pengertian dan konsep kendiri
TRANSCRIPT
PENGERTIAN DAN KONSEP KENDIRI
Manusia dibezakan menerusi dua aspek, iaitu aspek kemampuan dan aspek
personaliti. Aspek kemampuan meliputi pencapaian dalam pembelajaran,
kecerdasan dan bakat manakala aspek personaliti meliputi watak, sifat, penyesuaian
diri, minat, emosi, sikap dan motivasi. Personaliti seseorang individu mempunyai
kaitan dengan konsep kendiri kerana ciri-ciri yang dimiliki membolehkannya
dibezakan dengan orang lain. Sekiranya konsep kendiri seseorang itu positif, maka
individu tersebut akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan
persekitarannya. Hal ini disokong oleh Allport, dalam Mahmood Nizar, 2005, yang
mentakrifkan personaliti sebagai organisasi sistem psikofizik yang dinamik dalam diri
individu yang menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaian dengan
persekitarannya. Konklusinya, personaliti merupakan hasil daripada gabungan
pelbagai sifat dan konsep kendiri seseorang.
KLASIFIKASI PERSONALITI BERDASARKAN TEORI PERSONALITI
Terdapat tiga jenis personaliti. Pertama ialah ekstrovet iaitu individu yang
menunjukkan ciri-ciri aktif, mesra, peramah, gemarkan aktiviti luar dan responsif
terhadap persekitaran. Personaliti kedua pula ialah introvet iaitu individu yang pasif,
pendiam, sensitif, suka berseorangan dan tidak sukakan cabaran. Jenis personaliti
ketiga ialah ambivet iaitu individu yang merupakan gabungan kedua-dua ciri
personaliti di atas.
(a) TEORI PSIKOANALISIS
Sigmund Freud merupakan pengasas teori ini. Beliau percaya personaliti
manusia dibentuk semenjak manusia dilahirkan sehinggalah ke umur lima tahun.
Beliau mengasaskan konsep alam sedar dan alam tidak sedar menerusi
pengalaman dengan pesakit jiwa. Menurut Freud lagi, id, ego dan super ego
merupakan komponen personaliti yang mempengaruhi antara satu sama lain dalam
mengawal perlakuan manusia.
Id ialah dorongan biologikal dan tenaga naluri manusia yang memotivasikan
manusia atas prinsip keseronokan. Id wujud sejak dilahirkan dan merupakan punca
semua dorongan tenaga. Id tidak dapat membuat penilaian dan tidak mementingkan
logik, nilai, moral atau etika. Ego pula berkembang semasa tahun pertama kelahiran
dan merupakan eksekutif kepada personaliti manusia. Ego bertindak atas prinsip
realiti untuk memuaskan keinginan id tetapi secara rasional dan diterima
masyarakat. Super ego pula beroperasi atas prinsip kesempurnaan dengan
mengawal segala kehendak id, mempengaruhi ego dalam usaha mencari jalan
memenuhi keinginan id bersesuaian dengan cara, nilai, budaya, kepercayaan, dan
agama masyarakat.
(Rujuk Rajah 1 di bahagian lampiran 1). Merujuk Rajah 1, dapat dilihat bahawa
ego tersepit di antara kehendak id dan nilai moral super ego yang menimbulkan
kebimbangan dalam kalangan individu. Frued percaya personaliti dipengaruhi oleh
perkembangan psikoseksual individu iaitu:
(i) peringkat oral / mulut (semenjak lahir - 1 ½ tahun)
Bayi mendapat kepuasan segera pada bahagian mulut kerana bayi dikawal
oleh prinsip kenikmatan seperti menghisap, mengunyah dan menelan. Trait
personaliti yang optimistik, mesra, mudah bekerjasama timbul pada bayi yang
mendapat layanan baik. Sebaliknya bayi yang tidak mendapat kepuasan akan
memenuhi kekurangannya apabila dewasa dengan menghisap rokok, makan dan
minum yang keterlaluan dan menjadi pesimistik dan terlalu bergantung.
(ii) Peringkat dubur (1 ½ - 3 tahun)
Penumpuan tenaga libido ditumpukan pada bahagian-bahagian otot
pembuangan najis yang melibatkan latihan tandas (‘toilet-training’). Jika latihan
tandas terlalu keras, ini akan menghasilkan personaliti anal iaitu individu yang degil,
lokek, terlalu mementingkan kekemasan dan pemilih.
(iii) Peringkat kubul (3 - 6 tahun)
Kanak-kanak mula tahu tentang jantina masing-masing. Sumber kepuasan
libido berpindah kepada organ kejantinaan. Kanak-kanak lelaki akan mengalami
Oedipus kompleks iaitu penumpuan kasih sayang pada ibu dan seolah-olah
bersaing dengan bapa. Elektra kompleks pula dialami oleh kanak-kanak perempuan,
mereka bersaing dengan ibu untuk mendapat kasih sayang bapa.
(iv) Peringkat latency (6 hingga baligh)
Semua perasaan seksual dipendam dan diletakkan di bawah aras sedar.
Kanak-kanak menumpukan pada kerja-kerja sekolah dan aktiviti lain. Mereka belajar
tentang peranan jantina dan lebih selesa berkawan dengan yang sama jantina.
Tumpuan diberikan pada usaha berdaya tindak kanak-kanak dengan
persekitarannya.
(v) Peringkat genital (selepas baligh hingga dewasa)
Kecenderungan seks semasa individu masih kanak-kanak muncul semula.
Mereka akan cuba memuaskan apa-apa yang tidak dapat dicapai pada masa kanak-
kanak seperti kepuasan seks pada zon mulut, dubur dan kubul. Frued percaya cara
didikan dan layanan semenjak kecil sangat mempengaruhi personaliti seseorang.
Ibu bapa, guru, dan masyarakat membantu perkembangan kendiri.
(b) TEORI TRAIT
Menurut Atkinson (Mahmood Nazar, 2005), trait bermaksud bentuk sifat yang
membezakan seseorang itu dengan individu lain dengan kadar yang kekal dan
konsisten. Kesimpulannya, teori trait memperihalkan personaliti seseorang
berdasarkan kepada sifat dan tingkah laku seseorang. Pakar seperti Sheldon, Allport
dan Cartell telah mempelopori teori ini dengan pendekatan masing-masing.
William Sheldon (Mahmood Nazar, 2005) mengelaskan tiga bentuk tubuh
atau somatotip dengan tiga set personaliti, iaitu endomorf, mesomorf dan ektomorf.
Teori ini menunjukkan hubungan antara resam tubuh dengan personaliti. Endomorf
ialah bentuk badan yang gemuk dan bulat. Individu ini dikatakan seorang yang
periang, suka bergaul, kuat makan, ekstrovet dan tenang. Manakala mesomorf
merupakan individu yang mempunyai susuk tubuh yang tegap, keras dan kuat.
Individu ini mempunyai personaliti yang tegas, bertenaga, agresif dan berani.
Ektomorf pula ialah individu yang kurus, tinggi dan lembut. Individu ini mempunyai
personaliti yang pendiam, tidak suka bergaul, beremosi, pemalu tapi cerdik.
Gordon Allport pula mendefinsikan personaliti sebagai satu organisasi
dinamik seseorang individu yang menentukan kebolehan penyesuaian yang unik
terhadap persekitaran. Beliau mengklasifikasikan trait manusia kepada tiga jenis
iaitu kardinal, trait pusat dan trait sekunder. Trait kardinal memperlihatkan individu
mengorganisasi keseluruhan dirinya kepada satu pengaruh yang sangat kuat dalam
dirinya. Trait pusat seperti kesabaran, kejujuran, kemurungan dan ketegasan hanya
berpengaruh terhadap beberapa situasi yang terhad dan tidak kuat pengaruhnya.
Trait sekunder pula merupakan sifat yang mengawal perlakuan manusia secara
spesifik dan tidak begitu ketara. Allport juga mengemukakan konsep personaliti
matang iaitu bagaimana seseorang itu menunjukkan mental yang stabil walau di
mana sahaja seseorang itu berada.
Raymond Cartell pula beranggapan personaliti manusia sebagai gabungan
beberapa trait khusus yang berupaya menghasilkan sifat serta tingkah laku yang
konsisten. Beliau telah menghasilkan 16 PF (Personality Factor), dan dinamakan
trait sumber iaitu sifat-sifat yang tidak dapat dilihat secara jelas tetapi boleh dikenal
pasti melalui kaedah analisis faktor, iaitu data-data diambil menerusi soal selidik,
pemerhatian dan soalan objektif. Trait-trait ini saling berhubungan untuk
menghasilkan tingkah laku yang dapat diperhatikan dan dinamakan trait permukaan
iaitu sifat yang dapat dikenal pasti daripada tingkah laku secara langsung.
(c) TEORI HUMANISTIK
Rogers (1959) menekankan pengalaman individu berperanan menentukan
personaliti seseorang yang mana melibatkan konsep kendiri seseorang. Beliau
percaya konsep kendiri yang stabil melahirkan asas motivasi yang kuat yang
mendorong individu untuk mencapai potensi diri ke arah penyempurnaan diri.
Maslow (1968) melihat manusia sebagai insan yang baik, mulia dan
mempunyai dorongan semula jadi untuk berkembang ke arah kesempurnaan. Beliau
percaya personaliti manusia ditentukan oleh keinginan dan kehendak seseorang
individu. Dalam hieraki keperluan yang disarankan oleh Maslow, (rujuk Rajah 2 di
bahagian lampiran 2) manusia mestilah memenuhi keperluan yang paling asas iaitu
keperluan fisiologi. Setelah itu, manusia akan mencari keperluan keselamatan hidup
bagi menjamin kesejahteraan hidup. Dalam memenuhi keperluan kasih sayang pula,
manusia amat memerlukan hubungan dengan orang lain bagi meningkatkan
keyakinan diri untuk mencapai hieraki yang lebih tinggi. Tahap seterusnya ialah
kehendak untuk penghargaan kendiri. Penghargaan yang lebih stabil dan sihat ialah
berasaskan penghormatan yang sepatutnya daripada orang lain dan sanjungan
yang tidak berasas. Seterusnya ialah keperluan kesempurnaan kendiri yang merujuk
pada keinginan manusia untuk kepuasan diri dan kecenderungan menjadi sempurna
dalam setiap bidang yang diceburi. Tiga keperluan yang akhir dikelaskan sebagai
hidup atau keperluan pertumbuhan motivasi. Manusia akan terus bertambah untuk
mencari lebih banyak keperluan dalam memenuhi keperluan hidup.
(d) TEORI BEHAVIOURISME
Pakar Behaviourisme yang mengkaji perkembangan personaliti manusia
membuat tiga andaian iaitu tingkah laku manusia dipelajari melalui proses perkaitan,
manusia pada asasnya akan cenderung ke arah sesuatu yang membawa kepada
keseronokan dan tingkah laku manusia pada asasnya juga ditentukan oleh
persekitaran.
Mengikut teori ini, proses pembelajaran yang melibatkan pelaziman yang
diasaskan oleh Pavlov menghasilkan kesemua tingkah laku manusia. Personaliti
pula dilihat sebagai hasil daripada latihan, ganjaran, dendaan dan pelaziman
daripada budaya dan masyarakat. Kesan daripada latihan, ganjaran, dan dendaan
yang pernah diterima lebih memberi kesan kepada pembentukan personaliti
manusia berbanding pengalaman awal. Pakar-pakar Behaviourisme percaya
interaksi manusia dengan persekitarannya menghasilkan tingkah laku manusia.
Personaliti manusia juga dipengaruhi oleh pengalaman masa lampau dan masa kini.
Mengikut pendapat Skinner, manusia memerlukan peneguhan untuk
memperkukuh sesuatu perlakuan atau gerak balas. Skinner berpendapat personaliti
ialah tingkah laku tertentu yang ditunjukkan oleh individu ketika berinteraksi dengan
persekitarannya dan prinsip peneguhan merupakan punca yang menyebabkan
sesuatu personaliti itu kekal atau lenyap dalam diri individu.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN PERSONALITI
Terdapat tujuh faktor yang mempengaruhi perkembangan personaliti.
Pertama, faktor kebakaan yang berhubung kait dengan kecerdasan dan bentuk
tubuh. Pola genetik yang wujud semasa persenyawaan mempengaruhi
perkembangan personaliti individu termasuklah faktor yang berhubung dengan
bentuk tubuh badan. Faktor kedua ialah faktor pengalaman awal individu. Setiap
individu bertindak secara tersendiri terhadap tekanan sosial yang dihadapinya dan
hal ini disokong Freud yang menekankan kepentingan awal iaitu zaman kanak-
kanak dalam perkembangan personaliti. Faktor ketiga ialah latar belakang sekolah.
Sekolah merupakan tempat bimbingan dan perbentukan personaliti. Suasana
sekolah yang kondusif serta amalan sekolah yang sihat menyumbang kepada
perkembangan personaliti yang positif dalam kalangan kanak-kanak. Faktor
keempat ialah pengaruh keluarga. Ibu bapa harus memberi kebebasan kepada
kanak-kanak supaya mereka dapat membina keyakinan diri, seterusnya ke arah
perkembangan personaliti yang positif. Faktor kelima ialah peranan media.
Maklumat yang disampaikan secara terus kepada kanak-kanak mempengaruhi
minda mereka. Jadi, ibu bapa harus menerangkan motif yang betul berkenaan
maklumat yang disampaikan. Faktor keenam ialah pemakanan. Individu digalakkan
untuk makan makanan yang berzat dan tidak menjejaskan kesihatan. Faktor terakhir
ialah pengaruh sosiobudaya. Pendidikan dan agama yang kukuh memberi kesan
kepada sikap dan personaliti individu. Gaya hidup bebas akan memberi pengaruh
negatif dan menjejaskan kehidupan individu.
IMPLIKASI PERKEMBANGAN PERSONALITI TERHADAP PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN
Memahami tingkah laku murid merupakan salah satu peranan guru dalam
membentuk perkembangan personaliti. Jika guru dapat memahami murid, guru
boleh meramal dan mengenal pasti punca tingkah laku negatif murid dalam bilik
darjah selain dapat memahami konsep naluri dan keperluan individu murid. Dan
seterusnya membolehkan guru mengambil langkah-langkah tertentu untuk
memastikan kesemua keperluan murid-murid dalam bilik darjah dapat dipenuhi.
Dengan memahami tingkah laku murid, guru dapat membantu membentuk
perkembangan personaliti dalam diri murid.
Seterusnya, guru yang dapat menerima hakikat bahawa setiap individu
adalah berbeza dan unik tidak akan sewenang-wenangnya melabel kanak-kanak
yang lemah sebagai murid yang tiada masa depan kerana guru percaya yang setiap
manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dengan memahami
hakikat ini, guru dapat memberi bimbingan kepada murid-murid agar lebih
berkeyakinan dalam menghadapi cabaran dan seterusnya membantu mereka ke
arah pembentukan personaliti yang positif.
Guru yang peka dan sensitif dengan potensi murid akan sentiasa memberi
dorongan kepada muridnya dalam menggilap potensi yang ada dalam diri mereka.
Guru akan mencungkil bakat, kecenderungan dan kecerdasan mereka melalui
ransangan dan motivasi yang sesuai berdasarkan aspek jasmani, emosi, rohani,
intelek dan sosial.
PENGERTIAN DAN KONSEP KENDIRI
Menurut Rogers (1959), kendiri merupakan satu organisasi atau aturan
persepsi yang konsisten serta hubungan dengan entiti lain seseorang itu yang
dilihatnya sebagai “aku”, “saya” atau “diri”. Konsep kendiri seseorang individu itu
akan kerap berubah kerana setiap manusia akan cuba mencapai apa-apa yang
diingininya. Namun begitu, individu akan tetap mengekalkan kualiti asal yang ada
pada dirinya. Ini bergantung pada pengalaman seseorang tentang pelbagai hal dari
zaman kanak-kanak serta persepsi keseluruhan yang ada pada individu tersebut.
Pembentukan konsep kendiri seseorang terbentuk daripada perasaan penerimaan
orang lain terhadap dirinya dan bagaimana layanan yang diperoleh daripada
keluarga, masyarakat dan persekitaran. Ini bermakna penilaian terhadap konsep
kendiri seseorang dapat dilihat berdasarkan tiga sumber iaitu kasih sayang, dan
sokongan yang diterima daripada persekitarannya, kemampuan atau keupayaan diri,
serta penerimaan keluarga dan masyarakat sekitar terhadap dirinya. Menurut
Rogers, dalam diri setiap individu terdapat diri unggul iaitu bentuk atau konsep
kendiri yang amat diingini seseorang. Diri unggul ini mempunyai elemen seperti
persepsi dan makna yang relevan pada dirinya serta sesuatu yang amat bernilai
pada dirinya. Personaliti seseorang mempunyai perkaitan kuat dengan konsep
kendiri kerana personaliti ialah ciri-ciri yang dimiliki seseorang individu yang
membolehkannya dibezakan dengan oran lain. Konsep kendiri terbahagi kepada dua
jenis, iaitu kendiri negatif dan kendiri positif. Individu yang berkendiri negatif
mempunyai ciri-ciri seperti keyakinan diri yang rendah, pasif, sukar bergaul dengan
orang lain, tidak sukakan cabaran, murung dan sering tertekan dengan tugasan
yang diberi, mudah tersinggung serta merajuk. Individu berkendiri positif pula
seorang yang optimistik dan berfikiran terbuka, mudah bergaul dengan orang lain,
mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran, emosi yang stabil, tenang dalam
menghadapi dugaan serta berkeyakinan tinggi dalam setiap cabaran yang dihadapi.
IMPLIKASI KONSEP KENDIRI TERHADAP PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN
Seorang guru yang peka dengan kebolehan dan minat murid akan
menghasilkan komunikasi yang baik dengan muridnya. Guru dapat mengetahui
dengan lebih mendalam tentang kebolehan dan minat mereka. Hal ini dapat
menyedarkan murid-murid tentang keupayaan mereka sendiri di samping dapat
meningkatkan keyakinan diri mereka apabila mengikuti proses pembelajaran di
dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat menjalin persahabatan dengan
individu di persekitarannya, berinteraksi dengan baik, mempunyai gaya percakapan,
cara bertindak dan bertingkah laku yang baik serta membentuk kendiri yang positif
dalam diri mereka.
Selain itu, pemahaman yang jelas mengenai konsep kendiri ini membolehkan
guru merancang aktiviti pembelajaran yang berpusatkan muridnya. Guru dapat
memberi peluang kepada murid-murid untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam
bilik darjah di samping dapat membimbing murid yang agak lemah. Hal yang
demikian dapat menolong murid-murid dalam membina konsep kendiri yang baik.
Guru juga dapat membinaan konsep kendiri yang positif dalam diri murid-
murid menerusi pelaksanaan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah seperti gerak
kerja kokurikulum. Aktiviti-aktiviti sebegini memerlukan murid-murid berdikari,
menyelesaikan masalah, tolong-menolong dan menonjolkan sifat kepimpinan.
Kesannya, mereka akan merasakan diri mereka berkeyakinan dan berkebolehan.
LAMPIRAN 1
Alam sedar Konflik
Alam prasedar
EGO Alam
SUPER tidak
EGO ID sedar
RAJAH 1: Tiga Struktur Personaliti menurut Perspektif Psikodinamik.