masa terbaik, masa terburuk, peradaban islam pasca perang ... · pdf fileprosiding seminar...

17
Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang Dingin MOHAMAD ABU BAKAR 1 Pengenalan Tamatnya Perang Dingin pada awal sembilan puluhan bukan sahaja didakap oleh Barat yang telah bergelumang dengannya selama 45 tahun (1945-90), tetapi ia turut didendang oleh sebahagian penting umat Islam yang bercita-cita membugar peradaban mereka sebagai gantian atau alternatif kepada Kominisme yang telah mengalami kepupusan itu. Kalaulah euphoria atau keghairahan Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah dan di Asia khasnya, terpusat pada peluang untuk memasyarakatkan demokrasi liberal dan kapitalisme, maka anggota ummah yang teruja oleh perubahan landskap antarabangsa ini pula terpaku pada potensi agama mereka sebagai satu cara hidup yang menjanjikan ‘Rahmat kepada Sekalian Alam’. Di Malaysia, sebahagian penting umat Islam juga menyambut baik penamatan Perang Dingin, atas sebab-sebab yang umumnya sama. Mereka bukan sahaja tidak lagi dihantui oleh Komunisme, yang pernah memporak-perandakan negara dan masyarakat di zaman Darurat (1948- 60) khasnya, tetapi telah turut dihidang oleh kebebasan baru berbekalkan sejumlah organisasi dan individu yang komited untuk memartabatkan Islam di persada tanahair. Namun selepas 25 tahun (1990-2015) berlangsungnya konflik ideologi Barat-Timor, period pasca Perang Dingin ternyata telah _________________________ 1 Prof. Dato Mohamad Abu Bakar ialah bekas Ketua, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, dan Penyandang ke 12 Kursi Tun Abdul Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjadi Profesor Pelawat di Universiti Nasional La Plata, Argentina, Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti Washington, Amerika Syarikat, Felo Pelawat di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand, Felo Pelawat di Pusat Pengajian Islam, Oxford, England, dan Pensyarah Undangan di Universiti Kaherah, Mesir.

Upload: nguyendat

Post on 07-Feb-2018

218 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 1

Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca

Perang Dingin

MOHAMAD ABU BAKAR 1

Pengenalan

Tamatnya Perang Dingin pada awal sembilan puluhan bukan sahaja

didakap oleh Barat yang telah bergelumang dengannya selama 45 tahun

(1945-90), tetapi ia turut didendang oleh sebahagian penting umat Islam

yang bercita-cita membugar peradaban mereka sebagai gantian atau

alternatif kepada Kominisme yang telah mengalami kepupusan itu.

Kalaulah euphoria atau keghairahan Amerika Syarikat dan sekutunya di

Eropah dan di Asia khasnya, terpusat pada peluang untuk

memasyarakatkan demokrasi liberal dan kapitalisme, maka anggota

ummah yang teruja oleh perubahan landskap antarabangsa ini pula

terpaku pada potensi agama mereka sebagai satu cara hidup yang

menjanjikan ‘Rahmat kepada Sekalian Alam’.

Di Malaysia, sebahagian penting umat Islam juga menyambut baik

penamatan Perang Dingin, atas sebab-sebab yang umumnya sama.

Mereka bukan sahaja tidak lagi dihantui oleh Komunisme, yang pernah

memporak-perandakan negara dan masyarakat di zaman Darurat (1948-

60) khasnya, tetapi telah turut dihidang oleh kebebasan baru berbekalkan

sejumlah organisasi dan individu yang komited untuk memartabatkan

Islam di persada tanahair.

Namun selepas 25 tahun (1990-2015) berlangsungnya konflik

ideologi Barat-Timor, period pasca Perang Dingin ternyata telah

_________________________

1 Prof. Dato Mohamad Abu Bakar ialah bekas Ketua, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan

Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, dan Penyandang ke 12 Kursi Tun

Abdul Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjadi Profesor Pelawat

di Universiti Nasional La Plata, Argentina, Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti Washington,

Amerika Syarikat, Felo Pelawat di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand, Felo Pelawat di

Pusat Pengajian Islam, Oxford, England, dan Pensyarah Undangan di Universiti Kaherah, Mesir.

Page 2: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 2

ditunjangi oleh globalisasi yang memuat nilai-nilai sekular moden dan

ditandai oleh pemusnahan beberapa buah negara dan masyarakat Muslim

di tangan pihak-pihak luar. Penempahan dan penempatan kehidupan

Islam dengan segala keseluruhannya sebagai pra-syarat kepada

kemunculan sebuah peradaban yang mengagumkan masih belum menjadi

kenyataan.

Masa Terbaik: Negara Muslim Pasca Perang Dingin

Tamatnya Perang Dingin menjanjikan suatu kelonggaran kepada negara

dan masyarakat Muslim di seluruh dunia yang sebelumnya terperangkap

oleh percaturan dan permainan politik kuasa besar. Pihak-pihak yang

berangkaian dengan Barat dalam rangka penyelamatan demokrasi liberal

dan kapitalisme ketika berdepan dengan musuh yang sama semacam

terlepas daripada kongkongan lama. Turki yang bersekutu dalam NATO

(Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) semenjak awal-awal

penubuhannya lagi, Iraq yang pernah bergerak dalam METO (Pertubuhan

Perjanjian Timor Tengah), Pakistan yang suatu ketika merupakan

anggota SEATO (Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara), serta negara-

negara seperti Arab Saudi dan Iran, yang sehala dan sehaluan dengan

Amerika Syarikat dan Eropah Barat dalam pembendungan Komunisme,

kelihatan terbebas oleh belenggu ideologi untuk merencana kehidupan

nasional masing-masing. Pihak-pihak yang sebelumnya terangkum di

bawah Soviet Union, atau bernaung di bawahnya, juga telah mengecap

kebebasan serupa. Rantau Islam di Asia Tengah dan di Balkan yang

pernah bergerak dalam litaran Moscow mengalami transformasi dengan

kemunculan sebilangan negara merdeka. Suatu senario yang

merangsangkan daripada sudut penggubah hidup keIslaman dan

pembugaran nilai-nilai peradabannya.

Berlatarbelakangkan konfigurasi atau susunan kuasa yang baru

tertempa inilah ummah yang sedang mengharungi Abad Ke 15 Hijrah

merasakan bahawa masa sudah tiba untuk Islam mengorak langkah dan

mengambil tempat sebagai peradaban pilihan manusia sejagat. Peradaban

Islam lepas yang pernah disejarahkan menjadi pengalaman kebanggaan

dan inspirasi, dan telah mencetus rasa kekitaan (ukhwah Islamiyyah)

merata sesama Muslim. Jumlah penganut yang mencecah melebihi 1

bilion dan menetap di daerah-daerah yang kaya dengan hasil mahsul,

serta berkedudukan strategik, dilihat dan diperlihatkan sebagai nilai

tambah yang tidak ada tolak banding lagi. Iran selepas Revolusi Islam

Page 3: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 3

ditayangkan sebagai peneraju ummah dan pejuang peradaban Islam

semasa, yang terbebas daripada cengkaman Kapitalisme Barat dan

Komunisme Timor. Dengan penularan perasaan bahawa Islam adalah

suatu cara hidup yang berkemampuan menjadi penyelesaian kepada

berbagai masalah, anggota ummah menjadi semakin berkeyakinan

bahawa sekarang adalah waktunya untuk agama mereka membuktikan

potensinya.

Dalam keperihalan ini, semakin tertara dan tertayang imej

kegemilangan lepas Islam sebagai rujukan, ketika mana Muslim menjadi

pelopor dan pembina tamadun, dan bukan-Muslim memperolehi manfaat

daripada kewujudannya, sama ada di Madinah, Baghdad atau Andalusia.

Sesetengah daripada pendukung dan pejuang Islam mengukir gambaran

secara berlebihan, melewati ‘the Golden Age of Islam’, berasaskan nilai-

nilai peradabannya yang menjanjikan ‘Baldatun Tayibatun Warabun

Rafur’. Pengutaraan ‘imagined societies’ seperti ini menambah-kuatkan

lagi semangat anggota ummah untuk menyegerakan pengulangan sejarah

zaman klasik tersebut. Dengan kehadiran OIC semenjak 1969, yang

tercetus daripada persaudaraan Islam berikutan pembakaran Masjid al-

Aqsa, penyatuan ummah dipercayai dapat membantu pengubahan

peradaban Islam semasa.

Globalisasi yang merebak seiring dengan perkembangan pasca-

Perang Dingin juga melapangkan kegiatan dakwah, sehingga para

aktivisnya lebih bebas merentasi sempadan negara, dengan dibantu oleh

keberadaan kemudahan seperti masjid dan kedai makanan halal di

daerah-daerah bukan-Islam. Faktor campur ini turut diganding oleh

kehadiran semakin ramai pelawat dan pelancong, pelabur dan pelajar

asing, di negara Muslim, sambil mendedahkan diri mereka kepada apa

sahaja nilai yang menular. Dunia yang diseratakan oleh globalisasi

menjadi medan terbuka dan milik bersama untuk ditempah mengikut

kemahuan dan kemampuan penerokanya, termasuk pendakwah Islam.

Malaysia tidak tersisih daripada perubahan ini: ketiadaan gugatan

dan gangguan Kominisme telah membuka ruang yang luas untuk

Islamisasi, satelah satu setengah dekad dilanda gelombang dakwah

(1975-1990). Keadaan ekonomi yang agak baik pada penghujung Abad

Ke 20 dan pada awal Abad ke 21, kecuali buat beberapa tahun

kemelesetan, membentuk persekitaran yang kondusif bukan sahaja untuk

pembangunan material, tetapi juga membolehkan Islamisasi, yang turut

ditajai dan diterajui kerajaan, berkembang. Peningkatan taraf hidup dan

penyediaan prasarana seperti perbankan Islam dan sistem takaful

mewujudkan keperihalan keadaan yang mampu bertindak sebagai

Page 4: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 4

pencetus dan pemangkin kepada pembinaan peradaban. Medan

pengislaman turut diperluas oleh pembesaran ASEAN apabila ia bertukar

menjadi pertubuhan serantau dengan 10 anggota, berikutan penyerapan

beberapa buah lagi negara Asia Tenggara, termasuk sebilangan negara

komunis.

Sungguhpun Malaysia bukan suatu contoh yang sempurna atau ideal

daripada segi pengislaman, ia telah menjadi rujukan merata di peringkat

antarabangsa. Kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan

sosial yang membaluti kehidupan ketika dakwah sedang berkembang

memberinya imej yang memikat. Apabila Malaysia menjadi tumpuan

puluhan ribu pekerja asing dari dalam Asia Tenggara dan dari luar

rantau, kedudukannya semakin meningkat. Penglibatannya sebagai hos

persidangan OIC dan NAM, dan penyertaannya sebagai penyumbang

kepada misi keamanan di Bosnia, Kampuchea dan Somalia,

menyebabkan namanya sebagai sebuah negara Muslim menjadi

bertambah terkenal. Kemajuan material yang bersalutan cita-cita Islam

yang berkembang semenjak fenomena Kebangkitan Semula Islam tahun-

tahun tujuh puluhan diperlihat sebagai pembangunan Islam oleh banyak

pihak luar, termasuk oleh beberapa negara Barat.

Masa Terburuk: Masyarakat Muslim Pasca Perang Dingin

Tamatnya Perang Dingin juga bererti negara dan masyarakat Muslim

yang pernah bersyarikatan dengan Barat kehilangan nilai strategi pada

pandangan pihak tersebut. Kalau sebelumnya, Turki, Pakistan, Arab

Saudi, Iran dan sebagainya disayangi dan disanjung kerana bermusuhan

dengan Komunisme, maka ketiadaan ideologi pencabar sebagai musuh

utama itu menjadikannya kurang bermakna lagi dan semakin tidak

relevan. Dahulunya, ‘musuh kepada musuhku’ menyebabkan

kesemuanya bersahabat dalam pakatan dan perikatan antarabangsa, maka

kini kesemuanya berada dalam suatu ‘world of nation-states’ atau dunia

negara-bangsa, dengan penuh kecairannya, dan terdedah kepada bahaya

luar, termasuk dari Barat sendiri.

Negara dan masyarakat Muslim yang berkembang dalam konteks

pasca Perang Dingin pula tidak mengubah arah dan menggubal

kehidupan antarabangsa yang lebih harmonis antaranya. Trek-trek

kesejagatan yang terpapar dalam OIC gagal diterjemahkan menjadi realiti

yang bermakna dalam persekitaran ini. Badan antarabangsa yang

Page 5: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 5

dianggotai lebih daripada 50 negara Muslim dan didukung oleh jutaan

anggota ummah kelihatan tidak relevan untuk mencetus suatu perubahan

yang benar-benar bermakna. Idea peradaban Islam yang terungkap dalam

penubuhan dan perjalanannya berkecai oleh pertelingkahan berpanjangan

di antara beberapa negara anggotanya1.Turki, Arab Saudi dan Iran, lebih

cenderung mencorak dasar luar mengikut kepentingan nasional masing-

masing. Rantau Asia Tengah dan Balkan, dengan populasi Muslimnya

yang besar dan sejarahnya yang gemilang, tidak bertukar menjadi daerah

terpupuknya nilai-nilai Islam yang ketara, tanpa menafikan penumpuan

antarabangsa yang bertambah kepadanya sebagai destinasi pelancongan.

Afganistan, Iraq, Somalia, Yemen dan Syria, tidak sekadar dirempuh

oleh pihak luar, tetapi juga dikoyak rabak dari dalam oleh persengketaan

dalaman. Semakin menyerlah keretakan dan kekusutan yang

menyelubungi kehidupan bernegara apabila sentimen kesukuan,

kepuakan, kekabilahan, keetnikan dan kemazhaban yang sebelumnya

terpendam, diberi ruang untuk zahir lebih terbuka dalam persekitaran

baru. Perlakuan dan pembawaan pemimpin dan pengikut mereka

yang berfikiran abad-abad yang lalu, dan berbekalkan peralatan

perang abad ke 20 dan ke 21, telah menghancurkan harapan Islam,

sekali gus memusnah saki baki peninggalan peradaban Islam yang

lalu. Kehidupan bernegara masa kini menjadi suatu pemanjangan

kehidupan bernegara sebelumnya, dan keadaan ini dijangka berterusan

sehingga ke abad akan datang.2 Adalah sesuatu yang memalukan apabila

kambing biri-biri yang telah dieksport ke Australia terpaksa dipulangkan

ke tempat asal, sebuah negara di Timor Tengah, berikutan pemberitaan

tentang penganiayaan terhadap binatang tersebut oleh kanak-kanak

sebelum dimuat ke dalam kapal. Tidaklah keterlaluan kalau dikatakan

bahawa sekiranya pemimpin dan umat Islam sebegini diberi

kebebasan penuh untuk merencana dan membina peradaban Islam,

tanpa gangguan dari luar sekalipun, mereka belum tentu dapat

menghasilkan sesuatu yang konkrit, melihat pada lagak semasa yang

dipertontonkan. Deskripsi “more of the same” terpakai untuk

menjelaskan trend yang kekal berpanjangan ini. Gambaran negatif

mengenai orang Islam sebagai ‘peruntuh peradaban’ dan bukannya

‘pembina peradaban’ bukanlah tidak berasas langsung bersandarkan

gerangan dan gaya sesetengah anggota ummah.

Barat pula, yang sebelumnya beragenda dan bermatlamat

pemusnahan Komunisme, berdepan dengan situasi ketiadaan musuh

untuk meneruskan pertarungannya. Kesatuan berfikir dan kesatuan

bertindak yang pernah mengikat negara-negara dalam kelompok tersebut

Page 6: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 6

mengalami hakisan. Perpaduan nasional sukar dipertahankan, penjualan

senjata semakin sukar mendapat pasaran, dan penerajuan antarabangsa

bertambah sukar diperkekalkan, dengan kehancuran musuh yang pernah

mempersatukannya. Saingan baru perlu dicari dan diburu, untuk

mewujudkan solidariti lama, memastikan industrial-military complex

kekal beroperasi, dan meneruskan kepimipinan global. Grand strategy

yang terpacak atau terpadan pada pemikiran Barat yang mengakibatkan

keruntuhan Soviet Union dan kelumpuhan Kominsme terpaksa dituding

dan ditumpukan kepada sasaran baru. Islam dan penganutnya menjadi

pilihan segera, dan mudah untuk dimunculkan sebagai ‘Kominisme

Baru’. Tambahan pula, hubungan semasa Barat-Islam masih dipengaruhi

oleh prasangka lama dan kejahilan merata, sehingga sentimen ini

seringkali menguasai pendiriannya. Dengan ‘tercetusnya’ ‘Peristiwa 11

September’, perasaan ini menjadi bertambah mendalam dan meluas.

Pembentukan dan pemupukan ‘Orde Baru Dunia’ berlangsung dalam

keperihalan keadaan ini, dan orang Islam menjadi korban kepada

perancangannya.3

Barat dengan wawasan lamanya, yang terbentuk dalam persekitaran

penjajahan selama ratusan tahun, terangsang untuk memupuk ‘peradaban

sejagat’ beracuannya. Penonjolan Islam selepas ketewasan Kominisme,

ditayangkan sebagai pencabar yang berkedudukan menjejas keselamatan

Barat, dan berpotensi merosak Kristianiti, dengan segala pembawaannya.

Daripada situ lahirlah ungkapan ‘Clash of Civilizations’ yang

dipopularkan oleh Samuel Huntington, dengan sorotan dan saranannya:

“...both are universalistic, claiming to be the one true faith to which all

mankinds must adhere. Both are missionarary religions believing that

their adherents have an obligation to convert non-believers to that one

faith”.4 Lebih daripada itu lagi, pihak yang bermusuhan dengan Islam

telah melebar-luaskan wacananya agar bukan-Barat dan bukan-Muslim

turut sama berkongsi kebimbangan terhadap agama yang dipaparkan

sebagai ‘an exotic and alien religion and culture’. Mengikut perspektif

mereka, sekiranya Islam berkembang ia akan menempatkan diri sebagai

ideologi pengganti Komunisme, dan kewujudannya sebagai suatu

keseluruhan mampu menzahirkan sebuah “totalitarian Islamic empire

that stretches from Indonesia to Spain”.5 Tidak hairanlah, NATO yang

berpangkalan di Eropah Barat, dan suatu masa dahulu bertindak sebagai

benteng penghalang kemaraan Kominisme, telah diperuntukkan dengan

tugas baru, ia itu melumpuh dan menghancurkan fundamentalisme Islam.

Gambaran negatif tentang kebangkitan semula Islam, dengan deskripsi-

deskripsi ‘Pax Islamica’ dan ‘Green Peril’ yang mengundang seribu

Page 7: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 7

persoalan, dan pertentangan silam antara Darul Islam dan Darul Harb,

dijaja dengan meluas untuk menakut-nakutkan bukan-Muslim. Iran

selepas revolusi Iran, dengan warisan sejarah empayarnya dan wawasan

Islamnya, dipaparkan sebagai musuh yang begitu berpotensi menjejaskan

kepentingan Barat.6

Negara-negara yang mempunyai penduduk Muslim yang besar dan

semakin menambah, seperti Russia dengan penganut Islamnya berjumlah

melebihi 20 juta, atau China, dengan minoriti Muslim yang terdapat

dengan ramainya di barat lautnya, merasa gelisah dengan kehadiran yang

berpotensi menjadi ancaman nasional ini. Negara-negara Barat yang

didatangi dengan banyaknya migran Muslim, khasnya dari negara-negara

yang dilanda huru-hara, juga berusaha memastikan kehadiran penganut

agama lain ini tidak mewujudkan persekitaran dan pemasyarakatan

peradaban asing. Pihak pemerintah telah mengetatkan syarat bagi

membendung kemunculan atau kemaraan anggota ummah ini, sekalipun

dasar dan tindakannya berlawanan dengan prinsip demokrasi dan liberal

yang menunjangi sejarahnya. Pihak-pihak dan parti-parti berhaluan

kanan yang semakin popular di Amerika Syarikat, Austria, Belanda,

Jerman, Perancis dan Sepanyol telah sama-sama membangkitkan

persoalan kehadiran penduduk Muslim yang semakin bertambah di

negara mereka, dan cabarannya kepada nilai sekular moden Barat.

Uberfremdung atau overforeignization dianggap suatu ancaman, dan

menyebabkan The Republicaner dan Pegida di Jerman, Front Nasionale

di Perancis, dan Liga Utara di Utara, umpamanya, mengatur serangan

untuk melumpuhkan masyarakat Muslim di tengah-tengah kehidupan

mereka. Pengenalan dan pembentangan adegan liar, termasuk adegan

berciuman di tempat awam dan perlakuan berbogel di pantai, dibiar

berkembang sebagai amaran kepada golongan luar supaya bersedia dan

berkesanggupan menerima hakikat hidup seumpama itu jika mahu

menjadi warganegara. Mesej yang cuba disampaikan ialah mereka

hendaklah menjadi ‘Muslims tanpa Islam’, jika mahu meneruskan hidup

di tempat baru. Britain yang mengamal dasar lebih liberal terhadap

migran, termasuk pendatang beragama Islam, tidak terlepas daripada

gejala anti-penghijrah luar ini, lantaran kehadiran mereka dianggap

mencabar tradisi Anglo-Saxon. Ahli politik daripada kalangan Parti

Konservatif, saperti Enoch Powell, John Townend dan Richard Body,

pada masa-masa berlainan telah membangkit kebimbangan masing-

masing.

Pertentangan dengan Islam bukan sahaja berlaku secara bersemuka

(confrontational), tetapi juga melibat penghakisan nilai-nilainya

Page 8: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 8

menerusi penyebaran dan penyejagatan demokrasi-liberal dan

kapitalisme. Demokrasi-liberal yang dinobatkan sebagai ‘the final form

of human government’ (Francis Fukuyama), dengan janji-janji

kemewahan dan kesentosaan hidup, memikat dan memukau, termasuk di

kalangan negara dan masyarakat Muslim. Suatu dimensi dalam

pertentangan budaya ini ialah keupayaan Barat, atau pihak-pihak yang

sehaluan dengannya, memapar dan mempamerkan kejayaan dalam

bentok kehidupan negara dan kota yang mengagumi dan mengasyikkan,

sebagai model dan wakil pencapaian demokrasi liberal dan kapitalisme.

Amerika Syarikat, Jerman, Negara-negara Nordik, Jepun, Korea dan

Taiwan, New York, Paris, Amsterdam dan Tokyo umpamanya menjadi

contoh ‘Syurga Dunia’, ‘Negara Kebajikan” atau ‘Land of Promise’ yang

gagal ditandingi oleh umat Islam di mana-mana dewasa ini. Berita dan

cerita yang tidak semestinya mewakili mengenai kehebatan kehidupan di

Barat dan di Timor Jauh, daripada segi penjagaan kebersihan, disiplin

dan alam sekitar, menerpa masuk sama. Budaya hidup yang terbentuk

oleh developmentalisme dan komersialisme mempesona dan

mengagumkan. Bukan sedikit di kalangan orang Islam sendiri, walaupun

terasuh dalam pendidikan agama, merasakan agama mereka telah

membawa kemunduran, atau menghalanya ke belakang. Bukanlah

sesuatu yang ganjil apabila bukan sedikit anggota masyarakat Muslim,

lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang pernah mengecap kehidupan

material di bawah penjajahan, atau sedang mencari jalan keluar daripada

kemelut hidup dan inginkan kemewahan, yang mendakap dan

mendukung globalisasi dengan segala janjinya.

Malaysia tidak tersisih daripada bahang penyejagatan hidup ini,

apatah lagi sebahagian para elitnya pernah mengharungi kehidupan

moden-sekular pada masa-masa yang lalu. Tahun-tahun sebelum 1975

terutama sekali telah menyaksikan bagaimana kehidupan tempatan,

khasnya di kota, berangkaian dalam litaran kebaratan, yang mengheret

Muslim dan bukan-Muslim ke dalam jaringannya. Peranan NGO yang

bersyarikatan dengan pihak luar dan MNC yang berpangkalan di Barat

atau Timor Jauh telah sama-sama memastikan ikatan ini kekal kukuh.

Pasaraya dan pusat rekreasi, pelaburan dan pelancongan, kesemuanya

menjadi saluran kepada penularan nilai-nilai asing yang semakin

berimpak ke atas masyarakat.

Gelombang globalisasi menampakkan kesan negatifnya apabila

sebahagian penduduk Malaysia, termasuk penganut Islam, terdorong

sama menjejaki langkah orang Barat dan kebaratan. Idea kemajuan yang

terpupuk dalam wadah sekular-moden diterima-pakai dan dijadikan

Page 9: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 9

ukuran kejayaan. Kebendaan atau gejala materialisme, dan keseronokan

atau unsur hedonisme, yang dinukilkan dalam wawasan tersebut telah

menjejaskan pandangan-dunia tauhid yang belum betul-betul bertapak

dalam masyarakat besar. Negara menjadi begitu terdedah kepada mainan

dan manipulasi luar apabila kehidupan warganya berangkaian dan

bertalian dengan kuasa asing.7 Tanpa menafikan bahawa telah berlaku

perubahan minda di kalangan orang Melayu-Muslim ekoran kebangkitan

semula Islam tahun-tahun tujuh dan lapan puluhan, warisan lama

umumnya masih menguasai wajah dan wataknya mereka, menjadikannya

golongan yang terkebelakang. Kampong halaman mereka boleh dikenali

dengan melihat kawasan rumah yang terbiar dengan semak samunnya,

berisi lalang dan kelontong kelapa.

Globalisasi sebagai lebuh raya informasi bukan sahaja memudahkan

laluan kepada penyebaran pengaruh peradaban Barat ini, tetapi telah juga

menjadi jalan kepada penularan fikiran Barat di rantau orang Islam. Di

peringkat sosial, pemerkasaan media sosial oleh pendukung dan

penyokongnya menyebabkan manusia dan masyarakat Muslim

berangkaian sama dalam teknologi maklumat yang menyebabkan

pemecahan atau fragmentation. Pembahagian ini memudahkan

berlakunya pecah belah, dan mendedahkan anggotanya kepada nilai-nilai

berbeza dan bercanggahan sehingga menyukarkan perpaduan dan

penyatuan fikrah.

Kebebasan ini telah juga mencetus krisis intelektual di kalangan

para pendukung Islam sendiri, apabila sebegitu ramai mereka yang

berpendidikan agama atau berkecenderungan keagamaan bertarung

mempertahankan pendirian masing-masing, sehingga menimbulkan

kekeliruan dan kekusutan dalam negara dan masyarakat. Persoalan

yang terbangkit tidak terhad kepada pertentangan antara mereka yang

mahu mengekalkan keseluruhan ajaran Islam, ‘to the spirit and letter of

the religion’ , dan mereka yang mahu sekadar ‘roh’ atau ‘semangat’

Islam dalam kehidupan, tetapi juga hampir setiap sudut khazanah ilmu

yang pernah membaluti sejarah ummah. Pengkayaan pengetahuan yang

terhasil daripada pengajaran di pusat-pusat Islam yang bertaburan, telah

tersalur dengan bebas dan mudah sekali dalam persekitaran dewasa ini,

sehingga perbezaan pendapat yang seharusnya merupakan suatu rahmat

bertukar menjadi punca krisis intelektual yang berpanjangan. Lebih

dahsyat lagi ialah apabila aspek-aspek Islam yang terdapat dalam ajaran

agama dan sejarah ummah, dipertarungkan oleh para pendakwah atau

pemikir Islam untuk muncul juara dan menjadi kaya. Bukan sedikit pula

di kalangan mereka yang mendakwa sebagai pejuang dan pendukung

Page 10: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 10

Islam membuat helah dan mengadakan halangan bagi membantut

pelaksanaan Syariah, dengan mempopularkan pendirian bahawa masa

belum tiba dan persiapan belum cukup untuk penempaannya.

Sungguhpun pandangan mereka tidak seratus sama dengan pandangan

bukan-Islam yang berterangan menentang penggubahan hidup

berlandaskan al-Quran dan hadith, atau golongan Muslim liberal,

penyuaraan mereka jelas kelihatan senada dengan pihak tersebut, dan ini

menyukarkan lagi perjuangan Islam. Sementara pada masa yang sama,

sebahagian penting ulama dan cendekiawan Islam masih berhempas

pulas merungkai berbagai persoalan halal-haram daripada barangan dan

amalan yang didatangkan dari luar, yang kadangkala begitu sukar untuk

difahami atau dihadamkan sebelum sesuatu keputusan dapat dibuat, dan

diberitakan kepada umum.

Ringkasnya, semangat Islam yang tersuntik dan tersepuh berikutan

tamatnya Perang Dingin, telah tidak dialir secara tersusun, sehingga

kemunculan individu, pertubuhan dan agensi kerajaan, yang komited

kepada penghayataan Islam berfungsi dan berperanan berasingan, dan

kadangkala bercanggahan.

Peradaban Islam di Persimpangan Jalan

Umat Islam jelas berterusan terdampar di persada antarabangsa dan

nasional tanpa dibaluti sebuah kehidupan keIslaman. Peradaban Islam

berada di persimpangan jalan. Segala nilai-nilai dalam pengasasan dan

pembugaran tamadunnya yang terangkum dalam al-Quran dan hadith

masih menunggu penterjemahan menyeluruh.

Penekanan yang diberi kepada penjernihan kehidupan peribadi dan

pemurnian hidup bermasyarakat, di surau dan masjid, di kaca tv dan

menerusi radio, atau di majlis-majlis ilmu serupa, belum lagi berjaya

membawa kepada transformasi berskala besar. Aspek keadilan,

kebersihan diri dan kediaman, dan kecaknaan terhadap binatang

peliharaan dan alam sekitar, umpamanya, yang ditekan oleh Islam, tidak

tertonjol sebagai suatu tradisi kehidupan ini. Masih belum lahir suatu

civilizational ambience (pertumpukan peradaban) dalam sejarah Islam

kontemporari yang boleh menjadi rujukan dan kebangaan ummah. Lebih

membimbangkan lagi ialah apabila perubahan dan pembangunan,

sekalipun diselit dan disulami oleh nilai-nilai tamadun yang

bersumberkan al Quran dan Hadith, atau sejarah ummah, semakin

Page 11: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 11

terggarap oleh anasir dan unsur demokrasi liberal dan kapitalisme yang

tidak semestinya selari dengan tuntutan keagamaan.

Ritorik dan ritus yang menguasai kehidupan Islam di mana-mana

belum benar-benar bertukar menjadi kenyataan konkrit di peringkat

kemasyarakatan dan kenegaraan. Benar dari semasa ke semasa telah

muncul individu Muslim yang hebat sehingga mempengaruhi manusia

lain, menyebabkan mereka memelok Islam, tetapi itu tidak mencukup

untuk membawa kepada transformasi menyeluruh atau berskala

peradaban.

Keadaan sebegini gampang mengundang pertanyaan, apakah benar

kata-kata seorang pemikir Barat, bahawa ‘Islam is the best religion,

Muslims are the worst followers”.

Pada masa yang sama, Barat menghidangkan sesuatu yang

mengikjaz atau mengkagumkan, dengan kehidupan ketamadunnya yang

berpusat di Amerika Syarikat atau Eropah Barat, manakala Timor pula

menayangkan kemajuan materialnya yang mengasyikkan berpengkalan

di China, Jepun dan Korea Selatan. Orang Islam tersempit antaranya,

atau terpaksa hidup di celah-celah masyarakat bukan-Muslim ini. Muslim

menjadi pembonceng sejarah semasa, sebahagian daripadanya, secara

langsong dan tidak langsong, menjadi pendukong dan penggiat

pergerakan peradaban asing. Jumlah orang Islam yang semakin

membesar di Amerika Syarikat dan Eropah Barat terutama sekali

sememangnya adalah suatu kehadiran bermakna daripada segi jangka

jauh, tetapi setakat ini keberadaannya masih merupakan pelengkap

kepada proses pentamadunan di daerah mereka bermastautin atau belum

menjelma sebagai pembina peradaban Islam yang berjaya di persada baru

mereka.

Segalanya tidak terhenti di situ. Barat yang pernah menjajah dan

kemudiannya menggoda orang Islam sepanjang lebih daripada 500 tahun

berterusan berada dalam perkarangan hidup Muslim di mana-mana,

sebahagiannya daripadanya merancang untuk memusnah mereka dan

mempastikan Islam tidak bangkit. Dalam keadaan orang Islam dan

penduduk di negara-negara membangun yang lain memonopoli

kebodohan daripada segi geo politik, mereka begitu mudah

diperdaya dan dilaga-lagakan, sebagaimana yang pernah berlaku di

Afghanistan, Iraq dan kini di Syria. Pengalaman lepas masih gagal

memberikan kesedaran dan keinsafan tentang nasib yang telah

menimpanya, sehingga mereka sanggup membiarkan sejarah berulang di

mana-mana. Persekitaran kacau bilau dan tidak menentu yang

Page 12: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 12

diakibatkan oleh adu dumba musuh Islam menyukarkan lagi pendukung

dan penggiat Islam untuk menggubah peradaban yang diidam-idamkan.

Pengetahuan adalah pra-syarat dalam penggubahan peradaban. Namun pada realitinya, kebebasan yang sedang dikecapi gagal

dimanfatkan oleh ilmuan Islam yang berjumlah sebegitu besar dewasa

ini. Curahan pengetahuan keagamaan dari masa lalu bertemu dan

bertempur dengan maklumat dan informasi mengenai peradaban semasa

yang didukong oleh Muslim dan bukan-Muslim. Gerakan Islam yang

berusaha memaparkan peradaban Islam sebagai suatu gubahan ideal,

menerusi penukilan daripada al-Quran dan hadith, dan penyaringan

sejarah ummah, sedang bertembung dengan arus pemikiran yang

menobat dan memartabatkan tamadun lain, sama ada yang tertara di

Barat, atau yang tertubuh di Timor.

Dalam keadaan umat Islam sedang berada di persimpangan jalan ini,

maka mahu tidak mahu, mereka seharusnya mengenal pasti landasan dan

mengatur langkah, supaya perjalanan seterusnya adalah sebahagian

daripada destinasi- ia itu kehidupan berperadaban. Ini adalah untuk

menggelak kecelaruan yang sudahpun menjadi ciri pengalaman mereka

selama ini. Paradigma peradaban yang bersauhkan dan berkerangkakan

iman seharusnya diangkat menjadi pelan berfikir dan bertindak.

Ketakwaan ini pula disusuli dan diiringi oleh pemahaman situasi semasa

dan pemilikan kebolehan dan kekayaan material, untuk mewujudkan

komponen-komponen peradaban. Kehidupan yang dikonsepsikan

sebegini mungkin dapat beroperasi di peringat lokal sebagai permulaan,

tetapi menerusi penjelmaannya seterusnya, ia mampu mengembang

menjadi suatu kesatuan dan keseluruhan yang besar dan berimpak tinggi.

Seorang penulis menamakan tahap-tahap yang terpaksa dilalui ini

sebagai world-view formation atau pembentokan pandangan-dunia,

diikuti oleh concretized level atau penghayatan yang nyata, dan

seterusnya massive dissemination of the world-view, atau pemsyarakatan

pandangan-dunia berkenaan.10

Di Malaysia, kondisi dan keadaan sama juga menjelaskan betapa

sukarnya laluan yang terpaksa dihadapi oleh orang Islam untuk

membumikan nilai-nilai peradaban. Pengislaman yang tidak mantap dan

pandangan keIslaman yang tidak matang menghalang penyuburan cita-

cita pembentokan tamadun. Kesemuanya pihak kekal berdepan dengan

pertanyaan yang tidak terjawab: Bukankah ‘Islam itu tinggi, dan tidak

ada yang lebih tinggi daripadanya?’.

Page 13: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 13

Grand Strategy dan Gubahan Peradaban Islam Masa Depan

Gubahan peradaban Islam dalam apa keadaan sekalipun mestilah

berlandas prinsip-prinsip yang sedia tertara atau terterap dalam al-Quran

dan Seerah Nabawiyyah, apatah lagi jika sekiranya pegangan dan

pendirian ini pernah menkerangkakan sejarah ummah. Pengungkapan

baru dalam konteks dunia semasa hendaklah bertitik tolak dari situ dan

mengambil kira perkara ini; dalam bahasa lain, kaedah dan matlamat

mestilah Islamik. Namun oleh kerana zaman sudah berubah, dan cabaran

yang terpaksa dihadapi tidak sama, maka segala yang terkandong dalam

khazanah masa lalu juga perlu disuluh dengan kritis, dengan dituruti oleh

pendekatan sekarang, dan pengisian selari dengan tuntutan keadaan.

Malah perjalanan ummah selama inipun, sebagaimana yang ternukil

dalam banyak tulisan, seharusnya dinilai semula supaya dimensi bukan

Islamik disisihkan, dan tidak dibiar berlarutan mencemar nama baik

agama. Pemahaman masa lalu sewajarnya didekati menerusi

teropong pandangan-dunia Islam. Garisan ini penting dipertahankan

untuk membolehkan kelahiran sebuah kehidupan yang menyeluruh tetapi

masih berkerangkakan Islam.

Cabaran di peringkat antarabangsa dan nasional seharusnya

ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Persekitaran luar dengan ciri-ciri

globalnya yang semakin berkembang masih merupakan dunia negara-

bangsa, atau a world of nation-states. Sama ada ia bersifat satu-pusatan

(unipolar), atau dwi-pusatan (bi-polar) atau banyak-pusatan (multi-

polar), ia tetap bergerak mengikut retak dan ragam kepelbagaian negara,

termasuk negara-negara Muslim. Kesatuan ummah dalam sejarah tidak

mudah untuk dibangun kembali, apatah lagi di kalangan negara

berpendudukan majoriti orang Islampun hampir tidak terdapat langsung

pihak yang berkecenderongan untuk mengembalikan perpaduan zaman

silam. Negara dan masyarakat Muslim jelas sekali tidak dapat

berinteraksi dengan prinsip-prinsip peradaban secara seragam, di

sebabkan sejarahnya yang berlainan, dan tahap kesedaran dan kefahaman

Islam penganutnya yang tidak setara. Peradaban Islam juga tidak dapat

bernaung di bawah sebuah kuasa Islam global, sebagaimana ia pernah

berkembang di bawah Empayar Uthmaniyyah. Penyatuan fikrah amat

sukar ditempa dalam keadaan sebegini.

Dengan segala konkongan dan kekangan ini, ditambah pula oleh

asakan musuh yang sememangnya tidak mahu umat Islam bangkit dan

menyainginya, saperti mana yang pernah berlaku pada zaman Perang

Page 14: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 14

Salib, persoalan menterjemahkan nilai-nilai peradaban Islam menjadi

realiti menjadi semakin mencabar. Sehubungan ini, pendukung cita-cita

Islam dan pemaju ummah seharusnya berfikiran luas, berjangka jauh, dan

bersasaran, ia itu mencipta grand strategy bagi menangani keadaan

sekeliling yang berterusan menggugat ini. Selama ini, semenjak tamatnya

Perang Dingin terutama sekali, orang Islam umumnya telah dibuai oleh

impian dan imaginasi, sambil membuat invokasi terhadap masa lepas

dengan penuh nostalgik, tetapi menyedari ia tidak boleh diresukreksi atau

di reka bentok semula, atau berseronok dengan kelemahan dan kerapuhan

tamadun sekular moden, walaupun menyedari ia sukar untuk ditandingi.

Grand strategy yang dimaksudkan diharap dapat menjadi jalan

keluar dalam kepelbagaian keadaan yang menyelubungi ummah

hari ini.

Pada peringkat nasional, penajaan dan penjanaannya boleh berlaku

dalam konteks kehidupan individu dan masyarakat, dan kalau keadaan

mengizinkan, di peringkat nasional. Manusia dan masyarakat Muslim di

mana-mana beroperasi mengikut kedudukan masing-masing, dengan

segala cabaran dan ancaman yang terpaksa dihadapi, tetapi masih terhala

kepada cita-cita besar, ia itu penghayatan nilai peradaban Islam yang

menyeluruh. Namun begitu, pemikir dan penglibat Islam tidak sepatutnya

memilih jalan mudah atau jalan pintas untuk menghayati nilai-nilai

peradaban Islam seperti ‘keadilan’, ‘amanah’, ‘toleransi’,

‘kesederhanaan’, dan ‘keamanan’ dengan mengetepikan Syariah. Tanpa

kaedah yang betul matlamat boleh terbatal, kerana dalam Islam, ‘the end

justifies the means’ hanya dibenarkan dalam situasi-situasi tertentu,

saperti darurah. Paling tidak, pembugaran nilai-nilai ini seharusnya

dilakukan serentak dan seiring dengan permartabatan Syariah, supaya

pelakuannya tidak terasing daripada teras ajaran agama. Korupsi,

nepotisme, kronisme, yang sering diberi penekanan sebagai gejala-gejala

negatif boleh terhapus, apabila manusia dan masyarakat berkembang

dalam wadah dan wawasan Islam. Adalah suatu perkembangan yang

tidak sihat apabila pemberatan berlebihan diberi kepada ‘Maqasid

Syariah’, sehingga perjalanan Islam terhindar daripada pengamalan dasar

beragama. ‘Islamicty Index’ yang telah dimantrakan sebagai penanda aras

oleh Hossein Askari Scheherazade Rahman dari Universiti George

Washington boleh dijadikan rujukan dan rangsangan untuk membangun

peradaban Islam, tetapi pembangunan ekonomi dan politik,

penguatkuasaan undang-undang dan pertahanan hak asasi, hendaklah

berlandaskan agama. Ternyata debat lama antara ‘the substance of Islam’

Page 15: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 15

dan ‘the spirit of Islam’ yang mencirikan perbahasan mengenai kemajuan

ummah dalam dunia moden terbangkit kembali sehubungan ini.

Pemupukan kehidupan masyarakat dan negara dalam wawasan

peradaban Islam ini mampu menghasilkan dua kesan besar di peringkat

antarabangsa; pertama, sekiranya gubahan ini wujud merata, maka akan

berlaku pertautan antaranya, dan akhirnya akan berlaku penyeragaman

atau pengharmonian dalam dunia Islam. Kehidupan berskala kecil di

peringkat tempatan akan bertemu sebagai batu bata dalam penggubahan

peradaban sejagat. Kedua, manusia dan masyarakat Muslim yang

tergarap oleh nilai-nilai keislaman ini masih berkedudukan bergerak

seiring dengan dunia global yang memberi penekanan kepada hak asasi

manusia, kebebasan dan kesejahteraan hidup, persekitaran ekologi dan

seumpamannya, dengan mendukung Universal Declaration of Human

Rights, Biological Weapons Convention against Germ Warfare8 dan

sebagainya. Partisipasi jenis ini memungkinkan lahirnya win-win

situation, bilamana pihak Muslim dan bukan-Muslim meraih keuntungan

bersama, menerusi persefahaman dan kerjasama . Manfaat yang diterima

akan turut dinikmati oleh kelompok-kelompok Muslim di rantau bukan-

Islam.

Komuniti Muslim yang terhimpit di negara-negara bukan-Muslim,

khasnya di Barat dan di Timor Jauh, mempunyai saham tersendiri dalam

pembangunan peradaban Islam ini. Mereka ini mempunyai ciri-ciri

tersendiri yang tidak dimiliki oleh Muslim lain. Pertama, mereka adalah

penghijrah daripada negara asal dan kini sedang menempa kehidupan

baru di bumi tamu dengan segala kemudahan dan kesusahannya. Kedua,

mereka ini terhumban dan dikelompakkan bersama pendatang lain, yang

membolehkan mereka berinteraksi melewati batas-batas kepuakan dan

keetnikan, dan membugarkan kehidupan Islam di dunia asing. Ketiga,

mereka turut didedahkan kepada nilai-nilai tinggi peradaban di daerah

barunya, yang boleh menjadi ikutan dan dipadankan sebagai nilai-nilai

Islam. Jumlah mereka juga sedang bertambah. Di Perancis terdapat

sekitar 2.5 juta penganut Islam, sebahagian daripadanya adalah

pendatang baru. Daripada 5,4 juta penduduk Denmark, sebuah negara

terpencil di Eropah, sudah terdapat lebih daripada 200 000 Muslim. Di

New York sahaja sudah wujud 140 masjid dan surau bagi menampung

keperluan Muslim di kotaraya itu. Golongan Islam lain terdiri penganut

baru, yang semakin bertambah jumlahnya, khasnya di Barat. Seandainya,

semakin ramai daripada kalangan bangsa Eropah Utara, atau bangsa

Nordik, memilih Islam, apakah haluan Islam akan berubah, dan

Page 16: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 16

peradabannya berkembang, memandangkan mereka ini sedia terbukti

hebat daripada segi keupayaan meneroka dan mencipta.

Dalam keperihalan keadaan di Malaysia, realiti semasa dengan

pembebasan bergerak dan bersuara, dan pengkayaan ilmu, seharusnya

ditangani menerusi grand strategy yang sama, yakni pemerkasaan hidup

Islamiyyah dan penyatuan sasaran hidup bermasyarakat dan bernegara.

Hanya nilai-nilai peradaban yang terpugar dalam acuan yang kukuh

sahaja mampu berkembang segar dan berimpak. Kehidupan di Malaysia

yang semakin ditandai oleh kebebasan bergerak dan bersuara, dan

kehadiran puluhan ribu pendakwah, sepatutnya dikerangkakan sebegitu

rupa agar pemimpin dan pengikut Islam bertindak dalam aliran fikiran

perdana, berlandaskan pegangan hidup yang menyatupadukan Muslim

dan bukan-Muslim, dan berkembang dalam wawasan peradaban.

Gagasan ini mungkin berbentuk Fiqh Malaysia, yang mengambil

kira sejarah tempatan dan realiti semasa yang menyelubungi masyarakat

di sini, tetapi selama dan selagi ia boleh dirangkai dan dirantaikan

dengan grand strategy ummah yang merentasi sempadan negara, maka ia

adalah batu bata yang akan membantu dan membangun keseluruhan

peradaban Islam semasa. Persoalannya ialah untuk melahirkan

kehidupan peradaban melewati batas-batas individu, dengan

kehidupan Islam berjangkitan di peringkat sosial, sehingga

terbentuknya pusat perkembangan peradaban (civilizational growth

centres). Anggota masyarakat bukan sekadar berpakaian menutup aurat

dan mengecapi makanan halal, anak-anak mereka bukan setakat

berpendidikan madrasah dan ma’had tahfiz, dan orang tua dan orang

muda bukan hanya berkunjung ke masjid dan surau dengan ramainya

untuk bersembahyang berjemaah, tetapi keberadaan ini berhubungan dan

berangkaian dalam suatu sistem kehidupan yang aktif, kreatif dan

kumulatif. Penjelmaan kehidupan sosial yang berkerangkakan akidah

dengan pengisian Islamnya, dari segi penyusunannya, penjagaan

keamanan, kebersihan dan alam sekitarnya, tidak semestinya berlaku di

bandar dan kota, sekalipun sesebuah peradaban biasanya dikaitkan

dengan kehidupan kebandaran atau kekotaan. Dalam konteks inilah,

diharapkan semoga bandar dan kota saperti Bangi dan Shah Alam

mempelupuri proses perdaban, dengan berkembang beracuankan

pandangan-dunia Islam, dan menjadi pusat perkembangan

peradaban. Kehadiran pusat perkembangan peradaban yang berimpak

akan menjadi celupan kepada mereka yang mengharungi kehidupan di

dalamnya, dan menjadi rujukan kepada mereka yang melihatnya dari

luar.

Page 17: Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban Islam Pasca Perang ... · PDF fileProsiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 1| Masa Terbaik, Masa Terburuk, Peradaban

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 17

Kesimpulannya, kerangka peradaban amat diperlukan, supaya kehidupan

Islam terhala dan terurus menuju gubahan peradaban. Kegagalan berbuat

demikian menjanji mala petaka, dan itulah yang diharapkan berlaku oleh

pihak musuhnya. Gerakan Islam sudahpun di perihalkan sebagai “...a

movement which finally will exhaust itself, since it lacks the intellectual

resources capable of giving the Islamic people what they want”.9 Apakah

pada hari kita berada dalam situasi sebegini?

Nota Hujung (1) Perbahasan lanjut terdapat dalam Mohamad Abu Bakar, “OIC dan Fiksyen

Perpaduan Ummah”, PEMIKIR, Julai-September 1999, hlm. 1-26.

(2) Untuk kupasan seterusnya, lihat Mohamad Abu Bakar, “Managing the Future:

Islam in the Post-Cold War Era”, dalam Syed Othman Alhabshi dan Nik

Mustapha Nik Hassan (ed.), Islamic Civilization. Present and Future

Challenges, IKIM, Kuala Lumpur, 1995.

(3) Sebahagian daripada perbincangan mengenai ini terdapat dalam Mohamad Abu

Bakar, Without Locke or Lenin. The Impact of Resurgent Islam on

International Politics, Syarahan Perdana, Universiti Malaya, 7 Oktober, 2004.

(4) Samuel Huntington, Clash of Civilizations and the Remaking of the New World

Order, New York: Simon & Schuster, 1996, hlm. 211.

(5) Andrew Osborne, “Putin: Collapse of the Soviet Union was a ‘catastrophe of

the century’”, Independent (London), April 26, 2005.

(6) Lihat umpamanya, Henry Kissinger, World Order, Penguin Books, 2014, hlm.

146-171.

(7) Perbincangan terperinci terkandong dalam Mohamad Abu Bakar, “Dilema

Dakwah. Pengislaman dalam Era Pensejagatan”, PEMIKIR, Oktober-

Disember, 1997, hlm.60-89

(8) Sebahagian daripada persoalan ini termuat dalam Mohamad Abu Bakar, “The

Globalization of Islamic Values and the Future of International Relations”,

Kertaskerja International Congress of Cultural Contacts in Building a

Universal Civilization: The Role of Islamic Contribtuitons, American

University of Sharjah, Sharjah, United Arab Emirates, January 17-19, 2004.

(9) William Pfaff, Wrath of Nations. Civilization and the Futures of Nations, A

Touchstone Book, New York, 1994, hlm. 197

(10) Suatu perbahasan menarik terdapat dalam Alparslan Acikgenc, “The

Conceptual Foundation for the Emergence of Islamic Civilization”, dalam

Syed Othman Alhabshi dan Nik Mustapha Nik Hassan (ed.), Islamic

Civilization. Present and Future Challenges, IKIM, Kuala Lumpur, 1995.