kes murid di sekolah

17
Kertas siasatan kes pelajar tekan butang 'Like' I Love Israel siap - Polis Jumaat, 15 Ogos 2014 @ 6:13 PM NIBONG TEBAL: Kertas siasatan kes seorang pelajar tingkatan lima menekan butang 'Like' I Love Israel laman sosial Facebook telah dihantar kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) hari ini. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes itu mengikut Akta Hasutan dan menyerahkan kepada KUP untuk semakan dan tindakan selanjutnya. "Kami telah rekodkan lima keterangan iaitu dua daripada guru sekolah berkenaan dan tiga daripada rakan pelajar itu...sama ada pelajar itu akan didakwa atau tidak bergantung kepada keputusan KUP," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ACP Shafien Mamat di sini hari ini. Rabu lepas, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan tindakannya menekan butang 'Like' I Love Israel di laman sosial Facebook yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan warga sekolah itu. Media juga melaporkan bahawa seorang guru dari sekolah sama turut mengkritik tindakan pelajar itu di akaun facebook miliknya sehingga mengundang komen daripada pengguna lain yang mengecam termasuk mencadangkan pelajar itu dibakar Abdul Rahim berkata polis turut menyiasat berhubung ancaman yang didakwa diterima pelajar berkenaan. - BERNAMA

Upload: wong-yik-yan

Post on 18-Jan-2016

99 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

assignment of EDU 3093, about the case happened on school

TRANSCRIPT

Kertas siasatan kes pelajar tekan butang 'Like' I Love Israel siap - PolisJumaat, 15 Ogos 2014 @ 6:13 PM 

NIBONG TEBAL: Kertas siasatan kes seorang pelajar tingkatan lima menekan butang 'Like' I Love Israel laman sosial Facebook telah dihantar kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes itu mengikut Akta Hasutan dan menyerahkan kepada KUP untuk semakan dan tindakan selanjutnya.

"Kami telah rekodkan lima keterangan iaitu dua daripada guru sekolah berkenaan dan tiga daripada rakan pelajar itu...sama ada pelajar itu akan didakwa atau tidak bergantung kepada keputusan KUP," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ACP Shafien Mamat di sini hari ini.

Rabu lepas, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan tindakannya menekan butang 'Like' I Love Israel di laman sosial Facebook yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan warga sekolah itu.

Media juga melaporkan bahawa seorang guru dari sekolah sama turut mengkritik tindakan pelajar itu di akaun facebook miliknya sehingga mengundang komen daripada pengguna lain yang mengecam termasuk mencadangkan pelajar itu dibakar

Abdul Rahim berkata polis turut menyiasat berhubung ancaman yang didakwa diterima pelajar berkenaan. - BERNAMA

Empat pelajar disyaki terbabit gengsterisme ditahan di Pulau PinangJumaat, 15 Ogos 2014 @ 10:56 AM 

GEORGETOWN: Empat pelajar dari beberapa sekolah menengah di sini ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes peras ugut dan membelasah pelajar lain.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka yang berusia antara 15 dan 18 tahun ditahan di Persiaran Tembaga dan Jalan Sungai Dua pada Rabu lepas juga disyaki menganggotai pertubuhan kongsi gelap.

"Tiga daripada mereka ditahan reman selama empat hari manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis kerana dia perlu menduduki ujian di sekolahnya hari ini," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata, kes seumpama itu adalah yang pertama tahun ini yang melibatkan salah laku gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah dan setakat ini dua laporan telah diterima.

Jumaat lepas seorang pelajar tingkatan tiga membuat laporan mendakwa dia dipaksa menyertai satu pertubuhan kongsi gelap oleh suspek serta diperas ugut untuk membayar wang perlindungan sebanyak RM4 sebulan sejak Disember tahun lepas.

Mangsa juga mendakwa diugut rakan sebayanya itu supaya membayar RM400 sebagai wang tebusan untuk keluar daripada kumpulan berkenaan.

Seorang pelajar tingkatan satu turut membuat laporan mendakwa dibelasah tiga orang pelajar termasuk seorang pelajar perempuan di sebuah kedai makan berdekatan sekolahnya di Sungai Nibong pada 6 Ogos lepas.

Abdul Rahim berkata, pihak polis memandang serius kegiatan merekrut pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan tertentu bertujuan menimbulkan kekacauan dan l mengakui terdapat individu yang menyasar pelajar daripada bekas sekolah mereka untuk kegiatan itu.

"Polis telah mengenal pasti geng-geng terlibat dan sedang mengesan pergerakan mereka untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 31 kes bunuh dilapor di negeri ini sejak awal Januari hingga semalam dengan 20 daripadanya melibatkan warga asing. - BERNAMA

Selalu curi duit ayah beli syabu'Isnin, 4 Ogos 2014 @ 1:05 PM 

Bachok: "Saya selalu mencuri duit ayah untuk membeli syabu, malah pernah curi-curi menoreh di kebun getah ayah untuk mengumpul duit.

"Semua ini disebabkan hendak mendapatkan bekalan syabu yang berharga RM50 satu paket dan ketika itu apa yang saya fikirkan hanya untuk mendapatkan bekalan dadah," kata Chulat (bukan nama sebenar), 18.

Remaja wanita yang berasal dari Sarawak itu, adalah penghuni termuda di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) 1Malaysia Bachok, di sini, selepas ditahan polis ketika menghisap syabu bersama tiga rakannya tahun lalu.

Chulat berkata, dia mula terpengaruh dengan syabu selepas berpisah dengan teman lelakinya dan untuk menghilangkan rasa tertekan, rakan-rakannya mencadangkan mengambil benda terlarang itu.

Tiada didikan agama sejak kecil

Penghuni paling tua di CCRC 1Malaysia Bachok, Izah, 57, (bukan nama sebenar), mendakwa tiada didikan agama sejak kecil menyebabkan mudah terpengaruh dengan pengambilan dadah, selain pengaruh rakan dan persekitaran.

"Saya berkahwin ketika berusia 16 tahun dan bercerai setahun kemudian, sebelum membawa diri merantau mencari rezeki dan mula terjebak dengan heroin ketika bekerja di sebuah kelab malam di Melaka.

"Ketika di situ, saya terpengaruh dengan rakan sebilik yang mengambil heroin dan pernah menipu ibu mengatakan badan tidak sihat apabila ibu perasan keadaan fizikal sudah berubah, semuanya disebabkan pengaruh heroin," katanya sambil menitis air mata.

Sekarang beliau banyak belajar agama di CCRC dan berharap apabila keluar tahun depan, Tuhan akan mempermudahkan kehidupannya.

Ibu tunggal, Liza (bukan nama sebenar), 38, berkata untuk membeli dadah, dia yang ketika itu menagih heroin, ada ketikanya mencuri duit majikannya.

"Saya bekerja sebagai seorang juruwang di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur dan untuk membeli heroin, saya terpaksa mengambil dari duit syarikat, semuanya disebabkan ketagih," katanya.

Beliau menyalahkan keadaan rumah tangganya yang berkecai sejak 10 tahun lalu menyebabkannya terjerumus dalam kancah keji ini sehingga terpaksa meninggalkan dua anaknya kepada adiknya untuk dijaga.

"Sudah setahun lebih saya tidak berjumpa dengan kedua-dua anak itu dan sekarang di hari yang mulia ini hanya mengingati mereka saja kerana sebelum ini tidak dapat berbuat demikian juga untuk bersama di hari lebaran," katanya.

_

Thursday, August 7, 2014

Murid OKU dakwa dipukul hingga lebam

WARTAWAN SINAR HARIAN

7 Ogos 2014

Hamzah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

JERTIH - Seorang murid OKU sebuah sekolah rendah di sini, mendakwa dipukul seorang guru lelaki sehingga lebam di beberapa anggota badan, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Hakimie Hamzah, 10, dari Kampung Pengkalan Buluh dekat Kampung Tok Raja di sini mengadu ditampar dan dirotan serta dicubit oleh guru terbabit.

Bapa mangsa, Hamzah Awang, 64, berkata, ketika dia pergi mengambil anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 12.50 tengah hari kelmarin, dia mendapati anak kelima daripada enam beradik itu keluar dari sekolah dalam keadaan menangis.

Menurutnya, apabila sampai di rumah dia mendapati terdapat kesan rotan di punggung anaknya selain lebam pada bahagian kiri dan kanan telinga serta di kiri perut.

“Setelah diperiksa saya dapati ada kesan cubitan yang banyak dan jelas di bahagian bawah ketiak dan dada anak saya,” dakwa petani ini.

Hamzah berkata, dia kemudiannya menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Besut selepas keadaan telinga mangsa yang berair selepas kejadian tersebut selain mengadu sakit di kedua-dua belah telinga dan badan

Hamzah berkata, isterinya ada ke sekolah dan bertemu salah seorang kakitangan di situ yang mendakwa melihat guru berkenaan menampar mangsa berulang kali, namun kakitangan itu tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya membantu menyapu ubat pada badan mangsa.

“Saya sangat kesal dengan perbuatan guru tersebut yang saya difahamkan baru bertukar ke sekolah itu. Selama empat tahun anak saya bersekolah di situ kejadian kelmarin adalah kali pertama menimpa anak saya.

“Saya difahamkan guru tersebut bertindak di luar batasan hanya kerana anak saya bergaduh dengan rakan sebayanya yang juga murid OKU. Takkanlah cikgu sampai bertindak begitu sekali sedangkan anak saya tak sempurna serba serbi,” katanya.

Hamzah yang kesal dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Jertih petang kelmarin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Murid dakwa dipukul guru hingga lebam

--------------------------------------------------------------------------------

19-03-2014

Mustafa menunjukkan cara Abdul Rahman dipukul guru berkenaan. - Foto Sinar Harian

< 1 / 1 >

KLUANG - Seorang murid darjah lima di salah sebuah sekolah rendah di daerah ini, mendakwa dipukul seorang guru menggunakan rotan di bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga lebam, pagi kelmarin.

Abdul Rahman Mustafa, 11, yang juga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) fizikal memberitahu, guru berkenaan memukulnya kerana dia gagal menjawab soalan yang diberikan pada sesi pembelajaran.

Menurutnya, sebelum dipukul dia diarahkan guru terbabit supaya menghulurkan tangan, tetapi dia mengelak.

Akibat tindakan itu katanya, guru tersebut bertindak di luar jangkaan dengan memukul bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga lebam.

Tambahnya, sebelum dipukul, dia terlebih dahulu dipanggil ke hadapan kelas dan cikgu itu menyuruhnya menghadap ke papan hitam lalu memukulnya dengan rotan yang besar.

“Lebih daripada sekali saya dipukul sehinggakan saya menangis kerana tidak dapat menahan sakit. Selepas dipukul, saya diarahkan untuk berdiri di atas kerusi,” katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya di sini, semalam.

Ibu mangsa, Faridah Kunyikoya, 32, meluahkan rasa kesal di atas kejadian itu malah menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau meskipun sebelum ini dia tidak kisah jika anaknya dipukul bagi tujuan mendidik.

Menurutnya, kejadian itu diketahuinya selepas Abdul Rahman mengadu sakit di bahagian belakang badan sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

“Tanpa berlengah, saya melihat dan terkejut dengan lebam yang terdapat di bahagian belakangnya.

"Saya akui anak saya agak lembam dalam pelajaran, tetapi perbuatan guru itu yang menghukum murid secara keterlaluan bukan cara terbaik untuk mendidik.

“Pada mulanya saya mahu pendamkan sahaja perbuatannya kerana tidak mahu memalukan pihak sekolah tetapi saya tidak mahu perbuatan sama berulang lagi.

"Abdul Rahman kini trauma untuk ke sekolah dan mahu dia ditukarkan ke kelas pendidikan khas,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mustafa Mohamed, 35, memberitahu dia dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya kira-kira pukul 10.30 malam.

Dia kemudiannya segera membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam, di sini, kira-kira sejam kemudian.

Dia yang juga seorang penyelia di sebuah syarikat di Pasir Gudang membawa anaknya itu menjalani pemeriksaan di Hospital Kluang sebelum membuat satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, tengah malam kelmarin.

“Guru tersebut mengaku dan memohon maaf ketika saya berjumpanya di sekolah hari ini (semalam).

“Saya menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan awal terhadap guru berkenaan sedang dijalankan.

RKIB : 18/04/2014

Budak tahun lima dakwa disepak guru

Wan Luqman Al-Hakim Wan Omar memegang kepalanya yang didakwa disepak gurunya ketika ditemui di rumahnya, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 17 April - Seorang murid tahun lima mengadu trauma selepas mendakwa disepak dan dipijak kepalanya oleh seorang guru lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.20 petang di sebuah sekolah di Chendering dekat sini.

Akibat kejadian itu, mangsa, Wan Luqman Al-Hakim Wan Omar pengsan sebelum dibawa ke pejabat guru besar sekolah itu tanpa dimaklumkan kepada ibu bapanya terlebih dahulu.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada tindakan guru terbabit yang cuba meleraikan pergaduhan antara mangsa bersama rakan sekelasnya di hadapan surau sekolah berkenaan.

Bapa mangsa, Wan Omar berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan oleh rakan anaknya yang berada tidak jauh dari sekolah tersebut.

Katanya, dia kemudian bergegas ke sekolah untuk menghantar anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis.

Mangsa bagaimanapun dibenarkan pulang selepas diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Dalam pada itu, Wan Luqman Al-Hakim ketika ditemui di rumahnya mengadu sering sakit kepala dan tidak boleh berdiri lama akibat kejadian tersebut.

"Masa tu saya marah dekat kawan saya sebab dia main-mainkan nama ayah. Lepas tu tiba-tiba cikgu tu datang dan sepak saya sampai jatuh terlentang," katanya ketika diminta menceritakan kembali apa yang terjadi.

Jelas Wan Luqman Al-Hakim, akibat kejadian itu, dia juga kini trauma untuk ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Hussin ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan menyiasat kejadian itu termasuk sedang menunggu laporan berhubung kesihatan guru terbabit.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140418/je_08/Budak-tahun-lima-dakwa-disepak-guru#ixzz3Aeg4FFip © Utusan Melayu (M) Bhd 

http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140418/je_08/Budak-tahun-lima-dakwa-disepak-guru

ARKIB : 24/05/2014

Pelajar tumbuk cikgu disiplin

PELAJAR yang didakwa menumbuk guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Taman Putri Kulai dekat Kulaijaya, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Mei - Seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Taman Putri Kulai dekat Kulaijaya cedera di bahagian mulut selepas dipercayai dipukul oleh seorang pelajar sekolah berkenaan semalam.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua itu bertindak demikian selepas dimarahi guru lelaki berkenaan ketika berada di surau sekolah tersebut.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan memandangkan tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut.

Gambar pelajar terbabit dan guru tersebut dalam keadaan berdarah di bahagian bibir turut dimuat naik di laman sosial dan blog.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Ishak Mahbob memaklumkan, siasatan berhubung perkara tersebut sedang dijalankan dan tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Supritendan Mohad. Idris Samsuri ketika dihubungi memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140524/je_07/Pelajar-tumbuk-cikgu-disiplin#ixzz3AeeKoqJv © Utusan Melayu (M) Bhd 

ARKIB : 14/02/2014

4 pelajar dakwa dibelasah guru

SITIAWAN 13 Feb. - Seorang guru sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di sini didakwa bertindak keterlaluan apabila membelasah empat pelajar tingkatan satu termasuk dua pelajar perempuan di sekolah itu, semalam.

Seorang mangsa berkata, dia disepak guru itu di bahagian muka semasa di makmal komputer sekolah, kira-kira pukul 5 petang, hanya kerana tidak membawa buku latihan.

Akibat kejadian itu, katanya, dia mengalami pendarahan di bahagian dagu sebelum dibawa oleh dua orang rakan ke bilik guru untuk membuat laporan.

"Kesalahan saya cuma tidak membawa buku latihan tetapi guru itu mengambil tindakan memukul sehingga dagu saya berdarah.

"Saya memaklumkan kejadian itu kepada keluarga sebelum mereka membawa saya pulang untuk membuat laporan polis," katanya.

Seorang lagi pelajar perempuan mendakwa, dia terpinga-pinga ketika ditumbuk lima kali di bahagian muka yang mengakibatkan cermin mata yang dipakainya patah.

"Saya tidak faham mengapa guru itu bertindak demikian kerana semasa kejadian saya hanya berada di luar makmal komputer. Kejadian itu berlaku dengan sangat pantas.

"Tindakan guru itu bukan sahaja menyebabkan mata dan hidung saya bengkak malah mengalami pendarahan di bibir akibat pukulan kuat tersebut," katanya.

Difahamkan guru tersebut turut menjadikan seorang pelajar lelaki dan perempuan lain sebagai mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140214/je_06/4-

pelajar-dakwa-dibelasah-guru#ixzz3AegdiTLw © Utusan Melayu (M) Bhd 

http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140214/je_06/4-pelajar-dakwa-dibelasah-guru

Guru ada masalah mental ditempatkan di PPD Manjung

LUMUT 14 Feb. - Seorang guru lelaki yang didakwa mengamuk sebelum membelasah empat pelajar sebuah sekolah di Sitiawan dekat sini sehingga ada yang tercedera kelmarin, dipercayai mengalami masalah mental.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Idris Ramli memberitahu, tindakan guru berusia 34 tahun itu bukanlah perlakuan normal seorang pendidik dan ia kemungkinan didorong oleh tekanan yang dihadapinya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak sekolah, ia bukan pertama kali dilakukan guru berkenaan kerana dia pernah melakukan perbuatan sama 22 Januari lalu tetapi kes itu diselesaikan secara baik.

"Guru ini mungkin ada masalah dari segi mental dan tidak makan ubat. Tindakannya dalam kejadian itu dalam keadaan pantas dan bukan sikap seorang guru yang normal.

"Jika dia menggunakan rotan bagi menghukum pelajar itu adalah perkara biasa di sekolah. Bagaimanapun tindakan guru itu menumbuk dan menerajang pelajar sukar diterima," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Rabu lalu, empat pelajar sekolah itu termasuk dua pelajar perempuan cedera di beberapa bahagian badan ekoran dibelasah seorang guru sekolah itu.

Idris berkata, pihaknya telah menghantar dua pegawai ke sekolah berkenaan bagi melakukan siasatan dan mendapatkan gambaran terperinci berhubung kejadian itu sebelum sebarang tindakan diambil.

Bagaimanapun, katanya, pihak jabatan telah mengarahkan guru yang telah tiga tahun mengajar di sekolah terbabit menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Seri Manjung.

"Guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Komputer itu telah diberi cuti rehat selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Februari ini.

"Sebaik cuti rehat itu tamat, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung sehingga siasatan kes berkenaan diselesaikan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, setakat ini pihaknya telah menerima empat laporan berhubung kejadian tersebut yang dibuat keluarga mangsa.

Katanya, pihaknya juga telah mengambil keterangan dan merakam percakapan guru berkenaan ketika dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung semalam.

"Siasatan kes ini sudah selesai dan kini hanya menunggu laporan perubatan mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140215/je_01/Guru-ada-masalah-mental-ditempatkan-di-PPD-Manjung#ixzz3AehISSGf © Utusan Melayu (M) Bhd