pengurusan kualiti menyeluruh
TRANSCRIPT
Suhaiman bin MondusB.Us. Hons (UM)
M.Ed. (UMS)
Pengurusan Kualiti Menyeluruh : Tinjauan Terhadap Elemen-Elemen SKPM 2010
1.0 PENGENALAN
Reformasi dan penstrukturan pendidikan ke arah keberkesanan pendidikan
dan pembangunan sekolah sedang giat dilakukan di seluruh dunia dalam pelbagai
bidang. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam proses penstrukturan kualiti tidak kira
di dalam sektor awam mahupun di sektor swasta. Salah satu perkara yang menjadi
perhatian masyarakat pada masa kini ialah mengenai proses pengurusan kualiti
terutamanya dalam bidang pendidikan.
Sehubungan dengan itu, Total Quality Management (TQM) yang muncul
sejak tahun 40-an menjadi falsafah dalam bidang pengurusan berdasarkan kepada
idea-idea yang disumbangkan oleh beberapa orang sarjana dalam bidang ini seperti
Deming, Juran, Feigenbaum dan Ishikawa. Seterusnya, konsep TQM berkembang
pesat apabila timbul kesedaran di seluruh dunia tentang kepentingan kualiti kepada
sesebuah organisasi. Anugerah Kualiti Malcom Baldrige yang diperkenalkan sejak
1987 telah mengukuhkan lagi pengiktirafan bahawa kualiti perlu diberi tumpuan
bersaing dalam dunia persaingan global (Golhar & Ahire, 1994).
1
Di negara kita, Anugerah Kualiti Perdana Menteri yang mula diperkenalkan
pada tahun 1990 telah menunjukkan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti
dalam semua bidang, sama ada di sektor awam mahupun swasta. Selain itu, satu
garis panduan untuk Pengurusan Kualiti Menyeluruh bagi perkhidmatan awam telah
diterbitkan pada tahun 1992. Garis panduan ini bertujuan memberi panduan dan
penerangan tentang pelaksanaan TQM dalam sektor awam (PKPA, 1992).
2.0 KONSEP PENGURUSAN KUALITI MENYELURUH
Secara umumnya, tidak terdapat satu definisi atau pendekatan khusus untuk
TQM. Namun begitu, fokus utama dalam TQM berlandaskan pelanggan. Deming
(1982) mencadangkan bahawa kualiti bertujuan untuk menceriakan pelanggan iaitu
dalam kata yang lain objektif pengeluaran ialah memenuhi kehendak pelanggan.
Sementara Feigenbaum (1991) pula menekankan bahawa kualiti bukan sekadar
terletak pada ciri sesuatu produk tetapi memenuhi jangkaan pelanggan dalam semua
aspek pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan produk. Selain itu, Ishikawa
(1985) pula berfokus kepada memenuhi kepuasan hati pelanggan. Beliau
berpendapat kualiti bukan semata-mata “terbaik” tetapi perlulah “terbaik untuk
pelanggan”. Berdasarkan sorotan karya beberapa orang sarjana dalam bidang
pengkajian kualiti (Crosby, 1992; Deming, 1982; Feigenbauin, 1991 ; Ishikawa,
1985; Juran, 1989; Oakland, 1993), sebilangan prinsip utama TQM dapat dikenal
pasti. Antara prinsip-prinsip TQM yang dipercayai relevan dan sesuai untuk
diterapkan dalam proses pengurusan kualiti di sekolah termasuklah:-
2
a) Penglibatan secara menyeluruh
b) Komitmen kepada kualiti
c) Fokus kepada pelanggan
d) Kepastian kualiti
e) Pengurusan berdasarkan fakta
f) Ganjaran dan pengiktirafan
g) Kepimpinan pengurusan
3.0 RASIONAL KEPERLUAN PROSES PENGURUSAN KUALITI
Secara umum, keperluan kepada pengurusan kualiti dalam bidang pendidikan
adalah sejajar dengan Misi Pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan juga Matlamat Pendidikan Malaysia. Ketiga-tiga pernyataan yang disebutkan
mengandungi maksud untuk meningkatkan kualiti khususnya dalam bidang
pendidikan di Malaysia. Pernyataan mengenai Misi Pendidikan Malaysia adalah
seperti berikut;
Membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf
dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya
dan memenuhi aspirasi negara Malaysia (Misi Pendidikan
Malaysia).
3
Manakala Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula menyatakan;
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia
yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
negara (Falsafah Pendidikan Kebangsaan).
Seterusnya, Matlamat Pendidikan Malaysia menyatakan;
• Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
• Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan
dan sejahtera.
• Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara, dan
• Memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
Sekiranya kita meneliti secara halus mengenai pernyataan-pernyataan yang
terkandung di dalam Misi Pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dan Matlamat Pendidikan Kebangsaan seperti yang dinyatakan sebelum ini, kita
4
akan mendapati bahawa matlamat utama yang hendak di capai adalah berkait rapat
dengan kualiti dalam semua bidang khususnya dalam bidang pendidikan.
Demikian juga Pelan Pembangunan Pendidikan 2000-2010 yang merupakan
agenda utama KPM adalah untuk membangunkan Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Melalui pelan pembangunan pendidikan ini, KPM berharap dapat memastikan setiap
warga negara Malaysia memperoleh peluang pendidikan yang sama,
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu selaras
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, meningkatkan kreativiti dan inovasi
pelajar, meningkatkan budaya ilmu, membudayakan sains dan teknologi,
pembelajaran sepanjang hayat, menyediakan sistem pendidikan yang lebih cekap,
berkesan dan bertaraf dunia, menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan,
serta meningkatkan martabat pendidikan di Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Empat teras utama yang diambil kira dalam pelaksanaan pembangunan pendidikan
ialah;
• Meningkatkan akses kepada pendidikan;
• Meningkatkan ekuiti dalam pendidikan;
• Meningkatkan kualiti pendidikan; dan
• Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan.
Berdasarkan kepada perkembangan pendidikan semasa, KPM telah mengenal
pasti beberapa jurang dan cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan wawasan
negara dapat dicapai menjelang tahun 2020. Dalam tempoh 15 tahun yang akan
datang, KPM berhasrat untuk:
5
• Membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa
Malaysia yang maju;
• Memastikan akses, ekuiti dan kualiti yang menjadi tunjang agenda pendidikan
dapat diteruskan; dan
• Merintis dan menerajui perubahan demi melonjakkan sistem dan institusi
pendidikan ke tahap dunia pada tahun 2020.
Dari sudut yang lain, pengurusan kualiti yang baik dalam semua aspek di
peringkat sekolah kini menjadi satu kemestian disebabkan faktor-faktor perubahan
minda masyarakat yang semakin memuncak. Kebanyakan daripada masyarakat pada
hari ini telah mula meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak sekolah untuk
menghasilkan pelajar yang cemerlang dalam segala bidang. Pihak ibubapa misalnya
mula mempersoalkan keupayaan sekolah-sekolah tertentu dalam memberikan
pekhidmatan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.
Di sebabkan "mind set" pihak ibubapa pada masa kini lebih tertumpu kepada
kecemerlangan dalam bidang akademik khususnya di dalam peperiksaan-
peperiksaan awam, maka pihak sekolah perlu mencari jalan dan membuat perubahan
dari semasa ke semasa khususnya dalam meningkatkan keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
6
4.0 PENGURUSAN KUALITI DI PERINGKAT SEKOLAH
Pengurusan kualiti di peringkat sekolah pada masa kini adalah berpandukan
kepada elemen-elemen yang terkandung dalam Standard Kualiti Pendidikan
Malaysia (SKPM) untuk dijadikan panduan dalam mengekalkan dan meningkatkan
kualiti sekolah. Elemen-elemen yang dikatakan tersebut adalah seperti berikut;
a) Dimensi I - Halatuju Kepimpinan
Sekolah perlu menyatakan halatuju yang dijadikan sasaran. Biasanya ia
termaktub di dalam visi dan misi sekolah. Seterusnya kepimpinan sekolah
juga sentiasa dipantau dan ditambahbaik bagi memastikan visi dan misi
sekolah dapat dicapai.
b) Dimensi II - Pengurusan Organisasi
Pengurusan organisasi sangat penting bagi sesebuah sekolah. Dalam SKPM,
pengurusan organisasi melibatkan struktur organisasi sekolah, perancangan
iklim sekolah, pengurusan sumber-sumber yang sedia ada dan juga
pengurusan maklumat iaitu termasuklah dokumentasi yang melibatkan hal
ehwal pengurusan sekolah.
c) Dimensi III - Pengurusan Program Pendidikan
SKPM sangat menitikberatkan hal-hal yang berkaitan dengan program
pendidikan. Ini termasulah pengurusan program kurikulum, ko-kurikulum
dan hal ehwal murid. Program pendidikan lain yang diberi perhatian ialah
7
pengajaran dan pembelajaran, pembangunan sahsiah murid dan penilaian
pencapaian murid.
d) Dimensi IV - Kemenjadian Murid
Standard kualiti pendidikan juga menekankan hal yang berkaitan dengan
kemenjadian murid. Ini termasuklah kemenjadian murid prasekolah,
pencapaian akademik murid, pencapaian ko-kurikulum murid dan
kemenjadian sahsiah murid.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan setiap elemen yang terkandung
dalam penilaian SKPM tersebut dapat dilaksanakan, maka pihak sekolah
menggunakan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) untuk dijadikan sebagai
panduan dalam mengurus kualiti di sekolah.
4.1 TQM di Sekolah
Pengurusan Kualiti Menyeluruh yang digunapakai di sekolah adalah sama
seperti yang digunakan oleh syarikat-syarikat pembekal barangan yang lain.
Perbezaan yang wujud hanyalah dari sudut perkhidmatan kepada pelanggan sahaja.
TQM yang diamalkan di sekolah bermatlamatkan memberi pendidikan yang
berkualiti kepada murid, berfokuskan kepada sistem dan proses, budaya kerja
cemerlang dalam organisasi, memberi fokus kepada murid sebagai pelanggan utama
serta menumpukan kepada penyampaian ilmu pengetahuan yang terkandung dalam
kurikulum kebangsaan.
8
Manakala bagi strategi yang digunakan pula termasuklah penambahbaikan
yang berterusan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berpandukan
kepada model Kaizen, strategi yang melibatkan seluruh organisasi, melaksanakan
tindakan-tindakan yang strategik dan juga berorientasikan matlamat jangka panjang.
Dalam melaksanakan strategi dan perancangan-perancangan yang telah digariskan,
pihak pentadbir yang diketuai oleh pengetua atau guru besar adalah sebagai
pemimpin kepada pelaksanaan TQM. Manakala seluruh kakitangan atau warga
sekolah pula berfungsi sebagai pelaksana di peringkat bawahan. Pelaksanaan strategi
dilakukan dalam bentuk kerja berpasukan.
Menurut West-Burnham (1999), terdapat beberapa komponen yang dijangkakan
akan dapat dilaksanakan dalam proses pengurusan kualiti sekolah iaitu;
Prinsip: tujuan utama, wawasan dan nilai sekolah dapat dilihat melalui
kepimpinan sekolah dan digambarkan melalui visi mereka.
Manusia: menggunakan dasar mendatar iaitu teamwork, mementingkan
pembelajaran dan pembangunan serta hubungan kemanusiaan.
Pencegahan: berusaha mengurangkan kegagalan (zero defect) atau sekurang-
kurangnya mengamalkan konsep pencegahan daripada mengubati.
Proses: setakat manakah kemampuan untuk memenuhi kehendak pelanggan.
9
4.2 TQM dan Penambahbaikan Berterusan
Menurut Drucker (1995), institusi pendidikan perlu memberi respons kepada
sebarang reformasi sosial dengan cara mengambil langkah mendefinisikan semula
kualiti, menghasilkan produk pendidikan berkualiti dan memikirkan prosedur kerja
yang berkualiti. Ini menggambarkan model pengurusan sekolah yang digunakan
selama ini perlukan pembaharuan selaras dengan tuntutan perubahan sosial semasa,
kepesatan ICT dan ekonomi.
TQM adalah diasaskan kepada amalan pengurusan dan peningkatan kualiti
dan produktiviti secara berterusan. Amalan ini menjadi penting disebabkan faktor
keperluan kepada kualiti pendidikan di sekolah semakin meningkat dari semasa ke
semasa. Oleh sebab itu, bagi memastikan kualiti pendidikan sentiasa meningkat,
maka pihak sekolah perlu mengambil langkah untuk memperbaiki sistem pengurusan
kualiti di peringkat sekolah pada setiap masa.
Penambahbaikan berterusan atau “Kaizen” merupakan falsafah bagi setiap
inisiatif pengurusan yang dirancang dengan teliti berorientasikan matlamat jangka
panjang. Konsep Kaizen juga merupakan perubahan kepada yang lebih baik dan
dilihat sangat releven untuk diaplikasikan di sekolah.
10
5.0 KAEDAH PENGURUSAN KUALITI YANG DIFIKIRKAN SESUAI
Pada hemat penulis, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk
memastikan pengurusan kualiti di peringkat sekolah dapat dipelihara dan
dipertingkatkan. Model penambahbaikan secara berterusan adalah satu langkah yang
sesuai untuk dilaksanakan di peringkat sekolah. Terdapat 7 langkah yang perlu
dipatuhi dalam kaedah ini iaitu termasuklah;
Langkah 1- Menentukan Matlamat Penambahbaikan
Dalam melaksanakan langkah ini, pengurus iaitu pihak pentadbir sekolah
perlu peka terhadap sebarang kelemahan yang berlaku di dalam proses pengajaran
dan pembelajaran serta di dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan pentadbiran
sekolah. Misalnya, untuk meningkatkan kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran,
pentadir perlu menetapkan satu matlamat penambahbaikan yang dapat dicapai oleh
guru-guru di bawah jagaannya.
Langkah 2 - Menentukan Kaedah
Selepas menetapkan matlamat, pentadbir perlu berbincang dengan
kakitangannya yang terdiri daripada guru-guru untuk menentukan kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang sesuai mengikut aras murid. Kaedah-kaedah yang
dipersetujui perlulah diuji dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sebenar
di dalam kelas.
11
Langkah 3 - Melatih Kakitangan
Sebagai seorang pengurus yang baik dan berkesan, pentadbir perlu menjadi
jurulatih kepada kakitangan yang lain supaya dapat memperbaiki kesilapan yang
dilakukan oleh mereka. Latihan yang diberikan kepada kakitangan bawahan adalah
berpandukan kepada kaedah yang dipersetujui oleh pentadbir.
Langkah 4 - Melaksanakan Penambahbaikan
Selepas kakitangan mendapat latihan yang mencukupi untuk mengunakan
kaedah-kaedah yang berkaitan, maka pihak pentadbir perlu memastikan bahawa
kakitangan melaksanakan kaedah yang dibuat mengikut latihan-latihan yang
diperolehi daripada pentadbir atau jurulatih.
Langkah 5 - Membuat Penilaian
Langkah ini bertujuan untuk menilai pelaksanaan penambahbaikan yang telah
dijalankan. Penilaian perlu dilakukan untuk memastikan kaedah penambahbaikan
yang digunakan adalah berkesan dan bersesuaian serta dapat mencapai objektif yang
ditentukan.
Langkah 6 - Menyeragamkan Proses
Tujuan langkah ini dilakukan adalah untuk menjadikan langkah-langkah
penambahbaikan yang diambil dapat diseragamkan dan dijadikan panduan oleh
kakitangan bawahan yang lain ketika membuat penambahbaikan dalam bidang
masing-masing.
12
Langkah 7 - Mengambil Tindakan Pembetulan
Langkah ini adalah langkah terakhir dalam proses penambahbaikan yang
dijalankan. Langkah ini juga perlu untuk memperbaiki proses penambahbaikan yang
berterusan.
5.1 Penerapan Kaedah Jaminan Qualiti di Peringkat IPTA
Antara kaedah lain yang dapat digunakan untuk proses pengurusan kualiti di
peringkat sekolah ialah menerapkan jaminan kualiti yang digunapakai diperingkat
IPTA dengan menstruktur semula mengikut kesesuaian di peringkat sekolah. Hal ini
tidak mustahi dilakukan kerana Malaysia telah menetapkan satu standard jaminan
kualiti bagi keseluruhan instiutsi samada IPTA awam atau swasta untuk mengawal
kualiti pendidikan peringkat tinggi di Malaysia.
5.1.1 Bahagian atau Aspek Standard
Standard tidak mendefinisikan secara spesifik kualiti produk (contohnya, kurikulum
yang ditentukan), tetapi menyatakan keperluan luas dalam komponen struktur,
proses dan hasil pendidikan tinggi dan sistem pengurusan kualiti institusi. Garis
panduan kriteria dan standard IPTA di Malaysia telah pun ditetapkan dan
dipersetujui bersama oleh wakil komuniti akademik, profesional dan kerajaan pada
bulan Mac 2002. Ia menyediakan garis panduan amalan baik dan keperluan umum
dalam sembilan bahagian atau aspek struktur dan proses pendidikan tinggi yang
dijana dari pertimbangan proses taksiran akademik yang diterangkan dalam bahagian
13
(4). Pengkategorian kepada sembilan bahagian ini memudahkan pengumpulan data,
analisis kendiri dan penilaian luaran.
Visi, misi , matlamat dan hasil pembelajaran;
Rekabentuk program pendidikan dan kaedah pengajaran
pembelajaran;
Penilaian pelajar;
Pemilihan pelajar dan sistem sokongan;
Staf akademik;
Sumber pendidikan;
Penilaian program;
Kepimpinan dan governans;
Penambahbaikan kualiti berterusan.
6.0 KESIMPULAN
Secara umumnya, keperluan terhadap proses pengurusan kualiti di peringkat
sekolah perlu dinilai dan ditambahbaik dari masa ke semasa untuk memberikan
perkhidmatan pendidikan terbaik kepada seluruh rakyat. Hal ini sangat perlu demi
untuk menjamin kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan dan diterima
sebagai pendidikan yang bertaraf dunia. Misi dan visi pendidikan di Malaysia juga
mengharapkan agar pendidikan yang diberikan kepada seluruh warga Malaysia
berkualiti tinggi untuk membentuk rakyat yang maju dan berilmu pengetahuan
tinggi.
14
Sekolah secara tradisinya telah pun menggunakan beberapa mekanisme bagi
menjamin kualiti program pendidikan yang ditawarkan. Bagaimanapun, mekanisme
yang berkesan dalam sistem elit tidak lagi sesuai bagi pendidikan massa.
Pendemokrasian pendidikan telah membawa kepada perkembangan pesat dalam
jumlah pelajar dan bilangan sekolah. Pertambahan pelajar dan murid di sekolah
rendah dan menengah mengakibatkan perlunya pendekatan bagi menilai persetaraan
kelayakan dan standard. Oleh itu, tidak hairanlah jika keprihatinan pihak awam
terhadap kualiti dalam pendidikan rendah dan menengah telah meningkat. Tuntutan
terhadap ketelusan dalam perbelanjaan awam dan desakan untuk menjelaskan
keutamaan kepada pendidikan berbanding dengan aktiviti sosial lain yang sama
pentingnya, telah menarik perhatian pembuat dasar pendidikan di peringkat sekolah
untuk menubuhkan pendekatan formal bagi memastikan kualiti terjamin.
15
BIBLIOGRAFI
Crosby, P. B. (1 992). Completeness: Quality,for the 21 Century, New York: Dutton.
Deming, W. E. (1982). Quality, Productivity and Competitive Position, Cambridge,
MA: Massachusetts Institute of Technology, Center for Advanced
Engineering Study.
Feigenbaum, A. V. (1991). Total Quality Control (3"" Ed.). New York: McGraw-
Hill.
Golhar D. Y. & Aliire S. L. (1994). TQM for business students: An experiential
learning approach, Itzternutional Journal of’ Quulity & Reliability
Management, 12(7): 54-64.
Ishikawa, K. (1985), What Is Total Quality Control? The Japanese Way, New
Jersey: Prenticc Hall.
Oakland, J. S. (1993), Total Quality Management: The Route to Improving
Performance ( 2nd Ed. ), Oxford: Butterworth-Heinemann.
PKPA (1992), Panduan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Bagi Perkhidmatan
Awam, Kuala Lumpur: MDC Sdn. Bhd.
16