batu aceh di perlis - jabatan muzium malaysia | kunjungi … batu acheh di perlis.pdf ·...

45
BATU ACEH DI PERLIS Abstrak Kewujudan batu nisan berbentuk batu Aceh di Malaysia yang berusia lebih 500 tahun di Sayong Pinang, Johor telah membuktikan perkembangan Islam yang dibawa dari Aceh di Tanah Melayu ketika itu. Jumpaan batu Aceh yang tertua itu bertarikh 856H (1452-1453 M) menunjukkan kesenian Islam dari Aceh membawa pengaruh besar dalam kehidupan sosial orang Islam di Tanah Melayu. Penyebaran tradisi kesenian batu Aceh ini turut meliputi Selatan Thailand, Brunei dan sebahagian provinsi di Indonesia. Ini seiring Aceh yang dianggap sebagai pintu gerbang bermulanya penyebaran Islam di dunia Melayu dan Asia Tenggara. Negeri Perlis dahulunya merupakan sebuah jajahan negeri Kedah. Hubungan Kedah dan Aceh yang terjalin atas dasar perdagangan dan politik telah membawa tradisi kesenian batu Aceh itu di Kedah. Di Perlis, kajian terdahulu menunjukkan sebanyak sembilan buah makam lama berbatu Aceh telah dijumpai di sekitar Kangar dan Kuala Perlis. Kajian lapangan yang dijalankan oleh Muzium Kota Kayang pada tahun 2017 menunjukkan terdapatnya jumpaan baharu makam-makam lama berbatu Aceh iaitu sebanyak empat buah makam di lokasi yang berbeza. Dalam kajian ini selain daripada pengkajian tentang jumpaan baharu makam-makam berbatu Aceh, tinjauan semula ke makam-makam lama berbatu Aceh dalam kajian terdahulu dan penemuan sebuah tapak perkuburan lama di Kuala Perlis turut dibincangkan. Penemuan baharu ini telah menjadikan jumlah keseluruhan makam berbatu Aceh di Perlis adalah sebanyak 12 buah makam.

Upload: buiquynh

Post on 01-May-2019

244 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

BATU ACEH DI PERLIS

Abstrak

Kewujudan batu nisan berbentuk batu Aceh di Malaysia yang berusia lebih 500 tahun di

Sayong Pinang, Johor telah membuktikan perkembangan Islam yang dibawa dari Aceh di

Tanah Melayu ketika itu. Jumpaan batu Aceh yang tertua itu bertarikh 856H (1452-1453 M)

menunjukkan kesenian Islam dari Aceh membawa pengaruh besar dalam kehidupan sosial

orang Islam di Tanah Melayu. Penyebaran tradisi kesenian batu Aceh ini turut meliputi

Selatan Thailand, Brunei dan sebahagian provinsi di Indonesia. Ini seiring Aceh yang

dianggap sebagai pintu gerbang bermulanya penyebaran Islam di dunia Melayu dan Asia

Tenggara. Negeri Perlis dahulunya merupakan sebuah jajahan negeri Kedah. Hubungan

Kedah dan Aceh yang terjalin atas dasar perdagangan dan politik telah membawa tradisi

kesenian batu Aceh itu di Kedah. Di Perlis, kajian terdahulu menunjukkan sebanyak

sembilan buah makam lama berbatu Aceh telah dijumpai di sekitar Kangar dan Kuala Perlis.

Kajian lapangan yang dijalankan oleh Muzium Kota Kayang pada tahun 2017 menunjukkan

terdapatnya jumpaan baharu makam-makam lama berbatu Aceh iaitu sebanyak empat

buah makam di lokasi yang berbeza. Dalam kajian ini selain daripada pengkajian tentang

jumpaan baharu makam-makam berbatu Aceh, tinjauan semula ke makam-makam lama

berbatu Aceh dalam kajian terdahulu dan penemuan sebuah tapak perkuburan lama di

Kuala Perlis turut dibincangkan. Penemuan baharu ini telah menjadikan jumlah

keseluruhan makam berbatu Aceh di Perlis adalah sebanyak 12 buah makam.

Pengenalan

Kewujudan makam-makam berbatu Aceh di Perlis membuktikan kehadiran orang-orang

Aceh di Kedah melalui aktiviti perdagangan dan penyebaran agama Islam. Perlis pada

asalnya merupakan bekas jajahan negeri Kedah sebelum mula diiktiraf sebagai sebuah

negeri berdaulat.1 Sejarah hubungan Aceh dan Kedah telah bermula dengan dasar

perdagangan yang seterusnya membuka ruang kemasukan agama Islam oleh para

pendakwah Islam di Kedah melalui Pasai. Sultan Kedah ke-15, Dhiaudin Mukarram Shah I

(1662 – 1688) telah memilih Kuala Perlis sebagai pusat pemerintahan Kedah ketika itu.

Pelabuhan Kota Kuala Perlis menjadi tempat persinggahan kapal-kapal pedagang yang

melewati Selat Melaka sekitar kurun ke-15 disebabkan oleh kedudukan muaranya yang

strategik. Selain itu, kerajaan Aceh juga telah meluaskan kuasanya dengan menakluk Kedah

melalui peperangan pada tahun 16192. Ini menjelaskan taburan orang-orang Aceh di Kedah

adalah disebabkan oleh hubungan perdagangan, aktiviti pendakwahan Islam dan

peperangan.

Penemuan pertama batu Aceh di Kampung Tok Paduka yang terletak di Kangar, Perlis

dalam suratkhabar Utusan Melayu pada 23 Mac 1974 telah menarik minat Othman Mohd.

Yatim untuk mengkaji makam-makam lama di sekitar Perlis. Hasil daripada survei-survei

yang telah dijalankan sebanyak sembilan makam-makam lama berbatu nisan Aceh ditemui

antara tahun 1970an hingga 1980an di sekitar Perlis. Makam berbatu Aceh lazimnya

dikaitkan dengan sultan, kerabat diraja dan para pembesar. Reka bentuk yang menarik dan

unik serta menggunakan bahan yang berbeza telah menjadi pilihan sultan, kerabat diraja

dan para pembesar agar dapat membezakan status antara golongan bangsawan dan rakyat

biasa. Rakyat biasa hanya menggunakan tunggul kayu dan batu sungai sebagai tanda

makam mereka. Makam-makam berbatu Aceh juga sering dikaitkan dengan pahlawan-

pahlawan Aceh yang mati dalam peperangan dan alim ulama yang turut dianggap sebagai

keramat ketika itu. Selain daripada hubungan perdagangan, hubungan kekeluargaan yang

1 Gabenor Negeri Perlis, Tuan Syed Hussin Jamalullail ditabalkan sebagai Raja Negeri Perlis yang pertama pada tahun 1843 oleh Raja Siam, Raja Nang Klao atau Rama III. 2 Raja Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607 – 1636) telah menawan Kota Siputih, ibu negeri Kedah pada tahun 1619.

terjalin antara pemerintah merupakan antara faktor perluasan penggunaan batu Aceh di

Tanah Melayu ketika itu.

Berdasarkan survei-survei yang telah dijalankan mengikut tiga jangka masa yang utama,

penambahan jumlah makam-makam berbatu Aceh yang ditemui di Semenanjung Malaysia

telah meningkat3. Bermula pada zaman kolonial hingga kini, sebanyak 450 buah makam

yang berjaya dikesan. Jumlah makam ini akan meningkat dengan jumpaan-jumpaan

terbaharu oleh para pengkaji pada masa hadapan.

Tipologi batu Aceh

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tipologi bermaksud kajian tentang tipa iaitu model,

jenis, golongan atau tentang pertalian antara tipa serta sifat atau perwatakan yang terdapat

pada setiap tipa. Tipologi pertama batu Aceh di Semenanjung Malaysia telah disusun oleh

Othman Mohd. Yatim dalam tesis PhD beliau pada tahun 1985. Menurut Othman Mohd.

Yatim (1988) sebanyak 14 jenis batu nisan berbentuk batu Aceh yang telah dikenal pasti

hasil daripada survei-survei yang dijalankan. Pengkelasan batu nisan itu dibahagi kepada

dua bentuk iaitu pipih dan tiang. Batu Aceh jenis Othman Yatim bermula daripada jenis A

hingga jenis N4. Penambahbaikan tipologi batu Aceh ini juga telah ditambah baik oleh

Daniel Perret dan Kamarudin Ab. Razak (1999) yang menjalankan survei-survei di Johor

dengan membuat klasifikasi baru iaitu sebanyak 16 jenis yang bermula dengan jenis A

hingga jenis Q5. Tipologi batu nisan ini juga dikemaskini dengan penambahan empat jenis

batu Aceh menjadikannya sebanyak 20 jenis batu Aceh6. Pecahan juga dibuat bagi batu

Aceh jenis A, E dan H iaitu A1 dan A2, E1 dan E2; dan H1 dan H2. Dalam survei yang

dijalankan oleh mereka, penambahbaikan dalam tipologi makam berbatu Aceh ini dibuat

mengikut bentuk batu nisan dalam kumpulan tertentu. Sebanyak lima jenis kumpulan telah

3 Daniel Perret dan Kamarudin Ab. Razak, 2017. Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara. Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 41-44. 4 Othman Mohd. Yatim, 1988. Batu Aceh: Early Gravestone in Peninsular Malaysia. Museum Association of Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 52-58. 5 Daniel Perret dan Kamarudin Ab. Razak, 1999. Batu Aceh Warisan Sejarah Johor. Yayasan Warisan Johor, Johor Baharu, hlm. 28 6 Daniel Perret dan Kamarudin Ab. Razak, 1999. Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan. Yayasan Warisan Johor, Johor Baharu, hlm. 64-65.

dibahagikan iaitu batu Aceh berbentuk papan, batu Aceh berbentuk segi empat sama, batu

Aceh berbentuk kerucut terbalik terpotong segi lapan sama, batu Aceh berbentuk segi

lapan dan berbahu empat serta batu Aceh berbentuk kerucut terbalik terpotong bulat.

Setiap jenis batu-batu nisan ini adalah berdasarkan kepada bentuk dan ciri-ciri persamaan

yang paling ketara dan sering dijumpai pada bahagian-bahagian batu itu.

Berdasarkan survei oleh Othman Mohd. Yatim (1976 dan 1988), makam berbatu Aceh di

Perlis tergolong dalam tiga jenis batu mengikut jenis Othman iaitu batu Aceh jenis C, D dan

K yang diperbuat daripada batu pasir atau sandstone. Makam-makam ini telah dijumpai di

sekitar Kangar dan Kuala Perlis iaitu di tanah perkuburan lama dan juga di tanah

persendirian penduduk kampung. Hasil daripada survei itu, makam berbatu Aceh jenis C

merupakan jenis batu nisan Aceh yang terbanyak dijumpai di Perlis iaitu sebanyak lima

buah makam. Makam-makam berbatu nisan Aceh jenis C adalah makam Tok Halus, Tok

Aceh, Tok Gergut, Tok Surau dan Tok Paduka. Manakala terdapat tiga buah makam yang

berbatu Aceh jenis D ditemui di makam Tok Sena, Tok Seri Mani dan Tok Jaya. Sebuah

makam telah dikenal pasti mempunyai batu Aceh jenis K adalah makam kepunyaan Tok

Weng.

Jadual 1: Kajian makam berbatu Aceh di Perlis (Othman Mohd. Yatim, 1976 dan

1988).

Bil. Nama Makam Batu Aceh jenis Othman

Jenis C Jenis D Jenis K

1. Makam Tok Halus 1

2. Makam Tok Sena 1

3. Makam Tok Aceh 1

4. Makam Tok Seri Mani 1

5. Makam Tok Jaya 1

6. Makam Tok Gergut 1

7. Makam Tok Surau 1

8. Makam Tok Weng 1

9. Makam Tok Paduka 1

Kajian pada makam-makam ini juga turut dibuat oleh Daniel Perret dan Kamarudin Ab.

Razak (2004) di Perlis sebagai perbandingan kepada batu Aceh yang terdapat di Johor.

Dalam perbandingan kajian maka-makam berbatu Aceh di Perlis ini sebanyak enam

makam lama dipilih iaitu makam Tok Halus, makam Tok Sena, makam Tok Gergut, makam

Tok Jaya, makam Tok Weng dan makam Tok Seri Mani. Hasil dapatan perbandingan itu

adalah seperti di Jadual Y. Berdasarkan kajian itu, dua makam telah dikenal pasti

mempunyai batu nisan Aceh jenis G iaitu makam Tok Halus dan makam Tok Jaya. Makam

Tok Sena dan Tok Gergut mempunyai batu Aceh jenis H1 manakala batu Aceh yang

terdapat di makam Tok Seri Mani dan Tok Weng dalam jenis M.

Jadual 2: Kajian batu Aceh di Perlis (Perret dan Kamarudin Ab. Razak, 2004).

Bil. Nama Makam Kod

Makam

Batu Aceh jenis Perret dan

Kamarudin

Jenis G Jenis H1 Jenis M

1. Makam Tok Halus BINJL I 1

2. Makam Tok Sena BINJL II 1

3. Makam Tok Seri Mani PNDK 1

4. Makam Tok Jaya PGGAU 1

5. Makam Tok Gergut GSALW 1

6. Makam Tok Weng KTKRN 1

Menurut Perret dan Kamarudin (1999), makam yang mempunyai persamaan pada kedua-

dua batu nisannya dan dalam berkeadaan baik dinilai berdasarkan bentuk, ukuran dan

hiasan. Pembahagian pada batu Aceh ini digambarkan kepada enam bahagian iaitu dasar,

badan bahagian bawah, badan bahagian atas, bahu-bahu, kepala dan puncak. Kaedah ini

adalah berbeza daripada yang dicadangkan oleh Othman Mohd. Yatim kerana tidak

membezakan dua bahagian yang dibuat pada bahagian badan batu nisan.7 Dengan adanya

klasifikasi baharu dalam tipologi batu nisan berbentuk Aceh ini dapat membantu dan

memudahkan pengkaji dalam membuat pengecaman ke atas jumpaan-jumpaan baharu.

7 Othman Mohd. Yatim, 1988. Batu Aceh: Early Gravestone in Peninsular Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 26-29.

Tinjauan Semula Ke Lokasi Penemuan Awal Batu Aceh Di Perlis

Menurut Othman Mohd. Yatim (1976 dan 1988), sembilan buah makam-makam berbatu

Aceh telah dijumpai di lapan buah lokasi semasa survei-survei dijalankan antara tahun

1970an hingga 1980an di sekitar Kangar dan Kuala Perlis. Antara lokasi tersebut adalah

Kampung Binjal, Kampung Guar Syed Alwi, Kampung Ngulang, Kampung Pondok, Kampung

Jejawi Dalam, Kampung Kota Keran, Kampung Panggau dan Kampung Tok Paduka.

Muzium Kota Kayang telah mengambil inisiatif dengan menjalankan tinjauan semula ke

makam-makam lama berbatu Aceh ini di lokasi-lokasi asal yang telah dinyatakan.

Pemerhatian pada makam-makam lama itu adalah untuk mengesan ketepatan lokasi,

memeriksa kondisi batu Aceh serta mendapatkan maklumat tambahan sekiranya ada.

Peta 1: Lokasi penemuan awal batu Aceh di Perlis.

PETUNJUK:

1 Makam Tok Tina Aluih

& Tok Sena

2 Makam Tok Seri Mani

3 Makam Tok Jaya

4 Makam Tok Aceh

5 Makam Tok Gergut

6 Makam Tok Surau

7 Makam Tok Weng

8 Makam Tok Paduka

1

8

5 3

2

6

4

7

i) Makam Tok Tina Aluih

Lokasi: Kampung Binjal, Mukim Utan Aji di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.3934126°U; Longitud 100.1972061°T

Jarak batu nisan: 4.11 meter panjang

Tinggi batu nisan: 76 cm

Makam ini merupakan makam berbatu nisan Aceh yang terpanjang di Perlis. Berusia lebih

200 tahun. Turut dikenali dengan nama ‘Makam Panjang’. Menurut penduduk tempatan,

Tok Tina Aluih ialah seorang wanita yang cantik dan tinggi lampai. Disebabkan

kecantikannya itu, beliau dikenali dengan nama Tok Tina Aluih atau Tok Canai Aluih.

Dipercayai Tok Tina Aluih ini datang bersama-sama ibu bapa dan keluarga beliau daripada

Aceh, Sumatera, Indonesia. Mereka seterusnya membuka kampung dan penempatan di

Kampung Binjal ini.

Tok Tina Aluih berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Tok Jernih. Tok Jernih

mempunyai dua orang isteri. Tok Tina Aluih merupakan isteri pertama Tok Jernih. Walau

bagaimanapun, terdapat sumber lisan lain menyatakan Tok Tina Aluih adalah isteri kedua

Tok Jernih. Setelah Tok Tina Aluih meninggal dunia dan dikebumikan di Kampung Binjal,

kesemua ahli keluarganya telah meninggalkan Perlis dan pulang ke Aceh, Sumatera. Ada

sumber tradisi menyatakan jasad Tok Tina Aluih dilipat tujuh semasa dikebumikan. Ini

memberikan gambaran bahawa Tok Tina Aluih mempunyai fizikal tinggi lampai. Sehingga

kini, keturunan Tok Tina Aluih tidak dapat dikesan di Perlis.

Kondisi pada kedua-dua batu adalah baik dan terdapat kesan kemasan cat berwarna putih.

Makam ini dijaga dengan baik atas inisiatif penduduk kampung. Binaan kepok daripada

konkrit dan papan maklumat turut dibina bagi memudahkan pelawat untuk mendapatkan

maklumat.

Gambar 1: Makam Tok Halus atau Tok Tina Aluih dan batu nisan selatan (Othman Mohd.

Yatim, 1988)

Gambar 2: Keadaan makam Tok Halus pada masa kini.

Gambar 3: Batu nisan selatan di makam Tok Halus yang telah dicat warna putih.

ii) Makam Tok Sena

Lokasi: Kampung Binjal, Mukim Utan Aji di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.3897395°U; Longitud 100.1998966°T

Jarak batu nisan: 2.0 meter panjang

Tinggi batu nisan: 51 cm.

Makam ini merupakan milik seorang wanita yang bernama Tok Sena. Makam ini terletak di

kawasan belakang kediaman penduduk kampung. Asal-usul Tok Sena ini tidak diketahui.

Jarak makam ini dengan makam Tok Halus atau Tok Tina Aluih adalah sekitar 500 meter.

Batu nisan utara masih berada dalam keadaan baik manakala batu nisan selatan terdapat

kerosakan yang teruk iaitu patah pada bahagian bahu dan puncak.

Gambar 4: Keadaan makam Tok Sena pada masa kini.

Gambar 5: Batu nisan utara yang masih lagi sempurna dan batu nisan selatan yang telah

patah pada bahagian bahu dan puncak.

iii) Makam Tok Seri Mani

Lokasi: Tanah Perkuburan Islam Tok Seri Mani, Kampung Pondok, Mukim

Kechor di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.4482357°U; Longitud 100.1906443°T

Jarak batu nisan: 1.4 meter panjang

Tinggi batu nisan: 42 cm.

Makam ini merupakan milik seorang lelaki yang bernama Tok Seri Mani. Asal-usul Tok Seri

Mani ini tidak diketahui dan dianggap keramat oleh penduduk kampung. Ia terletak di

celah banir sebuah pokok besar dan agak terlindung daripada penglihatan orang ramai.

Kedua-dua batu nisan ini berkeadaan baik. Separuh daripada kedua-dua batu nisan ini

telah ditutupi tanah. Berkemungkinan jarak batu nisan berubah disebabkan oleh

tumbesaran akar pokok tersebut. Saiz batu nisan utara lebih besar daripada batu nisan

selatan. Ini berdasarkan ukur lilit batu nisan utara adalah 66 cm dan ukur lilit batu nisan

selatan adalah 62 cm.

Gambar 6: Keadaan makam Tok Seri Mani setelah kerja-kerja pembersihan dibuat.

Gambar 7: Lokasi sebenar makam Tok Seri Mani.

iv) Makam Tok Jaya

Lokasi: Kampung Panggau, Mukim Seriab di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.427355°U; Longitud 100.163582°T

Jarak batu nisan: 1.6 meter panjang

Tinggi batu nisan: 78 cm.

Makam ini merupakan milik seorang individu yang bernama Tok Jaya. Lokasi makam ini

terletak di kawasan kediaman penduduk kampung. Asal-usul Tok Jaya ini tidak diketahui.

Secara keseluruhannya, kedua-dua batu nisan masih lagi dalam keadaan baik. Walau

bagaimanapun, makam ini berada dalam keadaan terbiar di kawasan semak dan agak

terlindung daripada laluan orang ramai.

Gambar 8: Makam Tok Jaya (Othman Mohd. Yatim, 1988).

Gambar 9: Keadaan makam Tok Jaya yang terbiar dan dijadikan tempat longgokan sampah.

v) Makam Tok Gergut

Lokasi: Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Syed Alwi, Kampung Guar

Syed Alwi, Mukim Seriab di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.421677°U; Longitud 100.199371°T

Jarak batu nisan: -

Tinggi batu nisan: 60 cm.

Makam ini merupakan milik seorang individu yang bernama Tok Gergut. Asal-usul Tok

Gergut ini tidak diketahui. Makam ini terletak di celah banir sebuah pokok besar dan agak

terlindung daripada penglihatan orang ramai. Hanya sebuah batu nisan sahaja yang

ditemui dan sebuah lagi tidak dapat ditemui. Kondisi batu nisan ini berkeadaan baik dan

telah dicat warna putih pada permukaannya.

Gambar 10: Keadaan asal makam Tok Gergut yang terlindung di sebalik akar pokok banyan

(Othman Mohd. Yatim, 1988).

Gambar 11: Kedudukan batu nisan Aceh Tok Gergut pada masa kini.

Gambar 12: Bentuk batu Aceh makam Tok Gergut yang telah dicat warna putih.

vi) Makam Tok Surau

Lokasi: Kampung Ngulang, Mukim Ngulang di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.4716151°U; Longitud 100.2423132°T

Jarak batu nisan: 1.95 meter panjang

Tinggi batu nisan: 73 cm.

Makam ini merupakan milik individu yang bernama Tok Surau. Walau bagaimanapun, asal-

usulnya tidak diketahui. Lokasi makam ini terletak di kawasan hadapan kediaman seorang

penduduk kampung Kampung Ngulang. Menurut pemilik kediaman tersebut, makam ini

pada asalnya terletak dalam timbunan busut dan hanya puncak nisan sahaja yang ditemui.

Usaha menggali batu nisan daripada timbunan busut telah dilaksanakan oleh pemilik asal

tanah kediaman ini sekitar tahun 1960an. Kawasan makam Tok Surau kini telah ditambah

baik dan dijaga rapi dengan membina kepok daripada konkrit atas inisiatif pemilik

kediaman ini. Kondisi pada kedua-dua batu nisan ini juga berkeadaan baik dan sempurna.

Gambar 13: Keadaan asal makam Tok Surau di Kampung Ngulang, Perlis (Othman Mohd.

Yatim, 1988).

Gambar 14: Keadaan terkini makam Tok Surau.

Gambar 15: Batu nisan selatan di makam Tok Surau.

Gambar 16: Pandangan sisi batu nisan utara di makam Tok Surau.

vii) Makam Tok Awang

Lokasi: Kampung Kota Keran, Mukim Seriab di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.431846°U; Longitud 100.172813°T

Jarak batu nisan: 1.8 meter panjang

Tinggi batu nisan: 43cm.

Makam ini merupakan milik seorang lelaki yang digelar Datuk Awang atau Tok Weng.

Menurut sejarah, beliau merupakan seorang panglima Sultan Kedah di Kota Kuala Perlis.

Tok Weng mati terbunuh di Kota Kuala Perlis ketika orang-orang Portugis yang diketuai

oleh Diego de Mendosa melanggar dan membakar kota itu pada Tahun Masihi 1614. Mayat

Tok Weng kemudiannya dimakamkan di dalam kawasan Kota Keran ini. Hanya batu nisan

utara yang masih dalam keadaan kukuh berdiri dan batu nisan selatan telah hilang dan

hanya tinggal bahagian dasar yang telah pecah. Terdapat sedikit kerosakan pada bahagian

puncak dan dasar pada batu nisan utara. Makam Tok Weng ini telah dibuat binaan kepok

daripada konkrit.

Gambar 17: Batu nisan selatan dan utara makam Tok Weng (Othman Mohd. Yatim, 1988).

Gambar 18: Kondisi terkini makam Tok Weng.

Gambar 19: Batu nisan utara di makam Tok Weng.

viii) Makam Tok Paduka

Lokasi: Kampung Tok Paduka, Mukim Sena di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.4367307°U; Longitud 100.1971171°T

Jarak batu nisan: 1.73 meter panjang

Tinggi batu nisan: 40cm.

Makam ini merupakan milik seorang lelaki yang digelar Tok Paduka. Tok Paduka

merupakan Orang Besar pada zaman pemerintahan Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin

Mansor Syah (1652 – 1661). Menurut sejarah, bandar Kangar telah dibuka oleh Tok Paduka

pada tahun 1653. Penemuan pertama batu nisan Aceh pada makam Tok Paduka ini telah

disiarkan dalam akhbar Utusan Melayu pada 23 Mac 1974.

Kedua-dua batu nisan berada dalam kondisi kurang sempurna akibat proses luluhawa dan

mungkin akibat perbuatan manusia. Batu nisan utara telah mengalami kerosakan teruk

iaitu bahagian tapaknya telah terkeluar daripada permukaan tanah dan terdapat kesan

patah pada bahu, kepala dan puncak. Manakala batu nisan selatan hanya mempunyai kesan

patah pada bahagian bahu dan puncak.

Gambar 20: Batu nisan selatan dan utara di makam Tok Paduka di Mukim Sena, Kangar.

Berdasarkan tinjauan semula yang dilakukan, sebanyak lapan buah makam di tujuh buah

lokasi telah berjaya dikenal pasti berdasarkan lokasi asal daripada sembilan makam yang

dinyatakan. Makam-makam tersebut adalah makam Tok Tina Aluih dan Tok Sena di

Kampung Binjal, makam Tok Seri Mani di Kampung Pondok, makam Tok Jaya di Kampung

Panggau, makam Tok Gergut di Kampung Guar Syed Alwi, makam Tok Surau di Kampung

Ngulang, makam Tok Weng di Kampung Kota Keran dan makam Tok Paduka di Kampung

Tok Paduka.

Hasil tinjauan yang dijalankan mendapati hanya lima makam yang dijaga dengan baik oleh

penduduk kampung. Manakala selebihnya berada dalam keadaan terbiar dan rosak tanpa

sebarang pengawasan. Dari segi ketepatan lokasi, terdapat sebuah makam sahaja yang

tidak dapat dijumpai semasa tinjauan ini dijalankan iaitu makam Tok Aceh di Kampung

Jejawi Dalam.

Jumpaan Terbaharu Batu Aceh Di Perlis

Rentetan daripada tinjauan semula di lapan lokasi penemuan awal makam berbatu Aceh di

sekitar Kangar dan Kuala Perlis, Muzium Kota Kayang telah mengorak langkah dengan

melakukan pencarian baharu makam berbatu Aceh di lokasi-lokasi yang berdekatan

dengan lokasi penemuan awal. Pencarian ini diperluaskan di mukim Kuala Perlis, mukim

Oran, mukim Utan Aji dan mukim Sena. Hasil daripada kajian lapangan yang telah

dijalankan, sebanyak empat jumpaan terbaharu yang telah berjaya ditemui. Tiga daripada

empat jumpaan terbaharu ini ditemui di kawasan tanah persendirian penduduk kampung.

Pemerhatian yang dibuat pada jumpaan terbaharu batu Aceh ini adalah untuk mengenal

pasti jenis batu Aceh, memeriksa kondisi batu nisan dan kawasan persekitarannya serta

mengumpul sejarah dan maklumat yang berkaitan dengannya.

Peta 2: Lokasi jumpaan terbaharu makam-makam berbatu Aceh di Perlis.

PETUNJUK:

1 Kg. Oran

2 Kg. Changkat Lada

3 Kg. Surau

4 Kg. Tok Paduka

1

2

4

3

i) Makam Tok Kemas

Peta 3: Lokasi makam Tok Kemas di Kampung Oran, Mata Ayer.

Lokasi: No.217, Kampung Oran, Mata Ayer, Mukim Ngulang di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.4647975°U; Longitud 100.2433235°T

Jarak batu nisan: 2 meter panjang

Tinggi batu nisan: 60 cm.

Makam ini merupakan milik seorang wanita yang bernama Tok Kemas. Menurut sumber

lisan pemilik tanah ini, beliau dikatakan berasal dari Aceh dan mempunyai pertalian

dengan Daeng Perani. Makam ini terletak di perkarangan hadapan tanah persendirian milik

seorang penduduk kampung di kampung tersebut. Kawasan makam itu pada asalnya

adalah kawasan berbukit atau berbusut. Kini, paras makam tersebut adalah sama dengan

paras tanah sedia ada disebabkan kegunaan tanah untuk aktiviti penanaman padi. Tiada

sebarang inskripsi tentang nama dan tahun kematian pemilik makam ini pada permukaan

batu nisan.

Kondisi kerosakan pada kedua-dua batu nisan adalah melebihi 50%. Kerosakan yang teruk

ini adalah disebabkan makam ini pernah ditimpa oleh pokok besar. Berdasarkan

pengamatan, batu nisan ini diperbuat daripada batu pasir atau sandstone. Batu nisan utara

mempunyai kesan patah dan pecah pada bahagian dasar, tapak, kepala dan puncak. Batang

kayu telah digunakan untuk menyokong batu nisan ini. Batu nisan selatan pula mempunyai

kesan patah pada bahagian bahu. Pemilik tanah ini telah membuat kerja-kerja baik pulih

pada kedua-dua batu nisan tersebut dengan menggunakan bancuhan simen untuk

mencantumkan bahagian-bahagian batu nisan yang telah patah dan pecah. Reka bentuk

dan ukiran yang terdapat pada kedua-dua batu nisan ini adalah sama. Batu nisan ini

tergolong dalam kumpulan papan atau slab dan berbentuk jenis H1.

Gambar 21: Batu nisan Aceh di makam Tok Kemas.

Gambar 22: Batu nisan utara di makam Tok Kemas.

Gambar 23: Kesan cantuman simen pada batu nisan selatan.

ii) Makam Tok Dinin

Peta 4: Lokasi makam Tok Dinin di Kampung Changkat Lada, Mata Ayer.

Lokasi: No.29, Kampung Changkat Lada, Jalan Mata Ayer, Mukim Ngulang di

Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.4534176°U; Longitud 100.2432742°T

Jarak batu nisan: 1.8 meter panjang

Tinggi batu nisan: 60 cm.

Menurut penduduk kampung, makam ini merupakan milik seorang lelaki yang bernama

Tok Dinin atau Tok Dindin. Beliau dikatakan seorang pedagang yang berasal dari Aceh.

Makam Tok Dinin ini terletak di kawasan berbukit di belakang kediaman milik seorang

penduduk kampung. Lokasinya agak tersorok daripada laluan orang ramai. Makam beliau

ini sering dikatakan sebagai makam ‘Orang Besar’ oleh penduduk kampung. Tok Dinin

dikatakan berperanan besar dalam menentukan keputusan dalam pertandingan laga

kerbau atau laga ayam yang diadakan di kampung tersebut pada masa dahulu. Sumber

lisan daripada penduduk kampung menyatakan kehadiran orang Aceh di kawasan

kampung ini berikutan terdapatnya sebatang sungai yang berdekatan Sungai Adam yang

pernah menjadi laluan kapal dan sampan pedagang-pedagang dari luar. Pedagang Aceh

yang singgah di kampung ini dikatakan menjalankan aktiviti menjemur lada untuk

dijadikan lada kering. Walau bagaimanapun, sungai itu telah terkambus dan kini menjadi

alor di bendang. Tiada sebarang inskripsi tentang nama dan tahun kematian pemilik

makam ini pada permukaan batu nisan.

Kondisi kedua-dua batu nisan ini masih lagi berkeadaan baik. Diperbuat daripada batu

pasir atau sandstone. Hanya terdapat sedikit kerosakan kecil yang ditemui pada kedua–dua

batu nisan ini iaitu kesan serpihan dan pecah pada bahagian dasar, badan dan bahu.

Sebahagian dasar pada batu nisan selatan terdedah disebabkan berlakunya hakisan tanah.

Sebahagian batu nisan utara pula telah ditutupi dengan tanah. Kedua-dua batu nisan ini

mempunyai saiz ketebalan yang berbeza. Ketebalan batu nisan utara adalah 13 cm

manakala ketebalan batu nisan selatan adalah 10 cm. Reka bentuk dan ukiran yang

terdapat pada kedua-dua batu nisan ini adalah sama. Batu nisan ini tergolong dalam

kumpulan papan atau slab dan berbentuk jenis H1. Ciri-ciri motif dan ukiran pada kedua-

dua batu nisan ini menyerupai batu nisan di makam Tok Surau, Kampung Ngulang.

Gambar 24: Makam Tok Dinin yang mempunyai batu nisan berbentuk batu Aceh jenis H1.

Gambar 25: Batu nisan utara dan selatan di makam Tok Dinin.

Gambar 26: Lokasi makam Tok Dinin yang terletak di kawasan berbukit.

iii) Makam Tok Surau

Peta 5: Lokasi makam Tok Surau di Kampung Surau, Utan Aji.

Lokasi: Kampung Surau, Mukim Utan Aji di Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.3854315°U; Longitud 100.2056385°T

Jarak batu nisan: 1.8 meter panjang

Tinggi batu nisan: 65 cm.

Menurut penduduk kampung, makam ini merupakan milik seorang wanita yang bernama

Tok Surau. Tok Surau dikatakan berasal dari Yan, Kedah dan berketurunan Aceh. Seorang

yang berilmu tinggi dan pernah dianggap ‘keramat’ oleh penduduk kampung pada masa

dahulu. Tok Surau juga merupakan isteri pertama kepada Tok Jernih. Terdapat sumber

lisan mengatakan mas kahwin yang diberikan oleh Tok Jernih kepada Tok Surau adalah

serangga lebah. Tok Surau juga dikatakan orang yang mula-mula membuka Kampung

Surau di mukim Utan Aji ini. Makam Tok Surau ini terletak di kawasan berbukit dalam

kawasan kuari yang telah ditinggalkan. Berdasarkan pemerhatian, makam ini pernah

disalahgunakan sebagai tempat pemujaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jumpaan awal makam ini menunjukkan makam dan persekitarannya dalam keadaan

terbiar. Tiada sebarang inskripsi tentang nama dan tahun kematian pemilik makam ini

pada permukaan batu nisan. Batu nisan ini diperbuat daripada batu pasir atau sandstone.

Puncak pada batu nisan utara telah patah dan serpihannya tidak dijumpai. Manakala batu

nisan selatan juga telah mengalami kerosakan yang teruk iaitu patah di bahagian badan

hingga bahagian puncak. Serpihan batu ini juga tidak ditemui di kawasan berdekatan. Batu

nisan ini tergolong dalam kumpulan papan atau slab dan mempunyai ciri-ciri bentuk jenis

E. Namun, klasifikasi yang tepat sama ada jenis E1 atau E2 untuk batu nisan makam Tok

Surau ini tidak dapat diputuskan memandangkan bahagian puncak batu ini telah patah dan

hilang.

Gambar 27: Posisi makam Tok Surau yang terletak di kawasan berbukit.

Gambar 28: Batu nisan utara.

Gambar 29: Batu nisan selatan.

Gambar 30: Makam Tok Surau setelah kerja-kerja pembersihan dibuat.

iv) Makam ‘X’

Peta 6: Lokasi makam ‘X’ di Kampung Tok Paduka, Mukim Sena, Kangar.

Lokasi: Tanah Permakaman Islam Kampung Tok Paduka, Mukim Sena di

Kangar, Perlis.

Koordinat GPS: Latitud 6.4367307°U; Longitud 100.1971171°T

Jarak batu nisan: 1.78 meter panjang

Tidak ada sumber atau maklumat bagi pemilik makam ini. Lokasi makam ini berdekatan

dengan makam Tok Paduka dalam kawasan tanah perkuburan yang sama. Makam ini

mempunyai dua jenis batu nisan berbeza yang berkemungkinan ia adalah berasal dari dua

makam yang berbeza. Andaian ini berikutan dua batu nisan yang berlainan jenis ini telah

disusun menjadi sebuah makam. Ia berkemungkinan batu-batu nisan ini pernah dialihkan

dan bukan di kedudukan asalnya. Kedua-dua batu nisan ini masih lagi berkeadaan baik dan

diperbuat daripada batu pasir atau sandstone. Separuh badan bahagian atas ke bahagian

dasar telah ditutupi dengan tanah pada kedua-dua batu nisan ini.

Batu nisan di makam ‘X’ ini tergolong dalam kumpulan batu Aceh berberbentuk kerucut

terbalik terpotong segi lapan sama. Berdasarkan pengamatan, batu nisan utara adalah

berbentuk jenis L dan batu nisan selatan berbentuk jenis M. Terdapat kesan pecah di

bahagian puncak kedua-dua batu nisan.

Ukur lilit batu nisan jenis L ini ialah 65 cm dan lebih besar daripada ukur lilit pda batu

nisan jenis M iaitu 63 cm. Batu nisan utara ini mempunyai ciri-ciri yang sama di bahagian

badan atas, kepala dan puncak pada batu nisan di makam Tok Seri Mani, Kampung Pondok.

Manakala bagi batu nisan selatan pula, ia mempunyai persamaan ciri dengan bentuk batu

nisan di makam Tok Weng, Kampung Kota Keran.

Gambar 31: Makam yang mempunyai dua jenis batu nisan yang berbeza berkemungkinan

adalah dua makam yang berbeza.

Gambar 32: Bentuk batu nisan utara.

Gambar 32: Bentuk batu nisan selatan.

Gambar 33: Perincian yang terdapat pada badan bahagian atas batu nisan selatan.

Empat jumpaan makam Islam lama berbatu Aceh ini menambahkan jumlah jumpaan

makam Islam lama berbatu Aceh di Perlis menjadi 12 buah makam. Berdasarkan

pengamatan kami, dua jenis batu nisan iaitu jenis E dan jenis L telah ditemui. Penemuan ini

membawa pembaharuan dan maklumat baharu dalam pendokumentasian tentang makam-

makam berbatu Aceh di Perlis. Selain itu, antara dapatan maklumat yang baharu ialah saiz

bagi batu nisan utara iaitu batu untuk bahagian kepala pemilik makam adalah bersaiz lebih

besar berbanding batu di bahagian kaki jenazah iaitu batu nisan selatan. Kami beranggapan

ia sebagai pemberitahuan kedudukan kepala pemilik makam memandangkan tiada

sebarang penandaan seperti inskripsi nama yang menerangkan identiti pemilik pada batu

nisan utara.

Posisi makam yang tinggi seperti di kawasan berbukit menunjukkan status pemilik makam

itu sebagai orang yang dihormati, disanjung tinggi dan dianggap keramat oleh penduduk

kampung. Secara keseluruhan dalam jumpaan terbaharu ini, dua daripada empat makam

ini masih lagi kekal di kawasan berbukit. Manakala sebuah makam lagi pada asalnya di

posisi kawasan berbukit namun mengalami perubahan akibat penggunaan tanah bagi

tujuan pertanian. Hanya sebuah makam yang dilihat tidak berada di posisi kawasan

berbukit. Kesemua makam-makam yang dilawati termasuk jumpaan awal semasa fasa satu

dan jumpaan terbaharu menunjukkan tiada inskripsi identiti pemilik makam.

Makam berbatu Aceh jenis H1 merupakan makam yang terbanyak ditemui di Perlis setakat

ini. Hanya sebuah makam berbatu Aceh jenis E yang dikesan di Perlis. Bagi dua makam

berbatu nisan jenis M iaitu makam Tok Seri Mani dan makam Tok Weng yang ditemui pada

fasa pertama, kami menyarankan agar makam Tok Seri Mani diletakkan dalam bentuk jenis

L. Ini berikutan bentuk kedua-dua jenis batu nisan itu adalah berbeza pada ciri badan

bahagian atas, kepala dan puncak. Hanya dua makam yang dikesan mempunyai batu nisan

jenis G. Manakala hanya sebuah makam dikesan mempunyai dua jenis batu nisan berbeza

iaitu makam ‘X’ di Kampung Tok Paduka. Makam ini menggunakan batu nisan jenis L untuk

batu nisan utara dan jenis M untuk batu nisan selatan. Penggunaan dua batu nisan yang

berlainan berkemungkinan menunjukkan ia adalah dua buah makam yang berbeza atau

batu nisan-batu nisan ini telah dipindahkan dan disusun semula oleh penduduk menjadi

sebuah makam. Makam ini mempunyai persamaan dengan makam di Tanah Perkuburan

Kampung Raja di Pagoh, Johor.

Berikut adalah senarai terkini taburan bentuk-bentuk batu Aceh di Perlis seperti di Jadual

3. Jumlah keseluruhan makam-makam berbatu Aceh yang berjaya dikesan adalah 12 buah

makam. Manakala lima jenis batu Aceh telah berjaya dikenal pasti iaitu jenis E, jenis G, jenis

H1, jenis L dan jenis M berdasarkan penemuan 12 buah makam tersebut.

Jadual 3: Senarai terkini taburan bentuk-bentuk batu Aceh di Perlis.

Bil. Nama Makam Batu Aceh jenis Perret dan Kamarudin

Jenis E Jenis G Jenis H1 Jenis L Jenis M

1. Makam Tok Halus 1

2. Makam Tok Sena 1

3. Makam Tok Seri Mani 1

4. Makam Tok Jaya 1

5. Makam Tok Gergut 1

6. Makam Tok Weng 1

7. Makam Tok Paduka 1

8. Makam Tok Surau, Kg. Ngulang

1

9. Makam Tok Kemas 1

10. Makam Tok Surau, Kg. Surau 1

11. Makam Tok Dinin 1

12. Makam ‘X’ 1 1

JUMLAH 1 2 6 2 2

Penemuan sebuah tapak perkuburan Islam lama

Peta 6: Lokasi makam di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Tapak perkuburan Islam lama ini terletak di dalam kawasan Tanah Perkuburan Kampung

Wai di Kuala Perlis, Perlis8. Posisi tapak ini adalah di kawasan berbukit dan lebih tinggi

daripada kubur-kubur yang lain di kawasan tanah perkuburan itu. Tapak perkuburan ini

juga dikelilingi dengan binaan kepok yang diperbuat daripada bata merah9. Sebanyak 10

buah makam orang dewasa dan sebuah makam kanak-kanak yang telah dikenal pasti.

Andaian ini dibuat berdasarkan jumpaan sepasang batu nisan yang bersaiz kecil di tapak

perkuburan tersebut.

Menurut sumber lisan penduduk kampung yang berhampiran, dalam kawasan tapak

perkuburan Islam lama tersebut terdapat makam seorang pembesar yang bernama Tok

Johan namun makamnya tidak dapat dikenal pasti. Tok Johan ini dikatakan bergelar Dato’

Syahbandar semasa zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II atau Al-

Marhum Kayang II (1797 – 1804).

8 Koordinat GPS: Latitud 6.4280962°U; Longitud 100.1456224°T 9 Bata merah ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bata merah yang digunakan untuk pembinaan Kota Kuala Kedah, Kedah.

Berdasarkan pengamatan dan pengecaman yang dibuat, terdapat tiga jenis batu nisan iaitu

batu nisan berbentuk slab atau papan, batu nisan berbentuk segi empat sama dan batu

nisan berbentuk kon terbalik terpotong tanpa ukiran. Sebanyak tiga buah makam yang

mempunyai batu nisan berbentuk slab atau papan – kod B1, B2 dan B3 (gambar 35), empat

buah makam yang mempunyai batu nisan berbentuk segi empat sama – kod C1, C2, C3 dan

D1 (gambar 36) dan empat buah makam yang mempunyai batu nisan berbentuk kon

terbalik terpotong tanpa ukiran – kod A1, A2, A3 dan A4 (gambar 38). Batu nisan yang

berbentuk papan atau slab dan kon terbalik terpotong tanpa ukiran ini diperbuat daripada

batu granit. Manakala makam berbatu nisan bentuk segi empat sama ini berkemungkinan

menggunakan batu pasir yang berasal dari Aceh.

Gambar 34: Lakaran tapak kubur lama di Tanah Perkuburan Kampung Wai, Kuala Perlis.

Gambar 34: Jumpaan tapak perkuburan Islam lama di Tanah Perkuburan Kampung Wai.

Gambar 35: Batu nisan berbentuk slab atau papan

Gambar 36: Batu nisan berbentuk segi empat sama yang mempunyai dua saiz yang berbeza.

Gambar 37: Bentuk bata merah yang digunakan sebagai binaan kepok di tapak kubur lama.

Gambar 38: Batu nisan berbentuk kon terbalik terpotong tanpa ukiran.

Reka bentuk batu nisan yang berbentuk segi empat sama ini mempunyai ciri-ciri

persamaan yang hampir sama dengan batu Aceh jenis I dan ciri motif yang digunakan

seperti bunga teratai dan boengong poeta taloe doea.10 Berkemungkinan batu nisan ini

adalah variasi tempatan daripada batu Aceh yang mana pengukirannya dihasilkan di luar

Aceh. Dalam erti kata lain, penduduk kampung yang bekerja sebagai tukang ukir batu nisan

pada ketika itu mengambil ilham daripada batu Aceh yang terdapat di sekitar Perlis dan

membuat olahan mengikut idea mereka sendiri. Andaian yang lain adalah pengukir batu

nisan ini telah berhijrah dari Aceh ke Jajahan Perlis dan mencipta sejenis batu nisan yang

baharu. Ukiran batu ini berkemungkinan satu kombinasi antara ilham pengukir dan

penerapan unsur-unsur tempatan tanpa meninggalkan identiti sesebuah batu Aceh itu.

Batu nisan-batu nisan daripada batu pasir ini juga berkemungkinan berasal dari kurun ke-

18 memandangkan tiada inskripsi yang menunjukkan identiti dan tarikh kematian pemilik

10 Motif ini merupakan motif bunga-bunga Aceh yang sering digunakan dalam ukiran batu Aceh.

makam. Kondisi pada batu nisan yang diperbuat daripada batu pasir ini telah mengalami

kerosakan melebihi 50% akibat proses luluhawa dan iklim tropika di Malaysia.

Batu nisan yang berbentuk papan atau slab ini pula mempunyai ciri-ciri persamaan bentuk

batu nisan batu laterit jenis A7 dan A811. Bentuk batu nisan jenis kon terbalik terpotong

tanpa ukiran ini mempunyai sedikit ciri-ciri batu Aceh jenis L. Kronologi tahun bagi batu

nisan-batu nisan jenis granit ini berkemungkinan sama ada dari kurun ke-18 atau kurun

ke-19. Manakala batu nisan-batu nisan yang diukir daripada batu granit berada dalam

keadaan baik iaitu 70-80%. Penggunaan batu granit berkemungkinan menunjukkan ia

dihasilkan oleh pengukir tempatan yang menggunakan bahan asal dari kawasan

persekitaran.

Masih tiada lagi rujukan yang tepat untuk membuat pengesahanbagi ketiga-tiga jenis batu

nisan-batu nisan di atas. Pelbagai hipotesis yang perlu dirungkai oleh pengkaji-pengkaji

untuk mencari jawapan yang tepat dalam penyelidikan tapak perkuburan Islam lama ini di

masa hadapan.

Kesimpulan

Penemuan baharu makam-makam berbatu Aceh di Perlis secara tidak langsung telah

menunjukkan bukti peninggalan warisan tradisi kesenian Islam Aceh melalui kegiatan

perdagangan, penyebaran Islam dan hubungan kekeluargaan yang terjalin di antara dua

negara. Jumpaan baharu ini juga telah menambah koleksi batu Aceh di Perlis dan juga di

Malaysia. Penemuan sebuah tapak perkuburan Islam lama di Kampung Wai, Kuala Perlis

juga telah memperkayakan nilai sejarah dan warisan seni ukiran batu nisan bercirikan

kesenian Islam yang ada di Perlis. Meskipun batu nisan-batu nisan berbentuk batu Aceh ini

dipandang sepi oleh masyarakat, hakikatnya ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi dalam

memahami asal-usul sesebuah masyarakat.

11 Penemuan batu nisan daripada laterit di Kampung Duyong, Melaka (lihat Mokhtar Tamby Ahmad, Rosaidee Mohamed & Daniel Perret, Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara, Kuala Lumpur, Jabatan Muzium Malaysia, 2017, hlm. 130-131).

RUJUKAN BUKU

Ahmad Ismail & Yazid Mat (1992). Perlis Indera Kayangan: Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat. Kangar: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Daniel Perret, Kamarudin Ab. Razak & Ludvik Kalus. (1999). Batu Aceh Warisan Johor. Johor Baharu: Ecole francaise d’Extreme-Orient & Yayasan Warisan Johor. Daniel Perret, Kamarudin Ab. Razak & Ludvik Kalus. (2004). Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan. Johor Baharu: Ecole francaise d’Extreme-Orient & Yayasan Warisan Johor. Daniel Perret, Arbai’yah Mohd. Noor, Jamil Haron & Mahat Afifi Mohamed Salleh. (2017). Makam-Makam Islam Lama di Maritim Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Ecole francaise d’Extreme-Orient & Jabatan Muzium Malaysia. Othman Mohd. Yatim. (1976). Ancient Gravestones in Peninsular Malaysia: A Brief Survey. Federation Museums Journal (New Series) Volume 21, 1-24 Othman Mohd. Yatim. (1988). Batu Aceh: Early Gravestones in Peninsular Malaysia. Kuala Lumpur: Museum Association of Malaysia. Wan Shamsudin Mohd. Yusof. (2014). Kedah Dalam Warisan Sejarah dan Budaya Nusantara. Alor Setar: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

RUJUKAN INTERNET

Jasni Sulong & Anwar Mohd. Ali, “Kajian Perbandingan Dalam Pentadbiran Undang-Undang Kutipan Zakat di Provinsi Aceh dan Negeri Kedah”, Kajian Malaysia, Vol. 30, No.1, 2012, 107-138 (web.usm.my/km/30(1)2012/KM%20ART%205%20(107-138).pdf, didapatkan kembali pada 2 Oktober 2017). Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Zuliskandar Ramli, Othman Yatim, Ros Mahwati Ahmad Zakaria & Wan Salleh Wan Ibrahim, “Kesenian Melayu Islam: Jiwa Islam Dalam Pengkaryaan”, Jurnal Arkeologi Malaysia, 25, 2012 (https://www.researchgate.net/publication/305208391_Kesenian_Melayu_Islam_Jiwa_Islam_ Dalam_Pengkaryaan, didapatkan kembali pada 2 Oktober 2017). Suprayitno, “Islamisasi di Sumatera Utara: Studi Tentang Batu Nisan di Kota Rantang dan Barus ”, MIQOT Vol. XXXV1 No.1 Januari-Juni 2012, (jurnalmiqotojs.uinsu.ac.id/index.php/jurnalmiqot/article/view/113, didapatkan kembali pada 14 Julai 2017). Zuliskandar Ramli, Mohd. Samsudin, Mohd. Rohaizat Abdul Wahab & Mohd. Firdaus Mohd. Ali, “Batu Aceh: Jumpaan Terbaharu di Pulau Langkawi, Malaysia”, Prosiding Seminar Antarabangsa Arkeologi, Sejarah, Budaya dan Bahasa di Alam Melayu Nusantara (ASBAM) ke-5, Volume 2, 26-27 Juli 2016 (https://www.researchgate.net/publication/307539525, didapatkan kembali pada 28 Jun 2017).