tabu dalam bahasa

8
Tabu dalam bahasa: Sebab kewujudannya Oleh: Aswiza Awang Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-hari. Menurut Asmah Haji Omar, “bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu”. Bahasa merupakan suatu unsur yang dinamik, yakni sentiasa berubah- ubah mengikut situasi dan zaman atau perkembangan semasa. Oleh hal yang demikian, menurut S. Nathesan, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat, adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam situasi tertentu. Sebahagian daripada kajian makna atau semantik yang dikaji ialah tabu dalam bahasa. Kata tabu seperti yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud “sesuatu yang dilarang, pantang larang atau yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan”. Mengikut Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu, tabu ialah “suatu keadaan untuk mengelakkan penggunaan kata yang tidak sopan atau dilarang”. Apabila dikaitkan dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Menurut Teo Kok Seong, topik-topik yang sering dianggap tabu dalam masyarakat Melayu antaranya hal-hal yang berkaitan seks, fungsi badan tertentu, anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis.

Upload: reen-na

Post on 27-Jun-2015

3.584 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Tabu dalam bahasa

Tabu dalam bahasa: Sebab kewujudannya

Oleh: Aswiza Awang

Bahasa merupakan sistem atau alat komunikasi yang amat penting bagi manusia dalam perhubungan sehari-

hari. Menurut Asmah Haji Omar, “bahasa yang digunakan merupakan sistem lambang yang mengaitkan

maksud atau fikiran manusia dengan sesuatu benda yang konkrit ataupun sesuatu yang abstrak, supaya

demikian pengguna bahasa dapat memahami sesuatu benda yang diperkatakan itu”. Bahasa merupakan

suatu unsur yang dinamik, yakni sentiasa berubah-ubah mengikut situasi dan zaman atau perkembangan

semasa. Oleh hal yang demikian, menurut S. Nathesan, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan

menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk

mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik merupakan sebahagian daripada

ilmu linguistik yang tidak akan sempurna jika tidak ada kajian makna. Salah satu bidang makna yang dikaji

ialah unsur tabu yang terdapat dalam bahasa. Masyarakat Melayu kaya dengan adat dan budaya Timur

menjadi pegangan sejak dahulu. Adat, adab, dan budaya yang menjadi tradisi dalam masyarakat ini bukan

sahaja menjadi ikutan, malah turut melingkungi masyarakat sebagai peraturan bersama dalam perhubungan

sehari-hari. Kebersamaan dalam masyarakat inilah yang menyebabkan wujudnya peraturan-peraturan

tertentu yang berunsur tabu yang menjadi suatu pegangan oleh seluruh anggota masyarakat agar adat,

adab, dan budaya yang dijunjung itu terjaga. Tabu merupakan suatu strategi kesantunan yang melibatkan

aspek kebahasaan supaya kesopanan, adat, dan adab yang dijunjung dalam masyarakat Melayu itu dapat

dipatuhi bersama oleh setiap anggota masyarakat. Aspek kesantunan yang berunsur tabu ini merangkumi

perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan dalam

situasi tertentu.

Sebahagian daripada kajian makna atau semantik yang dikaji ialah tabu dalam bahasa. Kata tabu seperti

yang dinyatakan dalamKamus Dewan Edisi Keempat bermaksud “sesuatu yang dilarang, pantang larang atau

yang dilarang atau ditegah daripada dipercakapkan”. Mengikut Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu, tabu ialah

“suatu keadaan untuk mengelakkan penggunaan kata yang tidak sopan atau dilarang”. Apabila dikaitkan

dengan bahasa, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat

agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun

bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara

terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Menurut Teo Kok Seong, topik-topik yang sering

dianggap tabu dalam masyarakat Melayu antaranya hal-hal yang berkaitan seks, fungsi badan tertentu,

anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Selain itu, masyarakat Melayu juga sangat

sensitif dengan hal-hal yang berkaitan dengan adat dan kepercayaan.

MENGAPA TABU WUJUD?

Page 2: Tabu dalam bahasa

Tabu dalam bahasa wujud disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor tersebut merangkumi faktor yang

berkaitan dengan latar belakang masyarakat itu sendiri. Antaranya adalah seperti berikut:

(a)       Adat dan Kepercayaan

Masyarakat Melayu memiliki khazanah adat dan kebudayaan yang begitu tinggi. Adat dan budaya yang

dipegang oleh masyarakat Melayu memainkan peranan penting dalam kehidupan sehari-hari. Hal-hal inilah

yang menjadi panduan dalam dalam kehidupan mereka sejak dahulu. Asmah Haji Omar dalam Susur Galur

Bahasa Melayu mengatakan bahawa orang-orang Melayu sebelum memeluk agama Hindu dan kemudiannya

Islam, percaya pada semangat, baik pada makhluk bernyawa mahupun tak bernyawa seperti pokok-pokok,

kayu-kayu besar, batu, dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap benda-benda itu mempunyai

semangat atau jiwa yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu, perlakuan terhadap benda-benda itu

hendaklah secara sopan santun. Bagi masyarakat Melayu, perlakuan yang tidak sopan dan kasar, sama ada

dalam bentuk perbuatan atau percakapan akan memberi kemudaratan kepada orang yang berkenaan. Oleh

hal yang demikian, segala perkara yang berkaitan dengan perkara tersebut dianggap tabu oleh masyarakat

Melayu. Oleh sebab ada larangan tertentu yang telah ditetapkan oleh masyarakat dalam berbahasa tentang

perkara-perkara yang berkenaan, maka ungkapan-ungkapan yang dianggap tabu telah digantikan dengan

istilah lain yang dianggap lebih sopan dan manis didengar.

Untuk menjaga hati ‘semangat’ yang ada pada benda-benda tersebut, masyarakat Melayu menggantikan

perkataan tertentu yang dianggap tabu dengan perkataan lain yang lebih halus sifat atau lebih tersembunyi

maksudnya. Sebagai contoh, kata datuk ataunenek digunakan apabila seseorang melalui tempat tertentu

yang dipercayainya wujud ‘penunggu’ atau hantu. Kata datuk ataunenek tersebut merujuk pada ‘penunggu’

atau hantu yang dipercayainya tinggal di tempat tersebut. Penggantian kata tersebut untuk menunjukkan

bahawa orang yang menyebutnya sangat menghormati ‘penunggu’ itu dan berharap agar mereka tidak

‘diganggu’ dan memberi kemudaratan kepadanya. Kata datuk dalam maksud dan keadaan biasa merujuk

kepada “bapa kepada ayah atau ibu seseorang.” (Kamus Dewan Edisi Keempat), manakala kata nenek pula

bermaksud “orang tua kepada emak atau ayah. Umumnya, kata tersebut juga merupakan panggilan

seseorang kepada bapa kepada ayah atau ibunya. Begitu juga dengan kata nenek. Datuk dan nenek

merupakan kedudukan ahli keluarga yang sangat dihormat. Kedudukan tersebut membuatkan seseorang

yang bergelar datuk atau nenek sangat dihormati oleh cucu-cucunya sebagai orang yang lebih tua. Oleh

sebab itulah kata datuk atau nenek digunakan untuk merujuk hantu atau ‘penunggu’ yang dipercayai itu

kerana ‘mereka’ perlu dihormati sama seperti datuk atau nenek seseorang.

Dari segi adat, unsur tabu turut memainkan peranan penting dalam menjaga tradisi yang turunkan oleh

warisan terdahulu, terutama dalam konteks perhubungan sosial. Sebagai contoh, apabila ada kematian

anggota masyarakat, perkataan mati sama sekali tidak boleh digunakan bagi merujuk perihal kematian

Page 3: Tabu dalam bahasa

tersebut. Sebaliknya, masyarakat Melayu lebih selesa menyebutmeninggal dunia, atau dalam konteks

lain kembali ke rahmatullah. Begitu juga apabila merujuk pada orang yang meninggal dunia, kata mayat juga

dianggap tidak sopan disebut, tetapi digantikan dengan jenazah. Jika dilihat dari sudut makna,

kata matibersinonim dengan meninggal dunia, begitu juga kata mayat yang bersinonim dengan jenazah.

Bagaimanapun, hal ini berbeza jika dilihat dari sudut adat dan kesopanan dalam masyarakat Melayu.

Fenomena inilah yang dikatakan sebagai tabu kerana adanya larangan tersebut dalam masyarakat yang

menjunjung adat tersebut.

(b)       Takut

Selain unsur ghaib, masyarakat Melayu juga percaya akan kekuatan semangat binatang liar. Binatang yang

biasa menjadi ketakutan masyarakat Melayu adalah seperti harimau, gajah, buaya, babi hutan, ular, dan

tikus. Binatang-binatang ini dianggap boleh memberi kemudaratan kepada manusia sekiranya bertembung di

hutan. Kehidupan masyarakat Melayu dahulu sangat bergantung kepada hutan kerana hutan memberikan

pelbagai sumber rezeki. Oleh hal yang demikian, mereka sering masuk ke hutan untuk mendapatkan

pelbagai sumbernya seperti rotan, madu, umbut, damar, dan sebagainya. Oleh itu, seboleh mungkin mereka

tidak mahu bertembung dengan binatang-binatang tersebut kerana mungkin akan mendatangkan bahaya

dan kemudaratan. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa sekiranya nama binatang seperti harimau, gajah

atau babi hutan disebut dengan lafaz namanya yang sebenar, mereka akan bertembung dengan binatang

tersebut, dan mungkin akan mengganggu atau membawa kemudaratan kepadanya. Selain itu, masyarakat

Melayu juga percaya sekiranya binatang-binatang tersebut dicabar, dimarahi atau dikeji dengan kata-kata

nista, orang tersebut akan ditimpa musibah yang teruk. Sebagai contoh, jika seseorang itu menyumpah atau

berkata sesuatu yang tidak baik terhadap babi hutan atau tikus yang merosakkan tanamannya, nescaya

tanamannya akan dimusnahkan sama sekali oleh segerombolan babi hutan atau tikus yang dinista itu. Begitu

juga sekiranya seseorang itu mencabar kekuatan dan ‘kewibawaan’ gajah dan harimau, mereka mungkin

akan bertembung dengan haiwan tersebut. Untuk mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku, nama

binatang tersebut digantikan dengan sebutan lain seperti berikut:

Nama haiwan Nama gantian

harimau Pak Belang

gajah orang besar

ular akar

buaya batang hanyut

Page 4: Tabu dalam bahasa

tikus Cik Siti

Kata Pak Belang bagi menggantikan harimau digunakan merujuk belang yang terdapat pada badannya.

Dengan demikian, kataharimau tidak lagi disebut, terutamanya semasa berada di dalam hutan kerana jika

disebut, seolah-olah orang yang menyebutnya memanggil harimau tersebut. Begitu juga dengan kata orang

besar yang menggantikan kata gajah. Istilah orang besar merujuk sifat gajah yang besar badannya. Istilah

tersebut juga memberi perlambangan bahawa orang yang menyebutnya menghormati gajah yang besar dan

kuat yang boleh memusnahkan tananan dan nyawa manusia. Kata akar bagi menggantikan ular pula merujuk

sifat ular yang menjalar seperti akar pokok. Begitulah kebijaksanaan orang Melayu dalam penciptaan istilah

baharu bagi menggantikan nama haiwan yang ditakutinya.

(c)        Unsur seks/lucah/fungsi badan

Masyarakat Melayu ialah masyarakat timur yang masih tebal dengan adat dan budaya yang tinggi nilai

moralnya. Tambahan pula, sejak kedatangan Islam sejak abad ke-13, ajaran yang diterapkan oleh Islam yang

berkaitan dengan moral dan akhlak sangat menepati dengan sifat masyarakat Melayu yang lemah lembut

dan sangat mementingkan soal maruah dan harga diri.  Oleh hal yang demikian, soal yang berkaitan dengan

tubuh badan, terutamanya yang berkaitan dengan golongan wanita serta hal rumahtangga dianggap tabu

oleh masyarakat Melayu. Kata-kata yang berkaitan yang dianggap tabu tersebut digantikan dengan

perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan halus. Senarai perkataan tersebut adalah seperti berikut:

Kata tabu Kata gantian

pantat

kemaluan

butuh

puki

burit

jubur/dubur punggung

kopek buah dada/payudara

Page 5: Tabu dalam bahasa

tetek

haid datang bulan, datang kotor

bersetubuh hubungan kelamin

mengandung hamil/berbadan dua

Selain itu, hal-hal yang berkaitan dengan fungsi badan manusia, seperti berak, kencing, tahi, dan kentut juga

dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata tersebut dianggap kotor dan kasar. Oleh hal yang

demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata yang lebih sopan, iaitu buang air besar/ke sungai besar,

buang air kecil/ke sungai kecil, najis, dan buang angin. Pemilihan kata tersebut disebabkan maknanya masih

lagi berkonotasi dengan kata asalnya walaupun pada asasnya kata tersebut mempunyai makna yang lain.

Kata buang air besar/ke sungai besar, misalnya merujuk perbuatan berak secara tidak langsung dan tidak

berterus-terang. Begitu juga dengan kata buang angin yang sebenarnya berkonotasi dengan perbuatan

membuang angin perut melalui saluran dubur. Perbuatan tersebut walaupun lumrah bagi manusia, tetapi

tidak sopan bagi masyarakat Melayu sekiranya disebut dengan perkataan kentut kerana dianggap sangat

kasar dan tidak berbudi bahasa. Oleh sebab itu, kata tersebut digantikan supaya menjadi lebih sopan dan

halus budi pekerti bagi orang yang menyebutnya.

Ironinya, kewujudan tabu dalam bahasa membawa natijah yang cukup baik dalam perkembangan bahasa dan

budaya Melayu. Secara tidak langsung, unsur kesantunan dalam berbahasa atau eufemisme turut

berkembang dalam masyarakat. Menurut Teo Kok Seong, eufemisme ialah perkataan atau frasa yang lebih

sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau frasa yang sudah pun dianggap sebagai kasar

dan keji. Eufemisme atau kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba

untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau

melanggar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Oleh hal yang demikian, kata tahi, kencing,

dan beraktersebut digantikan dengan kata lain yang dianggap lebih sopan, seperti najis, buang air kecil,

dan buang air besar.

Oleh sebab masyarakat Melayu menganggap kata-kata tersebut berupa kata yang dilarang penggunaannya

secara langsung, maka wujudlah unsur eufemisme atau kesantunan dalam berbahasa. Eufemisme atau

kesantunan merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan

bahasa atau perbuatan yang dituturkan atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melanggar konsep tabu

yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Keadaan ini wujud kerana selepas kedatangan Islam, bangsa Melayu

begitu mementingkan adab sopan seperti yang diajarkan dalam Islam. Akhlak yang terpuji seperti yang

Page 6: Tabu dalam bahasa

diajarkan oleh Rasulullah (S.A.W) begitu mempengaruhi masyarakat Melayu Islam, bukan sahaja dalam

perbuatan, justeru dalam pertuturan harian. Hal inilah yang membudaya dalam masyarakat Melayu sehingga

wujudnya konsep kesantunan atau eufimisme bagi menutup hal-hal yang tabu tersebut. Hal ini demikian

kerana, dalam masyarakat Melayu, seseorang yang menggunakan kata-kata yang dianggap tabu bukan

sahaja dianggap tidak beradab tetapi juga boleh menyinggung perasaan orang yang berkenaan. Sebagai

contoh, hal-hal yang berkaitan dengan wanita, seperti haid, mengandung, tetek atau kopek dianggap tabu

oleh masyarakat Melayu. Kata-kata ini dianggap sebagai kata-kata yang tidak manis atau mengandungi unsur

lucah, lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh seseorang lelaki di hadapan seorang perempuan. Oleh hal yang

demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata seperti yang telah dijelaskan sebelumnya. Hal

yang demikian kerana, seseorang yang mengucapkan kata-kata yang dianggap tabu boleh dianggap sebagai

orang yang tidak sopan atau tidak tahu adab dan budi bahasa. Bangsa Melayu sememangnya terkenal

sebagai bangsa yang mementingkan budi bahasa yang tinggi. Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan

seseorang itu dikatakan sebagai orang yang tidak berbudi bahasa atau bermulut celupar, sesuatu perkataan

yang dikatakan tabu akan dijelaskan dengan panjang lebar melalui kata-kata atau ayat yang berlapis atau

berkias. Bentuk kiasan inilah yang merupakan sirkumlokusi yang digunakan sebagai pelarian supaya kata

yang menjadi tabu tersebut tidak disebut secara terang-terangan.

Suatu hal yang menarik dalam membicarakan soal kata-kata yang berunsur tabu ialah sesetengah kata

tersebut tidak dianggap tabu dalam situasi tertentu. Walaupun pada asasnya semua kata yang dianggap tabu

dilarang penggunaannya dalam percakapan, tetapi larangan tersebut adalah terbatas dalam situasi yang

tertentu sahaja.  Larangan atau sekatan penggunaan kata-kata yang dianggap tabu hanya meliputi aspek

rujukan khusus bagi makna asal perkataan tersebut sahaja, misalnya, kata tahi, kencing, danberak. Sekiranya

kata-kata tersebut diucapkan untuk merujuk makna asalnya, iaitu tahi merujuk pada hampas atau sisa

buangan manusia yang keluar dari dubur, atau perbuatan kencing dan berak yang dilakukan oleh manusia,

kata-kata tersebut dianggap tabu. Walau bagaimanapun, kata-kata tersebut tidak lagi dianggap tabu

sekiranya digunakan dalam bentuk nama sesuatu benda atau penyakit atau sifat sesuatu yang berbentuk

kiasan. Contohnya, kata majmuk kiasan tahi lalat yang merujuk bintik hitam yang ada pada kulit manusia

atau tahi itik, sejenis kuih tradisional di negeri Kelantan. Suatu kejanggalan dalam masyarakat sekiranya kata

tersebut ditukar menjadi najis lalat atau najis itik bagi merujuk hal yang sama. Kata kencing

malam atau kencing manis yang merujuk sejenis penyakit yang dihidapi manusia juga tidak dianggap tabu,

malah orang yang menyebutnya juga tidak berasa segan dan bersalah. Orang yang mendengarnya juga tidak

akan tersinggung dan menganggap orang yang mengucapkannya sebagai tidak sopan. Hal yang demikian

kerana, orang yang mendengarnya memahami bahawa kata yang diucapkan itu merujuk nama penyakit,

bukannya perbuatan kencing itu.

Page 7: Tabu dalam bahasa

Begitu juga dengan bentuk peribahasa Melayu yang berbentuk kiasan, seperti macam cicak berak kapur,

dan guru kencing berdiri murid kencing berlari. Kata berak dan kencing yang disebut dalam peribahasa

tersebut tidak dianggap tabu. Menurut Teo Kok Seong, hal ini berlaku kerana “sesuatu perkataan atau

ungkapan yang menjadi tabu itu dilarang penggunaannya pada topik dan ranah (bidang) tertentu sahaja”.

Ungkapan tabu juga tidak akan dianggap tabu sekiranya penggunaannya merujuk pada binatang. Hal ini

demikian kerana, sesuatu yang dianggap tabu itu hanya berlaku sekiranya ia melibatkan hal-hal yang

berkaitan dengan manusia sahaja, lebih-lebih lagi yang merujuk kaum wanita. Sebagaimana yang

diungkapkan oleh Teo Kok Seong, “tidak betul, tidak perlu, dan amat janggal dari segi sistem bahasa Melayu

apabila kita melafazkan atau menulis ungkapan sesopan ini – “Kucing jiran sebelah selalu buang air besar di

halaman rumah saya”. Hal ini bermaksud, walaupun seseorang itu ingin bersikap sopan, penggunaan buang

air besar yang digunakan bagi merujuk perbuatan kucing tersebut adalah tidak tepat dalam konteks

penggunaan bahasa Melayu. Tidak menjadi suatu kesalahan dan tidak pula dianggap tidak sopan seseorang

itu sekiranya dia menggunakan ungkapan kucing itu berak.

Sesungguhnya pengetahuan anggota masyarakat dalam soal kesantunan berbahasa, terutama aspek tabu

dalam masyarakat Melayu adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana, pengetahuan inilah yang menjadi

ukuran sama ada seseorang itu berbudi pekerti, berbudi bahasa, beradat atau bersopan santun bukan sahaja

dalam pertuturan tetapi juga dalam tingkah laku. Kenaifan seseorang anggota masyarakat dalam soal ini

boleh mengakibatkannya dipandang rendah oleh masyarakat. Pengetahuan tentang hal ini juga menunjukkan

bahawa seseorang itu peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan dalam bermasyarakat dan

berbahasa. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam masyarakat Melayu menyekat seseorang

daripada berbahasa dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota

masyarakat Melayu seluruhnya. Unsur ini juga diterima dengan baik oleh seluruh anggota masyarakat kerana

melalui unsur tabu inilah, wujudnya suatu peraturan yang berkaitan dengan kesantunan dan keperibadian

mulia seseorang. Bertepatan pula dengan masyarakat Melayu yang masih kuat berpegang dengan nilai-nilai

Timur, unsur tabu tidak menjadi bebanan dalam kehidupan harian mereka, justeru menjadi suatu

kepentingan dalam kehidupan sehari-hari.