karangan spm

Upload: amer-haiqal

Post on 09-Mar-2016

190 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

karangan

TRANSCRIPT

LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN NEGARA Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaranjaguh kampung, ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kitadapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggidengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialahdengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan.Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secarasebulat suaraini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, persis kata pujangga,hanya jauhari yang mengenal manikam.

Di samping itu,program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi

aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung kepadagandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, serta Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru masih lagi gagal. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinyasinar di hujung terowongdapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu,para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap.Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu squasy negara, Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang aktif dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar,ibarat melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Di samping itu,Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi.Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang demikian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti

Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf dunia agar pemainkita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggidengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atausparing partneryang bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk mengambil pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan usahaserampang dua mata,iaitu untuk meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej negara di mata dunia.

Konklusinya,kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh empat tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi kita dalam bidang sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihakbagai aur dengan tebing, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menyatakanpengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia.Semoga slogan,Majulah Sukan Untuk Negara dapat diimplementasikan.

USAHA-USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah kita membiarkan anak watan berterusan meminggirkan budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di

sekolah. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar masyarakat masa hadapan tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai, justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran, peraduan melukius poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan

mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta bersedia melakukan pecutan akhir ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul

dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!

KEPENTINGAN PEMAKANAN SEIMBANG Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang, kita telahpun dididik dan diingatkan berulang-ulang kali oleh ibu bapa dan guru tentang kepentingan pemakanan seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada seseorang kanak-kanak adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana enggan makan sayur-sayuran dan hanya ingin menjamah makanan ringan. Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa pemakanan seimbang tidak begitu vital kepada kesihatan seseorang individu. Menurut persepsi mereka, kehidupan manusia di muka bumi hanyalah sementara dan harus dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, mereka memandang enteng terhadap kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat disangkal dengan mudah kerana impak pemakanan seimbang terhadap kesihatan dan kebahagiaan seseorang amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia. Namun demikian, mengapakah masalah obesiti kian bertambah kritikal jikalau kebanyakan komuniti sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang? Kajian terkini mendapati bahawa 33% daripada semua penghuni dunia ini menghadapi masalah obesiti. Statistik ini amat meruncing kerana hal ini bermaksud terdapat kira-kira 2 bilion orang di seluruh pelosok dunia yang tergolong dalam kategori obes! Apakah kepentingan pemakanan seimbang yang harus dikupas dan dibugar secara terperinci hingga ke akar umbi, bagi menyedarkan dan menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet mereka dan tidak bersikap bena tak bena terhadap kesihatan dan kebajikan peribadi mereka? Marilah kita mengkaji persoalan yang masih menjadi polemik dalam kalangan masyarakat.. Sebagai pembuka tirai pembincangan ini, salah satu kepentingan atau faedah pemakanan seimbang yang jelas dan nyata adalah untuk menjadikan tumbesaran manusia lebih sempurna dari aspek fizikal dan fisiologi. Tubuh badan akan menerima semua zat yang diperlukan untuk menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu, seseorang yang menjaga dan mengawal pemakanannya akan memiliki keadaan fizikal yang jauh lebih baik berbanding seseorang yang kurang prihatin terhadap diet dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus penting dalam proses pembentukan gigi dan tulang yang kuat. Kanak-kanak khususnya yang harus mengambil zat-zat ini dalam kuantiti yang optimum supaya dapat membesar sebaik-baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting untuk memastikan sistem peredaran darah seseorang itu efisien dan berfungsi secara lancar. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tenaga dan bahan mineral secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek lahiriah seperti ketinggian dan berat badan, malah juga dari segi kelancaran fungsi organ dalaman dan kecekapan sistem-sistem badan. Sekiranya pemakanan mereka tidak seimbang, mereka akan mengalami pertumbuhan yang terbantut serta

tidak sempurna. Hal ini akan memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya dan akan mengakibatkan mereka kurang berkemampuan untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Satu tamsilan yang amat menyayat hati ialah kanak-kanak yang berada di negara-negara Dunia Ketiga seperti Ethiopia dan Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses kepada makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang mengamalkan pemakanan yang seimbang, kanak-kanak ini tidak dapat membesar dengan sempurna dan kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat yang amat pendek, seperti 7 hingga 12 tahun sahaja. Ironinya, ramai individu di negara yang maju berupaya mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat, namun mereka enggan bertindak sedemikian. Bertitik tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat lain yang diperoleh daripada pemakanan seimbang ialah menjamin perkembangan mental seseorang yang lebih cekap dan berkesan. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami semasa meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif dan rasional berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Dr Andrew McCulloch dari Mental Health Foundation telah menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa pelbagai penyakit mental seperti depresi ( kemurungan ), schizofrenia, penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention Deficit Hyperactivity Disorder ) dapat dihindari sekiranya mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai pusat kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh nutrien-nutrien yang terdapat dalam diet kita. Kajian saintifik terkini juga mengeluarkan laporan bahawa mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam sistem saraf badan kita. Dr McCulloch telah mengutarakan evidens bahawa pemakanan seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk menangani dan mengatasi sesuatu masalah atau pancaroba dengan minda yang tenang dan waras. Sebagai rentetan daripada perbincangan di atas, pemakanan seimbang telah terbukti dapat mengurangkan risiko untuk menghidapi pelbagai penyakit yang berbahaya. Malnutrisi didefinisikan sebagai mempunyai diet yang tidak seimbang, seperti mengambil nutrien-nutrien dalam kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu sedikit. Makanan ringan yang digemari ramai mempunyai kandungan kolesterol, garam, gula dan lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan juga strok. Sebaliknya sekiranya kita kekurangan

kalsium, fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita akan menghidapi penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu tulang dan gigi menjadi lemah dan mudah retak. Seperti yang berlaku kepada kanak-kanak di negara-negara daif, kekurangan protein akan menyebabkan penyakit kwashiorkor dan marasmus. Penyakit kanser juga terbukti dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, terutamanya kanser payu dara, kanser buah pinggang dan kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa jikalau kita mengambil semua nutrien, bahan mineral dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan risiko diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja menderitakan malah juga berpotensi membawa maut. Janganlah sampai nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak dan mengambil berat kepentingan pemakanan seimbang kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kepentingan pemakanan seimbang yang terakhir namun tidak kurang signifikannya berbanding kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah pemakanan seimbang dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan perubatan seseorang, khususnya golongan yang kurang berkemampuan. Suatu soal selidik yang dijalankan iaitu Consumer Expenditure Survey 2009 telah menganggarkan bahawa setiap individu membelanjakan kira-kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka untuk membiayai perbelanjaan perubatan. Secara amnya, seseorang itu akan membelanjakan sebanyak US$3,126 (RM9,975) setiap tahun semata-mata untuk menjelaskan kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion untuk menampuang segala keperluan dan kemudahan perubatan rakyat Malaysia. Senario ini tidak harus berlaku, kerana kita sewajarnya berusaha menjaga kesihatan diri dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita mampu menjimatkan perbelanjaan perubatan sebanyak beribu-ribu ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk masa kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara pula, berbilion-bilion ringgit dapat difokuskan bagi menjana pembangunan dan perkembangan dalam industri lain seperti industri pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah pihak akan mengemukakan hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana sains dan teknologi moden dalam bidang perubatan menjelang era pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini semakin canggih hasil daripada daya intelek golongan saintis dan pakar perubatan. Namun demikian, persis madah pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan bahawa lebih baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit daripada mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini juga dapat menjimatkan kos dan

perbelanjaan kita. Membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran jauh lebih murah daripada membeli ubat-ubatan daripada farmasi. Tuntasnya, kepentingan pemakanan seimbang amat jelas dan ketara dalam kehidupan seharian setiap manusia di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata pena dan menulis noktah terakhir, seruan saya ialah kita mestilah sedar bahawa tabiat pemakanan kita bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal kita, malah akan meninggalkan implikasi terhadap kesihatan kita secara holistik. Pepatah ada mengatakan, Diri Anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. Kita perlulah membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai kata semua warganegara Malaysia berganding bahu dan bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan yang seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan negara yang akan menerima kesan positif daripada usaha kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan juga dunia kita ini akan lebih sihat dan cergas, sekali gus melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal tajam, kerana badan sihat, otak cerdas.

KEPENTINGAN INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS) Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan negara. Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep Satu Kampung Satu Produk. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain lagi. Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran. Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan

pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini. Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan. Konklusinya, terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah terserlah. Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta,

masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS. Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

KELUARGA IMPIAN SAYA Rumahku, syurgaku merupakan ungkapan keramat yang memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan. Sesungguhnya setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini semakin cepat menerima apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah yang menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang

cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya. Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana intan, yang mana kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat anak-anak yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain melayan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya. Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut boleh juga dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana dalam aspek kebendaan sehingga

mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia. Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpama anak emas, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi impian saya.

Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan ahli keluarga yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati. Kesimpulannya, itulah antara ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.

SEBAB-SEBAB MEMILIH MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN Malaysia merupakan sebuah negara yang istimewa. Ramai pelancong memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia memilih untuk melancong di negara sendiri? Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh dikomersialkan. Antaranya termasuklah destinasi pelancongan berasaskan Kebudayaan, Industri Kraftangan, Makanan Tradisi, Tempat-tempat Menarik, Sukan dan Agrotourism. Klasifikasi ini penting kerana pelancong mempunyai minat yang berbeza dan memudahkan mereka membuat pilihan untuk melancong ke tempat-tempat tersebut. Kebiasaannya, tempat tersebut wujud kerana keunikan identiti dan keistimewaan tersendiri. Contohnya, destinasi pelancongan berasaskan tempat-tempat menarik seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Taman Negara Bako. Selain itu, destinasi pelancongan berasaskan Sukan dapat direalisasikan melalui penganjuran Sukan Antarabangsa seperti Formula 1 di Sepang dan Le Tour De Langkawi yang menjadi acara tahunan di Pulau Langkawi. Jelaslah sektor pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dapat menarik minat pelancong. Antara sebabnya ialah keindahan alam sekitar yang menarik terdapat di negara ini. Malaysia mempunyai hutan yang menarik. Tempat-tempat ini boleh menenangkan fikiran kita contohnya, Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di Sarawak dan lain-lain. Promosi ini keunikan dan keindahan alam semula jadi telah diwara-warakan melalui iklan-iklan di media cetak dan media elektronik termasuklah di laman-laman web. pameran di tempat-tempat awam seperti pasar raya, pertandingan-pertandingan dan pesta jualan. Contohnya pertandingan memancing Joran anjuran Berita Harian yang diadakan saban tahun secara tidak langsung turut mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia seperti Pulau Tioman, Tasik Kenyir dan Empangan Temenggor. Ringkasnya, Promosi destinasi pelancongan yang giat dilakukan dalam usaha memperkenalkan destinasi menarik di Malaysia merupakan pemangkin Malaysia menjadi lokasi tarikan utama pelancong kerana tak kenal maka tak cinta. Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai

budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita yang menjadi faktor serampang dua mata dalam menjana ekonomi negara. . Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik. Apabila melancong di pantai, pulau, dan kawasan tanah tinggi, kita dapat menghilangkan tekanan dan mendapat hiburan. Rakyat Malaysia yang melancong bersama-sama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Sebagai contoh Pulau Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Port Dickson, Desaru Kota Tinggi, Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan lokasi lain yang boleh dijadikan destinasi pelancongan keluarga. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini menjadi faktor dominan menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara. Malaysia juga popular dengan pusat-pusat beli-belah yang terkenal. Contohnya, Mega Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit. Alamanda, Mid-Valley dan lain-lain. Barangan yang dijual di negara kita setanding dengan negara di luar negara. Selain itu, terdapat juga pelbagai kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata. Pelancong sangat suka barangan kraftangan Malaysia kerana menarik dan terdapat pelbagai tawaran harga murah oleh pelbagai pihak. Pada setiap tahun juga, diadakan promosi harga barangan dan jualan mega.

Contohnya seperti yang telah dilakukan oleh First World Hotel. Agensi tersebut telah menyediakan pakej yang murah, serendah RM 88.00 untuk satu malam meliputi penginapan, makan malam, sarapan, makan tengah hari dan lawatan ke taman tema. Jelasnya, melalui tawaran pakej istimewa tersebut, sudah pasti pelbagai golongan masyarakat dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita. Oleh itu, rakyat Malaysia tidak perlu melancong luar negara kerana Malaysia mempunyai segala-galanya. Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia akan menjadi nyata. Segala usaha yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatinan dan rasa bertanggungjawab serta cinta akan negara , nama Malaysia akan menjadi sebutan dan pilihan utama seluruh penduduk dunia sebagai destinasi merehatkan minda.

CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan. Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang. Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama. Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru. Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita. Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara yang tidak boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya. Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah,

sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru. Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadaru ucapan selamat hari guru. Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar. Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai contohnya, kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau. Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu

memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan. Renungilah bait-bait puisi di bawah.

Guru, kau ibarat dian yang membakar diri melahirkan insan yang lestari tanpa mengira waktu dan hari segala ilmu dicurah dan diberi kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.

CARA-CARA ANDA MENGATASI TEKANAN ATAU STRESS Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan. Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif. Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan

daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air. Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya limkali sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi. Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut,

bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi. Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.

CARA-CARA MENANGANI KENAIKAN HARGA BARANG Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni. Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.

Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO. Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan

secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran. Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam

memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini. Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin.

CARA CARA MENGHARGAI WARGA TUA...dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.(Surah An-Nisa : 36) Begitulah ayat al-Quran yang menyeru umat Islam supaya berbuat baik kepada manusia. Warga tua juga tidak terkecuali daripada ayat ini. Warga tua merujuk kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka merupakan ibu, bapa, datuk atau nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Mereka juga lebih banyak memakan asam dan garam berbanding kita. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap seperti Quran buruk. Janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit. Oleh hal yang demikian, jasa dan pengorbanan mereka harus kita hargai. Pihak kerajaan haruslah memperuntukkan belanjawan untuk membina rumah kebajikan untuk warga tua yang teraniaya dan terabai oleh keluarga mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana ada golongan muda yang bertopengkan muka manusia tetapi berhati binatang ini mengabaikan kebajikan warga tua demi kepentingan diri. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan haruslah menyediakan tempat berlindung kepada golongan yang kurang mendapat perhatian daripada keluarga ini supaya nyawa mereka tidak diancam bahaya. Dengan usaha ini, warga tua yang pernah berjasa kepada bangsa dan negara ini akan berasa dihargai dan diapresiasi. Usaha ini juga secara langsung dapat membuka minda dan membeliakkan mata rakyat tentang keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan warga tua di negara kita supaya dapat dijadikan suri teladan kepada negara maju yang lain. Selain itu, perlindungan yang sewajarnya harus diberikan kepada warga tua. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak laporan akhbar yang melaporkan kejadian anak-anak muda yang melupakan ibu bapa mereka yang sudah tua apabila mendapat wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ibu bapa mereka. Golongan yang berperwatakan ketidakberperikmanusiaan ini berpura-pura menjaga ibu bapa mereka sehingga warga tua ini mencapai usia 55 tahun. Apabila berjaya mengeluarkan wang KWSP, anak-anak muda ini akan melupakan ibu bapa dan hidup mewah dengan wang titik peluh ibu bapa mereka. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah memperketat peraturan pengeluaran wang KWSP agar kebajikan dan masa depan warga tua dapat dilindungi. Di samping itu, kita juga boleh menghargai warga tua dengan cara meraikan mereka. Jika kita melihat kegembiraan seseorang itu menyambut hari lahirnya, begitulah juga apabila kita meraikan warga tua. Contoh sambutan warga tua yang umum kita ketahui ialah Sambutan Hari Warga Tua (SAHAWAT). Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tarikh 1 Oktober untuk menyambut Sambutan Hari Warga Tua. Sambutan ini telah disambut oleh negara Malaysia sejak tahun 1992 sebagai satu tanda apresiasi kepada warga emas ini. Melalui sambutan-sambutan sebegini, mereka sudah tentu berasa gembira dan dihargai oleh masyarakat. Secara tidak langsung, sambutan ini menjadi satu cara untuk menghargai warga tua. Media juga berperanan untuk menghargai warga tua, sama ada media cetak mahupun media elektronik. Media massa sentiasa memainkan peranan sebagai alat untuk menyampaikan propaganda yang efektif sama ada yang baik ataupun yang buruk. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan kelebihan yang ada pada media massa untuk menyampaikan mesej menghargai warga tua. Drama-drama dan filem-filem yang ditayangkan hendaklah memasukkan unsur menghormati orang tua ke dalamnya. Contohnya, dalam filem KL Gangster, walaupun wataknya utamanya,Malik (lakonan Aaron Aziz) ialah seorang ahli gangster, dia tetap sayang akan ibunya dan sentiasa berusaha membantunya. Secara tidak langsung, para penonton yang menonton filem ini dapat belajar untuk menghormati orang tua walau sesiapapun mereka. Para penonton juga secara tidak langsung akan menghargai warga tua ini. Apabila Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni dijalankan di seluruh pelosok negara, Kementerian Kebajikan Masyarakat turut menyahut seruan kerajaan dengan menampalkan poster hormati yang tua, utamakan yang memerlukan di dalam pengangkutan awam. Hal ini dikatakan amat penting kerana kita haruslah memberikan tempat duduk kepada golongan tua. Golongan yang tua dan lemah ini tidak berdaya untuk berdiri dalam keadaan bas atau tren yang sesak dengan penumpang bagai ikan dalam belat. Oleh sebab itu, kita sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara haruslah memberikan tempat duduk kepada mereka demi menjaga keselamatan mereka apabila menggunakan pengangkutan awam. Dengan usaha ini, kita dapat menunjukkan penghormatan dan keprihatinan kita kepada golongan yang tua. Konklusinya, warga tua bukanlah seperti surat khabar lama yang harus dibuang setelah penat menabur budi selama ini. Mereka telah banyak membanting tulang empat kerat untuk membina bangsa dan negara yang merdeka. Kejayaan golongan yang terdahulu menjanjikan kehidupan yang lebih selesa kepada kita pada masa ini. Wahai orang muda, janganlah kita menjadi seperti ulat lupakan daun selepas menikmati keselesaan hidup. Warga tua sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada semua pihak supaya mereka dapat melalui kehidupan dengan penuh ketenangan jiwa malah mereka mestilah mendapat tempat yang sewajarnya dalam masyarakat kini. Semua pihak harus sedar dan menerima kenyataan bahawa tanpa warga tua tiadalah warga muda. Bayangkan jika anda sudah tua dan anda pula yang disisihkan.