pengantar falsafah politik, mahatma gandhi

Upload: fadhli-hariz-fayahet

Post on 16-Oct-2015

247 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

mahatma

TRANSCRIPT

SKSJ 1033:PENGANTAR FALSAFAH POLITIK

TAJUK:PEMIKIRAN FALSAFAH, ALIRAN DAN CIRI-CIRI POLITIK MAHATMA GANDHI

DISEDIAKAN OLEH:NUR AZLY BIN AHMADA142567

DISEDIAKAN UNTUK:DR RUSSLI BIN KAMARUDIN

ISI KANDUNGAN

BILKANDUNGANMUKA SURAT

1.0 PENGENALAN3

2.0 LATAR BELAKANG4

3.0 KARYA8

4.0 PERSOALAN POKOK10

5.0 ALIRAN FALSAFAH POLITIK16

6.0 CIRI-CIRI FALSAFAH POLITIK21

7.0 KESIMPULAN22

8.0RUJUKAN23

1.0 PENGENALANIndia adalah salah sebuah negara yang berada di Asia Selatan selain daripada Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Negara ini menyimpan seribu satu wajah dan pengalaman suka dan duka khasnya kepada warganegaranya sejak zaman berzaman. Cerita yang terimpan dan terkisah telah menyebabkan India kini berada antara gergasi di dunia khasnya di antara negara Asia itu sendiri kerana kepantasan ekonomi dan persaingan globalisasi yang dialaminya. Sememangnya kejayaan ini tidak akan dapat terukir tanpa satu usaha perjuangan dan titik peluh keringat orang-orang dahulu yang memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyat yang mendiami tanah bertuah tersebut. Nama India itu diambil daripada Sungai Indus yang sepanjangnya terdapat tembok bagi tamadun perbandaran yang hebat lebih empat ribu tahun (Wolpert 2004, 3). Sebagaimana yang diketahui, sejarah bagi negara ini berjalan dengan begitu panjang sekali. Bermula daripada penyatuan imperial India sehingga zaman era Kristian yang datang daripada Mecedonia melalui Asia Tengah, kemasukan Islam dan penjajahan oleh Inggeris. Negara ini kemudiannya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1947 yang kekal sehingga ke hari ini.Namun apabila tiba suatu peringkat yang berlaku dahulu yang mana India dijajah oleh pihak Inggeris, suatu bentuk kesedaran akan patriotisme dan nasionalisme mula tumbuh dalam benak pemikiran masyarakat di India ketika itu. Mereka memikirkan bahawa sudah tiba masa bagi India untuk keluar daripada sebarang bentuk kongkongan dan halangan yang menyebabkan mereka seakan-akan diperbodoh dan dipergunakan. India mula dimasuki oleh beberapa pihak luar seperti Portugis, Belanda, Syarikat Hindia Timur Inggeris, Syarikat Hindia Timur Perancis dan penempatan Perancis. Namun, penaklukan penjajahan yang jelas dapat dilihat dilakukan ialah British. Namun British tidak seperti penjajah yang lain yang masuk ke India untuk menakluki, akan tetapi sebagai pedagang (Pochhammer 1981, 377). Pada revolusi 1757, penguasaan ketenteraan oleh Inggeris di Bengal berlaku (Majumdar, Raychaudhuri & Kalikinkar Datta, 661).Penguasaan yang berterusan dan memberi kesan daripada sudut ekonomi, politik dan sosial terhadap India telah menyebabkan munculnya para pencetus revolusi dan nasionalis serta mereka yang berfikiran moden yang mahu membawa kejayaan melalui kemerdekaan kepada India yang di antaranya ialah Mahatma Gandhi. Siapakah dia Mahatma Gandhi?2.0 LATAR BELAKANGNama sebenar bagi individu yang sangat dikenali sebagai Mahatma Gandhi ini ialah Mohandas Karamchand Gandhi. Beliau dilahirkan pada 2 Oktober 1869 di pesisir pantai Gujarat dan dibesarkan di sana dalam komuniti Hindu Bania. Tempatnya ialah di sebuah kota yang dikenali sebagai Porbandar. Anak kepada pasangan Karamchand dan Putlibai Gandhi (isteri keempat) yang merupakan anak ketiga lelaki dan anak keempat bagi pasangan ini (Ved Mehta 1976, 139). Beliau juga merupakan anak kepada seorang pegawai rasmi kerajaan. Hal ini menunjukkan sedikit latar hidupnya yang sederhana. Beliau lahir bukanlah untuk mempengaruhi, jawatan atau kepimpinan, tetapi kemunculan pada awal kehidupannya untuk mempunyai harapan atau motivasi dalaman untuk menperoleh kuasa dan pemilikan semula (Brown 1989, 7). Beliau lahir dalam sebuah keluarga yg berpegang kepada tradisi agama yang kuat, sehingga dapat dilihat pada waktu mudanya, Mahatma Gandhi menyerap nilai-nilai kehidupan yang kemudiannya menjadi dasar hidupnya, diantaranya rasa belas kasihan terhadap makhluk hidup, vegetarian, berpuasa bagi pemurnian diri, juga toleransi antara umat beragama (Islam dan Hindu). Tidak ada apa yang tidak biasa bagi budak lelaki (Mohandas Karamchand Gandhi) melainkan beliau seorang yang sangat-sangat malu (Eknath Easwaran 2005, 11).Pada Mei 1883, Mahatma Gandhi yang ketika itu berusia 13 tahun telah bernikah dengan Kasturbai Makhanji yang berusia 14 tahun yang diatur oleh orang tuanya. Pada tahun 1885, pasangan ini dikurnikan dengan seorang anak yang hanya bertahan untuk hidup beberapa hari sahaja. Rosenberg menyatakan bahawa Kasturba melahirkan empat orang anak lelaki bagi Gandhi dan menyokong perjuang Gandhi sehingga kematiannya pada 1944. Ayahnya juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Beliau telah pergi mempelajari undang-undang di London, England. Walaupun perubatan lebih menarik bagi Mohandas, namun ayahnya berharap beliau untuk menjadi peguam, dan kerana undang-undang dilihat lebih ke arah jawatan pentadbiran dalam negeri Kathiawar, selain tradisi keluarga (Brown 1989, 21-22). Beliau meninggalkan India pada usia 18 tahun iaitu pada September 1988 meninggalkan isteri dan anaknya yang baru lahir (Rosenberg). Sewaktu di London, Mahatma Gandhi tidak menukar amalannya kepada memakan daging. Beliau walaubagaimanapun berusaha untuk mencari juga restoran yang menyajikan makanan vegetarian di sana. Maka di sinilah beliau dapat bertemu dengan komuniti vegetarian dan memberi serta menambahkan pengalaman berorganisasi dengan lebih lagi dalam diri beliau. Beliau menjadi salah seorang ahli jawatankuasa eksekutif kepada Persatuan Vegetarian London (Fischer 1950, 26). Di sinilah komuniti vegetarian telah menyarankan Gandhi untuk membaca Bhagavad Gita. Namun beliau seterusnya juga membaca tulisan-tulisan tentang Buddha, Hindu, Kristian, Islam dan lain-lain kepercayaan. Beliau pernah menyatakan (Fischer 1950, 37) bahawa,The New Testament was more interesting, and the Sermon on the Mount went straight to my heart. He saw similarities between it and the Gita.

Beliau kemudiannya juga pernah tinggal di Afrika Selatan iaitu di bandar Johannesburg dan Durban yang mana beliau bekerja sebagai peguam setelah menamatkan pengajiannya dan berada sementara di India. Ketika berada di Afrika Selatan, beliau dapat merasakan berlakunya diskriminasi terhadap masyarakat India. Menurut Soosai (1984), Mahatma Gandhi pernah menyatakan,Saya pula digelar sebagai peguam kuli. Saudagar pula digelar saudagar kuli.Perkataan kuli di India bermaksud buruh kasar akan tetapi di Afrika Selatan, perkataan kuli adalah gelaran keji dan membawa maksud kasta rendah (Soosai 1984, 420). Beliau juga adalah pendokong bagi warga India di Natal dan pernah menuntut beberapa hal kepada pemerintah. Gerakan ini mendapat perhatian di Afrika Selatan walaupun kebanyakan tuntutannya tidak berjaya. Pada tahun 1906 iaitu di Johannesburg, konsep kepercayaan Satyagraha iaitu protes tanpa kekerasan pertama kali diperkenalkan. Akibat daripada itu, beliau dan para pengikutnya yang berbangsa India tidak terlepas daripada dipenjarakan. Terdapat juga beberapa orang yang berhubungan dengan gerakan ini yang ditembak atau dibakar identitinya.Terdapat banyak lagi sebenarnya kes-kes penindasan dan diskriminasi terhadap warna kulit dan kaum yang berlaku sepanjang beliau berada di Afrika Selatan. Antaranya seperti orang-orang India dan Free State tidak diberi hak asasi, pemilikan tanah dan hak milik tidak dibenarkan, tidak dibenarkan menggunakan jalan khas bagi orang putih, ketidakbenaran berjalan selepas jam sembilan malam tanpa surat izin dan pelbagai lagi yang menghimpitkan lagi masalah dalam kehidupan warga India di situ (Soosai 1984, 248-250).Pergerakan yang wujud di Afrika Selatan itu turut membuka jalan bagi memperjuangkan kemerdekaan bagi India. Hal ini menyebabkan Mahatma Gandhi bertindak untuk pulang ke India pada 1915. Beberapa pergerakan telah dilakukan untuk memperjuangkan kemerdekaan India. Gandhi bertindak menjalankan konsep tanpa kekerasaan dan perdamaian sebagai senjata untuk melakukan dan menjalankan pergerakan tersebut terhadap Inggeris.Beliau pernah menyarankan kepada anggota kongres untuk menolak cadangan yang diajukan oleh pemerintah Inggeris pada tahun 1946. Walaupun Nehru dan Patel mengetahui jika kongres India menolak cadangan itu maka kawalan pemerintah akan berpindah ke Liga Muslim, namun cadangannya tetap ditolak. Hal ini menyebabkan antara tahun 1946 sehingga 1948 sahaja, sekitar 5000 orang terbunuh dalam kekerasan yang berlaku akibat perbalahan. Perbalahan sering berlaku antara penganut Islam dan Hindu.Gandhi begitu menentang mengenai idea untuk membagikan India menjadi dua buah negara berbeza. Keadaan penduduk Muslim di India yang hidup berdampingan dengan Hindu dan Sikh menjadi semakin tersekat dan ditambah lagi dengan tindakan Muhammad Ali Jinnah iaitu pemimpin Liga Muslim, yang terus mendukung penyebaran di Punjab Barat, Sindh, kawasan barat daya, dan Bengali Timur. Ideanya adalah berdasarkan penerimaan syarat melalui perancangan Liga yang digambarkan mendapat komitmen daripada Kongres terhadap permintaan partisyen yang menentang dalam setiap bahagian pendapat politik dalam negara, termasuk pemimpin Nasionalis Muslim seperti Azad, Ansari, Abdul Gaffur Khan, Asaf Ali dan lain-lain. Gandhi dengan itu berusaha menghasilkan formula baru yang dicari untuk meneutralkan partisyen dan bertindak ke arah Persekutuan India keseluruhannya (Ashutosh 1976, 100).Rencana penyekatan dipersetujui oleh Kongres untuk menghindari perang sivil di India. Walaupun demikian kongres tetap berusaha untuk meminta sokongan daripada Mahatma Gandhi yang pasti menolaknya. Mahatma gandhi sering memimpin pertemuan antara pemimpin Muslim dan Hindu. Namun dalam perang India-Pakistan tahun 1947, Gandhi menyalahkan pemerintah yang menolak membayar 250 juta rupee kepada Pakistan. Pemimpin seperti Sardar Patel takut jikalau Pakistan menggunakan wang untuk membiayai lagi perang bagi menentang dan melawan India.Perasaan Gandhi hancur ketika ada permintaan untuk menghantar balik warga Muslim ke Pakistan. Pemimpin Hindu dan Muslim berasa kecewa kerana gagal dan tidak mencapai kesepakatan antara mereka. Gandhi kemudiannya terpaksa mengeluarkan kenyataan di Delhi untuk menghentikan seluruh kekerasan dan membayar sahaja 25 juta rupee kepada Pakistan. Gandhi takut jikalau berlaku ketidakstabilan dan ketidakamanan di Pakistan yang akan meningkatkan lagi kemarahaan untuk melawan India dan seterusnya merentasi persempadanan. Perang sivil antara Islam dan Hindu awal-awal lagi sudah disedari oleh beliau ketika itu.Mahatma Gandhi selanjutnya menolak untuk memindahkan warga ke Pakistan dan akhirnya telah membuatkan pemerintah terpaksa juga membayar kepada Pakistan. Ini berlaku setelah melalui perdebatan yang panjang dan emosional. Pemimpin komuniti Hindu, Muslim, Sikh dan beberapa aliran kepercayaan lain akhirnya menjamin bahwa mereka akan meninggalkan kekerasaan dan menjalankan perdamaian.Pada tanggal 30 Januari 1948, Mahatma Gandhi ditembak dan meninggal dunia dalam perjalanan awam malam di New Delhi. Beliau ditembak tiga kali yang mana kesemuanya mengenai tubuhnya dan ada yang sehingga ditembusi ke belakang (Fischer 1950, 4-5). Pembunuh yang membunuhnya ialah Nathuram Godse, seorang penganut Hindu yang radikal yang begitu kesal serta menganggap Mahatma Gandhi sebagai penyebab India terus juga membuat bayaran yang dituntut oleh dan kepada Pakistan.Gandhi sebenarnya telah diberi amaran bahawa nyawanya terancam sejak berbulan sebelum pembunuhannya. Beliau pernah diserang dengan serangan bom yang dibaling ke arahnya pada pertemuan sembahyang di penempatan Birla New Delhi. Walaubagaimanapun bom tersebut tidak meletup (Ashutosh 1976, 134).Sebuah memorial Mahatma Gandhi di New Delhi bertuliskan He Ram atau bermaksud Oh Tuhan yang dipercayai oleh kebanyakan orang sebagai kata terakhir yang diucap dan diungkapkan oleh Mahatma Gandhi selepas ditembak dan menemui ajal. Gelaran Mahatma (Great Soul) diberikan pada 1914 yang mana di India, beliau juga dikenali sebagai Bapu (Ayah). Perjuangan sepanjang hidupnya khasnya dalam mengecapi kemerdekaan bagi India menyebabkan beliau dikenali sebagai Father of the Nation (Bapa Negara). Fischer (1950, 9) menyatakan lagi mengenai kematian Gandhi bahawa,Gandhis assassination caused dismay and pain throughtout India. It was as though the three bullets that entered his body had pierced the flesh of tens of millions. The nation was baffled, stunned, and hurt by the sudden news that this man of peace, who loved his enemies and would not have killed an insect, had been shoot dead by his own country man and co-religionist.3.0 KARYA Karya-karyanya banyak tertumpu pada bentuk penulisan di dalam buku, majalah dan surat khabar khasnya. Ada yang ditulis oleh Gandhi sendiri dan ada pula yang dirangkumkan oleh penulis-penulis lainnya. Selain daripada itu, ada juga surat peribadi dan surat perisytiharan kepada sesuatu perkara atau agenda dihasilkannya.Penulisan bukunya yang begitu terkenal ialah Hind Swaraj atau Indian Home Rule. Ia diterbitkan pada 1909 yang mana ia ditulis berdasarkan perjalanannya daripada London ke Afrika Selatan. Buku ini banyak membincangkan mengenai permasalahan kemanusiaan pada zaman moden, punca-puncanya dan penyelesaian yang ada. Dalam penulisan bahasa Gujarati, buku ini diharamkan British semasa penjualannya di India. Namun apabila diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, ia dibenarkan.Buku ini banyak mengemukakan idea-idea perjuangan dan penelitian oleh beliau seperti isu pendidikan, hak dan tanggungjawab, tamadun serta penyatuan Hindu dan Muslim. Di bahagian konklusinya, Gandhi menyatakan mengenai kebebasan yang dimahukannya melalui idea (1) Memerintah rumah (negara) sebenar ialah dengan peraturan dan kawalan diri sendiri, (2) Caranya melalui rintangan pasif: paksaan sendiri atau paksaan melalui kasih sayang, (3) untuk memaksa kepada perkara ini, Swadeshi dalam setiap perkara adalah perlu, dan (4) apa yang mahu dibuat harus diselesaikan, bukan sebab menjadi objek bagi Inggeris atau membalas, tetapi ia tanggungjawab untuk melakukannya (http://www.mkgandhi-sarvodaya.org/ hindswaraj.htm).Selain itu, majalah seperti Harijan dan Young India turut diterbitkan dalam seminggu sekali. Laporan-laporan mengenai tindakan Satyagraha dan sebagainya dikongsi dalam majalah tersebut. Dalam rencana-rencana dalam majalah Indian Opinion dan Nawajivan, ia banyak berkisar mengenai perasaan murni yang terpendam dalam kalbunya dan mengenai Satyagraha sedalam dan setiliti mungkin (Soosai 1984, 419). Buku mengenai pengalaman di Afrika Selatan dibukukan dalam Satyagraha in South Africa manakala ucapan dan tulisannya dalam Speeches and Writings of Mahatma Gandhi. Bukunya banyak membincangkan perihal ekonomi, pendidikan, kebajikan khasnya wanita dan sebagainya. Ada juga yang ditulis sewaktu dirinya dalam penjara, Key to Health pada tahun 1942.Penterjemahan, surat peribadi dan perisytiharan turut dihasilkan oleh Gandhi. Penterjemahan seperti Self-Restraint versus Self-Indulgence, surat peribadi daripada dirinya kepada tokoh misalnya kepada Jawaharlal Nehru dan perisytiharan yang dibukukan dalam What Does Gandhi Want? Oleh T.A. Rahman (Saliha 1999, 9)..

4.0 PERSOALAN POKOK Mahatma Gandhi merupakan seorang yang begitu kuat memegang ajaran agamanya. Beliau begitu menumpukan kepada sesuatu yang didasari pada unsur-unsur mencapai kebenaran tanpa sebarang kekerasan, keganasan, menyakitkan dan seterusnya memudaratkan masyarakat itu sendiri. Bagi Gandhi, jika sesuatu itu benar membawa kebaikan, tetapi jika dilakukan melalui kekerasan, maka ia hanyalah sia-sia yang mana kebahagiaannya tidak akan berkekalan lama. Jadi tidak hairanlah jika suatu falsafah yang dikenali sebagai Satyagraha (perjuangan ke arah kebenaran) digunakan beliau. Satyagraha adalah gabungan antara Satya (daripada bahasa Sanskrit) yang bermaksud kebenaran dan Agraha bermaksud mengambil, merampas atau memegang (Hardiman 2003, 51). Mengikut Dasgupta, R. K. pula menyatakan bahawa Gandhi pernah mengungkapkan,"Satyagraha is search for truth; and God is Truth. Ahimsa and Nonviolence is the light that reveals that truth to me. Swaraj for me is a part of that truth".Satyagraha yang begitu terkenal ialah Satyagraha Garam atau Salt Satyagraha. Dalam peristiwa yang berlaku pada tahun 12 Mac sehingga 6 April 1930 ini, Gandhi bersama beberapa orang (bertambah menjadi ribuan) berjalan sejauh 388 kilometer atau 241 batu daripada Ahmedabd sehingga ke Dandi. Di situ berlaku suatu simbolik yang mana Gandhi mengangkat garam yang didapati di pantai sebagai menandakan adanya cara lain untuk rakyat mendapatkan garam (yang dikenakan cukai oleh British). Simbolik ini juga bermaksud rakyat India yang tidak perlu terlampau bergantung pada sesuatu kerana disebaliknya, ada jalan yang lain.Konsep Satyagraha ini juga ditambah dengan konsep Ahimsa iaitu mengikut Hardiman, D. (2003, 57) bermaksud, adaptasi yang kreatif mengikut pelbagai falsafah kepada tanpa kekerasan. Tambahannya lagi, satu pepatah di Mahabharata iaitu ahimsa paramo dharmah (tindakan tanpa kekerasan adalah tanggungjawab terhebat dalam agama dan kewajipan) yang diketahui dalam setiap kampong di India.Beliau mempunyai pendirian yang begitu menarik. Tindak tanduknya yang tidak berdasarkan kepada kekerasan adalah disebabkan kepercayaannya terhadap kebenaran yang sedia wujud dalam setiap insan. Kebenaran adalah sesuatu yang sama baginya dalam semua agama, cuma cara berbeza yang menyebabkan ia kelihatan berbeza. Adalah perlu untuk difahami bahawa Mahatma Gandhi banyak melakukan pergerakan yang dilakukan secara nyata dan bukan sekadar falsafah semata-mata. Kewujudan kepada bantahan awam atau civil disobedience antaranya menunjukkan bagaimana pendekatan terus yang diambil oleh Mahatma Gandhi. Hal ini dapat dikaitan dengan aliran falsafahnya yang akan lebih diteliti dalam bab seterusnya. Cara ini gemar diambil oleh Mahatma Gandhi dan ia sentiasa akan dibandingkan dengan pendekatan-pendekatan lainnya seperti tindakan langusng (direct action) dan bantahan tanpa keganasan (non-violent resistance). Bantahan secara pasif atau passive resistance adalah pendekatan lain dilakukannya.

A. KEWAJIPAN POLITIKSetiap daripada perkara yang dijalankan oleh Mahatma Gandhi adalah bagi kepentingan dan kewajipannya di dalam politik. Sejak daripada beliau pulang sahaja ke India, banyak tindakan telah dilakukannya khasnya dalam isu berkaitan politik. Apa sahaja pandangan yang dirasakan dapat memanfaatkan dan membawa negara ke arah yang lebih baik beliau langsungkan dengannya.Hal ini semestinya didorong dengan perasaan cintanya kepada negara dan warga di dalamnya. Bagi seorang tokoh dan pemikir, politik adalah sesuatu yang paling asas untuk dikuasai. Buku Gandhi in Indian Politics oleh Ashutosh Lahiry (1976) menggambarkan bagaimana besarnya peranan dan tanggungjawab oyang digalas oleh Mahatma Gandhi itu sendiri. Perjalanan politiknya yang berliku daripada permulaan dan sehingga ke akhir hayatnya menggambarkan suatu bentu amanah yang dipikul olehnya bagi negara India dan rakyatnya khasnya.Beliau malah pernah mengungkapkan dalam tulisannya yang mana selepas beliau berjaya mewujudkan kesepakatan dalam menggubal suatu peraturan dan dipersetujui oleh semua ahli jawatankuasa di dalamnya. Ini ditulis oleh Soosai (1984, 648) yang menyatakan bahawa Gandhi berbangga dengan peraturan baru itu yang mana jika ia dipatuhi secara tegas, India akan menemui jalan kemerdekaan. Beliau menambah yang mana tugas itu menjadikannya sebagai ahli yang sangat cergas dalam lapangan politik Kongres. Jelaslah sekali lagi bahawa tugasan melalui tanggungjawab dan peranan dipikulnya telah menggambarkan kewajipan politik pada individu ini.

B. KEBEBASANSetiap individu di atas muka bumi ini amat memerlukan kepada kebebasan atau apa yang disebut freedom. Bagi Mahatma Gandhi dalam konteks negara India adalah kemerdekaan. Beliau menjalankan usaha begitu gigih dan bersungguh-sungguh dalam memastikan masa depan India yang lebih cerah. Kebebasan baginya adalah bukan sekadar memperlihatkan kepada keselesaan dan kemahuan masyarakat akan tetapi lebih daripada itu. Impak kemudian hari yang dipandangnya begitu jauh adalah sesuatu yang begitu bijak dan kesedaran yang nyata benar.Kebebasan merupakan salah satu daripada hak asasi manusia yang mereka mempunyai hak untuk bergerak, bergaul dan melakukan sesuatu tanpa halangan dan kongkongan. Jika dilihat dalam konteks yang lebih kecil di mana menekankan kepada hak kebebasan wanita. Beliau begitu menghormati wanita yang bertindak tidak mahu berkahwin dan suci sepanjang hayat, berkhidmat pada masyarakat daripada keluarga, dalam proses menghalang tekanan yang begitu besar jika berkahwin (Hardiman 2003, 110). Kebebasan bertindak seperti inilah yang memperlihatkan kepada skop yang begitu bernilai dalam kemanusiaan bagi Gandhi.

C. PERSAMAANPersoalan yang seterusnya ini banyak dapat dilihat pada ketika di mana beliau berada di Afrika Selatan. Dasar Aparteid yang berlaku di sana membuatkan beliau begitu berusaha untuk mendapatkan keadilan khasnya warganegara India yang dipandang rendah dan direndah-rendahkan kedudukan dan martabat mereka. Apatah lagi mereka yang masuk ke negara tersebut sebagai pekerja atau pendatang asing.Keadaan yang memaksa ini menyebabkan Mahatma Gandhi yang mempunyai kelebihan dalam bidang perundangan berusaha untuk memulihkan keadaan yang begitu tidak senang itu. Perbezaan yang disebabkan oleh warna kulit ini dirasakan tidak perlu untuk diketengahkan memandangkan baginya setiap individu adalah sama. Hal ini lebih banyak ditegaskan dalam amalan demokrasi yang menumpukan setiap individu mempunyai hak dan kedudukan yang sama. Selain itu, kesamaan antara agama juga dilihat sebagai penting bagi Gandhi. Gandhi percaya bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengamalkan mana-mana agama yang mereka pilih untuk mengenali dengan, dan membentuk penyembahan yang tidak harus ditentukan dengan negara iaitu sama ada wilayah atau kawasan tertentu (Hardiman 2003, 156).

D. KOMUNITIIni adalah suatu persoalan yang hampir sama dengan lainnya. Mahatma Gandhi begitu memberi keutamaan kepada komunitinya dalam setiap ruang lingkup yang dihadapinya. Ini dapat diperjelaskan melalui keadaan-keadaan yang berlaku sepanjang hidupnya.Saat beliau hidup di luar negara, London misalnya, beliau mencari komuniti yang mengamalkan vegetarian. Walaupun tidak kelihatan begitu politik, namun ia adalah suatu corak awal yang menunjukkan kepada kesedarannya dalam hidup berwarganegara (pada masa di India). Namun, terdapat juga keadaan di mana Mahatma Gandhi sewaktu di London cuba untuk meniru cara kelakian (berpakaian khasnya) Inggeris dengan anggapan ia akan menaikkan martabatnya dan membuka apa yang ada pada pandangannya yang keliru itu sebagai hal terpenting iaitu kehidupan mengikut cara Inggeris (Fischer 1965, 17). Keadaannya tidak kurang seperti pepatah, masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.Ketika di Afrika Selatan pula, beliau membela akan nasib komuniti India yang ada. Beliau pernah menyatakan melalui situasi yang mana urusan visa bagi warga India di sana sengaja dilengah-lengahkan dan mereka ditipu oleh pegawai-pegawai yang tidak bertanggungjawab yang memperdayakan tanpa perikemanusiaan (Soosai 1984, 385). Dapat dilihat bagaimana keprihatinan beliau akan desakan yang memaksa dalam komuniti India yang bersama dengannya.Keadaan di India pula adalah berbeza yang mana beliau cuba menyatukan komuniti Hindu dan Islam. Perbalahan antara kedua-dua komuniti adalah disebabkan oleh perbezaan kepercayaan serta hajat khasnya dalam politik dan bernegara yang mahukan ianya terpisah. Sejarah bagi kedua-duanya telah berjalan begitu panjang dan lama serta masing-masing menuntut hak dan kelebihan atas mereka. Ashutosh (1976, 160) menyatakan, perjuangan politik menentang kuasa pemerintah untuk memenangi kebebasan bagi negara, telah lebih atau kurang, hal berkaitan Hindu, suatu yang dikenakan dan wajib dipatuhi untuk orang Hindu sahaja-dalam pada mana Muslim juga harus terlibat sama dari masa ke masa yang mendorong dan menawarkan kebersamaan dalam perjuangan-yang hanya diterima oleh Muslim di wilayah hadapan Barat Laut (kini, Pakistan).

E. KUASADalam kaca mata seorang pemikir dan revolusionis seperti beliau, kuasa adalah dilihat sebagai sesuatu yang perlu untuk ada dan dimiliki. Kuasa bagi Gandhi adalah dengan ciri-ciri penguasaan yang ada khasnya bagi pemimpin. Legitimasi dan kuasa (yakni hak) juga membolehkan mereka bertindak mengikut apa yang difikirkan benar. Sepertimana yang diketahui, kebebasan berpolitik adalah dibenarkan dan mengikut lunas dalam sistem pemerintahan berperlembagaan dan pengasingan kuasa yang mana ia mampu untuk mengawal kuasa daripada berleluasa dan berlebihan (mutlak).Mahatma Gandhi yang pernah menyertai Kongres India meletakkan kepercayaan dan nilai di dalam aplikasi kuasa. Dalam kaedah bagi meraih kuasa, beliau percaya ia perlu dilakukan dengan cara penuh berhati-hati dan penuh kelembutan dalam memastikan pihak lawan khasnya terkesan daripadanya, ibarat menarik rambut di dalam tepung: rambut tidak putus, tepung tidak bersepah. Ini bermakna, dalam usaha memiliki sesuatu (dalam konteks ini kuasa), tindakan secara terburu-buru harus dijauhkan bagi memastikan ia tidak memakan diri. Beliau pernah meyatakan (Mohan Rao 1968, 29) bahawa beliau merupakan jiwa yang lemah dalam berusaha mendapatkan kebaikan-kesuluruhannya benar dan tanpa kekerasan dalam pemikiran, kata-kata dan niat, tapi selalu gagal untuk mengecapi sesuatu yang ideal yang bagi irinya benar. Beliau mengakui ia adalah suatu dakian yang menyakitkan, akan tetapi kepuasan positif baginya. Setiap langkah membuatkannya berasa lebih kuat dan sedia menghadapi seterusnya.

F. KEADILANSesuatu yang diutamakan dalam perjuangannya adalah keadilan. Ketirisan daripada ketidakseimbangan yang berlaku cuba dilakukan melalui pendekatan yang ada. Keadilan dapat diertikan dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia haruslah bersesuaian dengan sesuatu keadaan dan perkara yang berlaku. Keadilan bagi sesorang individu adalah berbeza dengan lainnya. Namun apa yang dilakukan oleh Mahatma Gandhi dapat dilihat sebagai suatu usaha yang bersifat adil dan cuba dilaksanakan secara berterusan.Banyak peristiwa yang memperlihatkan kepada usahanya dalam memperjuangkan keadilan khasnya dalam masyarakat yang hidup di persekitarannya. Nasib mereka kebanyakannya akan cuba dibela dengan kebolehan dan keyakinan yang ada pada dirinya. Contoh jelas yang dapat diambil sewaktu Gandhi di Afrika Selatan. Keadilan melalui cara layanan dapat dilihat diperjuangkan oleh beliau. Malah Mandela sewaktu adanya dasar Aparteid melihat Gandhi sebagai seorang individu yang bersungguh-sungguh mendapatkan keadilan. Mandela seterusnya melihat dan meminati Gandhi yang dilihatnya sebagai juara kepada hak yang dijajah dan tekanan perkauman (Hardiman 2003, 279).

G. MATLAMAT MASYARAKAT DAN NEGARABagi seorang penganut agama Hindu yang begitu taat dan patuh seperti Mahatma Gandhi, semestinya konsep yang telah terdapat dan ditetapkan dalam kitab Veda adalah sesuatu yang wajib dipatuhi dan dipercayai olehnya. Melalui beberapa prinsip yang ada seperti karma dan kelahiran semula, konsep kepada masyarakat dan negara adalah sesuatu yang perlu dikaitkan.Matlamat Gandhi terhadap masyarakatnya iaitu di India adalah begitu murni. Keprihatinan kepada survival dan keberterusan kehidupannya di sana begitu jelas dapat dilihat. Berdasarkan ungkapan Gandhi yang dipetik oleh Eknath Easwaran (2005, 81) bahawa,Dalam negara saya, tiga ratus juta orang tidak bekerja dalam kurang enam bulan setahun. Anda kata bahawa anda hanya menikmati roti dan mentega untuk makan malam. Tetapi orang-orang iniselalunya berhari-hari tanpa makanan langsung.Dapat dilihat sehingga begitulah penelitiannya terhadap situasi masyarakat khasnya yang dekat dengannya sehingga ia dikongsikan dengan orang lain. Semestinya hal ini menjelaskan bagaimana matlamat Mahatma Gandhi yang begitu jelas dalam menyelamatkan masyarakatnya dan dalam pada masa yang sama, terlepas daripada halangan bagi keberterusan hidup mereka iaitu penjajahan dan masalah politik yang tidak stabil.

5.0 ALIRAN FALSAFAH POLITIKAliran falsafah juga (pada masa kini) dapat diertikan dengan bagaimana jalan, laluan dan arah corak pemikiran bagi pemikir-pemikir dan ahli politik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Bagi aliran yang dikemukakan oleh Mahatma Gandhi, dapat diperlihatkan dengan perubahan keadaan dan situasi politik yang berlaku di India pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.Beliau yang hidup dalan jangka masa tersebut begitu menfokuskan kepada pemikiran politik dan gerakan Nasionalisme. Isu-isu yang begitu sinonim pada ketika itu adalah mengenai permasalahan sosial seperti agama dan pendidikan yang sebenarnya bermula sejak abad ke-19 lagi. Memandangkan beliau antara tokoh yang mendapat pendidikan moden ketika itu, beliau dikategorikan sebagai antara golongan intelektual India. Ditambah pula dengan keadaan kepada dasar British, ini merancakkan lagi peranan beliau selain tuntutan-tuntutan oleh rakyat India itu sendiri.Unsur tradisionalis dan modenis dapat dilihat dalam pemikiran Gandhi. Keseimbangan antara kedua-duanya menampakkan kepada nilai dan sifat yang apa padanya yang begitu cinta akan agama, bangsa dan negaranya dengan menekankan kepada beberapa aspek dan perkara. Gandhi adalah seorang individu yang begitu unik. Beliau berjaya memperoleh sesuatu perubahan dalam politik yang diinginkannya dan dalam pada masa yang sama menganjurkan kepada mengekalkannya mengikut adat resam, budaya dan agama. Mengikut Hughes, T. M & Gray, S., dapat dilihat idea pemikirannya adalah bercabang kepada tiga iaitu pertama, beliau sebagai pemikir Barat, kedua sebagai pemikir Hindu-India dan ketiga, pemikir hibrid merentas budaya (http://www.academia.edu/2066350/ Gandhis_Devotional_Political_Thought). Hal ini menyebabkan saya berpendirian bahawa idea aliran pemikiran falsafah Mahatma Gandhi terbahagi kepada seperti berikut.

A. NASIONALISMEIni adalah aliran politik yang begitu jelas yang ditekankan dan dapat dilihat begitu nyata dalam tindak tanduk dan tindakan yang dilakukan oleh Mahatma Gandhi khasnya dalam melepaskan India daripada cengkaman penjajahan iaitu British. Mengikut apa yang dipetik dalam laman MK. Gandhi, Gandhi menyatakanI want the freedom of my country so that other countries may learn something from my free country, so that the resources of my country may be utilized for the benefit of mankind.Kehadiran British sebebnarnya memberikan impak yang begitu positif pada India melalui pelbagai cara. Perhubungan daripada suatu tempat dengan tempat-tempat yang lain memberikan faedah kepada ekonomi dan penduduk khasnya. Hal ini menjadikan perdagangan semakin rancak berjalan. Selain itu, proses modenisasi terhadap India daripada kewujudan telegraf, telefon, jambatan, jalan, terowong serta kesihatan orang awam memberi banyak faedah. Ditambah pula dengan sekolah dan institusi pendidikan moden yang memajukan lagi India. Walaubagaimanapun, kesan negatif turut sama hadir.Keadaan ekonomi dan politik di India hampir sepenuhnya dikuasai oleh penjajah British ini. Gambaran kesuluruhan berubah mengikut generasi baru pentadbiran British yang disemai dengan kesedaran menampakkan penguasaan mereka sendiri yang dibuat menerusi penampilan, iaitu kedua-dua pentadbiran, begitu juga perdagangan dalam negara (Ashutosh 1976, 201). Kedudukan mereka memberi peluang untuk mengenakan tekanan terhadap pemain industry tempatan di India. Campurtangan dalam hal perkauman dan agama menjadikan keadaan semakin tidak stabil sewaktu pemerintahan mereka. Kehidupan tradisional masyarakat India semakin hari semakin meruntuh dengan kemasukan British ini.Kesan-kesan yang didapati lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Isu-isu sebegini menjadika Gandhi semakin kuat dan bertekad dalam menegakkan kemerdekaan di India. Gandhi menggunakan teknik perjuangan yang merubah kelembikan orang Hindu tradisional yang lembut kepada sifat kepahlawanan (Fischer 1965, 113).

B. LIBERALISME DAN KONSERVATISMEMengapa kedua-dua aliran ini diletakkan dalam satu cabang yang sama? Hal ini disebabkan oleh pemikiran dan falsafah Gandhi yang berjalan seiringan dan begitu unik sepertimana yang dikatakan tadi. Istilah Liberalisme merangkumi pemikiran dan falsafah antara persoalan demokrasi dan masyarakat sivil atau awam. Ia begitu menekankan kepada hak-hak asasi manusia khasnya individu dalam ekonomi, politik dan social. Bagi pandangan kebanyakan orang, Gandhi adalah individu yang keterlihatan begitu konservatif melalui luaran atau gaya fizikalnya. Ya, benar beliau seorang konservati daripada sudut itu. Namun, pemikiran dan falsafahnya adalah berbeza. Hal ini disebabkan oleh penggunaan istilah Liberalisme itu sendiri yang mana ia berubah dan kini lebih kelihatan konservatif. Hal ini dijelaskan mengikut Roskin, Code, Medeiros dan Jones (1997, 102) yang mana pada lewat abad ke-19, Liberalisme dan Konservatisme berpecah menjadi Liberalisme moden dan apa yang kini dipanggil Konservatisme. Disebabkan itu istilah Liberalisme Moden berbeza dengan sebelumnya, Liberalisme Klasik.Penekanan mengenai Liberalismenya adalah daripada sudut pemahaman mengenai hak asasi dan kesamarataan antara manusia. Hal ini sekali lagi dijelaskan melalui situasi sewaktu beliau berada di beberapa tempat. Akan tetapi perkaitannya adalah hampir sama antara satu dengan yang lain. Di London dan Afrika Selatan misalnya, masyarakat dan komuniti khasnya daripada India dan mereka yang berkulit gelap akan dipandang sebelah dan berlakunya diskriminasi. Manakala di India apabila hak kebebasan, iaitu daripada cengkaman kuasa luar dilihat suatu usaha Gandhi dalam liberalisasi.Konservatisme pula bermaksud suatu keadaan yang mana ingin mengekalkan status quo atau keadaan sedia ada yang wujud. Bagi pemikir berfahaman ini, suatu sistem sosial, politik dan ekonomi harus dikekalkan. Pemikiran dan falsafah ini lebih menekankan kepadamasyarakat dan negara sebagai sesuatu yang perlu lebih daripada individu itu sendiri.Jika dilihat pada keadaan Gandhi, beliau mahukan suatu masyarakat yang dapat hidup dengan aman dan harmoni. Dalam pada masa yang sama, inginkan suatu negara yang merdeka dan berjaya dalam situasinya yang tersendiri. Ini adalah situasi yang mana Gandhi tidak mahukan suatu masyarakat yang terpisah akibat perbezaan agama iaitu Hindu dan Islam, begitu juga lainnya. Ini juga mengikut pengalamannya akan mengakibatkan masyarakat hidup mengikut wilayah yang didominasi sesuatu agama khasnya.Tambahan lagi, pemikiran konservatif yang ada pada Gandhi dapat dilihat dengan cara dan tindakan serta gaya hidupnya yag begitu menekankan kepada agamanya. Meskipun begitu, beliau menjadi salah seorang yang begitu lantang dalam mempersoalkan mengenai kedudukan kasta dalam agama Hindu, kedudukan dan hak wanita serta beberapa persoalan yang dapat dikaitkan dengan agama yang dianutinya.

C. REALISMEMahatma Gandhi mempunyai aliran pemikiran yang dinamakan sebagai Realisme. Realisme adalah suatu pendekatan yang dijalankan secara empirik atau melalui persoalan what is (apakah) dan bukan what ought to be (apa sepatutnya terjadi). Aliran ini menjelaskan bahawa masyarakat dan negara haruslah didahulukan daripada individu itu sendiri. Ini diperjelaskan dan diakui lagi melalui kenyataan Karuna Mantena iaituThere is a great deal more to be said about how Gandhi came to his political decisions and how he was able to make political judgment both effective and principled, or rather effective because it appeared principled.Selain itu, kenyataan mengenai Realisme yang mana setiap pemimpin yang realis adalah mereka yang begitu memahami persoalan-persoalan semasa bagi rakyat dan komuniti setempat serta berkemampuan bagi menyusun strategi bagi mendepaninya. Persoalan ini sebenarnya begitu penting bagi Gandhi. Dalam setiap apa juga keadaan dan tempat yang dilaluinya, akan berlaku suatu keselarasan dalam mengenalpasti masalah dan percubaan untuk mengatasinya.Pelbagai contoh dapat dikemukakan dan antaranya sepertimana beliau mengalami situasi di Afrika Selatan. Berlaku diskriminasi mengikut dasar Aparteid yang menjadikan komuniti India tidak berasa senang dan kehadiran Gandhi barulah menyebabkan berlakunya cubaan dalam menyelesaikan isu ini.

D. DEMOKRASI Ini adalah satu lagi aliran yang terdapat pada Mahatma Gandhi. Secara ringkasnya ia diertika sebagai pemerintahan kerajaan oleh rakyat untuk rakyat. Ada juga yang mendefinisikan sebagai suatu bentuk pemerintah yang bertanggungjawab ke atas yang diperintah atau kerajaan daripada perbincangan (K. Ramanathan 2003, 415). Di dalamnya terkandung beberapa ciri seperti, (1) peluang sama rata bagi rakyat untuk kepentingan mereka, (2) perbincangan terbuka atas dasar yang ingin dilaksana, dan (3) penghormatan atas peraturan negara yang tercapai menerusi kata putus atau permuafakatan.Sepertimana diketahui, sistem pemerintahan di India diadaptasi daripada kolonisasi yang dilakukan oleh penjajah Barat (British). Sistem ini awal-awal lagi ditukar dan menyebabkan India masih menggunapakai sehingga kini berasaskan kepada sebuah negara Republik (bukan lagi Monarki seperti sebelum penjajahan). Bertitik tolak daripada itu juga, ahli politik termasuk Gandhi menggunapakai dalam mentadbir urus negara.Demokrasi diterima dan digunapakai yang mana ia berasaskan kepada idea atau nilai berikut seperti sokongan popular terhadap kerajaan, persaingan politik, pertukaran kuasa, wakil popular, hak perbezaan pendapat dan tidak taat, persamaan politik serta perundingan popular (Roskin, Cord, Medeiros & John 1997, 64-69). Perkara-perkara asas sebegini apabila dikaitkan dengan Gandhi, pasti ada tindakan berkaitan dilakukannya.Beliau yang terlibat dalam politik dan tindak tanduknya yang berasaskan kepada konsep demokrasi begini jelas terpancar. Menurut Mohan Rao (1968, xix-xx), untuk menikmati kebebasan sebenar, kita harus belajar memerhati disiplin dalam sukarela. Disiplin secara sukarela adalah syarat pertama dalam kebebasan semua. Tanpa disiplin, toleransi dan menghormati antara satu dengan lain, cara demokratik adalah mustahil. Keadaan tertinggi yang mengukur disiplin terbesar dan kemanusiaan. Seorang yang lahir demokrat adalah seorang yang lahir dalam disiplin, tambahnya lagi.Cara demokrasi yang dijalankan oleh Gandhi tidak dapat dilihat tanpa usahanya ke arah kebenaran dan cara kekerasan. Perkara yang ditekan olehnya ini diaplikasikan menerusi tindakannya seperti tidak boleh sentuh, wanita dan bahasa kebangsaan. Mengambil contoh yang dikaitkan antara demokarasi dan wanita khasnya dalam bentuk hak dan kebebasan, Gandhi berasakan mereka seharusnya tidak menderita dengan peraturan yang tidak dikenakan ke atas lelaki. Beliau begitu tidak berkompromi mengenai hal ini dan memandang bahawa kedudukan (anak-anak) lelaki dan perempuan harus dilayan secara keadilan sempurna (Mohan Rao 1968, xxi).

6.0 CIRI-CIRI FALSAFAH POLITIKCiri-ciri bagi Mahatma Gandhi ialah Normatif. Mengapa dikatakan begitu? Melalui pemahaman mengenai Normatif, ia adalah suatu penilaian yang dilakukan berdasarkan kepada baik buruknya sesuatu perkara. Dan dalam ruangan ini iaitu Gandhi yang begitu lebih menfokuskan kepada nilai dalam masyarakat dan komuniti itu sendiri.Dapat dilihat hasil daripada tindak tanduknya yang amat menekankan kepada tindakan atau cara bagi mendapatkan sesuatu mengikut konsep pengamalannya iaitu Satyagraha dan Ahimsa. Menjadi sesuatu norma bagi setiap masyarakat untuk menekankan kepada nilai, moral dan etika dalam melakukan dan mendapatkan sesuatu. Hal ini terkesan khasnya sewaktu Satyagraha Garam. Adalah sesuatu yang sukar digambarkan bagaimana perhimpunan simbolik yang melanggar undang-undang ini mampu membinasakan Kerajaan British, atau bermanfaat bagi penyebab Swaraj, dan mengapa kuasa autoriti mengambil perhatian yang begitu serius akan sebuah demonstrasi ketidakpatuhan mengenai satu undang-undang tanah, kecuali kegairahan mereka menggambarkan politik tanpa kekerasan Gandhi dan membawa pergerakan ini dengan cara dan teknik efektif tanpa kekerasan terhadap perbadanan politik India (Ashutosh 1976, 56).Gandhi juga merupakan individu yang menekankan kepada rohani dalaman dan luaran, gambaran moral yang patut ada pada setiap individu atau insan serta tindak tanduk dan perilaku dalam setiap tindakan. Beliau pernah menyatakan bahawa beliau berusaha memupuk pendidikan rohani yang boleh mencerahkan akhlak (kanak-kanak) yang ternoda dan tidak begitu teguh (Soosai 1984, 481).

7.0 KESIMPULANSecara kesimpulannya, dapat dilihat bahawa individu yang bergelar Mahatma Gandhi ini mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri. Setiap daripada ajaran dan tindakan yang dilakukan serta diadakannya adalah bagi menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik untuk hidup atau a better place to live in. ajarannya jika benar-benar diamalkan oleh setiap individu dan manusia yang hidup di atas muka bumi ini, maka tidak berlakulah porak peranda, ketidakamanan, ketidakstabilan dan ketidakpuasan hati bagi sesiapa juga.Hal ini demikian kerana ajarannya yang berasaskan kepada nilai murni dan kebenaran sejati daripada agama yang dianutinya, Hindu. Diperkukuhkan lagi dengan apa yang sedia ada wujud dan tercipta dalam diri setiap manusia yang mahukan sesuatu yang baik bagi mereka dan orang lain, serta tidak mendatangkan kemudaratan pada masa akan dating. Walaubagaimanapun, sepertimana telah ditentukan, menjadi sesuatu yang agak mustahil untuk mengecapinya. Setiap manusia mahukan kelebihan tersendiri, pentingkan diri sendiri dan angkuh dalam mempertahankan sesuatu.Namun ingin ditampilkan di sini bahawa setiap daripada perkara dihadapinya adalah berasaskan kepada persoalan pokok yang begitu kukuh dipegang olehnya. Persoalan-persoalan tersebut adalah kewajipan politik, kebebasan, persamaan, komuniti, kuasa, keadilan serta, matlamat masyarakat dan negara. Persoalan-persoalan ini seterusnya membentuk aliran pemikiran falsafah politik Mahatma Gandhi kepada Nasionalisme, Liberalisme dan Konservatisme, Realisme serta Demokrasi. Dan ciri-cirinya lebih kepada Normatif iaitu penilaian antara baik dan buruk.Kerendahan diri dan perjuangan Gandhi begitu dihormati. Dalam apa juga keadaan yang dihadapinya, ia dilalui dengan tenang dan penuh kritikal tanpa mahukan kesakitan terhadap orang lain sama ada dalam atau luar. Beliau begitu berusaha bagi memperjuangkan sesuatu sehingga ke akhir hayatnya.

SEKIAN, TERIMA KASIH.

RUJUKANAshutosh Lahiry. 1976. Gandhi in Indian Politics: A Critical View. Calcutta: Firma KLM Private Limited.Brown, J. M. 1989. Gandhi: Prisoner of Hope. New Heaven & London: Yale University Press.Dasgupta, R. K. Gandis Political Philosophy. http://www.mkgandhi.org/ articles/dasgupta. htm [15 Mei 2013].Debjani Ganguly & Docker, J. 2007. Rethinking Gandhi and Nonviolent Relationity: Global Perspectives. United States of America: Routledge.Eknath Easwaran. 2005. Gandhi: The Man. Mumbai: Jaico Publishing House.Fischer, L. 1950. The Life of Mahatma Gandhi. United States of America: Harper & Row.________. 1967. Gandhi: Penghidupannja dan Pesannja untuk Dunia. Indonesia: P.T. Pembangunan.Karuna Mantena. Gandhi Political Realism. http://www.polthought.cam.ac.uk/seminars/intros2009-2010/Mantena_Introduction_10-05-10.pdf [10 Mei 2013].Hardiman, D. 2003. Gandhi in His Time and Ours. Delhi: Permanent Black.Hind Swaraj or Indian Home-Rule (1909): The Gandhian Concept of Self Rule. http://www.mkgandhi-sarvodaya.org/hindswaraj.htm. [15 Mei 2013].http://www.sscnet.ucla.edu/southasia/History/Gandhi/gandhi.html [15 Mei 2013].Hughes, T. M. & Gray, S. Gandhis Devotional Political Thought. http://www.academia.edu/ 2066350/ Gandhis_Devotional_ Political_Thought [13 Mei 2013].K. Ramanathan. 2003. Asas Sains Politik. Ed. ke-3. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.Mahatma Gandhi. http://www.mkgandhi.org/articles/g_thght.htm [10 Mei 2013]Majumdar, R. C. 1962. History of the Freedom Movement in India. Calcutta: Firma K. L. Mukhopadhyay. Majumdar, R. C., Raychaudhuri, H. C. & Kalikinkar Datta. An Advanced History of India. Ed. ke-2. Nationalism vs Internationalism. http://www.mkgandhi.org/momgandhi/chap91.htm [13 Mei 2013].Ninian, S. 2009. Falsafah Dunia. Kuala Lumpur: Institut Tejemahan Negara Malaysia Berhad.Pochhammer, W. V. 1981. Indias Road to Nationhood: A Political History of the Subcontinent. New Delhi: Allied Publishers rivate Limited.Rosenberg, J. Gandhi - Biography of Mahatma Gandhi. http://history1900s.about.com/od/people/a/gandhi.htm [15 Mei 2013].Roskin, M., Cord, R. L., Medeiros, J. A. & Jones, W. S. 1997. Political Science: An Introduction. Ed. ke-6. New Jersey: Prentice-Hall Inc.Saliha Hassan. 1999. Pengantar Falsafah Politik. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.Soosai, G. 1984. Bahana Kesetiaan Teruji. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.U. S. Mohan Rao. 1890. The Message of Mahatma Gandhi. India: Publications Division, Ministry of Information and Broadcasting, Government of India.Ved Mehta. 1972. Ajaran-ajaran Mahatma Gandhi: Kesaksian daripada Para Pengikut dan Musuh-musuhnya. Terj. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.Wolpert, S. 2004. A New Hostory of India. Ed. ke-7. New York: Oxford University Press.23