faktor penerimaan melokalisasi tadbir urus pengagihan...

Download Faktor Penerimaan Melokalisasi Tadbir Urus Pengagihan ...ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2016/05/10-Mohd-Faiz... · zakat di Malaysia dan salah satu ... merupakan satu

If you can't read please download the document

Upload: lykien

Post on 06-Feb-2018

219 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 1

    Faktor Penerimaan Melokalisasi Tadbir Urus Pengagihan Zakat Pelajar Tajaan

    Lembaga Zakat Selangor Di Institusi Pengajian Tinggi

    Mohd Faiz Ahmad @ Abdullah1

    Hairunnizam Wahid2

    Sanep Ahmad3

    Muhammad Rizal Jalil4

    Abstrak

    Institusi zakat berperanan memastikan setiap agihan wang tabung zakat serta

    pengurusan wang dapat dilaksanakan lebih proaktif dan memastikan asnaf yang

    layak menerima sumbangan itu akan mendapat hak mereka. Kaedah lokalisasi

    pengurusan zakat merupakan salah satu cara penyelesaian kepada isu pengagihan

    zakat di Malaysia dan salah satu alternatif meningkatkan keefisienan pengagihan

    zakat di Malaysia. Kajian ini bertujuan mengkaji pelbagai faktor yang

    mempengaruhi tahap persetujuan melokalisasi tadbir urus zakat dalam

    mengagihkan zakat terhadap pelajar tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di

    Institusi Pengajian Tinggi di Negeri Selangor. Kaedah lokalisasi yang dicadangkan

    adalah proses desentralisasi autoriti kepada pegawai IPT yang dilantik secara

    khusus untuk mentadbir dan mengurus pelajar tajaan LZS di IPT tersebut. Situasi

    semasa menunjukkan pengurusan bantuan zakat terhadap pelajar anak Selangor

    di bawah kategori asnaf fakir dan miskin masih lagi berpusat di Lembaga Zakat

    Selangor (LZS) di Shah Alam. Ini menimbulkan beberapa isu termasuklah masalah

    birokrasi pengurusan zakat serta kelemahan pemantauan oleh LZS terhadap

    prestasi akademik dan sosial pelajar yang menerima bantuan tersebut.

    Persoalannya apakah faktor penentu penerimaan konsep lokalisasi pengurusan

    zakat agar konsep ini dapat direalisasikan di peringkat IPT. Kajian ini

    menggunakan teknik soal selidik kepada 187 pelajar anak negeri Selangor tajaan

    LZS di beberapa IPT di Malaysia iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM),

    Universiti Industri Selangor (UNISEL) , Multimedia University (MMU), Universiti

    Tenaga Nasional (UNITEN) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

    (KUIS) dan data kajian dianalisis menggunakan kaedah regresi logistik. Beberapa

    pembolehubah dibentuk dan dianalisis bagi mengukur tahap penerimaan konsep

    lokalisasi agihan zakat di IPT. Hasil kajian menunjukkan bahawa majoriti

    responden bersetuju dengan cadangan pelaksanaan konsep ini. Hasil kajian juga

    mendapati faktor keputusan peperiksaan pelajar adalah signifikan mempengaruhi

    persetujuan melokalisasi tadbir urus zakat di IPT. Kajian juga mendapati terdapat

    perbezaan yang signifikan antara amalan pengurusan zakat semasa dan

    penerimaan cadangan lokalisasi pengurusan zakat yang menggambarkan potensi

    1 Pelajar Sarjana Ekonomi Islam, Fakulti Ekonomi & Pengurusan, UKM.e-mail: [email protected] 2 Pensyarah Kanan di FEP, UKM; email; [email protected] 3 Prof Madya, Pusat pengajian Ekonomi, FEP. UKM. e-mail: [email protected] 4 Pegawai di Lembaga Zakat Selangor (LZS). e-mail: [email protected]

    mailto:[email protected]

  • 2

    LZS untuk melaksanaan konsep ini. Beberapa implikasi dasar dan cadangan turut

    dibincangkan dalam kajian ini.

    Kata kunci: Lokalisasi pengagihan zakat; regresi logistik, PNGK pelajar

    1.0 Pengenalan

    Zakat merupakan satu daripada rukun Islam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. dan telah

    menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim yang mukallaf. Ibadat zakat wajib dipatuhi dan

    dilaksanakan apabila telah cukup syarat-syaratnya. Zakat disyariatkan oleh Allah s.w.t.

    terhadap hamba-Nya dengan tujuan menyucikan harta dan diri mereka termasuklah rohani

    mereka. Seperti mana yang dinyatakan dalam surah Ar-Rad, ayat 26 yang bermaksud:

    Allah mencukupkan rezeki untuk orang-orang yang dikehendaki-Nya dan Dia pula

    yang membatasi-Nya. Dan mereka sukacita dengan kehidupan dunia ini, sedangkan

    kesukaan kehidupan dunia ini dibandingkan dengan akhirat hanyalah kesenangan

    sementara.

    (Surah Ar-Rad; ayat 26)

    Zakat telah menjadi satu mekanisme pengagihan harta dan keseimbangan sosial yang

    disyariatkan oleh Allah s.w.t. yang berlandaskan falsafah dan maqasid. Allah s.w.t telah

    berfirman dalam Surah At-Taubah , ayat 69 yang bermaksud, Sesungguhnya sedekah-sedekah

    (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang

    mengurusnya dan orang-orang yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak

    memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan

    Allah s.w.t. dan untuk orang-orang di dalam perjalanan (yang putus belanja). Ketetapan hukum

    yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah s.w.t. dan ingatlah

    Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

    Lembaga Zakat Selangor (LZS) merupakan satu badan yang terlibat dalam urus tadbir sistem

    pungutan serta agihan zakat di Negeri Selangor. LZS sentiasa cuba berusaha melakukan

    penambahbaikkan dalam urus tadbir zakat di Selangor. Kutipan zakat di Selangor merupakan

    antara kutipan zakat tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Ini

    kerana banyak badan-badan koperat yang beroperasi di Selangor dan taraf ekonomi Selangor

    juga merupakan yang terbaik di Malaysia. Namun, kecekapan urus tadbir zakat bukan hanya

    diukur melalui jumlah kutipan sahaja.

    Kecekapan urus tadbir zakat juga perlu diukur dari segi agihan zakat yang dilakukan oleh badan

    yang berkaitan seperti LZS samada berjaya memaksimumkan agihan kepada asnaf-asnaf yang

    terlibat. Kecekapan agihan zakat kepada asnaf juga perlu dinilai. Pengukuran kecekapan sistem

    urus tadbir agihan zakat kepada asnaf perlu dilihat samada memudahkan asnaf-asnaf menerima

    sumbangan zakat tersebut atau sebaliknya. Ini kerana, tidak semua asnaf-asnaf berada

    berhampiran dengan lokasi agihan zakat dilakukan. Kebarangkalian juga boleh berlaku, ramai

    asnaf yang tidak menerima bantuan zakat kerana jauh dari lokasi pihak yang menguruskan

  • 3

    agihan zakat serta pihak LZS juga mungkin gagal mengesan asnaf-asnaf yang masih belum

    menerima bantuan zakat.

    Isu lokasi ini telah mewujudkan kajian untuk melokalisasikan urus tadbir agihan zakat

    (Hairunnizam et. al, 2012) berkenaan dengan melokalisasikan urus tadbir pengagihan zakat

    dengan mengkaji peranan institusi masjid di Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati institusi

    masjid perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum melaksanakan sistem lokalisasi tersebut

    kerana masjid yang tidak menjadi pusat tumpuan masyarakat setempat tidak mampu untuk

    membantu dalam agihan bantuan zakat. Golongan asnaf juga terdiri dari para pelajar Institut

    Pengajian Tinggi (IPT). Ramai pelajar IPT di Selangor menerima sumbangan zakat daripada

    LZS. Namun, kajian perlu dilakukan samada urus tadbir agihan zakat tersebut tidak

    menimbulkan sebarang kesulitan kepada penerima bantuan zakat. Oleh itu, satu kajian melihat

    kemungkinan melokalisasikan urus tadbir agihan zakat pelajar tajaan LZS di beberapa buah

    IPT di negeri Selangor daripada berpusat di Shah Alam ke pengurusan zakat di peringkat IPT.

    Pada tahun 1998, pihak LZS telah melaksanakan konsep ini bersama pihak IPT dengan

    mewujudkan pusat zakat mini ataupun kaunter zakat di universiti di Selangor di mana pihak

    universiti dilantik sebagai penolong amil IPT yang bertindak menguruskan aspek kutipan di

    kalangan kakitangannya dan mengagihkan kepada pelajar dan kakitangan universiti. Pada

    peringkat permulaannya, UiTM menjadi IPT yang pertama yang dilantik sebagai penolong

    amil IPT. Sehingga tahun 2014, pihak LZS telah menjalankan kerjasama dengan 10 buah

    universiti awam dan swasta di Selangor iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),

    Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi

    MARA (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Tunku Abdul Rahman

    (UNITAR), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Multimedia

    (MMU), Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).

    Pada peringkat awal agihan zakat yang dilaksanakan di IPT bukan hanya untuk membantu

    kakitangan dan pelajar, tetapi kolaborasi ini juga berjaya menbantu menyalurkan bantuan zakat

    sehingga ke peringkat keluarga. Namun begitu proses lokalisasi ini tidak dilaksanakan terhadap

    pelajar tajaan LZS. Terdapat beberapa masalah pelajar tajaan LZS yang tidak dapat diatasi

    secara cepat dan pantas memandangkan pemantauan hanya berlaku di peringkat negeri.

    Persoalannya, adakah wujud kemungkinan cadangan konsep lokalisasi pengagihan zakat di

    IPT dilakukan terhadap pelajar tajaan LZS. Apakah persepsi penerimaan pelajar tajaan LZS

    terhadap konsep ini dan apakah faktor penentu terhadap penerimaan konsep ini di IPT.

    Maklumbalas daripada pelajar IPT yang menerima tajaan zakat LZS amat penting bagi menilai

    sejauhmana keperluan sistem melokalisasi ini diperluaskan di IPT.

    2.0 Kajian Lepas

    Permasalahan pengagihan zakat banyak dipersoalkan dan dilaksanakan kajian melalui

    beberapa kajian oleh ahli-ahli akademik bagi mendapatkan suatu alternatif lain yang

    meningkatkan kecekapan agihan zakat. Satu kajian berkenaan dengan cadangan perlaksanaan

    kaedah melokalisasikan zakat (localization of zakat) telah dijalankan oleh Muhammad Syukri

    (2006) yang merupakan satu alternatif penyelesaian kepada permasalahan pengagihan zakat di

  • 4

    Malaysia. Kaedah melokalisasikan tadbir urus zakat di mana proses desentralisasi kuasa

    mengagih dan memungut zakat telah dilaksanakan di beberapa mukim oleh amil dan

    kakitangan institusi zakat di mukim tersebut kepada asnaf. Kemudian suatu kajian oleh Radiah

    et. al. (2010) telah melakukan pembuktian secara empirik berkenaan cadangan melokalisasikan

    pengagihan zakat di Malaysia berdasarkan kajian Muhammad Syukri (2006). Kajian secara

    empirikal ini telah menggunakan pembolehubah kepercayaan kepada institusi agama (institusi

    zakat dan baitulmal), persepsi terhadap kaedah pengagihan zakat oleh institusi dan

    keberkesanan pengagihan zakat kepada asnaf serta sikap mereka yang ingin keluar daripada

    belenggu kemiskinan. Hasil kajian mendapati amil dan asnaf kurang yakin dengan intitusi zakat

    dan baitulmal dari segi risiko dalam permasalahan dalam tadbir urus zakat terutamanya isu

    kebocoran. Manakala kaedah pengagihan zakat dilihat berada pada tahap berpuas hati di

    kalangan asnaf dan peningkatan proses pangagihan zakat akan meningkatkan lagi

    keberkesanan pengagihan zakat kepada golongan asnaf terutamanya golongan fakir dan

    miskin. Manakala sikap asnaf yang ingin keluar dari belenggu kemiskinan dilihat kurang

    memuaskan kerana tidak ramai yang cuba untuk berusaha keluar dari kepompong kemiskinan.

    Daripada sudut pandangan ekonomi pula, desentralisasi dan lokalisasi merupakan satu

    perkataan yang mempunyai maksud yang sama iaitu desentralisai dalma membuat keputusan

    kepada pentadbiran peringkat tempatan dan dicapai melalui desentralisasi politik, pentadbiran

    dan fiskal (Shah & Thomson, 2004). Proses desentralisasi akan memngubah struktur

    pentadbiran dan akauntabiliti daripada peringkat pusat kepada peringkat tempatan dan

    melangkaui sempadan geografi untuk memudahkan pentadbiran tempatan berinteraksi dengan

    masyarakat tempatan (Schnider, 2003). Oleh itu, proses lokalisasi zakat merupakan

    desentralisasi kuasa dalam membuat keputusan tadbir urus zakat kepada peringkat yang lebih

    kecil (lokaliti) terutamanya dalam aspek politik, tadbir urus dan fiskal. Konsep lokalisasi juga

    akan meningkatkan kecekapan tadbir urus. Ini kerana sumber dan autoriti pentadbiran telah

    dikecilkan ke peringkat tempatan (Faguet, 2000; Hankla, 2008). Impak kepada tadbir urus

    zakat, proses pengagihan dapat dilakukan dengan segera tanpa kelewatan masa (Nik Mustapha,

    1991; Khaf, 1995; dan Mujaini, 1995) seperti yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah

    s.a.w. dan para khalifah.

    Kajian Muhammad Aziz (1993) telah menyatakan bahawa, mengikut sejarah pengurusan zakat

    sebelum zaman kolonial umumnya zakat telah dikutip dan diagihkan di peringkat kampung.

    Beliau berpendapat, desentralisasi tadbir urus zakat adalah tidak bertentangan dengan syariat

    Islam malahan kaedah ini akan menjaga kepentingan golongan fakir dan miskin serta asnaf

    yang lain (Abdul Aziz, 1993). Ini menunjukkan bahawa sejarah juga telah membuktikan

    konsep lokalisasi telah dilaksanakan di Malaysia sebelum zaman kolonial lagi. Kajian

    Hairunnizam et. al, (2012) berkenaan peranan institusi masjid di Malaysia dalam tadbir urus

    agihan zakat. Menurut beliau, kaedah melokalisasikan tadbir urus zakat di peringkat masjid

    dilihat mungkin dapat membantu meningkatkan lagi kecekapan tadbir urus zakat. Ini kerana

    masjid merupakan satu tempat yang menjadi tumpuan masyarakat Islam setempat. Selain itu,

    ia dilihat lebih memudahkan amil di mukim tersebut mengagihkan zakat kepada asnaf-asnaf

    yang telah dikenalpasti di mukim tersebut.

  • 5

    Akhir sekali berdasarkan kajian Parid (2001) menjelaskan bahawa kaedah pengagihan zakat

    yang baik harus sesuai dengan perspektif Islam. Pengagihan zakat perlu mencapai satu tahap

    kecukupan dan keselesaan golongan penerima zakat serta tanggungannya. Agihan yang

    diberikan harus mencapai kadar yang dapat menjamin kualiti hidup berterusan. Ini bermakna,

    agihan zakat yang diberikan harus mencapai satu piawaian kualiti hidup sekurang-kurangnya

    mencapai kegunaan barang keperluan dan kecukupan.

    3.0 Metodologi Kajian

    Pelbagai teori digunakan dalam kajian ini untuk menyokong kajian yang dijalankan. Analisis

    kajian ini melibatkan penerima-penerima zakat daripada Lemabaga Zakat Selangor yang terdiri

    dari mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi di Negeri Selangor. Sebanyak 187

    soalan kaji selidik diedarkan kepada penerima-penerima zakat dan hanya 94 responden yang

    telah memberi maklumbalas berkenaan dengan kajian ini. (lihat Jadual 1).

    Jadual 1: Responden Penerima Zakat Negeri Selangor Mengikut Institusi Pengajian

    Tinggi

    Senarai IPT Kekerapan Peratusan

    Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) 30 31.9

    Universiti Multimedia (MMU) 1 1.1

    Universiti Industri Selangor (UNISEL) 40 42.6

    Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 5 5.3

    Universiti Putra Malaysia (UPM) 18 19.1

    Jumlah 94 100.00

    Sumber: Data soal selidik

    Selain itu, ujian regresi logistik akan digunakan untuk melihat apakah faktor penentu

    kebarangkalian yang mempengaruhi penerimaan ataupun persetujuan melokalisasikan tadbir

    urus agihan bantuan zakat LZS di IPT. Beberapa pemboleh ubah bebas yang dijangkakan

    berhubung dengan pemboleh ubah bersandar secara teori perlu dimasukkan bagi membentuk

    model regresi ini. Satu model akan dibentuk yang mana pemboleh ubah bersandar dalam model

    berbentuk binari iaitu setuju melokalisasikan tadbir urus agihan zakat LZS di IPT atau tidak.

    Oleh kerana pemboleh ubah bersandar berbentuk binari dan pada masa yang sama terdapat

    pemboleh ubah bebas yang digunakan berbentuk dami, maka kedua model ini sesuai

    dianggarkan dengan menggunakan model regresi logistik.

    Analisis regresi logistik digunakan untuk melihat apakah faktor penentu penerimaan

    melokalisasikan tadbir urus pengagihan zakat dalam kalangan pelajar tajaan LZS di IPT. Model

    akan dibentuk dengan pemboleh ubah bersandar berbentuk binari iaitu pelajar tajaan LZS

    setuju melokalisasikan tadbir urus pengagihan zakat di IPT. Berdasarkan kajian lepas kajian

  • 6

    ini akan menggunakan model kajian Sanep et al. (2006) sebagai model penganggaran

    kebarangkalian pelajar tajaan LZS menerima konsep lokalisasi. Model yang sesuai

    dianggarkan secara umumnya adalah seperti berikut:

    Pi = E (Y=1/X) = 1 / (1+e-z) (1)

    Yang mana Pi adalah kebarangkalian bagi persetujuan pelajar tajaan LZS menerima konsep

    melokalisasikan tadbir urus agihan zakat di IPT, Y=1 untuk setuju dan Y=0 bagi tidak setuju.

    Berdasarkan persamaan (1), kajian ini akan menguji beberapa pemboleh ubah yang dijangka

    mempengaruhi Pi iaitu :

    Zi = 0 + 1X1 + 2X2 + 3X3 + ... + iXi (2)

    dimana Zi adalah satu fungsi f(X) dengan X adalah pemboleh ubah bebas yang dijangka iaitu

    jantina, keputusan peperiksaan (PNGK), keberkesanan agihan, lokasi masjid dan kekerapan ke

    masjid. Semua pemboleh ubah dam persamaan (2) akan diuji untuk menentukan manakah

    pemboleh ubah yang signifikan mempengaruhi faktor penentu penerima zakat setuju dengan

    melokalisasikan tadbir urus agihan zakat LZS di IPT. Kesemua pembolehubah ini dipilih

    berdasarkan kajian Muhammad Rizal (2015) dan Hairunnizam et. al. (2012).

    Oleh itu, berdasarkan kepada persamaan (2), model khusus yang dianggarkan dalam kajian ini

    adalah seperti berikut:

    L = ln (Pi / (1-Pi) = 0 + 1X1 + 2X2 + 3X3 + 4X4 + 5X5 (3)

    Di mana :

    L = log bagi nisbah odds faktor penentu persetujuan

    X1 = jantina

    X2 = keputusan peperiksaan (PNGK)

    X3 = keberkesanan agihan

    X4 = lokasi masjid

    X5 = kekerapan ke masjid

    4.0 Hasil Kajian

    Berdasarkan Jadual 2, daripada aspek peringkat pengajian pula, kebanyakkan responden adalah

    berstatus pendidikan tinggi iaitu pemegang Ijazah Sarjana Muda (63%), diikuti dengan

    pengajian peringkat Diploma (34%) dan Ijazah Sarjana (3%). Dalam keputusan peperiksaan

    kumulatif pula, majoriti responden mencatat keputusan yang cemerlang iaitu antara 3.01

    hingga 3.50 dengan peratusan sebanyak 50% dan diikuti sebanyak 17 peratus bagi keputusan

    lebih daripada 3.51. Hanya 29 peratus pelajar mempunyai keputusan di bawah 3.00.

  • 7

    Manakala dari segi pendapatan isi rumah pula, sebanyak 34 peratus merupakan pelajar yang

    tergolong dalam kumpulan isi rumah yang berpendapan antara RM501 hingga RM1,000, 22

    peratus berpendapatan antara RM1,001 hingga RM1,500, 20 peratus berpendapatan lebih

    daripada RM1,501 dan 16 peratus yang tergolong dalam kategori yang tiada sumber

    pendapatan dan pendapatan kurang dari RM500. Jumlah pendapatan isi rumah ini juga

    dipengaruhi oleh jumlah bilangan adik beradik responden. Responden yang mempunyai

    bilangan adik beradik 6 orang ke atas adalah sebanyak 50 peratus. Manakala bilangan adik

    beradik antara 4 hingga 5 orang adalah 32 peratus dan bilangan adik beradik 3 orang ke bawah

    adalah sebanyak 16 peratus.

    Jadual 2: Demografi Pelajar tajaan LZS

    Item

    Kekerapan

    Peratusan

    Jantina

    Lelaki 78 83

    Perempuan 16 17

    Peringkat Pengajian

    Diploma 32 34

    Ijazah Sarjana Muda 59 63

    Ijazah Sarjana 3 3

    Keputusan Peperiksaan Kumulatif

    < 2.50 3 3

    2.51 - 2.75 9 10

    2.76 - 3.00 15 16

    3.01 - 3.50 47 50

    > 3.51 16 17

    Jumlah Pendapatan Isi Rumah

    Tiada Sumber Pendapatan 6 6

    RM100 - RM500 9 10

    RM501 - RM1,000 32 34

    RM1,001 - RM1,500 21 22

    RM1,501 - RM2,000 10 11

    RM2,501 RM3,000 4 4

    Jumlah Bilangan Adik Beradik

    Anak Tunggal 2 2

    2 3 orang 13 14

    4 5 orang 30 32

    6 7 orang 28 30

    >8 orang 19 20

    Sumber: Data soal selidik

    Jadual 3 pula menunjukkan klasifikasi model bagi kesahihan jawapan oleh responden. Secara

    keseluruhannya, 62 peratus jawapan disahkan adalah benar kepada semua model yang dikaji.

  • 8

    Jadual 3: Klasifikasi regresi logistik

    Diramalkan

    Setuju Tidak Setuju

    Pemerhatian Tidak Tahu 29 13

    Tahu 17 20

    Nota : Peratus keputusan setuju = 69%; Tidak setuju = 54.1%, Keseluruhan = 62%

    Berdasarkan Jadual 4, model telah dibentuk dan dianalisis menggunakan analisi regresi

    logistik. Jika dilihat pada model tersebut, terdapat dua pemboleh ubah sahaja yang signifikan

    iaitu pemboleh ubah keputusan peperiksaan dan pemboleh ubah keberkesanan agihan pada aras

    keertian 10 peratus. Pemboleh ubah keputusan peperiksaan menunjukkan hubungan negatif

    terhadap penerimaan melokalisasi tadbir urus agihan zakat di IPT. Ini menunjukkan semakin

    rendah pencapaian PNGK pelajar tajaan LZS, semakin tinggi kebarangkalian pelajar tersebut

    menerima konsep lokalisasi. Sebaliknya, pemboleh ubah keberkesanan agihan memiliki

    hubungan yang positif dengan penerimaan melokalisasikan tadbir urus agihan zakat di IPT. Ini

    menunjukkan semakin tinggi tahap keyakinan pelajar tajaan LZS terhadap kemungkinan

    keberkesanan lokalisasi zakat, semakin tinggi kemungkinan pelajar menerima konsep

    lokalisasi agihan zakat di IPT.

    Jadual 4 : Hasil regresi

    Pemboleh ubah Nilai Koefisien Exp (B) Statistik Wald

    Konstan -0.117

    (2.436)

    0.890 0.002

    Jantina (1) -0.110

    (0.732)

    0.896 0.023

    Keputusan peperiksaan -0.509*

    (0.295)

    0.601 2.975

    Keberkesanan agihan 0.822*

    (0.455)

    2.274 3.258

    Lokasi Masjid -0.622

    (0.967)

    0.537 0.414

    Kekerapan ke Masjid 0.033

    (0.294)

    1.034 0.013

    Nota : ( ) ralat piawai

    (1) pemboleh ubah dami

    *signifikan pada aras keertian 10%

    5.0 Perbincangan Dan Implikasi Dasar

    Hasil kajian juga menunjukkan bahawa 50 peratus dari jumlah responden terdiri dari pelajar

    yang mendapat keputusan peperiksaan kumulatif antara 3.01 hingga 3.50. ini menunjukkan

    bahawa kebanyakan penerima-penerima zakat di kalangan mahasiswa-mahasiswi di Negeri

    Selangor mempunyai tahap pelajaran yang sederhana cemerlang. Ini juga menggambarkan

    keputusan yang agak positif kerana hanya 3 peratus dari jumlah responden yang mendapat

  • 9

    keputusan peperiksaan kumulatif di bawah 2.50. Keputusan kajian yang agak positif ini

    menunjukkan bahawa bantuan zakat dan lokalisasi tadbir urus zakat amat perlu di Institusi

    Pengajian Tinggi kerana kebanyakan mahasiswa-mahasiswi yang menerima bantuan zakat

    dilihat agak konsisten dalam pencapaian keputusan peperiksaan. Namun kewujudan pelajar

    yang mendapat keputusan PNGK di bawah 2.50 menunjukkan pelajar ini perlu diberi perhatian

    dan dorongan untuk memastikan mereka terus berjaya. Konsep lokalisasi ini agak baik untuk

    memantau pelajar yang lemah dan mereka perlu terus di beri motivasi untuk berjaya. Walaupun

    hampir 50 peratus pelajar mendapat PNGK melebihi nilai 3.0, namun pemantauan oleh pihak

    LZS juga amat penting dalam meningkatkan tahap sosialisasi antara pelajar, memberi khidmat

    kaunseling kerjaya selepas tamat pengajian dan sebagainya.

    Kajian ini juga mendapati pembolehubah keberkesanan agihan zakat juga penting terhadap

    penerimaan konsep lokalisasi ini. Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh amil LZS

    berdasarkan nilai min dan nilai muatan faktor yang tinggi adalah aspek proses permohonan,

    bantuan zakat yang segera serta penyampaian maklumat yang tepat dan berkesan menunjukkan

    pelajar tajaan LZS inginkan perkhidmatan yang cekap dan efisien daripada pihak LZS. Perkara

    ini berkemungkinan besar dapat dicapai sekiranya konsep lokalisasi ini dapat dijalankan di IPT

    kerana kurangnya karenah birokrasi serta faktor kos masa dan pengangkutan yang tinggi

    sekiranya pelajar berurusan di peringkat negeri. (Lihat Jadual 5). Perlaksanaan kaedah

    lokalisasi ini juga dilihat mampu mengurangkan karenah birokrasi. Kebanyakan responden

    bersetuju karenah birokrasi mampu dikurangkan kerana memudahkan proses agihan. Namun,

    perlu diambil perhatian juga dari segi kesan negatif contohnya pihak yang ditugaskan untuk

    melaksanakan tanggungjawab mungkin kurang berhemah. Ini sebagai langkah berjaga-jaga

    bagi Lembaga Zakat Selangor dan Unit Zakat di setiap Institusi Pengajian Tinggi agar memilih

    pegawai dan kakitangan yang amanah, cekap dan berhemah dalam melaksanakan

    tanggungjawab tersebut. Selain itu juga, kawalan dalaman juga perlu dilaksanakan bagi

    memastikan urusan yang dijalankan adalah telus.

    Jadual 5: Hasil ujian daripada Analisis Faktor pembolehubah Keberkesanan agihan

    Item Faktor Muatan Faktor Min Alpha

    Cronbach

    1. Proses Permohonan adalah mudah dan ringkas 0.809 3.52

    0.801

    2. Bantuan wang saku tepat mengikut jadual 0.790 3.22

    3. Penyampaian maklumat jelas, tepat dan mudah 0.770 3.37

    4. Tidak digugur taraf akibat kelewatan proses LZS 0.759 3.82

    5. Tiada masalah kemaskini keputusan peperiksaan 0.630 3.28

    Kajian ini juga telah mendapat beberapa respon positif daripada responden terhadap

    perlaksanaan kaedah lokalisasi agihan zakat kepada Unit Zakat Institusi Pengajian Tinggi

    masing-masing. Langkah melokalisasikan urus tadbir agihan zakat ini dengan harapan

    memudahkan para pelajar yang layak untuk memohon bantuan zakat tersebut di samping

    mempercepatkan proses agihan. Langkah melokalisaikan urus tadbir agihan zakat ini juga

    disokong oleh para responden kerana perlaksanaan sistem seperti ini memudahkan komunikasi

    antara para pelajar dengan pihak yang berkaitan kerana lebih hampir dengan lokasi para pelajar

  • 10

    di kampus. Proses pengagihan zakat juga dilihat akan dijalankan dengan lebih mudah, cepat

    dan teratur serta meningkat efisien urus tadbir agihan zakat LZS kepada para pelajar IPT dan

    IPTS di Selangor.

    Hasil kajian juga turut mendapat cadangan dan harapan daripada responden berkenaan dengan

    tajaan zakat kepada pelajar asnaf fakir/miskin pada masa hadapan. Antara harapan yang

    diberikan adalah supaya Lembaga Zakat Selangor menambahkan peruntukan wang tajaan zakat

    kepada pelajar asnaf fakir/miskin kerana peningkatan kos sara hidup dari tahun ke tahun. Selain

    itu, kaedah serta prosedur permohonan bantuan zakat juga diharap akan lebih mudah di masa

    hadapan serta penyampaian maklumat perlu lebih efisien kepada semua pelajar terutamanya

    yang layak untuk memohon bantuan zakat tersebut. Sistem urus tadbir agihan zakat juga

    diharap akan lebih teliti supaya bantuan zakat tersebut diagihkan kepada pelajar yang benar-

    benar layak. Bantuan zakat pendidikan LZS juga diharap turut memberikan bantuan kepada

    pelajar yang kurang berkemampuan tetapi berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke

    Universiti di luar Negara. Lembaga Zakat Selangor juga diharapkan agar member bantuan

    zakat pendidikan sepanjang tempoh pengajian sehingga tamat pengajian kepada pelajar-pelajar

    yang layak kerana peningkatan kos sara hidup serta kos-kos lain seperti tugasan luar kampus

    yang memerlukan belanja yang tinggi. Bantuan zakat juga diharapkan ditingkatkan peruntukan

    untuk para pelajar Intitusi Pengajian Tinggi kerana para pelajar didapati tidak cukup dengan

    peruntukan pinjaman seperti daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)

    akibat peningkatan kos sara hidup. Maklum balas secara keseluruhannya mendapati

    kebanyakan para pelajar yang menerima bantuan zakat menyokong usaha bantuan zakat

    pendidikan dari Lembaga Zakat Selangor diteruskan dan memberikan respon positif kepada

    usaha untuk melokalisasikan tadbir urus agihan zakat di Institusi Pengajian Tinggi.

    Selain itu juga, hasil kajian juga mendapati terdapat responden yang bersetuju untuk

    mewujudkan unit zakat di masjid universiti. Ini kerana kebanyakan kolej kediaman di universiti

    berhampiran dengan masjid dan ia memudahkan para pelajar untuk berurusan dengan unit

    zakat universiti. Cadangan ini juga dipersetujui kerana masjid adalah tempat beribadah dan

    tumpuan kebanyakan para pelajar khususnya yang beragama Islam. Oleh itu, maklumat-

    maklumat berkaitan bantuan zakat mudah untuk disampaikan dengan lebih efisien kepada para

    pelajar. Di samping itu juga, dengan wujudnya unit zakat di masjid universiti, ia akan

    menggalakkan para pelajar untuk lenbih kerap berjemaah di masjid di samping berurusan

    dengan unit zakat. Sebaliknya, terdapat juga responden yang tidak bersetuju untuk

    mewujudkan unit zakat di masjid universiti kerana lokasi masjid agak jauh dari kolej kediaman

    serta tidak berpeluang untuk selalu ke masjid kerana jadual pembelajaran yang padat.

    6.0 Kesimpulan

    Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, perkara yang boleh disimpulkan adalah

    melokalisasikan tadbir urus agihan zakat tajaan Lembaga Zakat Selangor di Institusi Pengajian

    Tinggi wajar dipandang serius oleh pihak Lembaga Zakat Selangor. Ini kerana,

    melokalisasikan tadbir urus agihan zakat di Institusi Pengajian Tinggi akan lebih membantu

    pihak yang memerlukan bantuan zakat khususnya dalam pendidikan di universiti. Butiran

  • 11

    pelajar-pelajar yang amat memerlukan bantuan zakat lebih mudah untuk diperoleh jika tadbir

    urus agihan zakat ini diperkembangkan ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Selain itu juga,

    pihak LZS juga perlu memantau perkembangan prestasi akademik para pelajar yang menerima

    tajaan bantuan zakat LZS di setiap IPT yang terlibat. Manakala penerima-penerima zakat juga

    mudah berurusan dengan pihak ataupun wakil Lembaga Zakat Selangor tanpa melibatkan

    tempoh masa yang lama dan juga bagi mengelakkan karenah birokrasi.

    Rujukan

    Md Zyadi tahir & Mariani Majid (1999), Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat di Malaysia,

    Pascasidang Seminar Pengeluaran Awam dan Swasta: Justifikasi dan Realiti di

    Malaysia. Bangi : Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

    Hairunnizam Wahid, Sanep ahmad, Radiah Abdul Kader (2009), Pengahihan Zakat Oleh

    Institusi Zakat Di Malaysia: Mengapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati?, Jurnal

    Syariah, Jil. 17, Bil. 1 (2009) 89-112.

    Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad, Radiah Abdul Kader (2012), Melokalisasikan Urus

    Tadbir Pengagihan Zakat: Peranan Institusi Masjid di Malaysia, Asian Journal of

    Accounting and Governance 3: 71-83 (2012).

    Radiah Abdul Kader, Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad (2010), Cadangan Melokalisasikan

    Pengagihan Zakat di Malaysia: Satu Kajian Empirik, The 4th ISDEV International

    Islamic Development Management Conference (IDMAC 2010).

    Sanep Ahmad, Hairunnizam Wahid, Adnan Mohamad (2006), Penswastaan Institusi Zakat

    dan Kesannya Terhadap Pembayaran Secara Foemal di Mlaysia, Pusat Pengajian

    Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

    Hairunnizam Wahid, Radiah Abdul Kader, Sanep Ahmad (2012), Penerimaan Amil dan Asnaf

    terhadap Penyetempatan Pengagihan Zakat di Malaysia, Jurnal Ekonomi Malaysia

    46(1)(2012) 39-51.

    Eri Yanti Nasution, Mohd Adib Ismail, Hairunnizam Wahid (2015), Faktor-Faktor Penentu

    Masyarakat Membayar Zakat Di Badan Amil Zakat Nasional (Baznas): Kajian Kes

    Kota Medan Indonesia, Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia PERKEM Ke-10

    2015.

    Hairunnisa Haurudin, Maryam Abd Rashid, Hairunnizam Wahid & Sanep Ahmad (2015),

    Kebolehpercayaan Kualiti Pengurusan Zakat: Persepsi Usahawan Muslim Terhadap

    Lembaga Zakat Selangor, Sepang, Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi dan

    Kewangan Islam 2015. Bangi: Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam

    (EKONIS-UKM), Universiti Kebangsaan Malaysia. ISBN: 978-983-3198-91-7.