teori peralihan demografi
TRANSCRIPT
1.0 PENGENALAN
Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan juga dikenali sebagai
negara dunia ketiga pada abad ini. Malaysia sekarang mengalami satu proses pembangunan yang
pesat ekoran daripada perkembangan dalam sosio-ekonomi dan hal ini memberi kesan kepada
struktur demografi penduduk. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi proses pertumbuhan
penduduk dan perubahan ini berlaku boleh dikatakan dipengaruhi oleh proses pertumbuhan
dinamik setiap tahun. Menurut Buletin Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia ialah
seramai 26.64 juta orang(terbitan Jun 2006). Malaysia mengalami satu kadar pertumbuhan
penduduk dalam jangka masa yang panjang.
Demografi boleh didefinisikan sebagai satu kajian mengenai kependudukan manusia dan
menekankan hal berkaitan mortaliti iaitu kematian, fertiliti yang juga bermaksud kelahiran,
migrasi dan perkahwinan. Demografi juga bermaksud pertumbuhan penduduk dalam beberapa
aspek seperti intelektual, kualiti penduduk, fizikal dan melihat perhubungan dengan aspek
kuantitatif menurut Hassan Naziri Bin Khalid(1987). Selain itu, demografi juga menerangkan
tentang masyarakat mampu dan boleh mengatur penduduk masing-masing dan selalunya proses
aturan ini disebabkan oleh keadaan ekonomi dan sosial(Bogue, 1968). Perkembangan penduduk
sama ada berkurang atau meningkat boleh dilihat dalam proses peralihan demografi malahan
demografi juga menunjukkan densiti, jumlah, pertumbuhan atau kemerosotan dan pergerakan
manusia dalam ruang.
1
2.0 KONSEP MODEL PERALIHAN DEMOGRAFI
Model peralihan demografi merupakan satu bentuk graf garis yang menunjukkan
perubahan kependudukan atau transisi yang dialami oleh sesebuah negara dari dahulu sehingga
pada masa kini dan begitu juga pada masa akan datang menerusi peredaran masa perubahan
kependudukan ini terjadi. Gambaran mengenai sejarah kependudukan yang telah, sedang, dan
akan berlaku oleh sesebuah negara boleh dilihat menerusi model peralihan demografi secara
langsung. Komponen pertumbuhan semula jadi penduduk, komponen kadar kematian dan
komponen kadar kelahiran merupakan komponen penting yang terdapat atau terkandung dalam
model peralihan demografi. Secara berperingkat-peringkat komponen-komponen ini ditunjukkan
mengikut masa dan saling berkaitan antara satu sama lain. Keempat-empat peringkat ini bukan
sahaja menerangkan atau menafsirkan tentang kependudukan malahan mengukur tahap
pembangunan sosial dan ekonomi yang telah dicapai oleh sesebuah negara. Peringkat-peringkat
ini telah menyebabkan perubahan yang bergantung kepada kemajuan ekonomi dan sosial yang
telah dicapai oleh negara masing-masing.
3.0 CIRI-CIRI MODEL PERALIHAN DEMOGRAFI
Peralihan demografi didefinisikan sebagai satu proses perubahan dalam mortaliti dan
fertiliti penduduk dari satu aras yang tinggi kepada aras yang rendah menurut Abdul Majid Mat
Salleh (1989). Proses ini akan berterusan seiring dengan pembangunan sosioekonomi negara.
Perkataan peringkat atau tahap sering digunakan dalam membincangkan topik peralihan
demografi ini. Hal ini demikian kerana hal ini menunjukkan imbangan kadar kelahiran dan
kematian. Peralihan demografi ini mempunyai empat peringkat iaitu peringkat pertama adalah
kadar kelahiran dan kadar kematian adalah tinggi, peringkat kedua pula merupakan peringkat
2
awal perkembangan penduduk. Peringkat ketiga pula kadar kelahiran mula menurun dan kadar
kematian juga menunjukkan penurunan serta peringkat keempat pula menunjukkan kadar
kelahiran dan kadar kematian adalah rendah.
Rajah 1: model peralihan demografi (Sumber: http://www.google.com.my/imgres?imgurl=http)
Model ini menerangkan tentang pertalian perubahan dalam pertumbuhan penduduk atau populasi
dan pertalian ini berkaitan dengan proses pembandaran dan perindustrian serta pembangunan
ekonomi. Selain itu, model ini juga menunjukkan pertalian atau perhubungan antara kadar
kematian dan kelahiran yang terjadi mengikut waktu. Bagi peralihan demografi yang berlaku di
Malaysia terdapat dua fasa iaitu peningkatan penduduk yang disebabkan oleh kelahiran
semulajadi dan penghijrahan beramai- ramai kaum Cina dan India ke Tanah Melayu pada satu
ketika dahulu. Faktor-faktor yang mempengaruhi trend peralihan demografi ini ialah pengaruh
3
budaya, peningkatan kemudahan kesihatan, perubahan ekonomi dan pendidikan serta perubahan
tahap kesuburan.
3.1 TAHAP PERTAMA
Pada peringkat ini kadar kelahiran dan kadar kematian adalah tinggi dan segi kadar
pertumbuhan semulajadi pula adalah rendah. Pada peringkat ini juga terjadinya penjajaran
apabila berlaku naik-turun dalam pertumbuhan semula jadi dengan penurunan dan peningkatan
dalam kadar kelahiran serta kadar kematian. Kadar kelahiran tinggi kerana kehendak ahli
keluarga yang mahukan anak yang ramai dan tiada perancangan keluarga yang dilakukan
manakala kadar kematian tinggi pula kerana taraf kesihatan rendah dan berlakunya kekurangan
makanan yang berzat dan seimbang. Sesebuah negara itu dikatakan berada ditahap mundur
apabila berada ditahap ini. Ketiadaan kewujudan dasar-dasar seperti dasar kependudukan sering
berlaku di negara sedang membangun sebelum Perang Dunia Kedua. Seterusnya, kepadatan
penduduk berubah menjadi jarang kepada sederhana, kanak-kanak juga terlibat sama bekerja dan
penglibatannya adalah tinggi kerana ianya member keuntungan kepada sesebuah keluarga.
Berlaku juga pengehadan peluang pekerjaan di luar sektor pertanian, rendahnya jankga hayat dan
perkembangan bandar masih dalam tahap permulaan serta kurangnya pengetahuan teknikal.
Perubahan demografi yang berlaku di Malaysia berlaku sebelum merdeka iaitu antara tahun 1920
hingga 1950. Pada ketika itu, tahap perubatan adalah terlalu rendah atau mundur. Hal ini
menyebabkan kegagalan mengawal pelbagai penyakit yang boleh membawa kepada kematian
seperti penyakit taun. Selain itu, berlaku penurunan yang terlalu besar dalam graf pertumbuhan
penduduk dalam tempoh 1940 hingga 1945. Hal ini demikian kerana Malaysia mengalami
Perang Dunia Kedua yang menunjukkan penurunan dalam kadar kelahiran yang terlalu jelas.
Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya kadar kelahiran yang
4
tinggi iaitu kemudahan perubatan yang semakin meluas. Risiko kematian ibu mengandung dan
bayi juga semakin berkurang dengan adanya bantuan bidang perubatan. Seterusnya, faktor
keagamaan dan budaya juga mempengaruhi peningkatan kadar kelahiran kasar pada peringkat.
Hal ini demikian kerana banyak penduduk kahwin pada usia muda. Pada peringkat ini juga tiada
perancangan keluarga yang dilakukan sehingga menyebabkan kadar kelahiran meningkat.
Amalan perancangan ini masih belum meluas terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Hal
ini dipengaruhi oleh taraf pendidikan dalam kalangan penduduk yang masih dijajah dan
kurangnya pendedahan mengenai amalan perancangan keluarga. Selain itu, keadaan ekonomi
juga mempengaruhi pembesaran saiz keluarga. Hal ini demikian kerana apabila status ekonomi
semakin baik atau meningkat, hal ini menggalakkan pertambahan penduduk kerana mereka
merasakan bahawa mereka mampu menyara anak-anak. Ekoran daripada itu, pertumbuhan
penduduk akan semakin meningkat.
3.2 TAHAP KEDUA
Pada tahap ini kadar kematian mengalami penurunan manakala kadar kelahiran adalah
tinggi. Perkara ini menyebabkan kadar pertumbuhan semula jadi meningkat dengan mendadak.
Antara faktor-faktor berlakunya kadar kelahiran yang tinggi adalah keperluan tenaga buruh
adalah masih tinggi dan perancangan keluarga yang gagal dilaksanakan. Seterusnya, penurunan
dalam kadar kematian berlaku disebabkan oleh taraf kesihatan dan perubatan yang semakin baik,
kestabilan keadaan politik selepas peperangan dan bekalan makanan yang mencukupi. Namun
begitu, peringkat akhir tahap ini, pertumbuhan semula jadi semakin menurun. Hal ini demikian
kerana kemajuan industri dan teknologi yang pesat menyebabkan buruh manusia kurang
digunakan. Selain itu, masyarakat pada masa ini lebih moden dan berpelajaran tinggi dan mula
mementingkan kerjaya, dan sebagainya. Kebanyakan negara pada tahap ini adalah negara yang
5
sedang membangun. Negara sedang membangun bergantung kepada sistem ekonomi tradisional
pada peringkat pertama namun mula bertukar perlahan-lahan kepada sistem ekonomi moden.
Kadar kelahiran dan kematian menjunam jatuh ke tahap yang lebih stabil disebabkan oleh
kepesatan pembangun ekonomi perkhidmatan dan perindustrian. Antara faktor lain yang
menyebabkan berlakunya penurunan kadar kelahiran ialah amalan perancangan keluarga yang
semakin meningkat berbanding pada tahap pertama. Pada tahap ini program perancangan
keluarga baru bermula. Oleh itu, prospek perancangan itu masih terhad kepada amalan
penggunaan pil perancang dan pencegahan kehamilan. Pada tahap ini juga teknologi-teknologi
masih dalam proses berkembang pada ketika ini dan perkahwinan pada usia lewat juga
mempengaruhi penurunan kadar kelahiran. Jumlah anak yang boleh diperolehi adalah semakin
kecil. Malaysia mengalami tahap ini dalam tempoh selepas 1945 hingga 1960. Peningkatan taraf
hidup mula berlaku dan kestabilan politik juga berlaku selepas Perang Dunia Kedua dan hal ini
jelas kelihatan selepas Malaysia merdeka. Graf pertumbuhan penduduk telah dipengaruhi oleh
keadaan ini. Akibatnya, graf pertumbuhan penduduk menunjukkan peningkatan yang ketara
disebabkan oleh kejatuhan bandar yang juga dilihat amat ketara.kemudahan kesihatan seperti
klinik, hospital dan sebagainya telah dibangunkan pada tempoh ini untuk memenuhi keperluan
penduduk. Selain itu, peranan kerajaan yang mula mewujudkan pelbagai undang-undang dan
peraturan untuk menyedarkan penduduk mengenai pentingnya menjaga kesihatan dan hidup
dalam keadaan yang bersih untuk menjamin kesejahteraan penduduk. Langkah ini banyak
membantu menurunkan risiko kematian dalam kalangan penduduk dan perkara ini menyebabkan
penambahan pertumbuhan penduduk daripada tahun yang sebelumnya. Selain itu, kemasukan
Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia pada tahun 1963 juga menyebabakan kadar kelahiran
kasar dalam Malaysia meningkat.
6
3.3 TAHAP KETIGA
Pada tahap ini kadar kematina mula menurun dan kadar juga mula menurun tetapi pada
peringkat ini kadar kelahiran dan kadar kematina mula menjadi mantap. Kadar kelahiran
menurun kerana penduduk mula mengamalkan perancangan keluarga dan manakala kadar
kematian menjadi mantap ekoran peningkatan taraf kesihatan perubatan dan makan yang
semakin baik. Selain itu, negara-negara yang membangun yang sedang mengalami tahap ini telah
memajukan bidang perindustrian di negara masing-masing. Hal ini menyebabkan kadar
pertumbuhan semula jadi menurun dengan ketara. Malaysia mengalami tahap atau peringkat ini
pada tempoh 1960 hingga 1990 iaitu kadar kelahiran , kadar kematian dan kadar pertumbuhan
penduduk mula stabil selepas tahun 1970. Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan pada kadar
pertumbuhan penduduk selepas tahun 1980 dan kembali merosot di penghujung tahun 1980-an
sejajar dengan penurunan dan peningkatan yang tidak besar terjadi dalam kadar kelahiran
penduduk. Trend demografi penduduk Malaysia pada keadaan tidak menentu iaitu mengalami
turun-naik walaupun secara umumnya kelihatan turun. Hal ini menjelaskan bahawa kadar
kematian dan kadar kelahiran telah menunjukkan taraf kesihatan adalah semakin baik. Pelbagai
wabak penyakit telah dapat dikawal melalui sistem perubatan moden dan berlaku penambahan
jangka hayat penduduk. Kadar kematian terutamanya dalam kalangan bayi yang baru dilahirkan
dapat dikawal dengan berlakunya pertambahan pesat bilangan klinik, hospital, doktor dan
sebagainya. Penurunan kadar kematian pula menunjukkan bahawa berlakunya sedikit kejayaan
dalam program perancangan keluarga terutamanya untuk golongan berpendidikan tinggi yang
7
mementingkan kerjaya. Penduduk juga telah mula sedar untuk merancang saiz keluarga yang
lebih seimbang dengan kemampuan dan pendapatan yang ada sehingga member kesan iaitu
penduduk tidak lagi cenderung untuk mempunyai saiz keluarga yang besar. Seterusnya,
kemajuan yang dicapai dalam bidang pendidikan telah menyedarkan golongan wanita dan hal ini
menyebabkan mereka berkahwin lebih lewat. Terdapat banyak faktor yang menjadi punca
berlakunya penurunan kadar kematian pada tahap ini. Pelbagai pemyakit dapat dikawal dengan
adanya kemudahan perubatan yang moden. Antara perkara yang dijalankan ialah pemberian ubat
atau suntikan vaksin penyakit cacar dan batuk kering secara percuma kepada penduduk. Bantuan
daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dapat mengurangkan jangkitan penyakit
cacar pada tahun 1970-an.
3.4 TAHAP KEEMPAT
Pada tahap ini kadar kematian dan kadar kelahiran adalah rendah.hal ini demikin kerana
ekonomi negara maju dan kukuh, taraf hidup dan sosioekonomi juga adalah tinggi. Oleh itu, hal
ini menyebabkan kadar kelahiran rendah, taraf kesihatan perubatan meningkat dan pemakanan
dapat mengurangkan kadar kematian. Di Malaysia, pada tahun 1990 hingga kini kadar
pertumbuhan semula jadi, kadar kematian dan kadar kelahiran jelas semakin berlaku penurunan
dan sedang menuju ke arah yang lebih stabil atau mantap terutamanya pada tahun 2000.
Pertumbuhan penduduk Malaysia antara tahun 2000 hingga 2004 adalah di sekitar 2.3% hingga
2.4% setahun. Kadar ini akan berterusan meskipun Malaysia menggalakkan kelahiran bagi
mencapai matlamat 70 juta orang penduduk menjelang tahun 2100 nanti. Kadar pertumbuhan
penduduk yang stabil ini dijangka akan berterusan. Hal ini demikian kerana keadaan semasa
ekonomi Malaysia yang mapan dan kukuh sesuai dengan ciri-ciri masyarakat Malaysia yang
lebih moden dan bersedia bagi menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
8
Seterusnya, dijangkakan model peralihan demografi penduduk Malaysia mungkin berada pada
peringkat keempat seperti negara-negara maju. Faktor- faktor yang menjadi penyumbang kepada
fenomena ini ialah golongan wanita yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Wanita
bandar dan wanita luar bandar sudah banyak terdedah kepada pendidikan yang lebih tinggi.
Akibatnya, berlaku peningkatan peluang yang tinggi untuk mempunyai peluang pendidikan yang
tarafnya lebih tinggi. Selain itu, wanita pada masa ini lebih mementingkan pendidikan dan
kerjaya sehingga menyebabkan berlakunya perkahwinan di lewat usia. Seterusnya, wanita
sekarang lebih berdikari kerana mempunyai peluang pekerjaan yang tinggi. Hal ini disebabkan
oleh perkembangan bidang industri. Selain itu, wanita sekarang lebih senang membantu ibu bapa
terlebih dahulu berbanding memikirkan soal perkahwinan.
Amalan perancangan keluarga juga semakin meningkat melalui pelbagai kaedah seperti
penggunaan kondom, penjarakkan kehamilan dan penggunaan pil perancang kehamilan. Hal ini
disebabkan oleh masalah pengurusan masa, kos pembiayaan anak-anak dan juga terdapat
sebahagian penduduk yang mahu mengecilkan saiz keluarga. Hal ini bagi menjaga status
keluarga tersebut. Kadar kematian pula semakin sedikit disebabkan oleh beberapa faktor.
Antaranya ialah kemajuan dalam bidang perubatan. Walaupun tidak menyeluruh, penyakit-
penyakit seperti sakit jantung, kanser dan sebagainya dapat diubati. Pengurangan kadar mortality
dalam kalangan penduduk dapat dilakukan dengan bantuan teknologi yang semakin maju dan
jumlah jururawat dan doktor yang banyak juga dapat mengurangkan kadar mortality dan
bilangan hospital juga bertambah.
9
4.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, proses peralihan demografi ini mengambil masa yang lama untuk
menunjukkan perubahan yang ketara mengenai proses perubahan penduduk yang berlaku. Selain
daripada kependudukan, model peralihan demografi ini juga menujukkan perubahan dari segi
ekonomi dan sosial serta perubahan pembangunan yang semakin maju. Trend ini ditunjukkan
dalam keadaan waktu selepas, sedang dan masa yang akan datang untuk menunjukkan perubahan
yang dialami pada sesebuah negara. Terdapat beberapa peringkat yang diterangkan dalam model
peralihan demografi ini. Proses-proses ini menjelaskan tentang kadar kelahiran, kadar kematian
dan kadar pertumbuhan semula jadi yang berlaku dalam sesebuah negara. Terdapat banyak
faktor yang mempengaruhi trend peralihan demografi seperti perancangan keluarga, penggunaan
pil perancang kehamilan, kemudahan perubatan yang semakin baik, sistem pendidikan yang
semakin maju, ekonomi yang semakin kukuh dan sebagainya. Kesan yang dialami daripada
faktor-faktor ini pula menunjukkan perubahan kadar kematian, kadar kelahiran dan kadar
pertumbuhan semula jadi penduduk. Proses peralihan demografi ini akan berterusan dan akan
menunjukkan perubahan dari semasa ke semasa.
10