demokrasi permuafakatan

Upload: hisham-yussof

Post on 18-Oct-2015

311 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

Demokrasi Permuafakatan

TRANSCRIPT

Apakah yang anda faham dengan konsep Demokrasi Permuafakatan, Sejauh mana model ini dapat membentuk satu pemerintahan yang adil dan stabil.PENGENALANIstilah demokrasi berasal daripada bahasa Yunani Greek yang dibentuk daripada dua perkataan yang berlainan iaitu demos dan kratos. Istilah ini membawa maksud rakyat dan memerintah. Dua perkataan ini diberi kata hubung ia yang memberi keseluruhan maksud diperintah oleh rakyat. Demokrasi adalah suatu ideologi politik yang lahir dari evolusi pemikiran liberalisme yang memfokuskan kepada erti kebebasan. Dalam erti kata lain demokrasi adalah sebuah sistem politik yang memberi penghormatan yang amat tinggi terhadap rakyat sesebuah negara yang berdemokratik. Pemerintah dan negara yang dibentuk di dalam sebuah sistem demokrasi adalah bertujuan untuk menyumbang tenaga dan memberi khidmat terbaik, bertugas dan memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan terjamin (Zaini Othman, 2006, 27). Definisi demokrasi dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu secara langsung atau secara tidak langsung yang dilihat melalui sistem perwakilan yang biasanya melibatkan pilihanraya yang bebas. Dalam demokrasi langsung, rakyat akan mengambil bahagian secara langsung seperti yang dipraktikan oleh beberapa buah Bandar Yunani Kuno di England. Namun begitu, kebanyakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi hari ini menggunakan perwakilan yang diwujudkan melalui institusi politik dalam sesebuah negara tersebut. Sistem demokrasi melambangkan kesejagatan, persaingan untuk jawatan, kebebasan bersuara dan akhbar serta kedaulatan undang-undang. Contoh negara yang mengamalkan sistem demokrasi adalah seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, India dan tanah air kita sendiri, Malaysia bumi bertuah. Demokrasi merupakan satu perkataan yang paling terkenal di setiap negara di dunia kerana hampir tiada satu negara yang mengaku mengunakan sistem kapitalis, komunis mahupun autokratik. Malah ramai yang menganggap demokrasi adalah satu pilihan yang tepat kerana ia melambangkan negara tersebut mempunyai sistem pemerintahan yang lancar dan teratur. Setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan dikenali sebagai satu negara yang berdemokratik.

Menurut Dahl (1998) sesebuah sistem demokrasi memberi peluang kepada warganegaranya untuk terlibat secara aktif, mempunyai kesamarataan dalam mengundi, memperolehi pemahaman yang sama rata dan efektif. Untuk terlibat secara efektif, seseorang warganegara perlu tahu dan sedar mengenai hak dan tanggungjawabnya terhadap negara. Pemahaman dan pengetahuan yang mendalam terhadap prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan dalam negaranya dapat membantu mereka terlibat secara efektif dan progresif.

Di Malaysia, prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sistem pemerintahan telah digariskan secara jelas dan terperinci. Antara prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan ialah :

I. Kebebasan untuk menganut apa jua fahaman

II. Menerima perbezaan antara agama

III. Mempunyai hak untuk mengundi

IV. Mempunyai hak untuk bersuaraKONSEP DEMOKRASI PERMUAFAKATAN

Konsep demokrasi permuafakatan dibentangkan buat pertama kali oleh Arendth Lijphart (1968) dalam usul menerangkan kejayaan beberapa buah negara yang hidup dalam kepelbagaian kaum di Eropah seperti Belanda, Austria serta Switzerland. Kesemua negara tersebut telah berjaya membentuk sebuah negara yang berdemokrasi kerana asas tunjang utama kepada kejayaan ini ialah kerjasama elit setiap kaum dengan saling berkongsi kuasa dalam pemerintahan negara-negara tersebut. Sebelum menyaksikan kejayaan yang dimiliki sekarang, negara-negara tersebut mempunyai struktur masyarakat yang bersifat terpisah hingga memberi kesan dalam pembentukan kerajaan dan membuat keputusan kerana setiap kaum memiliki kekuatan yang sama, pendapat yang berbeza-beza dan terlalu mempertahankan nilai kelompok atau kaum masing-masing. Menurut Lijphart A, dalam Kongres Pertubuhan sarjana-sarjana sains politik sedunia di Brussels, dinyatakan bahawa Cyprus dan Malaysia adalah antara negara dunia ketiga yang berjaya mengamalkan demokrasi permuafakatan dalam negara. Konsep permuafakatan boleh berlaku apabila setiap pihak yang terlibat saling mempersetujui perkara-perkara yang akan disepakati. Setiap pihak perlu mengambil kira kepentingan pihak-pihak lain dan mempunyai sikap toleransi bagi menjayakan lagi demokrasi permuafakatan. Secara ironinya, kesepakatan boleh berlaku dalam apa jua keadaan sama ada ketika dalam proses pembentukan kerajaan seperti dalam pilihan raya atau ketika memperjuangkan sesuatu isu.PENGAMALAN DEMOKRASI PERMUAFAKATAN DI MALAYSIA

Melalui ciri-ciri yang digambarkan oleh Lijphart didapati bahawa masyarakat malaysia yang bersifat majmuk, terpisah, dan sentiasa bersaing, kebanyakan sarjana yang mengkaji sistem politik dan perkembangan politik di Malaysia bersetuju bahawa sistem demokrasi yang mendasari politik Malaysia adalah bersifat permuafakatan. Mengkaji lebih dalam akan kes di Malaysia, kemajmukan ini telah memperlahankan sistem pendemokrasian. Justeru itu, aplikasi demokrasi permuafakatan dilihat sebagai cara terbaik dalam merancakkan lagi sistem demokrasi di Malaysia. Hal ini kerana pengaruh perkauman yang kuat menyebabkan perkembangan nilai demokrasi turut dipengaruhi oleh aspek ini. Sifat perkauman yang diwarisi daripada penjajah British ini telah mencipta sebuah masayarakat majmuk yang tidak berusaha untuk meningkatkan permuafakatan dan mengintegrasikannya secara lebih serius. Hal ini telah membuka mata pemimpin negara kita yang pertama Tunku Abdul Rahman setelah melihat tiada satu pun kaum yang benar-benar membentuk majoriti dalam pembentukan kerajaan. Perkara ini berlaku kerana setiap kaum tidak berupaya untuk membentuk majoriti disebabkan sokongan yang tidak mencukupi dan tidak mendapat sokongan yang mantap dari kaum lain. Mengguna pakai konsep asas demokrasi permuafakatan, Tunku menjadikannya sebagai teras elitis untuk membentuk kompromi bergabung dengan golongan elit kaum lain. Dalam hal ini menunjukkan akan gabungan berasaskan elit ini akan kekal dengan identiti mereka tersendiri tanpa perlu menjejaskan kepentingan kaum masing-masing. Menyusuri kembali sejarah negara pada awal pelaksanaan sistem demokrasi permuafakatan, proses pendemokrasian ini diperkenalkan oleh Inggeris bermula pada era masyarakat yang masih feudal dan tradisional. Oleh sebab itu demokrasi di Malaysia pada ketika itu dilabelkan sebagai bersifat pra-matang ( Jesudason 1995, Ahmad Nidzamuddin 2002). Hal ini kerana demokrasi yang digunakan pada ketika itu dipinjam serta diubah suai umtuk memenuhi latar belakang rakyat Malaysia yang kebanyakkannya memiliki taraf pendidikan yang rendah, ekonomi yang masih mundur dan tidak berkembang, dan sifat tradisional dalam pemerintahan kerajaan. Justeru itu, Tunku membentuk satu pakatan yang bersifat longgar supaya dapat diaplikasikan dalam zaman pemerintahannya. Tunku menyedari akan ciri masyarakat yang dipimpin adalah bersifat majmuk dan bersegmen lantas mengekalkan sistem quo disamping membentuk sistem permuafakatan yang longgar untuk masyarakat berbilang kaum. Tunku juga menyedari akan status Malaysia yang pada ketika itu baru mencapai kemerdekaan daripada pihak British dan menjadikan permuafakatan ini sebagai satu perlaksanaan terbaik untuk mengekalkan keharmonian kaum sekaligus memberi pandangan positif kepada pihak British bahawasanya beliau mampu memerintah negara dengan aman dan damai.Namun, kegagalan Tunku yang tidak melihat akan hubungkait demokrasi dengan pertumbuhan ekonomi menyebabkan perjalanan demokrasi permuafakatan ini terganggu. Hal ini kerana pemupukan demokrasi ini hanya melibatkan kerjasama politik dalam golongan para elit sahaja. Hakikatnya, keterpisahan masyarakat dalam bidang ekonomi amat jelas sekali kerana ekonomi telah dikuasai oleh kaum minoriti dan hal ini telah mencetuskan pertelagahan kaum antara kaum minoriti dan kaum majoriti iaitu kaum melayu.Peristiwa pertelagahan kaum 1969 telah menjadi satu titik perubahan dalam melaksanakan demokrasi permuafakatan di Malaysia. Atas tuntutan ekonomi yang mendesak, masyarakat Malaysia ketika itu tidak lagi memandang akan keperluan kerjasama politik antara kaum. Justeru itu, Tun Abdul Razak menggunakan pendekatan ekonomi iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai matlamat politik dan menjadi jalan keluar bagi isu perpecahan ekonomi masyarakat Malaysia.Demokrasi permuafakatan ini diteruskan lagi dalam legasi kepimpinan Tun Dr. Mahathir bermula dari tahun 1981 sehingga 2003 dengan memperkenalkan beberapa dasar baharu sejak mula memegang tampuk pemerintahan dalam kerajaan. Mengambil kira bahawa perkauman akan sentiasa menjadi beban dalam politik Malaysia, Tun Dr Mahathir menumpukan lebih perhatian kepada pembangunan ekonomi malaysia kerana menganggap ianya amat penting dalam kestabilan ekonomi dan keamanan negara.Justeru itu, perkembangan ekonomi Malaysia seringkali dikatakan bergerak sejajar dengan demokrasi permuafakatan. Hal ini kerana melalui perkembangan ekonomi negara, maka peluang untuk rakyat membina pendidikan lebih tinggi terbuka luas dan lebih terdedah akan kepada maklumat dari seluruh pelusuk dunia. Hal ini telah membina pemikiran yang luas kepada rakyat dan sedar akan kepentingan toleransi sesama kaum.

Menurut konsep asas (Lerner,1958) sepanjang proses perindustrian sesebuah negara telah menjadikan hubungan sosial sama ada berbentuk formal atau tidak formal dimana perhubungan ini berlaku secara terancang atau tidak terancang. Justeru itu, elemen perkauman secara tidak sedar akan dilenyapkan perlahan-lahan dan akan digantikan dengan nilai demokrasi yang dikongsi bersama oleh setiap kaum di Malaysia.

Jika dilihat di negara barat, proses demokrasi permuafakatan adalah hasil daripada perkembangan ekonomi negara. Namun, sebaliknya telah berlaku di kebanyakan negara asia iaitu tuntutan demokrasi hanya akan berlaku sekiranya krisis ekonomi muncul. Hal ini telah berlaku di negara seperti Korea Selatan, Thailand, Taiwan dan sebagainya. Di Malaysia sebagai contoh, proses pendemokrasian timbul apabila krisis kewangan 1997 melanda ekonomi negara. Mulai saat itu, proses pendemokrasian timbul lebih agresif apabila rakyat saling berinteraksi dalam menangani isu tersebut.

Selain daripada isu ekonomi negara yang menyumbang kepada demokrasi permuafakatan, isu politik juga dilihat turut memainkan peranan. Hal ini dapat dilihat melalui kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu memberi ruang untuk proses pendemokrasian berlaku. Isu pemecatan ini telah menyatupadukan semua kamu menerusi gerakan reformasi yang mendukung isu-isu sejagat lain berbanding isu perkauman.

Menerusi analisis yang dilakukan oleh Lijphart, dikatakan bahawa demokrasi permuafakatan masyarakat hanya akan berjaya sekiranya empat elemen asas iaitu perkongsian kuasa, prinsip perkadaran, kuasa veto dan autonomi segmental sentiasa diperteguhkan dari masa ke semasa. Elemen-elemen tersebut tidak akan berjaya dibentuk sekiranya tidak wujud satu kuasa besar yang berjaya menyatukan hampir keseluruhan etnik dalam satu parti gabungan seperti Barisan Nasional yang dianggotai oleh individu yang berbeza kaum dan etnik.SEJAUH MANA MODEL INI DAPAT MEMBENTUK SATU PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN STABIL.Model demokrasi permuafakatan mampu membentuk satu bentuk pemerintahan yang adil dan stabil jika semua pihak berkerajaan dan masyarakat mampu memberi kerjasama yang padu kepada konsep demokrasi permuafakatan. Keadilan dan kestabilan itu terhasil daripada prinsip tolak ansur, tawar-menawar, akomodasi dan konsensus dalam kalangan pelbagai parti politik yang menyertai gabungan dan ianya telah membolehkan parti-parti membentuk kerajaan dan mengekalkan kuasa. Jika dilihat senario parti politik di Malaysia hakikatnya adalah bergerak di atas landasan perkauman. Justeru itu, asas kerjasama parti pemimpin politik pelbagai etnik lebih menjurus kepada aspek permuafakatan sehingga boleh membentuk gabungan politik. Gabungan berkenaan mencerminkan keinginan untuk berkongsi kuasa kerana menyedari bahawa mustahil bagi satu-satu kaum mendominasi kuasa dan memerintah di negara ini. Bagi mencapai matlamat tersebut, maka penggabungan parti politik terbentuk. Melalui perkongsian kuasa diantara Melayu dengan cina yang terjalin semasa bertanding dalam Pilihan Raya Malaysia pada tahun 1952, kerjasama politik ini telah menimbulkan kesepakatan dan keadilan kepada rakyat lantas menunjukkan bahawa kesepaduan kaum dalam demokrasi telah wujud sejak zaman sebelum kemerdekaan lagi. Dalam pilihan raya ini, politik perkauman terlihat begitu ketara sekali dan kerjasama ini telah memudahkan lagi usaha dalam menuntut kemerdekaan.Sistem demokrasi permuafakatan berjaya membuatkan masyarakat bersatu padu walaupun terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Sistem demokrasi permuafakatan ini tidak mungkin akan berjalan lancar jika terdapat perselisihan dalam masyarakat majmuk, yang kemudiannya mampu melahirkan golongan yang suka menimbulkan pelbagai permasalahan. Malah lebih membimbangkan jika golongan ini akan meruntuhkan sistem demokrasi permuafakatan negara. Hasil daripada demokrasi permuafakatan ini, keadilan dapat dilihat menerusi rakyat yang mendapat keadilan dari segi kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara merujuk kepada hak seseorang individu tidak mengira apa jua kaum untuk mengekspirasikan idea-ideanya tanpa sebarang campur tangan kerajaan. Keadilan diberikan kepada semua rakyat atau masyarakat untuk menyuarakan sebarang permasalahan atau menyumbang pelbagai idea kepada kerajaan untuk membantu pemerintah negara melakukan segala apa yang benar dan dituntut oleh rakyat. Menurut Onkar Ghate, kebebasan berfikir adalah aspek kerohanian kepada hak terhadap kebebasan dari aspek fizikal dan jasad seseorang individu.Hak kebebebasan bersuara juga memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi individu-individu yang mempunyai pendapat berbeza. Hal ini boleh dilihat apabila pendapat golongan majoriti didalam parti tersilap, maka ianya wajib untuk mereka dalam kalangan minoriti untuk menyuarakan kebenaran, mencetuskan pandangan. Justeru itu, segala kebenaran akan terbukti dan segala apa yang sepatutnya dibaiki boleh dilaksanakan oleh pihak tertentu. Seterusnya menerusi demokrasi permuafakatan segala hak asasi manusia iaitu hak masyarakat akan terbela. Segala kehendak rakyat akan diberi perhatian dan dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum diteruskan dan diusulkan kaedah perlaksanaannya. Rakyat mempunyai kehendak dan keupayaan untuk menjayakan demokrasi permuafakatan dan kerajaan juga harus menitik beratkan akan kandungan perlembagaan supaya ianya selari dengan keperluan semasa sekaligus dipandang sebagai perlembagaan berdemokrasi.Menerusi model demokrasi permuafakan ini, demokrasi akan lebih berjaya seandainya pengagihan harta dan kekayaan itu meliputi keseluruhan masyarakat yang berbilang kaum. Sebagai contoh pembahagian BR1M yang diberikan oleh kerajaan malaysia kepada individu yang layak dimana individu tersebut adalah meliputi semua kaum di malaysia. Pemberian BR1M ini dilihat bukan untuk mengambil hati rakyat tetapi menjelaskan bahawa kerajaan prihatin akan beban yang ditanggung rakyat dan sekaligus membantu mengurangkan kos perbelanjaan. Walaupun jumlahnya sedikit dan pembahagiannya hanya setahun sekali, namun ianya cukup membuktikan bahawasanya kerajaan telah menjalankan hak dan tanggungjawab kepada rakyat. Pembahagian ini memberi maksud akan kesamarataan harta diberikan kepada seluruh rakyat malaysia yang layak tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Hasil daripada demokrasi permuafakatan dari segi pendidikan dilihat melalui peluang dan hak yang sama diberikan kepada setiap individu untuk mendapat pendidikan serta kemudahan yang disediakan. Setiap individu diberi peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan dan hak memilih jenis sekolah untuk belajar tanpa mengira apa jua status sosial, ekonomi, keistimewaan, jantina, kaum, agama atau latar belakangnya.Kepentingan demokrasi permuafakatan dari segi pendidikan ini telah memperlihatkan apabila ianya dapat membantu mengurangkan jumlah masalah buta huruf dalam kalangan penduduk dalam negara kurang maju, keadaan ini dibuktikan dengan pelaksanaan sistem pendidikan melalui pendemokrasian permuafakatan yang memberi pendidikan kepada semua masyarakat luar bandar. Selain itu, ianya juga dapat merapatkan jurang pencapian akademik individu walaupun berlain bangsa dan agama.Slogan Satu Malaysia mempunyai kesinambungan dengan keadilan pendemokrasian permuafakatan dari segi pendidikan ini. Satu Malaysia mendahulukan rakyat dalam segala aspek tidak mengira kaum dan bangsa terutamanya dalam pendidikan. Sistem pendidikan selama ini tidak pernah mengabaikan mana-mana golongan masyarakat sama ada golongan buta, cacat pendengaran dan bisu serta kanak-kanak down syndrome juga mendapat pendidikan dalam negara.Justeru itu, kewujudan institusi pendidikan swasta dan pelbagai jenis sekolah iaitu sekolah jenis kebangsaan cina dan sebagainya merupakan sebahagian bukti daripada hasil pendemokrasian permuafakatan di Malaysia. Selain itu, pemberian biasiswa, bantuan buku-buku teks melalui Skim Pinjaman Buku Teks turut memantapkan lagi pendemokrasian ini bertujuan agar kadar kemisikinan tidak dijadikan alasan yang seseorang itu tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.Perlembagaan adalah antara kunci demokrasi yang mendukung demokrasi tulen. Undang-undang-undang dan perlembagaan sebagai salah satu elemen demokrasi yang melengkapi satu sama lain. Sebelum sesuatu undang-undang dibuat, perlembagaan harus dirujuk agar ianya tidak bercanggah dengan kandungan perlembagaan. Hal ini menjadi titik tolak mengapa perlembagaan begitu signifikan dalam mencorakkan arena pendemokrasian. Demokrasi permuafakatan dapat dilihat melalui perkara yang terkandung didalamnya.Elemen keadilan dalam demokrasi permuafakatan disokong dalam perlembagaan malaysia menerusi Perkara 8 dan Perkara 12 yang jelas mengiktiraf dan melindungi hak sama rata di sisi undang-undang bagi setiap warganegara malaysia melalui Fasal 1 Perkara 8. Di dalam Fasal (2) Perkara 8 membenarkan diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang mahupun sebarang perlantikan untuk apa jua jawatan atau pekerjaan dibawah berkuasa awam atau dalam mana-mana undang-undang berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta.Selain itu, terdapat beberapa akta lain yang digubal didalam perlembagaan yang mengikut prinsip keadilan untuk masyarakat. Akta-akta ini dilihat lebih menumpukan kepada unsur kebajikan untuk golongan-golongan tertentu. Namun perlaksanaannya adalah melibatkan semua kaum yang tergolong dalam golongan tersebut. Antara Akta yang digubal ialah Akta Orang Asli 1954, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008. Keutamaan diberikan kepada golongan tersebut kerana ianya dilihat sedikit terabai jika dibandingkan dengan masyarakat yang lain. Akta-akta ini digubal juga kerana untuk melindungi segala kepentingan golongan-golongan ini supaya mereka tidak tertindas dan tiada kesempatan yang diambil oleh mana-mana pihak yang lain

KE ARAH PEMBENTUKAN DEMOKRASI PERMUAFAKATAN YANG MANTAPDalam usaha untuk membina satu bangsa Malaysia yang mempunyai ikatan perpaduan yang kuat di samping membangkitkan semangat cintakan tanah air, Rukun negara telah diperkenalkan. Satu draf rukun negara telah dibincangkan dan dibuat beberapa kali pindaan oleh Majlis Perundangan Negara sebelum diluluskan oleh Majlis Gerakan Negara dan kemudiaannya diisytiharkan pada 31Ogos 1970. Ideologi nasional Malaysia ini telah menggariskan lima prinsip utama iaitu :I. Kepercayaan kepada tuhan

II. Kesetiaan kepada raja dan negara

III. Keluhuran perlembagaan

IV. Kedaulatan undang-undang

V. Kesopanan dan kesusilaanSelepas pembentukan rukun negara, segala dasar dan keputusan yang hendak dibuat oleh kerajaan haruslah dirujuk dahulu dengan rukun negara supaya ianya tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip rukun negara. Pihak kerajaan telah menggunakan rukun negara sebagai satu instrument bagi mengatasi garis pemisah antara etnik dalam membentuk dan membimbing masyarakat malaysia kearah demokrasi permuafakatan yang mantap.Berikut merupakan matlamat rukun negara yang diwujudkan untuk :I. Mewujudkan sebuah negara yang rakyatnya bersatu , berdemokratik, adil, liberal serta progresif

II. Mewujudkan sebuah masyarakat malaysia yang bersatu padu dan sanggup memberikan taat setia yang paling tinggi kepada negara tercinta

III. Membina satu pembentukan rakyat yang demokratik iaitu bukan sahaja kuasa berada di tangan rakyat tetapi juga menjamin hak-hak asasi dan kebebasan rakyat untuk berpolitik

IV. Membina masyarakat yang adil bagi menjamin persamaan peluang untuk menikmati kemakmuran negara serta pengagihan kekayaan yang adil lagi saksama

V. Membina masyarakat yang liberal iaitu menjadikan kepelbagaian dan perbezaan dalam masyarakat ini sebagai satu sumber kekuatan dan kemajuanVI. Membina masyarakat yang progresif iaitu dapat mencapai keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pembangunan lahiriah Kepelbagaian penubuhan parti politik di Milaysia yang merangkumi pelbagai etnik dan kaum telah memungkinkan bermacam bentuk anasir negatif yang akan meresap secara halus lalu meruntuhkan integriti yang dibina antara etnik. Justeru, pelbagai pihak perlulah berganding bahu bagi memastikan tiada satu pun anasir negatif yang berjaya menembusi benteng permuafakatan yang dibina sejak dulu lagi. Jika hal ini tidak dibendung sedari awal lagi, tidak mustahil peristiwa terburuk 13 Mei 1969 akan berulang kembali.Selain mempraktikkan prinsip rukun negara dalam diri setiap masyarakat, berikut merupakan beberapa saranan yang boleh digunapakai oleh semua pihak bagi memastikan kelangsungan demokrasi permuafakatan ini dapat memantapkan lagi kesepaduan antara kaum serta mewujudkan budaya politik yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat.

1. Menerapkan nilai-nilai murni seperti bertolak ansur dengan kaum lain dalam berpolitik

2. Memperbetulkan objektif penubuhan parti politik

3. Tidak terlalu taksub dengan mana-mana parti politik yang disokong

4. Mengaplikasikan kaedah konsensus iaitu persetujuan sepenuhnya

5. Mewujudkan lebih banyak pelan-pelan integriti dalam parti politikKESIMPULANSeperti yang diperlihatkan dalam kandungan demokrasi permuafakatan diatas, keseluruhannya boleh disimpulkan bahawa asas sistem demokrasi permuafakatan di Malaysia terbina daripada proses bertolak ansur, tawar-menawar, kerjasama dan saling memahami antara sesebuah kaum dengan kaum yang lain dalam golongan elit politik tanpa mencetuskan apa jua ancaman kepada pihak yang lain. Kesepakatan yang dibina sehinggalah terwujud Barisan Nasional yang telah membantu memperkukuhkan kerjasama pelbagai etnik dan memastikan agar setiap kelompok etnik diwakili sekurang-kurangnya seorang individu didalam parti.Turut menyumbang kepada demokrasi permuafakatan di Malaysia ialah kesedaran kepada peristiwa 13 Mei 1969 yang menyebabkan para pemimpin berusaha memastikan agar tragedi berdarah tersebut tidak akan berulang kembali. Sebarang konflik yang timbul telah dapat ditangani melalui permuafakatan dalam kalangan pemimpin-pemimpin yang dilantik untuk mewakili pelbagai etnik dalam parti politik gabungan di Malaysia. Selain daripada kesedaran peristiwa 13 Mei tersebut, kerjasama dan permuafakatan juga wujud kerana adanya kesedaran untuk mengekalkan kestabilan politik dan sosial serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan yang akhirnya membawa kepada kematangan politik dan ekonomi dalam negara. Justeru itu, tidak hairanlah jika dikatakan bahawa Malaysia lebih berkembang pesat dan lebih maju pada zaman ini.

Hasil permuafakatan ini telah memberi keadilan kepada rakyat dari pelbagai sudut dan ruang yang semestinya memberi pelbagai faedah kepada rakyat yang berbilang kaum. Semua rakyat tidak mengira bangsa dan agama berhak mendapatkan kepelbagaian faedah dari demokrasi permuafakatan ini. Keadilan dari segi kebebasan bersuara, hak individu, peluang pendidikan dan pelbagai akta digubal untuk menjaga hak dan kepentingan individu terbabit. Segala-galanya diperoleh hasil daripada demokrasi permuafakatan yang dibina sejak dari zaman sebelum kemerdekaan lagi.Pengalaman lalu juga telah membuka mata masyarakat Malaysia sekarang bahawa kita telah berjaya mengukir kejayaan dalam pelbagai bidang dan mencapai perpaduan kerana rakyat pelbagai etnik telah bersedia untuk menjalin kerjasama, berkongsi kuasa dan permuafakatan dari segi politik, ekonomi dan sosial. Prinsip perkongsian kuasa dan permuafakatan serta akomodasi antara etnik dan pelbagai parti politik merupakan tonggak keutuhan dan survival negara ini.Melalui demokrasi permuafakatan ini telah memberi ruang kepada pelbagai etnik yang cuba menyalurkan tuntutan, masalah dan aduan yang ditanggung kepada individu yang mewakili etnik dalam parti. Hal ini menjelaskan bahawa tidak mungkin satu-satu etnik itu dapat memonopoli atau mendominasi kuasa dan dapat memerintah negara tanpa bantuan dan cetusan idea yang berlainan dari etnik-etnik lain. Malah, pelbagai konflik dan tragedi lain atau yang lebih buruk daripada peristiwa 13 Mei akan berlaku hasil daripada ketiadaan permufakatan di dalam Malaysia.

Penerapan nilai-nilai murni serta mempraktikkan rukun negara dalam diri setiap individu juga akan membantu untuk memantapkan lagi demokrasi permuafakatan dalam jiwa masyarakat. Penelitian kesemua rukun negara dapat membantu masyarakat supaya lebih menjaga keharmonian negara yang diperolehi daripada dulu hingga kini.Justeru itu, amat penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia untuk memahami akan konsep demokrasi permuafakatan yang telah lama wujud dalam parti politik negara kita supaya kita tergolong dalam masyarakat yang cerdik dan sedar akan kepentingan demokrasi permuafakatan ini kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara. Segala apa yang diberikan oleh pemerintah negara kepada rakyat harus dihargai dan dipelihara keamanannya supaya negara berada dalam keadaan stabil dari segi politik, ekonomi dan kewangannya serta disanjung tinggi oleh semua masyarakat dunia.

BIBLIOGRAFILijphart, A. (1968). The Politics of Accomodation: Pluralism and Democracy

in the Netherlands. Berkeley: University of California Press.Dahl, R. A. (1971). Polyarchy: Participation and Opposition. New Haven:

Yale University Press.Jesudason, J. V. (1995). Statis democracy and the Limits to Civil Society

in Malaysia. Journal Commonwealth & Comparative Politics. Vol.33, No. 3, 335-356.Ahmad Nidzamuddin Sulaiman. (2002). Budaya Politik Dalam Masyarakat

Majmuk Malaysia. Dlm. Abdul Monir Yaacob & Suzalie Mohamad (pnyt.)

Etika dan Budaya Berpolitik dariPerspektif Islam. Kuala Lumpur: IKIM.Lerner, D. (1958). The Passing of Traditional Society. New York:

The Free Press.Zaini Othman. (2006). Demokrasi di Negara Sedang Membangun:

Pengalaman Asia Tenggara. Dlm. Ghazali Mayudin, Jamaie Hamil,

Sity Daud & Zaini Othman (pnyt.) Demokrasi Kepimpinan dan

Keselamatan Dalam Politik Malaysia, hlm. 26- 49. Bangi: Penerbit UKM.

Rapar, J.H (1988). Filsafat Politik : Aristoteles. Jakarta: Rajawali Pers

Kellas, J. G. (1998). The Politics of Nationalism and Ethnicity. New York:

Palgrave Macmillan.Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif. (2002). Demokrasi di Malaysia:

Antara Persaingan dan Perwakilan. Dlm. Ghazali Mayudin (pnyt.)

Politik Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, hlm. 25-38.

Bangi: Penerbit UKM.

1