sentuhan sains mustafa abdul rahman dalam...

13
1 SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM TAFSIR AL-QUR’AN AL-HAKIM Nor Syamimi Mohd, Haziyah Hussin & Wan Nasyrudin Wan Abdullah Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM [email protected] ABSTRAK Mustafa Abdul Rahman (1918-1968) ialah pengarang Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang ditulis pada tahun 1949. Ia merupakan karya tafsir berbahasa Melayu terawal di Malaysia yang hampir lengkap 30 juzuk al-Quran. Beliau mentafsirkan makna ayat al-Quran yang mempunyai isyarat sains dan mengaitkannya dengan kajian dan penemuan sains moden. Pendekatan ini tidak diaplikasikan oleh pentafsir tempatan yang seangkatan dengannya. Oleh itu, kajian ini menganalisis dimensi sains yang dibawa oleh Mustafa dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Reka bentuk kajian yang digunakan ialah analisis kandungan terhadap Tafsir al- Qur’an al-Hakim. Data dikumpul melalui analisis dokumen dan dianalisis secara deskriptif bertema. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perbincangan tafsir Mustafa merangkumi beberapa tema sains iaitu penciptaan cakerawala, asal usul kejadian manusia, proses kejadian hujan, kepelbagaian tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kesihatan dan pemakanan, hikmah pensyariatan hukum dari perspektif sains. Selain itu, dimensi sains yang dibawa oleh beliau juga mengandungi nilai tambah baru, bersifat semasa dan sesuai dengan tahap pemikiran dan keperluan semasa masyarakat. Implikasi kajian menunjukkan bahawa Tafsir al-Qur’an al- Hakim karya Mustafa terkehadapan mendahului langkah ulama dan zamannya. Ia sekali gus menonjolkan kemukjizatan al-Quran yang sentiasa relevan dalam semua zaman bermula zaman penurunan al-Quran hinggalah zaman ledakan sains dan teknologi masa kini. Kata kunci: Mustafa Abdul Rahman, tafsir Malaysia, tafsir Nusantara, tafsir ‘ilmi, tafsir bi al-ma’thur, sains tauhidik PENGENALAN Al-Quran mengandungi prinsip-prinsip asas kepada ilmu sains dan perkara ini menjadi lebih terang dan jelas bagi sesiapa yang mengkaji ilmu tersebut dengan lebih mendalam. Penemuan baru yang dihasilkan melalui penelitian ilmiah dan kajian sains menunjukkan keselarasan dan tiada pertentangan dengan isyarat yang telah dinyatakan oleh al-Quran sebagaimana yang telah diakui oleh sarjana antaranya Maurice Bucaille dan Zakir Naik (Ansari 2001; Rehman 2003). Dari sudut dimensi ilmu sains yang disentuh dalam pentafsiran al-Quran, biasanya pentafsir dan pengkaji hanya melibatkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan kawniyyat sahaja (al-Dhahabi 2005; Abu Hajar 1991; Mazlan 1998; Fadl Hassan ‘Abbas 2005; Ahmad Bazli 2014). Namun, perbincangan mengenai dimensi ini telah dikembangkan oleh Selamat et al. (2012) yang menemukan perspektif sains dalam ayat hukum dan gaya bahasa al-Quran seperti perumpamaan dalam al-Quran. Nadzirah (2006), Mustaffa (2009a & 2011) dan Nurzatil (2009) mendapati Mustafa mentafsirkan makna ayat al-Quran yang mempunyai isyarat sains dengan mengaitkannya berdasarkan kajian dan penemuan sains tertentu. Pentafsiran ini dikenali sebagai tafsir ‘ilmi.

Upload: lamnhu

Post on 24-Feb-2018

285 views

Category:

Documents


14 download

TRANSCRIPT

Page 1: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

1

SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN

DALAM TAFSIR AL-QUR’AN AL-HAKIM

Nor Syamimi Mohd, Haziyah Hussin & Wan Nasyrudin Wan Abdullah

Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM

[email protected]

ABSTRAK

Mustafa Abdul Rahman (1918-1968) ialah pengarang Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang ditulis

pada tahun 1949. Ia merupakan karya tafsir berbahasa Melayu terawal di Malaysia yang

hampir lengkap 30 juzuk al-Quran. Beliau mentafsirkan makna ayat al-Quran yang

mempunyai isyarat sains dan mengaitkannya dengan kajian dan penemuan sains moden.

Pendekatan ini tidak diaplikasikan oleh pentafsir tempatan yang seangkatan dengannya. Oleh

itu, kajian ini menganalisis dimensi sains yang dibawa oleh Mustafa dalam Tafsir al-Qur’an

al-Hakim. Reka bentuk kajian yang digunakan ialah analisis kandungan terhadap Tafsir al-

Qur’an al-Hakim. Data dikumpul melalui analisis dokumen dan dianalisis secara deskriptif

bertema. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perbincangan tafsir Mustafa merangkumi

beberapa tema sains iaitu penciptaan cakerawala, asal usul kejadian manusia, proses kejadian

hujan, kepelbagaian tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kesihatan dan pemakanan, hikmah

pensyariatan hukum dari perspektif sains. Selain itu, dimensi sains yang dibawa oleh beliau

juga mengandungi nilai tambah baru, bersifat semasa dan sesuai dengan tahap pemikiran dan

keperluan semasa masyarakat. Implikasi kajian menunjukkan bahawa Tafsir al-Qur’an al-

Hakim karya Mustafa terkehadapan mendahului langkah ulama dan zamannya. Ia sekali gus

menonjolkan kemukjizatan al-Quran yang sentiasa relevan dalam semua zaman bermula

zaman penurunan al-Quran hinggalah zaman ledakan sains dan teknologi masa kini.

Kata kunci: Mustafa Abdul Rahman, tafsir Malaysia, tafsir Nusantara, tafsir ‘ilmi, tafsir bi

al-ma’thur, sains tauhidik

PENGENALAN

Al-Quran mengandungi prinsip-prinsip asas kepada ilmu sains dan perkara ini menjadi lebih

terang dan jelas bagi sesiapa yang mengkaji ilmu tersebut dengan lebih mendalam. Penemuan

baru yang dihasilkan melalui penelitian ilmiah dan kajian sains menunjukkan keselarasan dan

tiada pertentangan dengan isyarat yang telah dinyatakan oleh al-Quran sebagaimana yang

telah diakui oleh sarjana antaranya Maurice Bucaille dan Zakir Naik (Ansari 2001; Rehman

2003). Dari sudut dimensi ilmu sains yang disentuh dalam pentafsiran al-Quran, biasanya

pentafsir dan pengkaji hanya melibatkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan kawniyyat sahaja

(al-Dhahabi 2005; Abu Hajar 1991; Mazlan 1998; Fadl Hassan ‘Abbas 2005; Ahmad Bazli

2014). Namun, perbincangan mengenai dimensi ini telah dikembangkan oleh Selamat et al.

(2012) yang menemukan perspektif sains dalam ayat hukum dan gaya bahasa al-Quran seperti

perumpamaan dalam al-Quran.

Nadzirah (2006), Mustaffa (2009a & 2011) dan Nurzatil (2009) mendapati Mustafa

mentafsirkan makna ayat al-Quran yang mempunyai isyarat sains dengan mengaitkannya

berdasarkan kajian dan penemuan sains tertentu. Pentafsiran ini dikenali sebagai tafsir ‘ilmi.

Page 2: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

2

Contoh tafsir ‘ilmi daripada Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang dikesan oleh Nadzirah (2006)

ialah isyarat sains pada ayat 56 daripada surah al-Nisa’ tentang wujudnya lapisan kulit dan

saraf sakit. Mustaffa (2009a & 2011) pula membawa contoh perbincangan tentang

kemudaratan arak dalam ayat 219, surah al-Baqarah. Manakala Nurzatil (2009)

mengetengahkan tentang proses kacukan pokok berlaku dengan adanya benih jantan dan

benih betina berdasarkan tafsiran ayat 22, surah al-Hijr.

Pendedahan hasil kajian-kajian ini sangat signifikan dalam membuktikan wujudnya sentuhan

sains dalam penulisan kitab tafsir Mustafa. Sentuhan sains ini perlu diterokai lagi

memandangkan Tafsir al-Qur’an al-Hakim adalah sebuah kitab tafsir besar dan banyak lagi

contoh perbincangan dan nilai tambah baru tentang sains dalam tafsiran al-Quran yang

diketengahkan oleh beliau sesuai dengan keperluan semasa masyarakat. Oleh itu, kajian ini

menganalisis dimensi sains yang disentuh oleh pengarang dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim.

METODOLOGI

Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian secara analisis kandungan. Kandungan teks yang

digunakan dalam kajian ini ialah Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang diterbitkan oleh Persama

Press, Pulau Pinang pada tahun 1949. Kajian hanya menggunakan 19 jilid sahaja iaitu bermula

jilid satu hingga 18, dan jilid 21. Kesukaran mendapatkan keseluruhan jilid iaitu 27 jilid

adalah disebabkan oleh ia sudah tidak dijual di pasaran dan tidak diulang cetak lagi setelah

pihak penerbit mengalami masalah kewangan dan tidak ada orang yang hendak

menguruskannya (Ismail 1995a). Selain itu, kajian mendapati ada sebahagian jilid tafsir

tersebut telah hilang dan tidak dapat dikesan oleh pemiliknya yang menyimpan Tafsir al-

Qur’an al-Hakim sebagai koleksi peribadi.

Data kajian dikumpul secara analisis dokumen. Dokumen utama yang menjadi asas kajian ini

ialah Tafsir al-Qur’an al-Hakim oleh Mustafa Abdul Rahman. Data yang dikumpul ialah

tafsiran makna ayat al-Quran yang mengandungi isyarat sains yang dikaitkan dengan kajian

dan penemuan sains tertentu. Di samping itu, data berkaitan biodata pengarang, antara sumber

utama yang dirujuk ialah Ma’ahad Il al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol: 1934-1959 oleh

Nabir Haji Abdullah (1976), Perkembangan pengajian dan penulisan tafsir di Malaysia oleh

Ismail Yusoff (1995a), Athar Madrasat al-Manar fi al-tafasir al-Malayuwiyyah: Tafsir al-

Qur’an al-Hakim li Shaykh Mustafa Abdul Rahman Mahmud Unmudhajan oleh Nadzirah

Mohd (2006) dan Tafsir Nur al-Ihsan oleh Muhammad Said bin Umar dan Tafsir al-Qur’an

al-Hakim oleh Mustafa Abdul Rahman: Kajian perbandingan metodologi pentafsiran oleh

Nurzatil Ismah Azizan (2009). Data-data yang diperoleh seterusnya disusun secara kronologi.

Kaedah penganalisisan data kajian dilakukan melalui pendekatan deskriptif secara bertema.

Kajian menetapkan tujuh tema iaitu penciptaan cakerawala, asal-usul kejadian manusia,

proses kejadian hujan, kepelbagaian haiwan, kepelbagaian tumbuh-tumbuhan, kesihatan dan

pemakanan, dan hikmah pensyariatan hukum dari perspektif sains. Pengkategorian ini adalah

berdasarkan kategori ayat yang biasa dikaitkan dengan tafsir ‘ilmi yang dikemukakan oleh al-

Khalidi (2010), Abu Hajar (1991), Mazlan (1998), Selamat et al. (2012) dan Ahmad Bazli

(2014). Selain itu, data-data perbincangan tafsir ‘ilmi yang mempunyai persamaan idea

tafsiran diletakkan di bawah tema yang sama dan hanya salah satu daripadanya dianalisis.

Page 3: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

3

LATAR BELAKANG MUSTAFA ABDUL RAHMAN

Nama penuh pengarang kitab Tafsir al-Qur’an al-Hakim ialah Mustafa bin Abdul Rahman

bin Mahmud (Nadzirah 2006). Beliau dilahirkan di Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak

Darul Ridzwan dalam sebuah keluarga yang taat beragama dan teguh berpegang pada prinsip

dan nilai keislaman (Nadzirah 2006). Bapanya bernama Abdul Rahman bin Mahmud berasal

daripada Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan. Abdul Rahman ialah pelajar lepasan

Universiti al-Azhar dan Masjid al-Haram, Mekah serta mengasaskan sebuah pondok yang

diberi nama Pondok al-Rahmaniah, Gunung Semanggol pada 1918. Ibu Mustafa bernama

Mariam Andak dan berasal daripada Klang iaitu penduduk asal Bugis. Mereka telah berpindah

ke Gunung Semanggol setelah mendirikan rumah tangga. Mustafa merupakan anak sulung

daripada tujuh adik-beradik iaitu Fatimah, Mahmud, Rokiyah, Kalsom, Ahmad dan Abdul

Majid (Che Hasmawati 2004). Mustafa lebih dikenali dengan gelaran Pak Wa oleh penduduk

kampungnya. Gelaran ini diberikan kepadanya memandangkan beliau adalah anak sulung.

Pak Wa atau Mak Wa merupakan gelaran khas untuk anak sulung di kebanyakan daerah Utara

Semenanjung Malaysia. Manakala guru-gurunya pula memanggil beliau dengan gelaran

Mustafa Naim (Che Hasmawati 2004; Nurzatil 2009).

Sarjana berbeza pandangan dalam menentukan tahun kelahiran Mustafa. Ismail (1995a)

mengatakan bahawa Mustafa dilahirkan pada tahun 1918 sebagaimana keterangan hasil temu

bual beliau dengan adik Mustafa iaitu Ahmad pada 14 Mac 1992. Pandangan ini turut

disokong oleh Che Hasmawati (2004) yang telah menemu ramah Ruhiyyah, isteri kepada

Mustafa pada 17 Februari 2002. Nadzirah (2006) menambah bahawa pada tahun 1918 adalah

bersamaan dengan tahun hijrahnya iaitu 1337H. Manakala Mustaffa (2009a) pula

berpandangan tahun kelahiran Mustafa adalah pada tahun 1917 berdasarkan catatan pada sijil

kelahiran. Maklumat ini diperoleh daripada hasil temu bual yang dilakukannya bersama isteri

beliau pada 23 Februari 2008. Kajian mendapati tahun 1337H adalah merangkumi tahun 1917

dan 1918, justeru semua pendapat pengkaji boleh diterima.

Beliau memulakan kehidupan berkeluarga ketika berumur 26 tahun dengan mengahwini

seorang perempuan pilihan keluarganya, Rohiyah Yahya. Perkahwinannya dilangsungkan

pada bulan Februari 1943. Isterinya berasal dari Taiping, Perak. Ketika itu isterinya berumur

17 tahun. Perkahwinan beliau dengan Rohiyah Yahya tidak dikurniakan cahaya mata oleh

Allah SWT. Mereka berdua telah mengambil dua orang anak saudara isterinya sebagai anak

angkat iaitu Farid bin Mustafa dan Nor Aisyah binti Mohd Zin (Che Hasmawati 2004).

Dari segi latar belakang pendidikan, Mustafa adalah pelajar Madrasah Idrisiah, Bukit

Chandan, Kuala Kangsar, Perak selama enam tahun (Che Hasmawati 2004). Di Madrasah

Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama tersohor antaranya ialah

Muhammad Salleh, Abdullah Maghribi dan Abdullah Fahim (Ishak & Mohd Azhar 2010).

Abdullah Fahim ialah guru Mustafa yang paling banyak mempengaruhi pembentukan

peribadi dan keintelektualannya. Abdullah Fahim merupakan seorang ulama yang

berpengetahuan luas dalam bidang agama khususnya ilmu hadith dan tafsir. Beliau juga

sangat mahir dalam ilmu falak dan bahasa Arab (Khairul Nizam 2008). Selain itu, Mustafa

adalah pelajar Ma’ahad al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol yang terkenal sebagai sebuah

Page 4: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

4

madrasah beraliran Islah. Beliau termasuk dalam golongan pertama pelajar terawal yang

bersekolah di Ma’ahad ini pada tahun 1934 (Nabir 1976). Beliau juga adalah murid kepada

Abu Bakar al-Baqir (M. 1974) pengasas Hizbul Muslimin yang banyak terpengaruh dengan

idea pemikiran reformis dari Timur Tengah (Mustaffa 2008).

Selepas tamat belajar di Ma’ahad al-Ehya Asshariff, beliau berkhidmat sebagai guru agama

di ma’ahad ini pada tahun 1946 hingga 1948 (Nabir 1976). Selain mengajar secara formal di

ma’ahad, beliau aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di surau dan masjid pada waktu

malam di sekitar Gunung Semanggol dan daerah-daerah sekitarnya. Dalam kuliah ilmunya

beliau menekankan aspek islah dengan menyeru masyarakat supaya meninggalkan perkara-

perkara yang bertentangan dengan agama, seperti memasang lilin pada malam Jumaat,

meminum arak, sabung ayam dan merompak. Beliau juga menyatakan hukum mengenai

perkara maksiat seperti kegiatan perjudian yang berleluasa di kawasan perumahannya dalam

kuliah-kuliah yang disampaikan (Asmidar 2003; Che Hasmawati 2004).

Selain itu, beliau banyak menulis dan menerbitkan buku-buku dalam pelbagai bidang,

antaranya tafsir, hadith, sejarah Islam, akhlak, mantik, ekonomi, dan perkamusan. Karyanya

dalam bidang tafsir ialah Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Dalam bidang hadith pula, beliau

menghasilkan karya Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya, Terjemahan Mukhtasar Ibn Abi

Jamrah, dan Pelajaran Hadith Nabawi. Dalam bidang sejarah Islam, beliau menghasilkan

karya seperti Ringkasan Sejarah Khulafa al-Rasyidin, Pedoman Tarikh Junjungan

Muhammad Rasulullah, dan Ringkasan Nur al-Yaqin Sejarah Sayyid al-Mursalin. Dalam

bidang akhlak, karya yang dihasilkan seperti Peribadi, Pedoman Budi, Sendi Pergaulan

dalam Islam, Ilmu Jiwa dalam Islam, dan Akhlak dan Kewajipan dalam Islam. Karya yang

ditulis dalam bidang mantik ialah Perintis Ilmu Mantiq, bidang ekonomi ialah Sejarah Ilmu

Ekonomi dan bidang perkamusan ialah Kamus Tiga Bahasa, English, Malay, Arabic (Wan

Sabri et al. 2003; Nadzirah 2006; Mustaffa 2009a & 2011; Nurzatil 2009). Ismail (1995)

menyatakan Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya dan Ringkasan Sejarah Khulafa al-

Rasyidin ialah antara karya Mustafa yang dijadikan sebagai buku teks di setengah-setengah

Sekolah Agama Rakyat. Selain itu, Mustaffa (2009a) menjelaskan bahawa penghasilan Tafsir

al-Qur’an al-Hakim adalah istimewa dan beliau melabelkan pengarangnya sebagai ulama

tafsir aliran islah terulung di Malaysia.

Mustafa telah kembali ke rahmatullah di rumah ibunya di Gunung Semanggol pada

28 Oktober 1968 bersamaan 6 Syaaban 1388H ketika berusia 51 tahun. Beliau meninggal

dunia akibat penyakit jantung yang dihadapinya. Jenazahnya dikebumikan di hadapan mihrab

Masjid al-Rahmaniyyah, Bukit Putus, Gunung Semanggol (Che Hasmawati 2004; Nadzirah

2006). Pada ketika itu, karya Mustafa bersama sahabatnya Ibnu Rawi, Terjemahan Mukhtasar

Ibn Abi Jamrah sedang dalam proses percetakan. Tarikh kematian ini telah dicatat di dalam

kitab tersebut sebagai penghargaan kepada Mustafa di atas sumbangannya (Mustafa 1968;

Mustaffa 2009a).

Latar belakang Mustafa yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh

kepada ajaran Islam, berpeluang untuk mendapat pendidikan di madrasah beraliran Islah dan

berguru dengan ulama yang mahir dan berpengetahuan luas dalam pelbagai disiplin ilmu

Page 5: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

5

Islam banyak membantu dalam mengasah dan membentuk keintelektualan beliau dalam dunia

penulisan khususnya dalam bidang tafsir.

PENGENALAN KITAB TAFSIR AL-QUR’AN AL-HAKIM

Tafsir al-Qur’an al-Hakim ditulis oleh Mustafa Abdul Rahman pada tahun 1949 dan ia terdiri

daripada 27 jilid. Setiap jilid mewakili satu juzuk al-Quran. Bilangan jumlah jilid kitab ini

disepakati oleh beberapa orang pengkaji misalnya Ismail (1995), Wan Sabri et al. (2003),

Nadzirah (2006), Mustaffa (2009a) dan Mazlan et al. (2009). Mohd Fazali (2011) pula berbeza

pandangan tentang jumlah jilid kitab tafsir ini. Beliau menyatakan Tafsir al-Qur’an al-Hakim

mengandungi 23 jilid sahaja. Nurzatil (2009) menyatakan jilid yang selebihnya iaitu jilid ke-

24 hingga jilid ke-27 tidak ditemui kerana ia hanya diterbitkan sekali sahaja oleh Persama

Press, Pulau Pinang. Nadzirah (2006) pula hanya berjaya menemukan 14 jilid sahaja iaitu jilid

pertama hingga jilid ke-12, kecuali jilid ke-7 dan jilid ke-16 hingga jilid ke-18. Kajian ini

hanya berjaya menemukan 19 jilid sahaja iaitu jilid pertama hingga jilid ke-18, dan jilid ke-

21.

Tafsir al-Qur’an al-Hakim ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi lama dan dicetak

buat pertama kalinya oleh Persama Press (Ismail 1995). Ia kemudiannya diulang cetak

berasaskan cetakan pertama oleh Maktabah Abdullah Muhammad Nuruddin al-Rawi, Pulau

Pinang, Percetakan al-Ma’rif Sendirian Berhad, Pulau Pinang (Wan Sabri et al. 2006), Syeikh

Sa’id al-Yamani, Bagan Serai, Perak (Nurzatil 2009) dan Maktabat wa Matba’at Muhammad

al-Nahdi wa Awladuhu, tanpa tempat (Mohd Fazali 2011).

Sumber rujukan yang digunakan dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim ialah Jami’ al-Bayan fi

tafsir al-Qur’an oleh al-Tabari, Ma’lim al-Tanzil oleh al-Baghawi dan Tafsir al-Qur’an al-

‘Azim oleh Ibn Kathir, Tafsir Mafatih al-Ghayb oleh al-Razi, Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq

al-Ta’wil oleh al-Nasafi, Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani al-Tanzil oleh al-Khazin, Tafsir Jalalayn

oleh Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti, Ruh al-Ma’ani oleh al-Alusi dan al-

Bahr al-Muhit oleh Abu Hayyan, al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi, Ihya’ ‘Ulum

al-Din oleh al-Ghazali, al-Jawahir fi Tafsir al-Qur’an oleh Tantawi al-Jawhari, Tafsir al-

Maraghi oleh Shaykh Mustafa al-Maraghi, Kitab Risalah al-Tawhid dan Tafsir al-Manar oleh

Muhammad ‘Abduh dan al-Islam wa al-Tib al-Hadith oleh ‘Abd al-Aziz Isma’il Basha,

Marah Labid Tafsir al-Nawawi oleh Muhammad Nawawi al-Jawi, Nayl al-Maram min Tafsir

Ayat al-Ahkam oleh al-Qanawji dan Fath al-Qadir oleh al-Shawkani (Wan Sabri et al. 2003;

Mazlan et al. 2009; Nurzatil 2009; Mustaffa 2009a).

Jelaslah bahawa pengarang mempelbagaikan sumber rujukan iaitu klasik dan kontemporari.

Ia merangkumi kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh pengarang lain, kitab-kitab hadith dan

buku-buku ilmiah tertentu. Selain itu, beliau ada merujuk karya dalam bidang sains iaitu al-

Islam wa al-Tib al-Hadith yang ditulis oleh cAbd al-Aziz Ismacil Basha.

ANALISIS PEMIKIRAN TAFSIR MUSTAFA ABDUL RAHMAN TERHADAP

AYAT AL-QURAN BERUNSUR SAINS

Page 6: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

6

Dimensi sains yang dibawa oleh Mustafa dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim terdiri daripada

penciptaan cakerawala, asal-usul kejadian manusia, proses kejadian hujan, penciptaan

tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kesihatan dan pemakanan, dan hikmah pensyariatan hukum

dari perspektif sains.

PENCIPTAAN CAKERAWALA

Tema sains yang berkaitan penciptaan cakerawala yang disentuh oleh pengarang Tafsir al-

Qur’an al-Hakim ialah firman Allah SWT dalam ayat 16 surah al-Hijr. Ayat ini

membicarakan tentang kedudukan matahari, bulan dan bintang. Pengarang menyentuh

tentang maksud buruj ketika mentafsirkan tersebut. Beliau menjelaskan buruj ialah bintang-

bintang yang dapat dilihat di atas langit. Ia seolah-olahnya nampak bertentangan dengan

matahari. Beliau mengetengahkan kedudukan buruj yang merangkumi 12 buah dan ia

menyamai bilangan bulan dalam Masihi; hamal, thawr, jawza’, saratan, asad, sunbulah,

mizan, ‘aqrab, qawus, jadi, daluw dan hut (Mustafa 1952). Buruj bintang atau zodiak dalam

ilmu asronomi pada masa kini dikenali dengan nama berikut; hamal (aries), thawr (taurus),

jawza’ (gemini), saratan (cancer), asad (leo), sunbulah (virgo), mizan (libra), ‘aqrab

(scorpius), qawus (sagittarius), jadiy (capricorn), daluw (aquarius), hut (pisces) (Baharrudin

2002). Di samping itu, pengarang memberi penjelasan lanjut dalam menentukan bulan dalam

tahun Masihi berdasarkan kedudukan buruj. Misalnya, pada bulan Mac, matahari berada di

buruj hamal, ertinya pada malam tersebut kelihatan bintang yang bernama hamal. Manakala

pada bulan April di buruj thawr, dan pada bulan Mei di buruj jawza’ dan demikianlah

seterusnya (Mustafa 1952). Penjelasan beliau ini adalah bertepatan dengan pengetahuan ilmu

astronomi pada masa kini iaitu buruj hamal berlaku pada 21 Mac – 20 April, thawr (taurus)

berlaku pada 21 April – 21 Mei dan jawza’ (gemini) berlaku pada 22 Mei – 21 Jun (Baharrudin

2002).

Oleh itu, pengarang mengemukakan tafsiran makna ayat al-Quran berkaitan penciptaan

cakerawala yang merangkumi kedudukan matahari, bulan dan bintang yang selaras dan tidak

bertentangan dengan isyarat yang telah dinyatakan oleh al-Quran. Selain itu, pengarang

menyentuh penemuan dan kajian sains tertentu berdasarkan ilmu astronomi bagi

mengukuhkan lagi tafsiran dan menonjolkan keesaan dan kebijaksanaan Allah SWT yang

mencipta cakerawala. Walau bagaimanapun, sentuhan sains yang dibawa oleh pengarang

tidak dinyatakan sumber rujukan yang digunakan dalam tafsiran.

ASAL-USUL KEJADIAN MANUSIA

Pengarang membincangkan tentang asal-usul kejadian manusia ketika mentafsirkan firman

Allah SWT daripada surah al-Nahl ayat empat. Pengarang menyentuh peringkat penciptaan

manusia dan perkembangan janin dalam rahim ibu bahawa Allah SWT menjadikan manusia

daripada air mani yang bercampur di antara dua jenis air mani lelaki dan perempuan.

Kemudian air mani itu berubah menjadi darah dan seterusnya menjadi daging. Setelah

sempurna kejadiannya, maka ditiupkan padanya jiwa lalu dikeluarkan dia ke alam dunia

(Mustafa 1952).

Page 7: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

7

Tafsiran yang sama berkaitan peringkat penciptaan manusia dan perkembangan janin dalam

rahim ibu turut diberi perhatian oleh pengarang dalam mentafsirkan ayat 22 surah al-Hajj.

Selain itu, berdasarkan ayat ini pengarang menambah ulasan tentang kedudukan air mani

dalam tubuh badan manusia. Beliau menjelaskan bahawa air mani terbentuk di tulang

belakang seseorang lelaki iaitu bapa (Mustafa 1954). Pengarang juga memperincikan

bagaimana air mani terbentuk ketika mentafsirkan firman Allah SWT dalam surah al-

Mu’minun ayat 12 hingga 14. Pengarang menerangkan bahawa air mani terbentuk daripada

makanan yang dimakan oleh manusia. Kemudian ia berubah menjadi darah yang setengah

daripadanya berubah menjadi air mani. Daripada air mani itulah terciptanya manusia yang

sempurna (Mustafa 1952).

Secara keseluruhannya, tafsiran berkaitan asal usul kejadian manusia dibincangkan di tempat

yang berlainan dalam ayat dan surah yang bertaburan. Selain itu, pengarang tidak menyatakan

sumber rujukan yang digunakan ketika menjelaskan tentang ayat al-Quran berunsur sains ini.

PROSES KEJADIAN HUJAN

Pengarang menyentuh proses kejadian hujan ketika mentafsirkan ayat 43, surah al-Nur.

Pengarang menjelaskan bahawa Allah SWT berkuasa mengarahkan awan supaya bergerak.

Kemudian menghimpunkan antara bahagian-bahagian yang bercerai-cerai itu dan

menjadikannya berkumpul-kumpul setengahnya atas setengah. Maka pada waktu itu hujan

keluar daripada celah-celah awan, dan turun daripada langit dan bukit-bukit yang sejuk. Air

hujan yang turun itu mengenai dan menimpa bumi yang Ia kehendaki untuk mendapat

faedahnya, dan dipalingkan air hujan itu daripada tempat tidak kehendaki. Ini adalah semata-

mata bergantung pada kehendaknya Allah SWT. Selain itu, pengarang menjelaskan bahawa

cahaya sinaran pada celah-celah awan yang dikeluarkan air hujan adalah menyambar

penglihatan atau pandangan mata oleh kerana terlalu cepat dan kuat cahayanya. Di samping

itu, pengarang turut mentafsirkan tentang kekuasaan Allah SWT dengan menukarkan siang

dan malam dengan cukup mudah (Mustafa 1954).

Tafsiran yang sama berkaitan proses kejadian hujan ini turut dikemukakan oleh pengarang

ketika mentafsirkan ayat 48 daripada surah al-Rum (Mustafa 1957). Selain itu, berdasarkan

ayat ini pengarang menambah ulasan tentang manfaat hujan bahawa Allah SWT menurunkan

air hujan adalah untuk menyuburkan bumi dan menghidupkan segala tanaman yang ada

(Mustafa 1957).

PENCIPTAAN TUMBUH-TUMBUHAN

Antara tema sains yang berkaitan penciptaan tumbuh-tumbuhan yang disentuh oleh

pengarang Tafsir al-Qur’an al-Hakim ialah ayat-ayat yang membicarakan kepelbagaian jenis.

Pengarang menjelaskan kepelbagaian kejadian tumbuh-tumbuhan ketika mentafsirkan firman

Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 141. Berdasarkan ayat 141, surah al-An’am,

pengarang mengupaskan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada yang menjalar

dan tidak menjalar dan berlainan rasa, warna, bau dan bentuk. Pengarang mengetengahkan

contoh kepelbagaian tumbuh-tumbuhan tersebut menerusi tafsirannya iaitu; “…tumbuhan-

tumbuhan menjalar seperti tembikai, labu dan timun dan pokok yang tidak menjalar seperti

tamar, nyiur dan rambutan”, dan “…kalau di Tanah Air kita ini didapati pokok seperti pokok

Page 8: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

8

padi, getah, kelapa, rambutan dan durian. Semuanya itu tumbuh di atas sekeping tanah atau

satu bumi yang diberikan air yang sama dan mengeluarkan buah yang berlainan rasanya, ada

yang manis, masam dan pedas” (Mustafa 1951). Contoh tumbuh-tumbuhan yang

dikemukakan oleh pengarang ketika mentafsirkan ayat ini ialah tumbuh-tumbuhan yang hidup

di sekeliling masyarakat tempatan. Hal ini menunjukkan kepekaan beliau terhadap keperluan

masyarakatnya. Ia secara tidak langsung membantu pembaca memahami ayat tersebut dan

tafsiran ini sesuai dengan tahap pemikiran semasa masyarakat.

PENCIPTAAN HAIWAN

Pengarang menjelaskan asal usul haiwan, rupa bentuk dan keadaannya ketika mentafsirkan

ayat 45 surah al-Nur. Pengarang mengetengahkan bahawa semua haiwan yang berjalan dan

merayap di atas bumi dan berasal daripada air. Selain itu, Allah SWT menciptakan haiwan

dengan pelbagai rupa bentuk dan keadaan. Ada haiwan yang berjalan di atas perut, merayap,

berjalan atas dua kaki dan berjalan di atas empat kaki. Di samping itu, pengarang

memperincikan tafsiran ayat ini dengan membawa contoh-contoh bentuk dan keadaan haiwan

tersebut. Antara contoh haiwan berjalan di atas perutnya ialah ular dan ikan. Haiwan yang

berjalan atas dua kaki ialah burung, dan yang berjalan di atas empat kaki pula ialah unta,

lembu dan kambing (Mustafa 1954). Contoh-contoh haiwan yang dikemukakan oleh

pengarang merupakan haiwan yang hidup di sekeliling masyarakat tempatan. Hal ini

menonjolkan kepekaan beliau dalam membantu pembaca memahami ayat tersebut dengan

menyuntik unsur sains yang bersesuaian keperluan dan tahap pemikiran semasa dan

masyarakat.

KESIHATAN DAN PEMAKANAN

Pengarang menyentuh khasiat madu lebah ketika menjelaskan firman Allah SWT dalam surah

al-Nahl ayat 69. Pengarang mengetengahkan kepelbagaian warna madu yang keluar daripada

perut lebah. Beliau menyatakan madu tersebut ada ketikanya berwarna putih dan ada pula

berwarna merah, bergantung kepada makanan yang dimakan oleh lebah. Pengarang juga

mengupas kebaikan madu lebah yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihidapi

oleh manusia. Cara penggunaannya pula ialah dengan meminumnya mengikut peraturan

perubatan, atau mencampurkan madu lebah dalam ramuan ubat tertentu (Mustafa 1952).

HIKMAH PENSYARIATAN HUKUM DARI PERSPEKTIF SAINS

Pengarang membincangkan hikmah pengharaman arak dari sudut sains ketika menjelaskan

ayat 219 surah al-Baqarah. Pengarang mengetengahkan kemudaratan arak terhadap kesihatan

manusia. Antaranya ialah boleh merosokan usus perut, menghilangkan selera makan,

memucatkan warna kulit serta menyebabkan sakit jantung, buah pinggang dan strok. Beliau

juga memetik pandangan seorang doktor bangsa Jerman bahawa; “peminum-peminum yang

berusia 40 tahun adalah anggotanya seperti orang-orang yang berusia 60 tahun” (Mustafa

1960). Kesan negatif minuman arak yang diketengahkan oleh pengarang ini diteguhkan

dengan kajian dan penemuan terkini iaitu meningkatkan risiko seseorang peminum arak

menghidap kanser mulut, kerongkong dan esofagus (bahagian salur makanan yg terletak di

antara tekak dan perut) (Danial 2014).

Page 9: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

9

Selain itu, pengarang menambah ulasan tentang kegunaan arak iaitu untuk dijadikan ubat

(Mustafa 1960). Danial (2014) memetik pandangan sebahagian pakar perubatan bahawa arak

apabila diminum dengan kadar yang sedikit, ia memberi manfaat bagi jantung. Beliau juga

menyatakan ramai pakar dalam bidang kardiologi menggalakkan masyarakat meminum wain

sebanyak satu hingga dua gelas sehari supaya kesihatan jantung mereka terpelihara. Walau

bagaimanapun, pengarang menegaskan dalam tafsirannya bahawa kemudaratan arak adalah

lebih besar berbanding manfaatnya. Hal ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh

saintis yang melaporkan kemudaratan berpunca daripada arak adalah lebih banyak daripada

kebaikannya dan arak merupakan salah satu pemusnah kesihatan yang berbahaya di dunia

(Danial 2014). Oleh itu, sentuhan sains yang dibawa oleh pengarang bagi menjelaskan

keburukan arak terhadap kesihatan manusia dalam ayat ini menonjolkan hikmah di sebalik

Allah SWT mengharamkannya. Ia secara tidak langsung menggalakkan kajian sains terkini

untuk menerokai rahsia lain yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa.

KESIMPULAN

Mustafa Abdul Rahman merupakan seorang ulama yang menyumbang jasanya dalam bidang

penulisan tafsir al-Quran. Kesungguhan dan kegigihannya terbukti dengan terhasilnya sebuah

kitab tafsir iaitu Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Perbincangan mengenai sentuhan sains

pengarang dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim melibatkan kedua-dua jenis ayat iaitu ayat-ayat

al-Quran yang ada isyarat ilmiah dan sebaliknya. Tema sains yang terdapat dalam kitab tafsir

ini ialah penciptaan alam semesta, asal usul kejadian manusia, proses kejadian hujan,

kepelbagaian haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kesihatan dan pemakanan, dan hikmah

pensyariatan hukum dari sudut sains.

Nilai tambah baru dalam tafsir ‘ilmi pula didapati dalam contoh-contoh berunsur sains yang

relevan dengan masyarakat tempatan. Misalnya mengenai kepelbagaian tumbuh-tumbuhan,

pengarang membawa contoh tumbuh-tumbuhan yang dikenali dan ada di sekeliling

masyarakat iaitu pokok getah, padi, kelapa rambutan dan durian. Contoh-contoh ini mudah

digambarkan oleh para pembaca tentang bagaimana bentuk dan rupa tumbuh-tumbuhan

tersebut. Mereka secara tidak langsung tidak hanya terikat dengan contoh tumbuh-tumbuhan

yang disebut oleh zahir makna ayat al-Quran sahaja

Pendidikan yang diterima oleh pengarang memainkan peranan besar membentuk

keintelektualan beliau dalam tafsir ‘ilmi. Di Madrasah Idrisiyyah dan Madrasah al-Ehya

Asshariff subjek-subjek ilmu moden diajar dan didedahkan kepada pelajar misalnya ilmu

astronomi, geografi dan ilmu hisab. Selain itu, buku teks tafsir yang diguna pakai dalam

madrasah ini adalah merujuk kepada tafsir beraliran islah iaitu Tafsir al-Maraghi. Idea yang

terkandung dalam kitab tafsir ini secara tidak langsung mempengaruhi Mustafa mengambil

idea tersebut untuk dimuatkan dalam penulisan tafsirnya sendiri. Walau bagaimanapun,

perbincangan tafsir ‘ilmi dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim tidak mencedok keseluruhan

perbincangan tafsir ‘ilmi dalam Tafsir al-Maraghi. Ia diambil secara ringkas sahaja.

Selain itu, Mustafa mendapat pendedahan idea pemikiran islah secara langsung daripada

gurunya Abdullah Maghribi di Madrasah Idrisiah. Beliau juga berpeluang untuk menimba

ilmu dengan Abdullah Fahim yang mahir dan berpengetahuan luas dalam bidang bahasa Arab,

tafsir, hadith dan ilmu astronomi. Oleh sebab itu, tidak hairan mengapa beliau banyak

Page 10: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

10

memasukkan perbincangan ilmu astronomi dalam tafsiran ayat berkaitan kejadian bulan,

matahari dan bulan berdasarkan pengetahuan asas dan pembelajaran formalnya di Madrasah

beraliran islah.

Page 11: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

11

RUJUKAN

‘Abbas, Fadl Hassan. 1425H/2005. al-Ittijahat al-Tafsir wa Manahij al-Mufassirin fi al-‘Asr

al-Hadith al-Tafsir Asasiyatihi wa Ittijahatihi. ‘Amman: Maktabah Dandis.

Abu Hajar, Ahmad ‘Umar. 1411H/1991. al-Tafsir al-‘Ilmi li al-Qur’an fi al-Mizan. Beirut:

Dar al-Qutaibah.

Ahmad Bazli Ahmad Hilmi. 2014. Terjemahan makna ayat kawniyyat dalam terjemahan

al-Qur’an bahasa Melayu: analisis berdasarkan tafsir ‘ilmi. Disertasi Sarjana,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ansari, Z.I. 2001. Scientific exegesis of the Qur’an. Journal of Qur’anic Studies 3(1): 91-

104. http://www.jstor.org/stable/25728019 [27 Mei 2013].

Asmidar Mohd. Dalan. 2003. Metodologi Mustafa Abdul Rahman dalam pentafsiran surah

al-Nahl. Latihan Ilmiah, Akademi Pengajian Islam, Univerisiti Malaya.

Baharrudin Zainal. 2002. Pengenalan Ilmu Falak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &

Pustaka.

Che Hasmawati Che Awang. 2004. Ustaz Mustafa ‘Abdul Rahman: sejarah hidup dan

sumbangannya dalam ilmu hadith di Malaysia. Disertasi Sarjana, Akademi

Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Danial Zainal Abidin. 2014. Quran Saintifik. Edisi kemas kini. Batu Cave: PTS Millennia.

al-Dhahabi, Muhammad Husain. 1426H/2005. al-Tafsir wa al-Mufassirun. Jil. 2. al-

Qahirah: Dar al-Hadith.

Ishak Saat & Mohd Azhar Bahari. 2010. Madrasah Idrisiah Bukit Chandan 1922-2000:

Sumbangan & Kejayaan. Batu Pahat: Penerbit UTHM.

Ismail Yusoff. 1995a. Perkembangan pengajian dan penulisan tafsir di Malaysia. Tesis Dr.

Fal, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Khairul Nizam Zainal Badri. 2008. Ketokohan dan Pemikiran Abu Bakar Al-Baqir. Shah

Alam: Karisma Publications.

al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fatah. 1431H/2010. Ta’rif al-Darisin bi Manahij al-Mufassirin.

Cet. 4. Dimasyq: Dar al-Qalam.

Mazlan Ibrahim. 1998. Tafsir ilmiy: sejarah perkembangan serta pandangan ahli tafsir dan

ulama terhadapnya. Disertasi Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Mazlan Ibrahim, Jawiah Dakir & Mohd Najib Abdul Kadir. 2009. Pengenalan Tokoh dan

Kitab-kitab Tafsir Melayu Ulama Nusantara. Bangi: Fakulti Pengajian Islam,

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Fazali Abdul Manas. 2011. Sumbangan Abd Aziz bin Abd Salam dalam pengajian

tafsir: tumpuan terhadap al-Bayan pada ta’wil ayat-ayat al-Qur’an. Disertasi

Sarjana, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Page 12: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

12

Mustafa Abdul Rahman. 1951. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 12 & 13. Pulau Pinang:

Persama Press.

Mustafa Abdul Rahman. 1952. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 14 & 15. Pulau Pinang:

Persama Press.

Mustafa Abdul Rahman. 1954. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 17 & 18. Pulau Pinang:

Persama Press.

Mustafa Abdul Rahman. 1957. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 21. Pulau Pinang:

Persama Press.

Mustafa Abdul Rahman. 1960. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 2. t.tp: Maktabat wa

Matba’at Muhammad al-Nahdi wa Awladuh.

Mustafa Abdul Rahman. t.th. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 5. Pulau Pinang: Persama

Press.

Mustafa Abdul Rahman. 1968. Terjemahan Mukhtasar Ibn Abi Jamrah. Pulau Pinang:

Maktabah al-Rawi.

Mustaffa Abdullah. 2008. Pengaruh Tafsir al-Manar dan kesannya kepada perjuangan

reformis tempatan memartabatkan pendidikan orang-orang Melayu. Jurnal

Pengajian Melayu 19: 108-125. http://www.myjurnal.my/

filebank/published_article/24060/Article_7.PDF [21 Ogos 2014].

Mustaffa Abdullah. 2009a. Khazanah Tafsir di Malaysia. Kuala Lumpur: Akademi

Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Mustaffa Abdullah. 2011. Khazanah Tafsir di Nusantara. Kuala Lumpur: Penerbit

Universiti Malaya.

Nabir Haji Abdullah. 1976. Ma’ahad Il Al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol: 1934-1959.

Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nadzirah Mohd. 2006. Athar Madrasat al-Manar fi al-tafasir al-Malayuwiyah: Tafsir al-

Qur’an al-Hakim li Shaykh Mustafa ‘Abd al-Rahman Mahmud unmudhajan. Tesis

Dr. Fal, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam

Antarabangsa Malaysia.

Nurzatil Ismah Azizan. 2009. Tafsir Nur al-Ihsan oleh Muhammad Said bin Umar dan

Tafsir al-Qur’an al-Hakim oleh Mustafa Abdul Rahman: Kajian perbandingan

metodologi pentafsiran. Disertasi Sarjana, Akademi Pengajian Islam, Universiti

Malaya.

Rehman, J. 2003. Searching for scientific facts in the Qur’an: Islamization of knowledge

or a new form of scientism? Islam & Science. 1(2): 245-252.

Selamat Amir, Mohd Murshidi Mohd Noor & Ahmad Bazli Ahmad Hilmi. 2012. Scientific

assimilation in the interpretation of the Qur’an: an approach to Zaghlul el-Najjar’s

work entitled “Tafsir al-Ayah al-Kawniyyah fi al-Qur’an al-Karim”. Al-Bayan

Journal of al-Quran and al-Hadith 10(2): 49-67.

Page 13: SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN DALAM …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/11/08-Sentuhan... · Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama

13

http://www.myjurnal.my/public/issue-view.php?id=3130&journal_id=165 [27

Mei 2013].

Wan Sabri Wan Yusof, Shayuthy Abdul Manas & Nadzirah Muhammad. 2003. Sheikh

Mustafa Abdul Rahman Mahmud (1918-1968): Twentieth Century Malay

Qur’anic Interpreter. Mohamad @ Md. Som Sujimon. Monograph on Selected

Malay Intellectuals, hlm.259–283. Kuala Lumpur: Research Centre International

Islamic University Malaysia.