jurnal minggu 3

Upload: harris

Post on 10-Jan-2016

228 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

REFLEKSI

TRANSCRIPT

JURNAL REFLEKTIF MINGGUAN (MINGGU KE 3)

JURNAL REFLEKTIF MINGGUAN (MINGGU KE 3)2014

NAMA GURU PELATIH : NUR NADRAH HASFINIE HASANUDDIN.

BILANGAN JURNAL : KE 3MINGGU PRAKTIKUM : 3TARIKH PERISTIWA / KEJADIAN : 14/4/2014 17/4/2014TAJUK JURNAL : MASALAH DISIPLIN BILIK DARJAH

1. MASALAH / PERISTIWA Minggu ini ialah minggu ketiga di mana penyeliaan bersama guru pembimbing sebanyak dua kali dilaksanakan iaitu pada hari Selasa dan Rabu. Setelah berada di sekolah ini selama tiga minggu, terdapat segelintir murid yang mula menunjukkan sifat yang tidak berdisiplin di dalam kelas. Murid mula membuat masalah disiplin seperti bising dalam kelas, tidak mendengar arahan yang diberikan dengan betul, tidak memberikan kerjasama semasa aktiviti berkumpulan dilaksanakan, dan sering keluar dari kelas untuk mengasah pensel. Terdapat 2 orang murid yang sering melakukan masalah sedemikian dan mereka adalah salah satu kelompok murid pemulihan. Pada 9 April 2014, apabila saya masuk ke dalam bilik darjah untuk mengajar, kelas didapati sangat bising dan murid bercakap cakap sesama sendiri dengan suara yang kuat dan terdapat murid yang berjalan jalan keluar dan masuk ke dalam kelas. Inilah yang dikatakan masalah disiplin iaitu apabila tingkah laku murid mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Emmer (2000) berpendapat bahawa murid dikatakan mengganggu apabila tingkah laku mengganggu secara serius terhadap aktiviti guru dan murid dalam tempoh masa yang agak lama. Ini menunjukkan tingkah laku mengganggu ini tidak terhadap pengajaran sahaja tetapi juga terhadap pembelajaran. Saya menyedari masalah ini setelah berada 3 minggu mengejar kelas ini dan ini sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menangani masalah ini. masalah ini sekiranya berterusan akan mempengaruhi murid murid yang lain untuk melakukan tingkah laku yang sama. Oleh itu, saya perlu mengenal pasti punca masalah ini berlaku dan membuat sedikit kajian mengenai latar belakang keluarga murid murid untuk memudahkan saya mendekati murid murid yang bermasalah ini.

2. ANALISIS ISU / MASALAH

Di sebalik tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid dalam sesebuah kelas terdapat sebab atau peristiwa yang mempengaruhi mereka. Menurut Fontana (1996) terdapat perbezaan dalam kalangan murid yang mempengaruhi tingkah laku mereka. Antaranya ialah kebolehan murid yang berbeza beza juga menyebabkan keperluan mereka terhadap bimbingan guru turut berbeza. Layanan yang berbeza diberikan oleh guru kepada murid mengikut perbezaan kebolehan, misalnya keperluan bersabar dan simpati lebih kepada murid yang lemah kebolehannya.Perbezaan antara murid lelaki dan murid perempuan menyebabkan terdapat beberapa perbezaan dalam tingkah laku dalam kelas. Murid perempuan dikatakan lebih bekerjasama dan suka memberi pertolongan. Murid lelaki lebih cenderung kepada aktiviti sukan dan aktiviti yang praktikal. Murid lelaki yang dikatakan lebih kasar berbanding perempuan yang lebih emosional. Perbezaan ini turut mendorong kepada masalah disiplin dalam kelas.

Masalah seterusnya ialah murid yang mempunyai latar belakang sosio ekonomi yang rendah mempunyai konsep kendiri yang rendah disebabkan persekitaran kehidupan mereka berbanding dengan murid daripada latar belakang sosio ekonomi yang lebih tinggi. Di samping itu, nilai yang diajarkan di sekolah adalah lebih mirip dengan nilai yang diajar dengan latar belakang kehidupan sosio ekonomi yang tinggi.

Masalah disiplin ini juga tercetus disebabkan perbezaan kebudayaan dalam kalangan murid juga memberi kesan kepada tingkah laku yang berbeza. Amalan nilai dan kepercayaan yang berbeza dan mengamalkannya secara serius akan menimbulkan perasaan sombong dan permusuhan dalam kalangan murid.

3. KEKUATAN / KELEMAHAN

Saya dapat mewujudkan suasana atau iklim fizikal yang baik di dalam kelas. Antaranya ialah saya mengubah kedudukan kerusi dan meja dalam bentuk kumpulan. Saya turut memastikan semua bilangan kerusi dan mej ayng mencukupi dalam kelas. Selain itu, saya dapat mewujudkan suasana atau iklim sosio emosi positif dengan memupuk hubungan dua hala antara guru dan murid serta murid dengan murid. Dengan cara ini kemesraan dapat diwujudkan dan hubungan dalam kelas adalah harmoni . Namun kelemahan yang berlaku ialah murid yang lemah saya kurang memberikan perhatian sepenuhnya sehingga menyebabkan masalah tingkah laku disiplin dalam kelas.

4. CADANGAN MENYELESAIKAN ISU Antara beberapa teknik yang boleh digunakan dalam meningkatkan pengurusan kelas dan disiplin murid ialah memberi fokus yang tinggi dalam kelas. Guru hendaklah memastikan semua murid memberi perhatian sebelum memulakan pengajaran. Pengajaran tidak boleh dimulakan selagi murid masih bercakap cakap dan tidak memberikan perhatian. Ini adalah untuk mengelakkan anggapan bahawa amalan bercakap semasa guru mengajar dibolehkan. Selain itu guru hendaklah membuat pengajaran langsung. Ketidakpastian boleh menimbulkan kebisingan di dalam kelas. Oleh itu, teknik pengajaran langsung iaitu memulakan pengajaran dengan memberitahu murid tentang perkara yang mereka perlu lakukan , perkara yang guru lakukan dan tetapkan masa untuk menyiapkan sesuatu aktiviti. Maklumkan juga jika selepas aktiviti terdapat lebihan masa yang boleh digunakan untuk menyiapkan tugasan lain.Saya juga perlu mempraktikkan menggunakan isyarat bukan lisan. Saya perlu menggunakan jari yang diletakkan pada mulut sebagai tanda isyarat meminta murid untuk senyap. Selain itu, isyarat muka , tangan dan benda benda tertentu juga boleh memberi makna juga boleh digunakan. Langkah yang terakhir ialah membuat teguran secara bijaksana. Jika terdapat murid yang melakukan kesalahan elakkan bertindak sehingga murid menjadi tumpuan di dalam kelas. Guru perlu mempunyai kebolehan meramal kemungkinan masalah akan berlaku. Tangani masalah dengan senyap dan tenang. Jika ada murid yang bercakap semasa pengajaran, sebut sekali nama murid berkenaan dalam dialog secara bersahaja. Cara ini dapat menarik semula perhatian murid kepada pengajaran.

5. TEMPOH MASA UNTUK MENYELESAIKAN ISU Isu ini akan saya selesaikan dalam tempoh seminggu 21 25 April 2014

6. PELAKSANAAN LANGKAH LANGKAH PENAMBAHBAIKAN Saya akan memastikan tingkah laku murid akan berubah dengan lebih positif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan. Selain itu, saya akan memastikan semua tingkah laku dapat diubah agar lebih mudah membentuk disiplin dalam kelas .

7. KESIMPULAN Kepentingan pengurusan bilik darjah dalam pengajaran memang tidak dapat dinafikan. Ia merupakan sebahagian daripada pengajaran itu sendiri. Andainya pengurusan bilik darjah dan masalah disiplin tidak diberi perhatian pengajaran akan sukar dilaksanakan dengan lancar, pergerakan murid sukar dipantau dan perhatian murid sukar diperoleh. Akhirnya pengajaran mungkin tidak seperti yang dirancangkan. Oleh itu, saya perlu membentuk disiplin murid agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan mudah.

Disemak oleh guru pembimbing Disahkan oleh pensyarah penyelia

Tandatangan :.. Tandatangan :. Nama :. Nama :. Tarikh :Tarikh :

4