abstrak - persidangan antarabangsa perundangan islam 2018...
TRANSCRIPT
248
ZAKAT SAHAM: STATUS KEWAJIPAN DAN ISU PEMILIKAN SEMPURNA
Lokmanulhakim Hussain1
International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)
ABSTRAK
Zakat adalah salah satu rukun Islam yang merupakan kewajipan terhadap harta. Kewajipan
zakat harta bergantung kepada syarat-syarat tertentu, antara lain ialah wujudnya pemilikan
sempurna terhadap sesuatu harta. Kajian ini membuat analisis berkenaan dengan pemilikan
sempurna terhadap saham yang merupakan suatu jenis harta dalam bentuk baharu yang
tidak wujud pada zaman awal Islam. Kajian ini mengetengahkan persoalan berkenaan
dengan kewajipan zakat sesebuah syarikat, adakah terletak ke atas bahu individu pemegang
saham, atau ke atas bahu syarikat itu sendiri di atas dasar legal entity. Bagi menentukan
status pemilikan sempurna saham, hakikat sebenar saham dari perspektif Syariah diambil
kira dengan meninjau definisi saham dan takyif fiqhi yang bertepatan. Kajian ini
menganalisis secara terperinci berkenaan salah satu syarat kewajipan zakat iaitu pemilikan.
Dalam konteks pemegangan saham, terdapat kesamaran berkenaan dengan kewujudan
syarat pemilikan sempurna pemegang saham terhadap aset syarikat. Kajian ini meninjau
persoalan tersebut dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip fiqah.
Kata kunci: zakat, saham, pemilikan
SAHAM DARIPADA PERSPEKTIF SYARAK
Bahagian ini membicarakan tentang istilah saham daripada perspektif syarak dengan
mengemukakan beberapa definisi saham yang diutarakan oleh ulama kontemporari. Ia
kemudian disusuli dengan perbincangan tentang takyīf fiqhī terhadap saham.
Definisi Saham
Definisi Saham daripada Sudut Bahasa
Saham adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab iaitu sahm. Ia memberi
beberapa pengertian yang berbeza-beza.
Menurut Ibn Fāris (1399H, 3:111), perkataan sahm mempunyai dua pengertian dasar, iaitu:
i- Perubahan pada warna. Apabila dikatakan sahuma wajh al-rajul, maka
maksudnya ialah muka lelaki itu berubah.
ii- Bahagian. Daripada pengertian dasar kedua ini, perkataan sahm juga membawa
maksud undian, sebagaimana dalam firman Allah Taala:
فساهم فكان من المدحضي
1 Lokmanulhakim Bin Hussain merupakan penyelidik di Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam
(ISRA). Beliau menerima pendidikan di peringkat Sarjana Muda dalam pengkhususan Syariah dan juga di peringkat Sarjana dalam
pengkhususan Fiqh di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Selain berkhidmat di ISRA, beliau juga merupakan Felo JAKIM, Ahli
Jawatankuasa Penasihat Pensijilan Halal Malaysia, dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Al Rajhi Bank Malaysia Berhad. Beliau
boleh dihubungi melalui email: [email protected]
249
Maksudnya: “(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut
mengundi, lalu menjadilah dia dari orang-orang yang kalah yang digelungsurkan
(ke laut)” (Surah Al-Ṣāffāt: ayat 141).
Daripada kedua-dua pengertian dasar di atas, pengertian kedua yang membawa maksud
bahagian adalah menepati maksud saham yang dibicarakan dalam kertas kajian ini.
Definisi Saham daripada Sudut Istilah
Daripada sudut istilah pula, saham ditakrifkan dengan pelbagai definisi yang
kebanyakannya memberi pengertian yang hampir sama. Secara umum, dalam
mendefinisikan saham terdapat dua pendekatan yang berbeza;
(i) Pendekatan yang mendefinisikan saham sebagai dokumen/sijil/skrip tertentu.
(ii) Pendekatan yang mendefinisikan saham sebagai bahagian dalam aset syarikat.
Antara definisi yang mengambil pendekatan saham sebagai dokumen ialah yang
ditakrifkan oleh Fawzī, “Suatu dokumen yang diberikan kepada pemodal dalam sesebuah
syarikat saham bagi mewakili kadar bahagiannya dalam pemilikan secara bersekutu
terhadap modal syarikat tersebut” (Fawzī, 2005, 137).
Pendekatan ini juga dipilih oleh Al-Khalīl ketika mendefinisikan saham sebagai,
“Dokumen yang mewakili suatu bahagian sama ada aset nyata (ʿayn) atau mata wang dalam
modal sesebuah syarikat, di mana dokumen itu boleh diperniagakan, dan memberikan hak-
hak tertentu kepada pemiliknya” (1424H, 48).
Definisi-definisi tersebut merujuk saham sebagai dokumen, sijil ataupun skrip yang
menjadi bukti pemilikan seseorang terhadap sesuatu bahagian dalam modal sesebuah
syarikat.
Manakala pendekatan kedua ialah mendefinisikan saham sebagai bahagian pemodal itu
sendiri yang tidak tertentu (undivided) dalam aset syarikat, sebagaimana Al-Sharqāwī
mendefinisikan saham secara ringkas sebagai, “Bahagian pemodal dalam syarikat harta”
(1998M, 167).
Antara kedua-dua pengertian di atas terdapat hubungkait yang rapat, kerana definisi kedua
mentakrifkan saham sebagai suatu bahagian dalam pemilikan modal syarikat, manakala
definisi pertama merujuk saham sebagai dokumen atau skrip yang menjadi bukti kepada
pemilikan seseorang pemodal terhadap sebahagian modal syarikat.
Takyīf Fiqhī Bagi Saham
Saham adalah istilah baru yang hanya mula wujud pada zaman terkemudian. Oleh itu, untuk
mengaitkan saham dengan hukum-hakam syarak termasuklah dalam perbahasan mengenai
status kewajipan zakatnya, pemahaman yang jelas dan tepat berkenaan konsep sebenar
saham daripada perspektif fiqah adalah amat perlu. Tanpa kefahaman yang tepat, sebarang
hukum-hakam fiqah berkaitan dengannya tidak dapat dirungkaikan. Ini sebagaimana
terungkap dalam satu kaedah fiqah yang masyhur, ‘Meletakkan hukum terhadap sesuatu
perkara merupakan cabang yang bergantung kepada tasawwur (kefahaman yang betul)
terhadap perkara tersebut’.
250
Ulama kontemporari berbeza pandangan dalam memberikan takyīf fiqhī bagi saham,
sebagaimana berikut:
Pendapat Pertama
Saham dari sudut fiqahnya dikira sebagai barang perniagaan yang dikenali dalam istilah
fiqah sebagai ʿurūḍ tijārah. Aset-aset yang diwakili oleh saham-saham tidak dikira sebagai
milikan kepada pemilik saham. Pemilik sebenar aset-aset syarikat ialah syarikat itu sendiri
sebagai satu shakhṣiyyah iʿtibāriyyah. Pemilik saham dikira memiliki hak untuk
memperoleh keuntungan daripada syarikat.
Pendapat ini dipilih oleh sebahagian ulama, antara mereka Muṣṭafā Kamāl Ṭāhā (1974M,
192-193) yang menyebut, “Sesebuah syarikat mempunyai tanggungan (dhimmah)
kewangan yang berasingan... Maka aset-aset syarikat tidak dikira sebagai milikan secara
shuyūʿ (undivided) antara pekongsi-pekongsinya (pemegang-pemegang saham). Tetapi
aset-aset tersebut dikira sebagai milikan kepada syarikat... Tidak ada bahagian untuk
pekongsi (pemegang saham) selepas itu kecuali sekadar bahagian dalam keuntungan-
keuntungan, dan juga bahagian dalam harta-harta yang berbaki selepas pembubaran
syarikat”.
Hujah
Pendapat yang mengatakan bahawa saham ditakyīfkan sebagai ʿurūḍ tijārah (barangan
perniagaan) bersandarkan kepada beberapa hujah, antaranya:
1. Hadis Ibn ʿUmar r.a. bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
تاع ومن اب تاع عبدا وله مال، ف ب ماله للذي بعه، إل أن يشتط امل
Maksudnya: “Sesiapa membeli seorang hamba sedangkan hamba itu mempunyai
harta, maka harta tersebut adalah bagi orang yang menjualnya kecuali jika pembeli
mensyaratkannya”. (Riwayat al-Bukhārī, al-Ṣaḥīḥ, 3:155, no: 2379; Muslim, al-
Ṣaḥīḥ, 3:1173, no: 1543).
Sudut pendalilan: Hadis tersebut menunjukkan bolehnya berlaku transaksi jual beli
terhadap suatu item yang mewakili barang perniagaan dan harta lain. Kerana yang
dijual adalah seorang hamba yang merupakan barang perniagaan dan juga harta lain
yang dimilikinya. Lalu kesemuanya diletakkan dalam satu hukum iaitu dikira
sebagai barang perniagaan. Maka harus untuk menjualnya (hamba tersebut berserta
dengan hartanya) sama ada harta tersebut dimaklumi atau tidak dimaklumi
kadarnya, sama ada harta tersebut dalam bentuk barangan nyata atau dalam bentuk
hutang (Al-Ghufaylī, t.t. 5).
Maka berdasarkan kepada hukum tersebut, boleh dikiaskan bahawa harus menjual
dokumen-dokumen yang mempunyai nilai tanpa melihat aset yang terkandung di
dalamnya seperti mata wang, hutang atau aset-aset dalam bentuk bangunan dan
sebagainya. Kesemua sekali akan mengambil hukum barang perniagaan. (Ṣāliḥ al-
Muslim, t.t., 4).
2. Saham dianggap sebagai harta yang dijual dan dibeli dan mempunyai pasarannya
yang tersendiri. Orang yang terlibat dalam jual beli saham boleh mendapat
keuntungan daripada perniagaan saham sebagaimana seorang peniaga barang
mendapat keuntungan daripada jualan barangnya. Ini menunjukkan bahawa ia
menyamai barang perniagaan atau ʿurūḍ tijārah (Al-Ghufaylī, t.t. 6).
3. Harga sesuatu saham adalah berubah-ubah dan perubahan turun dan naik harga
saham tidak disebabkan kenaikan atau penurunan nilai aset-aset yang ada dalam
syarikat. Tetapi kenaikan dan penurunan harga saham adalah bergantung pada nilai
saham itu di pasaran yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti spekulasi dan
251
seumpamanya. Justeru, saham itu sendiri dikira sebagai barang perniagaan yang
mempunyai nilai sendiri yang berubah-ubah.
4. Antara hujah yang menunjukkan bahawa saham itu sendiri adalah barang
perniagaan, dan bukannya mewakili pemilikan terhadap aset syarikat, ialah
pemegang saham tidak memiliki hak untuk taṣarruf terhadap aset-aset syarikat,
seperti menjualnya, menyewanya, memberi hibah kepada orang lain, mencagarnya
dan lain-lain. Malahan pemegang saham tidak memiliki hak untuk menggunakan
mana-mana aset syarikat secara bebas. Ini menunjukkan bahawa pemegang saham
tidak memiliki aset syarikat. Justeru, saham yang dimilikinya adalah dikira sebagai
barang perniagaan yang dibelinya dan boleh dijualnya balik (Al-Ghufaylī, t.t. 6).
Pendapat Kedua
Saham mewakili pemilikan bahagian pemegang saham terhadap aset-aset syarikat.
Antara ulama kontemporari yang secara jelas memilih pandangan ini ialah Al-Ḍarīr yang
menyatakan:
فالتكييف احلقيقي والواقعي للسهم هو أنه جزء من موجودات الشركة أاي كان نوعهاMaksudnya: “Takyīf yang hakiki dan tepat dengan realiti bagi saham ialah ia merupakan
satu bahagian daripada aset-aset syarikat tanpa mengira apa jenis syarikat tersebut”.
(Buḥūth Bayt al-Zakāh, 11:27).
Takyīf fiqhī ini dipilih dalam Resolusi Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmiī (No. 63, 7/1) yang
memutuskan:
أن احملل املتعاقد عليه يف بيع السهم هو احلصة الشائعة من أصول الشركة وشهادة السهم عبارة عن وثيقة للحق يف تلك احلصة.
Maksudnya: “Subjek yang ditransaksikan dalam akad jual beli saham ialah bahagian yang
tidak tertentu (undivided) daripada aset-aset syarikat. Sijil saham adalah dokumen yang
mengisbatkan hak pada bahagian tersebut”.
Takyīf fiqhī ini juga dipilih dalam Piawaian Shariah AAOIFI:
تتب عليها ييتمثل السهم حصة شائعة يف رأس مال شركة املسامهة كما ميثل حصة شائعة يف موجوداهتا وما من حقوق عند حتول رأس املال إىل أعيان ومنافع وديون وحنوها. وحمل العقد عند تداول األسهم هو هذه
احلصة الشائعة.Maksudnya: “Saham mewakili bahagian yang tidak tertentu (undivided share) pada modal
sesebuah syarikat. Ia juga mewakili bahagian yang tidak tertentu (undivided share) pada
aset-aset syarikat beserta dengan segala hak-hak yang timbul kesan daripada pertukaran
modal kepada barang nyata, benefit, hutang dan sebagainya. Subjek yang dikontrakkan
ketika jual beli saham ialah bahagian tersebut yang tidak tertentu”. (AAOIFI, 2010M, 297).
Malahan Muhammad ʿAbd al-Ghaffār al-Sharīf menisbahkan takyīf fiqhī ini adalah
pandangan kesepakatan para ulama kontemporari. (Majallah Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī,
6:970). Walau bagaimanapun penisbahan takyīf fiqhī demikian kepada kesepakatan ulama
adalah kurang tepat kerana ada pandangan kedua dipegang oleh sebahagian ulama
kontemporari.
Hujah
252
Pendokong pendapat kedua berhujah bahawa dokumen saham tidak mengandungi nilai
pada dokumen itu semata-mata. Tetapi ia mewakili aset-aset dalam sesebuah syarikat.
Justeru ia hendaklah mengambil hukum aset-aset dalam syarikat.
Pendapat pilihan
Berdasarkan kepada dua bentuk takyīf fiqhī yang dikemukakan oleh para ulama
kontemporari, kertas kajian ini memilih pandangan yang mengatakan bahawa takyīf fiqhī
bagi saham ialah saham merupakan satu bahagian yang tidak tertentu (undivided) dalam
aset-aset syarikat. Kekuatan pandangan ini adalah berdasarkan kepada faktor-faktor
berikut:
i- Takyīf fiqhī ini dipilih oleh ramai ulama kontemporari, dan diputuskan secara
kolektif dalam persidangan Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī al-Dawlī. Ia juga
diputuskan dalam Piawaian Shariah AAOIFI yang diwakili oleh pakar-pakar
kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Al-Qaradaghi menyimpulkan takyīf
fiqhī ini sebagai, “Ia adalah ijtihad secara jamāʿī (kolektif)”. (t.t., 6).
ii- Takyīf fiqhī ini juga bertepatan dengan definisi saham menurut istilah
sebahagian ahli ekonomi, yang mentakrifkan saham sebagai, “A type of security
that signifies ownership in a corporation and represents a claim on part of the
corporation's assets and earnings”. (Dhanadeach, 2007, 12).
ZAKAT SYARIKAT: KEWAJIPAN SYARIKAT ATAU PEMEGANG SAHAM
Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan dengan isu pihak manakah yang wajib
mengeluarkan zakat harta atau perniagaan syarikat.
Pendapat Pertama: Pihak yang wajib mengeluarkan zakat ialah pemilik-pemilik saham
dan bukannya syarikat.
Antara yang memilih pandangan ini ialah Al-Ḍarīr. (Majallah Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī,
Bil. 4, 1:832).
Pendapat ini bersandarkan kepada hujah berikut:
i- Pemilik saham adalah pemiliki sebenar bagi harta-harta syarikat, maka zakat
hendaklah dibayar oleh pemilik saham. Al-Ḍarīr menjelaskan:
وأرى أن زكاة األسهم جتب على املساهم؛ ألنه هو املالك احلقيقي لألسهم، والشركة تتصرف يف أسهمه نيابة عنه
Maksudnya: “Saya berpandangan bahawa zakat saham-saham adalah wajib ke atas
pemilik saham kerana dia adalah pemilik hakiki bagi saham-saham. Syarikat
mengendalikan saham-saham tersebut adalah secara niyābah”. (Majallah Majmaʿ
al-Fiqh al-Islāmī, Bil. 4, 1:832).
ii- Zakat adalah suatu ibadah taklīfiyyah yang dilakukan oleh mereka yang
beragama Islam. Nas-nas syarak daripada Al-Quran dan Sunnah berkaitan
kewajipan zakat adalah ditujukan kepada para mukallaf. (Al-Khalīl, 1424H,
282).
Al-Sarakhsī menyatakan, “Zakat adalah suatu ibadah yang dimaksudkan, dan ia
tidak terlaksana kecuali dengan disertai niat”. (1414H, 3:34).
iii- Tidak semestinya setiap pemilikan dikenakan zakat padanya. Justeru syarikat
sekalipun dikira sebagai shakhṣiyyah iʿtibāriyyah yang dianggap memiliki aset-
253
asetnya, namun tidak semestinya dikenakan zakat, sebagaimana tidak
dikenakan zakat terhadap baitul mal, dan juga terhadap harta waqaf.
ʿAbd al-Salām al-ʿAbbādī dalam komentarnya menyatakan, “Wujudnya
pemilikan bagi sesuatu pihak tidak bermakna mesti dibicarakan berkenaan
dengan zakatnya. Waqaf adalah satu pihak yang mempunyai pemilikan, dan
begitu juga baitul mal adalah pihak yang mempunyai pemilikan, sedangkan kita
tidak pun membicarakan berkenaan isu zakat”. (Majallah Majmaʿ al-Fiqh al-
Islāmī, Bil. 4, 1:857).
Maka begitu juga syarikat sebagai shakhṣiyyah iʿtibāriyyah tidak diwajibkan
zakat ke atasnya, sebaliknya diwajibkan zakat ke atas pemilik saham yang
beragama Islam. (Al-Khalīl, 1424H, 283).
Pendapat Kedua: Pihak yang wajib mengeluarkan zakat ialah syarikat sebagai
shakhṣiyyah iʿtibāriyyah, dan pemilik saham tidak diwajibkan mengeluarkan zakat.
Antara yang berpandangan demikian ialah Shawqī Shaḥātah, Wahbah al-Zuḥaylī dan ʿAbd
al-Laṭīf al-Farfūr. (Al-Khalīl, 1424H, 283).
Hujah pandangan kedua ini ialah:
i- Syarikat mempunyai dhimmah (tanggungan) yang berasingan dan berpisah
daripada dhimmah (tanggungan) para pemilik saham. Aset-aset syarikat tidak
dianggap sebagai milikan bagi pemilik saham, tetapi sebaliknya ia adalah
milikan bagi syarikat itu sendiri. (Majallah Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī, Bil. 4,
1:825).
ii- Kewajipan zakat adalah tanggungjawab taklif yang bersangkutan dengan harta
dan tidak disyaratkan beragama. Oleh itu ia diwajibkan ke atas syarikat sebagai
shakhṣiyyah iʿtibāriyyah. Hujah ini disebut oleh Shawqī Shaḥātah dengan
mengatakan, “Apabila syarikat saham mempunyai taraf shakhṣiyyah
iʿtibāriyyah yang berasingan, dan berdasarkan kedudukan zakat sebagai suatu
taklif (bebanan) yang bersangkutan dengan harta, maka ia adalah wajib ke atas
syakhṣiyyah iʿtibāriyyah, di mana tidak disyaratkan taklif dari sudut agama
yang berasaskan kepada baligh dan akal”. (t.t., 119).
Pendapat Ketiga: Pihak yang wajib mengeluarkan zakat ialah kedua-duanya, iaitu syarikat
sebagai shakhṣiyyah iʿtibāriyyah, dan juga pemilik saham di atas dasar ia adalah ʿurūḍ
tijārah.
Pendapat ketiga ini melihat bahawa zakat wajib dikeluarkan oleh syarikat kerana hartanya
berkembang, dan dikeluarkan juga oleh pemilik saham kerana saham dikira sebagai barang
perniagaan yang juga berkembang dan dikeluarkan zakat ʿurūḍ tijārah. (Al-Khalīl, 1424H,
285).
Pendapat Pilihan: Setelah meneliti ketiga-tiga pandangan dan menilai hujah-hujah yang
dikemukakan, kertas kajian ini memilih pandangan yang mengatakan bahawa zakat adalah
diwajibkan ke atas pemilik saham-saham syarikat, dan bukannya ke atas syarikat sebagai
syakhṣiyyah iʿtibāriyyah.
Pemilihan pandangan ini juga adalah berasaskan kepada takyīf fiqhī bagi saham yang
dipilih oleh kajian ini iaitu saham adalah mewakili pemilikan bahagian dalam aset syarikat
secara tidak tertentu (undivided). Sebagai pemilik sebenar kepada aset syarikat, maka zakat
sepatutnya adalah diwajibkan ke atas pemilik saham.
254
Pandangan ini juga bertepatan dengan definisi saham menurut istilah ekonomi yang
merujuk saham sebagai, “A type of security that signifies ownership in a corporation and
represents a claim on part of the corporation's assets and earnings”. (Dhanadeach, 2007,
12).
Dalam Investopedia dijelaskan bahawa pemegang saham adalah dikira seorang pemilik
syarikat, “A holder of stock (a shareholder) has a claim to a part of the corporation's assets
and earnings. In other words, a shareholder is an owner of a company. Ownership is
determined by the number of shares a person owns relative to the number of outstanding
shares. For example, if a company has 1,000 shares of stock outstanding and one person
owns 100 shares, that person would own and have claim to 10% of the company's assets”.
(“Stocks”, Investopedia, dilayari pada: 29 September 2014).
Pandangan ini juga dipilih oleh Majlis Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī dalam persidangannya
pada tahun 1408H yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi. Resolusi persidangan tersebut
memutuskan:
“Wajib zakat saham-saham ke atas pemilik-pemiliknya”. (Qarārāt wa Tawṣiyāt Majlis
Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī, 1418H, 63; Majallah Majmaʿ al-Fiqh, Bil. 4, 1:881).
Walau bagaimanapun resolusi tersebut menyebut bahawa pihak pengurusan syarikat perlu
mengeluarkan zakat bagi pihak pemilik saham dalam situasi-situasi berikut:
i- Jika diperuntukkan dalam peraturan syarikat bahawa ia perlu mengeluarkan
zakat bagi pihak pemilik saham.
ii- Jika diputuskan dalam ketetapan atau resolusi perhimpunan agung syarikat
bahawa ia perlu mengeluarkan zakat bagi pihak pemilik saham.
iii- Jika undang-undang sesebuha Negara mewajibkan syarikat mengeluarkan zakat
bagi pihak pemilik saham.
iv- Jika pemilik saham menyerahkan kepada pihak pengurusan syarikat untuk
megeluarkan zakat bagi pihaknya. (Qarārāt wa Tawṣiyāt Majlis Majmaʿ al-Fiqh
al-Islāmī, 1418H, 63).
Pemilihan pandangan ini tidak bermakna kertas kajian ini menolak konsep shakhṣiyyah
iʿtibāriyyah. Konsep tersebut diterima tetapi ia tidak sampai kepada tahap shakhṣiyyah
iʿtibāriyyah mempunyai kewajipan dan taklif untuk membayar zakat.
PENILAIAN SYARAT PEMILIKAN DALAM ZAKAT SAHAM
Zakat adalah hukum syarak yang mempunyai syarat-syarat tertentu sebagaimana
digariskan oleh ulama fiqah. Salah satu syarat kewajipan zakat ialah harta yang dizakatkan
adalah dimiliki secara sempurna. Syarat ini dikenali dalam istilah fiqah sebagai al-milk al-
tāmm. Tanpa pemilikan sempurna terhadap harta, ia tidak mencukupi salah satu syarat
diwajibkan zakat. Secara umumnya syarat ini disepakati dalam keempat-empat mazhab,
sebagaimana nukilan-nukilan berikut:
Dalam mazhab Ḥanafī, Al-Marghīnānī menjelaskan syarat ini dengan mengatakan, “Zakat
wajib ke atas orang yang merdeka, akil, baligh dan beragama Islam, jika memiliki nisab
dengan pemilikan yang sempurna”. (t.t., 32).
Dalam mazhab Mālikī, Khalīl dalam Mukhtaṣar karangannya menyebut, “…jika sempurna
pemilikan dan haul”. (1426H, 55).
255
Dalam mazhab Shāfiʿī, Imām al-Ḥaramayn menyatakan, “Yang muktamad (dijadikan
sandaran) dalam zakat ialah pemilikan sempurna dan beragama Islam”. (1428H, 3:169).
Dalam mazhab Ḥanbalī, syarat ini dinyatakan oleh Ibn Qudāmah, “Dan ia (zakat) wajib ke
atas setiap Muslim yang merdeka dan memiliki nisab dengan pemilikan yang sempurna”.
(1425H, 35).
Kesepakatan ulama terhadap syarat ini dinukilkan oleh Ibn Rushd, “Mereka bersepakat
bahawa zakat wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka, baligh, akil dan memiliki
nisab secara pemilikan sempurna”. (1425H, 2:5).
Dalam isu zakat ke atas pemilik saham dengan mengambil kira bahawa saham adalah
mewakili pemilikan bahagian-bahagian dalam aset syarikat, permasalahan syarat pemilikan
sempurna adalah relevan dalam menentukan hukum adakah pemilik saham wajib
mengeluarkan zakat.
Definisi Pemilikan Sempurna
Pemilikan yang dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-milk memberi maksud memperoleh
sesuatu dengan kemampuan untuk menguasainya. (Ibn Sīdah, 1421H, 7:54; Al-Fayrūz
Ābādī, 1426H, 954). Dalam istilah syarak juga makna pemilikan tidak jauh berbeza
daripada makna dari sudut Bahasa Arab.
Al-Qarāfī mendefinisikan pemilikan sebagai:
وض عنه من انتفاعه بململوك، والعحكم شرعي يقدر يف العي أو املنفعة، يقتضي متكن من يضاف إليه من حيث هو كذلك
Maksudnya: “Suatu hukum syarak yang diandaikan ada pada barang (ʿayn) atau manfaat,
yang membawa kepada bolehnya orang yang dinisbahkan kepadanya untuk mengambil
manfaat daripada sesuatu yang dimiliki tersebut serta mengambil bayaran pertukaran
(ʿiwaḍ) daripadanya, dari sudut ia sendiri”. (t.t., 3:208-209).
Definisi yang hampir sama juga dinukilkan oleh al-Suyūtī daripada Ibn al-Subkī. (Al-
Suyūṭī, 1411H, 316).
Daripada definisi di atas, kesan syarak daripada adanya suatu pemilikan ialah orang yang
memiliki boleh mengambil manfaat daripada aset milikan dan boleh mengambil ʿiwaḍ
(pertukaran) daripadanya.
Al-Zarkashī pula mendefinisikan pemilikan sebagai:
ول آخرةالقدرة على التصرفات اليت ل تتعلق هبا تبعة ول غرامة دنيا Maksudnya: “Kemampuan untuk taṣarruf (mengendalikan dengan cara jual beli dan lain-
lain) secara tidak menyebabkan sebarang kesan dan hukuman sama ada di dunia dan juga
akhirat”. (1405H, 3:223).
Definisi ini pula memberi penekanan kepada salah satu kesan daripada pemilikan iaitu
kebebasan pemilik untuk melakukan segala taṣarruf seperti menjualnya, menyewanya,
memberinya dan lain-lain.
Al-Jurjānī mendefinisikan pemilikan sebagai:
256
يهف غريه فاتصال شرعي بي اإلنسان وبي شيء يكون مطلقا لتصرفه فيه، وحاجزا عن تصر Maksudnya: “Suatu hubungan secara sharʿī antara manusia dengan sesuatu, yang
memberikan kebebasan kepadanya untuk taṣarruf (mengendalikan dengan cara menjual
dan lain-lain) padanya, dan menghalang orang lain daripada taṣarruf padanya”. (1403H,
229).
Dalam definisi al-Jurjānī, selain daripada menyebut berkenaan kebebasan pemilik untuk
taṣarruf (mengendalikan) pada aset yang dimiliki, beliau juga menyebut tentang halangan
terhadap orang lain untuk taṣarruf pada aset milikan seseorang.
Manakala yang dimaksudkan dengan pemilikan sempurna ialah, “pemilikan yang
sempurna/lengkap padanya semua kesan-kesan pemilikan”. (Al-ʿAynī, 1420H, 3:289).
Sebahagian ulama memperincikan bahawa pemilikan dibahagikan kepada dua jenis; (i)
pemilikan daripada sudut raqabah, dan (ii) daripada daripada sudut yad (kebebasan
taṣarruf). Yang dimaksudkan dengan pemilikan secara raqabah ialah apabila terhasilnya
suatu pemilikan dari sudut asalnya, seperti barang yang sudah dibeli tetapi belum
diserahkan kepada pembeli. Manakala pemilikan secara yad/pegangan ialah apabila
pemiliknya bebas taṣarruf seperti barang belian yang sudah diserahkan kepada pembelinya.
Pemilikan secara yad/pegangan adalah lebih kuat daripada pemilikan yang hanya secara
raqabah. Al-Taftāzānī menjelaskan, “Dan pemilikan secara yad/pegangan adalah lebih
kuat daripada pegangan secara raqabah kerana memperoleh manfaat dan juga taṣarruf
merupakan maksud daripada pemilikan. Pemilikan secara raqabah adalah wasilah
kepadanya”. (t.t., 2:345).
Maka yang dikatakan sebagai pemilikan sempurna ialah apabila wujud kedua-dua kesannya
iaitu pemilikan secara raqabah dan juga secara yad atau kebebasan taṣarruf. (Al-Kāsānī,
1406H, 2:313).
Al-Qarḍāwī pula menyimpulkan kesan pemilikan sempurna apabila, “harta itu berada di
tangannya, ia tidak terkait dengan hak orang lain, pemiliknya bebas taṣarruf pada harta
tersebut dengan pilihannya, dan faedah-faedah yang terhasil adalah untuknya”. (1393H,
130).
Dalam Piawaian Shariah AAOIFI berkenaan Zakat, pemilikan sempurna terjadi apabila
sesuatu aset tidak tertakluk/berkait dengan hak orang lain, dan pemiliknya boleh taṣarruf
padanyanya mengikut pilihannya, dan hasil perolehan dan perkembangan aset tersebut
menjadi hak pemiliknya. (AAOIFI, 2010M, 474).
Dr. ʿAbdullāh al-Muṣliḥ menyenaraikan bahawa pemilikan sempurna membawa kepada
kriteria-kriteria seperti:
i- Pemiliknya mempunyai kebebasan membuat sebarang taṣarruf secara syarak
terhadap aset.
ii- Pemilikan sempurna merangkumi kedua-dua jenis pemilikan, iaitu raqabah dan
manfaat.
iii- Pemilikan yang berlaku secara permulaan (bukan disebabkan faktor pertukaran
pemilikan) secara semula jadinya adalah pemilikan sempurna. (1415H, 123-
128).
257
Kesimpulannya pemilikan sempurna adalah pemilikan yang memberikan kebebasan
kepada pemilik untuk melakukan taṣarruf terhadap milikannya, dan ia meliputi pemilikan
secara raqabah dan pemilikan secara yad.
Pemilikan Sempurna dalam Konteks Zakat Saham
Dalam konteks zakat saham, pemilikan sempurna pemilik-pemilik saham dikira berlaku
terhadap aset-aset syarikat yang membawa kepada wajibnya mereka membayar zakat
saham. Ini adalah berdasarkan kepada faktor-faktor berikut:
i- Pemilik saham adalah pemilik hakiki terhadap aset-aset syarikat. Al-Qaradaghi
menegaskan perkara ini dengan berhujah bahawa pemegang saham akan
mendapat harta-harta syarikat apabila ia dibubarkkan selepas segala liabiliti dan
hutang syarikat dilangsaikan. Ini menunjukkan bahawa mereka adalah pemilik
hakiki aset-aset syarikat. (t.t., 10).
ii- Ini bertepatan dengan kaedah fiqah yang menyebut, الغنم بالغرم iaitu “Keuntungan
adalah diperoleh melalui tanggungan liabiliti”. Sebagaimana pemilik saham
mendapat keuntungan daripada saham-saham yang mewakili aset syarikat,
maka begitu juga pemilik saham hendaklah menanggung kewajipan
menunaikan zakat. (Al-Qaradaghi, t.t., 10).
iii- Pemilik saham bebas untuk menjual sahamnya, maka ia dikira kebebasan
pemilik saham untuk taṣarruf terhadap sahamnya yang mewakili aset-aset
syarikat. Ini kerana penjualan saham adalah bermaksud penjualan bahagian
milikannya dalam syarikat. Al-Qaradaghi menyatakan, “Pemilikan pemegang
saham terhadap bahagian dalam aset syarikat tidak terkeluar daripada
lingkungan pemilikan sempurna, kerana dia mampu menjual saham yang
mewakili bahagian tersebut, dan bebas taṣarruf terhadap sahamnya dengan
segala bentuk taṣarruf yang dibenarkan syarak”. (t.t., 11).
Justeru, pemilikan sempurna berlaku dalam konteks pemilikan aset syarikat oleh pemilik
saham. Ketidakmampuan pemilik saham menjual aset syarikat seperti bangunan dan lain-
lain tidak bermakna tiada pemilikan sempurna, bahkan ia masih dalam lingkungan
pemilikan sempurna berdasarkan kepada hujah-hujah berikut:
i- Halangan disebabkan syirkah (perkongsian).
Sebagaimana dimaklumi bahawa pemegang saham adalah dikira sebagai pemilik
sebahagian asset syarikat. Namun pemilikan pemegang saham adalah secara perkongsian,
dan pemilikannya juga adalah secara shuyūʿ (undivided). Oleh sebab pemilikan pemegang
saham adalah secara perkongsian, maka terdapat halangan bagi pemegang saham untuk
bebas menjual asset-aset syarikat.
Ini kerana menurut hukum-hakam syirkah (perkongsian), hukum melakukan taṣarruf
(seperti menjual, menyewa, memberi) terhadap aset syarikat oleh mana-mana pekongsi
adalah tertakluk kepada perincian berikut:
(a) Sekiranya taṣarruf seseorang tidak membawa kepada kemudaratan kepada
pekongsi-pekongsi lain dalam syarikat, maka ia dibenarkan. “Dan tidak ada
khilaf di kalangan fuqaha bahawa harus bagi seseorang pekongsi untuk taṣarruf
pada milikannya sebagaimana dia inginkan, selagi mana dia mempunyai
kelayakan untuk taṣarruf, dan ia tidak membawa kepada kemudaratan terhadap
pekongsinya yang lain”. (Al-Muṣliḥ, 1415H, 378).
258
Dalam konteks saham, penjualan saham adalah mewakili penjualan sebahagian
aset syarikat, dan ia tidak memberi kemudaratan kepada pemegang-pemegang
saham yang lain.
(b) Sekiranya taṣarruf seseorang pekongsi membawa kemudaratan kepada
pekongsi-pekongsi lain dalam syarikat, sebahagian ulama menyatakan bahawa
taṣarruf adalah tidak sah.
Ibn Nujaym menyatakan, “Dan setiap daripada dua pekongsi itu dilarang
daripada taṣarruf terhadap bahagian rakan kongsinya kepada pihak ketiga,
kecuali dengan keizinan daripada rakan kongsinya”. (t.t., 5:180).
Ibn Ḥazm pula menyatakan, “Dan tidak halal bagi seseorang daripada pekongsi-
pekongsi untuk melaksanakan sesuatu hukum terhadap suatu bahagian tertentu
daripada aset yang mereka kongsikan, dan tidak juga pada kesemuanya, sama
ada bahagian itu kecil atau besar, untuk menjualnya, bersedekah dengannya,
memberi hibah (hadiah)”. (t.t., 6:427).
Antara hujah bahawa seseorang pekongsi tidak boleh bebas bertaṣarruf terhadap
aset kongsinya ialah hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:
تى يؤذن شريكه فإن رضي أخذ، وإن كره ترك من كان له شريك في ربعة، أو نخل، فليس له أن يبيع ح
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai pekongsi pada suatu tanah atau pohon
kurma, maka tidak boleh baginya menjual sehingga di memberitahu
pekongsinya. Jika dia (pekongsinya) redha, maka bolehlah dia mengambilnya,
dan jika dia tidak menyukainya, hendaklah dia meninggalkannya”. (Riwayat
Muslim, al-Ṣaḥīḥ, 3:1229, no: 1608).
Dalam konteks saham, setiap pemegang saham tidak boleh menjual aset-aset
syarikat secara bebas adalah kerana wujudnya halangan perkongsian dan ia
boleh memberi kemudaratan terhadap pekongsi-pekongsi yang lain. Ia tidak
menafikan pemilikan sebenar pemegang saham terhadap sebahagian aset
syarikat secara perkongsian.
ii- Penjualan aset boleh dilakukan tetapi melalui penjualan saham
Kenyataan yang mendakwa bahawa pemegang saham tidak memiliki secara sebenarnya
aset-aset syarikat, dengan berhujah bahawa pemegang saham tidak boleh menjual aset-aset
saham secara bebas kepada orang lain adalah tidak tepat. Ini kerana pemegang saham
sebenarnya boleh menjual aset-aset syarikat kepada pihak lain, tetapi melalui penjualan
saham. Oleh kerana saham adalah mewakili aset-aset dalam syarikat, maka penjualan
saham juga sebenarnya adalah penjualan sebahagian aset syarikat.
iii- Halangan taṣarruf tidak menafikan pemilikan sempurna
Di dalam fiqah, terdapat beberapa situasi seseorang pemilik aset terhalang daripada
taṣarruf secara bebas terhadap hartanya, tetapi dalam masa yang sama ia tidak
mengeluarkannya daripada pemilikan sempurna yang tertakluk kepada kewajipan zakat.
Antara situasi-situasi tersebut adalah seperti berikut:
Halangan terhadap kanak-kanak untuk taṣarruf terhadap hartanya, sebagaimana firman
Allah Taala:
هم رشدا فادف عوا إليهم أموالم واب ت لوا الي تامى حت إذا ب لغوا الن كاح فإن آنستم من Maksudnya: “Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup
umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang
259
menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka
serahkanlah kepada mereka hartanya”. (Surah Al-Nisā’: ayat 6).
Sekalipun kanak-kanak terhalang daripada secara bebas terhadap hartanya, tetapi ia tidak
menafikan pemilikan sempurna dan tidak menafikan kewajipan zakat pada harta tersebut,
sebagaimana pandangan majoriti mazhab iaitu mazhab Shāfiʿī, mazhab Mālikī dan mazhab
Ḥanbalī. (Al-Nawawī, 1412H, 2:149; Al-Ḥaṭṭāb, 1412H, 2:292; Ibn Qudāmah, 1388H,
2:465).
Begitu juga dalam bab rahn (gadaian), rāhin (orang yang memberi gadaian) terhalang
daripada bebas bertaṣarruf terhadap aset yang dijadikan rahn terhadap hutangnya, kerana
aset gadaiannya adalah terkait dengan hak orang lain (pemiutang). Sekalipun dia tidak
bebas taṣarruf pada asetnya, tetapi ia tidak menghalang daripada kewajipan zakat. Ini
kerana halangan daripada taṣarruf terhadap harta yang dijadikan rahn tidak mengeluarkan
harta tersebut daripada pemilikan sempurna.
Ibn Qudāmah menyatakan, “Jika seseorang menggadaikan seekor haiwan, lalu ia telah
mencukupi satu haul ketika haiwan itu masih berada dalam pegangan murtahin (penerima
gadaian), wajib zakatnya ke atas penggadai, kerana pemilikannya pada haiwan itu adalah
sempurna”. (1388H, 2:511).
Ini menunjukkan bahawa dalam sesetengah situasi, seseorang pemilik tidak bebas
melakukan taṣarruf terhadap harta milikannya tetapi ia tidak mengeluarkannya daripada
pemilikan sempurna yang tertakluk di bawah hukum-hakam zakat.
Justeru, menurut Al-Shubaylī bahawa ḍābiṭ (kaedah penentuan) pemilikan sempurna ialah
wujudnya asal pemilikan dan harta tersebut boleh dikembangkan sekalipun ia tidak berada
pada tangan pemiliknya dan dia tidak bebas melakukan taṣarruf padanya. (t.t., 16).
Berdasarkan kepada hujah-hujah di atas, dadapati secara jelas bahawa pemegang saham
mempunyai pemilikan sempurna terhadap aset-aset yang diwakili oleh saham, justeru salah
satu syarat kewajipan zakat iaitu pemilikan sempurna wujud dalam konteks pemegangan
saham.
KESIMPULAN
Kajian ini mendapati bahawa takyīf fiqhī yang bertepatan dengan saham ialah saham
merupakan satu bahagian yang tidak tertentu (undivided) dalam aset-aset syarikat. Justeru,
segala transaksi berkaitan dengan saham sebenarnya merupakan transaksi terhadap
bahagian dalam aset-aset syarikat. Maka perbincangan tentang hukum zakat saham secara
umumnya adalah berkait secara langsung dengan hukum zakat aset-aset syarikat.
Kajian ini menyentuh berkenaan pihak yang wajib mengeluarkan zakat pada harta atau
perniagaan sesebuah syarikat, adakah pemilik saham, ataupun syarikat itu sendiri sebagai
shakhṣiyyah iʿtibāriyyah. Berdasarkan kepada takyīf fiqhī yang dipilih, kajian ini mendapati
pihak yang wajib mengeluarkan zakat ialah pemilik-pemilik saham. Walau bagaimanapun
kajian ini tidak menolak konsep shakhṣiyyah iʿtibāriyyah secara umumnya.
Seperti zakat-zakat lain, kewajipan zakat saham juga tertakluk kepada semua syarat-syarat
umum zakat. Dalam kajian ini salah satu syarat-syarat umum zakat diberikan penekanan
khusus iaitu syarat pemilikan. Kajian ini merumuskan bahawa dalam konteks saham,
pemegang saham dikira sebagai pemilik terhadap sebahagian aset syarikat dengan
260
pemilikan yang sempurna. Justeru secara umum, pemegang saham adalah tertakluk kepada
kewajipan zakat sebagaimana harta-harta lain.
RUJUKAN
AAOIFI. (2010M). Al-Maʿāyīr al-Sharʿiyyah. Hay’ah al-Muḥāsabah wa al-Murājaʿah li al-
Mu’assasāt al-Māliyyah al-Islāmiyyah.
ʿAbdullāh al-Muṣliḥ. (1415H). Quyūd al-Milkiyyah al-Khāṣṣah. Riyadh: Dār al-Mu’ayyad.
Aḥmad Ibn Muḥammad al-Khalīl. (1424H). Al-Ashum wa al-Sanadāt wa Aḥkāmuhā fī al-
Fiqh al-Islāmī. Riyadh: Dār Ibn al-Jawzī.
Al-ʿAynī. (1420H). Al-Bināyah Sharḥ al-Hidāyah. Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Al-Bukhārī. (1422H). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Dār Ṭawq al-Najāh.
Al-Ḍarīr. (t.t.). Buḥūth Bayt al-Zakāh. Al-Ashum wa al-Sanadāt.
Al-Fayrūz Ābādī. (1426H). Al-Qāmūs al-Muḥīṭ. Beirut: Mu’assasah al-Risālah.
Al-Ḥaṭṭāb. (1412H). Mawāhib al-Jalīl. Dār al-Fikr.
Al-Jurjānī. (1403H). Al-Taʿrīfāt. Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Al-Kāsānī. (1406H). Badā’iʿ al-Ṣanā’iʿ. Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Al-Marghīnānī. (t.t.). Bidāyat al-Mubtadī. Cairo: Maktabah wa Maṭbaʿah Muḥammad ʿAlī
Ṣubḥ.
Al-Nawawī. (1412H). Rawḍah al-Ṭālibīn. Beirut: Al-Maktab al-Islāmī.
Al-Sarakhsī. (1414H). Al-Mabsūṭ. Beirut: Dār al-Maʿrifah.
Al-Sharqāwī, Maḥmūd Samīr. (1998M). Al-Sharikāt al-Tijāriyyah fi al-Qānūn al-Miṣriy.
Dār al-Nahḍah al-ʿArabiyyah.
Al-Shubaylī. (t.t.). Zakāt al-Ashum.
Al-Suyūṭī. (1411H). Al-Ashbāh wa al-Naẓā’ir. Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Al-Taftāzānī. (t.t.). Sharḥ al-Talwīh ʿAlā al-Tawḍīḥ. Egypt: Maktabah Ṣubayḥ.
Al-Qarāfī. (t.t.). Al-Furūq. ʿĀlam al-Kutub.
Al-Qarḍāwī. (1393H). Fiqh al-Zakāh. Beirut: Mu’assasah al-Risālah.
Al-Qurah Daghī. (t.t.). Al-Taḥqīq Fī Zakāt al-Ashum wa al-Sharikāt.
Al-Zarkashī. (1405H). Al-Manthūr fi al-Qawāʿid al-Fiqhiyyah. Wizārat al-Awqāf al-
Kuwaytiyyah.
Dhanadeach Wongakanist. (2007). Risk and Return Between Family and non Family.
University of Thai Chamber of Commerce.
Fawzī. (2005). Al-Sharikāt al-Tijāriyyah Fi al-Qawānīn al-Waḍʿiyyah wa al-Sharīʿah al-
Islāmyyah. Manshūrāt al-Ḥalabī al-Ḥuqūqiyyah.
Ibn Fāris. (1399H). Muʿjam Maqāyīs al-Lughah. Beirut: Dār al-Fikr.
Ibn Ḥazm. (t.t.). Al-Muḥallā bi al-Āthār. Beirut: Dār al-Fikr.
Ibn Nujaym. (t.t.). Al-Baḥr al-Rā’iq. Dār al-Kitāb al-Islāmī.
Ibn Qudāmah. (1388H). Al-Mughnī. Egypt: Maktabah Al-Qāhirah.
Ibn Qudāmah. (1425H). Umdat al-Fiqh. Al-Maktabah al-ʿAṣriyyah.
Ibn Rushd. (1425H). Bidāyat al-Mujtahid. Cairo: Dār al-Ḥadīth.
Ibn Sīdah. (1421H). Al-Muḥkam wa al-Muḥīṭ al-Aʿẓam. Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Imām al-Ḥaramyn. (1428H). Nihāyat al-Maṭlab. Dār al-Mihāj.
Khalīl. (1426H). Mukhtaṣar Khalīl. Cairo: Dār al-Ḥadīth.
Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī. (1418H). Qarārāt wa Tawṣiyāt Majlis Majmaʿ al-Fiqh al-Islāmī.
Damsyik: Dār al-Qalam.
Muslim. (t.t.). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-ʿArabiy.
Muṣṭafā Kamāl Ṭāhā. (1974M). Al-Wajīz fi al-Qānūn al-Tijāriy. Mu’assasah al-Maʿārif.
Shawqī Shaḥātah. (t.t.). Al-Taṭbīq al-Muʿāṣir li al-Zakāh. Dār al-Sharq.
Share World: http://www.shareworld.co/index.php/articles/stock-trading/