sekretariat sahabat kembara ilmu (skil): sinergi dan ... · menubuhkan sebuah badan pelajar yang...

12
Seminar Kepustakawanan Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015 SEKRETARIAT SAHABAT KEMBARA ILMU (SKIL): SINERGI DAN KELESTARIAN PROGRAM PERPUSTAKAAN UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM) Rozana Kamdani 1 Ahmad Yazid Ahmad @ Abdul Rahman 2 Nor Azzah Momin 3 ABSTRAK Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah badan pelajar yang bernaung di bawah Perpustakaan pada tahun 2012 yang dinamakan sebagai Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu (SKIL). Antara objektif penubuhan SKIL ialah untuk mengeratkan hubungan perpustakaan dan pelajar serta menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perpustakaan. Ini selaras dengan lonjakan pertama dan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu Graduan keusahawanan, holistik dan seimbang dan Masyarakat yang belajar sepanjang hayat. Kejayaan melaksanakan program, kecemerlangan organisasi, serta kolaborasi yang utuh dan profesional telah menjadi kunci kejayaan kepada Perpustakaan USIM dalam memberi khidmat kepada warga universiti dan masyarakat umum. Natijahnya, pelbagai program telah berjaya dilaksanakan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pelaksanaan semua program ini adalah hasil sinergi di antara Perpustakaan USIM dan SKIL sehingga menjadikan SKIL sebagai salah satu daripada badan pelajar yang aktif dan cemerlang di USIM. Kata kunci: Sahabat perpustakaan, Badan pelajar, Program Perpustakaan, Libat sama komuniti. Pengenalan Sahabat Perpustakaan yang pertama di dunia telah ditubuhkan di Universiti Harvard pada tahun 1925 (Brewer, 1950; Mosher & Weber, 1951). Menurut Mosher and Weber (1951) lagi, penubuhan Sahabat Perpustakaan di Universiti Harvard itu dipengaruhi oleh model kumpulan pendokong perpustakan atau La Societe des Amis de la Bibliotheque Nationale et des Grandes Biblio-theques de France, yang diasaskan pada tahun 1913. Sayangnya, 1 Pustakawan, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tel: 06-798 6206, Emel: [email protected] 2 Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tel: 06-798 6213, Emel: [email protected] 3 Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tel: 06-798 6202, Emel: [email protected]

Upload: others

Post on 29-Aug-2019

11 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

SEKRETARIAT SAHABAT KEMBARA ILMU (SKIL): SINERGI DAN

KELESTARIAN PROGRAM PERPUSTAKAAN UNIVERSITI SAINS ISLAM

MALAYSIA (USIM)

Rozana Kamdani1

Ahmad Yazid Ahmad @ Abdul Rahman2

Nor Azzah Momin3

ABSTRAK

Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif untuk

menubuhkan sebuah badan pelajar yang bernaung di bawah Perpustakaan pada tahun 2012

yang dinamakan sebagai Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu (SKIL). Antara objektif

penubuhan SKIL ialah untuk mengeratkan hubungan perpustakaan dan pelajar serta

menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perpustakaan. Ini selaras dengan lonjakan

pertama dan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)

iaitu Graduan keusahawanan, holistik dan seimbang dan Masyarakat yang belajar

sepanjang hayat. Kejayaan melaksanakan program, kecemerlangan organisasi, serta

kolaborasi yang utuh dan profesional telah menjadi kunci kejayaan kepada Perpustakaan

USIM dalam memberi khidmat kepada warga universiti dan masyarakat umum. Natijahnya,

pelbagai program telah berjaya dilaksanakan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan

dan antarabangsa. Pelaksanaan semua program ini adalah hasil sinergi di antara

Perpustakaan USIM dan SKIL sehingga menjadikan SKIL sebagai salah satu daripada

badan pelajar yang aktif dan cemerlang di USIM.

Kata kunci: Sahabat perpustakaan, Badan pelajar, Program Perpustakaan, Libat sama

komuniti.

Pengenalan

Sahabat Perpustakaan yang pertama di dunia telah ditubuhkan di Universiti Harvard pada

tahun 1925 (Brewer, 1950; Mosher & Weber, 1951). Menurut Mosher and Weber (1951)

lagi, penubuhan Sahabat Perpustakaan di Universiti Harvard itu dipengaruhi oleh model

kumpulan pendokong perpustakan atau La Societe des Amis de la Bibliotheque Nationale et

des Grandes Biblio-theques de France, yang diasaskan pada tahun 1913. Sayangnya,

1 Pustakawan, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tel: 06-798 6206, Emel:

[email protected] 2 Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tel: 06-798 6213, Emel:

[email protected] 3 Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tel: 06-798

6202, Emel: [email protected]

2

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

menurut Brewer (1950) tiada rekod yang disimpan berkaitan jumlah keahlian bagi Sahabat

Perpustakaan di perpustakaan Universiti Harvard dari tahun 1925 hingga 1935. Tujuan asal

penubuhannya untuk membantu perpustakaan dalam segenap aspek khususnya berkaitan

dengan kewangan, pemilihan bahan, dan melaksanakan aktiviti perpustakaan atau dalam erti

kata lain untuk menjadikan perpustakaan nampak ketara pada pandangan masyarakat.

Berdasarkan kefahaman bagi konsep yang dinyatakan di atas, Perpustakaan USIM

mempelopor usaha sama dengan sahabat perpustakaan bagi mengadakan hubungan strategik

yang memberi manfaat bersama. Ini selaras dengan firman Allah Taala dalam Surah al-

Maidah ayat 2:

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan

bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan

pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab

seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Dalam masa yang sama, lonjakan pertama dan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan

Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu Graduan keusahawanan, holistik dan seimbang dan

Masyarakat yang belajar sepanjang hayat telah menjadi asas kepada usaha sama ini. Ia

menjadi penataran iaitu proses di mana bimbingan, khidmat nasihat, dan tunjuk ajar

diberikan oleh kakitangan profesional perpustakaan kepada Sahabat Perpustakaan untuk

meningkatkan kemampuan, keboleh pasaran, dan kebitaraan mereka. Sediki demi sedikit,

penataran ini menjelma sebagai kuasa lunak yang mendorong kepada kecemerlangan

Sahabat Perpustakaan yang pada dasar keahliannya terdiri daripada pelajar-pelajar. Setiap

pelajar akan mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda, dan adab untuk menjadi

insan mulia dan seterusnya bakal menyerlah dan sanggup berkorban demi kemaslahatan

keluarga, masyarakat, negara dan sejagat.

Definisi

Terdapat beberapa definisi yang boleh dinyatakan berkaitan istilah Sahabat Perpustakaan.

Rahardjo (n.d.) telah menggunakan istilah Sahabat Perpustakaan atau Library Friends untuk

menggambarkan organisasi sosial yang terdiri daripada kelompok masyarakat yang saling

mengikat diri untuk mendokong perpustakaan. Antara istilah lain yang merujuk kepada

Sahabat Perpustakaan adalah Friends of the Library yang mana telah digunakan semenjak

tahun 1922 (Brewer, 1950), Friends of the Library Groups (Munch, 1975), dan Friends

Group (Mosher & Weber, 1951).

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

Penulis bersetuju dengan penggunaan istilah Sahabat Perpustakaan namun boleh disetarakan

dengan pelbagai istilah lain seperti Badan Pelajar dan Kelab Perpustakaan. Namun begitu,

istilah-istilah lain yang merujuk kepada Sahabat Perpustakaan juga boleh digunakan

mengikut kesesuaian lokaliti dan keperluan perpustakaan seperti istilah Sahabat Kembara

Ilmu atau ringkasnya SKIL yang digunakan oleh Perpustakaan USIM.

Konsep Sahabat Perpustakaan dan Perpustakaan

Sahabat Perpustakaan dan Perpustakaan amat berkait rapat antara satu sama lain

sebagaimana yang dinyatakan oleh William Osler yang mewujudkan Kelab Jurnal McGill

Universiti kira-kira 100 tahun yang lalu. Bentuk atau format kelab berbeza mengikut

institusi walaupun objektifnya mungkin sama iaitu membangunkan kemahiran menganalisis,

menggalakkan nilai-nilai penyelidikan dan kesarjanaan, serta jalinan rakan sebaya (Kraemer,

2007). Menurut Kraemer (2007) lagi, keberkesanan jalinan ini terbukti apabila Kelab Jurnal

ini menjadi signifikan, berkesan dan menarik dan tiada tanda-tanda yang kegiatannya

merudum. Secara tidak langsung perpustakaan akan kekal relevan kepada masyarakat

setempat sebagai gedung ilmu dan pusat kebudayaan.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Harris, Mayo, Prince, dan Joan (2013), pada masa kini

perpustakaan perlu menjadi ikon penggerak budaya. Budaya ini merujuk kepada tempat

tumpuan orang ramai atau pusat sehenti di mana segala macam kemudahan dan

perkhidmatan boleh ditawarkan. Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan untuk menjadikan

perpustakaan sebagai tempat tumpuan. Antara yang boleh dilaksanakan adalah kegiatan

ilmiah seperti kursus, seminar, diskusi buku dan filem, dan lawatan.

Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu

Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu (SKIL) telah ditubuhkan pada 28 Mac 2012. Penubuhan

SKIL atau nama asal yang dicadangkan sebagai Kelab Stanza Ilmu merubah lanskap

perhubungan antara pelajar USIM dan Perpustakaan. Ia menjadi pemangkin kepada jalinan

komunikasi yang lebih formal dan tersusun tetapi dalam suasana yang menarik dan santai.

Dalam usaha menggalakkan penggunaan dan pemanfaatan perpustakaan, SKIL dilihat

relevan sebagai gerakan untuk merakyatkan perpustakaan melalui program-program usaha

sama yang disusun baik melibatkan warga USIM mahupun masyarakat luar. Ia penting

dalam usaha USIM membina nama dalam masyarakat. Ini selaras dengan gagasan USIM

untuk menerajui integrasi ilmu Naqli dan Aqli dan menjadi nombor satu dalam hati dan

minda masyarakat. Sudah tentu untuk menjadi sedemikian, kakitangan dan pelajarnya perlu

mempunyai keterampilan yang unggul serta sahsiah keperibadian yang boleh dipercayai.

Maka dengan itu, penubuhan SKIL ini merupakan justifikasi yang paling ideal dalam

mengetengahkan USIM serta mengembangkan pengaruh yang boleh dilihat ataupun yang

mengesankan dalam hati. Untuk itu, antara objektif penubuhan SKIL adalah seperti berikut:

4

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

i. Menjadi saluran ataupun medan perantara untuk memudahkan pelajar

mengetahui perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan.

ii. Mendapatkan khidmat dan komitmen pelajar bagi membantu perpustakaan

dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik.

iii. Menjadi penghubung antara pelajar untuk mendapatkan informasi terkini dari

perpustakaan.

iv. Meningkatkan kemahiran dalam penggunaan bahan-bahan perpustakaan.

v. Mengeratkan hubungan antara pelajar dan pengurusan perpustakaan.

Bentuk perhubungan antara SKIL dan Perpustakaan dibina melalui persefahaman bersama.

Bagi memastikan perjalanan pengurusan SKIL sentiasa di tahap yang baik, dua orang

kakitangan Perpustakaan dilantik sebagai penasihat. Fungsi utama penasihat adalah

menasihati semua ahli jawatankuasa yang dilantik untuk menjalankan aktiviti yang telah

dirancang. Selain itu, dua orang lagi pembimbing dilantik juga dalam kalangan kakitangan

untuk membantu SKIL melaksana dan menjayakan aktiviti-aktiviti. Secara tidak langsung,

ini dapat memastikan bahawa SKIL mampu melaksanakan segala perancangan mengikut

kaedah yang betul seperti yang telah digariskan di peringkat universiti. Selain itu, dari sudut

perhubungan rasmi, SKIL ditindikkan bersama Unit Komunikasi Korporat, Perpustakaan

USIM. Unit ini menjadi fungsi perantara antara pihak pengurusan Perpustaan USIM dengan

SKIL secara keseluruhan.

Simbiosis (kerjasama) SKIL dan Perpustakaan USIM

Semenjak penubuhannya, SKIL dan Perpustakaan USIM telah menjalin hubungan yang

akrab dan saling bertaut. Hubungan akrab ini menjadi semakin utuh dan seamless selari

dengan kedewasaannya, bahkan saling bersimbiosis antara satu sama lain. SKIL memainkan

peranan sebagai duta Perpustakaan dalam kalangan pelajar. Bahkan, peluang dan ruang

diberikan oleh pengurusan Perpustakaan supaya SKIL melaksanakan program yang

berkaitan dengan perpustakaan serta membantu unit-unit yang ada untuk menjalankan apa

juga program di bawah penjenamaan “Program Pembudayaan Intelektual”. Penglibatan yang

menyeluruh oleh kakitangan dan SKIL membolehkan simbiosis yang saling terikat dan

perlu-memerlukan menjadi realiti. Antara manfaat simbiosis ini adalah:

i. Membina perhubungan yang baik antara Perpustakaan dan pelajar serta

merapatkan jurang komunikasi.

ii. Pemindahan ilmu dan kemahiran antara kakitangan dan pelajar dalam aspek

pengurusan organisasi, penganjuran program, kawalan kewangan dan sahsiah

diri.

iii. Penyuburan amalan pementoran dalam mengasah kemahiran insaniah pelajar.

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

Pelaksanaan Program

Pelaksanaan program dapat dikategorikan seperti berikut:

i. Program Libat Sama Komuniti

ii. Program Pembudayaan Intelektual

iii. Program Bual Bicara dan Talaqqi

iv. Program Pembangunan Modal Insan dan Kemahiran

v. Lawatan

vi. Program Pengantarabangsaan

Program Libat Sama Komuniti

i. Karnival Cinta Ilmu 2013

Program ini telah diadakan pada 5 dan 6 Oktober 2013, bertempat di Masjid Putra

Nilai, Nilai. Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan di antaranya ialah Forum

Perdana, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Menulis Artikel Jawi Klasik,

Pertandingan Mewarna, Bengkel Bakeri dan Kek, Kursus Tahsin Solat dan Jualan

serta Pameran pelbagai Agensi. Turut diserahkan sumbangan buku-buku untuk Sudut

Bacaan di Masjid dan diadakan gotong-royong mengemaskan Sudut Bacaan tersebut.

ii. Program Tahsin Solat

Program berbentuk bengkel ini diadakan di Surau At-Taqwa, Garden City Homes,

Seremban 2, Negeri Sembilan, pada 7 dan 8 Disember 2014. Seramai 12 orang ahli

SKIL telah mengendalikan sesi-sesi latihan dalam kumpulan bersama para peserta

yang terdiri daripada kanak-kanak berumur di antara 7 hingga 12 tahun.

iii. Khidmat Komuniti di Kampung Orang Asli 2014

Program yang diadakan pada 29 dan 30 Mac 2014 ini merupakan yang pertama

diadakan di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau dan kemudiannya

diadakan siri program lain bersama masyarakat orang Asli ini. Tiga siri LDK

diadakan bersama anak-anak Orang Asli iaitu Slot Cabar Minda, Slot Syoknya

Membaca dan Slot Oh My English. Turut dibawakan adalah buku-buku dan majalah

sumbangan pelbagai pihak dan diserahkan kepada Sudut Bacaan yang terdapat di

Balai Raya kampung tersebut. Gotong-royong mengemaskan sudut bacaan tersebut

turut diadakan.

6

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

iv. Eksplorasi Ilmiah Negeri Utara 2014

Program Eksplorasi ini telah dijalankan pada 18 hingga 20 April 2014 yang

melibatkan lokasi lawatan dan aktiviti di SMA Al-Khairiah, Kedah (diadakan sesi

Dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar, Diskusi Pengurusan Persatuan dan

Motivasi CUDIPT bersama pelajar STAM); Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak

(dijalankan aktiviti Bulatan Cinta bersama pesakit kanak-kanak dan disampaikan

sumbangan bahan bacaan untuk Sudut Bacaan Wad Kanak-kanak) dan Politeknik

Sultan Azlan Shah, Perak (diadakan lawatan ke Perpustakaan dan Dialog bersama

Kelab Perpustakaan Politeknik SAS).

v. Lawatan Penduduk Kampung Orang Asli ke Perpustakaan USIM 2014

Program ini merupakan siri kedua kepada khidmat komuniti yang telah dijalankan di

Ulu Chembong sebelumnya. Ia bertujuan untuk memberikan peluang kepada

masyarakat Orang Asli bagi merasai pengalaman berada di universiti dan diharapkan

dapat meningkatkan minat warga orang asli yang untuk melanjutkan pelajaran

sehingga peringkat yang tertinggi.

vi. Program Jalinan Muhibbah di Kampung Orang Asli 2015

Program ini merupakan susulan daripada dua buah program yang telah dijalankan

sebelum ini. Ia menyasarkan kepada pemantapan ukhuwah yang telah terjalin di

antara masyarakat Orang Asli di Ulu Chembong dengan USIM khususnya. Dengan

bertemakan “Tautan Hati Membina Komuniti”, program ini berjaya menarik

penglibatan seramai lebih daripada 150 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai

lapisan masyarakat Orang Asli. Impaknya, pemetaan pencapaian akademik kanak-

kanak Orang Asli dapat dihasilkan dan digunakan dalam merangka penganjuran

kelas-kelas tuisyen untuk mereka pada program yang akan datang.

vii. Program Sukarelawan Semaian Lestari Kasih 2015

Program khidmat masyarakat ini telah dijalankan pada 14 Mac 2015 di Pusat

Kebajikan al-Fikrah, Kajang, Selangor, iaitu sebuah rumah Kebajikan bagi lelaki dan

wanita yang terdiri daripada pesakit kronik, terdampar tanpa waris, orang kelainan

upaya, warga emas dan mualaf. Ia telah disertai oleh seramai 40 orang ahli SKIL

yang telah beramah mesra melayani penghuni Pusat ini dan bergotong-royong

membersihkan sekitar kawasan.

Program Pembudayaan Intelektual

i. Forum Penulis Muda 2015

Forum bertajuk “Dakwah dalam Sastera Islam: Kreativiti dan Pengaruh” telah

dijalankan dengan kerjasama pihak DBP Wilayah Tengah dan Persatuan Penulis

Negeri Sembilan (PEN). Ia berlangsung pada 23 Mei 2015 di USIM dan berjaya

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

menarik penyertaan seramai 220 orang dari dalam dan luar USIM (pelajar sekolah

dan orang awam). Ahli Panel Forum terdiri daripada Puan Nisah Haron (penulis),

Puan Siti Jasmina Ibrahim (pensyarah ASWARA) dan Encik Mohd. Nazmi Yaakub

(Editor Ruangan Sastera, Berita Harian) dan dipengerusikan oleh Encik Muhamad

Fadhli Al-Akiti (Editor Dewan Sastera).

ii. Sambutan Hari Buku Sedunia

Program Sambutan Hari Buku Sedunia (HBS) ini diadakan setiap tahun oleh pihak

Perpustakaan USIM dengan kerjasama Bahagian Penerbitan dan SKIL. Pelbagai

aktiviti telah disusun bersesuaian dengan kumpulan sasaran yang terdiri bukan sahaja

dalam kalangan mahasiswa universiti malah pelajar-pelajar sekolah di sekitar daerah

Seremban. Sempena HBS 2014, SKIL turut mengadakan Kempen Wakaf 1000

naskah buku ke Perpustakaan USIM yang telah berjaya mengumpulkan lebih

daripada jumlah yang disasarkan.

Program Bual Bicara dan Talaqqi

i. Talaqqi Kitab Risale-i Nur

Aktiviti diskusi ilmu ini adalah sebagai persediaan untuk para peserta lawatan ke

Turki. Diadakan dengan kerjasama pihak Yayasan Kebudayaan Turki untuk

memberi pendedahan kepada para peserta lawatan mengenai isi kandungan dan

falsafah kitab yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi.

ii. Diskusi “Ilmu di Mana Barakah”.

Program berbentuk forum ini bertujuan mendapatkan perkongsian teknik-teknik

belajar, pengurusan masa dan menggalakkan mahasiswa supaya lebih bersungguh-

sungguh dalam pelajaran bagi mencapai kecemerlangan dalam akademik dan juga

aktiviti-aktiviti luar kampus. Ia telah diadakan pada 3 April 2015 dengan

dipengerusikan oleh Pengerusi SKIL sendiri dan ahli panel terdiri daripada Da’i

Azam Al-Kankari dan Puan Nor Azzah Momin. Ia telah diurusetiakan oleh ahli

SKIL dan dihadiri oleh lebih daripada 150 orang mahasiswa.

iii. Program Iqra’ fil Bustan

Program yang berkonsepkan “Membaca Amalan Mulia” ini ialah salah satu aktiviti

yang dijalankan pada Sambutan Hari Buku Sedunia 2014. Aktiviti ini dijalankan di

Dataran Iqra’ yang berlatarbelakangkan kehijauan taman dan deruan air terjun, telah

membuka lembaran baru kepada SKIL dan perpustakaan sebagai perintis program

seumpama ini di USIM.

8

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

iv. Little Free Library (LFL) USIM

Pembangunan program ini adalah diinspirasikan oleh Little Free Library Nilai

Impian yang terletak berhampiran dengan kampus utama USIM. Hasrat utama

penubuhan perpustakaan ‘kecil’ ini adalah untuk menjadikan warga USIM sebagai

warga membaca tidak kira masa dan tempat. Buat masa ini, perpustakaan ini

diletakkan di 5 buah tempat di sekitar USIM yang menjadi tumpuan para warganya.

SKIL bertanggungjawab sebagai Urus Setia kepada para para pelajar yang menjadi

sukarelawan LFL USIM.

Program Pembangunan Modal Insan dan Kemahiran

i. Bengkel Pengendalian Mesyuarat

Ia diadakan bagi memberikan pendedahan dan ilmu baharu kepada Exco dan Ahli

Jawatankuasa SKIL mengenai cara yang betul untuk mengendalikan meyuarat. Ia

disampaikan oleh Puan Marhaniza Abdul Halim.

ii. Bengkel Bacaan Pantas

Tujuan penganjuran bengkel ini adalah untuk memperkenalkan teknik-teknik

membaca dengan betul bagi diaplikasikan dalam aktiviti membaca setiap pesertanya.

Bengkel yang dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Ahmad Yazid Ahmad@Abdul

Rahman, Pustakawan USIM, berjaya mencuri tumpuan lebih kurang 30 orang

peserta.

iii. Taklimat pengendalian lawatan Perpustakaan

Program ini telah diadakan kali pertama pada 25 Februari 2015. Ia bertujuan

memberikan pendedahan kepada para peserta daripada kalangan ahli SKIL

berkenaan perpustakaan USIM secara keseluruhannya. Ia juga menerangkan proses

pengurusan dan pengendalian lawatan serta protokol yang berkaitan. Pelajar-pelajar

yang terlibat dalam program ini telah dilantik secara langsung sebagai jurupandu

lawatan pihak luar ke Perpustakaan USIM.

iv. Iftar Jama’i

Program berbuka puasa ini diadakan secara berkala sebanyak dua kali pada setiap

semester. Ia bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan ahli SKIL dengan

Perpustakaan. Selain itu, program seumpama ini bukan sahaja dapat memelihara

hubungan sesama manusia malah mendekatkan diri kepada Maha Pencipta,

bertepatan dengan konsep integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang diunjurkan oleh

universiti.

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

Lawatan

i. Lawatan ke Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

Lawatan ini telah diadakan pada 30 Jun 2012 dengan penyertaan seramai 40 orang

ahli SKIL dan diiringi oleh Puan Nor Azzah Momin, Penasihat SKIL. Ia bertujuan

untuk memberikan pengalaman dan maklumat mengenai fungsi dan pengurusan

sebuah perpustakaan awam yang agak berbeza dengan sebuah perpustakaan

akademik.

Program pengantarabangsaan

i. Global Islamic Student Outreach (GISO) 2015 di Istanbul, Turki

Program pengantarabangsaan yang julung kali dianjurkan oleh SKIL ini telah

mendapat tajaan daripada pelbagai pihak. GISO ini dijayakan oleh lebih kurang 15

orang pelajar SKIL bersama dengan Puan Rozana Kamdani, Pustakawan USIM yang

juga merupakan salah seorang Penasihat SKIL. Selain daripada aktiviti perkongsian

ilmu, program ini telah meneroka pengalaman bersama-sama pelarian Syria di

Istanbul dan anak-anak yatim. Ia juga secara tidak langsung dapat mempromosikan

USIM khususnya dan perpustakaan umumnya kepada komuniti An-Nur (sebuah

komuniti yang mempelajari Risale-i Nur, tulisan Badiuzzaman Said Nursi).

Impaknya, jalinan ukhuwah bersama-sama komuniti ini masih kekal sehingga hari

ini sehingga sering kali dijemput untuk bersama-sama mengikuti sesi diskusi Risale-i

Nur yang diadakan di setiap pelosok dunia.

Impak Kepada Perpustakaan USIM dan Universiti

i. 3R (Respected, Referred, Relevant).

USIM mencipta kelainan dalam mendekatkan masyarakat sebagai satu-satunya

universiti yang berdiri sebagai sebuah entiti yang berada di Negeri Sembilan.

Sebagai sebuah universiti yang berteraskan integrasi Naqli dan Aqli, masyarakat di

persekitaran bergantung harap kepada USIM untuk membawa arus perubahan

kepada aspek budaya, ilmu, ekonomi, mahupun pendidikan. Aspek 3R iaitu

dihormati, dirujuk, dan relevan merupakan konotasi yang signifikan di mana USIM

memainkan peranan yang vital dalam membangunkan Negeri Sembilan secara

khusus dan negara secara amnya mengikut acuan tersendiri. Dalam konteks

Perpustakaan USIM dan SKIL, pengembelengan dan usaha sama ini membuahkan

hasil di mana masyarakat persekitaran telah mengenali dan meyakini segala

pendekatan dan program yang dilaksanakan bersama.

10

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

ii. Number one in the hearts and the minds of the people (Menjadi nombor satu dalam

hati dan minda masyarakat).

Menjadi nombor satu dalam hati dan minda masyarakat adalah satu lagi pendekatan

sederhana tetapi membawa erti yang cukup besar. Dalam usia 15 tahun, USIM

sedang melaksanakan agenda pembangunan infrastrukturnya tanpa mengabaikan

pembangunan jiwa atau ruh universiti sendiri. Menyedari hakikat bahawa persaingan

sesama rakan seindustri tidak membawa makna yang signifikan khususnya dari sudut

penarafan, kemudahan, dan sumber kewangan, USIM meletakkan harapan kepada

tercetusnya fenomena dekat di hati masyarakat. USIM berpendapat, pengiktirafan

oleh masyarakat atas faedah dan kebaikan penubuhannya perlu diketengahkan

berbanding perkara-perkara yang lain. Selaras dengan ini, Perpustakaan USIM

berhasrat untuk mengorak langkah sebagai sebuah perpustakaan yang sentiasa dekat

dengan masyarakat melalui usaha sama program dengan SKIL kerana secara

harfiahnya, ia merupakan perpustakaan terbesar di Negeri Sembilan. Oleh itu,

penganjuran sebarang program sentiasa menitikberatkan penglibatan seluruh

masyarakat persekitaran agar dapat mencapai hasrat ini.

iii. Penyelesai masalah (solution provider) bagi industri dan ummah keseluruhan.

Sebuah universiti yang baik bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan

kakitangan, sebaliknya membawa pembangunan karya, pengetahuan, dan kemahiran

kepada seluruh masyarakat. Kaedah yang paling dominan ialah pemindahan ilmu dan

kemahiran. Cetusan idea, inovasi dan kreativiti hasil penyelidikan dan pembangunan

berupaya mendepani cabaran dan halangan. Justeru, perkongsian pengetahuan

bersama masyarakat membolehkan USIM menyediakan pelbagai alternatif dalam

menyelesaikan masalah yang berkait dengan industri dan ummah. Penganjuran

tuisyen dan program libat sama komuniti yang dijalankan oleh SKIL dan

Perpustakaan USIM membina jalinan yang kukuh sebagai asas mencerdikkan

masyarakat, menyelesaikan pelbagai masalah, dan mengamalkan konsep “turun

padang” kepada masyarakat.

iv. Masyarakat merasai kesegaran dan keindahan simbiosis hasil daripada kelainan yang

diwujudkan oleh USIM dalam membentuk hubungan.

USIM dan masyarakat persekitaran amat memerlukan di antara satu sama lain.

Kebergantungan secara sepadanan dan saling kait-mengait ini merupakan bukti

simbiosis kedua-dua belah pihak dalam segala aspek. Sudah tentu, manfaat dan

faedah diraih secara bersama tanpa sebarang masalah mahupun kerugian.

Impak Kepada Pelajar SKIL

i. Peningkatan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar SKIL sangat ketara selepas

tunjuk ajar dan pendedahan yang diberikan melalui pelaksanaan program. Antara

kemahiran insaniah yang dicapai adalah kemahiran berkomunikasi, kemahiran kritis

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran

keusahawanan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, etika dan moral

profesional, serta kemahiran kepimpinan.

ii. Pelaksanaan program telah membantu pelajar meningkatkan keupayaan berfikir,

daya saing, keyakinan diri, kebolehan yang tersendiri sehingga SKIL dicalonkan

sebagai penerima kategori “Anugerah Kesukarelawanan” dalam “Majlis Anugerah

Kecemerlangan Siswa 2013 (AKSIS 2013)”. Dalam usia persatuan yang masih muda

sekitar 3 tahun, SKIL telah diiktiraf sebagai antara persatuan pelajar yang terbaik di

peringkat USIM.

iii. Kepercayaan telah diberikan oleh syarikat pembekal kepada SKIL untuk mengendali

dan mengelola dua buah kafeteria yang terletak di bangunan Perpustakaan dan

bangunan Canselori USIM. Ini sekaligus memberikan impak poisitif kepada pelajar

dalam urusan keusahawanan dan pengurusan serta penjanaan kewangan yang

berterusan bagi SKIL.

iv. Perpustakaan USIM turut menaruh kepercayaan yang tinggi atas kredibiliti dan

keupayaan SKIL yang membantu dalam pelaksanaan program, menjayakan sebarang

lawatan ke Perpustakaan, dan menyelaras pelbagai aktiviti bersama.

Kesimpulan

SKIL dan Perpustakaan akan meneruskan agenda usaha sama dalam pelaksanaan pelbagai

program khususnya dalam mendekatkan pengguna dengan perpustakaan, membangunkan

nilai ilmu dan pengetahuan masyarakat, berupaya menjadi penyelesai masalah ummah, serta

bersimbiosis secara tabii atau natural untuk mencetuskan impak positif penubuhan USIM di

Malaysia dan Negeri Sembilan. Dengan adanya SKIL, pelaksanaan program menjadi lebih

mudah dan berkesan. Hasil sinergi bersama ini menjadi bukti kelestarian program

perpustakaan untuk warga universiti, masyarakat, negara dan dunia keseluruhannya. Ia boleh

dijadikan amalan terbaik untuk dicontohi dan diteladani oleh semua pihak yang berkaitan.

Ini juga bersesuaian dengan matlamat Lonjakan 1 PPPM (PT) yang bermatlamat agar:

“Setiap graduan akan mempunyai ilmu, akhlak, tingkahlaku, set minda dan adab untuk

menjadi insan mulia. Mereka bakal menjadi warga sejagat dengan jatidiri Malaysia yang

menyerlah, bersedia dan sanggup untuk berkorban demi keharmonian dan kesejahteraan

keluarga, masyarakat, negara dan sejagat. Graduan holistik, berciri keusahawanan dan

seimbang tersebut adalah kesinambungan daripada sistem pendidikan asas untuk melahirkan

warga Malaysia yang berjiwa mulia”.

12

Seminar Kepustakawanan

Memperkasakan Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan 2015

Rujukan

Brewer, F. J. (1950). Friends of the Library and Other Benefactors and Donors.

Harris, R., Mayo, A., Prince, J. D., & Joan, M. (2013). Creating shared campus experiences:

the library as culture club. Journal of the Medical Library Association, 101(4), 254–

256. doi:10.3163/1536

Kraemer, E. W. (2007). Keeping Up With the Journals: A Library Journal Club at Oakland

University. The Journal of Academic Librarianship, 33(1), 136–137.

doi:10.1016/j.acalib.2006.08.011

Mosher, P. H., & Weber, D. (1951). Friends Groups and Academic, 69–75.

Munch, J. B. (1975). College Library Friends Groups in New York, New Jersey, and

Connecticut, 442–447.

Rahardjo, A. I. (n.d.). Usaha Menumbuhkan Budaya Gemar Membaca Melalui Wadah

“Sahabat Perpustakaan.”