al-

Hidayah Publication.

MAJALAHZahri Ramlan.  (Bil. 58 Mac 2009).  Guru Inovatif didik pelajar alaf kini.  Pendidik, muka

surat 50-53.

INTERNETBaharom Mohamad, Mohamad Johdi Salleh.  Kepimpinan Pendidikan Dalam

Pembangunan Modal Insan diakses

daripada http://www.ipbl.edu.my/bm/penyelidikan/1998/98_Muhd.pdf pada 27

Ogos 2012.

Berita Harian Online.  (16 Mei 2012).  Guru berinovasi adalah guru berkualiti:

Muhyiddin diakses

daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruberinovasiadalahgurub

erkualiti_Muhyiddin/Article pada 13 Ogos 2012.

Azmy Mohamed.  (5/12/201).  Rasional Pelaksanaan PBS diakses daripada

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?

y=2011&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm pada

27 Ogos 2012.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.  Khutbah Jumaat 19 Jamadilakhir 1433h (11 Mei

2012m) “Guru Penjana Inovatif Pendidikan” diakses

daripada http://www.jheains.sabah.gov.my/downloads1/Khutbah-Jumaat/Tahun-

2012/05-Mei/11-Mei-2012.pdf pada   27 Ogos 2012 .

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012).  Pelan Strategik Interim Kementerian

Pelajaran Malaysia 2011-2012.  http://www.moe.gov.my/userfiles/file/Pelan

%20Strategik%20Interim%20KPM%202011-2020.pdf diakses pada 28 Ogos

2012.

Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia diakses

daripada http://www.moe.gov.my/ pada 27 Ogos 2012.

Page 15: Guru Inovasi

Modul i-Think diakses

daripada http://www.ipkent.edu.my/ipkent/images/ithink/ithink.pdf pada 26 Ogos

2012.

Ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri Perdagangan

Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan Inovasi Zon

Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan diakses daripada

http://sgi2012.mosti.gov.my/sgi/index.php?r=site/getSpeech&id=7 pada 27 Ogos 2012.

Yusliza Mohd Yusoff.  Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir diakses

daripadahttp://www.bharian.com.my/articles/Tigaagendabesarubahcaramasyarakatberfikir/

Article/ pada 26 Ogos 2012