forum perdagangan dan perindustrian teras negara maju

Upload: yuki-tan

Post on 03-Nov-2015

32 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

Forum Perdagangan Dan Perindustrian Teras Negara Maju

TRANSCRIPT

TEKS UCAPAN FORUM REMAJA

Pengerusi:Sudah adat orang tetamu,Dilayan mesra bagaikan raja,Forum remaja menjana ilmu,Bahasa didaulat warisan terjaga.Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada hadirin sekalian yang dihormati.Pada hari yang ceria ini, kita akan membicarakan tajukperdagangan dan perindustrian teras Negara maju. Dewasa ini, topik ini hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Persoalannya, sejauh manakah perdagangan dan perindustrian menjejaskan pembangunan Negara kita, dan apakah manfaat yang boleh kita peroleh daripada perkembangan sektor perdagangan dan sektor perindustrian? Sebelum kita mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita pada hari ini..bersama saya ialah 3 orang ahli panel yang tidak asing lagi. Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama,ayu berbaju kurung saudari Sakinah. Selamat datang saudari. Seterusnya ahli panel kedua, saudari Ong Shan Yin. Selamat datang saudari. Dan di hujung sana, Nampak pemalu tetapi bijak berkata-kata , saudari Oo Zhi Xin. Selamat datang juga buat saudari. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh , soalan saya pada panel pertama, apakah perbezaan sektor- sektor tersebut?

Ahili Panel 1: Baiklah saudari pengerusi. Sektor perindustrian dan perdagangan mempunyai banyak persamaaan tetapi tetap mempunyai perbezaannya. Sektor perindustrian merujuk kepada aktiviti pembuatan dan penghasilan barangan untuk perdagangan. Secara umumnya, Sektor ini dibahagikan kepada 3 jenis iaitu industri berat, industri sederhana dan industri ringan. Manakala sektor perdagangan merupakan aktiviti jual beli antara pedagang. Masing-masing sektor tersebut membawa seribu satu manfaat kepada pembangunan tanah air.

Pengerusi:Terima kasih saudari Sakinah. Apakah pula pandangan saudari Ong terhadap topik ini?

Ahli Panel 2:Terima kasih saudari pengerusi.Seperti yang kita sedia maklum, sektor perdagangan dan perindustrian telah membawa Malaysia ke era sebuah negara maju dan seterusnya menjana ekonomi negara. Baru-baru ini, topik semakin menjadi buah mulut orang ramai disebabkan oleh kemajuan Malaysia di persada antarabangsa. Pada era 60 an hingga 70 an, industri negara yang menumpukan kepada sumber bahan mentah memang berkembang kerana Malaysia mempunyai potensi pengeluaran komoditi yang tinggi.Pada era 80 an, Negara kita telah mengalami satu lagi perkembangan menerusi penggalakkan industri berat untuk memperkukuh lagi asas perindustrian Negara. era 90 an merupakan perubahan paling besar kerana Malysia telah menceburkan diri dalam bidang automotif. Kejayaan ini merupakan impian semua rakyat kerana kita memang tidak pernah menjangka Malaysia mampu mengeluarkan kereta nasional sendiri iaitu Proton. Walaupun menghadapi banyak cabaran, karajaan Malaysia tetap melaksanakan rancangan ini.

Ahli Panel 3: Minta maaf saudari pengerusi. Bolehkah saya mengajukan satu soalan kepada saudari Ong?

Pengerusi:Silakan.

Ahli Panel 3:Apakah yang telah mendorong perdana menteri kita pada masa itu iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad untuk melaksanakan projek tersebut?

Ahli Panel 2: Sikap perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir bin Mohamad yang tidak berputus asa telah berjaya mencapai aspirasi negara menuju ke arah perindustrian. Tun Dr Mahathir mempunyai pandangan yang jauh dan yakin bahawa Malaysia akan mencapai kejayaan dalam bidang automotif.

Ahli Panel 3: Terima kasih saudari Ong.

Ahli Panel 2:Sama- sama. Pada era 2000 hingga kini, Malaysia memang berkembang dalam bidang R&D dan berupaya menghasilkan produk berkualiti tinggi yang dapat bertanding dengan negara lain.

Pengerusi: Terima kasih saudari ong. Walaupun sudah dimaklum akan perkembangan sektor sektor perdagangan dan perindustrian di Malaysia. Soalan saya kepada ahli panel kita yang ketiga pula. Saudari Oo, apakah manfaat yang boleh kita peroleh daripada perkembangan sektor sektor tersebut?

Ahli Panel 3:Terima kasih saudari pengerusi. Tidak dapat dinafikan bahawa sektor perdagangan dan perindustrian perlu diberi perhatian utama dalam konteks pembangunan negara. Perkembangan kedua-dua sektor ini dapat menjanakan kemajuan negara secara berterusan. Pencapaian yang cemerlang sektor-sektor ini turut dapat menarik masuk lebih banyak modal pelaburan asing lalu menguntungkan ekonomi negara. Jika kita menghalusi kebaikan perkembangan sektor perindustrian, kita akan mendapati bahawa lebih banyak peluang pekerjaan dapat dibekalkan kepada anak-anak watan berbanding dengan sektor pertanian.

Pengerusi: Terima kasih saudari Oo. Saudari Sakinah, mengapakah sektor perindustrian menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan berbanding dgn sektor pertanian?

Ahli Panel 1: Tentulah dikatakan begitu kerana sektor peindustrian memerlukan tenaga kerja yang besar. Andai kata anda mempunyai tanah seluas satu hektar untuk bercucuk tanam, anda hanya memerlukan beberapa orang tenaga kerja untuk mengusahakannya. Jika dibina kilang, berdasarkan keluasan yang sama anda mungkin memerlukan ribuan pekerja untuk urusan-urusan seperti mengoperasikan mesin, mengred, menimbang, membungkus dan kerja penghantaran produk keluaran kilang. Hal ini bermakna perindustrian mampu mengurangkan masalah pengangguran sekali gus mampu meminimumkan kadar jenayah yang biasanya dilakukan oleh golongan yang menganggur ini.Jika kita tinjau dari sudut yang lain, sekiranya negara kita tidak terlibat dalam lapangan perindustrian seperti membuat peti sejuk, televisyen dan pelbagai keperluan yang lain, barangan tersebut akan diimport dari luar negara juga. Senario ini akan menyebabkan ekonomi negara kita merundum ekoran pengaliran keluar wang negara. Jika hal ini berterusan, kemajuan negara akan semakin lembap. Implikasinya, negara kita akan terus ketinggalan dgn negara-negara luar.

Pengerusi:Terima kasih saudari Ooi. Begitu panjang lagi bernas pandangan saudari . Sekarang apakah pandangan saudari Ong terhadap strategi yang telah dilaksanakan di Malaysia untuk membangunkan sektor sektor perdagangan dan perindustrian?

Ahli Panel 2: Sememangnya, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memajukan sektor perindustrian. Pihak kerajaan telah menubuhkan MITI iaitu Kementrian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menyelia kegiatan perdagangan yang dijalankan oleh Malaysia di peringkat antarabangsa dan menyelaraskan dasar dan kegiatan perindustrian. Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti pinjaman modal, tapak, galakan dan sebagainya, Bagi rakyat yang menghadapi masalah kewangan dalam perdagangan, mereka dapat memperoleh pinjaman modal daripada bank perdagangan dan kementerian lain. Tapak- tapak untuk dijadikan kawasan perindustrian juga akan dilengkapan dengan pelbagai kemudahan. Galakan insentif akan diberikan kepada industri- industri baru. Tambahan pula, zon perdagangan bebas disediakan oleh kerajaan untuk menarik pelaburan dan industri berteknologi tinggi lain dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Hong Kong, Jepun dan sebagainya. Kilang- kilang di kawasan tersebut akan diberikan pelbagai kemudahan.

Pengerusi:Minta maaf saudari Ong. Bolehkah saudari memberikan penerangan yang lanjut tentang kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam usaha membangunkan sektor perdagangan dan perindustrian di Malaysia.

Ahli Panel 2:Baiklah, keistimewaan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah seperti kemudahan kredit, pengecualian cukai import dan export dan insentif cukai. Melalui pemberian taraf perintis di antara 5- 10 tahun, pelabur asing dan pelabur tempatan yang menceburi dalam bidang baru akan mendapat pengecualian separuh bayaran cukai dalam tempoh lima tahun pertama. Melalui strategi ini , memang terbuktinya Malaysia telah berusaha untuk menjadi sebuah Negara perindustrian dan perdagangan. Bak kata muafakat membawa berkat , dengan penggemblengan kerjasama semua pihak, tentunya harapan Malaysia akan dicapai.

Pengerusi: Terima kasih saudari Ong. Soalan yang seterusnya saya tujukan kepada saudari Oo. Apakah pandangan saudari tentang halangan perkembangan sektor perdagangan dan perindustrian yang telah timbul?

Ahli Panel 3: Maklumlah terdapat banyak halangan yang dapat menjejaskan bidang perdagangan dan perindustrian sesebuah negara. Antaranya termasuklah kemerosotan ekonomi seperti Kegawatan Ekonomi Dunia yang telah berlaku pada tahun 2007 dan Krisis Kewangan Asia yang telah dimulakan pada Julai 1997 di Thailand. Kemerosotan ekonomi bukan sahaja menjejaskan bidang perdagangan, malah juga meninggalkan kesan yang mendalam terhadap bidang perindustrian negara.

Ahli Panel 1 : Minta maaf, saudari pengerusi. Izinkan saya ajukan satu soalan kepada ahli panel ketiga.

Pengerusi : Silakan.Ahli Panel 1 : Saudari Oo, bolehkah saudari buktikan pandangan saudari itu?

Ahli Panel 3 : Baiklah, saudari Sakinah. Menurut Indeks Kering Baltik, Kegawatan Eknomi Dunia 2007 telahmenyaksikan kejatuhan jumlah perkapalan secara mendadak, iatu sebanyak 50 peratus dalam seminggu!

Ahli Panel 1: Ya. Pada pengetahuan saya, isu ini begitu serius dan mempunyai impak yang besar sekali terhadap ekonomi dunia.

Ahli Panel 3 : Betul kata anda, saudari Sakinah. Sementelahan, terdapat juga banyak kilangyang mengurangkan tenaga kerja untuk merendahkan kos pengeluaran. Ada juga yang menggulung tikar akibat kesempitan wang.

Ahli Pnel 3 : Tidak dapat dinafikan bahawa pergolakan politik juga menjejaskan pembangunan perdagangan dan perindustrian sesebuah negara. Hal ini demikian kerana keadaan huru-hara di sesebuah negara akan menyebabkan aktiviti perdagangan dan perindustrian negara tersebut tergendala. Implikasinya, keadaan ekonomi yang tidak stabil ini tidak akan menyakinkan para pelabur untuk melabur di negara tersebut.

Pengerusi : Jadi, adakah seorang pemimpin berusaha menjamin kestabilan politik Negara beliau?

Ahli Panel 3 : Tentulah begitu, saudari pengerusi. Sebagai contoh, keadaan porak-peranda di Mesir belakangan ini bukan sahaja telah mengorbankan ratusan rakyat dan menyebabkan kemusnahan khazanah negara, malah keadaan ini juga telah menjejaskan bidang perdangangan dan perindustrian Negara tersebut.Tambahan pula, kekurangan teknologi moden dan pekerja yang professional juga menjadi halangan kepada pembangunan perdagangan dan perindustrian sesebuah negara. Hal ini demikian kerana sektor perindustrian amat menitikberatkan teknologi dan kemahiran. Tanpa teknologi yang canggih dan pekerja yang profesional, pengeluaran dan penciptaan alatan moden tidak akan dapat dijalankan.

Ahli Panel 2 : Minta maaf, saudari pengerusi. Bolahkah saya ajukan satu soalan kepada saudari Oo?

Pengerusi: Silakan.

Ahli Panel 2 : Saudari Oo, jadi, apakah strategi yang digunakan oleh negara yang lebih mundur untuk meningkatkan ekonomi negara?

Ahli Panel 3 : Baiklah, saudari Ong. Negara-negara yang lebih mundur seperti Kemboja,Ethiopia dan Somalia terpaksalah bergantung kepada bidang pertanian, perikanan, perlombongan dan sebagainya untuk meningkatkan ekonomi negara. Sebagai tuntasnya, terdapat banyak lagi halangan yang dapat menjejaskan pembangunan perdagangan dan perindustrian sesebuah negara seperti kekurangan buruh, kekurangan tapak perdagangan dan perindustrian yang sesuai serta bencana alam. Kerajaan mestilah memikirkan modus operandi untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berpotensi menjejaskan bidang perdagangan dan perindustrian negara untuk mengurangkan risiko yang mungkin melanda ekonomi negara. Kerajaan haruslah menyediakan payung sebelum hujan dan janganlah sudah terhantuk baru tengadah. Sekian.

Pengerusi: Terima Kasih saudari Oo. Baiklah mari kita berbalik kepada saudari Sakinah, Apakah harapan saudari terhadap pembangunan sektor perdagangan dan perindustrian di Malaysia?

Ahli Panel 1: Saya pasti setiap warga Malaysia mempunyai harapan yang sama iaitu harapan agar Malaysia menjadi negara perindustrian. Oleh yang demikian,saya berharap rata-rata pihak sama ada badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan agar mengambil langkah-langkah drastik dan berganding bahu bagi menempuhi segala cabaran dalam memajukan sektor perdagangan dan perindustrian kerana manfaatyang diperoleh daripada sektor-sektor ini amat lumayan. Janganlah sekali-kali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-,asing. Insya-Allah, hal ini seterusnya dapat merealisasikan visikudsi Wawasan 2020 dan menjadikan bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dgn negara gergasi yang lain di persada dunia.

Pengerusi:Terima kasih saudari Sakinah. Ribuan terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum mengakhiri tajuk kita pada hari ini, Terimalah serangkap pantun indah daripada saya

Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan; Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Salam hormat,dan ceria-ceria selalu. Sekian, terima kasih.