tesis ukiran

Upload: nafisah-ibrahim

Post on 18-Jul-2015

608 views

Category:

Documents


34 download

TRANSCRIPT

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

PENAFSIRAN FALSAFAH IBU DALAM AWAN LARAT : WARISAN ESTETIKA SENI UKIRAN MELAYUProf. Madya Dr. Mohd Sabrizaa B Abd Rashid Jabatan Senibina Dalaman Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Perak [email protected] ABSTRAK Seni merupakan manifestasi kepada pandangan sarwajagat sesuatu bangsa. Seni bukan sahaja bertindak sebagai wahana untuk penerokaan minda dan ekspresi diri tetapi turut bertindak sebagai cerminan kepada pengalaman, reaksi dan karektor terhadap pemikiran, kebudayaan dan ketamadunan. Dalam kesenian Melayu, seni ukiran merupakan warisan budaya yang telah lama bertapak dalam sejarah tamadun Melayu. Gaya Awan Larat adalah di antara penghasilan karya yang mendominasi seni ukiran Melayu yang mempunyai nilai estetik dan esoterik yang tinggi. Kertas kerja ini berhasrat untuk meneroka dan membincangkan falsafah ibu yang menjadi prinsip utama gaya Awan Larat dalam seni ukiran Melayu. Kajian adalah melalui penganalisaan dan pemerhatian yang dibuat ke atas beberapa artifak dan temu bual dengan beberapa pengukir. Perbincangan dalam kajian ini mendapati bahawa disebalik kecantikan dan kehalusannya, Awan Larat mempunyai nilai estetik dan falsafah yang unik dan tersendiri. Katakunci : Awan Larat, seni ukiran Melayu, estetik Pendahuluan : Sejarah dan Latar Belakang Seni Ukiran Melayu Seni ukiran merupakan salah satu daripada tradisi kraftangan yang telah lama bertapak dalam sejarah ketamadunan Melayu. Selain batu dan bahan logam, kewujudannya paling ketara dapat dilihat pada ragam hias peralatan dan perkakas rumah, perahu, alat persenjataan dan elemen-elemen kesenibinaan yang diperbuat daripada kayu. Menurut Halim Nasir (1987:9) seni ukir di Semenanjung Malaysia boleh ditelusuri semenjak zaman Batu Megalithik dengan penemuan motif-motif pada batu dalam bentuk ular atau naga dan rusa, sehingga kepada penemuan motif dan kaligrafi pada batu-batu nesan yang menandakan zaman kedatangan Islam ke rantau sebelah sini. Manakala penemuan motif-motif pada meriam, keris, lembing dan cap mohor kerajaan lama menandakan sekil atau kepandaian Melayu purba dalam menggunakan logam ketika zaman logam sehingga kepada era kedatangan Islam. Dalam konteks seni ukiran kayu, penemuan yang meluas pada rumah kediaman, istana, masjid, rumah wakaf, gerbang dan juga pada senjata, peralatan pertukangan, perabut, perkakas rumah serta perahu. Dari sudut sejarah kegiatan seni ukir terkenal di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Patani di Selatan Thai. Namun terdapat juga rumah-rumah tradisional di negeri-negeri Perak, Kedah dan Negeri Sembilan yang dihias dengan ukiran. (Zulkifli Hanafi, 2000:2). Secara amnya terdapat persamaan atau pengaruh setempat dengan kawasan sekitarannya ; umpamanya ukiran seni bina rumah tradisional Melayu Kelantan dan Terengganu dengan Selatan Thai sementara Negeri Sembilan dengan Minangkabau.(Halim Nasir, 1987:66). Keunikan dan kehalusan hasilan karya seni ukiran Melayu membuktikan ketinggian nilai estetiknya. Namun begitu faktor modenisasi, faktor cuaca dan faktor masa menjadi ancaman terhadap penerusan hayat dan pelestariannya. Faktor-faktor tersebut menjadi antara penyebab kepada semakin terhakisnya kepedulian, penghayatan dan apresiasi terhadap keunikan karya kesenian tradisi ini.

1

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. Gaya Awan Larat dalam Seni Ukiran Melayu Keunikan seni ukiran Melayu dapat dihayati melalui gaya, pola dan motif-motif yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan variasi. Kajian terhadap gaya dalam seni ukiran tradisi Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Awan Larat, geometrikal, kaligrafi dan campuran /kombinasi. Gaya Awan Larat Melayu dipercayai berasal dari pengamatan seniman Melayu yang mendalam terhadap alam. Dalam hal ini tompok-tompok awan yang bergerak menghasilkan pelbagai bentuk dan corak yang menarik menjadi sumber inspirasi kepada pengukir Melayu. Gaya ragam hias ini turut terdapat pada batik, songket dan seni logam. (S.A.Jamal (2007:12), Nik Hassan Shuhaimi (2000 :299), Sejajar dengan pandangan pengukir Norhaiza yang merasakan bahawa jiwa pengukir amat rapat dengan alam. Beliau menyatakan bahawa keadaan ini dapat dirasakan terutamanya ketika menjalankan kerja-kerja ukiran. Kekuatan ransangan yang terdapat pada kelima-lima daya inderawinya menjadikannya begitu peka sehingga dapat menjiwai fenomena alam di sekelilingnya. Keadaan inilah yang menjadikan setiap pengukir yang baik mampu untuk melihat fenomena alam serta menterjemahkannya melalui matahati atau intuitif. Menurut beliau matahati diperlukan untuk melihat, menterjemah dan mentafsir sesebuah karya. Mata biasa mungkin dapat melihat sesuatu yang terhampar di hadapan manakala matahati mampu melihat jauh lebih dalam dan bertindak bersama-sama daya inderawi yang lain untuk menghasilkan kefahaman yang lebih jauh dan luas pada ufuk minda. Halim Nasir (1986:137) mendefinisikan Awan Larat sebagai satu bentuk ukiran yang berlingkar-lingkar, berpiuh-piuh, meleret-leret seperti awan putih berarak. Biasanya ukiran ini digabungkan dengan pola lengkap. Pengukir Wan Mustapha Wan Su mentakrifkan awan larat sebagai sejenis reka corak yang mempunyai peraturan yang khusus. Boleh dilukis (diawan laratkan) dalam pelbagai bentuk. Contoh elemen-elemen yang boleh diawan laratkan ialah ; ombak, asap, awan, janggut manusia, kening, bulu mata, ekor ikan, jenis jenis ekor ayam / burung, balung ayam / burung dan tumbuhan. Beliau menggariskan beberapa peraturan awan larat seperti berikut : i. Bentuk elemen-elemen (bunga, daun, batang dan sebagainya) yang diukir mestilah dalam bentuk yang indah dan lembut sehinggakan kelembutan dan keindahan itu mustahil jika dibandingkan dengan elemen tersebut di alam nyata. ii. Susunatur elemen-elemen yang diukir mesti dalam bentuk indah dan lembut. iii. Mesti menepati kehendak falsafah-falsafah yang dinyatakan. Dalam buku Serian Ukiran yang diterbitkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menyatakan tentang dua bentuk awan larat iaitu : i.Awan Larat Melayu Asli dikenali juga sebagai Awan Larat Jawi yang mempunyai bunga yang besar dan jarang. Coraknya bermula dari satu tempat dan melarat memenuhi ruangnya.Batangnya berlingkar lembut dan daunnya berlipat lunak. ii.Awan Larat Jawa Daun dan bunga lebih kecil dan rapat. Terdapat banyak bunga dan daun yang bertindih antara satu sama lain sehingga tidak banyak batang yang kelihatan. Bentuk daun lebih lurus dan jarang berlipat. Menurut pengukir Wan Mustapha Wan Su motif awan larat Melayu terdiri dari bunga yang besar dan jarang-jarang, dan motif itu bermula dari satu titik dan kemudian melarat sehingga memenuhi ruang-ruang kosong. Titik permulaan ini dipanggil punca dan terus tumbuh secara perlahan dan berliku-liku dalam keadaan terkawal dan seimbang tanpa mempunyai unsur-unsur yang berlebihan. Bentuk-bentuk pepohon dan tumbuhan yang bersifat lembah lembut menjalar seperti sulur kacang, bunga ketumbit, daun petola, daun kiambang menjadi bahan pilihan sebagai sumber inspirasi pengukir-pengukir Melayu. Di Indonesia, awan larat dipanggil motif jalinan tali.

2

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. Hiasan seperti ini terdapat pada tiang-tiang dinding pembatas ruang jogo satru dan gedongan serta tiang-tiang pada sentong utama. Falsafah Ibu Dalam Awan Larat Melayu Tumbuh hendaklah berpunca, punca itu rahsia, tajam tidak menerjah lawan, lilit tidak memeluk lawan, tetapi berlegar mesra.

Kata-kata pengukir Wan Musa b Wan Yusuff, Jertih, Terengganu dipetik dari Abdullah b Mohamed (1990).

Bunga Kembang

Kudup Bunga Punca

Daun Sendal

Batang utama Sulur

Punca yang tumbuh dari satu benih disebut Kepala Kala oleh Wan Po

Daun terlipat

Daun PengasuhGambar 1 Elemen-elemen Dalam Ukiran

3

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

Kesemua pengukir yang ditemubual menyatakan bahawa elemen-elemen berikut terdapat dalam ukiran Melayu iaitu : i. Benih (punca atau ibu) ii. batang iii. ranting iv. sulur v. pucuk vi. daun vii. bunga viii. buah Pengukir Norhaiza menyatakan bahawa elemen-elemen tersebut adalah sebagaimana elemen melodi dalam muzik iaitu Do Re Mi Fa So La Ti Do. Penggunaan elemen-elemen inilah yang menghasilkan rentak dan mencorakkan sesebuah ukiran. Selain itu beliau menamakan beberapa elemen yang turut dijadikan asas iaitu : i.Rangka (Frame) ukiran mencerminkan sempadan Ibarat sebuah undang-undang atau garis panduan dalam kehidupan manusia. ii.Batang utama atau corak mencerminkan prinsip Bebas untuk bergerak tetapi tidak boleh keluar dari garis sempadan yang ditetapkan oleh agama dan budaya. iii.Motif gubahan bunga mencerminkan sifat Perlu kemahiran dan ilmu yang sempurna atau susunan sifat yang rapi seperti pergaulan dalam masyarakat, disiplin diri, tuturkata yang sopan, perwatakan yang menarik dan lain-lain. iv.Silat Gaya olahan motif pada ukiran yang sempurna melahirkan keindahan dan mencerminkan kemantapan diri seseorang pengukir. Salah satu prinsip yang ketara dalam ukiran Melayu ialah setiap ukiran atau bunganya akan bermula daripada satu tempat atau sumber yang dipanggil punca yang berupa benih atau ibu kepada keseluruhan komposisi ukiran tersebut . Bentuk ukiran Melayu mementingkan sifat gerak yang bermula dari suatu punca dan tumbuh perlahan-lahan keluar daripada punca tersebut. Dalam erti kata lain setiap ukiran Melayu bermula dari satu titik yang dipanggil ibu atau punca. Berdasarkan kajian didapati bahawa terdapat sekurang-kurang lapan jenis-jenis punca atau ibu dalam ukiran daripada tiga kategori : Tiga Kategori punca atau ibu atau benih yang dikenalpasti ialah : 1. Punca yang kelihatan iaitu punca dari 1 benih dan punca dari 2 benih 2. Punca yang tersorok iaitu punca dari pasu, bunga dan tapak separa bulatan. 3. Punca rahsia iaitu punca rahsia, sulur tak berpunca dan gelang punca. 1. Punca yang kelihatan. Kesemua elemen-elemen ukiran lazimnya bermula dengan sulur akan keluar daripada benih yang berbentuk bulat dan bergulung dan jelas kelihatan. Motif ini dipanggil kepala kala oleh pengukir Wan Po. Dua jenis punca yang kelihatan adalah: i. Ibu dari 1 benih

4

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. ii. Ibu dari 2 benih

i. Contoh Ibu dari satu benih.Gambar 2 Ukiran Kepala Pintu Rumah Wan Esah, Kampung Laut, Kelantan. sumber: kajian lapangan

ii. Contoh Ibu dari dua benihGambar 3 Ukiran Kepala Pintu Rumah Wan Esah, Kampung Laut, Kelantan. sumber: kajian lapangan

5

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

2. Punca yang tersorok Jenis kedua adalah jenis punca tersorok iaitu punca atau benih tidak kelihatan. Sulur dan bunga akan keluar daripada tiga elemen iaitu pasu atau bunga yang sedang mekar atau daripada tapak yang berbentuk separuh bulatan. Dalam kategori ini seluruh elemen ukiran iaitu akan keluar daripada tiga objek atau elemen iaitu : a.. pasu b. bunga yang mekar c. tapak berbentuk separa bulatan. iii. Contoh Punca dari Pasu

Gambar 4 Ukiran Kepala Pintu Rumah Wan Esah, Kampung Laut, Kelantan. sumber: kajian lapangan

iv. Contoh Punca dari Bunga

Gambar 5 Ukiran Kepala Pintu Surau Langgar, Kelantan. sumber: Spirit of Wood

6

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

v. Contoh Punca dari tapak separa bulatan

Gambar 6 Ukiran Kepala Pintu Rumah Puan Samihah, Kota Bharu, Kelantan. . sumber: kajian lapangan

3. Punca Rahsia Selain jenis-jenis ukiran awan larat yang mempunyai punca atau ibu atau benih, terdapat juga jenis ukiran yang tiada berpunca yang dinamakan sebagai punca rahsia. Tambah menarik ialah reka corak yang terhasil tiada mempunyai titik punca dan tiada mempunyai titik akhir. Kebanyakan ukiran jenis ini akan menggunakan ukiran berdasarkan geometri berbanding awan larat. Ini adalah kerana kebanyakan reka corak yang dihasilkan bersifat simetrikal samada secara horizontal atau vertikal. Kadangkala reka corak yang terhasil dipanggil bunga pecah dua, bunga pecah tiga, bunga pecah empat, bunga pecah enam dan sebagainya. Reka corak jenis punca rahsia menyerlahkan daya kreativiti pengukir yang tinggi dalam menghasilkan ukiran disamping menimbulkan suasana penuh kerahsiaan dalam ukiran tersebut. Ianya dikaitkan dengan fenomena alam yang kita nampak secara fizikalnya tetapi tidak diketahui dari mana asalnya. Dalam kesenian Islam reka corak seperti ini dinamakan arabesque. Ianya dikaitkan dengan zikir dan sifat Allah yang telah sedia wujud tiada permulaan dan tiada akhiran yang digambarkan melalui sifat reka corak yang infiniti. Dalam tamadun lain di dunia turut didapati penggunaan motif yang menyerupai motif punca rahsia dalam ukiran Melayu. Di India ia merupakan simbol pertahanan. Melalui kitab Veda mereka percaya bahawa kesemua yang wujud dalam alam ini sepertimana manusia terikat oleh dewa-dewi penyakit dan kematian iaitu Varuna, Yama dan Nirrti dan hanya boleh di bebaskan oleh dewa-dewi pertahanan. Berlainan dengan Buddhisme, ikatan tanpa punca ini adalah salah satu dari lapan simbol panjang umur dan kegembiraan dalam ikonografi mereka.1 Ianya juga sebagai simbol cinta dan ketaatan. Sementara di Mesir purba ikatan tanpa punca adalah simbol kehidupan yang berkekalan dan abadi. Punca Rahsia terbahagi kepada tiga jenis iaitu i. Pangkal dan hujungnya yang tiada berpunca dan berakhir (seperti motif nombor lapan).

1

Lihat contoh motif yang terdapat pada permukaan sebelah timur kuil Lokesvara, India yang menggunakan teknik ikatan yang dipanggil punca rahsia dalam ukiran Melayu.

7

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. ii. Pangkalnya tiada berpunca tetapi hujungnya diakhiri dengan elemen-elemen ukiran seperti kudup atau bunga atau daun. (sulur tak berpunca) iii. Pangkalnya tiada berpunca dan hujungnya pula diakhiri dengan elemen-elemen ukiran seperti kudup, daun atau bunga. Sebahagian sulur akan digunakan motif seperti gelang menandakan bahagian tengah. (gelang punca) vi. Contoh Punca rahsia.

Gambar 7 Contoh ukiran yang menggunakan motif punca rahsia. Ukiran motif geometri pada kekisi lubang angin yang terdapat pada Masjid Wadi Hussin, Telok Manok, Patani. (kiri) Ukiran awan larat hasil pengukir Norhaiza yang terdapat pada kediamannya di Kampung Raja, Besut, Terengganu. Sumber: Spirit of The Wood.

vii. Contoh Sulur tak berpunca Berbeza dengan reka corak punca rahsia di mana tiada titik punca dan tiada titik akhir; reka corak sulur tak berpunca lazimnya menggunakan sulur yang menjalar memenuhi ruang namun tidak ditemui puncanya. Akhiran kepada reka corak ini biasanya adalah daun pucuk. Sepertimana reka corak-reka corak lain dalam seni ukiran Melayu di mana ianya menyerlahkan daya kreativiti yang tinggi daripada pengukir disamping membawa perlambangan bahawa fenomena alam yang penuh dengan rahsia dan makna disebalik sesuatu yang nampak secara fizikal.

Gambar 8 Ukiran Kepala Pintu Istana Tengku Long, Besut , Terengganu. sumber : kajian lapangan

Gambar 9 Ukiran Kepala Pintu Istana Tengku Long, Besut , Terengganu. sumber : kajian lapangan 8

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.

viii. Contoh Gelang Punca

Gambar 10 Kedua-dua ukiran daripada kepala tingkap Istana Tengku Long, Terengganu menunjukkan penggunaan gelang punca sumber :kajian lapangan

Perbincangan Kelapan-lapan jenis ibu atau punca yang telah diperbincangkan di atas merupakan jenis-jenis yang sering dijumpai atau terdapat pada ukiran-ukiran Melayu terutamanya daripada gaya awan larat. Punca atau ibu atau benih merupakan salah satu identiti utama dalam seni ukiran Melayu dan kesenian Melayu yang lain. Pelbagai tafsiran dan makna telah diberikan oleh beberapa penulis dan pengukir berkenaan kewujudan punca dalam sesebuah ukiran. Di antara pendapat yang paling menarik adalah daripada pengukir Wan Mustafa yang menamakan punca tersebut sebagai kepala Kala. 2 Beliau mengaitkannya dengan permulaan masa dan menganggapnya sebagai mempunyai falsafah ketuhanan. Setiap kejadian di alam ini mesti ada permulaannya kecuali Allah swt yang tiada sifat permulaan. Lantaran itu falsafah ini dimanifestasikan dalam seni ukiran Melayu melalui bentuk tombol bulat (kadangkala tersorok) yang dipanggil sebagai kepala Kala . Dari sudut bahasa perkataan kala berasal dari perkataan Sanskrit yang membawa maksud masa, waktu atau ketika. Manakala dari sudut kesenian lama, Kala adalah dewa Hindu yang menderhaka yang diperintah oleh Siva untuk memakan dirinya sendiri sebagai hukuman. Kala menjadi sebahagian ikonografi di Asia Tenggara terutamanya di Indonesia dan sering muncul menjadi hiasan di kepala pintu candi-candi lama.

2

perbincangan tentang Kepala Kala dalam catatan temu bual dengan Wan Mustafa di Balai Seni Mustafa WanSu, Besut , Terengganu.

9

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. Rosnawati3 berpendapat semua jenis ukiran bermula dari punca . Dari punca inilah gubahan fikiran keluar dalam bentuk lingkaran hingga memenuhi ruang yang hendak diukir. Punca adalah benih ibarat semua yang bernyawa bermula dengan benih baik manusia, tumbuhan atau haiwan. Rosnawati mengaitkan ukiran pada panel ibarat gunungan atau pohon budi atau pohon hayat dalam wayang kulit. (tree of life?). Ianya melambangkan kewujudan pencipta alam ini yang Maha Kuasa dan Maha Agong. Pengukir Norhaiza berpendapat bunga sebagai punca ditengah kerana pengukir ingin menjadikannya sebagai titik fokus sesebuah karya. Juga melambangkan kemeriahan, nampak segar, tidak layu (kuncup) dan harmoni dalam karyawan. Abdullah Mohamed (1990:13-20) memberikan pandangan yang lebih mendalam tentang punca atau ibu dalam ukiran Melayu. Beliau menyatakan bahawa alam adalah tajalli atau manifestasi daripada sifat-sifat ilmu Allah. Melalui sifat ilmu Allah tersebut terjadi berbagaibagai organisme baik flora atau fauna dengan segala macam keajaiban dan keindahan rupanya. Sebagai contoh adalah tentang kejadian pelbagai jenis bungaan dengan aneka warna, bentuk dan bauan adalah lahir dari satu sumber iaitu ilmu Allah yang Maha Kaya. Daripada ilmu Allah yang wujud dari zatNya yang esa dan penuh rahsia tersebut maka lahirlah pelbagai perkara yang dipanggil sebagai alam. Keindahan yang lahir daripada hubungan zat Allah dan kewujudan alam digambarkan dalam seni ukir dan kesenian Melayu yang lain. Segala kewujudan dan keindahan adalah rahsia atau sirr yang hanya boleh dilihat dengan pandangan akal dan kalbu. Dari rahsia ini muncul alam yang indah sesuai dengan sifat Allah yang indah (Jamal) dan yang hebat (Jalal). Maka rahsia atau sirr atau zat yang disifatkan sebagai tumbuhnya punca sesuatu motif dalam ukiran itu adalah maujud dalam permulaan yang disebut sebagai benih atau punca. Punca dikaitkan dengan permulaan kehidupan dan digambarkan oleh benih sama ada ianya kelihatan atau tersorok membawa makna bahawa setiap yang wujud di alam ini mempunyai dua entiti iaitu alam fizik dan alam metafizik. Tersorok dan tidak kelihatan juga membawa lambang kerahsiaan. Fenomena penuh kerahsiaan dalam alam permulaan inilah ingin disampaikan melalui konsep punca ini. Lantaran itu penggunaan elemen bunga juga digunakan dalam menceritakan proses permulaan ini. Elemen bunga yang sedang mekar berkembang menjadi lambang ibu dalam fenonema permulaan kehidupan ini. Stailisasi bunga punca atau ibu bunga juga sering berbentuk saperti rahim lantas disebut rahim bunga dalam beberapa penerangan tentang ukiran. Bunga punca yang sedang berkembang mekar ditengah-tengah ukiran juga menjadi lambang keagungan dan kebesaran Tuhan dalam memberi nyawa dan kehidupan pada makhluk-makhlukNya.

Dalam kebanyakan ukiran terutamanya dalam pola lengkap terdapat elemen-elemen ukiran iaitu: i. Ibu / Benih / Punca ii. Batang iii. Sulur iv. Kudup3

Puan Rosnawati dari Kandis Resource Center, Kelantan adalah seorang pensyarah seni, arkitek dan balu pada pengukir Allayarham Nik Rashiddin.

10

Gambar 11

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. v. Bunga vi. Daun vii. Buah

Tumbuhan dan bungaan merupakan elemen-elemen alam semulajadi yang amat rapat dengan jiwa dan kehidupan orang Melayu. Jika diperhatikan kesemua elemen-elemen tersebut merupakan elemen-elemen yang terdapat pada sebatang pohon. Kesemua elemen-elemen ini pula turut menjadi sebahagian daripada punca untuk tumbuh menjadi sebatang pohon yang lain. Dalam sistem pertanian terdapat pokok-pokok yang boleh ditanam daripada benih, daripada batang, daripada sulur, daripada kudup, daripada bunga, daripada daun dan daripada buah. Secara tidak langsung kesemua elemen-elemen tersebut yang dijadikan elemen-elemen ukiran adalah merupakan elemen punca untuk pokok yang lain. Ianya boleh dijadikan tunas kepada pokok baru dan memulakan kehidupan yang baru dan mengeluarkan pula elemen-elemen yang telah disebutkan. Maka falsafah yang terdapat disebalik sesebuah ukiran sebenarnya antara lain adalah tentang kehidupan. Kudup dan buah adalah lambang kehidupan yang masih muda dan perlukan ilmu dan pengalaman untuk terus hidup. Sulur dan batang adalah lambang perjalanan hidup yang penuh berliku dengan rintangan dan halangan. Daun sebagai akal yang menyerap ilmu sebagai makanan rohaniah dan jasmaniah. Bunga yang separa kembang sebagai dugaan terhadap nikmat yang diberikan berupa harta dan kecantikan agar tetap insaf dan bersyukur agar ianya tidak layu. Bunga sedang mekar berkembang adalah lambang kesyukuran dan kehebatan Allah swt yang telah mencurahkan nikmat dan memberi keredhaan kepada kita yang merupakan tujuan asal dalam kehidupan. Penggunaan motif-motif bunga Ketumbit, bunga Tanjung, bunga Cempaka, Ketamguri, Bayam Peraksi sering ditemui pada ukiran-ukiran gaya awan larat dari Pantai Timur. Sebagai ibu atau punca motif bunga-bunga ini lazimnya terletak di bahagian tengah komposisi ukiran dalam kedudukan pandangan atas (pelan) atau pandangan sisi.

Konsep punca apabila dilhat dari aspek kesenian dan kebudayaan Melayu yang lain mempunyai pertautan dan persamaan. Dalam erti kata yang lain hampir setiap konsep dan amalan kesenian dan kebudayaan Melayu bermula dengan sesuatu yang dipanggil punca atau ibu sepertimana dalam ukiran.

11

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. Dalam kesenian batik; konsep punca diterjemahkan dalam penggunaan motif ubi. Motif ubi menjadi lambang permulaan atau punca kepada kehidupan. Struktur kepala kain pada kain sarung juga melambangkan ketua atau punca. Struktur kepala kain kemudiannya membawa kepada beberapa bahagian lain saperti tali air, sulur, pengapit kiri, pengapit kanan serta pucuk rebung yang mana setiap satunya membawa perlambangan tentang kehidupan. (Najib Dawa, 1995) Konsep punca agak bersamaan dengan konsep sembah dalam seni tarian dan seni persilatan Melayu. Menurut Mohd. Ghouse (1994) manusia awal yang mengamalkan animisme menggunakan tarian sebagai alat berkomunikasi di antara manusia dengan roh nenek moyang yang berupa tarian ritual. Kemudiannya ia berkembang menjadi lebih kompleks dan halus. Sebagaimana punca menjadi permulaan pada ukiran begitu jugalah dengan posisi sembah sebagai gerak permulaan yang menjadi punca atau ibu dalam tarian dan persilatan. Dalam kesenian tarian Melayu baik dipersembahkan di istana untuk raja (dikenali sebagai tarian istana) ataupun yang dipersembahkan untuk rakyat (dikenali sebagai tarian rakyat) dimulakan dengan sembah sebagai permulaan. Sembah adalah kedudukan penari dalam posisi duduk dengan keadaan tangan dalam beberapa variasi. Kedudukan yang paling kerap adalah penari merapatkan tapak tangan dan mengangkatnya ke atas dada atau muka sebelum memulakan tarian. Namun terdapat sekurang-kurangnya lima variasi posisi atau kedudukan sembah dalam permulaan tarian. Sembah adalah salah satu gerakan simbolik sebagai cara menyampaikan ekspresi hormat, taat dan sopan terhadap raja atau penonton sebelum memulakan tarian. Dalam konteks spiritual, pergerakan sembah adalah sebahagian daripada sajian untuk mempelawa atau memohon izin daripada raja dan unsur-unsur lain seperti semangat udara, air, tanah dan api. (Mohd. Ghouse, 1994:11). Dalam konteks seni bina, proses mendirikan tiang seri merupakan punca atau ibu kepada keseluruhan proses pembinaan sesebuah rumah atau istana. Tiang seri4 adalah tiang yang mula-mula didirikan yang terletak di tengah-tengah rumah dan dikatakan menjadi sendi rumah. (Kamus Dewan, 2005:1679). Ia menjadi simbol kekuatan atau kekukuhan sesebuah rumah serta dipercayai boleh menghindarkan penghuni rumah dari gangguan makhluk halus.5 Lantaran itu Abdullah Mohamed (1985:79) menyatakan bahawa tiang seri terbahagi kepada dua bahagian; iaitu bahagian yang tersembunyi dalam tanah sebagai alam batin dan bahagian yang nyata di atas bumi sebagai melambangkan alam zahir. Bahagian bawah tiang yang tertanam ke bumi melambangkan rahsia atau sir atau perbendaharaan yang tersembunyi yang terdapat dalam alam hakikat. Dari situ ia tumbuh atau muncul seperti kelopak bunga melahirkan ruang dan rumah yang dipanggil rumah ibu. Fenomena ini dilambangkan oleh kain-kain perca berwarnawarni yang yang diletakkan pada kepala tiang dengan setiap warna mempunyai makna-makna tertentu. Ia sebagai lambang proses kemunculan alam, baik alam besar atau alam kecil. Dengan lain perkataan, rumah yang mula-mula dibina dalam proses pembinaan rumah tradisional Melayu dipanggil rumah ibu. Rumah ibu menjadi punca lahirnya sesebuah rumah tradisional Melayu melalui tiang seri. Daripada rumah ibu kemudiannya akan lahir ruang-ruang lain seperti serambi dan anjung dirumah depan, rumah selang dan rumah dapur. Orang Melayu amat menitik beratkan soal mendirikan tiang seri kerana ia menjadi punca kepada kewujudan sebuah rumah yang aman

4

Tiang seri adalah tiang yang pertama dinaikkan dalam proses pembinaan rumah atau istana yang lazimnya terletak ditengah-tengah rumah ataupun salah satu daripada empat tiang yang berada ditengah bagi reka bentuk bumbung limas. Di Jawa tiang seri dikenali sebagai Soko Guru , di Aceh pula digelar sebagai Tiang Raja, di utara Thailand dipanggil sao mongkon beerti tiang bertuah. Tiang seri yang baik akan menjadikan penghuni rumah jauh dari malapetaka (i.e kebakaran, gangguan makhluk halus). Nama-nama lain bagi tiang seri adalah tiang penghulu dan tiang tua. 5 Proses mendirikan tiang seri diperbincangkan dalam Kitab Taj ul Muluk dan Zulkifli Hanafi (1996).

12

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM. sejahtera sepertimana yang diinginkan.6 Lantaran itu lazimnya dari segi gaya seni bina, rumah ibu merupakan binaan ruang yang terluas, reka bentuk bumbung yang terbesar, paras lantai yang tertinggi serta dinding dan tingkap yang mempunyai rekacorak yang paling menarik. Rumah ibu menjadi pusat kegiatan sesebuah keluarga dimana kebanyakan aktiviti keluarga seperti solat, makan, membaca Al-Quran, berehat, berbaring, tidur dan lain-lain akan berlaku di rumah ibu. Ulasan Dan Penutup Ibu atau punca dalam gaya awan larat merupakan identiti utama dalam seni ukiran Melayu. Konsep dan falsafahnya sejajar dengan kesenian-kesenian tradisi yang lain menunjukkan keseragaman dalam pemikiran dan pandangan sarwajagat Melayu. Pengertiannya yang halus, penuh kerahsiaan dan sukar difahami menjadi cerminan kepada kehalusan dan kesantunan budi dan jiwa orang Melayu itu sendiri. Gaya awan larat juga merupakan manifestasi kepada kepekaan jiwa orang Melayu terhadap alam dan persekitaran serta keabadian terhadap Tuhan.

RujukanAbdullah bin Mohamed (Nakula) (1985), Seni Bina Islam, Aplikasi di Malaysia, Warisan Kelantan IV, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan : Kota Bharu. Abdullah b Mohamed (Nakula) (1990), Batik Kita : Falsafah Motif-Motif dan Sejarahnya, Warisan Kelantan IX, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan : Kota Bharu. Farish Noor & Eddin Khoo (2003), Spirit of Wood, Periplus : Singapore. Halim Nasir (1987), Traditional Malay Wood Carving, DBP : Kuala Lumpur Nik Hasan Shuhami Nik Abd Rahman et. al. (2000), Kesenian Melayu : Roh Islam Dalam Penciptaan. dalam Mohd. Taib Osman & A.Aziz Deraman (ed.), Tamadun Islam Di Malaysia, DBP : Kuala Lumpur. Mohamed Najib bin Ahmad Dawa , The Symbolism of Batik from Kelantan, Malaysia : Its Origins and Transformation, Tesis PhD yang tidak diterbitkan, Institute of Advance Studies, Manchester Metropolitan University, UK. 1995. Mohamed Najib bin Ahmad Dawa , Malaysian Batik and Its Continuity, Tesis MA yang tidak diterbitkan, Department of Textile/Fashion, Manchester Metropolitan University, UK. 1991. Mohd. Ghouse Nasuruddin (1994), Tarian Melayu, DBP : Kuala Lumpur. Mohd Sabrizaa Abd Rashid, Kajian Simbolisme Elemen-Elemen Estetik dan Ragam Hias Rumah Tradisional Melayu : Kajian Kes Seni Bina Gaya Pantai Timur, Tesis PhD, Institut Pengajian Siswazah, USM, 2007. Norhaiza Noodin, Inovasi : Hubungkait Seni Ukir Kayu Dalam Masyarakat, Konvensyen Inovasi Kraf Kebangsaan 2004, Hotel Prince, Kuala Lumpur, 28 Feb. 2005. Norhaiza Noordin, Mengekalkan Motif Ukiran Kayu Tradisi Masa Kini, International Seminar : Spirit & Form in Malay Design, Muzium Negara, Kuala Lumpur. 27 29 Jun 2005. Syed Ahmad Jamal(ed.)(2007), The Encyclopedia Of Malaysia, Vol. 14 : Crafts And The Visual Arts, Archipelago Press : Singapore.

6

Abdullah Mohamed (1987:79) menganggap tiang-tiang rumah tersebut sebagai Zat Allah yang membangun dipanggil lingga.

13

Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut. 25 hingga 26 Ogos 2008. Dewan Kuliah Utama, FSPU, UITM.Rosnawati Othman (2005), The Language of The Langkasukan Motif, Journal of Indonesia and The Malay World, Vol. 33, No. 96, July 2005, Routledge Taylor and Francis Group : Oxfordshire. Zulkifli Hanafi (2000), Pola-Pola Hiasan di Dalam Bangunan Tradisional Melayu, DBP : Kuala Lumpur Zulkifli Hanafi (1996), Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu, Amber-Solara Publication : Kulim.

14