i 1€¦ · sehingga kini perintah ini telah melalui tiga fasa. fasa pertama bermula 18 hingga 31...

15

Upload: others

Post on 20-Oct-2020

2 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 1

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Pendahuluan

    Rakyat Malaysia hari ini sedang menempuhi saat-saat genting apabila Perdana

    Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan

    Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak COVID-19. Perintah ini adalah seiring

    dengan Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

    yang memberi kuasa kepada pegawai dilantik untuk mengambil langkah-langkah

    kawalan dan pencegahan bagi membasmi penularan wabak mengikut peraturan di

    bawah akta ini. Ia juga selari dengan Akta Polis 1967 yang memberi kuasa kepada

    pihak polis mengeluarkan perintah agar menghendaki orang ramai untuk berada di

    dalam rumah.

    Sehingga kini perintah ini telah melalui

    tiga fasa. Fasa pertama bermula 18

    hingga 31 Mac, fasa kedua pada 1

    hingga 14 April dan fasa ketiga 15

    hingga 28 April. Belum pun tamat fasa

    ketiga kini PKP telah dilanjutkan ke fasa

    keempat iaitu dari 29 April hingga 12

    Mei. Fasa keempat diandaikan sebagai

    fasa pemulihan serta ‘mematikan’ virus.

    Ini berdasarkan kepada status COVID-

    19 sehingga artikel ini ditulis pada 25

    April menunjukkan kes positif berada

    dalam jumlah sederhana iaitu sebanyak

    51 kes .

    Seramai 32.6 juta penduduk Malaysia

    telah terkesan dengan arahan PKP yang

    dikeluarkan terutamanya golongan

    wanita yang bekerjaya. Ini kerana,

    berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Tahun Keempat 2019, seramai

    6.18 juta atau 39.2 peratus daripada 15.77 juta tenaga buruh di negara ini adalah

    terdiri daripada kaum wanita.

    Sinonimnya seorang wanita meskipun bekerjaya, namun tugasan rumah tangga

    masih menjadi keutamaan tanpa mengambil kira sama ada sudah berkeluarga

    mahupun belum. Apatahlagi dalam menghadapi tempoh PKP yang memerlukan

    semua ahli keluarga berkumpul di dalam rumah semestinya menuntut komitmen

    penuh daripada pengurusnya.

    Rajah 1 : Status COVID-19 di Malaysia sehingga 25 April 2020 (KKM, 2020)

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 2

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Berdasarkan pandangan Suriati (2002) antara peranan utama wanita dalam institusi

    kekeluargaan adalah sebagai pengurus rumahtangga. Manakala bagi Yusuf al-

    Qardhawi (2006) meletakkan syarat bagi wanita bekerjaya antaranya ialah tidak

    mengabaikan kewajipan-kewajipan rumah tangga lain yang sepatutnya

    dilaksanakan. Justeru dapat difahami apabila seseorang wanita telah berkahwin,

    maka secara automatik tergalas tanggungjawab di bahu mereka sebagai pengurus

    rumah tangga tanpa mengira bekerjaya ataupun tidak.

    Realitinya dalam menghadapi tempoh PKP apabila bertembung pelbagai

    tanggungjawab di satu tempat pada waktu yang sama, manakah yang perlu di

    dahulukan? Tuntutan hak daripada suami dan anak-anak serta majikan telah

    memaksa mereka untuk bekerja lebih gigih daripada kebiasaan. Apakah cabaran

    dan persediaan yang perlu dilakukan pengurus rumah tangga sepanjang

    menempuhi tempoh PKP yang belum diketahui bila tarikh sebenar pengakhirannya?

    Perubahan Rutin dalam Tempoh PKP

    Setiap individu lazimnya mempunyai rutin hariannya yang tersendiri. Bermula seawal

    bangun pagi hinggalah kembali melelapkan mata di malam hari. Bagi pengurus

    rumah tangga terutama wanita bekerjaya, tempoh PKP yang sedang dihadapi

    merubah hampir 90 peratus rutin harian yang biasa dilakukan. Ia meliputi perubahan

    rutin dalam menguruskan rumah tangga, rutin bekerja serta rutin bersosial.

    Kesemua perubahan rutin ini secara psikologinya memberi impak terhadap keadaan

    emosi wanita dan tentunya menatijahkan tindak balas yang berbeza apabila mereka

    melakukan sesuatu perkara. Menurut Ruziati Ahamad Ariffin, Abdul Jalil Hassan,

    Amran Hassan, Zuraini Ismail dan Ami Haji Patola (2018), unsur kesejahteraan

    psikologi adalah merupakan satu unsur yang sangat luas. Penilaiannya juga adalah

    berbeza berdasarkan perbezaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku yang

    terhasil oleh seseorang individu mengikut budaya sesebuah negara. Namun,

    objektifnya hanyalah satu iaitu kebahagiaan sama ada secara dalaman atau luaran.

    1. Perubahan Rutin Menguruskan Rumah Tangga

    Wanita dengan sifat rahmah penyayangNya Allah SWT ciptakan mampu untuk

    menggalas tanggungjawab yang berat dalam menguruskan rumah tangga. Meski

    kekadang timbunan kerja dan tanggungjawab telah membataskan mereka untuk

    meluangkan lebih masa kepada anak-anak (Noor Rahamah, 2012). Kini hikmah di

    sebalik PKP secara tidak langsung telah memberi ruang kepada wanita bekerjaya

    khususnya untuk menjadi pengurus rumah tangga sepenuh masa di rumah. Peluang

    ini walaupun kedengarannya seolah-olah menggembirakan, namun jika tidak

    dimanfaatkan dengan sebaiknya akan memberi kesan buruk kepada diri wanita itu

    sendiri bahkan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan itu sendiri.

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 3

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Tempoh masa 24 jam selama 56 hari di dalam rumah untuk pengurus rumah tangga

    hadapi bersama anak-anak dan suami bukanlah satu perkara biasa. Ini kerana rutin

    kerja harian bagi seorang suri rumah biasa seperti mengemas, menyapu,

    membasuh pakaian serta lain-lain lazimnya dibuat ketika suami dan anak-anak telah

    keluar bekerja dan ke sekolah. Kini rutin itu perlu mereka hadapi dengan

    keberadaan penuh ahli keluarga di rumah. Apatahlagi bagi mereka yang berada di

    kampung ketika arahan dikeluarkan, keadaan tentunya lebih mencabar kerana

    terpaksa bersesak dengan ipar duai dan mertua untuk tempoh masa yang agak

    panjang.

    Manakala bagi wanita bekerjaya, cabaran mendidik anak sebelum ini mungkin

    dirasakan lebih mudah kerana sebahagian tugasnya telah dipikul oleh pihak taska,

    pengasuh ataupun orang gaji. Namun apabila arahan PKP dikeluarkan, secara

    drastik cabaran tersebut sepenuhnya tergalas di bahu mereka sendiri. Di Singapura,

    satu kajian dibuat secara temu bual antara ibu dan pembantu rumah mengenai

    tahap kecaknaan terhadap anak jagaan mereka menunjukkan bahawa 74 peratus

    pembantu rumah dapat menjawab soalan dengan betul mengenai anak jagaan

    berbanding ibu kandung anak itu sendiri. Keadaan ini sudah tentu bukan mudah bagi

    wanita bekerjaya untuk memahami anak-anak dengan kadar segera dalam tempoh

    PKP ini apatah lagi bagi mereka yang mempunyai anak-anak berkelainan upaya

    atau autisme.

    Perubahan sikap suami juga menjadi cabaran berganda buat pengurus rumah

    tangga. Terpaksa berada di rumah mungkin biasa bagi seorang wanita sesuai

    dengan lumrahnya, namun terpaksa terperuk di rumah untuk tempoh yang lama bagi

    seorang lelaki adalah luar biasa. Pelbagai rungutan suri rumah di laman sosial

    berkaitan perubahan sikap suami masing-masing dalam tempoh PKP antaranya

    menyatakan bahawa dia terpaksa melakukan kerja tambahan dengan pertambahan

    rutin suaminya di rumah seperti mengutip dan membasuh pinggan yang digunakan

    suaminya merata-rata.

    Rutin ini pada hari kebiasaan adalah biasa kerana tempoh suami berada di rumah

    lazimnya di sebelah petang setelah pulang bekerja hingga keesokan paginya

    sebelum keluar bekerja sahaja. Namun tempoh PKP ini telah merubah keberadaan

    mereka di rumah sepanjang 24 jam setiap hari. Situasi ini jika berlarutan ditambah

    dengan kerenah anak-anak, akan memberi kesan kepada psikologi pengurus rumah

    tangga bahkan lebih teruk akan membawa kepada keretakan rumah tangga.

    Kebiasaan remeh yang tidak menyenangkan pasangan telah banyak menjadi punca

    kepada perceraian di Malaysia. Pihak Jabatan Kehakiman Syariah Selangor telah

    mendedahkan sebanyak 23 punca yang dianggap remeh penyebab wanita

    menjanda. Antaranya ialah isteri gemar membasuh baju pada waktu malam, cara

    memicit ubat gigi yang berbeza, lupa mengepam tandas dan cara menjemur baju

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 4

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    yang berbeza yang sebenarnya adalah terlalu remeh untuk menjadi asbab

    perceraian.

    2. Perubahan Rutin Bekerja

    Menurut Surena (2012) kemampuan seseorang individu menguruskan emosi ketika

    menjalankan tugasan harian boleh membantu beliau untuk menyeimbangkan antara

    tuntuntan majikan di tempat kerja dan tuntutan keluarga di rumah. Hal ini sekaligus

    boleh mengurangkan berlakunya kelesuan kerja. Namun sebaliknya akan berlaku

    jika emosi tidak diuruskan dengan baik hingga boleh menimbulkan konflik antara

    kerja dengan keluarga.

    Namun dalam menghadapi tempoh PKP, kedua-dua tuntutan kerja dan tuntutan

    keluarga ini berlaku serentak di tempat dan pada waktu yang sama. Ini merupakan

    cabaran berganda buat pengurus rumah tangga terutama dalam menguruskan

    emosi. Rutinnya berdasarkan kajian yang dibuat Surena (2012), purata masa yang

    diluangkan wanita untuk bekerja adalah selama 43 jam dalam seminggu manakala

    masa yang dikhususkan untuk keluarga adalah sekitar 3 jam sehari sahaja. Namun

    apabila berada di rumah jika dilihat kepada kepentingan, urusan rumah tangga

    semestinya menjadi keutamaan kepada seorang wanita selaku pengurus rumah

    tangga.

    Perubahan situasi secara drastik dalam tempoh PKP ini menjadi igauan buat

    pengurus rumah tangga bekerjaya kerana kemampuan untuk mendapatkan

    kemudahan bekerja sebagaimana di tempat kerja adalah hampir mustahil. Ini

    berdasarkan faktor peralatan yang terhad, bahan tidak mencukupi, maklumat sulit

    yang hanya boleh didapati di tempat kerja, kemampuan fokus bagi tempoh yang

    lama, keberhasilan perbincangan yang telus, kejelasan arahan yang diterima serta

    pelbagai faktor lain yang tidak menyokong pengurus rumah tangga untuk bekerja

    secara komprehensif.

    3. Perubahan Rutin Bersosial

    Setiap diri individu, keluarga dan komuniti pastinya mempunyai keperluan sosial

    yang perlu dilakukan bagi menjamin kepuasan seseorang. Keperluan yang

    dimaksudkan adalah merujuk kepada keadaan yang mesti dimiliki oleh setiap

    individu dalam memastikan keadaan hidupnya sejahtera (Thomas dan Pierson,

    1999). Ia penting bagi menentukan kesejahteraan sosial yang berkait rapat dengan

    kualiti hidup komuniti moden kerana kebanyakkan mereka telah diterapkan dengan

    hak dan peluang untuk meningkatkan potensi kehidupan sosial mereka (Hill & Fee,

    1995). Menurut Friedlander (1961), kesejahteraan sosial adalah satu sistem aktiviti

    yang tersusun dalam pelbagai perkhidmatan sosial bertujuan membantu individu dan

    kelompok tertentu mencapai kualiti hidup yang lebih memuaskan.

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 5

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Berdasarkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dibangunkan bagi

    mengukur tahap kesejahteraan rakyat menggunakan 14 komponen yang meliputi

    subkomposit kesejahteraan ekonomi dan subkomposit kesejahteraan sosial,

    menunjukkan bahawa berlaku peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada 122.4

    mata indeks bagi tahun 2018 berbanding tahun 2017. Subkomposit kesejahteraan

    ekonomi dan sosial masing-masing bertumbuh pada kadar 0.7 peratus dan 1.0

    peratus pada 2018 berbanding tahun sebelumnya.

    Rajah 2 : Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2018 (DOSM, 2019)

    Indeks ini berkemungkinan mengalami perubahan mendadak di musim PKP ini

    disebabkan perubahan ketara khususnya dalam subkomposit sosial berkaitan

    liburan, penyertaan sosial, kebudayaan, kesihatan serta alam sekitar. Subkomposit

    ekonomi juga akan turut terkesan terutama berkaitan pendapatan dan pengagihan

    serta pendidikan.

    Bagi pengurus rumah tangga, perubahan ini mungkin lebih ketara kerana rutin

    bersosial selalunya yang banyak membantu mereka melepaskan tekanan serta

    bebanan emosi yang ditanggung semasa menguruskan rumah tangga seharian.

    Keterbatasan jarak perjalanan, kebenaran bilangan individu di jalanan, kesukaran

    mendapatkan bahan keperluan serta masa yang terhad dalam tempoh PKP ini tidak

    memungkinkan mereka untuk terus melakukan aktiviti sosial seperti biasa.

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 6

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Bagi yang suka melancong sudah tentu PKP umpama mimpi ngeri. Manakala yang

    suka membeli belah, ia tidak lagi seindah seperti sebelum ini. Bagi yang suka

    melepak bersama kawan-kawan pula, hanya alam maya harapan mereka untuk

    bersua. Meski terdapat aktiviti sosial yang masih dilakukan di rumah seperti

    bersukan, berhibur dan lain-lain namun ia bergantung kepada faktor persekitaran

    yang menyokong.

    Bagi pengurus rumah tangga yang memiliki kediaman dan persekitaran selesa

    adalah satu anugerah khususnya dalam tempoh PKP ini. Pelbagai aktiviti dan ruang

    boleh digunakan untuk mereka berkarya dan mengisi masa terluang. Namun

    berbeza halnya bagi pengurus rumah tangga yang tinggal di rumah seperti flat

    terpaksa berkumpul beramai-ramai di ruang tamu sempit yang hanya dilengkapi dua

    kemudahan bilik sudah tentu amat memeritkan. Ditambah dengan pelbagai karakter

    anak yang sedang membesar, memerlukan privasi untuk diri masing-masing

    membuatkan pengurus rumah tangga semakin buntu dalam menguruskan keluarga.

    Langkah-langkah bagi Meringankan Beban Pengurus Rumah

    Tangga

    Pengurus rumah tangga adalah individu penting dalam melakar masa depan negara.

    Bahkan juga berperanan besar dalam membentuk dan membangunkan keluarga

    serta masyarakat Islam (Husna, Izhar Ariff & Adnan, 2017). Justeru dalam

    menghadapi saat-saat sukar seperti tempoh PKP ini, mereka adalah individu utama

    yang perlu dibantu dari pelbagai aspek. Banyak langkah yang boleh diambil bagi

    memastikan pengurus rumah tangga dapat melaksanakan tanggungjawab mereka

    dengan lebih proaktif dan komited.

    Pertama : Peranan Suami

    Rasulullah SAW bersabda :

    خريُكم خريُكم ألهِله وأان خريُكم ألهلي

    “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik bagi keluarganya. Dan aku orang

    yang paling baik bagi keluargaku”

    (Riwayat at-Tirmidzi, No Hadith : 1/408)

    Individu penting dalam hidup berumah tangga sudah tentu adalah suami isteri

    sekaligus menjadikan sokongan utama kepada pengurus rumah tangga adalah

    suami. Dalam situasi PKP ini, peranan dan kerjasama yang baik daripada suami

    amatlah diperlukan. Kerja-kerja menguruskan rumah tangga bukanlah tugasan

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 7

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    mutlak buat para isteri sahaja kerana suami isteri berperanan saling melengkapi

    antara satu sama lain. Justeru, perlunya pembahagian tugasan-tugasan rumah,

    jadual menguruskan anak-anak serta waktu rehat bagi kedua pihak disusun dengan

    baik. Ini akan memastikan kesinambungan rumah tangga berlangsung dengan

    harmoni dan berkekalan.

    Kedua : Peranan Majikan

    Bagi pengurus rumah tangga bekerjaya, sokongan para majikan adalah sangat

    penting dalam memastikan tahap kestabilan emosi. Majikan seharusnya tidak terlalu

    menekan pekerja wanita dibawah kelolaannya untuk menyiapkan pelbagai tugasan

    sama seperti keberadaannya di tempat kerja. Kelonggaran tempoh masa bekerja

    dan kuantiti kerja perlulah diselaraskan dengan baik antara majikan dan pekerja

    termasuk mengambil kira kemudahan fasiliti pekerja di rumah .

    Menurut Asri dan Hamrila (2007) komitmen pekerja bukanlah berdasarkan kepada

    jenis tugas yang perlu dibuat sahaja bahkan termasuk persekitaran kerja serta

    hubungan dengan rakan sekerja dan pegawai atasan, imbuhan dan lain-lain

    kemudahan. Manakala menurut kajian yang dibuat oleh Ridwan (2014) mendapati

    bahawa kualiti kehidupan kerja mempunyai kaitan rapat dengan tahap kesetiaan

    pekerja. Bahkan hubungan itu asasnya lebih bergantung kepada sikap pemimpin

    atau majikannya, semakin baik sikap pemimpin semakin melahirkan kesetiaan yang

    tinggi apatahlagi kepimpinan itu didasarkan oleh prinsip Kepemimpinan Bertauhid.

    Selain itu, majikan juga perlu mengambil kira faktor fasa PKP kini telah memasuki

    bulan Ramadhan yang mulia sebagai peluang untuk umat islam memperbanyakkan

    amal ibadat dan amal kebajikan. Rasulullah SAW bersabda :

    من خفَّف عن مملوِكه فيه غفر هللاُ له وأعتقه من النَّارِ

    "Barangsiapa meringankan beban kerja khadamnya (orang gajinya) dalam bulan

    Ramadhan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari neraka"

    (Riwayat Salman, No Hadith : 2/115)

    Ketiga : Peranan Kerajaan

    Sejak PKP diumumkan, kesannya sangat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

    Berdasarkan Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu yang

    dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, hanya 6.2 peratus responden yang

    kurang terkesan dari segi kewangan sepanjang tempoh PKP. Manakala 52.6 peratus

    menyatakan sangat terkesan dalam tempoh ini. Adapun bagi individu yang bekerja

    sendiri direkodkan seramai 46.6 peratus telah kehilangan pekerjaan. Daripada

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 8

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    jumlah itu, lebih daripada dua per tiga iaitu 71.4 peratus responden yang bekerja

    sendiri hanya mempunyai simpanan yang mampu bertahan tidak sampai satu bulan.

    Rajah 3 : Kesan penularan COVID-19 mengikut taraf pekerjaan (DOSM, 2020)

    Selaras dengan itu, Perdana Menteri pada 27 Mac telah mengumumkan satu Pakej

    Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN). Diantaranya adalah

    Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diperuntukkan sebanyak RM9.24 bilion untuk

    membantu isi rumah yang terjejas. Peluang ini perlulah dimanfaatkan sebaiknya bagi

    pengurus rumah tangga dalam menampung perbelanjaan harian.

    Selain itu, bagi pengurus rumah tangga yang mengalami tekanan emosi, pelbagai

    medium sokongan telah disediakan seperti Talian Khas Kaunseling COVID-19 oleh

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Talian ini

    menyediakan seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara untuk membantu mereka

    yang terjejas khususnya kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya

    (OKU).

    Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut menyediakan tiga talian untuk

    dihubungi sama ada melalui panggilan telefon atau pesanan whatsapp bagi yang

    memerlukan. Pertama adalah talian sokongan emosi, psikologi dan kaunseling;

    kedua, talian bantuan dan sumbangan dan yang ketiga adalah maklumat lanjut

    mengenai COVID-19.

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 9

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Keempat : Peranan Masyarakat

    Masyarakat setempat juga memainkan peranan penting dalam membantu

    mengurangkan beban pengurus rumah tangga ketika tempoh PKP ini. Antaranya

    adalah pematuhan kepada semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi

    mengelakkan penularan wabak COVID-19 semakin meluas. Hal ini akan

    mengurangkan kebimbangan pengurus rumah tangga terhadap kesihatan keluarga

    mereka sekaligus membantu mempercepatkan tempoh PKP ditamatkan.

    Dalam tempoh ini juga, masyarakat berperanan untuk peka dengan nasib kejiranan

    setempat. Hulurkanlah bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik selagi

    berkemampuan. Berpadalah dalam memuat naik status hidangan-hidangan lazat,

    atau menikmati kemewahan yang dimiliki kerana di sana terdapat pengurus rumah

    tangga yang sedang gigih memujuk anak-anaknya untuk terus reda menerima

    kehidupan sukar yang dilalui.

    Kelima : Amalan Gaya Hidup yang Sihat

    Ketika dunia sedang berusaha mencari vaksin bagi menangani wabak COVID-19,

    pengurus rumah tangga berperanan menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan

    mengamalkan gaya hidup yang sihat bermula dengan penjagaan kebersihan diri

    seperti kerap mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan

    pensanitasi tangan (hand sanitizer).

    Sekiranya terpaksa keluar rumah untuk membeli barang keperluan, amalkan

    penjarakan sosial yang benar iaitu satu meter. Disamping itu , gaya pemakanan

    sihat juga perlu diamalkan dengan memperbanyakkan pengambilan buah-buahan

    dan sayur-sayuran berkhasiat yang tinggi dengan vitamin C bagi menguatkan

    imunisasi badan serta mengelakkan makanan yang tidak dimasak penuh kerana ia

    boleh mengelakkan dari jangkitan bakteria .

    Pelbagai aktiviti sihat juga boleh dilakukan seperti bersenam, berkebun serta

    mempelbagaikan aktiviti yang boleh mengurangkan kebosanan anak-anak di rumah

    dengan mencuba variasi idea kreatif yang dikongsi di laman sosial. Terdapat juga

    kelas secara online yang ditawarkan sama ada berbayar atau percuma seperti kelas

    piano, melukis, bercerita dan memasak yang boleh mencambah idea ibu bapa untuk

    kebaikan anak masing-masing.

    Manakala bagi rakyat yang beragama islam, PKP di bulan ramadhan ini adalah

    masa yang terbaik untuk meningkatkan aktiviti keagamaan bersama keluarga seperti

    solat berjemaah, bertadarus al-Quran, mempelajari ilmu agama dan lain-lain lagi.

    Meskipun ramadhan kali ini sememangnya berbeza berbanding tahun-tahun

    sebelumnya kerana solat terawih tidak dibenarkan dibuat di masjid atau surau

    seperti kebiasaan, namun kita seharusnya bersyukur kerana masih dipanjangkan

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 10

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    umur dan diberi kesempatan bertemu dengan bulan ramadhan dalam keadaan sihat

    walafiat bebas daripada ancaman wabak COVID-19.

    Penutup

    Meski tempoh PKP bakal berakhir nanti, keadaan mungkin sudah tidak sama

    sebagaimana sebelum ini. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam

    Perutusan Khas COVID-19 di Putrajaya pada 10 April 2020 menyebutkan bahawa

    kita akan menghadapi The New Normal iaitu normal yang baharu.

    Majlis kenduri mungkin tidak lagi secara besar-besaran, adat bersalaman mungkin

    tidak dapat dibuat untuk tempoh yang lama, himpunan politik juga tidak seperti

    kebiasaan, peluang pekerjaan juga akan semakin berkurangan dek kerana

    kurangnya kebergantungan kepada tenaga manusia. Penggunaan digital pula akan

    lebih meluas permintaannya bagi mengelakkan jangkitan akibat berkumpul beramai-

    ramai.

    Justeru pengurus rumah tangga perlu lebih bersedia mental dan fizikal untuk

    berhadapan dengan apa jua situasi yang bakal dihadapi dalam mengharungi baki-

    baki tempoh PKP serta pasca PKP nanti. Semoga dengan peranan yang dimainkan

    setiap pihak juga membantu para pengurus rumah tangga untuk lebih bertenang dan

    menempuhi norma baharu dengan jayanya.

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 11

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    SENARAI RUJUKAN

    Suriati Ghazali. (2002). "Di mana mak, ayah?" : agihan tugas baru kesan pemodenan dan

    perindustrian. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

    'Maid knows kid better than mum' video draws flak, but some say it reflects situation. (2015, April 23).

    Didapatkan pada April 23, 2020, daripada The Straits Times:

    https://www.straitstimes.com/singapore/maid-knows-kid-better-than-mum-video-draws-flak-

    but-some-say-it-reflects-situation

    23 Alasan Remeh Punca Cerai. (2016, January 13). Didapatkan pada April 16, 2020, daripada Free

    Malaysia Today: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/01/13/punggung-

    isteri-menggerutu-antara-punca-cerai/

    Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2018-2019. (2019, Julai 15). Didapatkan pada April 10,

    2020, daripada Jabatan Perangkaan Malaysia:

    https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=Vjc3dFd5cXhNYTZtbnVhS0lE

    WEpudz09 peratusE2 peratus80 peratus8E

    Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia 2018. (2019, Disember 24). Didapatkan pada April 23, 2020,

    daripada Jabatan Perangkaan Malaysia:

    https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=477&bul_id=UHpYdlBU

    ZFhUU0RoTTJidFc0SWwrZz09&menu_id=U3VPMldoYUxzVzFaYmNkWXZteGduZz09

    KPWKM wujud talian khas kaunseling COVID-19. (2020 , April 26). Didapatkan pada April 26, 2020,

    daripada Berita Harian Online:

    https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/669516/kpwkm-wujud-talian-khas-

    kaunseling-covid-19

    Laporan Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu – Pusingan 1. (2020, April 7).

    Didapatkan pada April 16, 2020, daripada Jabatan Perangkaan Malaysia:

    https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/covid-19/Analisis_Survei_Khas_Kesan_COVID-

    19_Kepada_Ekonomi_dan_Individu-Laporan_Penuh.pdf

    Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Keempat (S4) 2019. (2020, Februari 7). Didapatkan

    pada April 22, 2020, daripada Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia:

    https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=149&bul_id=Z1VDRGt3

    ZFluOVZLWjF3UnJaNHdPQT09&menu_id=U3VPMldoYUxzVzFaYmNkWXZteGduZz09

    Asri Marsidi dan Hamrila Abdul Latip . (2007). Faktor-faktor yang mempengaruhi komitmen pekerja di

    organisasi awam . Jurnal Kemanusiaan , Bil 10.

    Azman Ismail, Hasan Al-Banna Mohamed & Andy Abdul Razak. (2012). Satu Analisis Mengenai

    Korelasi antara Emosi Pekerja, Gangguan Kerjaya-Keluarga dan Kelesuan Kerja. Jurnal

    Perspektif, 1-15.

    Fatimah Muhammad Ali. (2002). Aduhai...wanita Islam : apakah perananmu dalam menempuh

    cabaran keduniaan? Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa.

    Jabatan Peguam Negara. (2016, Jun 1). Akta Polis 1967 [Akta 344] (versi atas talian). Didapatkan

    pada April 22, 2020, daripada Portal Rasmi Jabatan Peguam Negara:

    http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publications/LOM/MY/Akta peratus20344.pdf

    Jabatan Peguam Negara. (2017, Jun 1). Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

    [Akta 342] (versi dalam talian). Didapatkan pada April 22, 2020, daripada Portal Rasmi

    Jabatan Peguam Negara:

    http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publications/LOM/MY/Draf

    peratus20Muktamad peratus20- peratus20Akta peratus20342.pdf

    John Pierson, Martin Thomas. (2002). Dictionary of Social Work. HarperCollins: United States.

    Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020, April 25). Statistik terkini COVID-19 di Malaysia. Didapatkan

    pada April 26, 2020, daripada Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia:

    http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

    Michael Hill, d. L. (1995). The Politics of Nation Building and Citizenship in Singapore. London:

    Rouledge.

  • Realiti dan Cabaran Dihadapi Pengurus Rumah Tangga Semasa PKP I 12

    Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

    Noor Rahamah Hj. Abu Bakar. (2012). Wanita bekerja dan pengurusan keluarga . Malaysia Journal of

    Society and Space, 155-162.

    Ridwan Nurdin. (2014). Kualiti Kehidupan Kerja,Kesetiaan Pekerja Dan Kepimpinan Bertauhid. Social

    Sciences Postgraduate International Seminar (SSPIS) 2014 (pp. 275-297). Pulau Pinang:

    Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM.

    Ruziati Ahamad Ariffin, Abdul Jalil Hassan,Amran Hassan, Zuraini Ismail, Ami Haji Patola. (2018).

    Keperluan Indeks Kesejahteraan Psikologi Dalam Perkhidmatan Awam : Satu Tinjauan

    Umum. Jurnal Psikologi & Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia, 1 - 16.

    Siti Nur Husna Abd Rahman, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Muhammad Adnan Pitchan. (2017).

    Peranan Wanita Dalam Institusi Kekeluargaan : Perbincangan Dari Perspektif Islam. Journal

    of Social Sciences and Humanities, Vol. 12, No. 3.

    Surena Sabil. (2012). Sokongan Organisasi Dan Konflik Kerja-Famili Terhadap Pengayaan Kerja-

    Famili Dalam Kalangan Wanita Profesional Di Sarawak. Tesis PhD: Universiti Malaya.

    Yusuf Al-Qardhawi. (2006). Darjat wanita dalam Islam. Terjemahan Muhammad Hussain. Selangor:

    Pustaka Ilmi.