kompetensi

Upload: cik-diana

Post on 09-Jan-2016

219 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Standard guru malaysia (SGM)

TRANSCRIPT

KOMPETENSI WATAK, TUGAS DAN TANGUNGJAWAB GURU DI MALAYSIA DAN PERBANDINGAN DENGAN NEGARA MAJU (PPPM 2015-2025)

PENDAHULUAN

Pendidikan merupakan kunci utama yang menjadi pemankin bagi memacu kemajuan sesebuah negara. Dalam ekonomi global masa kini, kejayaan sesebuah negera bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyatnya (Pelan Pembangunan Pendidikan, 2013-2025). Oleh itu, profesion perguruan dilihat sebagai satu pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Hal ini turut disokong oleh Saedah Siraj & Mohammed Sani (2012) yang mengatakan guru merupakan tunjang kepada sistem pendidikan kerana guru adalah pelaksana segala dasar dan matlamat kurikulum yang telah digariskan. Tanpa penglibatan dan sokongan guru, segala perancangan pendidikan yang telah disediakan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tegasnya lagi, pendidikan dan perguruan adalah aspek yang signifikan bagi menjamin kegemilangan sesebuah negara. Hal ini selari dengan pendapat Sufean Hussin (1993), guru adalah pelaksana kurikulum dan menjadi teras dalam menentukan standard, mutu dan keberkesanan sistem pendidikan. Dengan kata lain, guru memainkan peranan utama untuk menyalurkan ilmu dan kemahiran mereka dalam pendidikan formal yang mana guru bertanggungjawab mendidik dan memimpin mesyarakat (Mohammed Sani, 2005).

Peranan guru bukan sahaja sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran, malahan bertanggungjawab menyuburkan minat, memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar. Guru juga merupakan sumber untuk membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka selaras dengan hala tuju sistem pendidikan. Hala tuju pendidikan negara yang jelas menggariskan satu matlamat utama iaitu untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan bertaraf dunia. Perubahan demi perubahan terus dilaksana dalam sistem pendidikan bertujuan sebagai satu transformasi agar taraf pendidikan negara dapat berdiri setanding dengan pendidikan negara maju. Oleh itu, dalam menjayakan hasrat ini, guru seharusnya mempunyai kompetensi yang tinggi dan komited dalam melaksanakan tugas dan tangungjawab sebagai agen perubahan dalam menegakkan aspirasi sistem pendidikan negara. Hal ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru yang mahu melahirkan guru yang menjunjung aspirasi negara agar dapat melahirkan generasi baru yang berilmu pengetahuan.

Guru yang berkompetensi yang tinggi bukan sahaja mampu mengajar murid dengan cemerlang, tetapi juga mempunyai keterampilan diri yang meyakinkan, berpegang dengan prinsip kerja yang tekun serta bijak menempatkan diri dalam kalangan komuniti sekolah (Erdiana, 2006). Menurut Khoo Kay Kim (2005), beliau menegaskan bahawauntuk melonjak transformasi pendidikan, kerajaan perlu melakukan perubahan terhadap guru terlebih dahulu supaya dapat memenuhi hasrat pendidikan negara. Oleh itu, bagi meningkatkan tahap profesionalisme guru, Dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) telah diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) bertujuan untuk menilai serta mengariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini bertujuan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru. Justeru itu, kesemua elemen yang terdapat dalam Dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan elemen yang membawa kepada pembentukan atribut guru dalam melaksanakan agenda sistem pendidikan negara.

Di samping itu, melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), pelbagai usaha telah dirangka dan dirancang dalam penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia supaya dapat mencapai status negara maju dari aspek pembangunan modal insan bagi memacu kegemilangan negara. Antara usaha yang diambil ialah dengan memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025). PPPM 2013-2025 merupakan kesinambungan dan penambahbaikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Pelan ini diperkenalkan dengan beberapa pendekatan baru yang menjurus kepada transformasi pendidikan negara untuk 13 tahun akan datang. Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan cabaran abad ke 21. Matlamat utama PPPM 2013-2025 bukan sekadar bersaing dalam kalangan negara dunia ketiga sahaja tetapi untuk mengangkat sistem pendidikan supaya sebaris dengan negara-negara maju lain seperti Finland, Korea Selatan, Jepun, Singapura, New Zealand dan Kanada. Secara tidak langsung, PPPM 2013-2025 bertujuan untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di Malaysia agar sejajar dengan kehendak global dan meletakkan Malaysia berada pada landasan yang betul bagi mencapai rakyat minda kelas pertama.

PPPM 2013-2025 merupakan sebuah dokumen setebal 300 muka surat ini menyatakan dengan terperinci lima aspirasi sistem, enam aspirasi murid dan 11 anjakan untuk transformasi sistem pendidikan yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun akan datang. Proses transformasi ini akan dilaksanakan menerusi tiga gelombang iaitu Gelombang 1 (2013-2015) adalah bertujuan untuk mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama. Seterusnya, Gelombang 2 (2016-2020) adalah untuk memacu peningkatan sistem dan Gelombang 3 (2021-2025) adalah untuk menganjak ke arah kecemerlangan melalui peningkatan keluwesan operasi. Di samping itu, pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus iaitu objektif pertama ialah memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses, peningkatan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem. Objektif kedua pula ialah untuk mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan murid bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga 2025 dan objektif ketiga ialah menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam kementerian yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yang meningkat serta sokongan transformasi awam.

Merujuk kepada Anjakan Keempat yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 iaitu mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan, pihak KPM telah bercadang untuk melaksanakan Pakej Kerjaya Guru yang baharu dalam gelombang mengikut peringkat. Gelombang 1 (2013-2015) akan memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme guru serta penambahbaikan sokongan dan persekitaran kerja sedia ada. Lima langkah yang akan diambil adalah meningkatkan profil profession keguruan, meninggikan syarat kelayakan kemasukan untuk ambilan baharu, mengaitkan prestasi dengan kompetensi, meningkatkan peruntukan bagi pembangunan profesional berterusan dan mengurangkan beban pentadbiran yang dipikul oleh guru. Seterusnya, bagi Gelombang 2 (2016-2020) ialah mengukuhkan laluan dan kemajuan kerjaya. Pakej Kerjaya Guru yang baharu akan dibina berasaskan peningkatan standard yang telah dijalankan semasa Gelombang 1. Langkah yang diambil semasa Gelombang 2 termasuk menambah baik kualiti program latihan praperkhidmatan perguruan dan memastikan hanya siswazah yang terbaik dipilih menyertai profesion keguruan. Gelombang ini akan menyaksikan pelaksanaan laluan kerjaya yang ditingkatkan melalui tawaran pengkhususan berbeza bergantung kepada minat guru serta kemajuan kerjaya yang pantas untuk guru berprestasi tinggi dan pilihan tugas lain untuk guru yang tekal berprestasi rendah. Manakala bagi Gelombang 3 (2021-2025), adalah mewujudkan budaya kecemerlangan profesional melalui teladan rakan setugas. Guru akan membimbing dan mendorong antara satu sama lain, berkongsi amalan terbaik dan memastikan rakan setugas bertangungjawab menepati standard profesional. Di samping itu, Kementerian akan mewujudkan skim pensijilan berdasarkan penguasaan kompetensi keguruan yang ditetapkan dalam Gelombang 1 untuk meningkatkan kualiti latihan dan kebolehpasaran guru.

Kesimpulannya, pelaksanaan PPPM 2013-2025 mampu untuk mengupayakan pelaksanaan berkesan melalui bantuan guru yang mendokong usaha transformasi sistem pendidikan kebangsaan secara menyeluruh. Penekanan dalam membangunkan aspek pendidikan negara ini mencerminkan bahawa betapa aspek profesion perguruan bertindak sebagai nadi utama dalam pembangunan terutama dalam memastikan negara mencapai status negra maju dan berpendapatan tinggi. Guru perlulah menyedari hal ini dengan melaksanakan tugas dan tangungjawab dengan ikhlas serta bersedia menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian. Guru perlu mempunyai kompetensi diri yang tinggi selari dengan kehendak yang diperlukan bagi mencapai aspirasi negara serta mampu memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan negara-negara maju yang lain.

RUJUKAN

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Putrajaya.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Putrajaya.

KementerianPendidikan Malaysia.2015. BukuPengoperasian Program Linus 2.0.Putrajaya: BahagianPembagunanKurikulum.

Zinitulniza Abdul Kadir. 2011. Sudut Pandang MuhyiddinYassin. Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Saedah Siraj & Mohammed Sani. 2012. Standard Kompetensi Guru Malaysia. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Bahagian Pendidikan Guru. Standard Guru Malaysia. Putrajaya. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mohammed Sani. 2005. Institusi perguruan dalam Memenuhi Tuntutan Malaysia Sebagai Negara Maju. Kajang : Percetakan Bintang Jaya.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Diakses pada 31 Ogos 2015 dari http://mimbarkata.blogspot.com/2013/09/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia.html