ketaksamaan peluang pendidikan
TRANSCRIPT
Ketaksamaan Peluang Pendidikan
Pengenalan
Rakyat Malaysia cukup bertuah kerana kerajaan di bawah Kementerian
Pelajaran begitu prihatin terhadap masalah dan isu-isu pendidikan serta sedaya
upaya menyediakan peluang pendidikan yang terbaik dan bertaraf dunia kepada
seluruh rakyat. Pelbagai isu pendidikan termasuklah isu guru, pelajar dan
infrastruktur pendidikan diberi cukup perhatian. Selain itu, dasar-dasar yang digubal
seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang dibentang di Parlimen turut
memperkukuhkan lagi pendidikan di Malaysia. Petikan dari ucapan mantan Menteri
Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
yang dibuat sempena perutusan tahun baru 2006 jelas menterjemahkan misi dan
visi kementerian yang sedaya upaya merapatkan jurang pendidikan agar tidak ada
golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara. Namun begitu, masih
terdapat ketaksamaan peluang pendidikan kepada setiap rakyat dan etnik di
Malaysia.
Masalah ketaksamaan peluang pendidikan ini dibincangkan kepada beberapa
faktor penyumbang masalah termasuklah:
Kelas sosial
Jantina
Kumpulan minoriti
Murid berkeperluan khas
Isu-isu ketaksamaan peluang pendidikan
Perbincangan kita akan lebih berfokus kepada kelas sosial dan jantina. Bagi
membincangkan topik ketidaksamaan peluang pendidikan ini, saya telah merujuk
kaum Cina sebagai penanda aras. Sebagai pengenalan, masyarakat Cina adalah
sebahagian daripada etnik yang bermastautin di Malaysia. Menurut laman web
Wikipedia, Masyarakat Cina adalah golongan minoriti yang menduduki hampir 25
peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia. Masyarakat ini kaya dengan
adat resamnya, bahasa pertuturan dan sememangnya perbezaan dari segi budaya
amat ketara bagi dua lagi masyarakat utama di Malaysia iaitu kaum Melayu dan
India.
Kelas sosial
Secara geografinya, etnik Cina kebiasaannya tinggal di kawasan bandar terutama
bandar-bandar besar di Malaysia termasuklah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh
dan Selangor. Ini terbias daripada dasar penjajahan lampau British yang
mengamalkan dasar pemerintahan ‘pecah dan perintah’. Oleh sebab itu, Etnik ini
mempunyai peluang pendidikan yang lebih baik berbanding kaum-kaum lain seperti
Melayu yang tinggal di kawasan persisir pantai dan pedalaman serta etnik India
yang tinggal di ladang-ladang dan estet. Seperti yang kita sedia maklum, isu
pendidikan dari aspek prasarana lebih dititik beratkan di kawasan bandar. Selalunya,
sekolah-sekolah di kawasan bandar dilengkapi dengan peralatan belajar yang lebih
lengkap berbanding di luar bandar. Ini memberi kelebihan bukan sahaja penduduk di
kawasan bandar tetapi juga dari segi etnik yang dirujuk iaitu etnik Cina. Di
pedalaman yang rata-rata diduduki oleh etnik Melayu, mereka kurang diberi
pendedahan peluang pendidikan yang baik. Oleh sebab itu, mereka hanya
menganggap pendidikan ini hanyalah sekadar menulis, membaca dan mengira (3M).
Setelah penguasaan asas tersebut tercapai, mereka akan lebih berminat untuk
menyambung legasi ibu bapanya seperti menangkap ikan, menjual di kedai runcit
dan sebagainya.
Etnik Cina mempunyai advantage kerana secara umumnya, penguasaan
ekonomi masih lagi berada di tangan mereka. Oleh itu, mereka mempunyai
pendapatan bulanan yang lebih besar berbanding kaum-kaum lain di Malaysia. Oleh
sebab itu, mereka dapat menghantar anak-anak ke sekolah. Malah, mereka yang
hartawan pula sanggup menghantar mereka ke sekolah yang lebih baik berbanding
sekolah kerajaan. Mengikut siaran berita Al-jazeera pada 24 April 2009, etnik Cina di
Johor Bahru sanggup menghantar anak mereka ke Singapura semata-mata kerana
inginkan pendidikan yang lebih baik berbanding di Sekolah Kebangsaan dan
Sekolah Menengah Kebangsaan. Dianggarkan lebih 5000 pelajar Malaysia
bersekolah di Singapura dengan berulang alik ke sana setiap hari dengan merentasi
sempadan kedua-dua buah negara. Ini menggambarkan mereka mempunyai
kesungguhan yang tinggi serta ditampung pula dengan faktor kewangan yang baik.
Sudah semestinya, kaum-kaum lain di Malaysia seperti Melayu dan India rata-rata
kurang berkemampuan berbuat demikian kerana kita sedia maklum, pecahan
pendapatan kedua-dua kaum tersebut jauh lebih rendah berbanding etnik Cina.
Antara masalah pokok yang masih melanda Malaysia semenjak sebelum
merdeka lagi adalah isu bahasa dan agama. Memandangkan etnik Cina rata-rata
lebih selesa bertutur dalam bahasa ibunda mereka (malah masih ada yang tidak
fasih berbahasa Kebangsaan), mereka lebih senang memilih untuk ke sekolah jenis
kebangsaan dan sekolah swasta. Tumpuan utama kerajaan semestinya kepada
sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di mana setiap tahun,
peruntukan yang besar diberikan kepada kedua-dua bentuk sekolah ini. Kewujudan
sekolah jenis kebangsaan ini menyerlahkan lagi ketidaksamaan peluang pendidikan
kepada setiap etnik di Malaysia.
Tidak dapat dinafikan konsep diskriminasi yang ditakrifkan sebagai
pandangan, pemikiran, dan kepercayaan negatif oleh seseorang atau sekelompok
etnik terhadap anggota atau kelompok etnik lain masih menebal dalam kalangan
masyarakat Malaysia hari ini. Ini tergerak dek perasaan prejudis dan saling
membenci akibat kecelaruan politik semasa. Faktor ini menyumbangkan masalah
semakin lebarnya jurang pendidikan bagi setiap etnik di Malaysia. Sebagai contoh,
di peringkat IPT, wujud fenomena etnik Cina memberi nota yang diperoleh kepada
kalangan etnik mereka sahaja. Begitu juga etnik Melayu dan sebagainya. Sebagai
akibatnya, pasti terdapat perbezaan ketara keputusan peperiksaan akhir setiap
etnik. Sememangnya, sikap diskrimasi dan prejudis ini melebarkan jurang
ketaksamaan peluang pendidikan.
Jantina
Jurang ketidaksamaan peluang pendidikan antara jantina juga amat ketara.
Lazimnya, kita mendengar sesuatu kursus yang ditawarkan di peringkat IPT sering
dimonopoli oleh satu-satu jantina sahaja. Sebagai contoh perandingan, kursus
kejuruteraan masih dimonopoli oleh lelaki manakala perempuan masih memonopoli
hampir keseluruhan kursus di IPT termasuklah kursus perguruan. Ini jelas
membuktikan bahawa ketaksamaan peluang pendidikan wujud dengan ketara di
antara kedua-dua jantina ini.
Faktor ini disokong oleh minat atau interest satu-satu jantina itu. Kaum lelaki
sememangnya sesuai serta menyukai sesuatu kursus yang mencabar dari segi
fizikal, dan ini membuatkan kursus kejuruteraan menjadi monopoli mereka. Berbeza
pula dengan perempuan yang lebih bersifat keibuan, mementingkan ilmu teori serta
kurang terhadap aktiviti lasak, mereka pasti memilih kursus yang lebih feminin
seperti bidang keguruan, kedoktoran serta kulinari.
Selain itu juga, minat terhadap pelajaran juga amat ketara sekali bagi kedua-
dua jantina ini. Menurut data dari Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa
(MCIIUM) pada tahun 2006, peratus pelajar perempuan yang layak mendaftar di
MCIIUM adalah sekitar 60 peratus berbanding pelajar lelaki 40 peratus. Menurut
Encik Khair Ngadiron, bekas pengarah MCIIUM, fenomena ini disebabkan pelajar
lelaki sebenarnya kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertiari
dan memilih kerjaya yang setimpal dengan kelulusan PMR dan SPM mereka bagi
menampung keperluan harian diri. Ini berbeza dengan pelajar perempuan yang
masih memikirkan ilmu itu penting bagi memperoleh peluang kerjaya yang lebih baik
pada masa akan datang. Menurut buku karangan Syed Ismail dan Ahmad Subki
bertajuk Budaya dan Pembelajaran (2009), kadar pencapaian murid perempuan di
peringkat tertiari telah meningkat daripada 0.5 peratus pada tahun 1970 kepada 4.9
peratus pada tahun 1991 sementara bagi murid lelaki adalah daripada 1.2 peratus
kepada 6.0 peratus bagi tempoh yang sama.
Peluang melanjutkan pelajaran bagi kedua-dua jantina ini juga berbeza. Jika
disingkap kembali sejarah, zaman penjajah memperlihatkan golongan lelaki
mendapat tempat dalam pendidikan kerana pada zaman tersebut, peranan lelaki
sangat meluas meliputi isu pentadbiran, ketenteraan dan kepimpinan. Berbeza
dengan perempuan yang mana hanya diberi pendidikan asas kerana peranan
golongan ini masih kecil pada ketika itu. Jika dilihat dari konteks sekarang, golongan
wanita telah mendapat tempat di peringkat IPT malah peratusannya lebih tinggi
berbanding lelaki. Namun begitu, masih terdapat lagi stigma kuno yang mana
perempuan perlu berada di rumah menguruskan rumah tangga dan tidak dibenarkan
keluar mencari pekerjaan. Ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa wanita
tidak memerlukan pendidikan yang tinggi. Justeru itu, masih ada golongan wanita
yang tidak menyambung pelajaran mereka setelah tamat di peringkat menengah
atau rendah.
Kumpulan minoriti
Kumpulan minoriti ditafsirkan sebagai suatu kumpulan etnik dalam sesebuah
masyarakat yang mempunyai jumlah ahli yang kecil ( Syed Ismail, 2009). Kumpulan
ini banyak terdapat di Sabah dan Sarawak. Kumpulan ini termasuklah golongan
daripada kaum Bajau, Murud, Kadazan dan sebagainya. Kaum Asli juga termasuk
dalam kalangan kumpulan minoriti. Mereka sering terpisah daripada arus
pembangunan dan pendidikan amnya kerana faktor geografi dan taburan
penduduknya yang rata-rata tinggal di kawasan ceruk rantau dan pedalaman.
Sebagai contoh, kaum asli Temiar di Pos Poi terpisah dari bandar terdekatnya
Sungai Siput sejauh 20 kilometer. Untuk sampai ke situ, individu perlu menaiki
pacuan empat roda atau sekurang-kurangnya motor ‘scrambler’ untuk sampai ke
penempatan orang asli tersebut. Ini jelas membuktikan pendidikan juga sedikit
terkebelakang kerana teknologi masih kurang di sana. Oleh itu, pendidikan masih
lagi bukan menjadi peranan utama anak-anak daripada golongan minoriti ini.
Sebaliknya, kerja-kerja untuk mencari nafkah tetap menjadi keutamaan.
Kumpulan minoriti ini tidak terhad kepada isu etnik dan kaum semata-mata.
Golongan yang bermasalah disiplin seperti pelajar ponteng sekolah, menghisap
rokok, kaki buli dan sebagainya juga dikaitkan dengan kumpulan minoriti. Ini kerana
mereka tergolong daripada sekelompok kecil pelajar yang bermasalah.
Kebiasaannya, mereka yang bermasalah ini kurang cemerlang dalam pendidikan. Ini
ditambah lagi dengan masa yang kurang untuk membuat rujukan dan ulangkaji
kerana banyak masa dihabiskan dengan kerja-kerja tidak berfaedah tersebut.
Sememangnya golongan ini harus diambil perhatian serius kerana mereka turut
tergolong dalam kalangan yang tidak mendapat sama rata dalam peluang
pendidikan.
Murid berkeperluan khas
Murid sebegini telah diberi kekurang atau kelebihan daripada manusia normal.
Sememangnya, pelajar genius, lembam, down sydrom, dan sebagainya tidak dapat
mengikuti arus pendidikan normal seperti kanak-kanak dan pelajar lain. Mereka
samada terlalu kehadapan atau terlalu terkebelakang dari aspek pendidikan, perlu
diberi pendidikan khas. Terdapat 7 kategori kanak-kanak istimewa yang memerlukan
program pendidikan khas, iaitu:
Kerencatan mental
Bermasalah pembelajaran
Kecelaruan tingkah laku
Cacat pendengaran dan bermasalah komunikasi
Cacat penglihatan
Cacat fizikal
Pintar-cerdas dan berbakat istimewa
Golongan ini jika dibiarkan dengan arus pendidikan normal, sudah pasti mereka
tidak mampu mengecapi erti kata pendidikan sebenar. Mereka tidak dapat menimba
ilmu dengan baik malah pencapaian dalam peperiksaan juga akan sangat kurang
baik.
Implikasi terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara
Setiap tindakan atau peristiwa yang berlaku pasti akan memberi implikasi secara
langsung atau tidak langung kepada golongan sasaran. Isu ketaksamaan peluang
pendidikan ini akan memberi kesan atau implikasi kepada individu, keluarga,
masyarakat dan negara.
(i) Individu
Umumnya, sudah semestinya ketaksamaan peluang pendidikan ini akan
membuatkan pelajar tersebut tidak selari dengan pencapaian pendidikan normal
pelajar lain. Sebagai contoh, sekiranya seorang pelajar tersebut pelajar yang lemah
pelajaran kerana faktor kewangan keluarga ditambah lagi dengan tinggal di
pedalaman serta kurang berminat untuk belajar pasti tidak dapat menandingi pelajar-
pelajar lain yang pintar. Seterusnya, individu tersebut akan tersisih daripada arus
pembangunan negara, hidup dalam kejahilan, tiada masa depan yang cerah dan
juga kurangnya ilmu di dada.
Mungkin juga, jika dilihat dari sudut positifnya, individu itu akan lebih berdikari.
Ini kerana individu tersebut tiada kemudahan asas dan kesenangan sepertimana
pelajar lain. Ini mungkin membuatkan mereka akan lebih beruasaha untuk setaraf
dengan pelajar lain atau sekurang-kurangnya berdaya saing dengan yang lain.
(ii) Keluarga
Kita percaya bahawa pendidikan mampu mengubah nasib keluarga. Jika jurang
ketaksamaan peluang pendidikan masih melebar, tidak mustahil nasib keluarga
masih berada pada tahap yang sama tanpa perubahan positif. Sebagai contoh,
orang asli yang masih kurang mementingkan pendidikan kurang proaktif dalam
dunia global sekarang. Akibatnya, mereka lebih senang tinggal di dalam hutan
seperti dahulu. Tiada kemudahan yang sempurna dan jauh sekali perkembangan
teknologi.
(iii) Masyarakat
Implikasi kepada masyarakat lebih kepada refleks daripad implikasi kepada
keluarga. Apabila kelompok keluarga yang kurang proaktif ini membentuk satu
komuniti, sudah masti masyarakat tersebut terkenal dengan tidak proaktifya, mundur
dari aspek pendidikan malah tercicir daripada arus pembangunan negara. Mungkin
daripada kesan yang lebih buruk lagi, masyarakat ini akan terus didiskriminasi dan
tidak diambil peduli oleh masyakarat lain.
(iv)Negara
Sesebuah negara bergantung penuh kepada kepakaran modal insannya. Sekiranya
modal insan yang diharapkan iaitu berpendidikan dan berpengetahuan luas di
samping berdaya saing dan proaktif tidak mencukupi, sudah semestinya banyak
dasar-dasar yang telah digubal oleh pemerintah tidak dapat dilaksanakan. Kesan
daripada hal sedemikian, negara akan menjadi mundur, tidak mampu menjadi
negara yang kuat dan yang paling memalukan, kedaulatan negara akan dicabul.
Imej negara akan menjadi buruk dan semestinya pelbagai lagi andaian negatif bakal
terjadi.
Kesimpulannya, isu ketaksamaan peluang pendidikan ini patut ditangani oleh
bukan sahaja di pihak kerajaan, tetapi juga pihak berwajib seperti ibu bapa, guru-
guru, masyarakat sekeliling dan individu itu sendiri. Semua perkara mampu
ditangani selagi azam dan tekad menjadi tunjang perjuangan.
Pelan Lantai Bilik Darjah Ideal
PINTU
PINTU
PAPAN PUTIH / HITAM
MEJA GURU
SUDUT BACAAN
&
DISKUSI
U
SANITARI
Gambar rajah di atas melakarkan pelan lantai yang pada pendapat saya ideal
diaplikasikan di dalam bilik darjah di Malaysia. Jika diamati, tiada yang istimewa
dengan lakaran di atas. Ya. Tiada apa yang bombastik yang ditunjukkan di atas.
Ianya hanyalah susunan biasa yang terdapat di setiap bilik darjah di Malaysia.
Susunan di mana pelajar disusun dalam bentuk barisan dan lajur yang teratur dan
mengadap ke hadapan. Oleh itu, mengapa saya mengatakan ianya ideal? Sebelum
saya menjustifikasi idea saya ini, saya akan menerangkan dulu ciri susunan kelas
tersebut.
Pelan ini sesuai diaplikasikan kepada kelas yang mempunyai jumlah pelajar
yang genap, diantara 30 hingga 40. Pelajar disusun mengikut pasangan, semestinya
sama jantina, samada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan.
Meja guru diletakkan disudut sebelah depan, barat kelas. Papan hitam atau putih
digantung di dinding dan ditempatkan dihadapan, tengah dinding. Di belakang sudut
kiri, diletakkan sudut bacaan dan diskusi, khusus untuk pelajar membuat
perbincangan mengenai pelajaran mereka. Berdekatan pintu belakang, diletakkan
tempat di mana ditempatkan tong sampah, penyapu dan kemungkinan mop lantai
juga diletakkan.
Mengapa bentuk begini begitu signifikan di Malaysia? Bentuk dan saiz serta
keluasan semua bilik darjah di Malaysia dibina hampir sama. Memang terdapat
banyak pelan lantai cadangan untuk bilik darjah tetapi menjadi kekangan buat guru
untuk mengaplikasikannya atas dasar faktor di atas. Selain itu, pelajar di Malaysia
sudah terbiasa dengan pelan susunan sebegini. Memang akan menjadi sedikit
janggal jika disusun dalam keadaan yang lain. Atas alasan inilah, saya
mempertahankan idea ini. Selain itu, saiz kelas di Malaysia adalah sekitar 30 ke 40
pelajar. Amat sukar disusun dalam bentuk yang berbeza daripada di atas. Daripad
mengundang kesusahan, lebih baik dikekalkan susunan yang telah menjadi
kebiasaan ini. Selain itu, jika diamati, setiap pelajar akan mengadap ke depan
kerana susunan meja dan kerusi adalah jenis mengadap ke papan hitam. Ini dapat
mengelakkan pelajar daripada hilang tumpuan semasa proses pelajaran dan
pembelajaran (P&P).
Terdapat beberapa kebaikan daripada susunan begini. Terdapat ruang untuk
guru mendekati setiap pelajar kerana setiap pelajar disusun secara pasangan. Oleh
itu, guru dapat melihat dan memantau setiap pergerakan murid di dalam bilik darjah.
Selain itu, pelajar dapat bergerak dengan bebas tanpa tersekat-sekat kerana
susunan sebegini memungkinkan pelajar untuk bergerak tanpa halangan. Laluan
atau lorong yang ada cukup untuk seorang ataupun dua orang berada dalam satu
barisan melintang pada satu masa.
Mengapa susunan ini sesuai untuk saiz kelas antara 30 ke 40? Ini bertujuan
bagi memaksimumkan ruang yang ada bagi saiz kelas agak besar. Ini berbeza untuk
saiz kelas 30 dan ke bawah (saiz kelas sederhana dan kecil) di mana banyak ruang
yang kosong dan mampu dimanfaatkan untuk kegunaan lain. Ruang yang kosong
tersebut dapat menampung bentuk susunan kelas yang mungkin difikirkan lebih
ideal seperti bentuk bulatan, bentuk bersemuka antara pelajar dan sebagainya. Bagi
saiz kelas 40 dan ke atas pula yang mana dianggap saiz kelas yang besar, alternatif
lain susunan kelas perlu dilakukan kerana jumlah ruang yang terhad memungkinkan
pelajar tidak selesa ketiak berada di dalam kelas. Alternatif yang dimaksudkan
termasuklah menyusun pelajar sebanyak 3 orang bagi setiap baris meja berbanding
2 bagi setiap baris (seperti gambarajah di atas). Selain itu, ruang bacaan dan diskusi
mungkin boleh ditiadakan.
Bagaimana susunan sebegini mampu mewujudkan persekitaran bilik darjah
yang mesra budaya dari aspek fizikal dan sosio-emosi? Dari aspek fizikal, sudah
pastilah dekorasi ringkas perlu dimasukkan termasuklah elemen kebudayaan.
Pelajar boleh menampal kata-kata bestari daripada celik pandai dalam pelbagai
bahasa. Tetapi pastikan terdapat terjemahan bagi yang menggunakan bahasa selain
bahasa Malaysia dan Inggeris. Setiap kali perayaan bakal menjelma, contohnya Hari
Raya Puasa, replika ketupat boleh digantung di belakang atau tepi sudut bilik darjah
bagi menunjukkan kita meraikannya bersama-sama walaupun berlainan bangsa.
Selain itu, cat warna juga amat memainkan peranan yang penting. Mengikut kajian,
warna lembut mampu memberi ketenangan kepada pelajar. Selain itu, warna hijau
mampu meningkatkan daya tumpuan pelajar. Perlu dielakkan warna seperti merah,
kuning dan hitam kerana ianya mampu memberi kesan sampingan yang kurang baik
kepad pelajar.
Sudut bacaan dan diskusi di belakang bilik darjah sangat berguna kepada
pelajar untuk memperkembangkan sosio-emosi mereka. Melalui perbincangan yang
sihat dan kerjasama yang erat, suasana di dalam bilik darjah akan lebih harmoni.
Selain itu, saya mengesyorkan susunan pasangan di dalam bilik darjah perlulah di
antara dua kaum atau etnik yang berbeza. Ini dapat mewujudkan hubungan yang
erat antara mereka kerana mahu atau tidak, mereka perlu berkomunikasi sesama
sendiri sementelah mereka duduk berdekatan. Selain itu, saya menyarakan agar 2
lajur di sebelah kiri menempatkan pelajar lelaki dan 2 lajur di kanan ditempatkan
pelajar perempuan. Dengan itu, pelajar diberi hak yang sama rata. Maka tidak akan
timbul soal jantina mana yang perlu duduk di hadapan dan di belakang. Pelajar lelaki
diletakkan berdekatan meja guru semata-mata untuk memberi ruang kepada guru
memerhatikan mereka dengan lebih dekat. Ini kerana pelajar lelaki kebiasaannya
nakal dan perlukan perhatian lebih daripada guru. Dengan adanya pengawasan
guru, maka, kelas akan menjadi lebih tenteram dan suasana mesra budaya dapat
dipupuk. Ini kerana mesra budaya hanya dapat dipupuk sekiranya suasana kelas
berada dalam keadaan aman tenteram.
Kebersihan juga menjadi agenda utama dalam susunan kelas. Kebersihan
adalah salah satu cabang sosio-emosi kerana ianya wujud jika adanya kebersihan.
Selain tanggungjawab yang harus dipikul pelajar untuk tidak membuang sampah
merata-rata di dalam kelas, terdapat satu sudut sanitari di mana di tempatkan tong
sampah dan penyapu sampah untuk kegunaan pelajar membersihkan kelas. Bagi
mewujudkan sosio-emosi yang sihat, faktor kebersihan juga perlu dititikberatkan.
Pelajar perlu membersihkan kelas setiap kali masuk ke kelas. Di sini, sikap
bertanggungjawab dan bekerjasama dapat dipupuk antara setiap ahli. Dengan ini,
tidak disangkal lagi perkembangan positif sosio-emosi mereka terbentuk.
Jika dapat direalisasikan, saya ingin menambah satu lagi sudut yang
dipanggil ‘cafe corner’. Konsepnya, sudut ini adalah untuk pelajar menyediakan atau
meletakkan botol minuman mereka. Ini dapat mengelakkan daripada meja mereka
dipenuhi dengan benda lain selain buku dan alatan tulis. Dengan ini, pelajar akan
lebih selesa semasa belajar tanpa gangguan.
Sememangnya susunan kelas yang kondusif mampu memberikan kelebihan dan
kebaikan kepada setiap pelajar. Isu ketaksamaan peluang pendidikan dan juga
susunan bilik darjah ideal perlu diberi perhatian sewajarnya agar tidak ada
seorangpun yang akan tercicir daripada arus pembangunan negara kelak.