hukum penggunaan wang kertas: analisis...

Download HUKUM PENGGUNAAN WANG KERTAS: ANALISIS …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/03-Dr-Salmy... · transaksi ekonomi mahupun kedudukan ... yang menjadi amalan pada zaman

If you can't read please download the document

Upload: buixuyen

Post on 06-Feb-2018

238 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    28

    HUKUM PENGGUNAAN WANG KERTAS: ANALISIS BERDASARKAN PANDANGAN ULAMA TERHADAP FASA

    PERUBAHAN MATA WANG DUNIA

    Salmy Edawati Yaacob

    PENDAHULUAN

    Usaha memartabatkan kembali penggunaan dinar emas di Malaysia telah menimbulkan pelbagai polemik sama ada dari sudut perundangan, transaksi ekonomi mahupun kedudukan hukum mata wang. Pertikaian hukum ke atas dinar emas dan wang kertas wujud apabila terdapat beberapa kumpulan aktivis dinar emas yang membawa fahaman berbeza dalam usaha memartabatkan kembali dinar emas sebagai mata wang. Dinar emas dan dirham perak dilihat sebagai satu bentuk mata wang Islam yang pernah diguna pakai pada zaman Rasulullah SAW sehingga zaman kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1924. Manakala wang kertas pula mula timbul pada pertengahan zaman pemerintahan Uthmaniyyah yang dikenali sebagai al-Qaimah.

    Gerakan Murabitun Sedunia (Murabitun) yang memperjuangkan penggunaan fizikal dinar emas berpegang bahawa dinar emas adalah mata wang tuntutan Islam dan penggunaan wang kertas adalah haram. Menurut pandangan Vadillo (2002), sistem wang kertas yang ada pada hari ini adalah haram kerana ia merupakan resit hutang atau dayn. Islam tidak membenarkan hutang menjadi bahan tukaran dan penggunaannya mestilah terhad sebagai kontrak peribadi. Beliau berhujah berdasarkan satu riwayat dalam kitab al-Muwatta (Malik bin Anas t.th), yang menyatakan bahawa Marwan Ibn al-Hakam telah mengarahkan pengawalnya untuk mengambil semula resit hutang (yang telah diniagakan di pasar al-Jar sebelum barangan sampai) dan mengembalikan semula kepada tuannya. Gerakan ini juga menganggap, haramnya sistem wang kertas adalah kerana wujudnya gharar (penipuan) dan riba dalam sistem tersebut. Gharar dalam pertukaran wang kertas menjadi asas keuntungan yang tidak adil. Hal ini berlaku kerana penggantian wang sebenar iaitu dinar dan dirham dengan wang artifisial iaitu kertas. Keuntungan atau lebihan (riba) didapati melalui kaedah bank yang mencipta kredit berganda. Wang ini juga tidak membolehkan masyarakat menebus dengan emas yang menjadi sandaran. Seterusnya Vadillo (2002), Hosein (2008) dan Zuhaimy (2003) merumuskan bahawa wang kertas dan institusi bank menjadi simbol kewujudan riba. Riba adalah jelas pengharamannya dalam Islam dan dengan itu wang kertas adalah haram. Walau bagaimanapun,

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    29

    pandangan ini dilihat bersalahan dengan golongan yang cuba menegakkan penggunaan dinar emas sebagai sandaran nilai sekiranya kertas tidak boleh dijadikan mata wang.

    Rentetan kecelaruan sebegini menyebabkan penggunaan wang kertas pada hari ini telah menimbulkan banyak perbezaan pendapat di kalangan para ulama Islam dalam menentukan hukum penggunaannya. Ini kerana wang kertas merupakan satu bentuk mata wang yang wujud selepas kewafatan Rasulullah SAW dan tiada nas yang jelas berkaitan penggunaannya sama ada dalam al-Quran, al-Hadis mahupun kitab-kitab lama. Justeru, persoalan hukum wang kertas akan dilihat menerusi evolusi penggunaannya bermula dengan zaman awal kewujudan wang kertas sehingga ke hari ini. Oleh itu, tulisan ini bertujuan untuk menganalisis pandangan ulama berkaitan pengharaman wang kertas dan kedudukannya dalam Islam. Analisis dibuat berdasarkan fasa perkembangan mata wang dunia iaitu bermula dengan fasa pertama (wang kertas sebagai resit hutang), fasa kedua (alat pembayaran/fulus), fasa ketiga (wang kertas sebagai sandaran nilai emas) dan seterusnya fasa keempat (wang kertas sebagai mata wang pokok).

    SOROTAN LITERATUR

    Respons daripada pandangan ulama yang menganggap wang kertas adalah haram, terdapat beberapa pandangan ulama terdahulu yang menjurus kepada wang kertas sebagai resit hutang. Antaranya adalah pandangan al-Husayni (1329H), di mana beliau ada menyatakan bahawa banknote (wang kertas) sebagai dokumen hutang terhadap pemegang dokumen dan dokumen tersebut digunakan sebagai alat perantara pertukaran dan pembayaran kerana ia lebih ringan dan mudah dibawa. al-Husayni (1329H) berpendapat bahawa transaksi dengan kertas ini hukumnya sama dengan transaksi al-hiwalah (transfer). Walau bagaimanapun, pandangan tersebut disangkal oleh beberapa orang mufti Malaysia seperti Dato Seri Haji Harussani (Mufti Perak), Datuk Haji Rashid Redha b. Mohd Salleh (Mufti Negeri Melaka), Dato Paduka Syeikh Hasbullah bin Haji Abdul Halim (Mufti Negeri Kedah) dan Mohamad Shukri bin Mohamad (Timbalan Mufti Negeri Kelantan). Mereka semua berpandangan bahawa hukum penggunaan wang kertas hari ini adalah harus dan boleh digunakan seperti biasa. Haramnya dalam sistem ini adalah mekanisme pelaksanaannya yang boleh membawa kepada riba, spekulasi dan penipuan. Wang kertas tersebut tidak haram dan ia juga bukan resit hutang kerana mempunyai nilai yang telah ditentukan. Sekiranya Malaysia ingin mengembalikan penggunaan dinar emas, maka mekanismenya juga perlu jelas dan nyata. Manakala Syed Nazmi bin Tuan Taufek (Pegawai

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    30

    Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu) merumuskan tiga faktor wang kertas hari ini tidak boleh dikatakan haram. Faktor-faktor tersebut adalah (Salmy Edawati 2005);

    1. Wang kertas bukan resit hutang kerana mempunyai nilai yang ditentukan oleh kerajaan.

    2. Penggunaannya dibenarkan selagi tidak melanggar hukum Islam. Apa yang salah hari ini adalah cara kendalian dan penggunaannya oleh sesetengah pihak ke atas mata wang tersebut.

    3. Sistem monetari yang bermula dengan sistem barter, sistem emas dan seterusnya kepada sistem kertas adalah mengikut peredaran zaman bukan semata-mata untuk memalsukan manusia dan menjadikan mata wang itu haram.

    Manakala, Dato Haji Harussani Zakaria ada menyatakan sekiranya mata wang tidak mempunyai satu asas yang kuat untuk dijadikan tukaran atau sandaran maka ia termasuk dalam perkara gharar. Menurut Ibn Manzur (t.th), gharar bermaksud mendedahkan seseorang atau hartanya kepada kemusnahan secara tidak sedar dan secara umumnya gharar bermaksud bahaya, bencana atau risiko. Manakala al-Sarakhsi (1979) menjelaskan bahawa gharar boleh berlaku dalam keadaan ketidakpastian tentang kewujudan sesuatu perkara dan perkara yang tidak diketahui seperti sesuatu yang terlindung akibat atau natijahnya. Gharar diharamkan dalam Islam kerana boleh membawa pertelingkahan dan setiap muamalat yang membawa pertelingkahan sememangnya diharamkan dalam Islam. Gharar adalah sesuatu yang tidak pasti dan menimbulkan keraguan, sama dengan masalah riba yang terang-terangan telah diharamkan oleh Allah SWT. Sekiranya sistem monetari hari ini tidak dapat lari daripada unsur gharar dan riba, maka ia adalah sistem yang tidak selaras dengan tuntutan syarak (Joni Tamkin & Mohd Ridhwan 2009). Manakala spekulasi dan manipulasi mata wang pula akan membawa kepada penindasan dan menzalimi negara-negara kecil. Oleh yang demikian, bagi mewujudkan satu sistem yang lebih adil dan harmoni, Islam telah menuntut umatnya mencari alternatif kepada satu sistem kewangan yang lebih adil dan stabil (Salmy Edawati 2005).

    Kenyataan tersebut disokong oleh Datuk Haji Rashid Redha b. Mohd Salleh dengan menyarankan untuk mengembalikan penggunaan dinar emas sebagai mata wang. Menurut beliau ia adalah satu langkah yang baik dan bertepatan dengan kehendak dan tuntutan Islam. Dinar emas yang menjadi amalan pada zaman Rasulullah SAW merupakan mata wang yang bernilai, stabil dan adil. Dinar emas terbukti mempunyai

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    31

    banyak kelebihan berbanding dengan mata wang yang ada sekarang. Justeru, kajian Salmy Edawati (2005) menyimpulkan bahawa alternatif kepada sistem wang kertas apungan adalah sistem berasaskan emas atau sistem dinar emas. Dinar emas menjadi alternatif kerana ia mempunyai ciri-ciri mata wang yang menepati kehendak Islam iaitu; mempunyai nilai intrinsik, stabil dan tahan lama. Ciri-ciri ini dapat mengelakkan sesebuah mata wang daripada berlakunya riba, inflasi dan manipulasi.

    Rasulullah SAW telah menggunakan mata wang dinar dan dirham dalam transaksi harian. Manakala, mata wang fulus telah digunakan sebagai mata wang bantu kepada urus niaga yang lebih kecil atau murah. Rentetan dari situlah, perkataan dinar dan dirham telah disebut di dalam al-Quran dalam beberapa surah seperti dalam surah Al Imran ayat 75, surah Yusuf ayat 20, surah al-Nisa ayat 59 dan surah al-Kahf ayat 19. Ini kerana wahyu telah diturunkan pada zaman Rasulullah SAW, dan tidak hairanlah sekiranya semua konsep dan ciri mata wang telah disebut secara umum dalam al-Quran berdasarkan konsep mata wang dinar dan dirham. Oleh yang demikian, perbincangan berkaitan mata wang dalam Islam perlu diperhalusi agar dapat menyelesaikan permasalahan mata wang yang timbul pada hari ini. Maka, timbul pertikaian segelintir ulama tentang kedudukan wang kertas yang diguna pakai pada hari ini. Adakah wang kertas sah di sisi Islam atau sebaliknya?

    Justeru, pertikaian dan percanggahan pandangan dalam menentukan hukum sebenar mata wang kertas yang diguna pakai pada hari ini perlu dibincangkan dan diselaraskan. Penjelasan hukum ke atas wang kertas ini adalah penting kerana ia membabitkan muamalah harian umat Islam. Di samping itu juga, wang kertas akan menjadi wasilah atau perantara dalam mekanisme pelaksanaan sistem mata wang yang bersandarkan nilai dinar emas.

    Menurut kajian Hassan 1999, fatwa-fatwa penetapan hukum ke atas mata wang telah dikeluarkan berdasarkan perkembangan penggunaan mata wang iaitu bermula daripada wang komoditi, wang logam (dinar dan dirham), dan seterusnya kepada penggunaan wang kertas. Penggunaan wang kertas juga mengalami beberapa fasa perkembangan iaitu bermula fasa pertama: wang kertas sebagai surat akuan pengganti wang atau resit hutang (wang bank), fasa kedua: wang kertas sebagai sandaran nilai emas, fasa ketiga: wang kertas sebagai alat pembayaran dan fasa keempat: wang kertas sebagai ganti sepenuhnya wang emas dan perak.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    32

    FASA PERKEMBAGAN MATA WANG DUNIA

    Fasa Pertama: Wang Kertas sebagai Surat Akuan Pengganti Wang atau Resit Hutang (Wang Kertas sebagai Wang Bank)

    Sejarah mencatatkan bahawa negara Cina merupakan negara yang terawal menggunakan wang kertas iaitu pada tahun 1368M. Manakala, masyarakat di zaman kerajaan Rom mula menggunakan wang kertas yang dianggap sebagai resit akuan pengganti emas bagi simpanan emas di tempat yang lebih selamat seperti tukang emas, orang-orang terkemuka, orang agama atau di tempat yang dipercayai dan mempunyai peti besi yang kukuh. Surat akuan pengganti wang tersebut mewakili simpanan emas pemilik yang disimpan di tempat simpanan dan boleh menebusnya pada bila-bila masa. Akuan itu biasanya ditulis IOU (I owe you). Pihak penyimpan pula akan mengenakan bayaran tertentu terhadap penyimpan sebagai upah menjaga, menyimpan dan mengurangkan risiko kecurian (Goldfeld & Chendler 1981). Selepas itu, pada tahun 1256H (1840M), kerajaan Uthmaniyyah telah mengeluarkan mata wang kertas pertama yang dinamakan al-Qaimah. Wang kertas tersebut hanya digunakan selama 23 tahun hinggalah dibatalkan secara rasmi pada tahun 1278H (1861M). Walau bagaimanapun, pada tahun 1293H, al-Qaimah telah dikeluarkan sekali lagi, namun terpaksa dihentikan seketika kerana tidak diterima oleh orang ramai. Pada tahun 1332H, pengeluaran al-Qaimah telah dibuat untuk kali ketiga dan dikuatkuasakan penggunaannya menerusi undang-undang. Wang kertas ini terus digunakan sehingga kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 (Ali 1983).

    Oleh itu, kebanyakan pemikiran ulama dalam tempoh antara tahun 1886-1924 adalah berkisar tentang wang kertas sebagai surat akuan pengganti emas atau resit hutang. Terdapat sebahagian ulama meletakkan hukum wang kertas pada masa itu sebagai dokumen hutang dan terdapat sebahagian ulama pula menolak pandangan ini. Ulama yang menyatakan wang kertas sebagai dokumen atau resit hutang ialah Ahmad al-Husayni, Muhammad Amin al-Shanqiti, Salim bin Abd Allah bin Samir dan Habib bin Sumayth. Mereka ini berpendapat bahawa wang kertas pada asasnya tidak termasuk dalam kategori mata wang kerana wang kertas hanya dokumen bukti bahawa bank berhutang dengan pemegang emas. Sekiranya berlaku transaksi menggunakan dokumen tersebut, nilai simpanan atau sandaran bahan logam yang disimpan akan menjadi ukuran. Oleh itu, wang kertas hanya berfungsi sekadar dokumen wakilan terhadap simpanan emas di bank.

    Ahmad al-Husayni (1329H) menyatakan:

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    33

    Ada kalanya pemerintah mengeluarkan dokumen hutangnya yang disebut sebagai banknote, sebagai dokumen hutang terhadap pemegang dokumen tersebut. Dokumen tersebut digunakan sebagai alat perantara pertukaran dan pembayaran kerana ia lebih ringan dan orang ramai mudah membawanya sama ada di dalam saku atau di tangan dengan jumlah yang besar. Bagi mendapat kepercayaan orang ramai, pemilik dokumen tersebut dapat menebus emas pada bila-bila masa mengikut nilai yang tertulis pada dokumen tersebut. Ada kalanya juga pemerintah memberi izin kepada bank untuk mengeluarkan dokumen hutang sebegini dengan beberapa syarat khusus. Keadaan ini memberi kepercayaan yang tinggi kepada masyarakat terhadap dokumen hutang sehinggalah wujudnya masalah terhadap bank dan pemerintah di mana proses pembayaran yang lambat atau bank menarik balik nilai tersebut. Ini akan menjadikan dokumen tersebut tidak bernilai dan hilang kepercayaan orang ramai terhadap dokumen hutang. Transaksi dengan kertas ini hukumnya sama dengan transaksi al-hiwalah (transfer).

    Pandangan ini disangkal oleh beberapa ulama lain seperti Ahmad Rida al-Buraylawi dan Ahmad Khatib al-Jawi yang mana mereka berdua hidup di zaman mata wang kertas sebagai dokumen akuan pengganti wang. al-Zuhayli (1986) sebagai ulama kontemporari juga mempunyai pandangan yang sama di mana wang kertas bukan sebagai dokumen hutang.

    al-Buraylawi (t.th) menyatakan:

    Pendapat yang mengatakan bahawa mata wang kertas adalah satu instrumen hutang iaitu institusi bertanggungjawab (perbankan) yang memasarkan wang tersebut adalah berhutang kepada orang yang menyimpan sejumlah dirham. Pihak bank tersebut telah memberi sekeping kertas sebagai bukti daripada hutang dan jumlah hutang tersebut. Apabila mereka membawa kertas tersebut kepada pihak bank, hutang tersebut dibayar dan kertas tadi dikembalikan kepada pihak bank. Dan sekiranya orang yang memegang kertas tadi memberi kepada orang lain ini ertinya mereka berhutang kepada pemegang kedua. Dengan kata lain pemegang pertama memindahkan hutang tersebut kepada pemegang kedua sebagai bukti pemindahan tersebut. Pemegang kedua akan dapat mengambil persamaan nilai hutang mereka kepada pihak bank yang berkaitan. Begitulah seterusnya sehingga semakin banyak tangan bertukar hutang dan semakin banyak berlaku perpindahan. Inilah yang dinamakan sebagai satu

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    34

    dokumen hutang. Kanak-kanak yang berakal pun memahami bahawa makna ini tidak terlintas di hati setiap orang yang bertransaksi dengan mata wang kertas tersebut. Mereka sama sekali tidak bermaksud dengan pertukaran ini; meminjam, meminjamkan atau memindahkannya.

    Di samping itu juga, al-Jawi (1329H) turut menyatakan bukti wang kertas bukan dokumen hutang. Antara bukti yang diutarakan ialah:

    1. Nilai wang kertas akan hilang disebabkan kerosakan fizikal kertas. Contohnya, sekiranya wang kertas bernilai 10 dinar hangus dalam

    kebakaran, maka nilai 10 dinar juga akan tiada. Sekiranya status

    wang kertas sebagai hutang maka, pemilik wang kertas yang

    hangus itu boleh menuntut nilai 10 dinar dengan pihak yang

    mengeluarkan kertas dan nilai tersebut.

    2. Apabila pemegang wang kertas menuntut nilai daripada pihak yang mengeluarkan nilai tersebut, maka wang kertas tersebut

    sudah kembali kepada pihak pengeluar. Namun, wang kertas

    tersebut tetap akan dapat dijual dengan nilainya semula. Sekiranya

    angka yang dibuat adalah hutang, maka kertas yang telah bebas

    daripada hutang sudah tidak boleh dijual lagi.

    al-Zuhayli (1986) menyatakan:

    Tidak benar menqiyas wang kertas itu kepada hutang kerana hutang tidak boleh dimanfaatkan oleh pemiliknya iaitu orang yang memberikan pinjaman. Di samping itu juga, ulama tidak mewajibkan zakat terhadap harga yang masih dalam bentuk hutang kecuali setelah diterima. Ini kerana masih ada kemungkinan hilang atau tidak dibayar. Mata wang kertas dapat dimanfaatkan oleh pemegang sebagaimana emas yang dianggap sebagai nilai harga untuk segala sesuatu.

    Pendapat ulama yang menyatakan kertas fizikal pada wang kertas tidak mempunyai nilai dan nilai bergantung kepada angka yang ditulis pada kertas tersebut yang mewakili emas tersimpan. Pandangan ini adalah benar kerana kertas yang dicetak sebagai alat perantara pada masa itu adalah sejenis dokumen wakilan terhadap jumlah emas yang dimiliki dan tersimpan di bank. Pandangan ulama pada masa itu diambil kira berdasarkan perkembangan wang kertas dalam tempoh tersebut yang

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    35

    dijadikan dokumen wakilan atau resit hutang pihak bank. Tempoh tersebut adalah di antara tahun 1886 sehingga 1914. Ini bermakna hujah wang kertas sebagai resit hutang atau dokumen wakilan sudah tidak relevan lagi dibahaskan pada masa kini apabila wang kertas hari ini telah dianggap mata wang asas dalam sistem monetari dunia.

    Fasa Kedua dan Ketiga: Alat Pembayaran/Fulus dan Wang Kertas sebagai Sandaran Nilai Emas

    Pada peringkat ini, dokumen bank atau resit akuan simpanan tidak dianggap wang secara sepenuhnya kerana institusi atau orang ramai yang memiliki dokumen tersebut akan terus menukarkannya kepada mata wang logam dalam kadar yang segera. Ini kerana pada masa itu wang logam masih menjadi mata wang asas kepada kebanyakan negara di dunia. Namun, apabila ekonomi semakin maju, dokumen atau resit bank tadi tidak dapat ditebus dengan segera dan sentiasa bertukar tangan serta beredar dalam pasaran dan tidak kembali kepada pengeluar resit (pihak bank). Penyimpan emas mula menyedari perubahan ini dan mendapati bahawa kebanyakan kertas resit yang dikeluarkan tidak kembali kepada mereka untuk ditebus. Penebusan yang berlaku adalah segelintir kecil sahaja yang mahukan kembali wang emas atau perak tersebut. Penyimpan emas dan perak tadi mula bertindak mengeluarkan resit yang banyak tanpa mewakili nilai sebenar emas yang tersimpan. Hal ini berlaku berdasarkan kepercayaan orang ramai terhadap pihak penyimpan, di mana penebusan akan dapat dibuat pada bila-bila masa mereka memerlukannya. Akhirnya resit-resit bank tadi beredar sebagai alat perantaraan pertukaran dan sekali gus mengambil fungsi asas mata wang.

    Pada masa ini timbul pendapat ulama berkenaan wang kertas sebagai wang fulus (wang sampingan atau wang pecahan). Ini menunjukkan kedudukan mata wang kertas adalah sama dengan fulus dari segi nilai harga. Manakala dari segi hukum fiqh, sebahagian ulama meletakkan hukumnya sama dengan hukum fulus dan sebahagian pula meletakkan hukumnya sama dengan hukum emas dan perak. Ulama yang menyokong wang kertas sebagai wang fulus adalah seperti Muhammad Rida al-Buraylawi, Ahmad al-Khatib al-Jawi, Muhammad Ulaysi al-Maliki, Sulayman al-Khalidi al-Asardi dan Muhammad Salamah Jabar.

    Menurut al-Buraylawi (t.th), fulus pada asalnya adalah tembaga iaitu sejenis komoditi dan telah dijadikan mata wang beredar serta digunakan oleh orang ramai di pasaran. Hal ini adalah sama dengan kertas, asal kertas juga adalah satu komoditi dan telah diterima sebagai

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    36

    mata wang yang beredar di pasaran serta telah diterima ramai. Manakala, angka yang dituliskan di atas wang kertas merupakan nilai harga. Beliau juga berpendapat kewajipan zakat adalah perlu ke atas wang kertas kerana sifatnya yang tersendiri bernilai dan bukan resit hutang. Walau bagaimanapun, beliau mengklasifikasikan mata wang kertas sebagai harta riba kerana penetapan nilai ke atas wang kertas adalah persepakatan dalam pasaran sedangkan orang lain tidak mempunyai hak untuk mencampuri kontrak yang dilakukan oleh kedua belah pihak tersebut.

    Selain itu, al-Khatib (1330H) berpandangan bahawa wang kertas adalah bernilai sama seperti emas dan perak pada fizikal dan nilai. Walau bagaimanapun, zakat tidak diwajibkan ke atas wang kertas kerana kertas tidak termasuk dalam logam yang perlu dizakatkan seperti emas dan perak. Menurut al-Khatib lagi, wang kertas tiada illah riba sebagaimana emas, oleh yang demikian ia boleh dijual atau dihutangkan dengan bayaran balik sama nilai atau tidak atau melalui bayaran bertempoh ataupun sebaliknya. Wang kertas adalah mengikut hukum fulus tembaga zahir dan batin sehingga pengeluaran zakat tidak diwajibkan ke atas wang kertas. Begitu juga dari segi harta riba di mana wang kertas bukan terdiri daripada kelompok yang memiliki illah riba sebagaimana emas dan perak. Pandangan ini adalah sama dengan pandangan yang dibawa oleh ulama Mazhab Maliki yang menyatakan bahawa kewajipan zakat hanya kepada haiwan ternakan, biji-bijian tertentu, buah-buahan, emas dan perak serta nilai harta perniagaan. Kertas mahupun tembaga (fulus) tidak termasuk dalam perkara yang wajib zakat, maka tiada kewajipan zakat ke atas wang kertas sebagaimana fulus tembaga. Walau bagaimanapun, al-Zarqa (t.th) mempunyai pandangan yang berbeza daripada al-Buraylawi dan al-Khatib di mana bagi al-Zarqa (t.th) walaupun wang kertas disamakan fungsi dan kedudukannya dengan fulus, namun dari segi hukum fiqh wang kertas adalah tertakluk dengan hukum emas dan perak seperti kewajipan zakat dan termasuk dalam harta riba.

    Terdapat juga beberapa pandangan yang berbeza daripada Abd Allah bin Basam, Muhammad Salamah Jabar dan Sulayman al-Khalidi di mana masing-masing menyokong wang kertas di samakan dengan fulus sebagai satu mata wang beredar yang diterima ramai. Oleh itu, mereka sependapat menyatakan bahawa wang kertas bukan daripada harta riba dan boleh dilakukan transaksi penjualan hutang, sama ada melalui pembayaran bertangguh atau semerta. Mereka juga menegaskan bahawa wang kertas walaupun mengikuti hukum yang sama dengan

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    37

    fulus sebagai mata wang, namun ia tetap wajib dikeluarkan zakat kerana wang kertas adalah sebahagian harta dan kewajipan zakat adalah pembersihan harta ke atas kaum Muslimin (Ahmad Hassan 1999).

    Ini adalah pendapat yang dikeluarkan pada masa peredaran wang kertas bersama-sama mata wang dinar emas dan dirham perak di pasaran. Pendapat-pendapat ini tidak dapat lagi dipegang setelah mata wang kertas pada hari ini menjadi mata wang wajib dan penggunaan emas sebagai mata wang sudah tidak dibenarkan lagi. Ulama-ulama tersebut menyamakan wang kertas dengan fulus kerana pada masa itu fulus yang banyak beredar di pasaran di samping dinar dan dirham dan keadaan sedemikian sudah tidak wujud lagi pada masa kini.

    Fasa Keempat: Wang Kertas sebagai Pengganti Wang Logam Sepenuhnya

    Pada peringkat keempat, pengeluaran wang tidak lagi dikawal oleh mana-mana undang-undang tetapi telah dimonopoli oleh Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang besar. Namun begitu, pada peringkat keempat undang-undang telah memainkan peranan dalam pengawalan pengeluaran wang. Sebagai contohnya, bermula pada tahun 1933 undang-undang dikeluarkan bahawa emas atau resit sandaran emas tidak boleh digunakan sebagai mata wang kecuali untuk koleksi atau tujuan tertentu sahaja yang dibenarkan. Manakala bermula tahun 1971 dengan rasminya Presiden Richard Nixon telah memutuskan hubungan wang kertas dengan emas. Selepas itu wang kertas menjadi wang wajib dan utama dalam sistem monetari pada hari ini.

    Dalam permasalahan mata wang, peredaran emas dan perak sebagai mata wang telah dimansuhkan oleh undang-undang antarabangsa sejak tahun 1914. Selepas berakhirnya sistem Bretton Woods pada tahun 1971 sandaran emas secara rasminya telah terputus dengan sistem monetari dunia. Justeru, di sini terdapat kesulitan untuk menggunakan wang emas dan perak sebagai mata wang, manakala wang kertas pula sememangnya diterima oleh pasaran sebagai alat pertukaran dan hitungan nilai. Maka, wang kertas dilihat sebagai perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Oleh yang demikian, berdasarkan kaedah fiqh perkara mudah dilakukan tidak gugur dengan sebab kesukaran (al-maysur la yasqut bi al-masur) kewajipan zakat ke atas harta (wang kertas) tidak boleh digugurkan dengan termansuhnya peredaran mata wang emas dan perak. Penggunaan wang kertas pula dilihat sebagai sesuatu yang lebih mudah untuk diterima sebagai mata wang pada masa kini.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    38

    WANG KERTAS ADALAH HARUS SEBAGAI MATA WANG

    Ulama masa kini telah mengeluarkan pandangan mengenai wang kertas semasa di mana mereka berpendapat wang kertas hari ini adalah mata wang yang berasingan dengan fulus, emas dan perak. Wang kertas merupakan salah satu fasa daripada fasa-fasa perkembangan wang yang bermula dengan wang komoditi, wang logam dan seterusnya wang kertas. Ketiga-tiga bentuk wang ini adalah berbeza antara satu sama lain. Persamaan yang terdapat pada ketiga-tiga bentuk ini adalah sebagai satu alat perantara pertukaran dan nilainya ditetapkan oleh pasaran.

    Melalui pandangan ini, maka dapat dikeluarkan beberapa hukum fiqh ke atas wang kertas hari ini iaitu hukum riba, zakat, mudarabah dan hukum-hukum lain yang berkaitan dengan emas dan perak. Berdasarkan pendapat ini jugalah terhasilnya Fatawa al-Majma al-Fiqhi yang telah memutuskan bahawa penggunaan wang kertas sebagai mata wang adalah harus pada persidangan kelima pada tahun 1402H. Hukum penggunaan mata wang kertas telah diputuskan oleh Majlis al-Majma al-Fiqhi al-Islami ke-5 pada tahun 1402H/1982M adalah seperti berikut (Bank Dubai al-Islami 1411H):

    1. Asal kepada mata wang adalah emas dan perak. Ilah berlaku riba antara keduanya adalah kerana nilainya (thamaniyyah) menurut

    pandangan yang paling kuat di kalangan ulama. Illah tersebut

    tidaklah hanya terhad kepada emas dan perak sahaja walaupun

    pada asalnya hanya terdapat pada emas dan perak.

    2. Mata wang yang wujud pada hari ini adalah bernilai kerana terdapat jaminan pemerintah ke atas nilai tersebut. Masyarakat

    telah menerimanya sebagai alat simpanan dan sebagai alat bayaran

    walaupun nilainya bukan kepada kertas tersebut tetapi kepada

    nombor atau tulisan yang tertera pada kertas tersebut. Ini

    menjadikan mata wang sekarang bernilai (thamaniyyah) dan telah

    mengambil tempat emas dan perak dalam penggunaannya.

    3. Ilah yang terdapat pada emas dan perak jelas wujud pada mata wang semasa.

    Oleh yang demikian, ahli Majlis al-Majma al-Fiqhi al-Islami telah memutuskan bahawa mata wang kertas adalah mata wang yang berdiri sendiri dan mengambil semua hukum emas dan perak. Termasuklah dalam hukum pengharaman riba al-fadl dan riba al-nasa, wajib zakat

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    39

    dan lain-lain hukum. Ini adalah berdasarkan qiyas mata wang semasa kepada emas dan perak. Justeru, analisis berpandukan fasa perubahan mata wang dapat dirumuskan bahawa wang kertas yang digunakan pada hari ini adalah harus di sisi Islam. Oleh yang demikian, Islam mengharuskan apa jua bentuk mata wang sama ada wang kertas mahupun wang emas. Rajah 1 menunjukkan gambaran keseluruhan perkaitan antara fatwa hukum wang kertas yang dikeluarkan oleh para fuqaha berdasarkan empat fasa dalam evolusi perkembangan wang kertas.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    40

    Rajah 1 Perkembangan fatwa tentang hukum penggunaan wang kertas

    KESIMPULAN

    Walaupun perkataan dinar dan dirham atau emas dan perak diindikasi dalam al-Quran dan al-Hadis namun, tiada satu pun nas yang menunjukkan arahan atau perintah untuk menggunakan kedua-dua mata wang tersebut. Penggunaan istilah dinar dan dirham menggambarkan bentuk wang yang digunakan pada masa itu (sewaktu wahyu diturunkan) dan tidak bermakna menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menggunakan dinar dan dirham (mata wang emas dan perak) pada hari ini. Oleh itu, penggunaan selain emas dan perak sebagai mata wang bukan menjadi kesalahan di sisi Islam. Di samping itu juga, penentuan hukum wang kertas boleh dilihat berdasarkan evolusi perkembangan wang kertas. Data sejarah menunjukkan bahawa evolusi perkembangan wang kertas terbentuk daripada empat fasa. Fasa pertama ialah fasa penggunaan Surat Akuan atau Resit Hutang.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    41

    Manakala, fasa kedua pula adalah fasa penggunaan wang kertas sebagai Alat Pembayaran atau Fulus. Fasa ke tiga adalah tempoh wang kertas dijadikan sandaran nilai dan seterusnya, wang kertas dalam fasa terakhir telah menjadi wang utama dunia (independent) atau wang pokok. Para fuqaha telah memfatwakan hukum penggunaan wang kertas adalah berdasarkan fasa perkembangan wang kertas. Justeru, hukum wang kertas pada hari ini tidak boleh disamakan dengan wang wakilan, fulus atau resit hutang seperti dalam fasa-fasa terdahulu.

    RUJUKAN

    Ali. 1983. al-Tatawwur al-Tarikhi li al-Anzimah al-Naqdiyyah fi al-Aqtar al-Arabiyyah. Beirut: Markaz Dirasat al-Wihdah al-Arabiyyah.

    Bank Dubai al-Islami. 1411H. Majallat al-Iqtisad al-Islami. Dubai: Bank Dubai al-Islami.

    al-Buraylawi, Abd al-Rahman. T.th. Kifl al-Faqih al-Fahim fi Ahkam Qirtas al-Darahim. Lahour: t.tp.

    Goldfeld, S. M., & Chendler, L. V. 1981. The Economics of Money and Banking. New York: Harper & Row.

    Hasan, Ahmad. 1999. al-Awraq al-Naqdiyyah al-Iqtisadi al-Islami: Qimmatuha wa Ahkamuha. Damsyik: Dar al-Fikr.

    Hosein, Imran. N. 1997. The Importance of The Prohibition of Riba in Islam. New York: Masjid Dar al-Quran.

    al-Husayni, A. 1329H. Bahjat al-Mushtaq fi Bayan Hukm Zakat Amwal al-Awraq. Cairo: Kurdistan.

    Ibn Manzur, Muhammad bin Mukram al-Afriqi al-Misri. T.th. Lisan al-Arab. Beirut: Dar al-Sadir.

    al-Jawi, Ahmad al-Khatib. 1329H. Raf al-Iltibas an Hukm al-Anwat al-Mutaamal biha bayn al-Nas. Mekah: Turqi al-Majidiyyah.

    Joni Tamkin Borhan & Mohd Ridhwan Abd. Aziz. 2009. International business transaction from the Islamic economics perspective. Jurnal Teknologi, 50(E) Jun: 8799.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 19

    42

    al-Khatib, A. 1330H. Iqna al-Nufus bi Ilhaq Awraq al-Anwat bi Umlat al-Fulus. Beirut: al-Ahliyyah.

    Malik bin Anas. Tth. al-Mudawanah al-Kubra. Beirut: Dar Sadir.

    Salmy Edawati Yaacob. 2005. Study of Possibility of Gold Dinar Implementation in Malaysia. Disertation (Master of Syariah), Department of Syariah and Management, Academy of Islamic Studies, University of Malaya, Kuala Lumpur.

    al-Sarakhsi, Muhammad bin Abi Bakr. 1979. al-Mabsut. Jld. 12. Beirut: Dar al-Marifah.

    Vadillo, Umar Ibrahim. 2002. The Return of the Islamic Gold Dinar. South Africa: Madinah Press.

    al-Zarqa, Mustafa Ahmad. T.th. al-Madkhal al-Fiqhi. T.t.: Dar al-Fikr.

    al-Zuhayli, Wahbah. 1986. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Jil. 4. Damsyik: Dar al-Fikr.

    Zuhaimy Ismail. 2003. Kembalinya Dinar Emas dan Dirham Perak. Johor: UTM Skudai.