mastika hadis - jilid pertama

145
MUSTIKA HADIS JILID PERTAMA BAB PERTAMA BERIMAN KEPADA ALLAH TA'ALA Fasal Pertama: Mengenal Allah dan MengEsakan-Nya Firman Allah Taala, ertinya: Demi sesungguhnya Tuhan kamu hanya satu." (4, Surah as-Saaffaat). Sifat-sifat Ketuhanan: " .. dan tidak ada yang bersifat ketuhanan (1) melainkan Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya." (65, Surah Sad). Ilmu Dan Martabat-martabatnya: "Maka hendaklah engkau berusaha mendapat ilmu (2) yang meyakinkanmu: "Bahawa tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah (19, Surah Muhammad). " .. (kerana) sesungguhnya sangkaan (zan) tak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (i'tiqad) (36, Surah Yunus). ____________________________ (1) Yang bersifat ketuhanan ialah yang terhimpun padanya dua sifat yang menjadi sebagai ibu bagi segala sifat kesempurnaan Tuhan iaitu: Pertama - terkayanya daripada segala yang lain. tidak berhajat kepada sesuatu apapun dan Kedua - menjadi tumpuan bagi sekalian makhluk. Yakni ia sentiasa dituju dan dihajati oleh tiap-tiap yang lain untuk memohon - sama ada dengan tutur kata atau dengan keadaan semula jadi ataupun dengan persediaan yang azali - akan segala keperluan dan kesempurnaan masing-masing (2) Sayugia diketahui bahawa: (a) Pendapat yang terbukti kepastian tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan ilmu. (b) Pendapat yang buktinya memberikan kuat anggapan tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Zan. (c) Pendapat yang buktinya memberikan hanya sangkaan yang lemah tentang tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Waham. (d) Pendapat yang buktinya tidak memberi ketetapan adakah tepat atau tidaknya. dinamakan: Syak.

Upload: rusli-abdullah

Post on 15-Jun-2015

3.250 views

Category:

Documents


40 download

DESCRIPTION

Koleksi hadis berkaitan rukun iman dan syarah ringkas

TRANSCRIPT

MUSTIKA HADISJILID PERTAMA

BAB PERTAMA BERIMAN KEPADA ALLAH TA'ALA

Fasal Pertama: Mengenal Allah dan MengEsakan-Nya Firman Allah Taala, ertinya: Demi sesungguhnya Tuhan kamu hanya satu." (4, Surah as-Saaffaat). Sifat-sifat Ketuhanan: " .. dan tidak ada yang bersifat ketuhanan(1) melainkan Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya." (65, Surah Sad). Ilmu Dan Martabat-martabatnya: "Maka hendaklah engkau berusaha mendapat ilmu(2) yang meyakinkanmu: "Bahawa tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah (19, Surah Muhammad). " .. (kerana) sesungguhnya sangkaan (zan) tak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (i'tiqad) (36, Surah Yunus).

____________________________(1) Yang bersifat ketuhanan ialah yang terhimpun padanya dua sifat yang menjadi sebagai ibu bagi segala sifat kesempurnaan Tuhan iaitu: Pertama - terkayanya daripada segala yang lain. tidak berhajat kepada sesuatu apapun dan Kedua - menjadi tumpuan bagi sekalian makhluk. Yakni ia sentiasa dituju dan dihajati oleh tiap-tiap yang lain untuk memohon - sama ada dengan tutur kata atau dengan keadaan semula jadi ataupun dengan persediaan yang azali - akan segala keperluan dan kesempurnaan masing-masing (2) Sayugia diketahui bahawa: (a) Pendapat yang terbukti kepastian tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan ilmu. (b) Pendapat yang buktinya memberikan kuat anggapan tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Zan. (c) Pendapat yang buktinya memberikan hanya sangkaan yang lemah tentang tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Waham. (d) Pendapat yang buktinya tidak memberi ketetapan adakah tepat atau tidaknya. dinamakan: Syak.

(e) Pendapat yang terbukti tidak tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: "Jahl" (kejahilan) dan orang yang berpendapat demikian dinamakan "jahil" atau orang yang tidak berpengetahuan. Pendapat yang pertama: Dituntut untuk akidah kepercayaan dan juga untuk hukum-hakam sedapat-dapatnya; dan pendapat yang kedua sah dipakai hanya bagi menentukan hukum hakam, tidak untuk akidah kepercayaan. Ada pun pendapat yang ketiga; tidak harus dipakai untuk apa-apa pun, lebih-lebih lagi yang keempat.

1- . 1- Dari Abu Ma'bad dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Mu'az bin Jabal ketika Baginda s.a.w mengutusnya ke negeri Yaman ".. Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum: Ahli kitab, kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah supaya mereka meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah ."

( ) Menurut satu riwayat yang lain (Baginda s.a.w. bersabda): ..."Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah supaya mereka mengakui keEsaan Allah Taala..."

( ) Dan pada satu riwayat pula, (Baginda s.a.w. bersabda) "...Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadanya ialah (tunjang atau asas) ibadat kepada Allah. .."

() (Bukhari dan Muslim) Hadis yang pertama ini mengandungi tentang: (1) Islam berkembang dengan jalan dakwah. (2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah. (3) Dakwah Islamiah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani. (4) Asas agama ialah Ma'rifat Allah. Huraiannya: (1) Islam berkembang dengan jalan dakwah. Islam - sebagaimana yang sedia maklum - adalah agama yang berasaskan i'tiqad atau kepercayaan mengenal perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, yang wajib dipegang teguh oleh setiap penganutnya.

Untuk meresapkan sesuatu kepercayaan ke dalam hati, tak dapat tidak berkehendakkan kebijaksanaan dan cara yang sebaik-baiknya dalam masa menjalankan dakwah dengan memberi penerangan yang jelas dan berkesan, sesuai dengan keadaan zaman dan keadaan orang-orang yang ditujukan dakwah Islamiah itu kepadanya. Aqidah kepercayaan tidak akan dapat dimasukkan ke dalam jiwa seseorang dengan jalan kekerasan atau paksaan dan Islam tidak dikira sah jika seseorang itu pura-pura Islam pada zahirnya sedang hatinya kosong dari aqidah kepercayaan yang diakui dan diyakininya. Dengan itu nyatalah tidak benarnya orang-orang yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menyebarkan Islam dengan pedang kerana kuasa pedang tidak dapat memasukkan kepercayaan ke dalam hati seseorang. Peperangan Jihad yang pernah dilancarkan oleh Baginda s.a.w. adalah untuk membela Islam dan umat Islam dari pencerobohan musuh. (2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah. Dakwah adalah satu tugas yang penting dalam Islam kerana kepadanyalah bergantung maju mundurnya perkembangan Islam. Oleh itu maka pihak yang berkuasa bertanggungjawab melantik orang-orang yang layak menjayakannya. Rasulullah s.a.w. telah melantik orang-orang yang menjalankan tugas ini dari kalangan guru-guru agama, pegawaipegawai daerah dan lain-lainnya. Di antaranya ialah Mu'az bin Jabal yang tersebut perihalnya dalam hadis ini. Mu'az diutuskan oleh Baginda s.a.w. ke negeri Yaman pada tahun yang kesepuluh hijrah - sebelum daripada Baginda berangkat ke Mekah untuk menunaikan "Haji Wadaa". Mu'az dipilih oleh Baginda s.a.w. menjalankan tugas dakwah Islamiah di negeri Yaman bukan sahaja kerana kelayakannya sebagai seorang ahli agama yang pengetahuannya mendalam tentang Islam tetapi juga kerana ia berasal dari Yaman yang mengetahui selok belok negeri itu dan tabiat serta adat resam penduduknya. Mu'az ditugaskan menjalankan dakwah kepada sekalian penduduk daerah Yaman yang masih belum Islam dan oleh kerana di antaranya golongan ahli kitab (kaum Yahudi) yang pada umumnya berilmu pengetahuan, maka Baginda s.a.w. mengingatkan Mu'az supaya ia bersedia menghadapi mereka dengan cara yang lain dari cara menghadapi orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. (3) Dakwah Islamlah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani. Nabi Muhammad s.a.w. diutus oleh Allah Taala kepada umat manusia seluruhnya. Tiap-tiap seorang yang hidup dalam zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian, sama ada ia Yahudi, atau Nasrani, atau penyembah berhala atau lain-lainnya, wajib beriman kepada Baginda s.a.w. dan menerima agama Islam yang dibawanya. Tiap-tiap seseorang tidak sah imannya kepada Allah Taala selagi ia tidak beriman kepada sekalian Rasul-Nya - mulai dari Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kaum Yahudi dan Nasrani yang dipanggil dengan nama "Ahli Kitab" (pengikut kitab-kitab Taurat dan Injil), bukan sahaja telah mengubah dan merosakkan ajaran kitab-kitab mereka tetapi telah menyeleweng dari i'tiqad Tauhid yang sebenar. Mereka mendakwa bahawa mereka beribadat kepada. Allah Taala, tetapi "Allah" menurut fahaman mereka yang telah rosak itu hanyalah nama sahaja bukanlah Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang diterangkan oleh Allah sendiri di dalam al-Qur'an dan diterangkan oleh rasul-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu. (4) Asas agama ialah Ma'rifat Allah.

Islam ialah agama ciptaan Allah yang diturunkan melalui Rasul-rasulnya yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat. Dalam agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terkandung hukum-hukum dan amalan-amalan meliputi segala bidang hidup, dari perkara yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya dan semuanya itu bergantung kepada satu asas yang penting - "Marifat Allah", iaitu mengenal Allah Subhanahuwataala dan mengakui keEsaanNya. Hakikat ini telah disimpulkan oleh ulama Tauhid dalam kalimah "Awalud Din Ma'rifat Allah" (asas agama ialah mengenal Allah), iaitu intisari dari maksud hadis yang kami sebutkan dalam bab ini. Jelasnya, sebagaimana sesebuah bangunan bergantung kepada asasnya tentang teguh kukuh atau tidaknya, maka demikianlah pula halnya "Ma'rifat Allah" itu, tiap-tiap seorang wajib memahaminya supaya meresap dan sebati dalam jiwanya sehingga menjadi satu keyakinan yang dapat mempengaruhi seluruh perasaan dan gerak langkahnya untuk memikul tanggungjawab menjalankan hukum-hukum Islam dan amalannya. Sekiranya asas Ma'rifat ini tidak kukuh dan hanya dalam peringkat sangkaan semata-mata, maka inilah sebabnya seseorang itu tidak merasa bertanggungjawab dalam menjalankan hukum-hukum dan amalan yang tersebut dengan sepenuhnya. Ma'rifat Allah wajib pada syarak dan juga wajib pada akal. Tiap-tiap seorang manusia apakala ia lahir ke alam wujud ini, ia akan dapat menerima berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung. Di antaranya ialah tubuh badannya dilengkapkan dengan nikmat-nikmat yang tidak ternilai seperti mata, telinga dan lain-lainnya yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sendiri atau makhluk-makhluk yang lain Maka tidaklah patut bagi orang yang menerima nikmat itu kalau ia tidak mahu mengenal siapakah pemberinya dan tidak mahu bersyukur akan pemberian yang sangat-sangat berharga itu. Sikap yang demikian, tak dapat disangkal lagi tentang tidak patutnya kalau difikirkan oleh orang-orang yang berakal siuman yang menggunakan akalnya dengan jujur. Lebih-lebih lagi tidak patut kalau orang itu menggunakan nikmat pada bukan tempatnya dan ia pula menentang serta menderhaka kepada yang melimpahkan nikmat itu kepadanya. Kerana sikap yang demikian menggambarkan ketiadaan peri kemanusiaan. Allah Taala Yang Maha Pemurah, lagi Amat Mengasihani, yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung kepada sekalian makhluk, telah mengingatkan manusia supaya mengenal-Nya dan mengakui keEsaanNya, dengan firmanNya :

yang maksudnya memerintahkan manusia supaya masing-masing berusaha

mencari jalan mengenal-Nya dengan sepenuh-penuh yakin, kerana Dialah Pencipta manusia dan alam seluruhnya, dan Dialah juga yang mengurniakan segala nikmat yang mereka gunakan dalam alam kehidupan ini. Dengan ini jelaslah bahawa "Ma'rifat Allah" (mengenal Allah) itu hukumnya wajib pada syarak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan juga diakui wajibnya oleh akal yang siuman. Sesiapa yang tidak mahu mengambil berat mengenal Allah, sedang ia sentiasa menggunakan nikmatnikmat pemberian-Nya maka sikapnya yang demikian adalah bertentangan dengan "Fitrah insaniah" (keaslian perikemanusiaannya) dan melanggar perintah Allah Taala serta mencuaikan kegunaan akalnya sendiri.

Jalan yang menyampaikan kepada ma'rifat.

Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat-sifatNya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah Taala, yang wajib al Wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat-sifat-Nya. Tetapi sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera, hanya dapat diyakini dari kesan sifatsifatnya yang ternyata pada kejadian-kejadian alam yang diciptakan-Nya. Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian-kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur, bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan di akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkaraperkara dan benda-benda yang ada dalam alam nyata yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat-alatnya sahaja. Maka dengan keadaannya yang demikian, sudah tentu ia tidak dapat memikirkan sama sekali tentang zat Allah Taala yang bukannya dari jenis-jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya. Oleh sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang diutus oleh Allah Taala untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, telah menerangkan tentang cara menggunakan fikiran untuk "mengenal Allah" dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang sahabat Baginda s.a.w. iaitu Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.

2- " ( ". ) 2- Dari Ibn Abbas r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang diciptakan Allah), tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah. ..." (Abu al-Sheikh)

3- : " ( ". ) 3- Dari Abu Zar, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala makhluk Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah, kerana yang demikian menyebabkan kamu binasa (dalam kesesatan)." (Abu al-Sheikh)

4- " ( ". ) 4- Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala nikmat Allah dan pemberian-Nya dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah. " (Abu al-Sheikh dan al-Tabarani) Hadis-hadis itu meskipun berlainan sedikit di antara satu dengan yang lain tentang lafaznya, tetapi sama sahaja maksudnya, iaitu menyuruh tiap-tiap orang memikirkan segala kejadian dalam alam yang telah diciptakan oleh Allah Taala dan pelbagai jenis nikmat yang telah dikurniakan-Nya. Serentak dengan itu Baginda s.a.w. melarang keras daripada memikirkan tentang "Zat Allah" kerana yang demikian bukan sahaja tidak dapat dicapai oleh akal fikiran bahkan akan menjerumuskan orang yang melakukannya dalam kesesatan. Demikian maksud hadis-hadis itu.

Soal ini jelas sekali kerana Zat Allah Taala adalah Zat Yang Maha Tinggi, tidak dapat diketahui hakikatnya oleh akal yang memang terbatas kemampuannya. Oleh itu, hal ini tidak menjadi masalah dan tidak patut dijadikan satu perkara yang dimusykilkan. Kerana soal kita tidak mengetahui hakikat sesuatu, tidak menjadi hal, asalkan kita dapat mengetahui sifat-sifatnya dan faedah-faedah yang didapati daripadanya sesuai dengan keperluan kita. Misalnya: Tenaga elektrik dan besi berani yang kita sentiasa menggunakannya dan mengambil faedah daripadanya, tidak diketahui hakikatnya dan ahli sains sendiri tidak juga mengetahuinya dan tidak pernah mereka menjelaskan hakikatnya kepada kita. Maka bagaimana seseorang hendak mengetahui hakikat Zat Allah Yang Maha Tinggi yang tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya? Sedang banyak di antara benda-benda yang diciptakan-Nya - yang ada di sekeliling kita - tidak juga diketahui hakikatnya oleh akal kita. Sekiranya seseorang itu cuba juga memikirkan tentang hakikat Zat Allah yang tidak ada tara-Nya itu, sudah tentu fikirannya memberi satu gambaran yang tidak benar dan tidak tepat dengan hakikat-Nya yang sebenar dan ini adalah buruk padahnya - sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis yang tersebut - kerana orang itu telah menggunakan akalnya pada bukan tempatnya. Dalam pada itu, akal dapat memberi keyakinan tentang wujudnya Allah Taala dan tentang sebahagian dari sifatsifat kesempurnaan-Nya, apabila dibuktikan oleh dalil-dalil akal yang jelas nyata; manakala sebahagian lagi dari sifatsifat kesempurnaan-Nya dapat diterima dari al-Qur'an atau hadis yang "Mutawatir" Dalil akal yang membuktikan wujudnya Allah Taala. Di antara dalil-dalil akal yang membuktikan wujud-Nya Allah Taala dan ketinggian martabat wujud-Nya ialah: bahawa segala yang ada ini - selain dari Allah - adalah wujudnya baharu: dari tiada kepada ada. Hal ini diakui kebenarannya oleh akal dan juga oleh kenyataan-kenyataan yang lahir. Jelasnya tiap-tiap apa jua yang sah pada akal wujudnya, terbahagi kepada dua martabat: Pertama sesuatu yang wujudnya "Wajib ada" (wajib al wujud), yakni wujudnya itu memang hakikat zatnya, bukan disebabkan oleh yang lain. Kedua - sesuatu yang wujudnya "Mungkin ada" (Mumkinal wujud), yakni yang wujudnya berpunca dari yang lain, sedang hakikatnya mungkin ada dan mungkin tiada. Apabila telah sabit, bahawa wujud martabat yang kedua ini baharu: Dari tiada kepada ada, dan wujudnya itu disebabkan oleh yang lain, maka sudah tentu ada penciptanya yang maha tinggi martabat wujudnya, iaitu zat yang wajib al wujud; dan sudah tentu pula bahawa tiap-tiap yang baharu wujudnya sentiasa berhajat kepada pemberi wujudnya itu dalam setiap saat, kerana sifat berhajatnya itu adalah suatu sifat yang tak dapat dipisahkan dari hakikatnya. Tegasnya sebagaimana tiap-tiap yang baharu itu berhajat kepada pemberi wujudnya dari tiada kepada ada, ia juga berhajat kepada pemberi wujudnya itu untuk mendapat bantuan bagi meneruskan wujudnya. Dengan itu nyatalah bahawa hakikat sesuatu yang mungkin wujudnya tak dapat sama sekali - dengan hakikatnya itu memberi atau menerbitkan sebarang kesan pun dan juga tak dapat menerima wujudnya dari sesuatu yang sama dengannya tentang keadaan mungkin wujudnya.

Dengan demikian, sudah tentu punca bagi menerbitkan sebarang kesan dan mengadakan segala yang ada hanyalah Zat Allah s.w.t. yang wajib al-wujud. Apabila kita memahami akan hakikat wajib al-wujud maka sudah tentu kita dapat meyakini bahawa wujudnya itu adalah wujud hakiki, tidak berpermulaan dan tidak berkesudahan serta tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya. Dalil akal yang membuktikan sifat-sifat kesempurnaan Allah Taala. Di antara dalil-dalil akal yang membuktikan sebahagian dari sifat-sifat kesempurnaan Allah Taala ialah apabila kita melihat sebuah lukisan yang menarik perhatian, sudah tentu kita faham dan percaya bahawa lukisan itu ada pelukisnya, serta kita yakini bahawa pelukisnya itu mempunyai ilmu pengetahuan tentang peraturan dan kaedahkaedah melukis, mempunyai kemahuan untuk menentukan gambaran-gambaran, gaya, bentuk dan kadar besar kecilnya lukisan itu dan mempunyai daya dan kuasa membuat lukisan dan mewarnakannya mengikut corak yang dikehendaki. Untuk menguatkan lagi kepercayaan dan keyakinan itu cubalah kita perhatikan tubuh badan kita sendiri. Tiap-tiap kita tersusun dari berbagai-bagai anggota dan alat perkakas untuk mengisar, menapis, membuang dan lainlain lagi. Masing-masing ada peraturan yang tertentu dalam menjalankan dan menyempurnakan tugasnya dan masing-masing pula patuh kepada peraturan yang ditentukan baginya. Jika tidak maka tugasnya tidak akan berhasil atau tidak akan sempurna. Dengan segala perhatian yang demikian maka akal kita yang sihat dan siuman dapat membuat kesimpulan dengan sepenuh-penuh percaya dan yakin bahawa: (1) Alam seluruhnya tetap ada yang menciptakannya dan mentadbirnya. (2) Yang mencipta dan mentadbirkan alam ini ialah Zat yang wajib al-wujud yang bersifat dengan: (a) Sifat hidup selama-lamanya (b) Sifat mengetahui segala-galanya dengan setepat-tepatnya dan seluas-luasnya. (c) Sifat iradat yang menentukan dan menetapkan segala-galanya dengan sebijak-bijak dan sebebas-bebas; dan (d) Sifat kekuasaan mengadakan dan meniadakan segala-galanya menurut cara yang tertentu dan kaedah yang rapi Dalil akal yang membuktikan KeEsaan Allah Taala. Di antara dalil-dalil akal yang membuktikan keEsaan Allah Taala ialah: bahawa apa-apa jua pekerjaan akan rosak jika ditadbirkan oleh dua ketua yang masing-masing mahukan pangkat ketua itu menjadi haknya sahaja kerana dengan demikian akan timbullah perselisihan dan gejala-gejala hendak mengatasi satu sama lain. Kalau ini boleh berlaku ketika berbilang-bilang ketua maka apa pula yang akan berlaku kalau berbilang-bilang tuhan sedang sifat ketuhanan ialah kebesaran dan keagungan yang cukup sempurna Oleh itu kalaulah Tuhan berbilang dan salah satunya berkuasa penuh mentadbir dan mengurus sudah tentu akan luput dan lumpuhlah sifat-sifat Tuhan yang lain. Kalau perlu tuhan-tuhan itu bersekutu sudah tentu akan luput dan lumpuhlah sebahagian dari sifat-sifat ketuhanan masing-masing, padahal luput dan lumpuhnya sifatsifat ketuhanan adalah bertentangan dengan kesempurnaan kebesaran dan keagungan.

Dengan ini nyatalah bahawa sudah semestinya Tuhan itu Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Tambahan pula kalau seseorang dengan jujurnya memerhatikan wujudnya perpaduan dan susunan kejadian alam ini, nescaya ternyata kepadanya perpaduan yang menyatukan tiap-tiap satu dengan yang lain dalam keadaan yang serapi-rapinya sehingga gerak-geri tiap-tiap satu kejadian itu menyempurnakan yang lain dengan tidak berlawanan atau bertentangan; demikian juga kalau ia memerhati nampaklah kepadanya keseimbangan dan kesatuan dalam perhubungan antara sesuatu kejadian dengan yang lain, sekalipun bentuk dan keadaannya berlainan. Semuanya itu adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa seluruh alam ini adalah merupakan satu kesatuan yang terikat rapi yang tidak akan lahir melainkan dari satu punca yang tunggal, iaitu yang wajib al-wujud, yang telah mencipta dan mengaturnya dalam keadaannnya yang demikian. Selain dari itu, segala yang terkandung di dalam alam ini dari bahan-bahan, kekuatan, tenaga dan gerak adalah satu tentang tabiat yang ditetapkan oleh Maha Pencipta pada masing-masing , juga satu pada peraturannya, undangundangnya, halanya dan matlamatnya. Maka ini juga di antara bukti-bukti yang menunjukkan keEsaan penciptanya. Dalil al-Quran yang menjelaskan sifat-sifat kesempurnaan dan keEsaan Allah Taala. Menurut keterangan al-Quran pula, maka di antara ayat-ayat suci yang menjelaskan sebahagian dari sifat-sifat kesempurnaan Tuhan ialah firman Allah Taala, maksudnya: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang tetap Hidup, Yang Kekal selamalamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya) Yang tidak mengantuk usah tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya (alam langit dan bumi); dan Dialah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)." (255 Surah al-Baqarah). Ayat suci ini menjelaskan bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan: (1) Dialah sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya yang berhak disembah dan dipatuhi. (2) Dialah sahaja yang hidup secara mutlak - terlepas dari pengertian hidup yang difahami oleh manusia. (3) Dialah sahaja yang kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya serta memberikannya segala yang diperlukan untuk kepentingan hidup masing-masing. (4) Maha Suci ia daripada letih lesu atau lalai atau mengantuk ataupun tidur. (5) Menguasai segala yang ada di langit dan di bumi dengan penguasaan mutlak yang meliputi. (6) Bebas melakukan segala yang dikehendaki-Nya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mempersoalkan hukum-Nya, atau yang dapat menolak keputusan-Nya, atau yang berani mengubah apa yang telah ditentukan dan dikehendakiNya, sama ada dengan meminta syafaat pertolongan atau mengemukakan rayuan - kecuali setelah ia diizinkan, maka pada ketika itu ia tunduk mematuhi dan memohon syafaat dalam lingkungan yang dibenarkan, sesuai dengan keadaannya. (7) Maha mengetahui akan keadaan sekalian makhlukNya, meliputi segala apa jua yang sedang mereka hadapi atau yang tidak kelihatan kepada mereka dari segala yang sedang berlaku atau yang akan berlaku. Sebaliknya, mereka

sendiri tidak mengetahui sesuatu pun dari apa yang diketahui oleh Allah Taala - kecuali apa yang Allah kehendaki mereka mengetahuinya. (8) Dialah sahaja pemerintah agung; kebesaran-Nya dan ilmu-Nya meliputi langit dan bumi. (9) Dialah sahaja yang mempunyai sepenuh-penuh kekuasaan. Tiadalah menjadi keberatan atau kesukaran kepadaNya menjaga dan memelihara alam langit dan bumi dan segala yang ada pada kedua-dua alam itu. (10) Dialah jua Yang Maha Tinggi kebesaran dan kemuliaan-Nya, tidak ada yang mengatasi-Nya; dan dialah jua yang Maha Besar kekuasaan-Nya, yang tidak ada bandingan-Nya. Ayat suci ini, sebagaimana ia menerangkan sifat-sifat Tuhan Maha Pencipta, ia juga memandu manusia supaya janganlah menujukan amal ibadatnya melainkan kepada Allah, dan janganlah ia bertanggungjawab mematuhi melainkan apa yang diperintahkan oleh Allah Taala mengerjakannya dari segala amal kebajikan. Demikian juga hendaklah manusia - hati kecilnya dan keseluruhan hidupnya terikat kukuh dengan Allah Taala yang mentadbirkan urusan hidupnya dan urusan segala apa jua yang ada di sekelilingnya; dan hendaklah Ia sentiasa memohon kepada Allah apa jua yang mendatangkan kebaikan kepadanya dan menyebabkan dia mencapai kebahagiaan - di dunia dan di akhirat. Dan bahawa manusia tidak mempunyai hak milik yang asal dalam sesuatu jua pun, tetapi dapat disabitkan baginya hak milik yang terbit dari pemberian Allah pemilik yang asal, yang menjadikan seseorang itu menguasainya sebagai wakil. Dengan yang demikian, wajiblah atas orang itu mematuhi dengan sepenuhnya syarat-syarat pemilik yang asal Allah Taala- yang menjadikannya wakil menguasai pemberian itu. Jika tidak, maka akan menjadilah apa yang dilakukannya mengenai urusan hak milik yang diberikan itu tidak sah dan ia akan menerima balasan yang sepadan dengan kesalahannya. Demikian juga hendaklah ia tetap memperhambakan diri kepada Allah Taala dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah, dan janganlah ia mencuaikan semuanya itu dengan hanya menumpukan harapannya untuk mendapat syafaat pertolongan, sedang syafaat itu tidak akan diperolehi melainkan setelah diizinkan oleh Allah Taala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai. Tiap-tiap seorang juga hendaklah sentiasa waspada dan tetap sedar sehingga ia tidak lalai daripada mengira dan mengawasi segala gerak-gerinya. Janganlah ia melakukan sesuatu perbuatan atau menuturkan sesuatu perkataan yang tidak diredhai oleh Allah Taala yang mengetahui segala-galanya. Demikian juga seseorang itu tidak harus bercakap besar dan bermegah megah dengan ilmu pengetahuan yang dikurniakan Allah kepadanya, tetapi wajiblah ia bersyukur kepada Allah dan memujinya, sambil berdoa semoga Allah Taala menambahkan lagi ilmu yang diberikan kepadanya. Tiap-tiap seorang juga hendaklah sentiasa mengingati ketinggian martabat Allah Taala dan kebesaran kekuasaanNya, supaya merasa hebat dan gerun gementar, dan supaya Ia takut untuk mengadap Allah Taala dalam keadaan cuai menjalankan tanggungjawabnya. Oleh itu hendaklah ia memperbanyakkan ibadat dan amal kebajikan dan menjauhkan diri daripada melakukan khianat, kezaliman dan segala perkara yang dilarang. Betapa tidak? Sedang manusia walau setakat mana tinggi darjatnya dan kebesarannya, maka Ia tidak sekali-kali terlepas dari sifatnya sebagai hamba Allah Taala Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Di antara ayat-ayat suci yang mengenai keEsaan Allah pula ialah firman Allah Taala, ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku yang aku serukan kamu menyembah-Nya itu) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya." (1-4 Surah al-lkhlas). Surah "al-Ikhlas" ini yang juga dinamakan Surah "at-Tauhid" menetapkan dengan tegas tentang keEsaan Allah Taala yang sebenar-benarnya dan kekayaan-Nya yang sehabis-habis lengkap sempurna serta menafikan daripadaNya persamaan atau perbandingan dengan yang lain.

Dengan sabitnya keEsaan yang sebenar-benarnya bagi Allah Taala, maka nyatalah bahawa wujud Zat-Nya bersih suci daripada tersusun yang membawa kepada berjisim atau berpihak, dan bersih suci daripada berbilang yang membawa kepada persamaan pada hakikat wujud-Nya, dan yang membawa kepada dipersekutukan pada keistimewaankeistimewaan hakikat Zat-Nya yang membuktikan sifat-sifat ketuhanan-Nya, seperti wajib bersifat wujud dan ilmu yang meliputi, juga kebijaksanaan yang sempurna serta kudrat yang menguasai seluruh makhluk-Nya. Demikian juga, dengan sabitnya kekayaan Allah yang sehabis-habis lengkap sempurna, terbuktilah bahawa Allah Taala jua Yang Maha Kaya secara mutlak, yang menjadi tumpuan sekalian makhluk-Nya untuk memohon apa sahaja yang mereka perlukan, untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat. Dengan sabitnya kedua-dua sifat itu - keEsaan dan kekayaan - bagi Allah Taala, maka ternafilah dan tidaklah ada sebarang celah bagi sesiapa pun untuk mengatakanNya beristeri atau beranak-pinak, atau menyamakan-Nya, atau membandingkan-Nya atau pun mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua pun. Surah "al-Ikhlas" ini menetapkan dan menegaskan keEsaan wujudnya Allah Taala, keEsaan ketuhanan-Nya dan keEsaan kuasa memberi. Jelasnya Surah "al-Ikhlas" ini menegaskan; Bahawa tidak ada wujud yang hakiki, atau yang wujudnya memang hakikat Zat-Nya melainkan wujud Allah Taala; dan bahawa tidak ada yang memperkenan doa permohonan orang-orang yang memohon, dan tidak ada sebarang kekuatan, tenaga atau kegiatan melainkan Allah jualah yang menjadi puncanya. Kesimpulannya, Allah Taala Maha Esa pada ketuhanan-Nya, dan Allah Taala sahajalah yang menjadi tumpuan untuk memohon sebarang hajat; tiada sesuatu pun yang menyamai-Nya dan tidak pula Ia menyamai sesuatu yang lain. Dalam pada itu, Allah Azza wa Jalla amat dekat (pengetahuan-Nya) kepada tiap-tiap makhluk, dan tiap-tiap makhluk yang wujud itu adalah mendapat wujudnya dan seluruh keadaannya daripada wujud Allah Taala Yang Maha Esa lagi Maha Kaya. Surah "al-Ikhlas" ini juga sebagaimana ia menetapkan dan menegaskan hakikat yang demikian, ja juga menyedarkan hati nurani manusia tentang akidah Tauhid yang sebersih-bersihnya dari sebarang syirik, supaya manusia menjadikannya asas bagi amal ibadatnya dan tingkah lakunya di sepanjang hidupnya; maka dengan itu manusia tidak akan menyembah melainkan Allah Azza wa Jalla dan tidak akan menunjukan permohonannya dalam masa senang dan susahnya melainkan kepada Allah Taala. Dan di antara ayat-ayat yang menjelaskan sifat-sifat kesempurnaan Tuhan ialah akhir ayat 164 Surah an-Nisa' yang menyatakan bahawa: Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa a.s., kata-kata yang ia sendiri memperdengarkannya. Dan lagi akhir ayat 11 Surah asy-Syura yang menerangkan bahawa tidak ada sesuatu pun yang menyerupai atau yang menyamai Allah s.w.t. baik pada Zat-Nya Yang Maha Suci mahu pun pada sifat-sifat-Nya Yang Amat sempurna, juga pada kegiatan sifat-sifat itu; dan bahawa Allah Azza wa Jalla Amat Mendengar lagi Amat Melihat. Maka dengan maksud dua potongan ayat yang tersebut wajiblah di i'tiqadkan bahawa Allah Taala bersifat dengan keadaan-Nya: (1) Berkata-kata - Menyuruh, melarang, menjanjikan pahala dan seksa serta menceritakan kisah-kisah pengajaran. (2) Mendengar - Tidak tersembunyi kepada pendengaranNya sesuatu walau seberapa sulit pun. (3) Melihat - Tidak terlindung kepada penglihatan-Nya sebarang perkara sekalipun halus dan tertutup. (4) Menyalahi segala rupa bentuk, segala corak warna dan segala cara dan gaya didapati oleh pancaindera atau yang difikirkan oleh akal, juga berkeadaan tidak diliputi oleh masa atau tempat:

Fasal Kedua Membersihkan Tauhid Dari Sebarang Syirik Islam - sebagaimana yang telah dijelaskan- adalah agama Tauhid yakni agama yang berasaskan iman kepada keEsaan Allah Yang Maha Kuasa. Maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kesempurnaan Tauhidnya. Tauhid yang sempurna itu apabila ke dalam hati nurani seseorang akan melahirkan kesan-kesannya kepada seluruh tingkah laku dan bawaan hidupnya, dan akan memberi kesedaran kepadanya untuk sentiasa waspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalannya supaya ia tidak diselewengkan kepada yang lain dari Azza wa Jalla. Boleh dikatakan sebahagian besar dari orang-orang yang mengaku dirinya beriman dan bertauhid kepada Allah dan mengakui bahawa Allah jualah yang mencipta mereka dan menciptakan langit dan bumi tetapi tauhid mereka tidak penuh membulat kepada Allah Yang Maha Esa kerana ada di antaranya -semasa mengerjakan ibadat- tujuan ibadat itu tidak bersih kepada Allah semata-mata. Ada pula yang menumpukan taat setia kepada Allah dengan menjalankan hukum-hukum syariat-Nya tetapi serentak dengan itu mereka mengubah hukum syarak itu dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsunya. Semuanya itu adalah merupakan syirik. Bagi menjelaskan setakat mana buruknya akibat syirik itu, maka di bawah ini diturunkan beberapa ayat suci dan hadis Nabi mengenainya. Di antara ayat-ayat itu: Firman Allah Taala ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...'(151 Surah al-Maidah) "... Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka ...." (72 Surah al-Maidah) " ... Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan lain Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh rombongan burung (sehingga ia hancur berkecai-kecai) atau dihumban oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)" (31, Surah al-Hajj) "Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110 Surah al-Kahfi). Ayat yang pertama: Menyatakan hukum melakukan syirik, iaitu Allah s.w.t. mengharamkan manusia melakukan sebarang rupa syirik, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. Ayat yang kedua: Menyatakan balasan buruk yang dijanjikan kepada orang yang melakukan syirik. Ayat yang ketiga: Menggambarkan bagaimana dahsyatnya keadaan dan balasan orang yang melakukan syirik. Ayat yang keempat: Menyatakan bahawa dengan amalan salih serta ketiadaan syirik sahajalah yang membolehkan seseorang berharap mendapat nikmat mengadap Tuhannya. Dan di antara hadis-hadis pula:

5- ( . )

5- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w, bersabda: "Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka. " (Bukhari dan Muslim) Hadis yang kelima ini. menerangkan: Akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik. Huraiannya Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat "Uluhiyah"Nya atau sifat "Rububiyyah"Nya. Sifat "Uluhiyah" Allah `Azza wa Jalla ialah sifatNya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya, ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan perkara-perkara yang tidak diingini. Sifat "Rububiyyah"Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap-tiap satunya, mengatur dan menyusun undang-undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing-masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia. Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah Taala nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah, walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah. Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah Yusof, ayat 106. maksudnya: Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik. Dengan itu nyatalah amat buruknya seseorang mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai dan mentaati Allah, atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara, kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan, sebab, atau alat untuk menjayakan maksudnya. Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang-undang dan peraturan, atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan, atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang i'tiqad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.

6- ( ... . ) 6- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. " Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w. menjawab: "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah . (Bukhari dan Muslim) Hadis yang keenam ini memerintahkan supaya:

Menjauhi syirik dalam segala bentuknya. Setelah kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik, maka dengan ini kita diperintahkan supaya menjauhi dan menyingkirkan segala jenis syirik terhadap Allah, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. Syirik yang besar atau yang nyata itu ialah: mempercayai adanya sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah s.w.t., yang ditujukan kepadanya doa permohonan, yang diuntukkan kepadanya satu-satu cara ibadat, dan yang ditakuti bala bencananya. Dengan adanya syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah berbelah bagi, dan orang Musyrik inilah yang dijanjikan Allah dengan neraka. Syirik yang kecil atau yang tersembunyi itu pula ialah kepercayaan perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah. Syirik yang tersembunyi itu amat banyak, di antaranya: (1) Mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk. (2) Menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah. (3) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah. (4) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah. (5) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan Si anu, tentulah aku tidak berjaya. (6) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri. (7) Melakukan sesuatu ibadat, atau daya usaha pengorbanan, atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan-tujuan yang lain. Nabi Muhammad s.a.w telah menerangkan dalam beberapa hadis tentang syirik yang tersembunyi ini, di antaranya:

7- ( . ) 7- Dari Mahmud bin Labid r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpakamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w., menjawab: "(Syirik yang kecil itu) ialah ria' - Allah Taala akan berfirman pada hari Qiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan ria' di dunia dahulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?" (Imam Ahmad)

8- ( . ) 8- Dari Ibn Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah. " (Tirmizi)

9- ( . ) 9- Dari Ibn Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu gunaguna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik" ( Abu Daud dan Imam Ahmad) Hadis yang kesembilan ini menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah dari perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib dijauhi oleh tiap-tiap seorang. Tetapi bukanlah semua jenis ketigatiga perkara itu dikira syirik, malah setengah jenisnya sahaja, iaitu yang mengandungi perkataan yang tidak difaham, kerana boleh jadi termasuk perkara sihir, syirik atau lain-lainnya yang dilarang oleh hukum syarak sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliah Adapun yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an atau zikrullah, maka yang demikian tidak dilarang. Pendeknya, tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram kiranya mengandungi perkataan yang tidak difaham maknanya, atau yang berdasarkan sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor. Adapun yang menggunakan kalam Allah, nama-Nya atau sifat-sifat-Nya atau zikrullah, maka yang demikian tidaklah salah. Dengan penjelasan ini, selesailah perselisihan yang nampak pada zahirnya berlaku di antara dalil-dalil yang melarang dan dalil-dalil yang membenarkan perkara-perkara yang tersebut. Kesimpulannya, bagi menyelamatkan seseorang daripada syirik yang tersembunyi ini hendaklah: (1) Jangan menggunakan sesuatu benda, atau perkataan, ataupun sesuatu cara sebagai sebab bagi mendapat kebaikan atau menolak perkara-perkara yang tidak diingini, kecuali setelah diketahui bahawa sesuatu itu telah berlaku adat Tuhan menjadikannya sebab bagi musabab yang tertentu, serta diketahui pula bahawa menggunakan sesuatu itu tidak dilarang oleh hukum Allah. (2) Jangan i'tiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan menghasilkan musababnya, bahkan memberi kesannya itu bergantung kepada takdir dan izin Allah Yang Maha Kuasa. (3) Jangan melakukan sesuatu amal ibadat dengan tujuan mendapat penghargaan atau balasan daripada yang lain dari Allah Azza wa Jalla

01- ( . )

10- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,: "Apakah satu-satunya dosa yang terbesar di sisi Allah.?" Baginda s.a.w., menjawab: "(Dosa yang terbesar di sisi Allah itu) ialah: Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang menyamaiNya pada hal Dia menciptakanmu..." (Bukhari dan Muslim) Hadis yang kesepuluh ini mengandungi: (1) Rasulullah s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat-sahabat Baginda. (2) Syirik adalah satu-satunya dosa yang terbesar. Huraiannya: Baginda s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat sahabatnya. Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dalam masa menjalankan tugasnya membuka dengan seluas-luasnya pintu pertemuan dengannya kepada segala lapisan masyarakat untuk mereka menanyakan apa yang mereka musykilkan berhubung dengan soal-soal agama. Dalam hadis ini, Abdullah bin Mas'ud seorang sahabat Nabi yang terkenal bertanya kepada Baginda s.a.w. tentang dosa yang terbesar di sisi Allah, iaitu satu perkara yang sangat mustahak diketahui oleh setiap orang Islam dalam setiap masa, lebih-lebih lagi dalam masa - yang boleh dikatakan- manusia leka dengan soal-soal hidup semata-mata, tidak mahu mengambil berat mempersoalkan perkara-perkara dosa dan pahala. Soal syirik. Bagi menjawab pertanyaan sahabat Baginda yang tersebut, Baginda s.a.w. menegaskan bahawa di antara dosadosa yang terbesar ialah melakukan syirik terhadap Allah s.w.t. serta Baginda s.a.w. menerangkan bahawa amatlah tidak patut seseorang itu mempersekutukan atau menyamakan Allah Taala dengan sesuatu yang lain, sedang Allah yang menciptakannya dari tiada kepada ada. Orang Musyrik yang demikian bukan sahaja tidak patut menurut timbangan akal yang siuman, bahkan telah berlaku zalim terhadap dirinya sendiri kerana dengan bawaan syiriknya ia telah mendedahkan dirinya kepada azab seksa yang tidak terperi yang akan diterimanya kelak.

BAB KEDUA BERIMAN KEPADA RASUL-RASUL ALLAH A.S.

Manusia berhajat kepada yang mengawas amal usahanya dalam segala peringkat hidupnya untuk memimpinnya ke jalan kebaikan dan menjauhkannya dari jalan kerosakan Kalaulah manusia dibiarkan dengan tidak dipimpin dan diberi pertunjuk, nescaya akan terjerumuslah dia dalam kejahatan yang berbagai-bagai ragamnya.

Betapa tidak? Sedang manusia dalam alam kehidupan ini berada di antara dua kekuatan yang besar, yang satu menolaknya kepada kejahatan iaitu hawa nafsu dan tabiat marah yang sedia ada pada dirinya, dan yang satu lagi mendesaknya kepada kebaikan iaitu akal dan hati nurani yang dikurniakan Allah kepadanya. Kalaulah manusia dibiarkan sahaja diruntun oleh dua kekuatan itu nescaya kejahatannya akan mengalahkan kebaikannya, disebabkan oleh tuntunan perhiasan dunia dan benda-benda yang menjadi daya penarik, sedang akal dan hati nuraninya tidak cukup untuk menjaga dirinya dan memimpinnya ke jalan yang benar, kerana kuasa akal dan hati nuraninya untuk memahami, adalah sama bandingannya dengan kuasa mata kepala untuk melihat, sebagaimana yang dijelaskan seperti berikut: (1) Kalau mata manusia hanya dapat melihat dengan kuasa yang ada padanya, dan lenyap atau lemah penglihatannya dengan hilang atau lemahnya kuasa itu, maka manusia boleh memikir atau menimbang hanya dengan kuasa yang ada pada akal dan hati nuraninya, dan akan lenyap atau lemah pula daya pemikiran atau pertimbangannya apabila hilang atau lemah kuasa yang tersebut. (2) Kalau mata kepalanya dapat melihat sesuatu dengan syarat: (a) Berhadapan dengan benda yang dilihatnya itu. (b) Benda itu jangan terlampau dekat kepada biji matanya dan jangan pula terlampau jauh sehingga tidak sampai kepadanya kuasa penglihatan mata itu. (c) Benda itu hendaklah dari perkara yang ada persediaan pada mata untuk melihatnya. Demikian juga akal atau hati nurani manusia tidak dapat memahami melainkan apa yang ada dalam alam kenyataan ini dan tidak dapat memahami hakikat dirinya, dan tidak pula dapat memahami sebarang hakikat yang tidak ada persediaan padanya untuk memahaminya (3) Kalau mata pernah dijadikan Tuhan dari mulanya tidak mempunyai kuasa melihat dan kalau mata yang dijadikan Tuhan berkuasa melihat pun: Pernah ditimpa sesuatu yang menghilangkan atau mengurangkan kuasanya itu, maka akal atau hati nurani manusia juga pernah dijadikan dari mulanya tidak mempunyai kuasa memikir dan menimbang, dan yang dijadikan Tuhan berkuasa memikir dan menimbang pun pernah pula hilang atau kurang kuasanya dengan sebab dihinggapi oleh sesuatu keadaan seperti gila, noda maksiat, perasaan ta'asub, perasaan degil, atau satusatu tujuan buruk. (4) Kalau mata yang ada padanya kuasa melihat tidak juga dapat melihat sesuatu melainkan setelah ia disinari oleh cahaya zahir yang mendatang, seperti cahaya matahari, lampu dan sebagainya, maka akal dan hati nurani manusia yang ada sedia padanya kuasa memahami pun tidak juga dapat memahami hakikat sesuatu dengan sebenar-benarnya melainkan setelah disinari cahaya pengajaran Ilahi yang dibawa oleh Rasul-rasul utusan Allah a.s. Dengan sebab yang demikian, maka Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Amat Mengasihani, telah memilih orang-orang yang diketahui-Nya layak dan bijaksana untuk memimpin umat manusia ke

jalan yang benar serta mewajibkan umat manusia menerima dan menurut segala pengajaran yang dibawanya; orang-orang itu ialah Rasul-rasul-Nya Fasal Pertama Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w Berhubung dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , Allah Taala berfirman dalam Surah al-A'raf ayat 158. Memerintahkan Baginda s.a.w. mengisytiharkan dirinya menjadi Rasul yang diutus oleh Allah kepada umat manusia seluruhnya, serta menerangkan bahawa: (1) Allah sahajalah Tuhan yang mempunyai kuasa mengurus dan mentadbirkan kepentingankepentingan dan kebaikan sekalian alam yang diciptakan-Nya. (2) Allah sahajalah Tuhan yang berhak disembah dan dipatuhi. (3) Allah jualah yang mengatur cara dan menetapkan masa menghidupkan makhluk-makhluk yang mati dan mematikan yang hidup. (4) Seluruh umat manusia wajib: (a) Beriman kepada Allah Tuhan yang demikian sifat-Nya (Esa pada "Uluhiyah"-Nya dan Esa pada "Rububiyyah"Nya) (b) Beriman kepada Rasulullah s.a.w. nabi yang terkenal dengan sifat Ummi(1), yang beriman kepada Allah dan kepada semua perintah yang terkandung dalam segala kitab yang diturunkan oleh Allah. (c) Menerima dan menurut hukum hakam dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. ______________________________(1) Sifat "Ummi" ialah sifat tidak pandai membaca dan menulis. Kepada Nabi Muhammad s.a.w. , sifat ini ialah satu di antara sifat-sifat kelebihan yang teristimewa bahkan di antara mukjizat-mukjizat yang membuktikan sahnya dakwaan Baginda s.a.w. menjadi Rasul kerana: Pertama - Kebolehannya dan kecekapannya membetulkan akidah kepercayaan umatnya yang sesat. Memperbaiki akhlak mereka yang buruk, dan menyatupadukan puak-puak kaumnya yang bermusuhan, sedang Baginda s.a.w., tidak tahu membaca dan menulis, adalah perkara luar biasa yang tidak pernah dikurniakan Tuhan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya s.a.w. Kedua - Kebolehan dan kecekapan Baginda s.a.w. menjalankan tugas dan menyampaikan segala yang telah disampaikannya meliputi al-Qur'an dan Hadis, sedang Rasulullah s.a.w. bersifat "Ummi" adalah baka yang nyata yang menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. dapat mencapai semuanya itu dengan jalan wahyu semata-mata - sebagai utusan Tuhan

Dan lagi berhubung dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w Baginda sendiri menerangkannya dalam hadis yang berikut:

11- ( . ) 11- Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaanNya. tidak ada seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani, yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah), kemudian ia mati sedang ia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutuskan membawanya melainkan menjadilah ia dari ahli neraka". . (Muslim) Hadis yang kesebelas ini menerangkan tentang:Wajib beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan agama Islam yang dibawanya.

Huraiannya. Sesiapa jua yang berada pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. atau yang datang kemudian hingga ke hari Qiamat diwajibkan beriman kepada Baginda s.a.w. dan kepada agama Islam yang dibawanya apabila berita kerasulan Baginda s.a.w. sampai kepadanya. Jika tidak maka orang itu dihukumkan kafir dan akan menerima azab seksa neraka disebabkan kekufurannya itu. Hukum ini meliputi seluruh umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak harus berdalih untuk tidak menerima agama Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w., dengan sebab mereka ada mempunyai kitab, kerana kitab-kitab mereka kalaulah tidak disebabkan mereka meminda, mengurangi dan menokok-tambahnya, sudah pun mansukh setelah habis masa kegunaannya dengan kedatangan Rasul yang akhir sekali Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab suci al-Qur'an yang dibawanya.

21- . . ( ) ( ) 12- Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara-perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi-

nabi yang terdahulu daripadaku; dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya." Dan pada satu riwayat Imam Muslim dan Abu Hurairah (Baginda s.a.w. bersabda): "....sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk." (Bukhari dan Muslim) Hadis yang kedua belas ini mengandungi: (1) Nabi Muhammad s.a.w. dikurniakan beberapa keistimewaan, (2) Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk, Huraiannya:(1) Keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w.

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. - sebagaimana yang sedia maklum - ialah Rasul yang akhir sekali, tidak ada Nabi apa lagi Rasul sesudahnya. Sesuai dengan keadaannya yang demikian, maka Baginda s.a.w. dikurniakan oleh Allah Taala beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada Rasul-rasul sebelumnya. Agama Allah yang dibawa oleh sekalian Rasul yang diutus silih berganti adalah satu tentang perkara pokoknya, iaitu beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada sekalian Rasul-Nya, tetapi hukum syariatnya yang meliputi cabang-cabang dan rantingnya adalah berlainan sedikit antara satu dengan yang lain, sesuai dengan keadaan zaman masing-masing. Apa yang kita dapati sekarang tentang keadaan yang berlainan antara satu agama dengan yang lain pada masalah pokoknya, maka itu bukanlah dari ajaran Rasul-rasul tetapi disebabkan penyelewengan penganut agama agama itu mengubah asas dan dasarnya dengan tujuan-tujuan yang tertentu.(2) Nabi Muhammad s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk.

Di antara keistimewaan-keistimewaan yang telah dikurniakan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya yang akhir sekali - Nabi Muhammad s.a.w. ialah Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk, meliputi manusia dan jin, juga malaikat dari mula Baginda s.a.w. diutus hingga ke akhir dunia ini. Ada pun Rasul-rasul yang sebelumnya maka mereka diutus hanya kepada kaum masing-masing. Syariat mereka berjalan kuat kuasanya dalam kalangan kaum mereka semasa hayat mereka; setelah mereka wafat maka syariat mereka dilanjutkan oleh Nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan kaumnya untuk memimpin kaum itu. Demikianlah seterusnya hingga Allah Taala mengutuskan seorang Rasul yang lain dengan membawa syariat yang baharu, yang boleh jadi berlainan sedikit dengan syariat Rasul yang telah lalu.

Demikianlah halnya antara satu Rasul dengan yang lain hinggalah kepada Rasul yang akhir sekali Nabi Muhammad s.a.w. Setelah Baginda s.a.w. wafat, maka syariatnya dilanjutkan dan disebarkan oleh alim ulama Islam yang menjadi waris yang mempusakai ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

31- ( . ) 13- Dari Jabir r.a., dari Nabi s.a.w. (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda s.a.w., lalu berkata "(Ya Rasulullah) kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran - tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?"(mendengar yang demikian) Baginda s.a.w., bersabda "Adakah kamu merasa ragu dan serba salah ( dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam - dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain daripada menurutku." (Imam Ahmad dan al-Baihaqi) Hadis yang ketiga belas ini menerangkan: (1) Rasulullah s.a.w. tempat rujuk sahabat-sahabat Baginda mengenai perkara-perkara agama. (2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi. (3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama. (4) Penegasan Baginda s.a.w. bahawa agama Islam yang dibawanya adalah agama yang benar, bersih suci dan jelas nyata. (5) Ketinggian agama Islam. Huraiannya:(1) Baginda s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.

Perasaan kasih kepada Rasulullah s.a.w. tidak cukup setakat kata-kata di bibir sahaja, tetapi mestilah dari hati nurani sampai kepada tingkah laku sehingga Baginda s.a.w., menjadi tempat rujuk sebarang perkara agama untuk dipatuhi dengan sepenuhnya.

Demikianlah halnya sahabat-sahabat dengan Baginda s.a.w. pada masa hayatnya sebagaimana yang dilakukan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab yang tersebut kisahnya dalam hadis ini. Setelah Baginda s.a.w., wafat maka pusaka peninggalannya - al-Qur'an dan al-Sunnah - sudah semestinya dijadikan tempat rujuk yang asasi yang wajib diturut dan dipatuhi.(2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi.

Orang-orang Yahudi sentiasa bekerja keras untuk menarik orang-orang lain kepada agama mereka, dengan menjalankan berbagai-bagai cara terutama dengan menyebarkan berbagai kisah dan cerita yang menarik hati pembaca dan pendengarnya, sehingga Sayidina Umar telah meminta pendapat Rasulullah s.a.w., iaitu bolehkah orang-orang Islam memetik dan menyalin cerita-cerita yang tersebut? Bagi menjawabnya, Baginda s.a.w. telah melarang keras seperti yang terkandung dalam hadis ini.(3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama yang dibawanya.

Baginda s.a.w. memberi amaran supaya sahabat-sahabat Baginda -juga seluruh umatnya - jangan terpengaruh dengan di'ayah-di'ayah agama lain, sebaliknya hendaklah mereka sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap propaganda pihak lain yang beranika ragam itu. Baginda s.a.w. juga menegaskan supaya jangan mereka berkeadaan bingung atau berperasaan ragu-ragu terhadap soal agama, lalu terburu-buru hendak menerima di'ayah pihak lawan kerana mengikut kecenderungan hati dan terpengaruh kepada kemanisan cerita-cerita itu. Sikap ragu-ragu dan meraba-raba dalam perkara agama, tegas Baginda s.a.w; lagi, adalah sikap kaum Yahudi dan Nasrani dan kerana itulah mereka telah menyeleweng dari ajaranajaran kitab-kitab mereka, bahkan mereka telah merosakkan kandungannya dengan meminda dan menokok tambahnya sebagaimana yang dianjurkan oleh ketua-ketua agama mereka untuk kepentingan dirinya.(4) Penegasan Baginda s.a.w.: Bahawa agama Islam yang dibawanya adalah yang benar, bersih suci dan jelas nyata.

Tiap-tiap seorang Islam tidak harus merasa ragu-ragu terhadap kebenaran agama Islam yang menjadi pegangan hidupnya. Tidak ada sebab mengapa seseorang Muslim boleh terpengaruh kepada di'ayah kaum Yahudi dan Nasrani atau lain-lain pihak yang bukan Islam. Sebenarnya apa yang sepatutnya dijadikan ukuran benar dan salahnya satu-satu agama ialah tentang keasliannya - tidak berubah dengan pindaan dan tokok tambah, tentang kesucian dan kebersihannya daripada sebarang perkara yang berupa syirik, dan tentang ajarannya yang jelas nyata dari sebarang perkara yang mengeliru dan meragukan. Hakikat keaslian yang demikian tidak ada wujudnya melainkan pada agama Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang terpelihara dengan sebaik-baiknya dalam kitab suci al-Qur'an al-Karim dan hadis-hadis yang sahih.

(5) Ketinggian agama Islam.

Islam tetap tinggi dan tidak ada yang mengatasinya. Tentang hakikat yang demikian Baginda s.a.w. menegaskan dalam hadis ini, bahawa kalaulah ditakdirkan Nabi Musa a.s. yang telah membawa syariat Taurat itu masih hidup dalam zaman Baginda s.a.w. sudah tentu tidak ada jalan lagi baginya selain daripada mengikut agama Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w. Dengan itu nyatalah tidak harus bagi sesiapa pun - walau apa bangsa dan keturunannya - berdegil di atas agama yang lain dari agama Islam.

41- ( . ) 14- Dari Jabir, r.a., bahawa - Rasulullah s.a.w., bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya. kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul; dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi, sudah tentu ia menurutku." (Al-Daarimi) Hadis yang keempat belas ini menerangkanSyariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. memansukhkan syariat-syariat yang lain.

Rasul-rasul yang diutus oleh Allah Taala kepada kaum masing-masing banyak bilangannya. Di antaranya ada yang diturunkan kitab kepadanya, seperti Nabi Musa a.s. yang menerima kitab Taurat. Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menjelaskan: Bahawa syariat Islam yang dibawanya adalah memansukhkan syariat Rasul-rasul yang telah lalu. Oleh itu tidak harus bagi sesiapa pun yang ada pada zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian - menurut syariat-syariat yang telah mansukh itu, apa lagi agama-agama yang direka oleh manusia sendiri. Tentang ini Baginda s.a.w. menegaskan, bahawa kalaulah Nabi Musa a.s. tiba-tiba muncul pada zaman Baginda s.a.w., dan ada orang-orang Islam yang menurutnya dengan meninggalkan syariat Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w., nescaya orang itu termasuk dalam golongan yang sesat kerana ia menurut syariat yang telah mansukh pada hal - tegas Baginda s.a.w. - sekiranya Nabi Musa a.s. masih hidup dalam masa kerasulan Baginda s.a.w., nescaya Nabi Musa juga akan menurut syariat Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w.

Tidaklah sepatutnya timbul sebarang kemusykilan tentang sesuainya agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. , dengan keadaan umat manusia dalam setiap masa, dengan tidak memerlukan sebarang pindaan atau perubahan kerana bila diperhati akan ternyata bahawa Islam adalah berdasarkan kaedah-kaedah umum yang banyak cawangannya, yang dapat menghadapi cabaran-cabaran zaman, - dapat menghakimi kejadian-kejadian yang berlaku dan dapat pula memecahkan masalah-masalah yang timbul dalam masa. Jelasnya, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah lengkap mengandungi hukum hakam dan cara peraturan meliputi segala bidang hidup, yang menjadikannya sesuai dengan keadaan umat manusia dalam segala zaman dan di mana sahaja mereka berada selagi sifat kemanusiaannya tidak berubah, sehinggakan Nabi Isa a.s. semasa turun pada akhir umur dunia kelak akan melanjutkan dan mengembangkan lagi syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., sebagaimana yang diterangkan dalam hadis yang berikut:

51- : : ( . ) 15- Dari Abu Hurairah, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh baik keadaan kamu ketika Isa Ibn Mariam turun dalam kalangan kamu, lalu ia memimpin kamu." Salah seorang rawi hadis ini (Ibn Abi Dzi'b) menerangkan dengan katanya: "Lalu ia memimpin kamu dengan menurut kitab Allah al-Qur'an dan Sunnah Nabi kamu" (Muslim) Fasal Kedua Wajib Beriman Kepada Semua Rasul Yang Diutus Oleh Allah Mengenai semua pesuruh-pesuruh Allah secara umum, Allah Taala berfirman ertinya: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan dia menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut(1) ..." (36, Surah al-Nahl). "...... Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan sekalian Rasul-Rasul-Nya. (179, Surah Alilmran). "Sesungguhnya orang-orang yang kufur (ingkar) kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan orangorang yang hendak membeza-bezakan (iman mereka) di antara Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan orang-orang yang berkata: "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kami kufur (ingkar) kepada setengahnya yang lain, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain di antara (Iman dan Kufur) itu":

"Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami pula telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina. " (150 dan 151, Surah an-Nisaa'). Rasul-rasul yang telah diutus oleh Allah Taala itu, ada di antaranya yang telah diterangkan namanya satu persatu dalam al-Qur'an, iaitu seramai dua puluh lima orang Rasul dan ada yang tidak diterangkan. Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah an-Nisaa', Ayat 164, ertinya: "Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) dahulu sebelum ini dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan perihal mereka kepadamu ... ______________________________(1)"Taghut" ialah syaitan, berhala dan apa sahaja yang menyesatkan.

Dengan yang demikian tiap-tiap orang diwajibkan beriman secara khusus kepada Rasul-rasul yang tersebut namanya satu persatu dalam al-Qur'an iaitu 18 daripadanya tersebut dalam ayat-ayat 8386 Surah al-An'am, mereka ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ya'kub, Nabi Noh, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ayub, Nabi Yusof, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa, Nabi Alias, Nabi Ismail, Nabi Alyasa', Nabi Yunus dan Nabi Lut. Tujuh lagi tersebut dalam beberapa surah yang berikut: Iaitu Nabi Adam dalam ayat 33 Surah Ali'Imran, Nabi Hud, dalam ayat 65 Surah al-A'raf, Nabi Saleh dan Nabi Syu'aib dalam ayat 61 dan 84 Surah Hud; Nabi Idris dan Nabi Zulkifli, dalam ayat 85 dan 86 Surah al-Anbia', dan Nabi Muhammad a.s. dalam ayat 40 Surah al-Ahzab. Fasal Ketiga Terpeliharanya Rasul-Rasul Dari Sebarang Perkara Yang Mencacatkan Kesempurnaan Martabatnya Rasul-rasul itu semuanya - menurut pertimbangan akal dan keterangan syarak - tetap terpelihara daripada melakukan sebarang perkara dosa, bahkan sebarang perkara makruh; mereka tetap dengan sifat-sifat yang terpuji dan akhlak yang mulia, yang menjadikan mereka ikutan yang baik dan contoh utama. Kalau mereka tidak bersifat demikian, sudah tentu mereka tidak akan disegani dan tidak dihormati oleh orang ramal, bahkan mereka dipandang rendah dan tidak dipercayai oleh masyarakat; maka tidak akan ada sesiapa yang mahu menurut pimpinan mereka, dan akan hilanglah tujuan Tuhan mengutus mereka untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar bahkan kalaulah mereka melakukan sesuatu yang mencacatkan sifat kesempurnaan kemanusiaannya, seperti mereka meninggalkan sesuatu yang wajib, atau mengerjakan sesuatu yang haram, atau pun mereka melak!kan apa-apa jua yang bertentang dengan akhlak yang mulia, seperti berdusta, berlaku khianat, menyembunyikan kebenaran, memungkiri janji dan sebagainya nescaya akan menjadilah mereka ikutan yang buruk, dan tidaklah menjadi contoh utama dan pedoman pertunjuk. Maka yang demikian adalah mustahil, kerana mustahil bagi Allah Taala

menyetujui perkara-perkara yang buruk atau menyuruh supaya orang-orang yang bersifat buruk itu dijadikan ikutan, sedang manusia diperintahkan menurut Rasul. Menurut keterangan syarak pula, ada beberapa ayat yang menunjukkan bahawa Rasul-rasul itu dikurniakan Allah dengan sifat-sifat kesempurnaan, di antaranya yang diterangkan dalam Surah alAn'am, ayat 90 dan 98, ertinya: "Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya kitab suci, dan hikmat (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan kufur kepadanya. "Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi pertunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan pertunjuk mereka; katakanlah: `Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai pertunjuk (al-Qur'an yang aku sampaikan) itu. Al-Qur'an itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.! Juga diterangkan dalam Surah al-Anbia', ayat 73, ertinya: "Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jaIan yang benar) dengan perintah Kami; dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan sembah yang, serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadah kepada Kami." Sebagaimana terpeliharanya kesempurnaan martabat Rasul-rasul itu daripada sebarang perkara yang mencacatkannya, terpelihara pula akal fikiran dan tubuh badan mereka dari sebarang penyakit yang meliarkan orang ramai daripada mendekati dan mencampuri mereka, seperti penyakit gila, kusta dan sebagainya. Dengan yang demikian, mana-mana keterangan syarak yang zahirnya menunjukkan adanya perkara-perkara yang mencacatkan kesempurnaan martabat - akal fikiran atau tubuh badan setengah Rasul-rasul itu, maka keterangan yang tersebut tidak boleh difahami menurut zahirnya, kerana hakikat yang sebenarnya berlainan dari yang ternyata pada zahirnya. Misalnya: Ayat 121, Surah Taha, pada zahirnya mengatakan Nabi Adam telah melanggar perintah Tuhannya dan menurut hasutan syaitan tetapi hakikat yang sebenar perkara itu dilakukan oleh Nabi Adam disebabkan ia lupa akan pesanan Allah dengan tidak mempunyai keazaman melakukannya, sebagaimana yang ditegaskan oleh Tuhan dengan firmanNya pada ayat 115, Surah Taha, ertinya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. "Dan sebagaimana yang sedia diketahui bahawa Allah Taala tidak mengira salah: Perkara yang dilakukan oleh seseorang dengan lupa, lagi pun kejadian !tu berlaku sebelum Adam dilantik menjadi Nabi, dengan dalil ayat 122, Surah Taha, ertinya.

"Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi pertunjuk." Sekali pun perkara yang berlaku pada Adam itu bukanlah pada hakikatnya satu kesalahan, tetapi memandang kepada martabat Adam yang sebegitu tinggi dan mulia di sisi Allah kerana dialah seorang makhluk yang diciptakan Tuhan dengan tidak berperantaraan ibu atau bapa, yang diajarkannya dengan ilmu pengetahuan yang luas, yang diberikan penghormatan dengan memerintahkan Malaikat sujud kepadanya, dan yang ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan kesenangan dan kemewahan, maka apa-apa jua yang tidak dikira salah dan yang dipandang kecil dilakukan oleh orang kebanyakan yang tidak berpengetahuan, dipandang besar dan berat jika dilakukan oleh orang yang mempunyai martabat yang tinggi dan pengetahuan yang luas. Demikianlah kesimpulan aqidah kepercayaan mengenai Rasul-rasul Tuhan a.s. BAB KETIGA BERIMAN KEPADA KITAB-KITAB ALLAH

Firman Allah Taala, ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada Kitab al-Qur'an yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad s.a.w.), dan juga kepada kitab-kitab yang telah diturunkan dahulu daripada itu (136 Surah al-Nisaa') Fasal Pertama: Beriman Kepada Kitab-kitab Allah.

61- : " ( ". ) 16- Dari Ibn Abbas, r.a bahawa Abdullah bin Salam dan serombongan dari kaumnya datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya kami beriman kepadamu, dan kepada kitab al-Qur'an yang diturunkan kepadamu dan kepada Nabi Musa dan kepada kitab Taurat dan juga kepada Uzair dan kami kufur terhadap yang lainnya dari Kitab-kitab dan Rasul-rasul." (Mendengarkan yang demikian) maka Baginda Rasulullah s.a.w., bersabda: "(Itu tidak cukup) bahkan hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya Muhammad dan kitab-Nya al-Qur'an dan kepada tiap-tiap kitab yang diturunkan sebelumnya." (al-Tha'labi)

71- : " ( ". ) 17- Dari Maqil bin Yasar r.a badan Nabi s.a.w., sabdanya: Berimanlah kamu kepada kitab Taurat dan kitab Injil dan kitab Zabur dan hendaklah kitab al-Qur'an pula menjadi panduan yang cukup meliputi cara hidup kamu. (Ibnu Abi Hatim) Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa tujuan Rasul-rasul itu diutus oleh Allah Taala ialah untuk menyampaikan ajaran-ajaran, hukum-hukum, cara dan peraturan hidup kepada umat manusia untuk mencapai keselamatan di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat. Ajaran-ajaran dan hukum-hukum yang telah diwahyukan oleh Allah Taala kepada Rasul-rasul-Nya itu melalui Malaikat Jibril a.s, ada yang telah terhimpun dalam kitab-kitab suci, ada yang terhimpun dalam lembaran-lembaran surah (Suhuf), dan ada pula yang tidak diterangkan perihalnya. Kitab-kitab suci yang diterangkan namanya di dalam al-Qur'an dan hadis ialah kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa; kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa; kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud; dan kitab al-Qur'an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad - a.s. Manakala yang disebutkan dengan nama "Suhuf" (Risalah-risalah atau lembaran-lembaran surat) ialah yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa a.s. "Kitab-kitab Suci" dan "Suhuf" yang tersebut diwajibkan beriman kepadanya secara "Tafsil" (satu persatu); dan yang lain diwajibkan beriman kepadanya secara "Ijmal" (umum). Fasal Kedua: Kitab Suci Al-Quran Al-KarimAl-Qur'an Al-Karim

Kitab suci al-Qur'an al-Karim yang diturunkan oleh Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w. Nabi dan Rasul yang akhir sekali, ialah kitab suci yang akhir sekali yang memansukhkan kitabkitab suci yang terdahulu daripadanya. Al-Qur'an al-Karim diturunkan oleh Allah Taala kepada Baginda s.a.w. dalam masa umat manusia terutama kaum Yahudi dan Nasrani berada dalam persengketaan dan perselisihan dalam berbagai-bagai masalah termasuk masalah ketuhanan dan kerasulan. Masing-masing pihak membenarkan pihaknya dan menyalahkan yang lain. Al-Qur'an al-Karim, antara lain, mempunyai dua tugas yang besar. Pertama - Mengakui kebenaran yang terkandung dalam kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, mengenai beribadat kepada Allah semata-mata, beriman kepada Rasul-

Rasul-Nya, menjalankan kebenaran dan keadilan, berakhlak dengan sifat-sifat yang mulia dan mengakui benar adanya balasan pada hari akhirat. Kedua - Mengawasi kitab-kitab yang tersebut serta mendedahkan perubahan, pindaan dan tokok tambah yang terdapat dalam kitab-kitab itu yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Hakikat ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an al-Karim, ertinya: "Dan Kami turunkan kepada mu (wahai Muhammad) kitab al-Qur'an dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya. (48, Surah al-Maidah). "Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalam Allah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar. (46, Surah an-Nisaa'). "Dan di antara orang-orang yang berkata: `Bahawa kami ini orang-orang Nasrani, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka. mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya. (14, Surah al-Maidah). Jelasnya, sesiapa yang hendak mencari kebenaran dan hendak mencapai pengajaran-pengajaran Ilahi yang benar, tidak akan dapat di mana-manapun selain daripada yang terhimpun di dalam alQur'an al-Karim kerana al-Qur'anlah kitab suci yang terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindaan dan tokok tambah, serta telah disambut dan diterima oleh umat Islam dari Nabi Muhammad s.a.w. yang menerimanya dari Malaikat Jibril a.s yang membawa turunnya dari Allah s.w.t. Al-Qur'an juga sebuah kitab yang terhimpun di dalamnya: (1) Dasar-dasar suci dan mulia dan sebenar-benar cara serta sebaik-baik peraturan. (2) Segala apa jua yang diperlukan oleh umat manusia meliputi aqidah kepercayaan, amal ibadat, adab sopan dan segala bentuk muamalat (kira bicara dan perhubungan sesama manusia dalam bidang perniagaan, perusahaan dan sebagainya). (3) Segala peraturan yang menjamin wujudnya orang perseorangan yang sempurna, keluarga yang mulia, masyarakat yang baik dan kerajaan yang adil Hakikat ini diterangkan oleh Allah Taala dalam ayat 15-16, Surah al-Maidah. Di antara maksudmaksudnya: (1) Bahawa umat Muhammad s.a.w, telah datang kepada mereka - dari Allah s.w.t. - seorang Rasul selaku obor atau suluh yang menerangi pandangan hati nurani manusia dan sebuah kitab al-Qur'an yang menyatakan segala yang dihajati oleh umat manusia untuk kesempurnaan dan kesentosaannya;

(2) Bahawa melalui Rasul dan Kitab yang tersebut, Allah Taala - dengan peraturan dan undangundangnya. (a) Menunjukkan jalan keselamatan hidup di dunia dan di akhirat: Kepada sesiapa yang menerima dan menurut peraturan dan cara bawaan hidup yang diredhaiNya. (b) Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kufur, kejahilan, maksiat dan sebagainya: Kepada sinaran cahaya iman, ilmu pengetahuan, amal ibadat dan perkara-perkara yang mulia. (c) Memimpin manusia ke jalan yang tidak ada kebimbangan sesat bagi sesiapa yang melaluinya dan tidak pula berat atau payah dijalani, iaitulah jalan - "As-Siratal Mustaqin" - yang betul lurus. Hakikat ini juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya:

81- . ) ( 18- Dari Ali, ra., katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda: "Awaslah, sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: "Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah? " Baginda menjawab: "(Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat - yang terdahulu dari kamu dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu (kitab Allah al-Qur'an) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah) bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan

kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang meskipun ia dibaca dengan berulangulang dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Qur'an yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab itu, benarlah perkataannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus." (Tirmizi dan Darimi) BAB KEEMPAT BERIMAN KEPADA ADANYA MALAIKAT

Allah Taala pencipta alam seluruhnya dan Dialah yang mengurus dan mentadbirkan segala hal ehwalnya dengan mengadakan undang-undang dan peraturan bagi tiap-tiap satunya. Untuk menjalankan undang-undang dan peraturan dalam pentadbiran kerajaan-Nya yang maha luas itu, Allah Taala menjadikan kakitangan dan bala tentera-Nya empat jenis makhluk, di antaranya dua jenis makhluk yang halus iaitu Malaikat dan Jin, manakala dua jenis lagi makhluk yang bertubuh kasar, iaitu manusia dan haiwan. Salah satu di antara empat jenis makhluk yang tersebut yang hendak dihuraikan di sini ialah jenis Malaikat. Malaikat itu dijadikan Tuhan dari Nur, dan mereka sejenis makhluk yang ghaib yang tak dapat diketahui keadaannya dengan pancaindera kecuali apakala mereka menjelma atau menyamar din sebagai makhluk yang lahir.Beriman kepada perkara yang ghaib.

Beriman kepada Malaikat adalah satu dari beriman kepada perkara-perkara yang ghaib. Beriman kepada perkara-perkara yang ghaib itu pula menjadi garis perbezaan di antara manusia dengan haiwan yang hanya dapat mengetahui setakat apa yang dapat dicapai oleh pancainderanya, sedang segala yang sabit wujudnya adalah lebih luas dari apa yang dapat dicapai dengan pancaindera atau alat-alatnya. Manusia dapat menyedari bahawa perkara-perkara ghaib yang di luar alam benda ini adalah lebih luas masa dan tempatnya dari apa yang boleh dicapai oleh fahaman akal manusia dalam umurnya yang pendek dan terbatas.

Dengan yang demikian, maka bagi menyelamatkan tenaga akal yang terbatas itu dari terbuang dengan sia-sia, tidaklah patut digunakan dia pada perkara-perkara yang tidak dapat dikuasainya. Tenaga akal yang dikurniakan Allah kepada manusia ialah untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan dalam alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan untuk mencapai kemakmuran dalam kehidupan dunia yang menjadi jambatan bagi kehidupan bahagia di akhirat kelak Dengan itu nyatalah bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang di luar alam nyata ini dengan jalan akal yang tenaganya terhad dengan batasan-batasan hidup di bumi ini semata-mata, adalah suatu usaha yang sia-sia, yang sudah tentu akan menemui kegagalan. Manusia sudah tentu mengakui bahawa tiap-tiap yang terbatas, tidak akan dapat menghubungi apa yang di luar batas, dan dengan itu maka akal dengan sendirinya terpaksa mengakui bahawa: (1) Perkara yang di luar batas itu mustahil dapat dicapai oleh kuasa pemikirannya. (2) Perkara-perkara yang tidak dapat dicapai oleh kuasa pemikirannya itu tidak mesti ketiadaan sabitnya dalam bahagian perkara-perkara ghaib yang tersembunyi. (3) Maklumat-maklumat mengenai perkara-perkara ghaib hanya boleh diterima dari Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana, yang ilmuNya meliputi perkara-perkara zahir dan batin, perkara-perkara ghaib dan nyata. Maklumat-maklumat yang tersebut ialah segala apa yang datang dari Allah Taala melalui al-Qur'an al-Karim dan hadis-hadis yang sahih. Pengakuan yang demikian adalah satu dari asas-asas agama yang di antara rukun-rukunnya ialah percayakan wujudnya Malaikat. Malaikat adalah suatu jenis makhluk yang dilengkapkan oleh Allah dengan persediaan-persediaan untuk mematuhi perintah Allah semata-mata, iaitu: Mereka tidak pernah menderhaka kepada Allah, dan mereka sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah `Azza wa Jalla. Menurut "Athar" Said bin al-Musaiyab bahawa Malaikat itu bukan lelaki dan bukan perempuan; mereka tidak makan, tidak minum, dan tidak tidur. Bilangan Malaikat amatlah banyak tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah. Tiap-tiap seorang diwajibkan beriman kepada Malaikat dengan cara Ijmal (umum), melainkan sepuluh sahaja yang wajib beriman kepada mereka secara tafsil (satu persatu), seperti yang tersebut di bawah ini: (1) Malaikat yang bernama: Jibril - di antara tugasnya: Menyampaikan wahyu. (2) Malaikat yang bernama: Mikail - di antara tugasnya: Mengurus hal ehwal penghidupan. (3) Malaikat yang bernama: Israfil - di antara tugasnya: Meniup Sangkakala

(4) Malaikat yang bernama: Izrail - di antara tugasnya: Mengetuai Malaikat-malaikat yang mengambil nyawa. (5) Ketua Malaikat Syurga yang terkenal dengan nama Ridhuan. (6) Ketua Malaikat Neraka yang dipanggil: Malik. (7) Dan (8) Malaikat-malaikat yang bergelar: "Raqib Atid" dan Kiraaman Kaatibin" - di antara tugasnya: Menulis amal manusia. (9) Dan (10) Malaikat-malaikat yang disebut: "Munkar" dan "Nakir" - di antara tugasnya: Menyoal orang mati. Jelasnya, Malaikat secara umum mempunyai berbagai-bagai tugas; ada yang ditugaskan mengenal undang-undang kejadian alam, seperti mengedarkan cakerawala, menurunkan hujan, menumbuh dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman, menghala dan menahan angin dan awan, menjaga dan menguasai gunung ganang, bukit-bukau serta lautan; dan banyak lagi. Ada pula yang ditugaskan mengenai hal ehwal yang berhubung dengan manusia seperti yang berikut, di antaranya:Ada yang ditugaskan mengenai kejadian manusia dalam kandungan rahim ibunya:

91- ". ) (19 Dari Anas r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak- Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: "Ya Tuhanku! adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya." (Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad) Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menyatakan: Bahawa setiap anak dalam kandungan ibunya ada Malaikat yang ditugaskan Tuhan mengenai peringkat-peringkat kejadiannya - mulai dari

jatuhnya air benih ke dalam rahim ibunya sehinggalah Ia cukup sifat-sifatnya sebagai seorang manusia dan Malaikat inilah juga yang menulis apa-apa jua yang berhubung dengannya meliputi rezeki dan ajalnya, dan nasib baik atau buruknya. Kesimpulannya: Tiap-tiap seorang anak Adam itu dijadikan oleh Allah s.w.t., menurut apa yang telah diaturkannyaDi antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan memerhati amalan-amalan manusia:

02- . ) ( 20- Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Malaikat turun naik dalam kalangan kamu silih berganti malam dan siang, kedua-dua puak itu berhimpun pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar; setelah itu puak yang bermalam dalam kalangan kamu: naik, lalu ditanya oleh Allah Taala - sedang Ia mengetahui hal hamba-hamba-Ku semasa kamu tinggalkan. Malaikat menjawab: "Kami tinggalkan mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang dan kami datang kepada mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang. (Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i) Dalam hadis ini, Rasulullah menyatakan: Bahawa bagi tiap-tiap seorang ada Malaikat yang ditugaskan memerhati amal-amalnya. Amal yang dikerjakan pada siang hari: ada Malaikat yang memerhatinya demikian pula amal-amal yang dikerjakan pada malam hari. Kedua-dua puak Malaikat itu turun naik silih berganti dan mereka akan bertemu di antara satu dengan yang lain pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar; maka berbahagialah orang-orang yang mengerjakan dua sembahyang itu pada awal waktunya kerana dapat disaksikan bersama oleh Malaikat malam dan Malaikat siang yang tersebut.Di antara Malaikat juga, ada yang bertugas mengisytiharkan kepada umum tentang orang yang dikasihi Allah dan orang yang dibencinya:

12-

. () 21- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya"; Jibril pun mengasihinya kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya setelah itu orang yang tersebut, dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: "Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia"; Jibril pun membenci isytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya"; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi." (Bukhari dan Muslim) Hadis in menerangkan: Bahawa sifat-sifat dan amalan yang baik menyebabkan orang yang mempunyainya dikasihi Allah dan dikasihi oleh sekalian makhluk, yang memahami baik dan buruk, dari penduduk langit dan bumi. Demikian pula sebaliknya. Tujuan pengisytiharan kasih atau benci yang tersebut yang dibuat untuk orang itu ialah sebagai memberi nilai yang sewajarnya supaya kesan kebaikan dan kejahatan itu dapat dirasai oleh orang yang mempunyainya dalam dunia ini sebelum ia menerimanya di akhirat kelak dengan sepenuhnya.Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan turut mengucap Amin:

22- (. ) 22- Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w sabdanya: Apabila Imam mengucapkan: Aamiin, maka hendaklah kamu mengucapnya bersama kerana sesiapa yang ucapan Aaminnya serentak dengan ucapan Aamin Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu." (al-Jamaah)

32- ( . )

23- Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila seseorang kamu mengucapkan: Aamin, dan Malaikat di langit pun mengucapnya, serta berbetulan pula masa ucapan itu satu sama lain1 nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu." (Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i) Bacaan Aamin" selepas bacaan fatihah, lebih-lebih lagi yang dibaca oleh imam sembahyang, sangat besar tujuannya kerana fatihah itu mengandungi berbagai-bagai perkara - di antaranya ialah memohon hidayah pertunjuk dari Allah Taala ke jalan yang benar dan juga memohon perlindungan dari jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat iaitu perkara-perkara yang tidak dapat dinilai dan tidak ada sesiapa pun yang dapat memberinya selain dari Allah Azza wa Jalla. Perkataan Aamin" itu pula maksudnya memohon ke hadrat Allah semoga segala permohonan yang terkandung dalam Surah al-Fatihah itu dikabulkanNya. Dengan sebab tujuannya yang besar itu, maka bacaan "Aamin" dibaca juga oleh Malaikat di langit, dan dengan yang demikian, menjadilah saat bacaan "Aamin" suatu saat yang mulia saat terbuka pintu keampunan Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya yang tertentu. Oleh itu amatlah baiknya bagi makmum mengucap: Aamin serentak dengan "Aamin" imamnya demikian juga bila ia seorang din membaca fatihah, supaya terkena dengan saat bacaan Aamin" dari Malaikat dan dengan itu termasuklah ia dari orang-orang yang beroleh keampunan Allah. Peringatan: Kalimah "Aamin" tidak patut dipanjangkan alif hamzahnya lebih daripada dua "Harkat", kerana menurut bahasa Arab kalimah Aamin yang bermakna "Perkenankanlah permohonanku ya Tuhanku", tidak pernah dipanja